December 31, 2011

Wakil UMNO: Tak sama tokoh SITC dengan p'juangan mahasiswa biadab

Tanjong Malim,31 Dis - Ketua Bahagian UMNO Tanjong Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib semalam menyatakan bahawa perjuangan tokoh nasionalisme Melayu di SITC tak sama dengan perjuangan biadab seorang mahasiswa UPSI.

Memberi respon terhadap satu artikel kolumnis UPSIkini bertajuk 'Bebaskan Malim Sarjana, SITC saksi gerakan mahasiswa bermula', beliau mengatakan artikel tersebut mengelirukan pemikiran mahasiswa.

Katanya "InsyaAllah, saya akan memantau artikel-artikel yang cuba mengelirukan pemikiran mahasiswa seumpama ini."

" Mana mungkin nak dibandingkan pengorbanan tokoh nasionalisme Melayu di SITC yang berjuang membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris, dengan perjuangan biadab seorang pelajar UPSI terhadap pemimpin negara.."

"Merelakan dirinya dijadikan alat untuk membela nasib seorang ahli politik yang semakin lemas dengan masalah peribadinya?, ujarnya ketika memberi komen kepada artikel tersebut.

Untuk rekod, Datuk Mohd Khusairi merupakan tokoh UMNO Tanjong Malim yang menggerakkan 'demo' serta menghantar memorandum kepada Naib Canselor UPSI tempoh hari. Beliau menuntut agar Adam Adli dikenakan tindakan.

December 30, 2011

Bebaskan Malim Sarjana, SITC saksi gerakan mahasiswa bermula

Hassan Karim melakarkan dalam makalahnya 'The Student Movement In Malaysia 1967-1974', gerakan mahasiswa Malaysia bermula pada tahun 1930-an. Sekumpulan mahasiswa sedar dari Sultan Idris Training College (SITC) pimpinan Ibrahim Yaacob (gambar) menubuhkan Belia Malaya (Malayan Youth) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai reaksi penentangan terhadap penjajah British seterusnya menuntut kemerdekaan.

Selain itu, kehadiran guru-guru sedar seperti Zainal Abidin Ahmad (Za'ba) dan Harun Aminurrashid di SITC terus menyumbang kepada pemerkasaan Bahasa Melayu dan gerakan mahasiswa.Tema besar perjuangan dizaman itu adalah PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN. Pembebasan dan kemerdekaan dari belenggu penjajahan fizikal dan aqal dari penjajah British seterusnya mewujudkan sebuah gagasan Melayu Raya merdeka.

Ironinya, gerakan mahasiswa era 30-an itu telah meletakkan garis besar perjuangan (pembebasan dan kemerdekaan) yang lantas mencabar kuasa penjajah-pemerintah British. Natijahnya pahit, mereka dilabel sebagai golongan kiri dan pendokong idea komunis, gerakan mereka diharamkan, dikecam dan diancam dengan pelabagai cubaan.

Setidaknya, ledakan isu seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli pada 17 Disember 2012 lalu mengingatkan kita sejarah SITC. SITC pernah menjadi tumpuan negara bahkan mungkin dunia. Nama Sultan Idris Training College (SITC), Tanjong Malim dan 'kumpulan SITC' (baca: Ibrahim Yaakob dan rakan mahasiswanya) dilakar dalam sejarah.

Semua itu terjadi kerana garis besar perjuangan menuntut PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN. Bukan kerana Ibrahim Yaacob semata. Ia lahir dari kecerdasan mahasiswa institusi pendidikan guru tertua itu mensintesiskan pemikiran pendidikan yang akhirnya menyedarkan mereka untuk berjuang.

Tema garis besar perjuangan (pembebasan dan kemerdekaan) itu kalau pun kisahnya tak sama, tetapi setidaknya telah hidup kembali. Hidup dalam versi yang berbeza. Hidup kerana isu turunnya bendera. Tetapi garis perjuangannya sama. Malaysia tidak lagi terjajah fizikal. Tetapi simptom-simptom penjajahan itu tetap ada.

Dunia akademia-universiti kini dicengkam, dijajah pemerintah untuk mengekalkan kuasa politik. Malim sarjana (ahli akademik) dan mahasiswa tak lagi bebas bersuara walau dalam lingkungan dibenarkan agama, undang-undang dan perlembagaan negara. Nah! disitu letakknya punca keluarnya suara. Suara PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN dunia akademia, malim sarjana dan mahasiswa dari pengaruh politik pemerintah yang mempergunakan akademia untuk kekal berkuasa

Disebalik tempat yang dinamakan universiti kini, tak semua tahu kisah duka. Duka, kecewa dan hampa kerana matinya kebebasan ilmuan dan mahasiswa melestarikan pandangan. Disebalik dewan kuliah, pustaka dan buku-buku itu, mahasiswa tidak lagi bebas berekspresi melainkan disuap untuk peperiksaan semata.

Disebalik segelintir sosok pentadbir universiti yang merancang mengejar ‘ranking’ dan komersialisasi institusi, malim sarjana dan mahasiswa berterusan dicengkam oleh segolongan ‘musktakbirin’ (pemegang kuasa angkuh) berijazah tinggi berjela, dihantar ke universiti oleh pemerintah politik untuk mengukuhkan kuasa. Kita berada dizaman gelap dunia akademia ?

Apa yang dinamakan universiti tak lebih dari hanya sekadar tempat mendapat segulung ijazah yang mungkin tak mempunyai apa-apa makna. Tiada makna untuk pembaikan diri, masyarakat dan Negara. Kata seorang tokoh agamawan, Abul ‘Ala al-Maududi universiti tak ubah seperti tempat pembodohan.

“Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.”-Abul Ala al-Maududi

Bebas. Bebaskan malim sarjana. Bebas bukan kerana Ibrahim Yaakob dan Adam Adli semata. Mereka hanya manusia biasa. Tak layak didewa-dewa. Bebaskan mereka, merdekakan academia, sejahterakan Negara.

"Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka."
-Dr Burhanuddin al-Helmy-


*Penulis, Ahmad Wafiuddin merupakan graduan Fakulti Sains Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) a.k.a SITC yang giat menganalisis isu politik kampus semasa. Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian UPSIkini.

December 22, 2011

Tolak politik luar, biar mahasiswa selesaikan sendiri

Tanjong Malim, 22 Dis - Mahasiswa Pendidik (MP) dan beberapa wakil Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) menegaskan bahawa mereka menolak sebarang campur tangan politik luar sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) atau UMNO dalam menentukan urusan mahasiswa.

Menurut Mahasiswa Pendidik (MP) menerusi lama rasmi Facebook, "diperingkat kami, kampus adalah untuk mahasiswa, biarlah mahasiswa yang membina jalur pemikiran politik kampus mereka tersendiri.. Matlamat perjuangan mahasiswa adalah untuk mahasiswa.

"Pokoknya, bangkitnya isu ini adalah kebebasan akademik yang memperjuangkan 6 tuntutan yang telah dicapai bersama.. Namun apa yang mengecewakan, ramai yang mahu mengambil kesempatan diatas isu ini demi menunjukkan mereka prihatin kepada isu mahasiswa
" ujar mereka.

Manakala, wakil Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Yuyu Luna turut menyatakan "menolak penglibatan politik luar ,biarlah mahasiswa menyelesaikannya dengan cara mahasiswa." katanya menerusi laman Facebook.

Dalam pada itu, kumpulan Mahasiswa Pendidik dan LMP dilihat tidak mahu isu Adam Adli diburukkan dengan campur tangan politik luar dan mereka memberi penegesan bahawa isu utama yang lebih besar ialah KEBEBASAN AKADEMIK.

UPSI keluar perintah ‘kurung’ pelajar

Tanjong Malim, 22 Dis – Pihak pentadbiran tertinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikatakan akan membuat keputusan 'mengurung' semua pelajarnya agar tidak keluar daripada kawasan kolej hari ini.

Pintu pagar kampus juga dikatakan akan ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 12.45 tengahari hingga 1.30 tengahari.

Lewat petang semalam, pihak UPSIkini mendapat maklumat bahawa semua pintu pagar kolej kediaman akan ditutup mulai jam 10 pagi bagi mengelak daripada pelajarnya menyertai himpunan PKR dan PAS di hadapan pintu utama UPSI tengahari ini.

Sementara itu, para pensyarah juga telah mendapat notis peringatan daripada pihak universiti agar tidak terlibat dalam sebarang anasir politik luar.

Kumpulan PKR dan PAS akan tiba di UPSI sekitar jam 1.00 tengahari bagi menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor UPSI menuntut keadilan dalam pengendalian kes Adam Adli.

December 21, 2011

PAS juga turut serta esok

Tanjong Malim, 21 Dis - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengesahkan akan turut serta dalam rombongan menyerahkan memorandum bantahan terhadap campurtangan politik luar kepada pihak UPSI dalam menangani kes Adam Adli tengahari esok.

Menurut sumber yang diterima UPSIkini, PAS dijangka akan mengerahkan lebih 500 ahlinya supaya turut serta sebagai tanda kebersamaan dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam memastikan Adam Adli diadili secara telus oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

PAS juga berpendirian bahawa insiden menurunkan bendera tempoh hari bukanlah isu besar seperti yang di 'panas'kan oleh kumpulan UMNO sebaliknya isu sebenar yang lebih utama adalah mahasiswa menuntut kebebasan akademik.

Dalam perkembangan lain, himpunan mahasiswa 'Aspirasi' di Putrajaya petang tadi menuntut agar Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan kerana sikapnya yang lebih terbuka dan 'close' dengan kumpulan 'Pro-Mahasiswa'.

PKR pula hantar memorandum esok

Tanjong Malim, 21 Dis – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menghantar memorandum kepada pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) esok. Tindakan tersebut dilihat sebagai respon balas terhadap himpunan yang dibuat pihak UMNO Isnin lepas.

Menurut maklumat yang dihantar pihak UPSIkini, PKR akan menghantar memorandum bantahan terhadap campurtangan politik luar kepada pihak UPSI dalam menangani kes Adam Adli. Mereka juga menuntut agar mahasiswa diberi kebebasan untuk bersuara sebagai menghormati semangat perlembagaan negara.

Kumpulan tersebut dijangka akan tiba pada pukul 1 tengahari di hadapan pintu utama UPSI bagi menyerahkan memorandom kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Zakaria Kasa. Suasana di UPSI sekali lagi dijangka tegang dengan himpunan daripada kumpulan PKR esok.

Dalam pada itu, pihak UPSIkini belum mendapat respon daripada pihak universiti tentang perkara tersebut.

Menurut perkembangan lain, pihak UPSI telah memaksa mahasiswa supaya turun ke Putrajaya hari ini sebagai tanda sokongan mahasiswa terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak.

Jangan alih isu

Tanjong Malim, 21 Dis – Mahasiswa Pendidik (MP) hari ini mengeluarkan kenyataan mengingatkan kepada mahasiswa supaya jangan terpedaya dengan agenda mereka yang cuba mengalih pandangan mahasiswa terhadap isu sebenar yang diperjuangkan.

Koordinator MP, Mohd Zahar Mohamed Nor menegaskan perkara tersebut lewat petang semalam. “Mahasiswa jangan tertipu dengan isu pokok yang dibawa oleh gerakan mahasiswa dalam himpunan sebelum ini, kita jangan terikut dengan melodi yang dialunkan pihak yang cuba mengambil kesempatan, kebebasan akademik adalah asas perjuangan kita, ujar beliau melalui Facebook.”

Mahasiswa seharusnya tidak hilang fokus dalam perjuangan membawa negara Malaysia menjadi sebuah negara yang segar dengan percambahan idea, pandangan, dan kritikan daripada para cendekiawan. Namun, Universiti Pendidikan Sultan Idris juga dilihat terjerat dengan mainan politik luar apabila terpaksa menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti insiden yang melibatkan Adam Adli.

Tinjauan Upsikini mendapati ramai mahasiswa yang sedia mempertahankan Adam Adli jika sesuatu tindakan melampau akan dikenakan terhadap pelajar UPSI tersebut. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menerusi pengerusinya Shukri Abd Razak memberi amaran kepada pihak universiti supaya bertindak adil dalam melakukan penyiasatan dan mungkin mini revolusi akan berlaku jika tindakan melampaui batas diambil terhadap Adam Adli.

December 20, 2011

Isu bendera: Aziz Bari tak lihat apa-apa kesalahan

Tanjong Malim, 20 Dis- Pakar perlembagaan negara yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari hari ini menyatakan bahawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan BEBAS tidak boleh dan tak perlu dikenakan tindakan berhubung isu penurunan bendera Najib Razak Sabtu lepas.

Menurut Aziz, beliau tidak melihat apa-apa kesalahan dilakukan oleh mahasiswa berkenaan. "Saya tidak nampak mereka melakukan apa-apa kesalahan, mereka tidak merosakkan harta benda..tidak, mereka menurunkan dan kemudian menaikkan semula bendera"

“Mereka hendak siasat di bawah undang-undang apa? Nak ambil tindakan di bawah peruntukan apa?” ujar beliau kepada laman berita online, the Malaysian Insider.

Sebaliknya kata pakar perlembagaan ini, Najib selaku perdana menteri perlu menerima mesej yang disampaikan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan, yang mengadakan demonstrasi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Dalam hal berkaitan, Jawatankuasa Tatatertib UPSI keatas Adam Adli dilaporkan sudah memulakan perbincangan untuk mengenakan tindakan.

Namun, Jawatankuasa tersebut dilihat perlu berhati-hati dan adil dalam membuat keputusan tanpa dipengaruhi campur tangan politik kepartian dalam hukuman yang bakal dikenakan terhadap Adam Adli.

December 19, 2011

'We Are All Adam Adli' cecah lebih 4500 pengikut

Tanjong Malim, 19 Dis- Page di laman sosial Facebook bertajuk 'We Are All Adam Adli" mencecah 4500 lebih pengikut dalam masa kurang 48 jam.

Page yang bertujuan untuk menyokong tindakan Adam Adli yang menuntut kebebasan akademik dan menjamin agar keselamatan Adam Adli terpelihara dikatakan mendapat sokongan mahasiswa dari seluruh negara.

Dalam pada itu, tinjauan UPSIkini dilaman sosial Facebook mendapati rata-rata mahasiswa UPSI menyatakan sokongan terhadap tindakan Adam Adli disamping wujud sekumpulan mahasiswa yang tidak bersetuju.

Menurut Noor Yusmita, Nadhir Hasan, Hazli, Nazirul dan lebih dari 50 respon menyatakan 'support him', we are all Adam Adli, "aku sokong, ni merupakan satu cabaran,mahasiswa bukan budak hingusan lagi boleh di tampar atau di rotan." ujar mereka.

"Help him, bukan sebab politik,tapi sebab Adam Adli seorang mahasiswa dan dia berjuang dan tolonglah dia.. support him"kata Nazirul.

Dalam hal berkaitan, pagi tadi 5 mahasiswa UPSI telah menyatakan bantahan terhadap tindakan Adam dan turut membuat laporan polis. Selain itu Adam juga dikatakan akan dipanggil oleh pihak universiti dalam masa terdekat.



NC terima memorandum UMNO: Adam Adli mungkin dipanggil

Tanjong Malim, 19 Dis-Belum pun reda isu pembekuan 'posting' graduan pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menjadi tumpuan negara apabila Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli dikecam hebat oleh ahli UMNO dan beberapa NGO 'pro-Melayu' ekoran tindakan menurunkan bendera Najib Razak di PWTC pada satu siri demonstrasi mahasiswa menuntut kebebasan akademik 17 Disember lalu.

Tindakan menurunkan bendera Perdana Menteri dan ditukar dengan bendera 'Academic Freedom' selama beberapa minit sebelum diganti kembali mendapat kecaman dan ugutan hebat dari ahli UMNO.

Dalam pada itu, pagi tadi sekumpulan ahli UMNO, MIC, PERKASA mengadakan satu demontrasi dihadapan pintu utama UPSI dan menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr. Zakaria Kasa.

Serahan memorandum yang mendesak agar Adam Adli dikenakan tindakan tatatertib dalam masa 2 minggu diserahkan oleh Ketua Bahagian UMNO Tanjong Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib serta beberapa anggota MIC dan PERKASA.


(Prof Dr Zakaria menerima memorandum dari Datuk Khusairi)

Naib Canselor bersama beberapa pegawai pentadbir universiti termasuk TNCHEPA, Datuk Paduka Dr Junaidi (DDJ) telah menerima memorandum tersebut dihadapan pintu utama kampus dan dikatakan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam hal berkaitan, beberapa pihak disini tidak menolak kemungkinan Adam Adli akan dipanggil oleh pihak universiti dalam masa yang terdekat bagi mendapatkan penjelasan dan mungkin akan dikenakan tindakan tatatertib.

Untuk rekod, Adam Adli pernah dipanggil oleh pihak universiti ekoran isu 'demo air' tempoh hari.

December 11, 2011

Ahli parlimen terus bangkitkan kemelut 'posting'

Tanjong Malim, 12 Disember - Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria baru-baru ini sekali lagi menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyelesaikan segera isu graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan ke sekolah sehingga kini.

Beliau yang memberi kenyataan dalam akhbar Harakahdaily menyebut pelbagai masalah dan karenah melanda Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menular menjangkiti sektor pendidikan negara kita menuntut kerajaan menyelesaikan dengan segera beberapa kemelut yang berlaku.

Pertama. Isu penghinaan kepada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan dan di fakulti-fakulti pendidikan.

Menteri Pelajaran dilaporkan telah membuat kenyataan yang menghiris hati mahasiswa dengan mengatakan mahasiswa perlu mencari kerja lain berikutan tiada kekosongan jawatan. Ia telah membawa kepada perhimpunan aman yang telah dianjurkan di Universiti Perguruan Sultan Idris yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa.

Kedua. Kementerian perlu menyatakan kesahihan dakwaan yang mengatakan berlaku kelewatan penempatan sehingga 7 bulan. Graduan ISMP seolah-olah dipermainkan dan diperbodohkan oleh KPM.

Persoalan yang timbul ialah apakah ia berpunca daripada tiada perjawatan ataupun kerajaan tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pegawai pendidikan.

Apa tidaknya, dari bulan ke bulan menanti hingga sekarang borang online masih belum ada bayangnya. KPM hanya menjawab sila semak laman web KPM dari semasa ke semasa.

Ketiga. Menteri Kewangan membuat pengumuman umur persaraan dinaikkan daripada 58 ke 60 tahun lewat bajet 2012. Apakah kesan pertama dirasai oleh sektor pendidikan? Berlakunya pembekuan kenaikan pangkat dan pengambilan kakitangan baru seperti yang dibahaskan oleh saya yang dinafikan oleh menteri rupanya terjawab. Ia tetap melibatkan guru.

Keempat. Pengumuman dan kenyataan bersimpang siur KPM juga mengecewakan graduan. Termasuklah maklumat yang mengatakan graduan tidak perlu lagi mengisi borang. Tunggu sahaja dan mereka akan terus dipanggil temuduga. Termasuk juga persoalan pihak manakah yang sebenarnya menguruskan penempatan guru. KPM atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang menguruskan penempatan guru.

Kelima. Polisi KPM membingungkan. Bagi pengambilan 2007, berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia pengambilan dua kali mahasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Tanpa perlu mengikut proses biasa; tidak perlu mengisi borang UPU, tanpa ujian kelayakan guru dan ujian sakhsiah. Hanya dengan borang yang disediakan KPM mereka terus bergelar mahasiswa dengan alasan unjuran KPM kekurangan guru untuk 2011. 80 000 dilaporkan memohon, 5000 dipilih. Akhirnya mereka diminta mencari kerja lain!

Keenam. Kenyataan terbaru berkenaan 5000 graduan sudah ditemuduga juga dilihat amat mengelirukan. Bangunnya ramai graduan ISMP yang mempertikaikan kenyataan beliau. Apa sudah jadi wahai KPM dan Timbalan Menteri. Janganlah buat kenyataan yang bertentangan dengan realiti.

Ketujuh. Kenyataan kerajaan yang ingin membawa 13 000 guru asing juga menambah serabutkan lagi polisi KPM. Kera di hutan disusukan, anak bini di rumah kelaparan dan dihina.

Kelapan, KPM wajar menstrukturkan semula kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan atau tutup sahaja fakulti dan Universiti Pendidikan sekirannya ia tidak perlu. Janganlah struktur itu akan menambahkan lagi kadar pengangguran warga Malaysia yang sudah dianggarkan 400 000.

Pemegang ISMP adalah amat sukar diterima oleh mana-mana majikan apabila tertera pendidikan. Majikan menolak kerana biasanya pemegang ijazah ini biasanya akan berhenti apabila dipanggil untuk bertugas di sekolah.

Kementerian wajib menyelesaikan segera isu ini. Kepada warga bakal guru yang menghabiskan empat tahun di universiti mempelajari ilmu pedagogi, falsafah, sosiologi, psikologi pendidikan. Seterusnya dua minggu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah dan 14 minggu menjalani praktikum di sekolah. Fikir-fikirkan dan buat pilihan tepat dalam PRU 13.

Dalam hal berkaitan, Nasir Zakaria dilaporkan telah membahaskan isu penempatan ISMP diparlimen 16 November lepas, namun tiada sebarang respon positif diterima.

Siri Keempat: Operasi pembersihan Islam di UPSI bermula untuk pusingan kedua


Siri ketiga yang lepas, penulis mengutarakan keraguan masyarakat Tanjong Malim dan Ketua Adat Melayu tentang kelayakan DD.., untuk menerajui HEPA. Keraguan ini mula muncul apabila DD… begitu asyik berhibur tanpa mempedulikan baik buruknya kepada UPSI.

Dalam siri keempat ini penulis akan mengulas isu “pembersihan” di UPSI. Kerana DD…dengan bangganya menyebut bahawa dia dihantar ke UPSI adalah untuk membersihkan UPSI. Cuma persoalannya ialah layakkah “Dato’ Dandut” membersihkan UPSI. Persolan yang kedua ialah apa yang sebenarnya hendak dibersihkan oleh DD..?

Sebagaimana misi lantikan TNC HEPA yang kedua pada era 2005 - 2007, misi lantikan DD… juga adalah untuk membersihkan UPSI. Apakah sebenarnya yang ingin dibersihkan oleh DD…? Menjawab persoalan tersebut, penulis mempunyai ulasan di bawah. Walau bagaimanapun, yakinlah wahai warga UPSI yang dikasihi, apa yang ingin dibersihkan oleh DD… adalah ISLAM. Beliau hanya menggunakan isu politik untuk membersihkan ISLAM. Penulis mempunyai beberapa hujah berikut:

1. DD… telah mengarahkan Kuliah Insaniah yang diadakan sekian lama dalam kalangan kakitangan HEPA dihentikan serta-merta. Soalan penulis kepada pembaca. Pernahkah pembaca mendengar bahawa penceramah kuliah tersebut berpolitik dalam kuliahnya? Saya yakin jawapannya TIDAK. Penceramah hanyalah menyampaikan ilmu Islam untuk membina watak baik dalam kalangan kakitangan HEPA. Jadi apabila DD… mengarahkan kuliah ini dihentikan, bermakna DD… mahu penyebaran Islam dihentikan. Sekali lagi ditegaskan bahawa apa yang ingin dibersihkan oleh DD… adalah ISLAM.

2. DD… dengan bongkaknya telah mengarahkan Program Penggerak Ad-Din ditangguhkan. Walau pun akhirnya terpaksa membatalkan arahan tersebut kerana kebangkitan pelajar. Layakkah program yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Pengurusan Eksekutif dan dilaksanakan melalui amanat yang diberikan oleh Naib Canselor melalui Mesyuarat Penyuburan Islam ditangguhkan oleh seorang individu bernama DD…?

Saya yakin tanpa sokongan daripada mahasiswa dan kakitangan UPSI, program ini akhirnya akan dimatikan oleh DD… dan juak-juaknya. Kerana itulah antara resolusi bengkel pengetua dan felo baru-baru ini antaranya ialah untuk mematikan Program Penggerak Ad-Din secara terancang. Iaitu dengan cara melambat-lambatkan pelaksanaan program ini, menyusahkan pelajar untuk melaksanakannya dan menyalahkan pelajar andainya program ini gagal. Kalau pembaca tidak yakin dengan apa yang diutarakan oleh penulis. Penulis mohon agar bertanyakan kepada mana-mana felo jujur yang menghadiri bengkel tersebut. Takut-takut penulis tersilap mendengarnya.

Persolan kedua, penulis ingin utarakan pernahkah pembaca terdengar bahawa penceramah daripada program itu adalah datangnya daripada mana-mana parti politik? Saya yakin jawapannya adalah TIDAK. Yang ingin dibersihkan oleh DD… adalah ISLAM bukannya politik. Isu-isu politik hanya dijadikan alasan untuk membersihkan ISLAM

3. Sebagaimana langkah yang diambil oleh TNC HEPA yang kedua di era 2005- 2007, DD… mengambil langkah pertama yang sama iaitu mengarahkan felo dan pengetua memantau aktiviti surau-surau universiti. Soalan penulis kepada pembaca semua, pernahkan pembaca terdengar nama-nama tokoh politik yang pernah dibawa berceramah di surau UPSI sebelum ini? Penulis yakin bahawa jawapannya juga TIDAK.

Jadi apabila DD… mengarahkan pemantauan dilakukan oleh pengetua dan felo, apa yang ingin dipantau adalah penyebaran ISLAM. Untuk memastikan penyebaran Islam tidak berlaku, maka program surau dikurangkan seboleh mungkin. Lihatlah apa yang berlaku di Surau KUO dan KHAR. Aktivitinya jauh berkurang daripada biasa. Kecuali surau Al-Falah di Proton City, itu pun kerana pengetua tiada kuasa untuk menamatkan program yang ada.

4. Apa yang lebih memedihkan hati sebahagian daripada felo-felo yang menghadiri bengkel di Kota Bharu baru-baru ini ialah kebiadapan DD… yang secara jelas menyebut bahawa beliau dengan sengaja menangguhkan pelaksanaan program Islam di UPSI bagi memastikan pelajar baru tidak menerima Islam. Katanya “freshie” mempunyai sifat mudah terima. Oleh itu program Islam akan ditangguhkan pelaksanaannya termasuk tidak akan ada apa-apa program Islam dalam program minggu suaikenal untuk pelajar baru.

Wahai saudaraku warga UPSI, sedarlah apa yang sedang dilakukan oleh DD… dan juak-juaknya untuk membersihkan ISLAM di UPSI. Andainya anda masih lena, jawaplah di hadapan ALLAH nanti. Untuk memastikan maklumat ini sampai kepada semua warga UPSI, penulis dengan ini MENGIZINKAN semua pembaca yang prihatin untuk meyebarkan kepada semua warga UPSI dengan menggunakan apa-apa saluran maklumat yang ada. jangan jadi orang yang tidak berbuat apa-apa untuk menghalang operasi PEMBERSIHAN ISLAM tajaan DD… dan juak-juaknya terus dilaksanakan di UPSI. Jangan lupa untuk sampaikan penulisan ini kepada pengundi-pengundi di Kuala Krai agar DD… lebih mudah dikorbankan di sana nanti.

Andainya penulisan ini sampai kepada Y. B. Menteri Pengajian Tinggi. Penulis secara jujurnya menghormati Y. B. Dato’ Seri sebagai peneraju utama institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana penulis yakin Y. B. Menteri mempunyai misi dan matlamat yang jelas dalam aspek pembangunan pelajar di universiti bagi mendepani era globalisasi. Cuma Y. B. Dato Seri mungkin tersalah pilih orang yang sesuai bagi meneruskan misi dan visi Y.B. Menteri. Mungkin juga Y. B. sendiri tidak pernah merestui lantikan DD… sebagai TNC HEPA di UPSI.

Andainya artikel ini sampai kepada pengetahuan Y. A. B. Menteri Pelajaran Merangkap Timbalan Perdana Menteri (TPM). Bukanlah niat penulis untuk melawan kepimpinan Y.A.B Tan Sri. Cuma kami sebagai pelajar dan kakitangan UPSI menuntut hak kami untuk diberikan seorang pemimpin yang layak memimpin dalam hal pembanguan sahsiah pelajar. Andainya Islam yang sedikit ini, yang masih kekal dalam jiwa anak muda sebagai warga pendidik ingin dikikis oleh DD… Apa lagi yang ada untuk menjadi benteng terakhir kepada keruntuhan nilai dalam kalangan remaja hari ini?

Nantikan siri kelima yang akan mengulas isu pembersihan kakitangan di HEPA….

November 30, 2011

Siri Ketiga: Layakkah “Dato Dandut” mengetuai HEPA?

Pada siri yang lepas, penulis telah mengulas isu penentangan beberapa pihak di UPSI berkaitan lantikan dan beberapa salah laku “Dato’ Dandut” sebagai TNC HEPA yang keempat. Penulis menggunakan nama “Dato’ Dandut” kerana itulah “panggilan manja” yang diberikan oleh masyarakat sekitar Tanjong Malim dan Ketua Adat Melayu yang secara kebetulan mengadakan program di UPSI sewaktu kali pertama TNC HEPA memalukan UPSI dengan masjlis keramaian yang di adakan di Dewan Za’ ba. Majlis yang menggunakan tema ramah mesra telah berlanjutan mencecah jam 2 pagi. Majlis yang diisi dengan karaoke, lakonan dan joget lambak benar-benar memalukan UPSI di mata masyarakat. Sehinggakan membangkitkan keraguan masyarakat setempat terhadap UPSI. Soalnya adakah layak “Dato’ Dandut” untuk memimpin satu jabatan yang akan menerajui pembangunan sahsiah pelajar. Apa yang lebih malang majlis tersebut dilaporkan telah menggoyahkan rumah tangga salah seorang daripada kakitangan HEPA. Suami mana yang tidak marah jikalau isterinya malam buta meninggalkan rumah tangga dan anak-anak semata-mata untuk melayan “Dato Dandut” berkaraoke dan berjoget lambak. Selepas ini penulis akan menggunakan singkatan nama DD.. bagi menggantikan nama Dato Dandut ... penulis rasa semua pembaca tahu huruf apa yang hendak diisi di tempat kosong yang ditinggalkan oleh penulis.

Penulis sebenarnya tidak berniat dan berminat untuk memburukkan seseorang individu. Kalau DD… tidak memegang apa-apa jawatan di UPSI, penulis tidak akan membuang masa untuk menulis di ruang ini. Tetapi DD… adalah orang yang berkuasa dalam memutuskan dasar untuk pelajar di UPSI dan dilihat banyak mengganggu pentadbiran universiti. Dengan sebab keperluan umum dan sebab-sebab yang telah penulis utarakan pada siri yang kedua lepas. Inilah ruang yang penulis perlu gunakan untuk sedikit sebanyak diharapkan mampu memperbaiki keadaan di UPSI.

Nantikan siri seterusnya yang membongkar operasi PEMBERSIHAN ISLAM di UPSI…

November 24, 2011

Kembalikan kebebasan akademik, beri autonomi kepada mahasiswa

Perjuangan menuntut kebasan akademik lahir hasil dari penindasan terhadap dua entiti berbeza; hak mahasiswa dan akademia, serta pencabulan terhadap kedudukan universiti sebagai pusat perkembangan ilmu. Dari dahulu lagi, seluruh aktivis mahasiswa sentiasa memperjuangkan kebebasan akademik. Kita mempunyai sejarah keunggulan dunia akademik suatu masa dahulu. Namun akhirnya keunggulan ilmu dan idealisma mahasiswa ini termati dengan lahirnya undang-undang drakonian AUKU.

Saya bukanlah seorang pesimis prejudis yang sentiasa menyalahkan semua perkara terhadap AUKU, persis ramai orang yang menyalahkan Barat dan Yahudi terhadap semua kemusnahan dunia. Saya berpegang kepada asas yang benar.

Di UPSI, bersama dengan barisan hadapan pimpinan mahasiswa yang lain, kita cuba sedayanya untuk berpartisipasi dalam gerakan-gerakan yang menuntut kebebasan akademik. Gerakan ini tentu sahaja dipelopori oleh rakan-rakan siswa universiti lain, namun kita juga mempunyai peranan aktif dalam perjuangan ini.

Terbaharu, bersama dengan rakan-rakan dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), kita telah lancarkan sebuah gerakan baru yang digelar BEBAS. Pelancaran ini disaksi dan disokong sendiri oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Kebebasan akademik juga adalah hak asasi dalam sebuah komuniti masyarakat.

Mengenai isu perlantikan TNCHEPA yang baru itu, saya sedar, polemik perlantikan beliau telah lama diperkatakan. Pelbagai andaian dan dakwaan yang timbul berkaitan perlantikan beliau itu menjadi buah mulut segenap warga UPSI.

Pada hemat saya, andai benar dakwaan bahawa beliau dilantik atas kapasiti dan pengaruh politik yang dimiliki, maka itu adalah satu bentuk pencabulan terhadap kebebasan akademik. Ia harus dikecam oleh semua pihak, terutama sekali golongan akademia yang percaya dan menghormati kebebasan akademik.

Namun yang demikian, saya tidaklah gemar untuk mengulas isu perlantikan beliau kerana bagi saya, itu adalah isu hiliran. Kita seharusnya memahami bahawa apabila kebebasan akademik tidak dihormati, berlakulah keadaan sebegini. Isu yang lebih besar adalah bagaimana kita mampu untuk kembalikan kebebasan akademik yang telah hilang ditelan undang-undang drakonian ciptaan regim zalim.

Dalam BEBAS, kita ada menuntut agar mahasiswa diberi AUTONOMI dalam menguruskan pelajar sendiri. secara konseptualnya, peranan yang sedang dimainkan oleh JHEPA di masa depan perlu dikembalikan kepada pelajar ("dikembalikan" kerana ia memang milik pelajar suatu masa dulu). Sebuah agenda reformasi yang lebih besar, kita tidak perlukan lagi JHEPA di universiti-universiti. Namun semua ini hanya mampu dijalankan andai AUKU dihapuskan serta merta, bukan hanya klausa 15.

Apabila autonomi pelajar dan universiti dipulangkan, barulah campur tangan politik dalam pengurusan dan doktrinisasi pelajar di universiti dapat dihapuskan secara keseluruhan. Universiti harus bebas, dunia akademik harus bebas dari sebarang unsur politik. Apabila kebebasan akademik dihidupkan kembali, apa yang berlaku baru-baru ini pasti tidak akan lagi berlaku di masa depan.

*Penulis, Adam Adli, merupakan Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) yang juga merupakan mahasiswa jurusan Pendidikan TESL Universiti Pendidikan Sultan Idris.

"Dalam proses, ambilan dibuat Januari"-Naib Canselor

Tanjong Malim, 24 Nov - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa menyatakan bahawa pengambilan graduan pendidikan dalam proses dan akan dibuat pada bulan Januari tahun hadapan.

Menurut beliau ketika dihubungi UPSIkini, "saya dimaklumkan borang permohonan sedang diproses SPP. Pengambilan atau interview akan dibuat pada bulan Januari tahun hadapan", jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau turut mengatakan bahawa tempat dan orang yang lebih tepat untuk dirujuk ialah SPP dan pengarahnya Tan Sri Dr. Zulkarnain sekiranya ingin mengetahui tarikh yang sebenar.

Katanya " biasanya jika kita mencari kerja kita bertanya kepada majikan."

Oleh itu, beliau mencadangkan agar graduan pendidikan terus bertanya kepada pihak yang lebih mengetahui tentang hal tersebut iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran(SPP).

Naib Canselor: Tak perlu lagi INSAK

Tanjong Malim, 24 Nov- Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Prof Dr Zakaria Kasa, menyatakan bahawa graduan pendidikan yang telah mengambil ujian MEdSI tidak perlu lagi ambil ujian Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK).

Ketika dihubungi UPSIkini, beliau menyatakan bahawa mengikut persetujuan yang diambil antara KPM dan universiti, mereka yang telah mengambil ujian MEdSI tidak perlu lagi mengambil ujian INSAK. Mereka akan terus melalui temuduga yang diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Katanya "ikut persetujuan, mereka yang ambil MEdSI tidak perlu ambil INSAK. Mereka perlu lalui temuduga."

Mengulas perkara yang sama, Tim. Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong mengatakan bahawa pengambilan graduan pendidikan pada kali ini akan diuruskan oleh SPP dan tidak lagi menggunakan sistem e-GST sebaliknya terus diproses melalui temuduga.

Mereka juga akan ditempatkan mengikut Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan tidak lagi menggunakan sistem lama bagi memudahkan proses kenaikan pangkat dengan lebih cepat. Graduan yang layak akan terus bermula dengan gred DG 41 berbanding DC 41 sebelum ini.

Untuk rekod, bermula ambilan 2007, semua mahasiswa pendidikan telah diwajibkan melalui ujian MEdSI dan temuduga sebelum layak memasuki IPTA dalam jurusan pendidikan.

November 23, 2011

Siri Dua: Kenapa Penulis Memilih Medium Ini Sebagai Tempat Menyampaikan Kebenaran?

Pada siri yang pertama penulis telah mengulas berkaitan sedikit sebanyak sejarah pelantikan TNC HEPA yang kedua, walau bagaimanapun penulis tidak akan menyebut nama TNC tersebut, kerana apa yang lebih penting adalah melihat apa yang telah dilakukan semasa era tersebut sebagai sejarah untuk kita pelajari bersama. Biarlah apa yang dilakukan selama lebih kurang dua tahun kekal sebagai sejarah hitam yang ditinggalkan di UPSI untuk dijadikan pelajaran berguna kepada warga UPSI yang ingin belajar. Apatah lagi penulis dimaklumkan bahawa individu tersebut sedang membina kesedaran diakhir hayatnya. Mudah-mudahan beliau dipertemukan dengan kebenaran untuk mencari jalan pulang bagi bertemu penciptanya.

Mungkin ramai dalam kalangan pembaca tertanya-tanya kenapa penulis memilih saluran ini untuk mendedahkan apa yang berlaku di UPSI pada masa kini. Ada beberapa sebab yang boleh diberikan oleh penulis. Antara sebab yang besarnya ialah saluran yang betul tidak memberi apa-apa kesan terhadap individu tertentu di UPSI khususnya TNC HEPA yang sedang bermaharajalela. Antara saluran yang betul telah diambil tetapi gagal ialah seperti berikut:

1. Jawatankuasa pemilih jawatan TNC HEPA yang dilantik oleh universiti seramai tujuh orang yang diketua oleh Pengurusi Lembaga Pengarah Universiti telah TIDAK MEMPERAKUKAN lantikan TNC HEPA yang ada sekarang. Daripada tujuh orang panel yang dilantik tidak ada seorang pun yang memperakukan TNC HEPA sekarang ini untuk mengisi jawatan tersebut. Manakala hanya seorang daripada panel tersebut memperakukanya untuk pilihan kedua. Dan panel itu adalah wakil daripada KPT yang dikenal pasti sebagai kroni kuat TNC HEPA sekarang. Kalau kroninya sendiri tidak sanggup meletakkannya sebagai pilihan pertama, ternyata TNC HEPA sekarang benar-benar tidak layak untuk jawatan tersebut. Oleh itu TNC HEPA yang ada hari ini datang daripada kabel politik bukan dari kelayakan. Sebab itulah dia dengan bongkaknya berkata siapa berani dengan saya. KALAU ORANG UPSI TAK MAHU TERIMA PUN, SAYA MASIH ADA DI SINI. PENULIS AKAN MENGULAS LEBIH LANJUT KENAPA TNC HEPA SEKARANG TIDAK LAYAK UNTUK JAWATAN TERSEBUT PADA SIRI AKAN DATANG.

2. Satu surat rasmi telah dikemukakan oleh Persatuan Kakitangan Akademik UPSI (PEKA) bagi membantah kehadiran TNC HEPA sekarang ke UPSI. Antara alasan yang dikemukakan ialah calon tersebut tidak layak dari segi akademik iaitu tidak memiliki sekurang-kurangnya kelayakan Prof Madya, yang kedua kedudukan perjawatan TNC HEPA sekarang yang melangkau daripada gred 52 terus ke JUSA B dan yang lebih membimbangkan adalah faktor yang ketiga iaitu tidak mempunyai misi yang jelas dalam aspek pembangunan pelajar. Walaupun surat itu dikemukakan oleh PEKA, tetapi disebalik surat itu adalah mantan Naib Canselor yang lepas yang begitu ragu dengan kelayakan calon tersebut. Padahnya, kontrak Naib Canselor telah ditamatkan, penamatan kontraknya mungkin ada sebab-sebab yang lain, tetapi tidak dinafikan salah satu sebabnya ialah tidak menyokong TNC HEPA sekarang.

3. Satu laporan salah laku TNC HEPA telah dikemukan oleh Pengerusi Persatuan Pekerja Am UPSI. Laporan tersebut hasil daripada maklumat yang diberikan oleh pemandu yang telah berkhidmat dengan TNC HEPA dan tidak sanggup bersekongkong dengannya. Termasuk dalam laporan tersebut juga ialah salah laku TNC HEPA yang menggunakan Gelaran Pemangku Naib Canselor di dalam beberapa majlis rasmi universiti, sedangkan gelaran tersebut tidak layak untuknya dan salah dari segi peraturan pentadbiran. Walaupun pendaftar pada awal-awalnya berapi-rapi dengan laporan tersebut, tapi tiada apa-apa tindakan yang diambil. Padahnya, pengerusi persatuan yang membuat laporan telah ditamatkan kontrak jawatan sebagai felo di bawah kekuasaan TNC HEPA.

4. Apa yang lebih menyedihkan apabila pendaftar melepas tangan dengan mengarahkan ketua Unit Dalam untuk menyiasat segala salah laku TNC HEPA. Jawapan Ketua Audit Dalam kepada pendaftar ialah “TNC HEPA terlalu kebal untuk diambil tindakan”.

5. Dalam ucapan pertama Naib Canselor kepada kakitangan yang menyambut kehadirannya daripada Putrajaya antaranya ada meyebut “saya terhutang budi dengan TNC HEPA”

6. Telah dimaklumi secara jelas dalam kalangan pengurusan tertinggi universiti, mereka kerap kali melahirkan KERISAUAN bahawa TNC HEPA membawa bersamanya ILMU HITAM yang diimport daripada INDONESIA. Penulis cadangkan para pembaca boleh mendapatkan maklumat terperinci daripada pemandu yang pernah membawanya dan pegawai khas Naib Canselor. Mudah-mudahan Allah lindungi warga UPSI daripada bencana syirik pengamal ilmu hitam.

Berdasarkan kepada senario yang berlaku ini di UPSI, penulis merasakan ini medium yang ada untuk membongkar segala salah laku di UPSI khususnya yang melibatkan TNC HEPA dan juak-juaknya untuk memberi kesedaran kepada semua warga universiti untuk bangkit mempertahankan kebenaran, jangan jadikan kepentingan peribadi melebihi daripada kepentingan menunaikan tanggungjawab kepada pelajar dan kakitangan UPSI. Kalau semua kakitangan yang menerajui kepimpinan UPSI tidak sanggup menegakkan kebenaran. Maka siapa lagi yang perlu memikulnya? Jawapannya adalah pelajar dan kakitangan UPSI yang tidak berjawatan besar tetapi “berjiwa besar” untuk menegakkan kebenaran kerana Allah. Kita tiada pilihan untuk bertanggungjawab bagi memastikan kelangsungan Islam, kebajikan kakitangan dan pembangunan pelajar sentiasa mendahului kepentingan peribadi individu tertentu.

Nantikan siri yang ketiga akan mengulas isu “pembersihan” di UPSI..

November 22, 2011

“Mana wang zakat?”- mahasiswa

Tanjong Malim, 22 Nov. - Sekumpulan mahasiswa hari ini mengadu nasib mereka kepada Exco Majlis Perwakilan Pelajar, Mohd Zahar Mohamed Nor, selepas mendapati urusan wang zakat UPSI masih belum diproses sehingga kini.

Isu itu timbul selepas pemohon-pemohon wang zakat mendapati pihak Pusat Islam masih belum mengeluarkan senarai nama calon yang layak mendapat bantuan tersebut meskipun permohonan telah lama dibuat.

Ekoran daripada aduan tersebut, UPSIkini yang mendapatkan maklum balas daripada Mohd Zahar Mohamed Nor, Exco MPP UPSI menjelaskan kelewatan tersebut adalah kerana semua pemohon yang layak masih belum mendapat pengesahan daripada Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat UPSI yang dipengerusikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI, Datuk Paduka Dr Junaidi Abu Bakar.

Jelasnya lagi, mesyuarat untuk mengesahkan senarai nama pemohon layak menerima bantuan zakat dijadual bersidang pada hari ini, 22 November tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan TNC HEP kerana mempunyai urusan rasmi di luar negara.

“TNC kini berada di luar negara atas urusan rasmi, dan memang hari ini sepatutnya semua pemohon layak akan disahkan dalam mesyuarat tersebut. Jadi diharap semua pemohon bersabar sehingga mesyuarat tersebut dapat diadakan dalam sedikit masa lagi”,jelasnya.

Untuk rekod seramai lebih 500 pemohon telah membuat permohonan bantuan wang zakat tersebut mengikut 3 kategori iaitu pelajar yang tidak mendapat tajaan atau pinajaman, pendapatan keluarga kurang RM 1000 dan pemohon yang ibu bapanya telah meninggal dunia.

'Posting' perlu ditanya kepada SPP, kata Naib Canselor

Tanjong Malim, 22 Nov. - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa hari ini menyatakan bahawa penempatan graduan pendidikan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Menurut beliau ketika dihubungi UPSIkini, "tempat dan orang yang sesuai ditanya soalan ini dengan lebih tepat ialah SPP dan pengarahnya."

"Mereka lebih tahu apa yang sudah dirancang. Saya hanya menjawab berdasarkan keputusan mesyuarat yang mungkin tidak sama dengan perancangan SPP."

" Biasanya jika kita mencari kerja kita bertanya kepada majikan. Oleh itu saya cadangkan anda bertanya pihak yang lebih mengetahui tentang hal ini."

Pengambilan graduan pendidikan pada kali ini diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran(SPP) dengan menggunakan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bermula tahun hadapan.

UIA batal program bedah buku timbalan menteri

Tanjong Malim, 22 Nov- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilaporkan telah membatalkan program bedah buku elektronik (e-book) bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah semalam.

Menurut sumber Malaysiakini, Saifuddin dilarang mengadakan program tersebut atas alasan AUKU sedang hangat diperkatakan.

Dalam pada itu, penganjur program Fuad Syazwan mengatakan bahawa "tadi diberitahu KPT tak mahu Dato' bicara tentang AUKU. Arahan ini dari KPT, bukan dari Rektor UIA."

Buku bertajuk 'Kalau Saya Mahasiswa' tersebut dikatakan mampu membangkitkan idealisme perjuangan mahasiswa disamping huraian perbincangan secara objektif peranan mahasiswa dan kesan negatif Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) kepada perkembangan mahasiswa.

Memberi respon terhadap isu tersebut, Mohd Zahar Koordinator Mahasiswa Pendidik menyatakan bahawa, mana-mana universiti tidak sepatutnya menyekat sebarang perbincangan ilmiah yang dianjurkan mahasiswa.

"Kalau di UPSI pihak pentadbiran boleh panggil orang politik seperti Mohamad Ezam untuk 'bercakap politik' di depan mahasiswa baru, kenapa wacana segar seperti itu tak boleh". Alasan AUKU sebenarya dijadikan alat kepentingan sahaja, ujarnya menerusi Facebook.

Program bedah buku elektronik (e-book) bertajuk 'Kalau Saya Mahaiswa' tulisan Saifuddin Abdullah tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Undang-undang UIA.

November 21, 2011

MDTM halang bas kitaran turunkan pelajar

Tanjong Malim, 21 Nov- Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) dilaporkan tidak membenarkan bas kitaran mengambil dan menurunkan pelajar di Pintu Timur.

MDTM dikatakan telah memberi kertas 'amaran' kepada beberapa orang pemandu bas kitaran kerana mengambil dan menurunkan pelajar di sekitar perhentian bas tersebut.

Tindakan itu telah melahirkan banyak kekeliruan di kalangan mahasiswa kerana sebelum ini tidak ada masalah yang timbul kerana 'bus stop' telah disediakan.

Menurut Amirul Afzan, Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPPUPSI, tindakan tersebut pelik kerana sejak sekian lama MDTM tak pernah ambil tindakan.

Namun begitu katanya "diharapkan semua sahabat mahasiswa dapat bertenang dengan masalah yang berlaku di pintu timur. InsyaAllah tengah diusahakan, isu berlaku kerana arahan daripada pihak MDTM yang melarang bas kita untuk mengambil dan menurunkan penumpang di pintu timur. "

Walau bagaimanapun , usaha sedang giat dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut, ujar Amirul menerusi laman sosial Facebook pada pagi ini.

November 20, 2011

Wee Ka Siong: Keutamaan kepada IPG dan KPM

Tanjong Malim, 20 Nov- Datuk Dr Wee Ka Siong, Tim. Menteri Pelajaran 16 November lalu menyatakan bahawa penempatan graduan pendidikan akan diberikan keutamaan kepada IPG dan graduan yang memegang biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bermula tahun hadapan.

Kenyataan tersebut diberikan dalam perbahasan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria.

"Berkaitan dengan isu penempatan bagi mahasiswa-mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu 5,000 mahasiswa ijazah sarjana muda yang merasakan mereka ini dianaktirikan oleh pihak kementerian"

"Jadi, minta perhatian kepada Timbalan Menteri ataupun Menteri untuk melihat isu ini kerana ada kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran yang mencadangkan agar mahasiswa UPSI untuk mencari kerja yang lain."


Menjawab soalan tersebut, Wee Ka Siong menyatakan bahawa "Pada tahun hadapan keutamaan kita yang pertama oleh kerana Kementerian Pelajaran ini kita menaja graduan-graduan atau lepasan dalam IPG. IPG Malaysia ada 27, itu secara khas untuk sekolah-sekolah kita dan priority kedua ialah IPTA.

"IPTA khususnya mereka yang terikat dengan perjanjian KPM ditaja oleh kementerian. Itu perlu kita selesaikan kerana kita telah membelanjakan banyak wang untuk melatih mereka. Ketiga graduan yang lain. Termasuk mereka yang datang dari IPTA. Jadi ada berperingkat kita buat."

November 18, 2011

Pembekuan 'posting' ISMP dijangka ke perbahasan Menteri KPT

Tanjong Malim, 18 Nov - Pembekuan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) mungkin akan dibahaskan di Dewan Rakyat (Parlimen) pada sesi perbahasan Menteri Pengajian Tinggi ekoran masih tiada jawapan yang jelas tentang bila penempatan mereka akan dilakukan.

Menurut sumber yang diterima UPSIkini, YB Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian menyatakan bahawa pada sesi perbahasan Menteri Pelajaran pada 16 November lalu, Dr Wee Ka Siong, Tim. Menteri Pelajaran tidak menjawab tentang bila graduan ISMP akan ditempatkan.

Namun, Wee Ka Siong menyatakan semua graduan ISMP akan ditempatkan, cuma cepat atau lambat, tetapi masih belum tahu bila tarikh sebenar kerana semuanya dalam proses penyusunan.

Walau bagaimanapun, YB Salahuddin Ayub berharap pihak kerajaan akan mengambil tindakan segera kerana isu ini telah mendapat perhatian ramai pihak termasuk Ahli Parlimen.

Dalam masa yang sama, pada sesi perbahasan Menteri Pelajaran 16 November lalu, YB Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Padang Terap Nasir Zakaria dan beberapa Ahli Parlimen lain telah membahaskan isu penempatan graduanISMP di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, bagi menyelesaikan masalah ini dari berbangkit, YB Salahuddin Ayub dijangka akan memanjangkan isu ini di perbahasan Menteri Pengajian Tinggi memandangkan graduan ISMP adalah dari IPTA dibawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Isu penyelarasan antara KPM dan KPT dijangka dibangkitkan bagi menyelesaikan masalah penempatan yang berbangkit.

Dalam hal berkaitan, perbahasan Menteri Pengajian Tinggi dijangka akan dibuat sebelum sidang parlimen tamat awal Disember depan.

Pengetua KUO dakwa dapat arahan Junaidi

Tanjong Malim, 18 Nov - Pengetua Kolej Ungku Omar (KUO), Dr. Bazrul b. Rahman mendakwa tindakannya menghalang pelajar semester satu dan RPA daripada menghadiri Kursus Pengukuhan Diri Melalui Penghayatan Ibadah Solat anjuran Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan arahan Datuk Paduka Dr Junaidi, TNCHEP&A.


Tindakan mengeluarkan memo kepada pelajar semester satu yang memaklumkan Kursus Solat pada 20 November tidak wajib dan pihak kolej tidak melantik sebarang ajk daripada kolej untuk Kursus Solat tersebut merupakan cubaan beliau untuk menggagalkan penyertaan 2000 peserta ke program tersebut.

Koordinator Mahasiswa Pendidik (MP), Mohd Zahar Mohamed Nor ketika dihubungi mengesahkan arahan tersebut adalah daripada Datuk Junaidi.

"Saya telah menghubungi Dr. Bazrul untuk memohon kepada beliau supaya menarik balik memo tersebut kerana ia bertentangan dengan arahan TNC HEP&A sebelum ini, sebaliknya beliau memberitahu arahan baru itu adalah daripada Junaidi," katanya.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana program kerohanian untuk pembangunan rohani mahasiswa pun dipolitikkan juga.

"Kami tidak akan membiarkan perkara ini berterusan lagi kerana sudah lama bersabar dengan karenah mereka", ujarnya.

Dalam hal berkaitan, arahan menyatakakan pelajar semester satu tidak wajib menyertai Kursus Solat itu juga melanggar keputusan bersama Majlis Pengetua dan Pusat Islam sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk RPA yang bersetuju untuk melaksanakan Bengkel TOT (Training of Trainer).

November 17, 2011

Pengetua KUO diminta tarik balik arahan

Tanjong Malim, 17 Nov - Pengetua Kolej Ungku Omar (KUO), Dr. Bazrul b. Rahman diminta menarik balik arahan menghalang Rakan Penggerak ad-Din (RPA) dan pelajar semester 1 kolej berkenaan dari mengikuti Kursus Pengukuhan Diri Melalui Penghayatan Ibadah Solat anjuran Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tindakan mengeluarkan 2 memo yang meminta RPA lelaki KUO agar mengikuti kursus 3 hari pada 18-20 November dan Kursus Solat tak wajib kepada pelajar semester 1 dilihat sebagai cubaan beliau untuk menghalang pelajar dari mengikuti Kursus Solat pada 20 November.


Kursus solat yang dianjurkan Pusat Islam tersebut telah mendapat kelulusan lebih awal dari TNCHEP&A, Datuk Paduka Dr. Junaidi serta telah dimaklumkan kepada semua pengetua kolej. Tindakan beliau secara tiba-tiba mengadakan kursus 3 hari itu dilihat bercanggah dengan arahan dan kelulusan itu.







Memberi respon terhadap tindakan tersebut, Mohd Zahar, MPPUPSI menuntut agar Pengetua KUO membatalkan kursus 3 hari itu kerana ianya bertentangan dengan arahan TNCHEP&A yang telah meluluskan Kursus Solat serta telah dimaklumkan kepada pengetua lebih awal.

Dalam pada itu, Mohd Zahar turut mempersoalkan sama ada kursus 3 hari anjuran Pengetua KUO tersebut mendapat kelulusan HEP&A kerana dilihat tergesa-gesa dan tidak dinyatakan jenis program. 'program apa? Jika tak dapat kelulusan, kita risau mahasiswa baru ini terdedah dengan anasir-anasir yang tak baik', ujarnya.

Beliau juga tidak menolak bahawa tindakan tersebut merupakan salah satu agenda pengetua untuk melengahkan perjalanan Rakan Penggerak ad-Din dan 'memboikot' secara halus program-program memperkasakan RPA anjuran Pusat Islam.

Dalam hal berkaitan, MPPUPSI dijangka akan mengadakan pertemuan bersama Pengetua KUO esok bagi mendapatkan penjelasan dan meminta agar kursus 3 hari tersebut dibatalkan atau ditunda pada tarikh lain.