October 29, 2008

Pro Kebajikan : Kepimpinan ke arah memahasiswakan mahasiswa

Pertemuan beberapa penyokong Pro Kebajikan bersama wakil mereka yang menang dalam PRK tempoh hari mencapai satu kata putus yang jelas. Komitmen untuk memenuhi kebajikan mahasiswa akan menjadi fokus utama dan perubahan tetap akan dibuat. Dalam pertemuan tersebut Upsikini dilaporkan semua persoalan dapat dijelaskan dengan baik dan diterima penyokong mereka. Wakil Pro Kebajikan yang memberi penerangan menegaskan bahawa persoalan merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi bukan atas dasar jawatan tetapi mahu melihat sistem dipatuhi dan mengambil kira pilihan mahasiswa.
“Kita bukan pilih jawatan, tapi mengapa sistem yang dikatakan demokrasi, adil dan telus sewenang-wenangnya dilanggar tanpa memikirkan apa yang telah disuarakan mahasiswa. Di mana sistem yang dikatakan berintegriti itu?”,katanya. Tambahnya lagi,”jawatan itu hanya alat untuk kami bergerak, dan kami tidak akan lari dari landasan menjaga kebajikan semua tidak kira penyokong kami atau tidak dan kepimpinan yang ingin kami bawa adalah ke arah ‘memahasiswakan mahasiswa’.”
Dalam pada itu, wakil tersebut turut menjelaskan bahawa tidak timbul soal gila jawatan kerana mahasiswa sudah matang untuk fikirkan siapa yang gila jawatan sebenarnya kalau semua nak disapu.
Apabila ditanyakan apakah tindakan susulan mereka menuntut untuk mendapatkan beberapa kerusi MT, beliau mengatakan perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Sementara itu, beberapa penyokong yang hadir mendesak agar mereka menuntut beberapa kerusi MT secepat mungkin. Selain itu, pertemuan ini turut membahaskan tentang sistem pemilihan yang dibuat bagi pembentukan kabinet MPP yang menggunakan AUKU. Wakil tersebut menjelaskan AUKU adalah satu-satunya sumber rujukan yang boleh dibuat kerana MPP tidak ada perlembagaannya sendiri.
“Inilah yang menjadi salah satu masalahnya. Badan mahasiswa yang penting begini tidak ada perlembagaan. Saya sendiri mencari Perlembagaan MPP tapi sampai sekarang tidak ditemui. Mungkin saya belum jumpa atau sememangnya tidak ada”, ulas beliau.
Pertemuan yang berlangsung selama 1 jam 30 minit ini turut membuka ruang kepada penyokong yang hadir untuk menyampaikan masalah mereka.

1 comment:

Anonymous said...

x ajak aku pun perjumpaan tu???