June 26, 2011

Konvo: Bakal graduan boleh mula semak tarikh rasmi

Tanjong Malim, 26 Jun - Tarikh rasmi Konvokesyen Ke-13 telah dimaklumkan kepada seluruh bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris bermula hari ini, 26 Jun 2011 menerusi laman rasmi Konvokesyen Upsi (klik).

Bakal graduan boleh mula menyemak tarikh konvo masing-masing, mengesahkan status kehadiran serta memuat turun borang-borang yang berkaitan menerusi laman rasmi Konvokesyen tersebut.

Upsikini mengucapkan sekalung tahniah buat semua bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. Teruskan bersama Upsikini.

BERSIH 2.0: Ramai mahasiswa Upsi dijangka terlibat

Tanjong Malim, 26 Jun – Perhimpunan BERSIH 2.0 atau Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil yang akan diadakan pada 9 Julai ini dijangka turut disertai oleh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tinjauan Upsikini menerusi laman sosial Facebook, mendapati pelbagai ‘page’ komuniti mahasiswa Upsi seperti Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) serta individu-individu tertentu giat mempromosikan agar mahasiswa Upsi turut serta dalam perhimpunan menuntut demokrasi lebih telus, adil dan dinamik itu.

Dalam pada itu, terdapat ramai mahasiswa Upsi memberi sokongan di Facebook masing-masing dengan memakai ‘badges’ BERSIH pada gambar ‘profile’ masing-masing.

Selain itu, wacana BERSIH giat dibincangkan di beberapa ‘wall’ Facebook komuniti mahasiswa Upsi. Pelbagai pandangan pro dan kontra ditimbulkan antaranya menurut Nurul Husna, katanya ‘berhimpun di masjid lagi baik’, Vicky ‘ jangan menjadi pengampu kepada sesiapa,’ dan menurut Nieya ‘disebabkan kematanganlah kami nak support BERSIH’.

Dalam hal berkaitan, setakat ini pihak universiti tidak mengeluarkan sebarang amaran kepada mahasiswa yang menyertai himpunan tersebut.

Himpunan aman tersebut menuntut 8 pembaharuan dalam pilihanraya agar lebih telus iaitu bersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, guna dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam dan hentikan politik kotor.

June 24, 2011

Siswi Upsi, reka video sedarkan rakyat tentang despotism

Tanjong Malim, 24 Jun - Seorang mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris dikatakan telah mereka satu video klip bertajuk "Mari Mengundi: Pilihan Ditangan Anda"(klik) yang telah dimuat turun menerusi laman Youtube dan Facebook.

Video selama 7:36 minit tersebut memuatkan pendedahan despotism (kezaliman), kesakitan sosial masyarakat dan memberi gambaran pergolakan sosial politik yang berlaku dalam negara.

Ianya dikatakan antara usaha murni beliau menyedarkan seluruh rakyat termasuk mahasiswa tentang peranan mereka dalam sebuah negara demokrasi. Peranan menentang kezaliman dan kerosakan masyarakat dengan pelbagai penyakit sosial hasil dari pergolakan politik.

Mengulas video tersbut, Koordinator MP menyatakan bahawa, video tersebut merupakan satu manifestasi kesedaran mahasiswa kini terhadap apa yang berlaku dalam negara. Ini adalah satu perkara positif dan sepatutnya bagi mahasiswa.

Bahagian Akademik; Jangan sebar, tarikh konvo belum rasmi

Tanjong Malim, 24 Jun – Wakil bahagian akademik Upsi menegur bakal graduan yang menyebarkan tarikh konvokesyen mengikut fakulti di media sosial Facebook hari ini kerana dikatakan tarikh tersebut belum rasmi.

Menurut wakil Bahagian Akademik, En. Redzuan yang menegur seorang bakal graduan yang menyebarkan tarikh konvo belum rasmi itu menyatakan “saya faham, pihak pengurusan ada masalah tertentu kenapa lambat keluarkan tarikh (sesi setiap program), bukan senang sebab melibatkan banyak pihak, saya harap semua pelajar faham dan bersabar ek...konvokesyen ni bukan sahaja untuk pelajar tapi ada lagi pihak lain, contoh..untuk penganugerahan ijzah kehormat, pemilihan anugerah-anugerah pelajar cemerlang, tarikh istana dan pelbagai lagi, sekali saya mohon maaf ”

Tambah beliau lagi “Insya Allah 26 hari bulan ni akan keluar la semuanya jika tiada apa-apa masalah. walau apa pun ..sentiasa lah lihat pengumuman yng akan dikeluarkan oleh Unit Pengijazahan, Bahagian Hal Ehwal Akademik dalam portal, dalam Fb dan juga laman web khas untuk konvokesyen...Terima kasih “ ujarnya kepada seorang mahaisiswi menerusi laman sosial Facebook.

Dalam hal berkaitan , keputusan rasmi tarikh konvokesyen bagi setiap program menurut beliau dijangka dikeluarkan pada 26 Jun ini.

Bakal graduan sebar tarikh konvo terkini

Tanjong Malim, 24 Jun- Berhubung rungutan tentang tarikh konvokesyen yang masih belum dikeluarkan universiti, beberapa bakal graduan hari ini mengeluarkan tarikh konvokesyen mengikut fakulti masing-masing menerusi laman sosial Facebook.

Tarikh tersebut dikatakan telah dikeluarkan oleh Unit Pengijazahan Upsi namun masih belum dimasukkan dimana-mana portal Upsi untuk hebahan kepada seluruh bakal graduan yang layak bergraduasi.

Mengikut sumber Unit Pengijazahan yang diperolehi Upsikini, tarikah tersebut bermula 26 Julai didahului sesi pagi oleh ISMP Muzik, ISMP DPAKK dan sesi petang ISMP Sastera Melayu, ISMP Teknologi Reka Bentuk Perkomputeran, ISMP Moral, ISMP Matematik

Pada 27 Julai pula diikuti oleh ISMP Pendidikan Khas dan ISMP Geografi pada sesi pagi manakala pada sesi petang ISMP Perakaunan, ISMP Sains Sukan, ISMP Keusahawanan Perdagangan dan ISMP Pendidikan Seni.

Dalam pada itu, pada 28 Julai sesi pagi dimulakan dengan ISMP Sains, Pengurusan Perniagaan, Matematik, Pengurusan Pendidikan dan sesi petang diikuti ISMP Kemahiran Hidup dan Seni Komunikasi Visual.

Pada 29 Julai, sesi pagi dimulakan ISMP Bimbingan dan Kaunseling, Sains Kejurulatihan, Pendidikan Islam, Multimedia dan Teknologi Maklumat manakala disebelah petang diikuti ISMP Sejarah, Ekonomi dan Psikologi Sukan.

Pada hari terakhir 30 Julai akan diselesaikan konvokesyen bagi ISMP TESL dan Bahasa Melayu. Sumber ini diperolehi menerusi Unit Pengijazahan Bahagian Akademik UPSI namun masih belum dikeluarkan secara rasmi menerusi MyUpsi Portal.

Konvo: Bakal graduan merungut tarikh belum keluar

Tanjong Malim, 24 Jun - Tarikh konvokesyen bagi mahasiswa yang bakal bergraduat pada Julai ini masih belum dikeluarkan oleh universiti. Hal ini menyebabkan ramai mahasiswa merungut kerana tarikh yang tepat masih belum diketahui dan menyebabkan mereka sukar menyusun jadual.

Dalam pada itu, menerusi satu komen di Facebook, seorang mahasiswi yang bakal bergraduat menyatakan "pihak universiti perlu mengeluarkan tarikh dan maklum balas secepat mungkin kepada pelajar agar mereka faham dan mengetahui maklumat terkini".

Dalam hal berkaitan, walau pun tarikh konvokesyen secara umumnya telah dinyatakan bermula 26-30 Julai 2011, namun tarikh khusus mengikut fakulti masih belum dikeluarkan dan ini menyukarkan bakal graduan menyusun waktu dengan keluarga untuk menghadiri konvokesyen.




June 23, 2011

Penduduk harap pesta konvo tidak dicemari aktiviti keterlaluan

Tanjong Malim, 23 Jun – Penduduk sekitar tanjong Malim berharap pesta konvo yang akan berlangsung pada akhir bulan depan berlangsung dalam keadaan baik tanpa dicemari aktiviti yang berunsur maksiat.

Tarikh konvokesyen pada kali ini akan berlangsung pada 26 hingga 30 Julai depan dan pada waktu itu juga umat islam seluruh negara bakal menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh kemuliaan.

Penduduk sekitar menyatakan kebimbangan mereka kerana pengalaman mereka sebelum ini yang mengikuti pesta konvokesyen UPSI banyak dicemari dengan program yang lalai serta berbentuk hiburan yang bercanggah dengan ajaran Islam dan adat ketimuran.

Seorang pesara kerajaan yang mahu identitinya dirahsia, berharap agar pihak penganjur dapat membuat aktiviti berfaedah yang dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dan dapat membantu mengurangkan gejala keruntuhan akhlak yang begitu teruk sekarang.

“ Saya harap sebagai sebuah universiti pendidikan tunggal dalam negara, mereka dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat, bukan makin menambah masalah dengan membuat aktiviti maksiat dan ajak orang sekitar untuk pergi, ujarnya dengan nada kecewa.”

“ Kami juga tidak mahu kemuliaan Ramadhan pada tahun ini disambut dengan pesta yang bercampur kemaksiatan yang boleh mendatangkan kemurkaan daripada Allah S.W.T.

Dalam perkembangan lain, mereka turut menyatakan kesediaan untuk bertemu Dato’ Aminah Ayob bagi menyatakan bantahan jika aktiviti keterlaluan masih diteruskan.

“ Dalam soal ini kami memang tegas, dan kami akan menghadap bos dia ( Aminah Ayob ) jika aktiviti yang keterlaluan masih dibuat, katanya dengan nada tegas.”

June 21, 2011

BHEA jumpa MPP esok - selesaikan kemelut

Tanjong Malim, 21 Jun – Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) akan membuat pertemuan bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI bagi member penerangan kepada badan pelajar tersebut berkaitan kewujudan semester khas.

Tindakan tersebut dibuat kerana pihak Akademik tidak senang dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh YDP MPP, saudara Muhammad Afiq Fikri yang membuat kenyataan terbuka bahawa pihak akademik berbohong kepada pelajar.

Oleh itu, pertemuan tersebut akan memberi peluang kepada MPP dan BHEA untuk menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku. “ Pihak BHEA telah mengambil langkah untuk bertemu dan berbincang dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada 22 Jun 2011 bagi menyoroti dengan lebih mendalam tentang isu ini, tulisnya melalui email.”

Dalam pada itu, menerusi email yang dihantar, pihak akademik memberikan rasional pihak universiti mewujudkan semester khas ini dengan beberapa alasan;

Pertama, cuti semester yang panjang. Berikutan cuti semester yang panjang, pihak pengurusan universiti mencadangkan supaya mengadakan semester khas bagi memastikan cuti pelajar dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat. Cuti semester ini sebenarnya wujud atas sebab perubahan takwim pengajian universiti di semua IPTA.

Kedua, untuk cater pelajar antarabangsa dan pertukaran pelajar.

Ketiga, berdasarkan soal selidik dengan pelajar. Sebelum pelaksanaan semester khas, pihak BHEA telah menjalankan satu soal selidik (survey) terhadap pelajar bagi mendapatkan maklumbalas awal dari pihak pelajar sama ada pihak pelajar setuju atau tidak dengan cadangan pelaksanaan semester khas ini. Output akhir dari soal selidik itu, mendapati para pelajar sangat berminat dengan pelaksanaan semester khas ini.

Keempat, berdasarkan soal selidik dengan IPTA lain. Pihak BHEA juga telah melaksanakan soal selidik dengan IPTA lain bagi mendapatkan perbandingan antara IPTA yang melaksanakan semester khas. Ini bagi mendapatkan penanda arasan sama ada semester khas ini sesuai dilaksanakan ataupun tidak.

"Untuk makluman, semester khas ini tidak diwajibkan kepada semua pelajar tetapi hanya ditetapkan sebagai pilihan bukan wajib (optional). Keputusan pelaksaan semester khas ini juga tidak melibatkan keputusan pihak luar atau desakan mana-mana pihak lain, ujarnya."

June 20, 2011

Universiti lepas tangan

Tanjong Malim, 20 Jun – Pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil keputusan untuk tidak bertanggungjawab keatas pelajarnya yang disenaraihitam oleh pihak KementerianPelajaran Malaysia ekoran kelewatan mereka membayar yuran pengajian.

Sementar itu, nasib sama juga terpaksa ditanggung lebih 300 pelajar tajaan KPM yang hanya menerima bayaran biasiswa berjumlah kurang RM2000 berbanding RM3700 yang sepatutnya.

Barisan MPP dilaporkan telah membuat pertemuan dengan Dato’ Naib Canselor bagi menyelesaikan masalah yang menimpa pelajar tajaan KPM. Namun pertemuan tersebut dilaporkan amat mengecewakan apabila beliau tidak mahu bertanggungjawab atas masalah tersebut malah meletakkan kesalahan tersebut kepada para pelajar.

Dalam perkembangan lain, pihak university tidak pernah memaklumkan kepada pihak KPM tentang semester khas yang harus dilalui pelajar. Pihak KPM juga turut mempersoalkan tindakan UPSI yang membuat keputusan tanpa member makluman kepada mereka dan pihaknya hanya mengetahui perkara tersebut melalui pelajar yang menelefon untuk bertanya berkaitan bayaran KPM.

Amirul Afzan, Exco Kebajikan dan Perkhidmatan MPP dalam reaksinya melalui facebook melahirkan perasaan kecewa dengan keputusan yang dibuat Dato’ NC. “Pihak universiti seolah-olah tidak meletakkan kebajikan pelajar sebagai priority utama sebaliknya hanya menumpukan kepada prestasi kecemerlangan semata-mata, tulis beliau.”

Masalah ini sepatutnya bukan hanya perlu ditanggung pelajar kerana pihak universiti juga melakukan kesilapan tidak memaklumkan sebarang pemberitahuan kepada pihak KPM. Universiti diharap dapat mengambil tindakan bijak demi memastikan kebajikan para pelajarnya.

June 5, 2011

Pihak akademik tipu pelajar – Afiq Fikri

Tanjong Malim, 5 Jun - Muhammad Afiq Fikri petang tadi telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihak akademik bersikap tidak adil apabila memberi maklumat yang palsu kepada pelajar.

Beliau mengeluarkan reaksi tersebut ekoran masalah pemotongan bayaran biasiswa kepada pelajar tajaan KPM disebabkan adanya semester khas kali ini. Pihak akademik dikatakan memberi alasan kepada pelajar yang menghubungi mereka bahawa semester khas yang diadakan sekarang adalah atas permintaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Yang Dipertua MPP itu kemudian berang apabila ramai pelajar yang menghubunginya dan memberitahu maklumat tersebut diperolehi daripada bahagian akademik UPSI.

Beliau menyatakan bahawa tindakan tersebut merupakan satu pembohongan dan sebagai cubaan melepaskan diri bagi pihak akademik dalam berdepan dengan pertanyaan para pelajar. Beliau membidas tindakan tersebut yang disifatkan sebagai tidak professional kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti Majlis Perwakilan Pelajar.

Isu tersebut menjadi semakin tegang apabila pelbagai jawapan yang wujud selepas pihak KPM mengkreditkan wang tajaan kepada pelajarnya mengikut perkiraan dari tempoh 1 Julai hingga 11 September.

Pihak universiti diminta tampil dengan penjelasan yang wajar supaya kekeliruan ini dapat dirungkai lebih-lebih lagi pihak KPM dilaporkan tidak mendapat sebarang surat makluman daripada pihak universiti berkaitan semester khas yang diwujudkan ini.