October 25, 2011

UPSIkini ucap Selamat Bercuti

Kumpulan Media UPSIkini ingin mengucapkan Selamat Bercuti kepada semua pembaca UPSIkini khususnya warga UPSI sempena sambutan
Hari Deepavali.

Berhati-hatilah di jalan raya.

Teruskan Bersama UPSIkini

Raja Muda Perlis rasmi bengkel anjuran HEP&A, makan malam di rumah Tok Pa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (duduk, dua dari kiri), Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (duduk, dua dari kanan) dan Azizan Hamid (duduk, kiri) bersama 13 pelajar Perlis di Novotel, Bandung, - BERNAMA
(Gambar hiasan)

Tanjong Malim, 25 Okt. - Program Bengkel Profesionalisme Pengetua dan Felo Kolej Kediaman UPSI, yang berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober 2011 yang lalu mendapat kunjungan Raja Muda Perlis, D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk merasmikan program tersebut.

Kehadiran Tuanku Raja Muda Perlis ke program terbabit menimbulkan rasa terharu kebanyakan peserta kerana tidak menjangka perasmi program adalah di kalangan kerabat diraja.

Rentetan itu, timbul pelbagai spekulasi mengaitkan hubungan rapat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) UPSI, Datuk Paduka Junaidi Abu Bakar dengan Tuanku Raja Muda Perlis yang dikatakan mula terjalin semasa Junaidi memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia.

Dalam pada itu, program tersebut turut membawa peserta ke kediaman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Dato’ Seri Mustapa Mohamed dalam satu majlis makan malam. Majlis tersebut dikatakan sebagai majlis santai bersama pemimpin tempatan dalam memenuhi acara program.

Menurut beberapa sumber, program yang menjurus kepada peningkatan profesionalisme Pengetua dan Felo Kolej Kediaman pada kali ini walau bagaimanapun dilihat sebagai permulaan kepada perkenalan Junaidi sebagai TNC HEP&A UPSI dengan tokoh politik UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke 13.

October 24, 2011

Universiti Pendidikan Idris, kontraktor tak letak “Sultan”

Tanjong Malim, 24 Okt.- Kesilapan dalam memaparkan nama universiti dalam satu papan tanda projek pembinaan jalan ditegur beberapa mahasiswa di sini. Kesilapan kontraktor bertanggungjawab – Dinar Madani Enterprise mengundang teguran daripada Mohd Zahar Mohamed Nor, Exco Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dalam akaun laman sosial facebook miliknya.

Zahar dalam tegurannya meminta agar pihak pentadbiran UPSI membuat pantauan lebih teliti sebelum membenarkan papan kenyataan yang menggunakan nama universiti dipaparkan kepada umum. Beliau dalam komennya turut menggesa kesalahan tersebut dapat diperbetulkan segera.

Papan tanda tersebut yang memaparkan maklumat projek cadangan membina jalan crusher-run di sepanjang bahagian pagar sempadan Kampus Azlan Shah untuk Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim Perak Darul Ridzuan diselia oleh Pegawai Penguasa daripada UPSI, Ir. Damanhuri bin Othman, Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) UPSI.

Projek yang bermula pada 9 September 2011 itu dijangka siap pada 27 November 2011.