August 31, 2009

Pembaca UPSIkini mahu blog selidiki hadis sebelum disiar, dakwa hadis fadhilat terawih palsu

Seorang pembaca UPSIkini menegur blog-blog yang menyiar hadis berkaitan fadhilat solat sunat terawih mengikut hari supaya meneliti kesahihan hadis tersebut sebelum disiar. Beliau yang mengirim e-mel kepada UPSIkini menyatakan bahawa hadis tesebut adalah palsu dan haram untuk disiarkan.

Menurutnya, kandungan hadis tersebut adalah satu pendustaan ke atas Nabi dan boleh merosakkan ketulenan Islam.

Berikut merupakan kandungan penuh e-mel yang dihantar kepada UPSIkini.


Pelajar UPSI maut dalam kemalangan, sempat ucap ‘Selamat Hari Jadi’ kepada bapa

Jeli, 30 Ogos – Satu kemalangan melibatkan seorang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UPSI dilaporkan maut ketika perjalanan pulang ke kampung di Kilometer 100 Jalan Kota Bharu-Machang-Grik kira-kira jam 3 pagi semalam.

Pelajar bernama Norazlina Mohd Noor, 27, yang berhasrat untuk pulang ke kampung bersama dua adiknya, Hafeez, 19, dan Noraina Shuhada, 22, serta rakannya terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok dalam kejadian kemalangan tersebut.

Allahyarhamah yang menaiki kereta MyVi merah maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta patah lengan kanan dan kiri. Walau bagaimanapun, 2 adiknya cedera ringan dan rakan yang sama-sama terlibat dengan kemalangan tersebut cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).


Bapa mangsa, Mohd Noor, 50, yang menceritakan kejadian tersebut mengatakan Allahyarhamah sempat mengucapkan ucapan 'Selamat Hari Jadi' kepadanya sebelum berita menyayat hati itu dimaklumkan kepadanya.

Bercakap kepada petugas media, beliau tidak menyangka ucapan tersebut merupakan ucapan terakhirnya sebelum allahyarhamah terlibat dalam kemalangan maut tersebut.

Adik mangsa yang memandu kenderaan terbabit mendakwa beliau hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok kerana ternampak satu objek melintasi jalan.

Beliau yang juga merupakan pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak melahirkan rasa terkilan dengan kejadian tersebut yang meragut nyawa kakaknya akibat cedera teruk.

Warga kerja UPSIkini dan seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Al-Fatihah.


August 29, 2009

Pelajar keliru etika pemakaian, minta pelaksana turut beretika

Tanjong Malim, 29 Ogos – Penguatkuasaan berpakaian mengikut etika pemakaian pelajar ke atas semua pelajar dalam beberapa semester sebelum ini mula dipersoalkan tentang kesesuaian dan cara penguatkuasaan peraturan tersebut.

Dalam beberapa kiriman yang dihantar melalui ruangan forum MyUPSI Portal, kebanyakan pelajar masih keliru dengan peraturan tersebut yang mewajibkan pelajar perempuan memakai kasut bertutup untuk ke kuliah.

Peraturan tersebut mula dipertikai apabila alasan menutup aurat digunakan sebagai justifikasi mengapa ia dikuatkuasakan selain sebagai satu etika sebagai bakal guru.

Berikutan itu, beberapa mahasiswi mempersoalkan bagaimana pula keadaan dan tindakan yang diambil bagi mereka yang tidak bertudung sekiranya alasan menutup aurat digunakan dalam penguatkuasaan memakai kasut bertutup penuh bagi pelajar perempuan.

Beberapa hari selepas itu, timbul pula saranan supaya pihak yang melaksanakan penguatkuasaan peraturan tersebut lebih beretika dalam menjalankan tugas.

Saranan yang dibuat oleh seorang pengirim itu menegur pihak pentadbiran yang membuat peraturan baru berkenaan pemakaian kasut ke kuliah di pertengahan semester dan menyebabkan kekeliruan apabila maklumat yang disampaikan bercanggah dengan beberapa pihak lain.

Dalam pada itu, pengirim turut menempelak pihak universiti yang lebih menekankan etika pemakaian kasut di kalangan mahasiswi berbanding etika berpakaian yang dilihat lebih penting jika dibandingkan kedua-duanya.

Ini jelasnya, tiada guna sekiranya kasut yang dipakai menepati etika yang digariskan tetapi pakaian jelas melanggar etika yang ditetapkan.

August 28, 2009

Empat pelajar antarabangsa China berhenti pengajian di UPSI

Tanjong Malim, 28 Ogos – Tidak sampai satu semester belajar di UPSI, empat pelajar antarabangsa daripada China yang melanjutkan pelajaran mereka ke UPSI bermula awal Julai lalu dilaporkan telah berhenti daripada meneruskan pengajian di sini.

Mereka yang membuat keputusan tersebut dikatakan berhenti kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekitar dan kesesuaian program yang diambil di sini.

Sumber yang menyampaikan maklumat tersebut kepada UPSIkini walau bagaimanapun tidak menyatakan bila mereka mula berhenti.

Antara faktor lain, kata sumber, semua mereka yang berhenti tidak mendapat maklumat yang terperinci mengenai kursus yang ditawarkan di sini dan mula merasa tidak sesuai dengan kursus yang diambil lalu membuat keputusan berhenti daripada meneruskan pengajian.

Sebelum ini, UPSIkini ada melaporkan bahawa sebahagian besar pelajar antarabangsa yang datang dari negara China itu berasa menyesal dan meluahkannya kepada beberapa pengusaha kedai berhampiran tempat tinggal mereka di Kolej Harun Aminurrashid, Taman Bahtera.

Namun mereka dikatakan tetap meneruskan pengajian kerana merasakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan berhenti daripada pengajian.

Untuk rekod, UPSI menerima seramai 30 pelajar antarabangsa awal Julai lalu dari negara China yang kesemuanya mengambil program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik di bawah Fakulti Seni dan Muzik.

Ceramah ‘Anda Bijak, Jauhi Zina’

Satu ceramah bertajuk ‘Anda Bijak, Jauhi Zina’ akan diadakan di dewan kuliah A pada Sabtu, 29 Ogos 2009, jam 10.00 pagi.

Semua warga UPSI yang mempunyai kelapangan dijemput hadir. Program dijangka tamat jam 1.35 tengah hari.

Berita kematian Ustaz Ismail Kamus memeranjatkan ramai pihak, maklumat sms salah

Tanjong Malim, 28 Ogos – Berita kematian penceramah terkenal yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Ustaz Ismail Kamus yang disebar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) memeranjatakn ramai pihak di sini semalam.

Dalam SMS tersebut, Ustaz Ismail Kamus dikatakan telah meninggal dunia dan meminta supaya disedekahkan Al-Fatihah.

Beberapa jam selepas SMS tersebut tersebar, timbul pula SMS mengatakan kesilapan maklumat berlaku dalam SMS yang mengatakan Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia dan mengatakan Prof Ismail Salleh adalah orang yang sebenarnya meninggal dunia.

Penyebaran kedua-dua SMS tersebut menimbulkan keraguan ramai pihak.

Walau bagaimanapun, pada jam 11.36 pagi tadi, Harakahdaily melaporkan Ustaz Ismail Kamus dimaklumkan oleh keluarga beliau masih sihat dan sedang mengerjakan umrah di Mekah dan SMS yang mengatakan beliau sudah meninggal dunia hanyalah khabar angina semata-mata.

Makluman itu melegakan ramai pihak yang tertanya-tanya kesahihan berita kematian Ustaz Ismail Kamus semalam.

Ramai balik kampung hari ini

Tanjong Malim, 28 Ogos – Cuti hujung minggu dan hari kebangsaan Isnin ini memberi kesempatan kepada pelajar di sini untuk pulang ke kampung.

Tinjauan UPSIkini di beberapa kaunter tiket di pekan Tanjong Malim dan Taman Bahtera mendapati ramai pelajar menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur.

Dilaporkan juga, tiket keretapi menuju ke utara tanah air turut habis untuk perjalanan malam ini.

Kedatangan Ramadhan yang masuk hari ke tujuh hari juga merupakan faktor yang mendorong ramai pelajar pulang ke kampung hari ini di samping cuti selama tiga hari sehingga Isnin ini.

August 27, 2009

Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia

Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Allahyarham meninggal dunia semasa dalam perjalanan dari China ke Singapura dan disahkan Hospital Besar Singapura pada jam 8.00 pagi tadi.

Allahyarham yang juga merupakan seorang pakar ekonomi merupakan senator pertama yang dilantik daripada kalangan orang kurang upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia.

Sebelum ini, allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Warga kerja UPSIkini dan seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.


August 26, 2009

Sambutan Kemerdekaan : Tiada acara nyanyian di UPSI

Tanjong Malim, 26 Ogos – Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke-52 di UPSI dilaporkan lebih bersifat ilmiah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dalam beberapa maklumat yang disampaikan ke meja UPSIkini, dijangkakan tiada sambutan berbentuk hiburan ataupun nyanyi-nyanyian di UPSI bagi menghormati bulan Ramadhan.

Sambutan pada tahun ini dikatakan lebih menumpu dan disambut secara berasingan di kolej-kolej kediaman.

Antara program yang bakal diadakan sempena sambutan kemerdekaan adalah forum kemerdekaan yang dijadual berlangsung pada jumaat ini, 28 Ogos di Kolej Harun Aminurashid (KHAR) dan beberapa program lain yang akan diadakan di kolej kediaman masing-masing.

Ketiadaan sambutan berbentuk hiburan dikatakan mempunyai kaitan dengan insiden bantahan penganjuran konsert sempena Pesta Konvo beberapa minggu sebelum ini selain menghormati bulan Ramadhan pada ketika ini.

Sementara itu, ketiadaan himpunan untuk sambutan seperti tahun-tahun sebelum ini juga merupakan langkah yang diambil bagi menghindari penularan wabak H1N1.

PPI anjur Diskusi Ilmiah

Persatuan Pendidikan Islam UPSI memaklumkan, pada Jumaat ini, 28 Ogos 2009, Diskusi Ilmiah : Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal bersempena program Akademi Ramadhan 1430H (AKRAM) akan diadakan bertempat di Auditorium Utama jam 9.00 pagi.

Maklumat program adalah seperti berikut :

Hari :Jumaat

Tarikh :28 Ogos 2009 / 7 Ramadhan 1430 H

Masa :9.00 pagi - 12.00 tengahari

Tempat :Auditorium Utama

Tajuk Buku: Atas Nama Kebenaran : Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal

Pembentang:Dr Khalil Mu'ammar ( Penulis Buku)

Hari Bersama Mahasiswa bertukar tempat

Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan yang menganjurkan program “Hari Bersama Mahasiswa” pada setiap hari Rabu jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang memaklumkan tempat program tersebut dijalankan telah bertukar dari Bitarasiswa ke ruang legar Perpustakaan Tuanku Bainun.

Pihak penganjur mengajak mana-mana mahasiswa yang mempunyai sebarang masalah atau pandangan untuk ke tempat program dijalankan.

August 25, 2009

73% tak setuju UPSIkini disekat


Tanjong Malim, 25 Ogos – Hasil undian yang dibuat bagi mendapatkan pendapat mengenai sekatan yang dibuat ke atas UPSikini menunjukkan 168 responden atau 73% daripada keseluruhan 230 responden tidak setuju dengan tindakan yang dibuat beberapa pihak menyekat pengguna WiFi UPSI di kampus utama dan UPSI Jaring di kolej-kolej kediaman untuk mengakses blog informasi ini manakala 62 responden atau 26% menyokong.

Berdasarkan respon yang diberikan pembaca, rata-rata berpendapat sekatan yang dibuat adalah tidak wajar dan menutup ruang kebebasan mendapatkan maklumat.

Selain itu, ada yang berpendapat sekatan ini berikutan kebimbangan pihak-pihak tertentu apabila maklumat yang dikatakan sulit berjaya didedah UPSIkini untuk pengetahuan umum khususnya warga UPSI.

Rentetan daripada sekatan yang dibuat, UPSIkini tidak lekang dengan cadangan-cadangan yang dilontarkan untuk menambah baik persembahan UPSIkini pada masa akan datang.

Terdapat juga pembaca yang memberi cara lain untuk mengakses laman web yang disekat dalam komen-komen yang dihantar.


Arif nasihat persatuan jangan jadi persatuan ‘baju korporat’

Tanjong Malim, 25 Ogos – Persatuan-persatuan yang sudah mengadakan Mesyuarat Agung dan akan mula memikul tanggungjawab masing-masing dinasihatkan supaya tidak menjadikan persatuan yang dianggotai hanya sebagai persatuan ‘baju korporat’. Saranan itu dikeluarkan Exco Akademik dan Kerjaya, saudara Arif Mohamad yang mengulas tentang budaya baju korporat yang menjadi ‘trend’ persatuan-persatuan di UPSI sekarang.

Beliau yang mengulas berkenaan perkara tersebut turut menasihatkan persatuan-persatuan supaya tidak hanya melihat kepada penjenamaan persatuan sahaja malah perlu seiring dengan penganjuran program-program yang membina intelektual mahasiswa.

“Saya melihat trend ‘baju korporat’ ini begitu menjadi perhatian banyak persatuan dan saya tidak katakan ia salah tetapi penjenamaan itu perlulah seiring dengan penganjuran program yang berkesan dalam membina keintelektualan mahasiswa”,jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur persatuan-persatuan yang menumpukan kepada baju korporat semata-mata sehingga saban tahun menukar baju korporat supaya lebih menumpukan kepada tugas dan amanah dalam berpersatuan.

“Ada juga persatuan yang saban tahun tukar baju korporat dan pada saya tak perlulah rasanya kerana agak membazir sehingga tiap-tiap tahun nak tukar baju korporat, apatah lagi guna duit unversiti”,ujarnya.

Tambahnya lagi,"Lebih baik rasanya kalau duit itu digunakan untuk pengajuran program yang bermanfaat di samping dapat mempertingkatkan ilmu dalam menganjurkan program".

Beliau walau bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana persatuan tentang perkara tersebut dan hanya menjelaskan apa yang dilontar sebagai satu nasihat.

Sementara itu, beliau turut memuji dengan penubuhan beberapa persatuan baru seperti Persatuan Pengajian Malaysia yang berjaya menarik keahlian sehingga 800 ahli meskipun baru ditubuhkan.

Sejak beberapa minggu lalu, persatuan-persatuan di UPSI giat menjalankan Mesyuarat Agung masing-masing bagi melantik Ahli Jawatankuasa yang baru.

August 24, 2009

Kutipan dana sekolah Kemboja hanya raih RM1650, UPSI dijangka tambah sekurang-kurangnya RM 20 000 lagi

Tanjong Malim, 24 Ogos - Kutipan dana untuk program pembinaan sekolah di Kemboja yang dilancar semasa Pesta Konvo minggu lalu hanya berjaya mengutip RM 1650 sehingga hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Encik Faiezi Othman.

Memandangkan kutipan yang tidak mencapai sasaran bagi program membina sekolah di Kemboja itu, UPSI dikatakan akan memberi sumbangan sekurang-kurangnya RM 20 000 lagi untuk program tersebut.

Menurut sumber, kutipan pada awalnya dijangka mencapai sasaran selepas 2 penganjuran konsert yang menampilkan artis terkenal tanah air dijalankan namun gagal.

Berikutan itu, pihak jawatankauasa program memaklumkan perkara tersebut kepada penasihat, Encik Faiezi Othman bagi menyokong cadangan sumbangan daripada UPSI kira-kira RM 20 000 lagi untuk pembinaan sekolah tersebut.

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan, cadangan tersebut walau bagaimanapun dipertikai beberapa pihak memandangkan rancangan asal program itu yang meletakkan sumber dana daripada kutipan daripada warga UPSI dan orang ramai tetapi akhirnya menggunakan wang UPSI.

Sumber turut menambah, pihak terbabit menasihatkan jawatankuasa program seharusnya mempergiatkan kaedah mengutip dana untuk mencapai sasaran kutipan dan bukan hanya mengharapkan sumbangan UPSI semata-mata.

Walau bagaimanapun, kata sumber, cadangan tambahan sumbangan itu masih dalam proses untuk dibawa kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob.

AMI UPSI hasrat ambil kes audi, mahu Pro Kebajikan fokus isu mahasiswa

Tanjong Malim, 24 Ogos – Alumni Mahasiswa Islam (AMI) UPSI, hari ini memberi saranan kepada Pro Kebajikan UPSI untuk menyerahkan kes audi kepada mereka kerana mahu Pro Kebajikan memberi fokus kepada isu yang melibatkan mahasiswa.

Dalam pada itu, jurucakap AMI berkata, isu audi merupakan isu politik luar yang melibatkan salah guna kuasa dan mencabul undang-undang serta boleh menyebabkan pandangan serong ramai pihak terhadap UPSI.

Jadi, katanya, AMI ingin memberi saranan kepada Pro Kebajikan agar kes itu diserah kepada AMI dan akan meneruskan usaha membongkar kes campur tangan politik dalam UPSI itu.

“Kami mahu Pro Kebajikan fokus kepada isu mahasiswa dan serahkan kes ini kepada kami kerana kes ini melibatkan politik luar”, katanya.

Ketika ditanya adakah usaha membawa kes itu ke parlimen diteruskan sekiranya kes tersebut diserah kepada AMI, beliau menjawab, usaha yang sudah dibuat akan diteruskan dan perbincangan lanjut antara AMI dan Pro Kebajikan akan dibuat.

“Kita akan teruskan usaha yang dah dibuat setakat ini dan perbincangan akan diadakan dengan Pro Kebajikan untuk tindakan selanjutnya”, jelasnya.

Sementara itu, AMI juga dikatakan mahu melaporkan kes tersebut kepada Gerakan Anti Korupsi Malaysia (GERAK) sebagai langkah kedua selain meneruskan usaha Pro Kebajikan untuk membawa kes itu ke parlimen.

“Kita juga ada merancang untuk bawa kes ini kepada GERAK dan pertemuan sedang diatur dengan pihak GERAK, cuma sekarang ini kita menunggu kata putus daripada Pro Kebajikan sama ada bersetuju atau tidak menyerahkan kes ini kepada AMI”, katanya.

Kes Audi yang menyaksikan pendedahan sekeping gambar Bengkel Gerak Kerja Jentera Barisan Nasional di Auditorium Utama UPSI yang didedahkan awal bulan lalu mengejutkan ramai pihak namun maklumat sebenar bila program itu dijalankan masih menjadi tanda tanya.



Akmal : Protes senyap ikut syariat

Isu protes senyap semasa pengajuran konsert sempena Pesta Konvokesyen beberapa minggu lalu yang menjadi perhatian banyak pihak sebelum ini menimbulkan satu dimensi baru dalam mengutarakan pandangan di kalangan mahasiswa UPSI di sini.

Dilaporkan juga, tindakan yang dianggap luar biasa itu dicatur oleh sekumpulan pelajar yang merupakan penyokong Pro Kebajikan. Sehari selepas insiden tersebut, pelbagai reaksi dan pandangan dikeluarkan menjurus kepada kesesuaian tindakan itu dibuat.

Bagi memperkatakan tentang perkara tersebut, UPSIkini menghubungi Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saudara Akmal Madzir yang turut membantah penganjuran konsert tersebut. Ikuti temubual UPSIkini bersama beliau.

UK : Assalamualaikum

AM : Waalaikumsalam

UK : Apa khabar? Bagaimana Ramadhan?

AM : Sihat saja. Alhamdulillah, awal Ramadhan ini pun ok, dapat terawih dan jalani aktiviti harian seperti biasa.

UK : Saya nak terus kepada topik perbincangan kita. Ramai pihak memandang protes senyap yang dibuat tempoh hari begitu memberi kesan sehinggakan pihak HEP sendiri memandang serius tentang perkara ini walaupun tindakan tersebut hanya tindakan mudah, hanya beredar daripada majlis. Ramai juga ingin tahu, bagaimana tindakan ini boleh dibuat sedangkan saudara sendiri berada di dalam MPP dan mempunyai suara untuk menghalangnya sebelum diputuskan.

AM : Pertama sekali saya nak ucap terima kasih kepada upsikini yang sudi menemubual saya meskipun hanya melalui YM. Ramai yang tidak tahu dan saya sendiri tidak mahu mendedahkan perkara ini tetapi sebagai penjelasan kepada persoalan tersebut saya perlu beritahu. Baik, dalam mesyuarat awal MPP berkenaan Pesta Konvo, saya tak dipanggil untuk hadir dan saya tahu mesyuarat itu dibuat semasa mesyuarat itu berjalan, itupun melalui SMS dari rakan saya, Hanif. Pada hari tersebut kebetulan saya ada urusan lain. Kalau saya free masa tu, memang saya dah pergi. Saya tak tahu apa yang dibincangkan. Esoknya saya dimaklumkan, artis jemputan dan penganjuran program itu sudah dibuat tanpa saya tahu. Kami dalam MPP Pro Kebajikan seorang pun tidak dimaklumkan dan hanya Hanif yang dipanggil. Hanif akhirnya tarik diri daripada menjadi pengurus konsert pada malam itu. Dan selepas kita dapat tahu, kita terus jumpa dan nyatakan pandangan yang kita tak setuju dan minta dibincang garis panduan. Pandangan kami ditolak mentah-mentah. SMS juga kami hantar untuk minta dibincang semula, tapi alasan yang diberi, keputusan dah dibuat. Kemudian kami ambil tindakan untuk berjumpa TNC. Pun sama, tak ada respon yang positif. Apa yang dibualkan, saya tak boleh nak dedahkan Cuma katanya kuasa dah diberi pada seorang pegawai untuk buat keputusan. Jadi kalau diikutkan, usaha kami berunding dengan cara baik dah dibuat tetapi tidak diberi perhatian. Jadi saya serahkan kepada pimpinan Pro Kebajikan untuk buat keputusan dan mereka putuskan untuk protes senyap.

UK : Ada pandangan mengatakan tindakan tersebut hanya memalukan universiti dan ada juga minta apa dalil yang membenarkan tindakan tersebut dibuat.

AM : Saya lebih malu dengan Allah. Saya memegang portfolio untuk membangunkan sahsiah tapi budaya yang bertentangan dengan agama tetap menjadi pilihan mereka yang sama agama dengan saya. Saya hanya jalankan tanggungjawab saya untuk mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan, itu suruhan Allah. Dan kaedah diperjelaskan melalui hadis yang meyuruh kita menggunakan tangan dan sekiranya tak mampu dengan lidah dan kalau tak mampu juga dengan hati. Baik, kami dah ambil tindakan keduanya-duanya, gunakan kuasa yang ada dalam MPP tapi tak diendahkan, guna pendekatan berbincang dengan TNC, juga sama hasilnya dan tindakan terakhir kami tunjukkan rasa tidak setuju dengan hati. Ramai yang mentafsir menggunakan hati itu cukup sekadar benci namun tafsiran yang sebenar ialah tunjukkan perasaan itu dengan tindakan. Contohnya, seorang kanak-kanak yang tak suka dengan sesuatu makanan, hatinya tak suka, dia tak makan, malah mungkin sepah-sepahkan makanan tersebut. Jadi, situasi yang kita hadapi ini juga sama, kita tak suka dan tindakannya kita beredar dari majlis tersebut. Ini mengikut syariat.

UK : Bagaimana pula kalau ada yang kata tindakan tersebut menunjukkan saudara dan rakan-rakan yang lain tak bersama universiti dan menentang pihak HEP.?

AM :Saya bersama universiti, cuma tak bersama dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat. UPSI tak bersalah, UPSI dipandang tinggi masyarakat tetapi orang-orang di dalamnya yang menjatuhkan nama UPSI. Saya nak bawa satu sirah nabi. Nabi Ibrahim menentang bapanya sendiri yang membuat berhala. Kalau ikut tafisir para ulama’, berhala sekarang ini adalah ideologi dan budaya yang bertentangan dengan Islam; sekularisme, hedonisme dan lain-lain. Kalau nabi pun menentang bapanya sendiri kerana bapanya tak ikut syariat, maka kami juga mengambil langkah yang sama menentang perkara yang tak selari dengan agama. Salah ke tu?

UK : Timbul juga dakwaan mengatakan tindakan dan perjuangan saudara dan rakan-rakan lain mirip kepada perjuangan PAS, parti politik luar. Apa komen saudara?

AM : Ini bukan soal perjuangan PAS atau mana-mana pertubuhan pun. Kalau PAS tak ada di Malaysia ni pun, perjuangan saya dan rakan-rakan tetap sama. Pihak yang mengaitkan perjuangan kami dengan parti-parti tertentu hanya tindakan untuk mengalih isu dan akhirnya nanti melabel. Kalau nak ikutkan perjuangan kami juga sama dengan ABIM, JIM, jemaah tabligh dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain. Kenapa nak samakan dengan PAS sahaja?Pokoknya sekarang, mana-mana program dan agenda yang bertentangan dengan syariat kita tak setuju dan kita akan suarakan pandangan.

UK : Kita semua tahu saudara dan rakan-rakan menggunakan “Kebajikan” sebagai landasan dalam setiap tindakan yang dibuat. Tapi apakah tindakan protes senyap ada hubung kait dengan “Kebajikan”?

AM : Kita kena faham. Sebelum perkataan kebajikan itu kami pilih untuk jadikan tagline atau landasan dalam setiap tindakan, kami berbahas berhari-hari untuk memberi tafsiran yang menyeluruh. Kebajikan jangan hanya dilihat pada sudut dunia, perlu juga dilihat dalam konteks yang lebih besar, di dunia yang lain, dunia akhirat. Kita perjuangkan kebajikan mahasiswa bukan hanya kebajikan di universiti, malah kami juga bertanggungjawab untuk membantu rakan-rakan mahasiswa dalam kebajikan ‘di sana’. Kami berperanan untuk meminimumkan sebanyak mungkin perkara-perkara yang boleh mengurangka kebajikan rakan mahasiswa ’di sana’ nanti, di alam yang tidak ada siapa pun boleh tolong. Itu kebajikan sebenar. Kita sediakan majlis ilmu, mudah-mudahan dengan ilmu tersebut boleh memberi kebajikan kepada rakan mahasiswa bila berdepan dengan tuan punya dunia ini. Maka, perkataan ‘kebajikan’ itu bukan hanya kita nak perjuangkan di universiti tapi lebih dari itu. Ini matlamat dan tekad kita dalam setiap tindakan yang kita buat.

UK : Baik, cukup jelas penjelasan saudara. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa walaupun sibuk dengan berbagai-bagai urusan.

AM : Sama-sama. Terima kasih juga kepada UPSIkini yang beri peluang untuk saya membuat penjelasan. Semoga penjelasan saya ini boleh memberi manfaat kepada semua dan diri saya sendiri.

UK : Assalamualaikum.

AM : Waalaikumsalam.

August 22, 2009

Bazar Ramadhan KUO

Kolej Ungku Omar (KUO) yang terletak di Taman Bahtera, Hulu Bernam menyediakan tempat untuk jualan Bazar Ramadhan sepanjang bulan Ramadhan ini.

Program di bawah anjuran Biro Ekonomi & Keusahawanan ini merupakan program tahunan yang memberi peluang kepada peniaga-peniaga tempatan dan pelajar untuk berniaga sepanjang bulan Ramadhan di samping memberi kemudahan kepada seluruh pelajar yang tinggal di Taman Bahtera untuk menbeli juadah berbuka puasa.

Bermula seawal jam 3.00 petang sehingga 7.00 malam, pelajar-pelajar boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan di bazaar ini.

Tapak bazaar terletak di tempat letak kereta blok B KUO.


Rashid, SMU didakwa punca pelajar DPLI tak puas hati

Tanjong Malim, 22 Ogos – Isu pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang dikatakan dianak tiri dan tidak merasakan mereka sebahagian daripada warga UPSI menjadi perhatian banyak pihak selepas laporan berkenaannya disiarkan UPSIkini Khamis lalu.

Sebaik sahaja laporan tersebut disiarkan, pelbagai reaksi diutarakan para pembaca yang kebanyakannya dipercayai terdiri daripada pelajar DPLI dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Dalam beberapa komen yang dilontarkan oleh pengirim pro DPLI, mereka mendakwa Rashid merupakan individu yang mencetuskan kepada perasaan tidak puas hati di kalangan pelajar DPLI. Bekas calon umum yang tewas dalam Piliharaya Kampus tahun lalu itu dikatakan mengeluarkan kata-kata yang merendah-rendahkan kredabiliti pelajar DPLI dan menyebabkan sebahagian besar mereka berasa kecewa dengan kata-kata yang diucapkannya dalam satu slot semasa Minggu Suaikenal bagi pelajar-pelajar DPLI awal bulan lalu.

Dalam pada itu, ada juga yang mendakwa beberapa urusetia semasa Minggu Suaikenal pelajar-pelajar DPLI yang dipercayai terdiri daripada kalangan Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) turut membuat perkara yang sama.

Rentetan daripada itu, kata pengirim terbabit, pelajar-pelajar DPLI berasa diperkecilkan dan menganggap apa yang dilakukan Rashid dan beberapa urusetia terbabit sesuatu yang keterlaluan dan menjadi punca mengapa persepsi buruk terhadap pelajar ISMP timbul di kalangan pelajar DPLI.

Namun, apakah ucapan yang dikeluarkan Rashid dan urusetia terbabit kepada pelajar-pelajar DPLI semasa Minggu Suaikenal tersebut tidak dinyatakan secara jelas oleh pengirim.

Di sebalik komen-komen itu, timbul juga pertikaian di kalangan pengirim yang dilihat anti DPLI mempersoalkan tindakan mereka yang dikatakan sering membanding-bandingkan UPSI dengan IPTA lain.

Dalam pada itu, sikap DPLI yang terlalu meminta-minta semasa hari pendaftaran awal bulan lalu dan sering menyalahkan UPSI dalam segala kekurangan yang melibatkan pelajar DPLI turut dipersoalkan pengirim.

Pada awal bulan lalu, UPSI menerima kira-kira 2504 pelajar DPLI, satu jumlah yang agak besar berbanding sebelum-sebelum ini dan 90 % daripadanya kini tinggal di Proton City dan Kota Malim Prima.

August 21, 2009

Pro Kebajikan : Hanif berhak beri pandangan

Tanjong Malim, 21 Ogos – Pro Kebajikan hari ini mengulas tentang kenyataan seorang wakilnya di Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Hnif Azwan yang meminta isu konsert dihentikan daripada terus diperkatakan dan memberi tumpuan kepada program seterusnya.

Ketua Penerangan Pro Kebajikan yang mengulas tentang kenyataan Hanif mengatakan pandangan yang dikeluarkan hanif itu adalah haknya dan pimpinan Pro Kebajikan tidak ada sebarang masalah dengan kenyataan tersebut.

“Itu pandangan beliau, tidak ada masalah bagi kita dan isu konsert tempoh hari menjadi satu isu yang akan berterusan kerana sehingga sekarang bermacam-macam pandangan dikeluarkan oleh mahasiswa dan biar mereka menilai dengan pandangan-pandangan tersebut”jelasnya.

Tambahnya lagi,”kita di Pro Kebajikan akan berpegang teguh dengan prinsip kita dan sesi penerangan akan dibuat dari semasa ke semasa untuk perjelaskan apa sebenarnya yang berlaku”.

Hanif sebelum ini didakwa cuba membelakangkan Pro Kebajikan apabila mengeluarkan kenyataan sendiri dan dikatakan tidak selari dengan tindakan yang diambil Pro Kebajikan.

Apabila ditanya adakah Hanif akan dipanggil selepas mengeluarkan kenyataan tersebut, beliau berkata Majlis Tertinggi memang ada menghubungi beliau berkenaan kenyataan yang dikeluarkan untuk mendapatkan penjelasan namun tidak sekali-kali mengatakan tindakannya itu salah.

“MT Pro Kebajikan memang ada memanggil beliau untuk beri penjelasan dan kita tidak mengatakan apa yang dinyatakannya itu salah, cuma mahu penjelasan di sebalik kenyataan yang dibuat”,katanya.

Hanif sebelum ini pernah dikaitkan dengan usaha beberapa pihak menarik beliau keluar daripada Pro Kebajikan berikutan tindak tanduknya yang dilihat mencurigakan Pro Kebajikan.

Lagi pembaca kongsi cara akses UPSIkini

Sekatan yang dibuat oleh beberapa pihak terhadap UPSIkini tidak menjadi penghalang kepada pengikut setia blog informasi ini untuk mengikuti laporan dan tulisan terkini UPSIkini.

Terbaru, seorang pembaca yang yang menamakan dirinya sebagai 'insan prihatin' mendedahkan cara lain yang boleh digunakan untuk mengakses UPSIkini selain menggunakan kaedah carian dalam enjin gelintar (search engine).

Berikut merupakan petikan komen yang dihantar pembaca tersebut untuk berkongsi cara mengakses UPSIkini.

Surau kolej-kolej kediaman dijangka sesak malam ini

Tanjong Malim, 21 Ogos – Semua surau di kolej-kolej kediaman UPSI dijangka sesak dipenuhi pelajar pada malam ini yang merupakan malam pertama solat sunat Terawih dijalankan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, malam pertama solat sunat Terawih yang diadakan di surau-surau kolej kediaman masing-masing akan dipenuhi dengan bilangan pelajar yang agak ramai.

Di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) tinjauan mendapati Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) KHAR menyediakan ruang solat di bawah foyer seperti tahun-tahun sebelumnya. Dilaporkan juga jemaah dijangka bukan sahaja terdiri daripada pelajar yang tinggal di KHAR malah turut disertai penghuni-penghuni lain yang tinggal di Taman Bahtera

Di Kolej Ungku Omar, dilaporkan solat berjemaah akan dijalankan di dewan KUO. Seperti mana biasa, dewan tersebut digunakan bagi menampung bilangan jemaah yang dijangka melimpah malam ini.

Bagi Kolej Zaaba dan Aminuddin Baki, Surau Al-Falah akan menjadi tempat tumpuan solat berjemaah pada malam ini. Dimaklumkan juga, gabungan Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah kedua-dua kolej bekerjasama dalam Majlis Perasmian Ihya’ Ramadhan Satu ceramah bertajuk “Puasa oh puasa’ turut diadakan selepas selesai solat Terawih.

Bagi pelajar-pelajar yang tinggal di luar, Masjid Jami’ Tanjong Malim dijangka dipenuhi mereka pada malam ini. Namun terdapat juga pelajar-pelajar yang mengunjungi surau yang terdapat di taman perumahan masing-masing.

Pelajar-pelajar DPLI yang tinggal di Proton City pula dijangka akan memenuhi ruang Masjid Proton City untuk solat berjemaah malam ini. Mereka yang tinggal di Kota Malim Prima juga dilaporkan akan turut ke sana memandangkan tidak ada surau di kawasan tersebut.

Malam ini merupakan malam pertama solat sunat Terawih dijalankan di surau-surau dan masjid-masjid menandakan telah masuk 1 Ramadhan 1430H.

Selamat Menyambut Ramadhan

UPSIkini ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua pembaca UPSIkini.

Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang lebih baik daripada sebelumnya. Sama-samalah kita memperbanyakkan amal ibadat dan menghayati hikmah di sebalik bulan yang mulia ini.

Sepanjang bulan Ramadhan ini, UPSIkini akan terus menyampaikan maklumat dan laporan-laporan terkini kepada semua pembaca. Teruskan bersama UPSIkini.

Salam Ramadhan daripada UPSIkini.

Pembaca UPSIkini kongsi cara layari laman web yang disekat

Blog informasi UPSIkini yang disekat daripada diakses di kampus UPSI dan kolej-kolej kediaman mendapat perhatian di kalangan pembaca.

Berikutan itu, ramai pihak bertanyakan bagaimana untuk menembusi sekatan yang dibuat bagi membolehkan mereka melayari UPSIkini dan semalam seorang pembaca memaklumkan kepada UPSIkini caranya.

Berikut merupakan langkah yang boleh diambil untuk melayari UPSIkini sekiranya berada di kampus dan kolej-kolej kediaman.
  1. Buka mana-mana laman web enjin gelintar (search engine) seperti yahoo, google dan sebagainya.
  2. Taipkan upsikini dan klik search
  3. Klik perkataan ‘cached’ pada mana-mana tajuk yang disenaraikan yang mempunyai kaitan dengan upsikini.

UPSIkini mengucapkan terima kasih kepada pembaca yang memberikan maklumat tersebut. Teruskan bersama UPSIkini.

Selepas Mahfuz, Nizar pula disebut untuk diserah kes Audi

Tanjong Malim, 21 Ogos – Selepas timbul ura-ura mengatakan Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Dato’ Mahfuz Omar akan dimaklumkan tentang isu Audi bagi membangkitkannya di dalam Parlimen, Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Dato’ Seri Nizar Jamaludin pula disebut sebagai ahli parlimen kedua yang dinamakan untuk tujuan yang sama.

Desas-desus ini timbul selepas Pro Kebajikan dikatakan mencari Ahli Parlimen daripada Perak untuk diserahkan kes tersebut sebelum ini.

Dalam pada itu, pemilihan Nizar juga dikatakan dibuat selepas mempertimbang kedudukan ahli parlimen tersebut yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dan boleh membangkitkannya dalam sidang DUN Perak.

Walau bagaimanapun, Pro Kebajikan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut.

Sebelum ini, Pro Kebajikan dilaporkan hanya mengumumkan 3 ahli parlimen telah dipilih namun tidak menamakan siapa ahli parlimen yang dimaksudkan untuk membangkitkan isu tersebut di parlimen.

Kes Audi menjadi isu panas yang menjadi bahan bualan ramai pihak sehingga kini dan dikatakan menjadi faktor kepada sekatan yang dibuat ke atas UPSIkini di kampus utama dan kolej-kolej kediaman.


August 20, 2009

Pelajar DPLI dakwa mereka dianak tiri

Tanjong Malim, 20 Ogos – Selepas hampir 2 bulan mengikuti pengajian dalam program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), pelajar-pelajar DPLI mula meluahkan perasaan mereka terhadap UPSI dengan mendakwa mereka dianak tiri dalam banyak perkara.

Dakwaan itu disampaikan kepada UPSIkini semalam oleh seorang pengirim yang dipercayai seorang pelajar DPLI di UPSI.

Menurut beliau, meskipun ramai pelajar yang bangga dengan status sebagai ‘anak kandung suluh budiman’ namun mereka menganggap sebaliknya dengan mengatakan mereka seperti ‘anak tiri suluh budiman’.

Dalam pada itu, beliau menceritakan bagaimana seorang pensyarah yang masuk ke kelas mereka berterus terang mengatakan tidak suka kepada pelajar DPLI atas alasan pelajar DPLI sebagai golongan terdesak yang mahu mendapat kerja meskipun mereka belum sampai sebulan masuk ke UPSI

Jelasnya, program DPLI adalah program yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan mereka hanya mengikuti program tersebut dan apakah salah mereka ini sehingga dianggap sedemikian rupa oleh sesetengah pensyarah di sini.

Dalam perenggan yang sama, beliau mengatakan meskipun dasar tersebut tidak dipersetujui sesetengah pihak di UPSI tetapi janganlah melepaskan rasa tidak setuju itu kepada mereka yang mungkin benar-benar mempunyai hasrat untuk menjadi guru.

Selain itu, pelajar DPLI juga menurutnya sering dipinggirkan dalam menerima maklumat yang berkaitan dengan UPSI seperti maklumat berkaitan H1N1 baru-baru ini dan keadaan ini menunjukkan seolah-olah pelajar DPLI bukan sebahagian daripada pelajar UPSI.

Pada bahagian akhir tulisannya, beliau berharap agar keadaan ini boleh diubah supaya pelajar DPLI benar-benar diterima di UPSI sebagai sebahagian warganya.

Untuk rekod, UPSI menerima seramai kira-kira 2504 pelajar DPLI awal bulan lalu dan kini sebahagian besar mereka mengikuti kuliah dan menginap di Proton City.

“Henti isu konsert, tumpu program seterusnya” – Hanif

Tanjong Malim, 20 Ogos - Exco Kesenian & Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, saudara Mohd Hanif Azwan hari ini mengeluarkan kenyataan supaya semua pihak berhenti dalam membincangkan isu konsert dan memberi perhatian kepada program seterusnya.

Beliau yang mengeluarkan kenyataan tersebut pagi tadi menjelaskan pertikaian yang berlaku memang membawa kepada perkembangan positif dalam melihat sejauh mana tahap pemikiran mahasiswa UPSI apabila sesuatu isu timbul namun keadaan itu boleh menjejaskan tumpuan kepada program-program yang akan datang.

Dalam pada itu, beliau yang turut menyokong kepada bantahan yang dibuat sebelum ini berkata pemanjangan isu ini boleh menambahkan kekeliruan ramai pihak.

Kenyataan pendek yang dihantarnya kepada UPSIkini walau bagaimanapun tidak menggunakan nama Pro Kebajikan.

Pada bahagian akhir kenyataannya beliau menyampaikan ucapan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada seluruh warga UPSI.

Hanif sebelum ini turut dipertikai berkenaan peranan yang dimainkan beliau semasa konsert tersebut dalam peringkat cadangan.

LPS KZ, KAB tumbang seekor lembu untuk Ihya’ Ramadhan

Gabungan Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah Jawatankuasa Mahasiswa Kolaj (JMK) Kolej Zaaba (KZ) dan Kolej Aminudin Baki (KAB) memaklumkan Majlis Perasmian Ihya’ Ramadhan akan dijalankan esok, 21 Ogos 2009.

Untuk itu, dikhabarkan seekor lembu bakal ditumbangkan pada hari tersebut dan pada sebelah malamnya pula ceramah bertajuk ‘puasa oh puasa’ akan diadakan selepas solat Terawih.

Pihak penganjur menjemput seluruh warga UPSI untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis.

Semua aktiviti akan dijalankan di Surau Al-Falah.

August 19, 2009

Konsert : Penduduk turut bantah, utus surat mohon batal

Tanjong Malim, 19 Ogos – Isu bantah konsert terhadap penganjurannya sempena Pesta Konvo minggu lalu bukan sahaja disuarakan sekumpulan mahasiswa di sini malah penduduk sekitar.

Terbaru, UPSIkini menerima salinan sepucuk surat daripada wakil penduduk melalui e-mel yang dikirim seorang sumber yang meminta tidak disiarkan namanya. Surat tersebut yang bertajuk ‘Surat Terbuka Penduduk Tanjong Malim Mengenai Konsert Jaclyn Victor dan Faizal Tahir di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)’ dipercayai dihantar kepada Naib canselor UPSI berdasarkan kandungannya.

Surat dua muka surat tersebut pada awalnya melahirkan rasa kecewa dengan penganjuran program sedemikian dan berhasrat untuk melahirkannya kepada kepimpinan tertinggi universiti melalui surat yang diutuskan.

Sementara itu, surat tersebut turut mempersoalkan keperluan konsert tersebut diadakan dan menyatakan rasa tidak sanggup untuk melihat anak-anak muda yang bakal bergelar guru dihidangkan dengan budaya hiburan.

Surat tersebut turut menyentuh berkenaan kes H1N1 di UPSI dan penghormatan yang patut diberikan semasa di bulan Syaaban dan Ramadhan yang bakal menjelang.

Pada akhir surat tersebut, dinyatakan harapan supaya konsert tersebut dibatalkan.

Isu konsert yang menerima bantahan luar biasa minggu lalu dikatakan begitu memberi kesan kepada pihak penganjur sepanjang Pesta Konvo tersebut berlangsung.

Namun perkara tersebut dinafikan pihak penganjur dan menganggap siri bantahan yang dibuat hanyalah provokasi pihak tertentu.



Penempatan ke sekolah dijangka akhir Oktober

Tanjong Malim, 19 Ogos – Semua graduan UPSI yang telah bergraduat baru-baru ini dijangka akan mengetahui penempatan masing-masing hujung Oktober ini.

Maklumat yang disampaikan seorang sumber mengatakan rakannya yang kini bekerja sambilan di Kementerian Pelajaran memaklumkan kepadanya, semua graduan yang melepasi temuduga dan ujian INSAK akan mengetahui penempatan masing-masing hujung Oktober ini.

Sumber walau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar surat tawaran penempatan itu akan dikeluarkan.

Sementara itu, ada juga pendapat yang mengatakan penempatan untuk sesi kali ini akan dibuat secara berperingkat iaitu pada September, November dan awal Januari. Sumber yang menyampaikan maklumat tersebut mengatakan beliau diberitahu tentang perkara itu oleh pegawai Kementerian Pelajaran yang mengendalikan temuduga dan ujian INSAK di pusat temuduga yang dihadirinya.

Dalam pada itu, terdapat beberapa graduan dari Program Pendidikan Muzik dan Pendidikan Khas yang sudah menerima surat tawaran penempatan lebih awal dan dikatakan akan mula melapor diri September ini. Ini berikutan kekurangan tenaga pengajar untuk subjek tersebut di sekolah-sekolah dan tawaran awal dibuat pihak kementerian bagi mengatasi keperluan guru di sekolah-sekolah berkenaan.

Minggu lalu, kira-kira 2900 graduan berjaya menerima ijazah masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen Ke-11 Sidang Kedua yang berlangsung di Dewan SITC, UPSI.

H1N1 : UPSI terkawal, tiada kes baru

Tanjong Malim, 19 Ogos - Selepas beberapa hari kes H1N1 heboh diperkatakan ramai pihak, Pusat Kesihatan UPSI hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan UPSI berada dalam keadaan terkawal dan tiada kes terbaru dilaporkan berlaku.

Kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Pusat Kesihatan UPSI, Dr. Noor Safina bt Ahmad Noor kira-kira jam 10.40 pagi tadi melalui ruang pemberitahuan MyUPSI Portal.

Dalam pada itu, Pusat Kesihatan UPSI turut mengesahkan semua pelajar yang dikesan positif H1N1 tempoh hari telah pulih dan bebas daripada jangkitan tersebut dan menasihatkan semua warga UPSI mengambil langkah pencegahan bagi mengelak dijangkiti H1N1.

Kenyataan yang dikeluarkan ini sekali gus memadamkan semua desas-desus yang mengatakan UPSI bakal ditutup untuk kali kedua apabila timbul cakap-cakap mengatakan UPSI sedang mempertimbang untuk memberi cuti kepada semua pelajar selama sebulan sebagai langkah pencegahan penularan wabak tersebut.

Walau bagaimanapun, maklumat berkenaan kematian pelajar UPSI akibat wabak ini tidak dinyatakan dalam kenyataan tersebut dan masih menjadi tanda tanya ramai pihak.

Untuk rekod, UPSI pernah diarahkan tutup hujung bulan lalu selama lebih seminggu.

Diskusi Filem Laskar Pelangi

Biro Kesenian & Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI akan mengadakan diskusi filem Laskar Pelangi jam 8.00 malam ini bertempat di Bilik Seminar Bitarasiswa.

Dua orang ahli panel yang dijemput adalah Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya dan Prof. Dr. Zakarian Mohd Ali dari UPSI.

Wacana Patriotisme bawa Tan Sri Dato’ Seri Sanusi Junid

Tanjong Malim, 19 Ogos – Program wacana patriotisme yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.00 petang ini bertempat di Auditorium Utama UPSI, bakal menampilkan Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Dato’ Seri Sanusi Junid sebagai ahli panel.

Beliau yang juga merupakan veteran UMNO dijangka akan mengupas isu yang berkaitan kenegaraan dan beberapa isu semasa yang berlaku dalam negara.

Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa program turut dihadiri delegasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, Exco Akademik dan Kerjaya MPP UPSI, Nur Aqilah Hanis menyeru agar semua mahasiswa sama-sama hadir dalam program tersebut dalam satu makluman yang dihantar kepada UPSIkini pagi tadi.

August 18, 2009

RM 8000 untuk Faizal Tahir, RM 5000 Jaclyn Victor

Tanjong Malim, 18 Ogos – Isu konsert sempena Pesta Konvo sehingga hari ini terus-terusan menjadi buah mulut di kalangan mahasiswa di sini meskipun program tersebut telah berlalu hampir seminggu.

Terbaru, UPSIkini menerima maklumat menerusi ruangan komen di kalangan pembaca yang mendedahkan bayaran yang dikenakan Faizal Tahir untuk persembahan malam konsert tersebut adalah sebanyak RM 8000 manakala RM 5000 untuk Jaclyn Victor.

Sumber yang dipercayai salah seorang ahli jawatankuasa penganjur program tersebut mengatakan jumlah bayaran kepada kedua-dua artis tersebut adalah rendah jika dibandingkan dengan populariti semasa kedua-dua artis tersebut.

Dalam pada itu pengirim turut mendakwa jumlah perbelanjaan yang tinggi untuk program Pesta Konvokesyen adalah perkara biasa kerana program tersebut merupakan program besar yang diadakan setahun sekali dan sebahagian besar bajet yang diperolehi adalah melalui tajaan.

Pengirim juga mendedahkan bayaran bagi kumpulan nasyid yang membuat persembahan Jumaat lalu, Saffone, dan Forum Perdana Ehwal Islam masing-masing sebanyak RM 2000.

UPSIkini sebelum ini mendedahkan jumlah perbelanjaan bagi keseluruhan Pesta Konvo menjangkau RM 75 000 dan dikatakan lebih RM 8000 dibelanjakan untuk bayaran persembahan artis jemputan.

H1N1 : Bilangan kes di UPSI hampir sama dengan Myanmar, Pro Kebajikan gesa laksana pencegahan ikut ‘SOP’

Tanjong Malim, 18 Ogos – Berikutan wabak H1N1 yang menjadi bualan ramai warga UPSI ketika ini susulan beberapa arahan kuarantin terhadap beberapa pelajar yang disyaki dujangkiti H1N1 di sini sejak beberapa minggu lalu, Pro Kebajikan mendesak agar pihak pentadbiran UPSI segera mengambil langkah berjaga-jaga mengikut ‘Standard Operation Procedure’ (SOP) atau Prosedur Operasi Standard yang digariskan beberapa badan kesihatan dunia.

Dalam satu pembentangan oleh Biro Kajian dan Penyelidikan Pro Kebajikan yang dihadiri semua pimpinan Pro Kebajikan petang tadi, Malaysia dikatakan antara negara yang paling tinggi kadar kematian akibat H1N1 setakat ini.

Mengulas tentang kenyataan tersebut, Ketua Biro Kajian dan Penyelidikan Pro Kebajikan mengatakan nisbah kadar kematian dengan jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 2 % yang mana risiko kematian bagi setiap 100 kes adalah sebanyak 2 orang.

Keadaan ini katanya sangat membimbangkan dan UPSI tidak terlepas daripada risiko itu.

Dalam satu analisis yang dibuat biro tersebut berdasarkan angka kes yang dilaporkan di beberapa negara, kadar kematian di Malaysia akibat wabak ini berada pada tahap serius.

Menurut beliau sehingga tengah hari tadi, negara Jepun hanya mencatatkan 2 kematian akibat kes ini manakala negara Asean lain seperti Vietnam pula mencatatkan 1454 kes dan 1073 daripadanya dilaporkan sembuh . Vietnam hanya mencatatkan 2 kematian setakat ini.

Selain itu, negara China yang mempunyai keluasan berkali ganda berbanding Malaysia mencatatkan 2729 kes dan berjaya mengawal wabak berkenaan sehingga 2400 daripadanya dilaporkan bebas H1N1.

Di Myanmar pula, hanya 22 kes dilaporkan dan 17 daripadanya sudah disahkan bebas jangkitan H1N1 sehingga hari ini.

Sementara itu, beliau yang turut membentangkan keadaan di beberapa tempat di seluruh negara menyarankan pihak UPSI melaksanakan ‘SOP’ yang dianjurkan supaya wabak ini tidak menjadi lebih serius di sini.

“Saya kira bilangan kes di UPSI sudah hampir dengan sebuah negara Myanmar, dan ini menuntut kita melaksanakan SOP yang berkesan bagi mencegah wabak ini”,ulasnya.

Tambahnya lagi, “UPSI harus mengambil langkah tegas dengan mewajibkan semua pelajar memakai ‘mask’ selain membuat pemeriksaan kesihatan yang berterusan kerana kes terbaru yang berlaku mengesahkan meskipun seseorang itu tidak menghidapi demam atau simptom dijangkiti H1N1, individu tersebut turut berisiko membawa virus H1N1”.

Sehingga semalam Malaysia mencatatkan jumlah kes sebanyak 4225 di seluruh negara manakala jumlah kematian bertambah 3 orang hari ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 67 orang.

H1N1 : 9 pelajar dilaporkan sembuh

Tanjong Malim, 18 Ogos - Seramai 9 pelajar yang dikuarantin kerana disyaki terkena jangkitan H1N1 minggu lalu disahkan sembuh dan dibenarkan menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Laporan tersebut dikeluarkan hari ini selepas mendapati semua pelajar terbabit bebas dari semua simptom jangkitan.

Sehingga kini, pelajar yang masih lagi dikuarantin adalah 6 orang masing-masing 2 di Kolej Ungku Omar (KUO) dan 4 di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR).

Dalam perkembangan berkaitan, pengusaha kafe di KHAR mendakwa jualan makanan di kafenya menurun pada minggu ini.

Katanya, jualan yang dicatatkan tidak seperti minggu-minggu biasa dan menganggap keadaan tersebut mempunyai kaitan dengan wabak H1N1 yang dikatakan menular di KHAR.

Beliau juga katanya bimbang sekiranya UPSI mengisytiharkan cuti buat kali kedua selepas diarah tutup sebelum ini.

Kunjungan ADUN Slim ke UPSIkini timbul tanda tanya

Kunjungan Ahli Dewan Undangan Slim, Dato’ Khusairi Talib ke blog UPSIkini dan menjadi ‘pengikut’ blog ini menimbulkan tanda tanya banyak pihak sejak berita mengenainya disiarkan UPSIkini beberapa hari yang lalu.

Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim mula menjadi pengikut (follower) UPSIkini sejak minggu lalu.

Berikutan itu, beberapa pendapat mengatakan beliau berminat mengikuti laporan yang disiarkan UPSIkini selepas pendedahan sekeping gambar yang menunjukkan Auditorium Utama UPSI pernah digunakan jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) dalam satu bengkel parti tersebut.


Gambar tersebut yang turut memaparkan bendera parti-parti komponen BN menjadi sebutan ramai selepas Pro Kebajikan mendesak Sakretariat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SSPR) UPSI membawa isu tersebut ke pihak atasan.

Walau bagaimanapun, tidak ada apa-apa tindakan diambil SSPR UPSI seperti yang disaran Pro Kebajikan.

Susulan daripada desakan tersebut, Pro Kebajikan menyatakan hasrat untuk membawa isu itu ke parlimen dan mengumumkan 3 ahli parlimen sudah dipilih bagi membangkitkannya pada sidang Parlimen akan datang.

Sehubungan dengan isu tersebut, Khusairi yang turut memegang jawatan Setiausaha UMNO Perak dikatakan antara pihak yang bertanggungjawab dalam isu itu memandangkan beliau sendiri merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim dan mempunyai autoriti paling tinggi dalam menentukan gerak kerja BN di kawasan terbabit.

Pendapat tersebut walau bagaimanapun belum dapat dipastikan kerana sehingga kini masih belum ada maklumat yang menyebut tarikh sebenar gambar tersebut diambil dan dakwaan mengatakan beliau merupakan perancang yang menggunakan Auditorium UPSI dalam program parti BN masih kabur.

Untuk rekod, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pernah mengeluarkan arahan supaya IPTA tidak digunakan sebagai tempat program mana-mana parti politik bagi mengelak IPTA dipergunakan untuk kepentingan parti-parti tertentu dan tindakan larangan tersebut adalah selari dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

August 17, 2009

UPSIkini disekat, ramai hantar e-mel tanya sebab

Tanjong Malim, 17 Ogos – Sekatan yang dibuat terhadap UPSIkini sejak beberapa hari lalu membuatkan ramai pengikut UPSIkini bertanya mengapa mereka tidak dapat mengakses blog UPSIkini melalui kiriman e-mel yang diterima.

Beberapa minggu lalu, Ketua Editor UPSIkini, Mr Teller dimaklumkan tentang sekatan ini yang menyebabkan semua pengguna perkhidmatan WiFi UPSI di kampus utama tidak dapat mengakses UPSIkini melalui URLnya http://www.upsikini.blogspot.com. Berikutan itu beberapa tindakan penyiasatan dibuat oleh beberapa editor UPSIkini dan didapati perkara ini benar-benar berlaku.

Rentetan daripada sekatan awal yang dibuat, UPSIkini sekali lagi disekat apabila semua pengguna UPSI Jaring yang kebanyakan penggunanya tinggal di kolej-kolej kediaman tidak dapat mengakses blog informasi tersebut beberapa hari yang lalu.

Mengulas tentang perkembangan tersebut, Ketua Editor UPSIkini yang mahu dikenali sebagai Mr Teller mendakwa, sekatan yang dikenakan berkemungkinan berpunca daripada beberapa pendedahan eksklusif yang dibuat UPSIkini seperti Isu AUDI dan beberapa maklumat yang dikatakan mempunyai nilai tinggi.

Selain itu katanya, pihak yang membuat sekatan ini juga bimbang dengan peningkatan jumlah pembaca yang dicatatkan UPSIkini.

“Saya kira sekatan ini bertujuan bagi mengurangkan bilangan pengguna yang dapat mengakses UPSIkini selain daripada faktor bimbang dengan beberapa pendedahan eksklusif yang didedahkan UPSIkini”jelasnya.

Dalam pada itu, Mr Teller turut menyangkal dakwaan mengatakan UPSIkini hanya membawa berita sebelah pihak terutamanya yang berkaitan politik di kalangan mahasiswa UPSI.

“Dakwaan ini saya kira dah beberapa kali dijawab dan saya ingin jelaskan sekali lagi bahawa pihak yang banyak menghantar maklumat, membuat kenyataan kepada kita dan sering menghubungi kita kebetulannya daripada pihak Pro Kebajikan dan kami di UPSIkini menunggu juga maklumat daripada pihak yang satu lagi namun tidak ada yang disampaikan, jadi apa yang boleh kami buat?”,jelasnya selepas satu mesyuarat bersama sidang editor UPSIkini bagi membincangkan penstrukturan semula UPSIkini. Setakat ini UPSIkini hanya menggunakan medium e-mel dan ‘yahoo messenger’ dalam saluran maklumat yang disampaikan.

Ditanya mengapa UPSIkini begitu komited dalam menyampaikan maklumat sedangkan tidak ada sebarang ganjaran yang diperolehi, beliau menjawab segala kerja yang dibuat merupakan tanggungjawab sosial kepada mahasiswa UPSI selain mempraktikkan bakat kewartawanan yang ada di kalangan mahasiswa di sini.

“Ini merupakan satu tanggungjawab sosial yang kami pikul bersama dalam menyampaikan maklumat kepada mahasiswa dan ini terbukti apabila semua warga kerja UPSIkini bekerja mendapatkan maklumat dalam kes H1N1 baru-baru ini dengan mengemaskini setiap maklumat yang diterima”,jelasnya.

Sementara itu, beliau yang ditanya tentang masa depan UPSIkini selepas ini hanya tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus menandakan ada sesuatu khabar menarik yang bakal diumumkan.

UPSIkini mula beroperasi sebagai blog informasi yang melaporkan perkembangan semasa di UPSI sejak September tahun lalu dan mempunyai lebih 100 pengikut setakat ini.

H1N1 : UPSI diminta bincang tindakan susulan

Tanjong Malim, 17 Ogos - Perkembangan semasa wabak H1N1 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapat perhatian ramai pihak dan rata-rata mereka yang mengikuti perkembangan ini meminta UPSI membincangkan tindakan susulan yang harus dibuat.

Sehingga kini tidak kurang 10 orang pelajar dikuarantin di beberapa kolej kediaman kerana disyaki terkena jangkitan H1N1 berdasarkan simptom-simptom yang dialami pelajar terbabit.

Berikutan itu, timbul beberapa desakan daripada kalangan mahasiswa yang mahu UPSI segera mengambil tindakan susulan agar mahasiswa diberi maklumat keadaan semasa berkaitan wabak ini di UPSI.

Salah seorang mahasiswa yang ditemui, Suhaila, 21 tahun, menyarankan agar maklumat disampaikan kepada seluruh mahasiswa agar mahasiswa maklum tentang keadaan terkini di UPSI berhubung dengan wabak tersebut.

“Saya berpendapat, pihak UPSI perlu sampaikan maklumat kepada kami sebagai pelajar agar kami tahu perkembangan terkini mengenai wabak ini di UPSI dan baru-baru ini kecoh di kalangan rakan-rakan saya yang mengatakan sudah ada pelajar UPSI yang meninggal dunia akibat jangkitan tersebut”,katanya.

“Dengan hanya mendiamkan segala apa yang berlaku akan membuatkan kami berasa lebih bimbang, ditambah pula dengan khabar-khabar yang mengatakan sudah ada kematian di UPSI akibat wabak ini”,tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan agar semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengambil langkah sewajarnya untuk menangani penularan wabak H1N1 di kampus masing-masing dan tidak perlu menunggu arahan pihak Kementerian Pengajian Tinggi sekiranya keadaan serius dan memaksa penutupan kampus dibuat.

Beliau yang mengeluarkan kenyataan tersebut mengatakan masih belum ada mana-mana IPTA yang membuat laporan untuk menutup kampus setakat ini.

Sebelum ini, UPSIkini melaporkan timbul desas-desus yang mendakwa UPSI bakal ditutup sekali lagi berikutan penularan wabak ini meskipun telah ditutup awal bulan lalu.

Sehingga kini, 64 orang dilaporkan meninggal dunia akibat H1N1 di negara ini.

Pro Kebajikan : Penyebaran 'flyers' satu konspirasi

Tanjong Malim, 17 Ogos - Pengedaran flyers yang mengaitkan isu konsert dengan Timbalan Naib Canselor (HEP&A) Prof Dr. Shaharudin Abd Aziz didakwa Pro Kebajikan sebagai konspirasi yang bertujuan memburukkan nama Pro Kebajikan. Dakwaan tersebut dibuat Pengerusi Pro Kebajikan UPSI selepas beberapa tohmahan mengaitkan Pro Kebajikan dan flyers tersebut.

Penyebaran flyers yang menyentuh isu konsert dan TNC HEP itu antara lain mendakwa segala yang berlaku adalah berpunca daripada tindakan Prof Dr. Shaharudin yang tidak mengambil sebarang tindakan atas desakan membatalkan konsert tersebut.

Flyers yang turut memaparkan gambar TNC HEP itu dikatakan diedar di kolej-kolej kediaman beberapa jam sebelum konsert tersebut berlangsung. Berikutan itu, pihak kolej membuat pemeriksaan mengejut di beberapa rumah pelajar untuk mencari bukti bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Pro Kebajikan menafikan tindakan penyebaran flyers tersebut didalangi mereka dan menjelaskan tidaka ada keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi Pro Kebajikan untuk mengedar ‘flyers’.

“Saya nak jelaskan di sini, kami tidak terlibat dengan kerja-kerja tersebut kerana kita sudah tetapkan beberapa tindakan yang diputuskan melalui perbincangan yang dibuat Majis Tertinggi Pro Kebajikan.

“Pertama, kita dah minta wakil kita dalam MPP menyuarakan pandangan dan gesaan dalam mesyuarat mereka tetapi tidak diendahkan. Kemudian kita mengambil keputusan untuk berjumpa TNC sendiri untuk menyampaikan pandangan dan sekali lagi tidak ada respon positif yang diberikan dan tindakan ketiga kita protes melalui tindakan beredar daripada majlis,”jelasnya selepas diminta berbuat demikian.

Tambahnya lagi,”tindakan edar ‘flyers’ tidak ada dalam ketetapan kami dan kami tidak menolak kemungkinan perkara tersebut merupakan konspirasi dan perancangan pihak tertentu yang ingin memburuk-burukkan nama Pro Kebajikan”.

Ketika ditanya adakah Pro Kebajikan bersedia untuk dipanggil memberi penjelasan berhubung perkara tersebut, beliau berkata Pro Kebajikan tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang inginkan penjelasan tetapi mestilah berlaku adil dalam membuat penyiasatan.

“Kita tak ada masalah sekiranya dipanggil untuk memberikan penjelasan dan sehingga hari ini pun beberapa orang telah dipanggil tetapi pihak yang membuat siasatan mestilah berlaku adil dengan membuat perkara yang sama terhadap pihak di sebelah sana”jelasnya.

Lebih RM 8 000 kos bayar artis

Tanjong Malim, 17 Ogos – Penganjuran konsert sempena Pesta Konvokesyen yang berlangsung minggu lalu dilaporkan memakan belanja lebih RM 8 000 untuk kos bayaran kepada artis yang membuat persembahan. Jumlah perbelanjaan tersebut dimaklumkan oleh salah seorang ahli Sakretariat Pesta Konvokesyen kepada UPSIkini semalam.

Menurut ahli sakretariat yang enggan dinamakan itu, jumlah perbelanjaan sebenar untuk keseluruhan konsert pada malam tersebut masih belum diketahui tetapi kos untuk membayar artis yang membuat persembahan tidak kurang daripada RM 8000.

Namun sumber tersebut tidak menjelaskan sama ada bayaran RM 8000 melibatkan ketiga-tiga artis jemputan iaitu Jaclyn Victor, Faizal Tahir dan Kumpulan nasyid Saffone atau sebaliknya.

Mengulas tentang pendedahan tersebut, wakil Pro Kebajikan ketika ditemui malam semalam mengatakan kos tersebut tidak mungkin untuk ketiga-tiga artis tetapi berkemungkinan hanya 2 artis iaitu Jaclyn Victor dan Faizal Tahir.

“Pada pandangan saya kos itu hanya melibatkan 2 artis tersebut iaitu Jaclyn dan Faizal Tahir dan saya yakin itu hanya bayaran nyanyian, tak termasuk kos lain.

“Saya juga difahamkan mereka mempersembahkan 4 buah lagu seorang, jadi kalau dikira dengan nisbah kasar, sebuah lagu yang mereka nyanyikan bernilai RM 1000 dan ini mungkin disifatkan pihak penganjur sesuatu yang berbaloi”ujarnya.

Tambahnya lagi,”Apa yang menjadi tanda tanya di sini adalah mereka boleh beri sejumlah wang kepada artis tersebut dan kemudian membuat kutipan untuk Tabung Pendidikan Kemboja, soalan saya untuk mereka mengapa tidak wang itu atau sebahagian daripadanya terus diberi kepada tabung yang dilancarkan?”

Beliau yang turut membantah penganjuran konsert terbabit turut mendakwa sering diikuti seseorang yang tidak dikenali sejak insiden protes senyap semasa Jaclyn Victor membuat persembahan minggu lalu.

Konsert yang dianjurkan sempena Pesta Konvo minggu lalu menjadi isu hangat di sini meskipun insiden protes senyap sekumpulan pelajar yang membantah penganjuran konsert tersebut sudah berlalu hampir seminggu.

H1N1: Desas-desus UPSI bakal ditutup tersebar luas

Tanjong Malim, 16 Ogos – Penularan wabak H1N1 yang melanda UPSI buat kali kedua selepas diarah tutup awal bulan lalu menjadi perbualan ramai di kalangan mahasiswa di sini.

Berikutan itu, pelbagai desas-desus yang mengatakan UPSI berkemungkinan besar ditutup sekali lagi bagi memastikan UPSI benar-benar bebas daripada wabak tersebut yang sehingga kini mencatatkan kematian sebanyak 62 orang di seluruh negara.

Berita tersebut tersebar luas di kalangan mahasiswa di sini. Dalam pada itu, timbul pula ura-ura mengatakan UPSI akan ditutup selama sebulan dan takwim pengajian bakal dirombak semul adengan memendekkan cuti pada hujung semester. Namun, cakap-cakap itu disangkal beberapa pihak kerana tidak mempunyai justifikasi yang jelas mengapa tempoh cuti tersebut begitu lama.

Bagi pelajar Sabah dan Sarawak pula, mereka sekali lagi diundang perasaan bimbang dengan keadaan yang berlaku. Ada di kalangan mereka yang tertunggu-tunggu berita dari peihak pentadbiran UPSI tentang perkara tersebut bagi membolehkan mereka menempah tiket untuk pulang ke kampung seperti rakan-rakan mereka yang tinggal di semenanjung tanah air.

Sementara itu, ada pihak yang tidak bersetuju tindakan memberi cuti sebagai langkah menghindar daripada warga UPSI terkena jangkitan tersebut kerana tindakan tersebut dikatakan tidak praktikal dan hanya akan menjejaskan banyak perkara.

Antaranya adalah jadual pengajian yang akan tergendala dan risiko penyebaran wabak terbabit ke merata tempat apabila semua pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Untuk rekod, undian berkenaan kewajaran tindakan memberi pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing berikutan penularan wabak H1N1 pernah dijalankan UPSIkini dengan catatan peratusan yang setara antara undian setuju dan tidak setuju.

UPSI sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkembangan ini dan dikatakan hanya akan berbuat demikian sekiranya mendapat arahan daripada kementerian berkaitan.

August 16, 2009

Pesta Konvo : Perbelanjaan menjangkau RM75000, berlaku pertikaian dalaman

Tanjong Malim, 16 Ogos – Pesta Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baru berakhir malam semalam mencatatkan jumlah perbelanjaan keseluruhan menjangkau RM 75 000. Jumlah perbelanjaan ini dikatakan anggaran kasar yang dibuat selepas menilai setiap kos dan bayaran yang dibuat sepanjang Pesta Konvo berlangsung.

Sumber yang mendedahkan perkara tersebut mengatakan wujud pertikaian daripada salah seorang penasihat program yang juga merupakan pegawai yang dipertanggungjawabkan dalam mengawal perbelanjaan Pesta Konvo kali ini dengan Pengarah Program, Syaiffuldin Mohamad.

Katanya, pegawai tersebut sering diketepikan dalam membuat keputusan yang melibatkan keperluan sesuatu perbelanjaan dan mendakwa seolah-olah keputusan penuh hanya terletak pada Sayiffuldin. Dalam pada itu, sehingga kini pegawai terbabit dilaporkan masih belum mendapat maklumat secara terperinci ke mana pengaliran wang yang dibelanjakan.

Sumber turut menambah, terdapat beberapa perbelanjaan yang tidak dipersetujui pegawai terbabit namun tetap dibuat atas penetapan yang dikeluarkan Syaiffuldin. Antara yang dipertikai pegawai terbabit adalah arahan pembayaran baju sakretariat Pesta Konvo kali ini meskipun jumlah perbelanjaan sudah melebihi daripada yang ditetapkan.

Dalam pada itu, tindakan Syaiffuldin yang dikatakan membuat perbelanjaan tanpa mengikut keperluan dan bertindak sebagai pemutus dalam setiap keputusan didakwa mendapat sokongan daripada Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Encik Faiezi Othman.

Pesta Konvokesyen kali ini dikatakan antara yang banyak menimbulkan kontroversi berikutan bantahan luar biasa terhadap penganjuran konsert artis jemputan dan pengisian Forum Perdana Ehwal Islam yang menyentuh isu tersebut sehari selepas konsert dijalankan.

61% sokong tak setuju konsert


Tanjong Malim, 16 Ogos – Undian yang dibuat UPSIkini bagi mendapatkan pendapat berkenaan penganjuran konsert sempena Pesta Konvo mencatatkan peratusan tidak setuju mengatasi peratusan setuju.

Dengan jumlah undian keseluruhan sebanyak 367 undi, sejumlah 227 undi atau 61% daripadanya tidak setuju dengan penganjuran konsert sempena Pesta Konvo manakala 140 undi atau 38 % berpendapat sebaliknya.

Sejak undian tersebuut dibuka, perbezaan peratusan undian dilaporkan tidak begitu ketara pada awalnya namun peratusan tidak setuju naik secara mendadak selepas program Forum Perdana Ehwal Islam diadakan yang dikatakan menyentuh isu konsert tersebut.

Dalam pada itu, timbul beberapa pendapat mengatakan berkemungkinan undian bukan hanya di kalangan pelajar malah melibatkan kakitangan UPSI dan orang luar yang mengunjungi blog UPSIkini.

Isu konsert mula menjadi perhatian ramai pihak selepas wujud sekumpulan pelajar yang membantah penganjurannya dan insiden protes senyap yang dibuat semasa persembahan Jaclyn Victor apabila sekumpulan pelajar meninggalkan tempat duduk masing-masing secara beramai-ramai sebaik sahaja Jaclyn naik ke pentas.

Mahasiswa resah kes H1N1 di UPSI

Tanjong Malim, 16 Ogos – Penyebaran wabak H1N1 di UPSI sejak kes yang berlaku awal bulan lalu sehingga memaksa penutupan kampus utama dan kolej-kolej kediaman sekali lagi menimbulkan suasana resah di kalangan mahasiswa di sini.

Ini berikutan perintah kuarantin ke atas beberapa pelajar yang dikatakan disyaki terkena jangkitan H1N1 minggu ini dikatakan semakin meningkat dan desas-desus mengaakan UPSI mungkin ditutup sekali lagi.

Dalam beberapa tinjauan yang dibuat UPSIkini, rata-rata mahasiswa masih tertanya-tanya apakah status dan kedudukan sebenar berkenaan tahap penularan wabak tersebut di UPSI.

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, saudara Zulhilmi Mohd Noor ketika diajukan persoalan ini berkata, UPSI belum lagi menerima arahan daripada mana-mana pihak untuk mengisytiharkan UPSI sebagai lokasi panas H1N1.

“Setakat ini memang ada kes yang membawa kepada arahan kuarantin ke atas beberapa pelajar namun kita belum lagi menerima arahan penutupan atau diisytiharkan sebagai lokasi panas H1N1”.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang ini adalah mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut semua saranan pencegahan jangkitan H1N1 yang dianjurkan Kementerian Kesihatan”,jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan mengisytihar kawasan tertentu sebagai lokasi panas H1N1 adalah tidak wajar dan sukar untuk diklasifikasikan kerana wabak tersebut sudah merebak merentas sempadan.

Sehingga kini, jumlah kematian akibat H1N1 meningkat kepada 59 orang dalam kes yang dilaporkan di seluruh negara.

August 15, 2009

H1N1 : UPSI mungkin ditutup sekali lagi

Tanjong Malim, 15 Ogos – Penularan wabak H1N1 yang kembali melanda UPSI sekali lagi mewujudkan suasana bimbang di kalangan warga UPSI di sini.

Sehingga semalam, UPSIkini dilaporkan seramai 13 orang pelajar UPSI dikuarantin kerana disyaki terkena jangkitan H1N1. Jumlah ini dikatakan berkemungkinan meningkat berdasarkan bilangan pelajar yang mengadu demam dan mengalami simptom-simptom jangkitan H1N1 seperti batuk, sakit-sakit badan, sakit tekak beberapa simptom lain.

Berikutan itu, timbul desas-desus mengatakan UPSI mungkin ditutup sekali lagi sekiranya pelajar-pelajar yang dikuarantin disahkan positif dijangkiti H1N1. Ini berikutan peningkatan mendadak bilangan mereka yang mati akibat wabak ini sehingga mencecah 56 orang di seluruh negara sehingga semalam.

Namun kenyataan rasmi berkenaan perkembangan wabak ini di UPSI masih belum dikeluarkan daripada pihak pentadbiran.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan melalui Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican mendedahkan sebanyak 40% kes kematian akibat H1N1 berpunca kerana kelewatan mendapat rawatan awal dan 13% pula akibat kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan.

Dalam kenyataan tersebut juga, beliau menasihatkan agar mereka yang mengalami simptom dijangkiti H1N1 tidak pergi ke tempat kerja atau ke tempat-tempat awam dan dikehendaki berehat di rumah sehingga sembuh.

UPSI sebelum ini memberi kebenaran kepada mana-mana pelajar atau kakitangan UPSI untuk terus bercuti sekiranya mendapati mereka mengalami simptom-simptom H1N1 dengan mengemukan sijil cuti sakit kepada pihak universiti.

August 14, 2009

H1N1 : Lagi dikuarantin

Tanjong Malim, 14 Ogos – Dalam kegembiraan para graduan menerima ijazah sempena Majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-11 sidang kedua di samping sambutan Pesta Konvokesyen minggu ini, beberapa pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dilaporkan dikuarantin hari ini kerana disyaki terkena jangkitan H1N1.

Menurut sumber, kesemua mereka merupakan pelajar DPLI yang tinggal di Taman Bahtera, Hulu Bernam.

Bilangan sebenar mereka yang dikuarantin masih belum dikenal pasti, kata sumber. Tindakan mengkuarantin semua pelajar terbabit dibuat setelah mendapati mereka mengalami simptom-simptom jangkitan tersebut.

Sehingga kini, masih belum ada maklumat terperinci dikeluarkan sama ada mereka positif H1N1 atau sebaliknya.

UPSI sebelum ini ditutup lebih seminggu berikutan penularan wabak terbabit. Sehingga kini 56 kematian dicatatkan akibat H1N1 di seluruh negara.

ADUN Slim jadi ‘pengikut’ UPSIkini

Tanjong Malim, 14 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri Slim (N58 Slim), Dato’ Khusairi Talib dilaporkan menjadi salah seorang pengikut (follower) UPSIkini apabila blog peribadinya tersenarai dalam ruangan follower UPSIkini.

Beliau yang menggunakan nama “Wangsa Setia” untuk tajuk blog beliau dikenalpasti mula menjadi pengikut UPSIkini semalam, 13 Ogos 2009.

Khusairi yang telah menjadi ADUN selama 2 penggal di DUN Slim merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim dan Setiausaha UMNO negeri Perak.

Untuk rekod, blog beliau merupakan pengikut ke-85 UPSIkini sejak blog ini dibuka September tahun lalu.