June 20, 2010

Tunggu sehingga pengesahan senat- Bahagian akademik

Tanjong Malim, 20 Jun- Mahasiswa yang baru sahaja menamatkan praktikum pada bulan mei lalu dinasihatkan untuk tidak mengisi borang penempatan secara atas talian sehingga pengesahan senat yang dijangka pada 24 Jun ini.

Menurut Mohd Amin, Exco Akademik dan Kerjaya yang dihubungi berkata, pihak akademik berpesan kepada semua mahasiswa agar bersabar dan bertenang supaya tidak timbul masalah-masalah yang boleh mendatangkan kesan kepada mahasiswa sendiri.

“Daripada maklumat bahagian akademik, tarikh kelulusan senat dijangka pada 24 Jun ini, surat tamat pengajian dan keputusan praktikum akan diposkan dalam 3 hari selepas tarikh tersebut manakala transkrip akademik pula akan dikeluarkan 2 minggu selepas itu yang dijangka pada 8 Julai.

“Oleh itu, mahasiswa dinasihatkan bersabar dan sentiasa ‘update’ dengan maklumat terkini. InsyaAllah, kalau tiada apa-apa, mahasiswa yang baru menamatkan praktikum boleh mengisi borang penempatan tersebut selepas 24 Jun ini,” katanya.

June 5, 2010

Semester 8 : Boleh pohon GST jika surat senat keluar awal

Tanjong Malim, 2 Jun- Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baru menamatkan latihan praktikum baru-baru ini dinasihatkan agar menunggu surat tamat pengajian yang diluluskan oleh senat sebelum mengisi borang penempatan dan borang permohonan Guru Sandaran Terlatih (GST) pada Jun ini.

Permohonan GST pada Jun ini dikatakan bukan khusus untuk pelajar Semester 8 sebaliknya permohonan GST bagi mereka ialah pada bulan Ogos ini. Namun begitu, sekiranya surat senat atau transkrip dikeluarkan sebelum 30 Jun, mana-mana pelajar yang berminat untuk memohon pada Jun ini boleh membuat permohonan.

Menurut sumber dari Mohd Amin Mat Sidik, Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI, senat universiti akan bersidang pada 8 Jun ini dan dikatakan selepas 'meeting' terbabit diadakan , satu senarai nama pelajar yang bakal bergraduat pada konvokeyen sidang 2 akan disahkan dan dimajukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Dalam pada itu, selepas senat mengesahkan nama-nama pelajar yang bakal bergraduat, satu transkrip atau surat pengesahan tamat pengajian akan dikeluarkan oleh Bahagian Akademik. Selepas transkrip terbabit dikeluarkan, barulah boleh dibuat permohonan Guru Sandaran Terlatih (GST) bagi mana-mana pelajar yang berminat.

Dalam hal berkaitan, keputusan peperiksaan bagi pelajar semester 8 akan dikeluarkan bermula 16 Jun ini manakala tarikh permohonan GST bermula 1 hingga 30 Jun ini.

Amin : Kuliah mula 12 Julai

Tanjong Malim , 5 Jun - Exco Akademik & Kerjaya MPPUPSI , Mohd Amin telah melaporkan kepada Upsikini awal pagi ini bahawa kuliah bagi pelajar lama Semester 1 Sesi 2010/2011 Universiti Pendidikan Sultan Idris akan dimulakan pada hari Isnin 12 Julai 2010.

Dalam pada itu, pelajar baru ambilan Julai dikatakan akan mendaftar pada 4 Julai ini dan mengikuti minggu suai kenal selama seminggu . Bagi pelajar yang tinggal di kolej mereka boleh membuat pendaftaran di kolej masing-masing pada hari Ahad 11 Julai 2010.

June 4, 2010

Kekalkan subsidi pendidikan


Oleh : Mohd Zahar Mohamed Nor

Apabila kerajaan memberi isyarat awal mengenai pemotongan subsidi, ramai pihak telah memberi pelbagai reaksi terhadap baik buruk tindakan terbabit. Tindakan kerajaan yang mahu menilai dan mengkaji pemberian subsidi diharapkan tidak akan melibatkan penarikan subisidi pendidikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pendidikan merupakan nadi utama sesebuah negara yang menjadi 'catalyst' kepada kemajuan dan peradaban tinggi bagi sesebuah tamadun. Bebanan dan kos sara hidup yang semakin tinggi dari semasa ke semasa tidak sewajarnya dibebankan lagi dengan penarikan subsidi pendidikan. Oleh itu, kita melihat bahawa subsidi pendidikan merupakan perkara yang amat penting dalam menjana pendidikan berkualiti serta meningkatkan mutu kecermerlangan pendidikan negara seterusnya menjadi penggerak kepada kemajuan negara pada masa depan.

Sebagai seorang mahasiswa, saya percaya kerajaan akan memberikan perhatian serius terhadap mutu pendidikan negara khususnya melibatkan golongan yang berpendapatan rendah. Jika melihat kembali peruntukan subsidi pendidikan terdahulu, ianya melibatkan jumlah yang cukup besar merangkumi sistem persekolahan dan universiti.

Sebagaimana yang diperuntukkan kepada KPM dan KPT pada tahun 2008, bagi sistem persekolahan, subsidi yang diberikan antaranya termasuk pinjaman buku teks percuma bagi 5.7 juta pelajar, pemansuhan yuran dan diganti dengan yuran khas sebanyak RM 4.50 bagi sekolah rendah dan RM 9.00 bagi sekolah menengah, pakaian seragam ko-kurikulum percuma bagi pelajar miskin sebanyak RM 188.8 juta (pendapatan bawah RM1000), program susu sekolah RM 26.7 juta (melibatkan 621773 pelajar), bantuan makanan asrama RM 1.08 billion, program rancangan makanan tambahan RM 276 juta dan beberapa peruntukan lain yang memakan bajet yang cukup besar.

Bagi peruntukan pengajian tinggi pada tahun 2008, sebanyak RM 268.5 juta diberikan masing-masing melibatkan Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan, Universiti dan Skim Biasiswa Sukan, tajaan ijazah pertama JPA di universiti tempatan melibatkan 10,000 orang setahun dan Elaun Sara Hidup pelajar peringkat pengajian tinggi dinaikkan antara 23% hingga 84% (bagi di semua peringkat pengajian lebih 90,000 pelajar).

Jika diperhatikan, subsidi pendidikan terbabit memberi kesan besar terhadap rakyat yang berpendapatan rendah. Hal ini belum lagi termasuk pembiayaan pendidikan yang melibatkan guru dan kakitangan kerajaan. Bayangkan sekiranya jumlah tersebut dikurangkan atau dihapuskan kerajaan, saya kira tindakan terbabit akan memberi impak yang besar kepada kemandirian sistem pendidikan negara kearah mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.

Berhubung hal ini, saya menyokong pandangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang berkata pada masa ini, lebih 90 peratus pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Rakyat berpendapatan rendah masih memerlukan subsidi pendidikan untuk memastikan anak mereka dapat meneruskan pengajian.

Sekiranya subsidi pendidikan dimansuhkan , saya melihat negara kita bakal menjerumuskan pendidikan ke arah sebuah perniagaan. Pendidikan tidak sewajarnya dikomersialisasikan. Institusi pendidikan ditubuhkan persis seperti syarikat perniagaan yang bertujuan mencari keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kebajikan rakyat , pembangunan peradaban, agama dan bangsa. Apabila pendidikan dijadikan bahan komersial yang mendokong idea kapitalis, maka kita akan melihat ramai golongan yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke peringkat pengajian tinggi kesan dari kos yang tinggi.

Bantuan dalam bentuk subsidi sewajarnya diteruskan malah lebih baik sekiranya ditambah oleh kerajaan pada masa akan datang. saya mencadangkan agar kerajaan mengkaji mekanisme pemberian subsidi dengan teliti. Garis panduan yang jelas terhadap golongan dan rakyat yang layak menikmati subsidi pendidikan perlu diwujudkan.

Saya berharap agar tindakan kerajaan menilai kembali subsidi yang bakal dilakukan kelak tidak akan membebankan dan merugikan mana-mana pihak khususnya kepada golongan pelajar dan mahasiswa. Pendidikan sewajarnya menjadi keutamaan yang paling utama bagi sesebuah negara.

*Penulis merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris.

June 3, 2010

Zahar seru mahasiswa turun 'demo' anti-Israel esok

Tanjong Malim , 3 Jun - Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI , Mohd Zahar Mohamed Nor mengecam tindakan kejam pengganas Zionis terhadap Armada Gaza yang menjalankan misi keamanan kepada rakyat Palestin dan menyeru mahasiswa menyatakan kecaman dalam siri demo akan diadakan pada esok hari di beberapa tempat seluruh negara.

Katanya , 'mahasiswa perlu menyatakan kecaman mereka berhubung isu Palestin yang tidak pernah selesai sejak beberapa dekad yang lalu, isu ini melibatkan isu kemanusiaan , pencabulan terhadap hak asasi manusia dan kekejaman pengganas Yahudi sepatutnya membuka mata kita untuk turut sama menyatakan kecaman terhadap Israel ".

Tambahnya lagi, 'esok akan diadakan beberapa siri demonstrasi kecaman dan solat hajat , saya mengajak rakan-rakan untuk turut serta menyatakan bahawa mahasiswa turut cakna berhubung isu ini ", ulasnya.

Dalam pada itu, beberapa siri demo telah berlangsung diseluruh dunia termasuk Malaysia bagi mengecam tindakan jahat Israel. Esok, beberapa siri demo akan diadakan selepas Jumaat bermula di beberapa tempat termasuk di Masjid Kampung Baru dan Masjid Negara.

Dalam hal berkaitan, pagi esok juga akan diadakan solat hajat dan ceramah khas mengenai isu Palestin bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Bharu manakala pada petang ini satu solat hajat akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam.

MASUM : Prof Shah nafi wujud gangguan seksual

Tanjong Malim, 3 Jun - Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang dipengerusikan oleh Prof Dr. Shaharudin Abd Aziz , TNCHEP Universiti Pendidikan Sultan Idris menafikan wujud gangguan seksual melibatkan atlet dan juri dalam acara pencak silat kejohanan Masum Fasa 2 yang berlangsung di Usim pada 24 - 30 Mei lepas.

Beliau menafikan perkara terbabit dalam akhbar Sinar Harian semalam setelah dikatakan wujud laporan dari jurutlaih silat UKM kepada televisyen mengenai kes gangguan seksual yang melibatkan atlet pencak silat dalam kejohanan sukan terbabit.

Dalam pada itu, Prof Shah menyatakan bahawa apa yang dilaporkan adalah tidak benar dan beliau menyerahkan siasatan lanjut berhubung kes terbabit kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) berikutan dakwaan tersebut membabitkan wasit juri dan jurulatih yang berkenaan.

June 2, 2010

Tunggu pengesahan senat, konvo dijangka 12-16 oktober- Bahagian Akademik

Tanjong Malim, 2 Jun- Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baru menamatkan latihan praktikum baru-baru ini dinasihatkan agar menunggu surat tamat pengajian yang diluluskan oleh senat sebelum mengisi borang penempatan. Menurut sumber, senat dijangka bersidang pada 6-9 Jun ini.

Dalam pada itu, tarikh konvokesyen untuk sidang kali ini dijangka berlangsung pada 12-16 Oktober 2010 setelah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun Binti Mohd. Ali, D.K. , D.M.N iaitu Canselor UPSI.

Menurut Mantan Exco Akademik dan Kerjaya, Nur Aqilah Hanis ketika dihubungi berkata, beliau amat menghargai pengorbanan kakitangan bahagian akademik yang sentiasa bertungkus lumus memastikan pengijazahan seseorang mahasiswa berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua kakitangan bahagian akademik atas pengorbanan untuk memastikan semua mahasiswa dapat bergraduat dengan jayanya. Mudah-mudahan segala urusan untuk pengijazahan tahun ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Beliau turut menambah, sebagai persediaan, mahasiswa dinasihatkan untuk mengisi masa lapang ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan sentiasa peka dengan maklumat-maklumat terkini berkaitan akademik mahupun berkaitan dengan sekeliling mahasiswa.

“Saya menyeru kepada semua sahabat-sahabat saya untuk kita sama-sama memenuhi ruang waktu ini dengan perkara-perkara berfaedah seperti bekerja sambilan, menuntut ilmu mahupun membantu ibu ayah di rumah.

“Saya juga ingin sama-sama menasihatkan sahabat-sahabat untuk kita sentiasa ‘update’ dengan maklumat-maklumat terkini bukan sahaja berkaitan dengan konvo, tapi juga berkaitan dengan masalah umat seperti yang berlaku di Gaza ketika ini,” tambahnya.