December 30, 2011

Bebaskan Malim Sarjana, SITC saksi gerakan mahasiswa bermula

Hassan Karim melakarkan dalam makalahnya 'The Student Movement In Malaysia 1967-1974', gerakan mahasiswa Malaysia bermula pada tahun 1930-an. Sekumpulan mahasiswa sedar dari Sultan Idris Training College (SITC) pimpinan Ibrahim Yaacob (gambar) menubuhkan Belia Malaya (Malayan Youth) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai reaksi penentangan terhadap penjajah British seterusnya menuntut kemerdekaan.

Selain itu, kehadiran guru-guru sedar seperti Zainal Abidin Ahmad (Za'ba) dan Harun Aminurrashid di SITC terus menyumbang kepada pemerkasaan Bahasa Melayu dan gerakan mahasiswa.Tema besar perjuangan dizaman itu adalah PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN. Pembebasan dan kemerdekaan dari belenggu penjajahan fizikal dan aqal dari penjajah British seterusnya mewujudkan sebuah gagasan Melayu Raya merdeka.

Ironinya, gerakan mahasiswa era 30-an itu telah meletakkan garis besar perjuangan (pembebasan dan kemerdekaan) yang lantas mencabar kuasa penjajah-pemerintah British. Natijahnya pahit, mereka dilabel sebagai golongan kiri dan pendokong idea komunis, gerakan mereka diharamkan, dikecam dan diancam dengan pelabagai cubaan.

Setidaknya, ledakan isu seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli pada 17 Disember 2012 lalu mengingatkan kita sejarah SITC. SITC pernah menjadi tumpuan negara bahkan mungkin dunia. Nama Sultan Idris Training College (SITC), Tanjong Malim dan 'kumpulan SITC' (baca: Ibrahim Yaakob dan rakan mahasiswanya) dilakar dalam sejarah.

Semua itu terjadi kerana garis besar perjuangan menuntut PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN. Bukan kerana Ibrahim Yaacob semata. Ia lahir dari kecerdasan mahasiswa institusi pendidikan guru tertua itu mensintesiskan pemikiran pendidikan yang akhirnya menyedarkan mereka untuk berjuang.

Tema garis besar perjuangan (pembebasan dan kemerdekaan) itu kalau pun kisahnya tak sama, tetapi setidaknya telah hidup kembali. Hidup dalam versi yang berbeza. Hidup kerana isu turunnya bendera. Tetapi garis perjuangannya sama. Malaysia tidak lagi terjajah fizikal. Tetapi simptom-simptom penjajahan itu tetap ada.

Dunia akademia-universiti kini dicengkam, dijajah pemerintah untuk mengekalkan kuasa politik. Malim sarjana (ahli akademik) dan mahasiswa tak lagi bebas bersuara walau dalam lingkungan dibenarkan agama, undang-undang dan perlembagaan negara. Nah! disitu letakknya punca keluarnya suara. Suara PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN dunia akademia, malim sarjana dan mahasiswa dari pengaruh politik pemerintah yang mempergunakan akademia untuk kekal berkuasa

Disebalik tempat yang dinamakan universiti kini, tak semua tahu kisah duka. Duka, kecewa dan hampa kerana matinya kebebasan ilmuan dan mahasiswa melestarikan pandangan. Disebalik dewan kuliah, pustaka dan buku-buku itu, mahasiswa tidak lagi bebas berekspresi melainkan disuap untuk peperiksaan semata.

Disebalik segelintir sosok pentadbir universiti yang merancang mengejar ‘ranking’ dan komersialisasi institusi, malim sarjana dan mahasiswa berterusan dicengkam oleh segolongan ‘musktakbirin’ (pemegang kuasa angkuh) berijazah tinggi berjela, dihantar ke universiti oleh pemerintah politik untuk mengukuhkan kuasa. Kita berada dizaman gelap dunia akademia ?

Apa yang dinamakan universiti tak lebih dari hanya sekadar tempat mendapat segulung ijazah yang mungkin tak mempunyai apa-apa makna. Tiada makna untuk pembaikan diri, masyarakat dan Negara. Kata seorang tokoh agamawan, Abul ‘Ala al-Maududi universiti tak ubah seperti tempat pembodohan.

“Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.”-Abul Ala al-Maududi

Bebas. Bebaskan malim sarjana. Bebas bukan kerana Ibrahim Yaakob dan Adam Adli semata. Mereka hanya manusia biasa. Tak layak didewa-dewa. Bebaskan mereka, merdekakan academia, sejahterakan Negara.

"Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka."
-Dr Burhanuddin al-Helmy-


*Penulis, Ahmad Wafiuddin merupakan graduan Fakulti Sains Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) a.k.a SITC yang giat menganalisis isu politik kampus semasa. Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian UPSIkini.

11 comments:

Anonymous said...

bebas yang dimaksudkan harus bertapak pada 'tiang' yang betul..sewajarnya bukan politik dijadikan 'tiang' tersebut...=)

Unknown said...

InsyaAllah, saya akan memantau artikel-artikel yang cuba mengelirukan pemikiran mahasiswa seumpama ini. Mana mungkin nak dibandingkan pengorbanan tokoh nasionalisma Melayu di SITC yang berjuang membebaskan tanahair daripada penjajahan Inggeris, dengan perjuangan biadap seorang pelajar UPSI terhadap pemimpin negara, dan merelakan dirinya dijadikan alat untuk membela nasib seorang ahli politik yang semakin lemas dengan masalah peribadinya?.

Anonymous said...

Apa kaitan dgn kes politik org luar? Jawatan sebagai ketua bahagian UMNO tetapi tidak pandai membezakan antara politik dalam kampus dan luar kampus? Cuba bersihkan pemikiran dari cuba mengalih isu dgn mengambil kesempatan memburukkan org lain hanya keran tidak mampu untuk menangkap semua mahasiswa menyokong UMNO semata-mata. Apa kaitan dgn isu ini? Matanglah sikit sebagai org tua & taraf sabagai ketua bahagian UMNO. Mahasiswa yg tidak sefahaman dgn UMNO terus dianggao tidak bijak tetapi yg sefahaman dgn UMNO dianggap bijak walaupun cara kemahasiwaan itu jauh terpesong dari arus budaya seorang Melayu.. Maaf cakaplah, inilah bukti politik orang UMNO klu tak sealiran maka salah & haram. Apa jenis fahamanlaha..

x_upsi_student said...

Datuk Khusairi,

Siapa yang biadap? Kenapa isu posting tak selesai lagi? Kenapa perlukan AUKU? Kalau mahasiswa layak mengundi kenapa tidak dibenarkan berpolitik? Kenapa lepasan ijazah perlu dibebani dengan hutang PTPTN, walhal kalau mereka ke Jerman, mereka diberi pendidikan percuma? Kerajaan Jerman bagi pendidikan percuma kepada pelajar asing. Anak-anak Malaysia yang belajar di IPTA terpaksa berhutang di bawah kerajaan UMNO...Ooopppsss!!! UMNO Baru!!!

Datuk tak usahlah nak sembang kedai kopi.......

Anonymous said...

janganlah guna nama mahasiswa. saya mahasiswa UPSI jg, tapi tak sokong perjuangan politik sempit kamu Adam Adli..Good job tuan Khusairi Talib

Anonymous said...

Soalnya sape bodoh dan diperbodohkan. Ini bukan lg zaman politik usang. Zaman dh berubah. Perbezaan pendapat melahirkan siswa yg kreatif. Terima lah hakikat, org dh tak nak. Jd la tukang angguk dan cut and paste lembu2 di luar sana...mesti lpas ni ada SB siasat dr mana dtgnya komen ni. Maaf ye sya bukan tukang angguk. Smpai komen pn nk kna tap9is...bengong.

Anonymous said...

Hangpa ni kelakaq la... nama ja mahasiswa baca tawarikh pun tak habih. Awat tak cerita apa jadi pada Malayan Youth dan lebih2 lagi Kesatuan Melayu Muda... akhirnya depa ni jadi talibarut Jepun yang kejam. Berpuluh ribu orang Melayu jadi mangsa sebab depa ni. Ini ka yang hangpa boleh jadikan teladan.

Hangpa kena rajin mentelaah buku. Dah la malaih membaca. Orang nak berjuang hangpa nak berjuang..tapi perjuang tak jelas.. tu pasai jadi lagu ni.

adam adli fan said...

anon January 1, 2012 12:57 PM,

kenapa nak samakan perjuangan mahasiswa dengan kesatuan melayu muda (kmm)? sekarang mana ada penjajah jepun lagi? pewaris penjajah adalah. memang bagus kalau suka membaca. tapi membaca sahaja tidak cukup. kena pandai berfikir juga. zaman jepun dulu ada sentimen "asia untuk asia". orang melayu berharap agar orang jepun dapat bebaskan malaya dari orang putih. sebab itu ibrahim yaacob dan rakan-rakannya sanggup bekerjasama dengan pihak jepun. namun selepas pendudukan jepun di malaya, mereka sedar jepun sebenarnya sama sahaja dengan orang putih. bak kata "terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau". kita jangan salahkan kmm. kita hanya perlu ambil iktibar agar sejarah tidak berulang lagi.

Anonymous said...

Ada org dh paneh dh...jwp jgn x jwp. Cut n paste lg...nk ludah la....HAWK...PTUUUI...

Anonymous said...

kuasa mahasiswa sebenarnya satu elemen yg boleh menumbangkan sesuatu kerajaan, memperjuangkan sesuatu hak yg berhak mereka miliki adalah suatu yang patut dipuji. persoalannya, adakah mereka diluar golongan yg mahasiswa menjiwai jiwa seorang mahasiswa? adakah tahap pemikiran seorang mahasiswa cukup matang untuk menilai sesuatu keadaan? dan ingatlah, keadaan seseorang mahasiswa yang tidak mampu berfikiran matang akan dijadikan alat segolongan pihak tidak kira berhaluan kanan atau kiri....perlu diambil perhatian, sekeliling malaysia telah mengalami suasana porak peranda disebabkan musuh2 yang mempunyai agenda tersendiri, cuma malaysia yang masih gagal utk diporak perandakan, jgn sampai keadaan di malaysia sekarang dijadikan peluang pihak berkenaan utk meruntuhkan keharmonian malaysia...........

mukhsen_x said...

saya merasa sangat bangga sebagai bekas pelajar UPSI. Tulisan ini sungguh bagus, walaupun terdapat komen tidak matang dan penuh prasangka, yang tak cuba memahami artikel ini secara jujur. Yang melihat dari pemikiran politik yang sempit. Ini bukan tentang Adam adli, atau anwar, atau najib, ini adalah tentang kebebasan akademik.


(Anyway, Ibrahim yaakob adalah antara rokoh penting sejarah yang cuba dilenyapkan oleh UMNO sumbangannya. Kat UPSI ada tak nama bangunan Ibrahim Yaakob? Aku dah lupa la.)