November 28, 2013

PRK: Hanya 53% keluar mengundi

Tanjong Malim, 28 Nov- Keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) UPSI yang diumumkan lewat petang tadi menyaksikan hanya 53% daripada lebih 13000 mahasiswa turun menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jumlah tersebut dilaporkan lebih rendah berbanding tahun lalu yang dilaporkan lebih 60% keluar mengundi.

Menurut wakil Mahasiswa Pendidik (MP), Abdul Hakim peratusan keluar mengundi kali ini menurun dan ia agak mengecewakan. Mahasiswa sebahagiannya kurang sedar tanggungjawab sivil mereka untuk memilih pemimpin.

Beliau turut menyatakan, kesedaran mahasiswa untuk menunaikan tanggungjawab mengundi wajar diberi perhatian.

Mahasiswa hilang motor di pustaka

Tanjong Malim, 28 Nov - Seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Eddy dilaporkan hilang motosikal di kawasan parkir Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI lewat petang tadi.

Motorsikal yang bernombor pendaftaran AJB 1576,  Yamaha LC 135,  bewarna merah dilaporkan hilang di parkir perpustakaan sewaktu mempunyai urusan akademik disana.

Mangsa memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat melaporkan kejadian tersebut kepadanya.

Dalam pada itu, kejadian tersebut dilaporkan menjadi buah mulut mahasiswa tentang isu keselamatan di kampus yang wajar diberi perhatian pihak pengurusan.

Seperti dijangka, Carmen Ng menang kerusi FBK

Tanjong Malim, 28 Nov - Seperti yang dijangka, calon non-muslim yang mewakili Mahasiswa Pendidik (MP), Carmen Ng (gambar) menang kerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi dalam pemilihan MPPUPSI.

Beliau yang juga mahasiswa Pendidikan TESL dilaporkan memperoleh undi majoriti mahasiswa daripada fakulti tersebut.

Denga kemenangan tersebut, Carmen sekaligus mewakili mereka dalam kabinat Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUPSI) bagi sesi depan.

Keputusan PRK: We Love UPSI hilang dominasi

Tanjong Malim, 28 Nov- Keputusan PRK Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diumumkan lewat petang tadi menyaksikan kumpulan We Love UPSI (Pro-Aspirasi) hilang dominasi apabila hanya menang 13 daripada 29 kerusi.

Dalam pada itu, kumpulan Pro-Mahasiswa terdiri daripada gabungan Mahasiswa Pendidik dan IM UPSI menang 10 kerusi masing-masing 2 kerusi umum dan 8 fakulti.

Manakala, satu lagi  kumpulan yang baru dikenali dengan Rintis UPSI dilaporkan menang 6 kerusi.

Keputusan tersebut dilihat jelas memberi gambaran bahawa mahasiswa semakin cenderung menolak calon We Love UPSI (Pro Aspirasi) yang ditaja TNCHEPA Dato' Dr Junaidi (DDJ).




PRK: Dua wakil MP menang undi popular

Tanjong Malim, 28 Nov -  Calon umum kumpulan Mahasiswa Pendidik (MP), Abdul Hakim Wan Mohd Nor  dilaporkan  menang undi popular pada pemilihan MPPUPSI yang diumumkan lewat petang tadi.

Beliau dilaporkan mendapat undi majoriti mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan jumlah undi 4047.

Dalam pada itu, calon kedua Mohamad Syafiq Zainal yang turut mewakili Mahasiswa Pendidik(MP)  mendapat undi kedua tertinggi dengan jumlah undi sebanyak 4010.

Walau bagaimanpun calon utama  tajaan TNC HEPA Dato' Dr Junaidi (DDJ) dari We Love UPSI (Pro Aspirasi), Syahmi Aiman dilaporkan mendapat undi ketiga tertinggi sebanyak 3992.

Dalam hal berkaitan, keputusan PRK kali ini dilaporkan memberi tamparan hebat kepada DDJ ekoran kekalahan calon We Love UPSI ( Pro Aspirasi) yang hanya memenangi 13 kerusi.


November 26, 2013

PRK: TNC HEPA bebal, langgar janji NC

Tanjong Malim, 26 Nov - Tindakan TNC HEPA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dato Dr Junaidi (DDJ) dianggap bebal oleh sebahagian mahasiswa ekoran tindakan beliau yang dilihat tidak telus dan profesional dalam mengendalikan Pilihanraya Kampus sekaligus melanggar janji Naib Canselor.

Naib Canselor, Prof  Datuk Dr Zakaria Kasa dalam satu pertemuan bulanan kakitangan UPSI baru-baru ini menyatakan bahawa pihak pentadbiran akan mengendalikan Pilihanraya Kampus dengan sihat dan bebas.

Walau bagaimanapun tindakan TNC HEPA tersebut dilihat bercanggah dengan komitmen NC sekaligus melanggar janji pemimpin tertinggi universiti.

Dalam pada itu, menurut beberapa mahasiswa, tindakan DDJ tersebut sudah dijangka dan mereka akan mengambil tindakan selanjutnya.

MP persoal ketelusan HEP kendali PRK

Tanjong Malim, 26 Nov - Kumpulan Mahasiswa Pendidik (MP) hari ini mempersoalkan ketelusan pihak HEP mengendalikan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ekoran tindakan TNC HEPA Dato' Dr Junaidi (DDJ) mempromosi calon We Love UPSI dilaman sosial Facebook miliknya.

Menurut MP, "mereka (HEP) turut sama berkempen untuk meraih undi mahasiswa bagi calon pilihan mereka. Dimana ketelusan dalam pilihan raya kampus? "

Mereka turut memberi amaran "sekali lagi diingatkan, Plilihanraya Kampus medan untuk mahasiswa membuka mata,mematangkan minda, melihat dengtan mata hati pilihan sebenar Majlis Perwakilan Pelajar untuk mengurus tadbir kebajikan mereka. Tolak Campur Tangan Pentadbir! Amaran Mahasiswa. Pilihan Raya Kampus Untuk Mahasiswa. " ujar mereka menerusi Facebook.

Dalam hal berkaitan Mahasiswa Pendidik dilaporkan telah menghantar memorandum kepada Naib Canselor Prof Datuk Dr Zakaria Kasa menuntut PRK dikendalikan dengan bersih dan adil. NC dilaporkan memberi respon dan berjanji ianya akan dikendalikan dengan sihat dan bebas.

TNC HEPA kempen calon Pro Aspirasi

Tanjong Malim, 26 Nov - Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Alumni (TNC HEPA), Dato' Dr Junaidi Abu Bakar dilaporkan bertindak tidak profesional apabila didakwa secara jelas mempromosi calon We Love UPSI (Pro Aspirasi UPSI) di laman sosial miliknya.

Antara bukti dari Facebook Legasi
Mahasiswa Progresif
Beliau dilaporkan secara jelas memuatkan gambar-gambar kempen beberapa calon dan memberi kredit supaya mahasiswa mengundi calon pilihannya.

Dalam pada itu, menurut Koordinator Mahasiswa Pendidik (MP), Abdul Hakim, perkara tersebut jelas melanggar etika sebagai jawatankuasa pemilihan yang sepatutnya bertindak bebas tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Untuk rekod, TNC HEPA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga merupakan AJK UMNO Bahagian Kuala Krai.

MP pecah tradisi, tonjol calon non-muslim

Tanjung Malim, 26 Nov -Kumpulan Mahasiswa Pendidik (MP) yang dikenali dengan citra Islam mereka telah memecah tradisi pada PRK kali ini dengan menonjolkan calon non-muslim sebagai sekutu kumpulan tersebut.

Calon dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Carmen Ng yang merupakan mahasiswi semester 3 program Pendidikan TESL dilihat tekad bersama MP dalam pemilihan MPP kali ini.

Selain itu, dilaporkan mereka turut mensasarkan akan menyapu bersih kerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi pada sesi pemilihan kali ini.

Kumpulan MP dan IM berpakat sasar kuasai MPP

Tanjong Malim, 26 Nov - Kumpulan Mahasiswa Pendidik ( MP) dan I AM UPSI (IM) telah mewujudkan pakatan sasar kuasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUPSI).

Menurut Koordinator MP (gambar) yang juga calon umum, Abdul Hakim, pakatan mahasiswa ini diwujudkan bagi mengukuhkan suara mahasiswa yang mensasarkan kemenangan, seterusnya menguasai MPP.

Pakatan mahasiswa tersebut dikatakan cukup yakin untuk memenangi keseluruhan kerusi yang ditandingi bagi mengatasi seteru politik mereka seterusnya menguasai kepimpinan MPPUPSI.

PRK: 17 tanding kerusi umum

Tanjong Malim, 26 Nov - Seramai 17 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertanding merebut 5 kerusi umum pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUPSI) bagi sesi 2014 pada sesi penamaan calon semalam.

Pertembungan 17 calon umum ini merupakan antara pemilihan yang paling sengit berlaku membabitkan beberapa kumpulan terdiri daripada Mahasiswa Pendidik (MP) ,  IM UPSI (Pro Mahasiswa), We Love UPSI (Pro Aspirasi), Rintis UPSI ( Pro Aspirasi -bebas-Pembina) dan beberapa calon bebas.

Untuk makluman,tempoh kempen telah bermula semalam dan pembuangan undi diadakan pada 28 November ini.




November 23, 2013

PRK: Kempen tiga hari tak cukup

Tanjong Malim, 23 Nov - Beberapa kumpulan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menyatakan bahawa tempoh kempen selama tiga hari dalam pemilihan MPP tidak mencukupi.

Menurut Wan menerusi email, tempoh tersebut tidak mencukupi bagi mahasiswa berkempen memandangkan mereka juga mempunyai kekangan masa untuk ke kuliah dan sebagainya.

"Tiga hari mahasiswa tidak punyai masa yang cukup untuk kenal pasti calon pilihan mereka. Ditolak hari penamaan calon dan hari pengundian sebenarnya tak sampai 3 hari pun. Saya rasa tempoh sesuai mungkin 5 hari. " ujarnya.

Pihak JHEPA wajar memanjangkan tempoh kempen bagi menyuburkan kesedaran sivil mahasiswa agar sedar tanggung jawab memilih pemimpin.

Dengan tempoh kempen 3 hari saya rasa kurang 50% mahasiswa turun mengundi"

Untuk makluman, tempoh kempen Pilihanraya Kampus UPSI bermula pada 25 hingga 27 November 2013. 28 November merupakan hari mengundi.

November 22, 2013

HEP: Berpurdah dilarang dalam etika pakaian

Tanjong Malim, 22 Nov. - Pemakaian purdah bagi mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak dibenarkan mengikut kod etika pakaian perempuan universiti tersebut.

Mengikut kod  Etika Pakaian Perempuan yang dikeluarkan pihak universiti," 2.6)Tudung kepala yang menutup sebahagian atau seluruh muka (berpurdah) tidak dibenarkan."

Dalam pada itu, pihak pengurusan menyatakan tidak timbul isu diskriminasi kerana berpurdah memang tidak dibenarkan dalam kod etika pakaian perempuan yang dikeluarkan universiti.

Dalam hal berkaitan, semalam kumpulan Mahasiswa Pendidik (MP) mendakwa wujud diskriminasi pihak staf kolej terhadap mahasiswi berpurdah.

November 21, 2013

MP dakwa staf kolej diskriminasi mahasiswi berpurdah

Tanjung Malim, 21 Nov.- Kumpulan Mahasiswa Pendidik (MP) menerusi laman sosialnya hari ini mendakwa wujud diskriminasi staf kolej terhadap mahasiswi yang memakai purdah.

Menurut mereka, wujud segelintir  staf kolej yang tidak melayan mahasiswi berpurdah dan menganggap boleh mengancam keselamatan UPSI.

"Staf kolej tidak melayan mereka yang berpakai purdah dan menganggap mereka ini boleh mengancam keselamatan UPSI, " ujar mereka menerusi laman sosial Facebook.



Katanya lagi "Seharusnya pihak terbabit perlu bijak dan bertolak ansur dalam menangani masalah ini bukannya terus menghukum seolah-olah mereka melakukan kesalahan yang besar."

November 19, 2013

PBS jadi bahan sindiran di laman sosial

Tanjong Malim, 19 Nov- Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terus menjadi bahan sindiran di laman sosial Facebook.


Terkini, wujud beberapa kartunis yang menulis  kartun yang antaranya memberi sindiran dan kritikan secara tidak langsung kepada SPPBS. 


Salah satu kartun yang bertajuk "Lawak Cemas Kebas"(gambar) memaparkan kisah bagaimana seolah-olah kebahagiaan rumah tangga terganggu disebabkan seorang ibu yang bekerja sebagai guru terpaksa berada di depan komputer dari pagi sampai petang, memasukkan markah PBS.

Dalam pada itu, salah satu lagi kartun jelas menyindir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membentangkan kajian mengurangkan beban tugas guru, tetapi sebaliknya guru telah lama terlentang (terbeban) dengan tugas perkeranian. 




Guru tubuh kumpulan, desak mansuh PBS

Tanjong Malim, 19 Nov - Sekumpulan guru yang tidak dikenali identiti dikatakan menubuhkan kumpulan di laman sosial Facebook desak mansuh PBS.

Kumpulan yang dikenali Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan setakat ini mencecah 41, 442 pengikut dengan 39803 sedang memperkatakannya.

Dala pada itu, mereka dilaporkan turut mensasarkan 200, 000 'like' di laman sosial Facebook seterusnya akan bertindak menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia menuntut PBS dimansuhkan.


November 13, 2013

NC janji PRK sihat dan bebas

Tanjong Malim, 13 Nov - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato' Dr. Zakaria Kasa hari ini menyatakan janji bahawa Pilihanraya kampus UPSI akan dikendalikan dengan sihat dan bebas.

Menurutnya, pihak pentadbiran UPSI tidak akan campur tangan dalam pemilihan MPP UPSI sebaliknya akan membiarkan mahasiswa menentukan pilihan mereka.


Dalam pada itu, beliau dikatakan  memberi respon tersebut setelah kumpulan Mahasiswa Pendidik baru-baru ini menghantar memorandum ke pejabat NC menuntut PRK dikendalikan dengan telus dan adil.

Beliau membuat kenyataan tersebut semasa  Perhimpunan Bulanan Kakitangan UPSI Bersama Naib Canselor di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah anjuran JHEPA lewat petang tadi.


NC umum tarikh PRK

Tanjong Malim, 13 Nov - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato' Dr. Zakaria Kasa hari ini mengumumkan tarikh Pilihanraya kampus UPSI akan diadakan pada 28 November ini.

Beliau dilaporkan membuat pengumuman tersebut semasa  Perhimpunan Bulanan Kakitangan UPSI Bersama Naib Canselor di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah anjuran JHEPA lewat petang tadi.

Dalam program tersebut beliau menyatakan PRK UPSI akan diadakan pada 28 November. Walau bagaimanapun tidak menyebut bilakah tempoh kempen akan bermula.

November 11, 2013

TNC HEP dilantik AJK UMNO

Tanjung Malim, 11 November - Dato' Dr. Junaidi Abu Bakar, TNC HEP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Kuala Krai bagi sesi 2013-2016.

Menurut sumber, keterlibatan Junaidi (gambar bawah kanan) dalam UMNO bahagian Kuala Krai dikatakan mula menonjol semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini. Beliau dikhabarkan telah calonkan sebagai ahli parlimen Kuala Krai.

Dikatakan, semasa PRU-13 terdapat banyak 'baner', dan papan tanda yang memaparkan gambar Junaidi di Kuala Krai kerana beliau dijangka menjadi calon pilihan.

Dalam hal berkaitan, menurut sumber , atas sebab-sebab tertentu beliau ditolak pencalonan oleh UMNO bahagian Kuala Krai.

KPPK desak PBS dimansuhkan

Tanjung Malim, 11 Nov- Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (KPPK) atau NUTP menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) memansuhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana disifatkan membebankan guru.

Menurut presidennya , Hashim Adnan yang dipetik dari Sinar Harian, 'guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.'

Katanya "Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan di seluruh negara," 

Dalam hal berkaitan, wujud beberapa desakan secara senyap oleh guru-guru menerusi laman sosial Facebook. Rata-rata guru merungut tentang perlaksanaan PBS terutamanya SPPBS yang sangat perlahan dan membenankan guru.

November 10, 2013

Junaidi Ugut Mahasiswa Lagi

Tanjong Malim, 10 Nov – TNC JHEPA, Datuk Junaidi masih mengambil pendekatan mengugut mahasiswa supaya mereka tutup mulut.

Kali ini giliran salah seorang Exco MPP, Muhammad Syafiq Abdul Majed pula dijadikan mangsanya.

Tindakan tersebut dibuat ekoran satu kenyataan Muhammad Syafiq yang meminta pihak JHEPA supaya telus dalam mengendalikan proses PRK nanti  dan berharap peristiwa memalukan seperti di UIAM tidak berulang.

Junaidi dikatakan telah menghantar pesanan berbaur ugutan kepada beliau (Muhammad Syafiq) dan memberi amaran bahawa laporan polis telah dibuat dan memintanya supaya berhati-hati.

“ saya telah ambil semua post dan kenyataan fitnah terhadap saya, dan saya telah buat laporan polis. Polis akan menyiasat dengan kerjasama SKMM, kandungan sms Junaidi yang diterima mahasiswa tersebut.”


Junaidi sebelum ini telah dikritik hebat dalam kalangan mahasiswa kerana tindakannya memberi arahan kepada Pengetua kolej supaya mengeluarkan seorang mahasiswa yang dikatakan bakal bertanding atas tiket Mahasiswa Pendidik. 

November 7, 2013

Mahasiswa Pendidik (MP) Ubah Dasar - Kuasai MPP

Tanjong Malim, 7 Nov – Mahasiswa Pendidik (MP) membuat keputusan mengubah dasar mereka sebelum ini dengan meletakkan hasrat untuk menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam PRK kali ini.

Koordinatornya, Abdul Hakim Wan Mohd Nor menyatakan perkara tersebut dalam satu mesyuarat yang dibuat dalam persiapan menghadapi PRK yang bakal berlangsung tidak lama dari sekarang.

Mesyuarat tersebut yang dihadiri oleh semua calon dan barisan pimpinan MP telah bersetuju dengan keputusan yang dibuat tersebut.

“ Keputusan ini dibuat secara kolektif dengan semua barisan pimpinan MP dan komitmen kami untuk menawan kampus UPSI akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, katanya semasa dihubungi.”

“ Kita telah mempunyai senarai calon yang akan bertanding dan akan umumkannya sebelum proses penamaan calon peringkat Sekretariat Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (SPMPP) dilakukan, tambahnya lagi.”

Dalam perkembangan berkaitan, UPSI dijangka akan mengumumkan pembubaran MPP sesi 2012/2013 pada 21 Nov ini. Manakalan PRK dijangkan akan ditetapkan pada 26 Nov dengan tempoh kempen selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Nov. 

November 6, 2013

MP bagi amaran kepada JHEPA

Tanjong Malim, 6 Nov – Ketua Mahasiswa Pendidik (MP) hari ini memberi amaran kepada JHEPA UPSI supaya bersikap adil dalam PRK yang dijangka akan berlangsung hujung November ini.

Ketuanya, Mohammad Syafiq bin Abdul Majed dalam kenyataan terbaru melalui laman facebooknya, memberi peringatan kepada pihak JHEPA supaya tidak mengulangi tindakan tidak matang sebagaimana episod hitam yang berlaku di UIAM.

Dalam hal berkaitan, pihak HEP UIAM telah bertindak campur tangan dalam pemilihan kabinet MPP setelah pihak Pro-M menang bergaya mengalahkan Pro-A minggu lalu.


“ kami bagi amaran kepada pihak JHEPA UPSI supaya berlaku adil dalam pemilihan yang akan berlangsung nanti, jika terdapat bukti campur tangan daripada pihak JHEPA kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas, tulis Mohd Syafiq.”

November 4, 2013

Junaidi Terus Diasak

Tanjong Malim, 4 Nov – Mahasiswa Pendidik (MP) mengambil sikap terus mengasak TNC HEPA, Datuk Junaidi dengan mendedahkan isu dalaman yang dikaitkan dengan beliau.

Terbaru, mereka dikhabarkan akan mendedahkan maklumat berkaitan salah guna kuasa yang dilakukan Junaidi dalam JHEPA.

Pendedahan tersebut akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini Junaidi menafikan dakwaan MP bahawa beliau telah mengarahkan salah seorang calon MP dibuang daripada kolej kediaman. Beliau mendakwa berita tersebut sebagai fitnah melalui laman facebooknya.


Dalam perkembangan berkaitan, audit UPSI juga telah menyelinap masuk pejabat JHEPA untuk menyiasat sebarang penyelewengan yang berlaku.