January 31, 2009

Masih ramai belum tahu kewujudan UPSI

Tanjong Malim, 31 Jan. – Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dinaiktaraf daripada Institut Perguruan Sultan Idris merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan pengajian dalam bidang pendidikan sepenuhnya.

Namun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari kewujudan institusi pengajian tinggi ini walaupun sudah wujud hampir 12 tahun pada tahun ini.

Buktinya, ramai yang lebih mengenali MPSI berbanding UPSI walaupun taraf universiti sudah lama diberi untuk institusi ini.

Selain itu, ramai juga yang terkeliru dengan nama UPSI apabila disebut sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris sedangkan nama sebenarnya adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Kenyataan ini dikeluarkan Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya yang melihat UPSI masih belum menonjol di kalangan rakan-rakan IPTA lain walupun pernah gah pada suatu masa dahulu.

Mengulas tentang isu ini Pro Kebajikan mendapati UPSI perlu diberi nafas baru dalam struktur kepimpinan mahasiswanya sebagai salah satu langkah membawa UPSI ke satu tahap yang setanding dengan IPTA lain.

“Saya melihat UPSI masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan dalam menjual jenama UPSI di peringkat nasional walaupun UPSI mempunyai keistimewaannya tersendiri terutamanya dalam bidang pendidikan,”ulasnya.

“Untuk itu, kepimpinan mahasiswa UPSI harus lebih ke hadapan dalam melontarkan pandangan dan idea berhubung beberapa perkara terutamanya yang melibatkan isu pendidikan dan kini seluruh negara sedang memperkatakan tentang PPSMI namun kita lihat mahasiswa UPSI masih diam membisu seperti tidak peka dengan keadaan sekeliling,”tambahnya lagi.

Ketika ditanya tentang apakah usaha yang boleh diambil untuk memasarkan UPSI di peringkat nasional beliau mengatakan UPSI perlu lebih serius dalam merencana agenda yang dibawa dan mahasiswanya sudah pasti menjadi pemain utama dalam melaksanakan usaha ini.

“Saya berpendapat UPSI perlu serius dalam hal ini dan mahasiswa UPSI harus memberi perhatian dalam mengangkat nama UPSI setaraf dengan IPTA lain,”ujarnya.

“Bagi kami di pihak Pro Kebajikan, kami akan membawa satu corak kepimpinan yang lebih agresif sebagai langkah awal dalam membawa UPSI setaraf dengan IPTA lain,”jelasnya lagi.

UPSI ditubuhkan pada 1997 selepas 3 era iaitu Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Sultan Idris Training College (SITC).

January 30, 2009

Pro Kebajikan sifatkan situasi UM mirip UPSI

Tanjong Malim, 29 Jan. – Pro Kebajikan hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa situasi yang berlaku di Universiti Malaya mirip kepada apa yang berlaku kepada Pro Kebajikan di UPSI dalam mengisi kerusi nombor satu kabinet MPP.

Apa yang membezakan situasi di UM adalah bilangan kerusi yang dimenangi oleh Pro Mahasiswa di UM lebih 1 kerusi berbanding penggerak mahasiswa.

Jurucakap Pro Kebajikan UPSI menasihatkan agar semua pihak di UM menerima keputusan yang dibuat oleh para pengundi sebagai satu suara majoriti dan akur dengan calon umum yang mendapat undian tertinggi sebagai pilihan utama mengisi kerusi YDP.

“Pihak yang mendapat undian majoriti selayaknya mengisi kerusi YDP kerana ini adalah suara mahasiswa dan MPP adalah milik mahasiswa,”ulasnya.
Tambahnya lagi,”sekiranya pilihan mahasiswa ini ditolak, maka apakah maknanya calon berhempas pulas berkempen bagi memperoleh undi tertinggi?”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut menegaskan agar UM lebih matang dalam berpolitik sebagai unversiti terulung yang menjadi perhatian seluruh mahasiswa di Malaysia.

UM menyaksikan penguasaan kerusi oleh Pro Mahasiswa mandahului Penggerak Mahasiswa dengan kelebihan 1 kerusi.

KERIS '09 capai objektif

Ulu Yam, 29 Jan. – Program Kem Jati Diri Muslim (KERIS) ’09 yang dijalankan pada 24 hingga 26 Januari lalu mencapai objektif yang disasarkan. Demikian ujar Ahli Jawatankuasa Pelaksana program baru-baru ini.

Program yang disertai oleh 95 peserta ini merupakan anjuran Kelab Rakan Surau Ar-Rasyidin dengan kerjasama Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid.

Dalam pada itu, program yang dimuatkan dengan aktiviti kerohanian ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada peserta dan maklumbalas yang diterima mencadangkan agar program ini dijadikan program wajib pada masa akan datang.

Menurut Pengarah Program, saudara Zulkifli Mohd Yusof, program yang pertama kali seperti ini dijalankan atas kesedaran KERAS yang melihat program ‘outdoor’ yang menjurus kepada kerohanian sangat kurang sejak akhir-akhir ini.

“Kita melihat program luar yang bertemakan kerohanian ini sangat kurang di UPSI dan ini adalah langkah positif yang dilihat mampu mengisi kekosongan tersebut dan sambutan kepada program ini begitu menggalakkan”, ujarnya.

Katanya lagi,”program ini tidak mengehadkan kepada mana-mana individu malah kami turut menerima penyertaan daripada mereka yang tidak bertudung bagi membuktikan keterbukaan pihak penganjur kepada pengisian kerohanian kepada semua lapisan mahasiswa”.

Apabila ditanya perancangan masa depan beliau mengulas untuk membuka penyertaan program ini pada masa akan datang bukan sahaja kepada mahasiswa muslim malah kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Gambar cahaya lilin tertera tulisan ALLAH
Program ini turut mendapat perhatian seluruh warga kampus apabila beberapa gambar yang diambil semasa sesi muhasabah sekitar jam 1 hingga 3 pagi menunujukkan tertera tulisan ALLAH pada cahaya lilin.

Kewujudan tulisan Allah ini disedari oleh AJK muslimat program tersebut yang mendapati gambar cahaya lilin tersebut mirip kepada tulisan ALLAH pada hampir setiap cahaya lilin yang dinyalakan untuk para peserta menjalani aktiviti muhasabah diri.

Ketika ditanya tentang kejadian ini, Zulkifli mengulas ringkas mengatakan kejadian itu adalah dari Allah dan bukti keagungannya.

“Kita memang terkejut apabila melihat gambar tersebut dan secara peribadi saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan sesuatu petunjuk kepada kita”,ulasnya ringkas.

January 7, 2009

KHAR anjur solat hajat perdana rakyat Palestin

Tanjong Malim, 7 Jan.- Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid, KHAR, akan menganjurkan solat hajat perdana rakyat Palestin pada Khamis ini, 8 Januari, bertempat di Dataran KHAR.

Penganjuran program tersebut adalah salah satu usaha pihak JMK bagi menunjukkan rasa simpati dan berdoa kepada Allah agar pejuang-pejuang di Gaza dan rakyat Palestin diberikan kekuatan dalam menghadapi kekejaman Zionis.

Program tersebut dijangka bermula pada jam 7.30 malam dengan solat Maghrib berjemaah dan Solat hajat perdana serta bacaan Yaasin.

Program turut diisi dengan ceramah perdana bertajuk “Keluarga Bahagia: Sejuk Mata Memandang” selepas solat Isyak yang akan menampilkan Ustaz Zamri Syafiq sebagai penceramah.

Seluruh warga UPSI dijemput untuk hadir dalam program ini.

Kain rentang ucap ‘Selamat Kembali’ milik Biro LPS hilang

Tanjong Malim, 7 Jan.- Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah (LPS) Majlis Perwakilan Pelajar 08/09, Akmal madzir mendakwa kain rentang yang mengucapkan ‘Selamat Kembali’ milik Biro LPS yang ditujukan kepada mahasiswa UPSI hilang pagi tadi.

Menurut Akmal, kain rentang yang tercatat ucapan "Selamat Kembali dan Selamat Meneruskan Pengajian kapada mahasiswa/i UPSI" itu digantung pada Isnin jam 7 pagi dan disedari hilang pagi tadi.

Kain rentang yang ditempah dengan kewangannya sendiri itu digantung berdekatan tempat menunggu bas ke Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dan Kolej Ungku Omar (KUO) di Pintu Timur.

Akmal walau bagaimanapun tidak mengesyaki kehilangan itu sebagai perbuatan khianat mana-mana pihak tetapi bersikap terbuka untuk meminta sesiapa yang mengambil atau menjumpai banner tersebut untuk memulangkannya kembali.

“Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak tetapi sesiapa yang ada ternampak atau mencabut kain rentang tersebut, saya mohon diletakkan kembali di tempatnya atau diserahkan kepada saya semula”,katanya.

Tambahnya lagi,”kain rentang tersebut bukan hanya sebagai ucapan semata-mata tetapi lebih kepada penghargaan buat mahasiswa yang akan meneruskan pengajian di UPSI”.

Lagi tulisan Aqilah disiar


Tulisan Aqilah sekali lagi mendapat perhatian media apabila disiarkan dalam majalah Milenia Muslim keluaran Januari 2009.

Tulisan beliau kali ini berkisar tentang penayangan dokumentari ‘Sajak Kematian’ yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Dalam tulisannya, beliau bersetuju dengan penayangan dokumentari tersebut kepada murid sekolah namun menyarankan agar penjelasan daripada guru itu turut perlu diberi perhatian agar anak murid tidak dibiar menjalar pemikirannya kepada sesuatu yang tidak dikehendaki.

Beliau turut mengulas pendapatnya dengan mengemukakan teori Behaviorisme yang menyentuh soal penegasan agar pelajar takut untuk melakukan kesalahan yang boleh mengundang perkara yang tidak baik.

Untuk mengikuti tulisan beliau seterusnya, dapatkan majalah Milenia Muslim di pasaran keluaran Januari 2009.

January 6, 2009

Tulisan Aqilah dapat perhatian akhbar

Tanjong Malim, 6 Jan. – Tulisan seorang Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 08/09 Nur Aqilah Hanis Mohd Yusoff yang kini memegang Exco Akademik & Kerjaya mendapat perhatian akhbar Berita Harian dan dipaparkan dalam ruangan surat pembaca hari ini.

Tulisan beliau yang bertajuk ‘Palestin menangis, mahasiswa harus responsif’ dikatakan sebuah tulisan yang membawa satu mesej yang cukup jelas dalam memperkatakan tentang suasana dunia hari ini yang tidak putus-putus membicarakan isu Palestin.

Dalam tulisannya, beliau menjelaskan bagaimana Amerika Syarikat memainkan peranannya sebagai dalang dalam rancangan serangan ke atas Gaza meskipun Barrack Obama yang menjadi harapan dunia untuk perubahan akhirnya membela Israel.

Beliau turut menyeru agar mahasiswa bangkit untuk sama-sama berusaha dengan kemampuan yang ada dalam membela Al-Aqsa daripada musuh.

[Baca Penuh]

Tuduhan terhadap Ahmad Zaidi dalam siasatan

Tanjong Malim, 6 Jan.- Tuduhan yang dilemparkan terhadap Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Prof. Madya Dr. Ahmad Zaidi Johari dalam ruangan forum UPSI Portal baru-baru ini dilaporkan sedang disiasat oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI.

JHEPA melalui Pegawai Khas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Ahmad Amri Zainal Adnan, membuat kenyataan bahawa dakwaan yang dibuat ke atas Ahmad Zaidi telah diambil tindakan dengan satu siasatan menyeluruh bermula 22 Disember yang lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan pada 4 Januari itu turut meminta kerjasama semua pihak agar tiada lagi kenyataan yang dikeluarkan melalui ruangan forum tersebut semasa dalam tempoh siasatan dan mengalu-alukan supaya sebarang aduan dipanjangkan terus ke Pejabat TNC (HEPA) dengan disertakan bukti-bukti sebagai sokongan aduan.

Ahmad Zaidi sebelum ini dituduh mengamalkan dasar penghapusan kaum dan kurang cekap mentadbir yang dibuat oleh sekumpulan pelajar melalui ruangan forum UPSI Portal.

Tiada study week resahkan mahasiswa

Tanjong Malim, 6 Jan. – Ketiadaan peruntukan minggu belajar atau study week sebelum mahasiswa menghadapi peperiksaan akhir semester untuk semester ini meresahkan mahasiswa di sini.

Lantaran itu, beberapa rungutan kedengaran di kalangan mahasiswa yang merasakan ketiadaan study week sebagai sesuatu yang sukar diterima.

Arif Mohamad, Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 08/09 apabila diajukan tentang isu ini mengatakan beliau dalam usaha mengumpul pandangan dan pendapat pelajar bagi dipanjangkan ke pihak yang bertanggungjawab.

“Kita sedang mengumpul pandangan dan pendapat mahasiswa berkenaan isu ini dan satu kata putus akan disampaikan melalui perbincangan dengan pihak yang bertanggungjawab”,ulasnya.

Katanya lagi,”Buat masa ini pandangan mahasiswa akan direkod melalui ruangan forum UPSI Portal dan tindakan lanjut akan diambil dalam masa terdekat”.

Sehingga kini kesemua responden yang menyampaikan pandangan mereka di dalam ruangan forum tersebut memohon agar study week diwujudkan atas alasan keperluan sebelum menghadapi peperiksaan akhir.

Pandangan lain mengatakan adalah tidak wajar sekiranya study week dibuang dari takwim akademik kerana rata-rata mahasiswa menggunakan minggu tersebut untuk mengulangkaji sepenuhnya kursus yang diambil berikutan kesibukan menyiapkan tugasan semasa minggu-minggu kuliah.

Peperiksaan akhir semester dijadual bermula 20 April hingga 10 Mei 2009 selepas 11 minggu kuliah yang berakhir pada 19 April 2009.

Himpunan 1000 mahasiswa bantah kezaliman Zionis

Satu perhimpunan yang mensasarkan sekitar 1000 mahasiswa akan diadakan sebagai tanda bantahan kezaliman Zionis terhadap pendudukPalestin di Gaza. Butir-butir program adalah seperti berikut :

Tarikh : 9 Januari 2009
Hari : Jumaat
Tempat Berkumpul : Masjid Putra, Putrajaya
Masa : Selepas solat Jumaat
Tema Baju : Warna Hitam


Perhimpunan akan disusuli dengan serahan Memorandum kepada Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi.

SEMUA MAHASISWA DIJEMPUT HADIR BAGI MENYATAKAN BANTAHAN TERHADAP KEKEJAMAN ZIONIS!!

January 5, 2009

PRK sekitar Lembah Klang : Pro Kebajikan UPSI sedia kongsi pengalaman

Tanjong Malim, 5 Jan. – Kemenangan Pro Kebajikan di UPSI merupakan kemenangan semua di saat mahasiswa dahagakan perubahan.

Demikian ujar seorang calon Pro Kebajikan yang menang dalam PRK UPSI baru-baru ini, Nur Aqilah Hanis Mohd Yusoff. Beliau turut optimis perkara sama akan berlaku di kampus-kampus sekitar Lembah Klang yang akan mengadakan Pilihanraya dalam masa terdekat.

Dalam kenyataannya juga beliau mengingatkan calon-calon agar memasakkan dalam diri mereka, bahawasanya niat utama untuk bertanding adalah kesediaan untuk memikul beban, amanah serta harapan mahasiswa.

Beliau turut menyarankan agar calon-calon melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu kepimpinan sebagai persediaan untuk berpencak dengan situasi semasa politik kampus di samping meneruskan pengharapan pada Yang Maha Esa.

Dalam perenggan akhir kenyataannya, beliau mengharapkan kemenangan akan berpihak kepada calon-calon yang sama matlamatnya dengan Pro Kebajikan di UPSI dalam PRK di kampus-kampus sekitar Lembah Klang.

Dalam satu kenyataan lain, Arif Mohamad, calon umum yang menang dalam PRK UPSI yang lalu, memberi sokongan sepenuhnya kepada calon-calon di kampus sekitar Lembah Klang yang sealiran dengan Pro Kebajikan di UPSI.

Beliau turut menyatakan kesediaan Pro Kebajikan untuk berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak yang berminat sebagai persediaan sebelum berlangsungnya PRK di kampus masing-masing.

Dalam pada itu, Arif turut menyarankan agar calon-calon di kampus-kampus yang akan menjalankan undian secara e-voting agar meneliti sistem tersebut sebaik-baiknya sebelum bersetuju menggunakannya.

Bagi Akmal Madzir, ahli MPP Pro Kebajikan yang kini memegang Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah mengharapkan agar mahasiswa diberikan kebebasan sepenuhnya dalam memilih kepimpinan kampus dalam merealisasikan harapan baru mahasiswa.

Ujarnya lagi, Pro Kebajikan berlapang dada dalam berkongsi idea, pengalaman dan pendapat sebagai kampus yang telah berhadapan dengan segala rencam PRK baru-baru ini.

Beliau turut mensasarkan peratusan pengundi yang akan keluar mengundi meningkat sehingga 90% di kampus-kampus yang akan mengadakan PRK dalam masa terdekat berdasarkan perkembangan semasa dan berharap perkara ini benar-benar berlaku untuk menolak pandangan masyarakat yang melihat mahasiswa sebagai golongan yang mandom.

PRK bagi kampus-kampus sekitar Lembah Kelang dijangka berlangsung pada 15 Januari ini dan bakal menyaksikan pertembungan 2 penjuru antara Pro Mahasiswa dan Aspirasi.

January 4, 2009

Mahasiswa rakam ucapan terima kasih kepada Fauzi Khalid

Tanjong Malim, 4 Jan. – Seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI merakamkan ucapan terima kasih kepada Penolong Pendaftar Kanan Unit Pentadbiran dan Kewangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Mohammad Fauzi bin Khalid atas kecekapannya menguruskan kemasukan wang pinjaman PTPTN kepada semua peminjamnya di UPSI.

Ucapan itu disampaikan sekumpulan mahasiswa apabila seluruh warga kampus UPSI mendapati wang PTPTN dikreditkan ke akaun mereka lebih awal daripada biasa.

Menurut seorang mahasiswa tahun 3, Sofian, beliau dipetik sebagai berkata, saya sememangnya gembira dengan pengurusan kewangan yang cekap seperti ini kerana dapat mengurangkan beban kami terutamanya di awal semester.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pegawai terbabit kerana dapat memenuhi kehendak dan keperluan kami terutamanya berkenaan kemasukan wang PTPTN yang awal seperti ini,”ujarnya.

Ucapan ini juga turut disampaikan oleh Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPP 08/09, Mohd Zulhilmi Bin Mohd Noor yang turut memuji kecekapan pengurusan kewangan seperti ini.

“Saya turut menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Encik Fauzi yang memahami keadaan mahasiswa di bawah yang sering dihantui dengan masalah kewangan terutamanya di awal semester”,ulasnya.

“Kami sebagai MPP hanya mampu menyampaikan hasrat kami kepada pihak atasan dan segala tindakan lanjut adalah di bawah kuasa mereka”, tambahnya lagi.

Wang PTPTN dikreditkan ke akaun peminjam di UPSI lebih awal daripada biasa iaitu pada 1 Januari lalu.

January 3, 2009

Ucapan Hairie jejas kredabiliti barisan MPP 08/09

Tanjong Malim, 3 Jan. – Slot bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) petang tadi mengundang pelbagai reaksi daripada hadirin atas ucapan Mohd Hairie Abdullah, Yang Dipertua MPP 08/09 yang dikatakan murahan dan tidak memperlihatkan kredabiliti sebagai orang nombor satu MPP.

Beliau yang berucap di hadapan kira-kira 500 pelajar baru ambilan Disember bertempat di Auditorium hanya menyentuh isu-isu remeh dan tidak relevan dengan mahasiswa.

Dalam pada itu, beliau juga dikatakan mengugut pelajar dengan isu AUKU selain sering memperkatakan tentang MPP sesi lepas.

Beberapa mahasiswa yang ditemui mendakwa ucapan Hairie sebagai kurang berkualiti dan membosankan sehingga menyebabkan ramai hadirin tidak memberi tumpuan terhadap ucapan tersebut.

“Kami kurang faham apa yang ingin disampaikan sebenarnya kerana sebagai pelajar baru kami ingin tahu apakah peranan MPP yang dikatakan sebagai wakil mahasiswa tetapi apa yang dia ucapkan tadi jauh dari apa yang kami harapkan”,ulas mereka.

Menurut salah seorang urusetia yang bertugas semasa slot tersebut berlangsung, ucapan Hairie gagal menarik perhatian pendengar kerana isu yang disentuh tidak kena pada waktunya.

“Ucapan Hairie gagal menarik perhatian pendengar kerana beliau kurang bijak dalam memilih perkara yang perlu disentuh apabila berhadapan dengan pelajar baru,”katanya. Tambahnya lagi,”ucapan seperti ini sedikit sebanyak menjatuhkan imej barisan MPP di kalangan pelajar baru.”

Esok merupakan hari ketiga Minggu Suai Kenal Pelajar Baru Ambilan Disember yang bermula semalam.

January 2, 2009

Palestin:Pro Kebajikan ambil inisiatif edar risalah

Tanjong Malim, 2 Jan.- Pro Kebajikan hari ini mengambil inisiatif mengedar 400 risalah di masjid-masjid sekitar Tanjong Malim yang memuatkan maklumat dan keadaan penduduk Palestin di Gaza atas tindakan kejam Israel.

Risalah tersebut dibuat bagi menyebarkan maklumat dan menyedarkan masyarakat awam tentang kesengsaraan yang ditanggung penduduk bumi palestin di Gaza.

Risalah yang bertajuk ‘Bersamamu Palestin’ itu mengandungi 2 muka penuh yang menceritakan peristiwa kekejaman Israel ke atas penduduk di Gaza dan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh umat Islam sebagai tanda prihatin.

Akmal ketika ditanya tentang langkah mengedar risalah ini dipetik sebagai berkata, tindakan ini adalah sebagai tanda prihatin masyarakat kampus UPSI terhadap apa yang berlaku kepada masyarakat di Gaza.

“Ini adalah tanda prihatin kita kepada umat di sana yang terpaksa berhadapan dengan kekejaman Israel dan sebaran maklumat ini mudah-mudahan menyedarkan masyarakat bahawa saudara seIslam kita berada dalam kesusahan dan wajar dibantu dengan apa cara sekalipun.”ulasnya.

Beliau yang merupakan Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP 08/09 dilihat bergerak ke masjid-masjid mengedar risalah tersebut bersama Mohd Zulfazly, Exco Sukan dan Rekreasi Persatuan Mahasiswa Sains sejak jam 11 pagi tadi.

Edaran risalah itu juga mendapat perhatian jemaah di Masjid Jamek Tg. Malim yang hadir bagi mendengar khutbah Jumaat yang turut menyentuh isu kekejaman Israel terhadap Palestin.