March 9, 2009

Kebimbangan PM terhadap PPSMI berasas – Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 9 Mac – Kebimbangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berkenaan isu PPSMI yang dilihat semakin memuncak mempunyai asas dan wajar menurut Pro Kebajikan yang mengulas tentang perkara tersebut.

Perdana Menteri yang mahu isu itu diputuskan segera dilihat sebagai respon positif kepada banyak pihak yang mahu PPSMI dimansuhkan.

Pro Kebajikan, dalam satu kenyataan mengulangi pendirian mereka bahawa PPSMI wajar dimansuhkan dan dasar yang mengikut perlembagaan harus dibuat di samping mengambil kira pandangan serta saranan ahli akademik.

Pro Kebajikan juga berpendapat pertimbangan tidak harus tertumpu kepada keputusan peperiksaan semata-mata kerana hakikat sebenar yang perlu diberi perhatian adalah proses pengajaran dan pembelajaran itu. Ini adalah kerana graf atau standard lulus dalam satu-satu peperiksaan boleh berubah.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan menyarankan agar pihak yang benar-benar ingin mencari kepastian turun sendiri ke sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar dan melihat proses P&P menggunakan PPSMI secara lebih dekat.

Mengulas tentang himpunan tempoh hari yang menunjukkan penyertaan di luar jangkaan oleh mahasiswa dan dikatakan didalangi ahli politik tertentu, Pro Kebajikan mengatakan pendapat itu kurang tepat kerana himpunan tersebut dianjurkan oleh NGO dan ada sebahagiannya merupakan NGO yang selama ini menyokong kuat kepimpinan kerajaan sekarang seperti GAPENA.

Media hari ini melaporkan PPSMI bakal dibincang dalam Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat sebelum keputusan mengenainya diumumkan.

March 8, 2009

Himpunan 100 000 mansuh PPSMI : Warga UPSI turut kelihatan

Tanjong Malim, 8 Mac – Himpunan 100 000 rakyat membantah dasar PPSMI yang dianjurkan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) semalam turut disertai oleh warga UPSI termasuk pensyarah dan mahasiswa.

Dalam perhimpunan semalam, antara yang paling jelas kelihatan adalah Prof. Dr. Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM) bersama isteri dan barisan penggerak GMP yang lain.

Beliau ketika ditemubual media melahirkan rasa bangga dengan kehadiran dan sokongan rakyat tetapi sedih dengan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan keadaan aman menjadi huru hara.

Abdullah juga dikatakan mengalami kesesakan nafas apabila gas pemedih mata dilepaskan FRU semasa dalam perarakan bergerak ke Istana Negara bagi meyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pro Kebajikan yang menyokong penuh tindakan Abdullah mengesahkan bahawa mereka turut menghantar sekumpulan mahasiswa menyertai himpunan tersebut sebagai tanda sokongan kepada GMP dan NGO lain yang bertungkus lumus mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.

Media hari ini melaporkan himpunan tersebut berjaya dan memberi mesej yang jelas kepada pihak kerajaan bahawa dasar tersebut tidak diterima ramai pihak.

March 7, 2009

Defisit perkara biasa

Isu kerugian yang dialami akibat defisit program Hari Terbuka KUO masih lagi menjadi buah mulut ramai pihak. Izi Nasiruddin yang juga merupakan Pengarah Program tersebut dilaporkan melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) KUO berikutan kes tersebut. Upsikini sempat mewawancara seorang mahasiswa UPSI, Ihsan, yang sebelum ini menyampaikan banyak pandangan beliau terhadap suasana kepimpinan di UPSI untuk mengulas isu tersebut.
Upsikini : Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam.
Upsikini : Agak lama juga ya kita tak bertemu.
Ihsan : Lebih kurang begitulah. Mungkin sibuk dengan hal masing-masing.
Upsikini : Baik saudara. Sebagai permulaan perbincangan. Apa agaknya pandangan saudara tentang kepimpinan mahasiswa UPSI yang ada sekarang.
Ihsan : Terima kasih. Saya lihat dalam keadaan sekarang ini, kepimpinan UPSI khususnya MPP meskipun disertai dengan 2 kumpulan utama dalam barisannya, perubahan yang diharapkan masih belum banyak berlaku. Cumanya, kita boleh katakan mereka ada usaha, mungkin hasilnya belum cukup untuk membuatkan pengundi-pengundi mereka berkata”Ya, inlah yang kita mahu”.Masih belum.
Upsikini : Saya nak alih kepada isu sebenar yang ingin kita bincangkan. Baru-baru ini timbul kenyataan bahawa perbelanjaan wang program hari terbuka KUO defisit dan mencatatkan kerugian sehinggakan YDPnya letak jawatan. Apa pandangan saudara?
Ihsan : Kalau orang tanya saya tentang deficit dalam perbelanjaan, saya katakan itu perkara biasa. Kerajaan negara kita yang ada penasihat ekonomi, pakar-pakar juga pernah defisit dalam perbelanjaan negara. Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang dibarisi dengan pakar ekonomi dan sebagainya turut pernah mengalami defisit. Ini biasa dan dalam konteks penganjuran program yang lebih kecil skopnya, ini adalah risiko yang perlu diambil. Cuma yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana boleh berlakunya defisit. Adakah kerana tidak berhemah dalam perbelanjaan, perancangan yang kurang kemas atau tidak mengikut apa yang dirancang atau mungkin terpaksa berbelanja lebih disebabkan perkara-perkara yang tak dapat dielak.
Upsikini : Saudara mengatakan ini perkara biasa. Apa yang dimaksudkan dengan biasa kerana kita tahu jarang sekali sesuatu program yang dijalankan mengalami defisit.
Ihsan : Saya katakan ia biasa atas beberapa pertimbangan. Pertama skala program yang dianjurkan agak besar. Kedua, setiap perancangan perbelanjaan di atas kertas akan mengalami perubahan semasa perlaksanaan. Pasti berlaku. Ketiga adalah atas konsep belajar. Sebagai mahasiswa yang baru berjinak-jinak dalam menganjurkan program besar, semestinya berdepan dengan risiko ini dan sekiranya risiko ini benar-benar berlaku, inilah proses belajar. Kita jangan mengharapkan hasil yang sentiasa positif, kerana dalam proses belajar sudah semestinya kita perlu mengalami pelbagai masalah. Saudara perlu faham, pentadbir universiti juga perlu faham, dalam menganjurkan program, mahasiswa tidak ada kursus khas untuknya, hanya melalui kerjasama dan bantuan dari penasihat dan rakan-rakan.
Itu yang saya katakan ini perkara biasa.
Upsikini : Adakah saudara maksudkan bahawa mahasiswa jangan takut untuk berdepan dengan risiko jika mahu belajar?
Ihsan : Ya. Ini sepatutnya menjadi pegangan mahasiswa.
Upsikini : Bagaimana pula sekiranya defisit itu berlaku disebabkan salah guna wang yang diperuntukkan?
Ihsan : Baik, itu yang saya katakan tadi punca defisit itu juga perlu diambil kira. Kalau melibatkan kes salah guna, apa yang menyebabkan salah guna itu berlaku. Adakah menyalahguna atau tersalah guna?Kalau memang salah guna untuk kepentingan peribadi atau pengurusan perbelanjaan yang tidak cekap, ini sememangnya salah dan tidak termasuk dalam ruang lingkup perkara biasa yang saya katakan. Mungkin salah guna itu berlaku kerana perbelanjaan dibuat di luar daripada apa yang dirancang. Contohnya katakan dalam perancangan kita buat perlu beli 5 biji buah tembikai, tapi bila tiba harinya dirasakan tidak cukup, perlu tambah lagi 3 biji sedangkan ia tidak tercatat dalam perancangan, ini juga salah guna sebab perbelanjaan di luar bajet asal, tapi atas pertimbangan yang dibolehkan pada saya. Jadi penjelasan tentang salah guna itu juga perlu spesifik.
Upsikini : Bagaimana saudara melihat perletakan jawatan sebagai tindakan bertanggungjawab terhadap masalah yang berlaku.
Ihsan : Ada situasi yang kita boleh terima tindakan ini dan ada juga tidak. Dalam isu ini, saya rasakan mana-mana pemimpin yang meletak jawatan dalam keadaan masalah itu tidak ada penyelesainya, saya kira pemimpin itu pemimpin yang lemah. Ini berbeza dengan keadaan sebenar dalam politik praktis, kerana sekiranya seseorang pemimpin yang berhadapan dengan masalah dan tidak mampu menyelesaikannya, pasti ada pengganti yang sedia menggantikannya. Tapi dalam konteks kita, siapa pengganti untuk menyelesaikan masalah tersebut melainkan dipulangkan kepada pihak pengurusan. Ini pada saya langkah kurang bijak dan tidak menepati ciri-ciri kepimpinan yang sepatutnya.
Upsikini : Untuk soalan terakhir, apakah nasihat saudara kepada kepimpinan mahasiswa khususnya di UPSI dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin dan penganjur program?
Ihsan : Saya ingin ingatkan kepada mereka, dalam penganjuran program perancangan teliti perlu dibuat. Saya pernah melihat rakan saya buat kertas kerja, dalam bahagian bajet itu, di hanya “copy paste dan buat penambahan mengikut cita rasanya dan tidak dibentang dalam mesyuarat jawatan kuasa. Ini saya kira sikap tidak professional dalam melaksanakan tugas. Sebaiknya setiap perancangan yang berisiko mesti dibincang dan keputusan dibuat secara kolektif supaya apabila berhadapan dengan masalah, semua pihak akan bertanggungjawab.
Upsikini : Satu lagi, dari mana saudara dapat pengalaman dalam hal-hal ini kerana saudara seperti orang yang dah pernah mengalami semua ini.
Ihsan : Tempat saya belajar sebelum ini.
Upsikini :
Begitu. Baiklah saudara Ihsan,terima kasih atas perkongsian bersama UPSIkini. Mungkin kita boleh bincang banyak lagi perkara. Mungkin isu Perak…
Ihsan : (Ketawa).Tiada masalah. Saya sedia berrkongsi.
Upsikini : Terima kasih, Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam.

March 4, 2009

Mahasiswa gesa MPP UPSI nyatakan pendirian tentang isu PPSMI

Tanjong Malim, 4 Mac – Isu pengajaran & pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang sedang hangat diperkatakan kini mula menular di kalangan bakal pendidik di UPSI.

Sehubungan dengan itu, Upsikini diajukan beberapa persoalan daripada mahasiswa di sini yang meminta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyatakan pendirian mereka tentang isu ini.

Meskipun isu ini dilihat begitu relatif dengan penuntut di UPSI namun kenyataan rasmi daripada MPP sebagai badan penting kepimpinan mahasiswa masih belum didengari.

Seorang mahasiswa yang ditemui, Azam, menyampaikan rasa ingin tahu beliau apakah pendirian MPP tentang isu ini memandangkan masyarakat sudah mula merasai kesan dasar ini kepada sistem pendidikan negara.

“Sebagai penuntut yang bakal menerajui profesion perguruan ini, MPP sebagai badan kepimpinan mahasiswa seharusnya menyatakan pandangan tentang isu ini,”katanya.

“Masyarakat sudah mula merasai kesan dasar ini kepada sistem pendidikan negara dan sebagai mahasiswa yang berada dalam bidang ini, kita juga mempunyai peranan dalam menyatakan pandangan dan saranan,”tambahnya lagi.

Seorang lagi mahasiswa yang ditemui, Norshuhada turut menggesa MPP segera menyatakan pendirian tentang isu PPSMI ini.

“Sebagai wakil mahasiswa, mereka (MPP) seharusnya peka dengan isu ini dan menyatakan pandangan berkenaan isu ini kerana saya yakin ramai di luar sana ingin tahu pendirian kita,”ujarnya.

Tambahnya lagi,“kita juga tahu, UPSI adalah satu-satunya IPTA yang menawarkan kursus pendidikan sepenuhnya dan sudah semestinya pandangan kita menjadi dinanti-nantikan ramai pihak”.

Isu PPSMI mula menjadi perhatian setelah beberapa tokoh bahasa menyatakan bantahan mereka secara terbuka terhadap isu ini dan bakal mengadakan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini.

Izi tak perlu bimbang jika dakwaan palsu – Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 3 Mac – Dakwaan salah guna wang program Hari Terbuka Kolej Ungku Omar (KUO) yang disabitkan ke atas Izi Nasiruddin, mantan Yang Dipertua Kolej Ungku Omar merangkap Pengarah program Hari Terbuka tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada mahasiswa di sini.

Meskipun perletakan jawatannya dikatakan sah dan sudah berkuatkuasa namun punca perletakan jawatan beliau masih menjadi tanda tanya.

Upsikini sebelum ini melaporkan bahawa perletakan jawatannya berkait rapat dengan kerugian yang dialami akibat defisit dalam perbelanjaan program tersebut.

Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya ketika diminta mengulas tentang perkara tersebut menasihatkan Izi supaya tidak menghiraukan dakwaan yang dibuat sekiranya ia palsu.

“Izi tak perlu bimbang sekiranya dakwaan yang dibuat ke atasnya palsu”,ulas beliau.

“Beliau juga mempunyai hak untuk membela dirinya dan bagi menyangkal dakwaan tersebut beliau harus ke depan membuat penjelasan”,tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut menolak ura-ura yang mengatakan semua dakwaan yang dibuat ke atas Izi dikeluarkan daripada pihak Pro Kebajikan.

“Kita mempunyai banyak agenda dan tanggungjawab lain yang perlu diselesaikan dan tiada masa untuk terlibat dalam menjatuhkan mana-mana individu namun sekiranya saranan dan pandangan kita diperlukan, kita akan beri respon sebagai satu tanggungjawab kita sebagai pemimpin mahasiswa,”katanya.


Pro Kebajikan sebelum ini dikatakan antara pihak yang terlibat dalam mendedahkan dakwaan salah guna wang oleh Izi Nasiruddin.

March 1, 2009

Izi sah letak jawatan

Tanjong Malim, 1 Mac – Ura-ura perletakan jawatan Izi Nasiruddin sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Ungku Omar dilaporkan sudah berkuatkuasa.

Perletakan jawatan beliau dikatakan berkait rapat dengan kes salah guna wang program Hari Terbuka KUO sehingga menyebabkan defisit.

Upsikini yang dimaklumkan tentang perkara ini oleh sumber dalaman dipetik sebagai berkata bahawa perletakan jawatan beliau dirahsiakan atas sebab tertentu.

Salah seorang penghuni KUO yang ditemui, Amir, menggesa agar kes salah guna ini tidak dilenyapkan begitu sahaja walaupun beliau sudah meletakkan jawatan.

“Jangan kerana beliau sudah letak jawatan, kes salah guna ini dilenyapkan. Ini melibatkan wang mahasiswa dan universiti, siasatan mesti dibuat,”katanya.

“Kami juga tidak mahu kes ini berlalu begitu sahaja seperti penyelewengan RM 36 000 wang MPP sebelum ini dan tindakan tegas harus diambil,”tambahnya lagi.

Perbelanjaan Hari Terbuka KUO defisit

Tanjong Malim, 1 Mac – Perbelanjaan program Hari Terbuka Kolej Ungku Omar (KUO) dilaporkan mengalami defisit sehingga menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung pihak pentadbiran kolej.

Pengarah program, Izi Nasiruddin sehingga kini dikatakan masih belum menyelesaikan masalah yang berlaku dan menawar diri untuk meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) KUO.

Menurut sumber dalaman, Izi begitu lemah dalam mengurus kewangan program dan pelarasan kewangan tidak dibuat dengan baik sepanjang tempoh perancangan dan pelaksanaan program.

Tambahan pula, Izi mengamalkan sikap double standard terhadap barisan JMK yang diketuainya sendiri apabila melantik Majlis Tertinggi dalam Jawatankuasa Program di kalangan rakannya dalam Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) dan hanya 2 orang di kalangan JMK.

Meskipun beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai YDP JMK KUO yang dipegangnya sejak Mei 2008 , namun Pengetua KUO Encik Mohd Muzafar Shah dikatakan enggan menerima perletakan jawatan tersebut selagi masalah kewangan program ini tidak selesai.

Konvokesyen pada Ogos, tunggu perkenan Tuanku Bainun

Tanjong Malim, 1 Mac – Perkembangan mengenai tarikh Istiadat Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 semakin menjadi perhatian mahasiswa di sini terutamanya di kalangan semester akhir.

Terkini Upsikini dilaporkan bahawa tarikh Istiadat Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 kekal pada Ogos tetapi masih menungu perkenan daripada Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Bainun.

Pengesahan mengenai maklumat ini dibuat oleh saudari Nur Aqilah Hanis, Exco Akademik dan Kerjaya MPP.

Menurut beliau, bahagian pengijazahan memaklumkan bahawa tarikh istiadat konvokesyen yang dipohan perkenan dan dihantar ke pihak Canselor adalah pada Ogos. Sehingga kini, bahagian pengijazahan masih menunggu perkenan dari Tuanku sebelum diumumkan secara rasmi.

Beliau yang menjelaskan perkara ini turut meminta agar mahasiswa tidak lagi membuat sebarang andaian dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa demi kepentingan semua.

Isu tarikh Konvokesyen mula menjadi perhatian apabila dikatakan bakal dijalankan pada Disember lewat 3 bulan daripada tarikh asal iaitu pada Ogos.

Isu tarikh Konvokesyen tiada kaitan dengan kemelut Kerajaan Negeri Perak

Tanjong Malim, 1 Mac – Spekulasi tarikh Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 yang mungkin diadakan pada Disember semakin menjadi perhatian di sini.

Antara yang hangat diperkatakan adalah isu pergolakan dalam Kerajaan Negeri Perak menjadi punca tarikh tersebut terpaksa dianjak dari Ogos kepada Disember.

Dakwaan ini dibuat beberapa mahasiswa yang ditemui dan menganggap perkembangan terkini isu Kerajaaan Negeri Perak berkemungkinan menjadi faktor kepada perubahan tarikh Istiadat Konvokesyen.

Menurut mahasiswa terbabit yang tidak mahu identitinya didedahkan, pergolakan dalam Kerajaan Negeri Perak menjadi sebab tarikh Konvokesyen dianjak kerana dalam Istiadat Konvokesyen, Menteri Besar adalah antara orang kenamaan yang akan dijemput dalam majlis tersebut dan sehingga kini masih belum diketahui siapa sebenarnya Menteri Besar yang sah.

“Kebiasaannya Menteri Besar adalah VIP yang akan dijemput dalam Majlis Istiadat Konvokesyen tapi sekarang kita tak tahu siapa Menteri Besar yang sah dan mungkin keputusan mahkamah juga berlanjutan sehingga Ogos dan memaksa tarikh Konvo dianjak pada Disember”,katanya.

Pendapat ini disanggah Ketua Penerangan Pro Kebajikan yang mengatakan pendapat tersebut tidak benar sama sekali kerana tarikh Konvokesyen ke-11 sidang pertama tetap dijalankan pada 16 hingga 18 Mac ini meskipun isu Kerajaan Negeri Perak masih belum selesai di mahkamah.

“Pendapat ini tidak tepat pada saya kerana tarikh Konvo ke-11 sidang pertama tetap dijalankan pada 16 hingga 18 Mac ini walaupun kemelut Kerajaan Negeri Perak masih belum selesai di mahkamah dan isu siapa Menteri Besar untuk dijemput dalam majlis istiadat bukanlah begitu besar sehingga memaksa majlis istiadat dianjak ke tarikh lain.”jelasnya.

Tambahnya lagi,"sekiranya diimbau pada majlis-majlis sebelum ini, jarang sekali Menteri Besar turun ke UPSI walaupun jemputan dibuat".

Pro Kebajikan dalam ulasannya turut menyokong agar tarikh konvokesyen ke-11 sidang ke-2 diadakan pada Ogos.