May 17, 2011

Mohd Nor Idris tidak faham demokrasi

Tanjong Malim, 17 Mei - Ketika para guru sedang menyambut sambutan hari guru pada tanggal 16 Mei, timbul satu kenyataan yang bersifat tidak professional daripada seorang pengetua muda kolej kediaman UPSI.

Beliau mengeluarkan pandangan agar pihak kerajaan tidak menyediakan penempatan kepada bakal guru (mahasiswa) yang berada dalam kumpulan pro mahasiswa. Beliau turut menggambarkan kumpulan tersebut sebagai ‘pembangkang’ yang tidak pernah menyokong aspirasi kerajaan.

Upsikini menerima banyak respon daripada pelbagai pihak terhadap kenyataan tersebut dan menyifatkan pengetua tersebut sebagai tidak faham erti sebenar sebuah demokrasi. Oleh itu ramai antara mereka yang mengesyorkan beliau supaya berundur dan melatak jawatan sebagai pengetua.

“Jawatan tersebut tidak layak baginya kerana perkara asas begitupun dia tidak faham, macam mana mahu memimpin. Saya rasa dia patut letak jawatan daripada terus mencemarkan nama UPSI, menurut salah satu email yang diterima.”

Dalam sebuah negara yang mengamalkan semangat demokrasi, rakyat diberikan hak sepenuhnya untuk memilih kerajaan yang diyakini kepimpinannya. Pilihan tersebut harus dihormati oleh mana-mana kerajaan pemerintah dan bukannya bertindak mengkhianati dan menzalimi pilihan rakyat.

Dalam pada itu, beliau sebelum ini dikecam hebat oleh mahasiswa kerana perwatakannya yang ala punk. Gaya tersebut tidak sepatutnya dibawa ke dalam UPSI kerana ia akan dipandang serong oleh masyarakat.

Dalam email yang diterima juga turut meminta Mohd Nor menumpukan perhatian terhadap pembangunan kolej kerana setakat beliau memegang jawatan pengetua tidak banyak kemajuan yang dibawa untuk meningkatkan kualiti warga kolejnya.

Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) nyatakan pendirian

Tanjong Malim, 17 Mei - LMP akronim kepada 'front' Legasi Mahasiswa Progresif semalam telah menyatakan pendirian teguh mereka di belakang Mahasiswa Pendidik berhubung isu kelewatan biasiswa KPM.

Mereka turut menyokong segala tindakan yang dilakukan Koordinator MP itu dan menyatakan pendirian teguh berdiri di belakang saudara Zahar yang diserang dan difitnah dengan begitu teruk oleh pihak lawan.

“Beliau digambarkan dengan perwatakan yang begitu buruk sekali. Difitnah, malah tanpa soal selidik, dituduh sebagai seorang yang tidak menjalankan amanah beliau dan gila kuasa/nama. Apabila Zahar hari ini dikecam, diserang dengan teruk sekali oleh page-page puak Aspirasi ini, kami di LMP hari ini menegaskan bahawa kami mengambil pendirian untuk berdiri teguh di belakang Zahar, menurut kenyataan yang dipetik dalam page facebook mereka.”

Sementara itu, mereka juga mengecam tindakan tidak bermaruah pihak tertentu yang menyebar maklumat palsu dan tidak berasas hanya semata-mata ingin menjual nama.

Dalam perkembangan lain, LMP dilaporkan sedang giat membuka keahliannya kepada mahaiswa dan setiap ahli akan diberikan kad keahlian sebagai pengenalan diri. Tindakan tersebut dilihat sebagai usaha mengumpul kekuatan bagi pihaknya sebagai persiapan awal berhadapan pilihanraya kampus akan datang.

Tolong jangan buat bising – Amaran Zahar

Tanjong Malim, 17 Mei - Zahar memberi amaran kepada pihak tertentu agar berhenti daripada terus mencetuskan suasana tegang dalam isu kelewatan biasiswa KPM.

Beliau menjadi sasaran kumpulan tertentu yang memfitnah dan memberi persepsi buruk terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan Koordinator Mahasiswa Pendidik tersebut.

“Saya harap mereka boleh senyap dan bagi ruang kepada kami untuk cuba menyelesaikan masalah KPM ini. Saya rasa jika saya dedahkan satu perkara tentu ramai yang akan terkejut nanti, jadi nasihat saya kepada mereka, cukuplah dan duduk diam, katanya menerusi email yang dibalas kepada Upsikini.”

Beliau dilaporkan mempunyai maklumat mengenai pelajar yang lantang menyuarakan isu ini sebenarnya adalah yang bermasalah.

“ Janganlah asyik buat bising sahaja, tapi bila dapat duit yuran pun tak mahu bayar, katanya sinis apabila ditanya tentang serangan peribadi yang dibuat terhadapnya.”

Dalam perkembangan lain, beliau dilaporkan telah menghantar cadangan kepada pihak bendahari untuk dipertimbangkan sebagai jalan penyelesaian masalah tersebut.

“Saya telahpun menghantar cadangan kepada Pn. Normadkhah dan beliau memberikan respon positif tetapi saya juga masih belum dapat memberikan sebarang jaminan kerana pihak bendahari juga perlu meneliti beberapa perkara sebelum mengeluarkan sesuatu keputusan. Oleh itu, saya berharap para pelajar yang terlibat dapat memahami situasi ini dan bersabar, ujarnya lagi.”

May 16, 2011

Amirul Afzan dedahkan perkara sebenar

Tanjong Malim, 16 Mei - Exco Majlis Perwakilan Pelajar, saudara Amirul Afzan Norakim telah membuat pendedahan terbuka terhadap satu kenyataan daripada salah sebuah frant yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat.

Isi kandungan kenyataan tersebut menyebut hanya 4 orang sahaja wakil MPP yang terlibat secara langsung dalam menyelesaikan masalah kelewatan biasiswa KPM. Perkara tersebut disangkal Amirul dan menyifatkannya sebagai bohong dan hipokrit.

Beliau memberitahu pihak Upsikini, bahawa hanya beliau seorang sahaja yang pergi ke bahagian bendahari untuk berjumpa dengan Timbalan Bendahari, Pn. Normadkhah bt Ardani pada petang selasa yang lepas.

“Pertemuan tersebut sebenarnya diaturkan oleh Mohd Zahar yang dibuat melalui pejabat Dato’ Naib Canselor. Beliau menghubungi saya pada sebelah pagi dan meminta saya wakil selaku MPP untuk pergi berbincang mengenai masalah KPM ini. Tidak pernah pula saya bersama tiga rakan yang dinyatakan pihak tertentu pergi turun naik ke jabatan bendahari untuk membawa isu ini, katanya menerusi emel yang dihantar.”

Kenyataan terbuka ini sekaligus menafikan dakwaan pihak tertentu yang cuba menyalurkan maklumat palsu. Pembohongan sebegini sepatutnya tidak patut berlaku kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti Majlis Perwakilan Pelajar.

Beliau juga menyifatkan tindakan beberapa pihak yang menggunakan kemudahan facebook untuk menabur fitnah dan menyerang peribadi seseorang sebagai tindakan yang tidak bertamadun.

“Saya amat kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan saluran media baru ini sebagai medan menabur fitnah dan tindakan tersebut langsung tidak mencerminkan tahap ketamadunan yang dibanggakan, ujarnya lagi.”

May 15, 2011

Ramai pihak bidas kenyataan Mahasiswa Pendidik

Tanjong Malim, 15 Mei - Koordinator Mahasiswa Pendidik, saudara Mohd Zahar semalam mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa mekanisma sedang diteliti dalam menyelesaikan kemelut kelewatan biasiswa KPM. Kenyataan tersebut memberi pelbagai reaksi dalam kalangan mahasiswa yang.

Beberapa front didapati mengeluarkan komen sinis terhadap kenyataan tersebut. Mereka mendakwa Exco Majlis Perwakilan Pelajar tersebut cakap tidak seperti bikin kerana pada beberapa minggu yang lepas beliau memberitahu pelajar tajaan PTPTN, KPM dan beberapa tajaan negeri akan diberi advance serentak oleh pihak universiti.Tinjauan yang dibuat oleh pihak Upsikini mendapati pelajar-pelajar begitu marah dengan kelewatan yang berlaku dan mereka mahu pihak universiti bertanggungjawab diatas segala kusiltan yang berlaku. Hal ini kerana Senat Universiti telah meluluskan perubahan latihan mengajar yang dibuat di luar semester pengajian.

Dalam pada itu, isu tersebut telah memalukan nama baik UPSI kerana kebanyakan pelajar yang menyewa rumah tidak dapat membayar deposit dan sewaan bulanan. Upsikini juga menerima beberapa email daripada pelajar yang mengadu masalah ini kerana mereka tidak tahan dimaki hamun owner rumah sewa disebabkan kegagalan membayar jumlah deposit dan sewa yang dituntut.

Walaubagaimanapun pihak Upsikini masih gagal mendapatkan respon daripada Mohd Zahar mengenai mekanisma yang akan diambil oleh pihaknya yang telah diberitahu sebelum ini.

May 14, 2011

Mekanisma terbaik sedang diteliti selesaikan isu biasiswa KPM – Zahar

Tanjong Malim, 14 Mei – Masalah kelewatan pembayaran biasiswa KPM kepada pelajar tajaannya masih belum reda disebabkan pihak KPM tetap berkeras tidak mahu memberikan lagi wang tajaan tersebut.

Keputusan tersebut diambil pihak KPM kerana pelbagai masalah yang timbul dalam kalangan penerima biasiswa. Ramai antara mereka yang tidak membayar yuran pengajian sehingga menyebabkan banyak hutang tertangguh dengan pihak universiti.

Selain itu, semasa dalam kemelut kelewatan ini berlaku, pihak KPM mendakwa terdapat beberapa orang pelajar UPSI yang menelefon pihaknya dengan nada yang kasar dan tidak beradab. Tindakan tersebut menyebabkan pihak kementerian berang sehingga menyebebkan sebarang rundingan daripada pihak universiti atau MPP menjadi sukar.

Koordinator Mahasiswa Pendidik, Mohd Zahar Mohamed Nor ketika ditanya berkaitan isu tersebut turut kesal dengan masalah yang sedang berlaku ini, masalah yang ditimbulkan oleh sebilangan kecil penerima biasiswa tetapi kesannya terkena kepada semua.

“ Saya dimaklumkan oleh pihak bendahari bahawa ramai pelajar tajaan KPM tidak membayar yuran pengajian sehingga ada yang mempunyai hutang tertunggak melebihi RM2000. Hal sebegini sepatutnya tidak berlaku kerana setahu saya jumlah biasiswa KPM adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan pelajar PTPTN, katanya.”

Walaubagaimanapun beliau memberitahu bahawa masalah tersebut akan cuba diselesaikan kerana ianya melibatkan mereka yang tidak bermasalah juga.

“ Kita telah punyai beberapa mekanisma untuk menyelesaikan masalah ini, semalam pihak bendahari ada telefon saya untuk selesaikan masalah ini tetapi masih terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diteliti agar keputusan yang diambil tidak menimbulkan masalah pada masa hadapan.”

“ Saya tahu ramai pelajar yang betul-betul memerlukan duit sekarang, tetapi saya berharap para pelajar yang terlibat dapat bersabar diatas kesulitan yang berlaku, kami akan cuba selesaikan masalah ini secepat mungkin,tambahnya lagi.”