December 31, 2009

Isu penempatan, TNCA dijangka adakan pertemuan dengan KPM minta penjelasan

Tanjong Malim, 31 Disember - Timbalan Naib Canselor Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof . Dr. Zakaria Kasa akan mengadakan pertemuan dengan SPP dan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran Malaysia , bagi mendapatkan penjelasan berhubung lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan.

Beliau ketika dihubungi menjelaskan, “Saya mohon maaf kerana tidak dapat memberi penjelasan tentang penempatan 2010 dan 2011. Saya tidak mempunyai maklumat detail daripada KPM berkaitan perkara ini. Saya akan cuba mendapat maklumat tentang hal ini dalam pertemuan dengan SPP dan juga Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan diadakan tidak lama lagi. Itu pun jika kedua-dua pihak mengetahui tentang perancangan KPM berkaitan dengan penempatan 2010 dan 2011. InsyaAllah”.

Dalam hal berkaitan , Bahagian Sumber Manusia KPM baru-baru ini menyatakan terdapat 11,000 kekosongan jawatan guru di seluruh Malaysia menjelang tahun 2011. Perkara ini dijelaskan oleh Puan Faridatul Akma Bt Mat Taib , Timbalan Setiausaha Cawangan Perkhidmatan, Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia dalam kolokium "Masa depan dan hala tuju graduan UPSI” November lepas bertempat di bitarasiswa.

Beliau turut menjelaskan , graduan Diploma Pendidikan Lanjutan Ijazah (DPLI) sebanyak 2700 yang akan bergraduat pada tahun 2011 , jika dicampur graduan dari UPSI dan Fakulti Pendidikan universiti lain, jumlah guru masih diperlukan, sekaligus membolehkan semua graduan pendidikan mendapat penempatan jika lulus ujian INSAK dan temuduga KPM.

Sementara itu, Saudari Nur Aqilah Hanis , Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar UPSI ketika dihubungi mencadangkan kepada pihak universiti supaya menjelaskan kepada seluruh mahasiswa tanpa perlu menyorokkan status sebenar mereka sama ada wujud penangguhan penempatan atau tidak sekaligus memudahkan mereka menyediakan perancangan masa depan.

Katanya, pihak KPM juga patut menjelaskan secara terperinci jumlah program pendidikan yang sudah penuh dan program yang masih kekosongan di sekolah memandangkan beliau hanya menyatakan bahawa program Bahasa Inggeris sahaja yang kritikal dan memerlukan ramai guru.

Dalam pada itu, kenyataan Bahagian Sumber Mansuia KPM baru-baru ini dilihat bercanggah dengan apa yang dijelaskan oleh Dr. Mohd Puad Zarkashi pada hari ini dimana beliau menyatakan lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan. Ini bermakna, mungkin akan wujud penangguhan penempatan bagi graduan 2010 dan 2011.





'Posting' bukan hak keistimewaan pelajar UPSI

Amin Mukhlis
14 Okt 2009

Isu penempatan sememangnya isu sensitif yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan di UPSI sekiranya ia berpanjangan. Biar apa isu yang timbul tetapi isu penempatan atau lebih kerap digunakan warga UPSI dengan perkataan ‘posting’ jangan sekali-kali disentuh.

Baru-baru ini heboh SATU MALAYSIA dengan khabar mengatakan 'posting' bakal dibeku. Kemudian diperbetul pula dengan kenyataan mungkin dilewatkan. Semuanya gara-gara laporan blog UPSIkini yang mengambil ucapan TNC Akademik & Antarabangsa UPSI semasa satu program di UPSI. Sampai sekarang pun masih ada bunyi-bunyi tentang isu ini.

Apapun yang mahu diperdebatkan tentang isu ini, satu perkara yang perlu disedari, “Penempatan bukan hak istimewa pelajar UPSI”. Itu seharusnya diakui pelajar UPSI. Tidak ada satu dokumen yang mengatakan pelajar UPSI mempunyai hak untuk mendapat penempatan, cuma mungkin pihak yang berkaitan berasa terhutang budi dengan sejarah UPSI dalam menjadi pusat melahirkan guru-guru sejak zaman sebelum kemerdekaan.

Hakikat ini semakin mula dizahirkan sedikit demi sedikit. Keadaan mula berubah setelah kementerian yang dulunya SATU menjadi DUA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). UPSI diletakkan di bawah KPT dan membesarkan anak yang mahu berbapakan KPM. KPM juga punya anak sendiri, IPGM, dan ada anak susuan – DPLI dan KPLI. UPSI di mana agaknya?

Memang UPSI ada mencetak Ijazah yang bertatahkan pendidikan namun bagi KPM Anak Kandung Suluh Budiman ini anak orang lain biarpun bin atau bintinya pendidikan. Tak ada dalam mana-mana wasiat mengatakan anak dari UPSI ini akan dilamar KPM untuk jadi menantu. Semuanya bermula bila KPM dan KPT bercerai. Dan hak istimewa posting tak terpakai oleh Anak Kandung Suluh Budiman!!

Mungkin keadaan ini akan kembali pulih apabila KPT merujuk semula dengan KPM untuk menjadi SATU keluarga semula. Mungkin boleh dipanjangkan kepada Tok Kadi yang SATU itu.

*penulis merupakan salah seorang pengikut setia UPSIkini yang telah menghantar pendapat beliau ke upsikini@gmail.com.

Dan post ini diambil dari isu penempatan yang lepas. Kenyataan Dr Mohd Puad Zarkhasi hari ini mengesahkan kebenaran isu penagguhan 'posting' Novemer lalu. rujuk beberapa entry lepas UPSIkini,

Biasiswa KPM masuk hari ini

Tanjong Malim , 31 Disember - Biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia telah dikreditkan ke akaun pelajar. Pelajar yang mendapat biasiswa tersebut boleh membuat semakan jumlah akaun yang dikreditkan bermula hari ini.

Dalam pada itu, biasiswa KPM yang dikatakan lewat dikreditkan lantaran kelewatan keputusan peperiksaan dikeluarkan lebih awal dari tempoh sepatutnya. Rata-rata mahasiswa memberi respon baik atas tindakan cepat pihak berkenaan memandangkan rata- rata pelajar kekurangan wang pada awal semester.

Dalam hal berkaitan, status pinjaman PTPTN yang dikatakan lewat masih belum diketahui dan dijangka dikreditkan dalam beberapa hari lagi. Walau bagaimana pun, Exco Kebajikan MMP UPSI meneruskan usaha agar ianya dikreditkan lebih awal dari tempoh sebenar.

Mahasiswa pendidikan pertikai kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran

Tanjong Malim, 31 Dis - Mahasiswa pendidikan UPSI,mempertikaikan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi mengenai lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan yang dinyatakan di dalam akhbar hari ini.

Beliau hari ini menyatakan, Institut Pendidikan Guru (IPG) melatih guru-guru bagi memenuhi keperluan Kementerian Pelajaran berbanding IPTA yang kebanyakkannya bertujuan memenuhi permintaan sektor swasta.

Katanya , "keutamaan bagi penempatan sekolah akan diberikan kepada lulusan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) dan graduan IPTA ditempatkan jika terdapat kekosongan dan bergantung kepada bidang pengkhususan."

Menurut Presiden Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, Nik Azrul Nik Kamaruddin ketika ditemui berkata, tidak sepatutnya sebagai seorang Timbalan Menteri apatah lagi di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengeluarkan kenyataan seolah-olah mahasiswa pendidikan di IPTA lain seperti anak tiri kepada KPM.

"Sebagai mahasiswa pendidikan di IPTA, saya tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau kerana IPTA juga melatih bakal guru yang kompeten dan mampu memenuhi keperluan Kementerian Pelajaran terutama di masa hadapan.

"Jika beliau berpendapat kursus pendidikan di IPTA kebanyakannya bertujuan memenuhi permintaan sektor swasta, saya menyarankan agar kursus pendidikan yang ditawarkan di semua IPTA dikurangkan pengambilannya atau tutup sahaja kursus pendidikan di IPTA,” katanya lagi.

Bagi penempatan sekolah pula, saudari Nur Aqilah Hanis, Exco Akademik dan Kerjaya MPP UPSI berpendapat bahawa sepatutnya Kementerian Pelajaran perlu lebih mengutamakan kualiti bakal guru tanpa mengira sama ada mereka berada di bawah KPM atau KPT.

"Untuk penempatan di sekolah, saya mempersoalkan mengapa perlu diberikan keutamaan kepada IPG berbanding IPTA. Saya berpendapat sepatutnya KPM melihat kualiti yang ada dalam diri seseorang bakal guru tersebut tanpa mengira sama ada mereka keluaran IPG mahupun IPTA,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan upsikini.

Dalam hal berkaitan, Dr. Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran mengeluarkan kenyataan mengenai lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan menimbulkan keraguan mahasiswa pendidikan IPTA mengenai status penempatan mereka.

December 30, 2009

Pro Kebajikan sokong Forum Anjuran BANTAH

Tanjong Malim,30 Dis: Pro kebajikan hari ini menyatakan sokongan terhadap Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH), selaku penganjur forum terbuka 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus' walaupun dihalang oleh pentadbiran Universiti Malaya.

Menurut Wakil Pro Kebajikan UPSI, saudara Akmal Bin Madzir menyatakan sokongan pihak beliau terhadap BANTAH dan berjanji akan menghantar beberapa wakil untuk turut serta dalam forum tersebut.

“Kami berpendapat bahawa forum seperti ini tidak sepatutnya dihalang kerana ia membantutkan demokrasi dan keintektualan mahasiswa. Sepatutnya pihak pentadbiran universiti lebih terbuka dan menyokong penganjuran forum tersebut.

“Kami juga akan menghantar wakil kami dalam forum tersebut sebagai tanda sokongan terhadap demokrasi kampus walaupun ianya tidak akan diadakan di APIUM,”katanya.

Menurut beliau lagi, sebagai kampus yang telah menjalankan e-voting dalam pilihanraya kampus, terdapat banyak kelemahan dan isu-isu yang boleh meragui sistem e-voting tersebut dan mencemarkan demokrasi kampus.

“Kami berpendapat dengan penganjuran forum ini, kita dapat berbincang dan meneliti sejauh manakah ketelusan dan kebebasan dalam sistem e-voting yang dijalankan dan bagaimanakah masa depan demokrasi kampus di seluruh IPT pada masa akan datang.

Semalam, pihak HEP Universiti Malaya telah mengarahkan APIUM untuk membatalkan tempahan Dewan Kuliah Utama APIUM bagi penganjuran forum terbuka 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus' anjuran BANTAH.

December 29, 2009

Kursus kepimpinan Siri 3, JHEPA tidak nyatakan syarat calon bertanding MPP



Tanjong Malim, 29 Nov. – Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI membuat pengumuman menerusi SMS bagi menyertai Kursus Kepimpinan Mahasiswa 2009 siri 3 pada 1-3 Januari ini. Namun tidak dinyatakan apakah tujuan kursus tersebut dijalankan seperti sebelum ini.

Pengumuman yang dihantar melalui SMS kepada mahasiswa yang telah mengikuti kurusus pertama dan kedua diterima agak lewat dan rata-rata mereka yang terlibat menyatakan wujud cubaan untuk mengelirukan mereka sekaligus menafikan hak mereka untuk bertanding dalam demokrasi kampus (PRK).

Dalam hal berkaitan, tindakan JHEPA tidak menyatakan kursus yang dianjur menjadi pra syarat kepada mereka yang berminat bertanding dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) di ragui akan dimanipulasi oleh JHEPA untuk membenarkan calon tajaan mereka yang tidak ke kursus untuk turut bertanding dalam PRK akan datang.

Walaubagaimana pun, pihak Pro Kebajikan telah menyatakan pendirian bahawa mereka mempunyai senarai lengkap pelajar yang turut bersama dalam kursus dan sekiranya wujud nama calon tajaan JHEPA yang tiada dalam senarai kursus, suatu bantahan akan dilakukan.


Tahun lalu, JHEPA secara terbuka menyatakan kursus yang dianjur menjadi pra syarat kepada mereka yang berminat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang bakal diadakan dalam masa terdekat.


Dalam perkembangan berkaitan, kursus siri 1 telah berlangsung di Kolej Aminuddin Baki dan siri ke-2 di BTN Kuala Lipis pada hujung semester lepas. Namun pihak JHEPA tidak menyatakan kursus BTN tersebut sebagai siri ke-2 kursus.

Dalam pada itu, perkhidmatan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2008/09 dilaporkan telah berakhir pada 8 November 2009 selepas setahun memegang jawatan dalam MPP seperti yang termaktub di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Namun sehingga hari ini pihak HEP masih belum mengeluarkan sebarang pengumuman pembubaran kabinet MPP.


PRK UPSI dijangka berlangsung dalam masa terdekat dan akan menyaksikan pertembungan hebat demokrasi kampus antara calon-calon bertanding.

Serahan salinan keputusan peperiksaan biasiswa KPM

Makluman kepada pelajar yang mendapat biasiswa KPM , anda diwajibkan menghantar keputusan peperiksaan Sem 1 2009/2010 sebelum 29 Januari kepada pihak KPM.
Sila rujuk laman sesawang UPSI portal dibawah, untuk maklumat lanjut mengenai serahan. Harap maklum.

UPSIkini terus buka ruang pendapat

Tanjong Malim, 28 Disember – Selepas lebih setahun beroperasi sebagai blog informasi warga UPSI, UPSIkini terus membuka ruang kepada pembaca untuk menyampaikan pandangan dan pendapat mereka melalui ruangan pendapat yang sudah diwujudkan.

Pendekatan memberi ruang kepada pembaca untuk menyampaikan pendapat mereka melalui artikel-artikel yang dikirimkan merupakan salah satu pembaharuan yang dibuat UPSIkini demi menyuburkan ruang intelektual dan demokrasi pelajar dalam menyatakan pandangan mengenai isu politik kampus, sosial pelajar , ekonomi, isu semasa kampus, dan lain-lain.

Menurut Ketua Editor UPSIkini, Mr. Teller, langkah ini diambil selepas melihat perkembangan yang positif di kalangan pembaca dengan kiriman-kiriman pendapat yang dihantar kepada UPSIkini sejak akhir-akhir ini.

“Kita terus menerima banyak pendapat di kalangan pembaca dan dengan adanya ruangan pendapat ini kita boleh ketengahkan pendapat-pendapat mereka untuk tatapan pembaca yang lain seterusnya menyuburkan ruang perbincangan yang lebih luas untuk kebaikan bersama”, jelasnya.

UPSIkini menyambut ulang tahun pertama penubuhannya 10 Oktober lalu selepas setahun beroperasi mengalu-alukan sebarang pendapat mahasiswa. Sebarang pendapat boleh di e-mailkan kepada upsikini@gmail.com.

December 28, 2009

PTPTN dijangka masuk 15 atau 17 Januari

Wang PTPTN untuk mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dijangka dikreditkan ke akaun pelajar dalam tempoh 15 hingga 17 Julai. Tarikh tersebut dikatakan lambat lantaran keputusan peperiksaan Sem1 09/10 yang lewat dikeluarkan berbanding sesi lepas.

Menurut Adriyani , Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI yang telah menghubungi pihak berkenaan menyatakan “kelewatan kemasukan pinjaman pada kali ini ada kaitan dengan keputusan peperiksaan yang lambat, katanya, sekira pihak akademik menghantar keputusan pada 24 Disember baru-baru ini, dalam 14 hari bekerja baru diluluskan, mungkin dalam 15 atau 17 Januari”.

Dalam pada itu, tempoh akhir bagi universiti menghantar keputusan kepada pihak PTPTN dikatakan pada 6 januari, sekiranya berlaku kelewatan dari tarikh ini, dijangkakan PTPTN akan dikreditkan pada akhir bulan ini, iaitu 26 atau 27 Jan.

Beliau turut menyatakan pendirian agar pihak JHEPA berusaha untuk "push ” pihak berkenaan agar pinjaman tersebut dikreditkan lebih awal kedalam akaun pelajar memandangkan tempoh berkenaan agak kritikal bagi pelajar yang rata-rata mendapat pinjaman PTPTN.

Sebelum ini, wang PTPTN dimasukkan ke akaun pelajar lebih awal iaitu pada 6 Jan. Pada semester ini, wang PTPTN dikatakan agak lewat dikreditkan berbanding semester-semester lepas.

December 25, 2009

Kursus Kepimpinan Mahasiswa kali ke-2 belum di buka, JHEPA cuba tutup maklumat


Tanjong Malim, 25 Disember – Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI dikatakan cuba menutup maklumat Kursus Kepimpinan Mahasiswa kali ke-2 yang dijangka akan berlangsung pada awal semester ini. Kursus kali ke-2 ini rentetan dari kursus BTN yang berlangsung hujung semester lalu yang menjadi syarat wajib calon.

Tindakan tidak memaklumkan kepada mahasiswa disifatkan beberapa pihak sebagai cubaan menutup makluman program supaya tidak diketahui oleh golongan tertentu sebagai syarat bertanding PRK akan datang.

Dalam pada itu, tindakan JHEPA mengelirukan mahasiswa dengan tidak menyatakan kursus ini sebagai syarat bertanding diragui mempunyai helah tertentu. Tahun lalu, JHEPA secara terbuka menyatakan kursus yang dianjur menjadi pra syarat kepada mereka yang berminat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang dijangka berlangsung pada tengah Januari ini.

Sementara itu, tindakan ini juga disifatkan oleh beberapa pihak sebagai cubaan untuk menutup ruang demokrasi kampus sekaligus memberi ruang kepada golongan tertentu menguasai MPP seterusnya memberi kesan terhadap kurangnya kualiti kepimpinan mahasiswa.

Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2008/09 dilaporkan telah berakhir pada 8 November 2009 masih belum diumumkan pembubaran selepas setahun memegang jawatan dalam MPP seperti yang termaktub di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Namun sehingga hari ini pihak HEP masih belum mengeluarkan sebarang pengumuman pembubaran kabinet MPP, menurut sumber yang memaklumkan perkara tersebut kepada UPSIkini.


PRK UPSI dijangka berlangsung tengah Januari ini dan dijangka ramai pihak antara PRK tumpuan di kalangan IPTA seluruh Malaysia.

UPSIkini mengucapkan Selamat Menempuh Semester 2 Sesi 09/10

Warga kerja UPSIkini mengucapkan Selamat Menempuh Semester 2 Sesi 09/10 kepada seluruh mahasiswa UPSI yang akan bermula Isnin ini. Untuk itu pihak UPSIkini juga memohon maaf atas kelewatan dan memberikan informasi keputusan peperiksaan yang sudah dikeluarkan pada malam tadi.

Dalam hal berkaitan, keputusan peperiksaan semester 1 sesi 09/10 boleh disemak menerusi laman sesawang http://www.mysis.upsi.edu/. Tahniah bagi yang cemerlang dan teruskan usaha.

Walau bagaimanapun, pihak UPSIkini sedang berusaha untuk menstruktur semula tugas semua editor bagi membolehkan laporan terkini dapat disiarkan seperti biasa terutamanya dalam awal semester.

.
Selamat Menghadapi Semester Baru.
Teruskan bersama UPSIkini

December 22, 2009

Result lambat, pelajar tertanya-tanya

Tanjong Malim , 22 Disember – Keputusan peperiksaan semester 1 2009/2010 masih belum dikeluarkan menimbulkan tanda tanya ramai pelajar. UPSIKINI telah menerima beberapa pertanyaan pelajar mengenai bila keputusan akan dikeluarkan.

Menurut sumber, mesyuarat senat universiti bagi meluluskan akan berlangsung dan dijangka keputusan peperiksaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Namun begitu, rata-rata pelajar menunggu bila keputusan akan dikeluarkan memandangkan pada semester lepas ianya dikeluarkan lebih awal berbanding semester ini.

Dalam pada itu, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris memulakan kuliah pada 28 Disember ini dan boleh kembali ke kolej masing-masing bermula 26-27 Disember.

146 mendaftar, 43 guru JAIS

Tanjong Malim, 22 Disember – Daripada 233 yang ditawar hanya 146 pelajar mendaftar bagi ambilan Disember Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pendaftaran yang dijalankan Kolej Za'ba semalam mencatat jumlah pendaftaran yang rendah berbanding Disember tahun lepas.

Pendaftaran pelajar Disember kali ini mencatat jumlah rendah berbanding tahun lepas iaitu 146 mendaftar dimana 103 darinya Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dan 43 terdiri dari guru tajaan JAIS bukan sepenuh masa. Dalam pada itu, kesemua pelajar baru hanya ditempatkan di dua kolej sahaja iaitu Kolej Aminuddin Baki dan Za’ba.

Semalam, pengambilan pelajar bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) telah berjalan dengan lancar dan tiada kesesakan yang berlaku. Sementara itu , bermula semalam, pelajar baru sedang menjalani minggu suai kenal universiti.

December 21, 2009

Pelajar baru daftar esok


Tanjong Malim, 20 Julai – Seramai 233 ditawar mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mendaftar esok. Pendaftaran akan dijalankan di tempat pendaftaran Kolej Za'ba bermula jam 8.30 pagi.

Pengambilan pelajar Disember kali ini mencatat jumlah yang rendah berbanding Disember tahun lepas dan dijangkakan jumlah pelajar perempuan lebih ramai berbanding lelaki. Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob sebelum ini yang pernah mengatakan semakin kurang kaum lelaki dalam bidang perguruan.

Pendaftaran pelajar baru dijangka lancar dan tidak mengalami kesesakan lantaran jumlah yang tidak ramai.

Wajar BTN syarat calon ?



Kursus BTN (Biro Tata Negara) menjadi syarat calon bertanding dalam pilihan raya kampus UPSI (PRK). Kursus tersebut berlangsung di Kem BTN Kuala Lipis selama 3 hari melibatkan lebih 50 calon bertanding dalam PRK akan datang. Namun begitu, timbul tanda tanya ramai wajarkah ianya dijadikan syarat calon ?

Dalam isu berkaitan , Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Nazri Aziz pernah melabelkan BTN versi lama sebagai ’bloody rasist’ dan perlu di mansuh. Jika ini benar, persoalan timbul adakah BTN calon baru-baru ini memainkan unsur sentimen untuk melahirkan MPP yang mendokong kepentingan sesetengah pihak yang berkepentingan sahaja. Sekiranya benar adakah kita bersetuju kursus ini dilaksanakan pada masa depan?

Dalam perkembangan berkaitan, mahasiswa yang terlibat dalam kursus baru-baru ini menyatakan tiada unsur sentimen yang dimainkan sebaliknya mendedahkan sejarah politik mahasiswa dari Pro-aspirasi (pro-kerajaan) dan Pro-Mahasiswa. Ini berikutan semasa program, isu BTN sedang hangat dimainkan oleh media, jadi pihak penganjur tidak mendedahkan imej sebenar BTN seperti di nyatakan media perdana .

PRK UPSI dijangka berlangsung Januari ini dan dijangka ramai pihak antara PRK tumpuan di kalangan IPTA seluruh Malaysia.

December 17, 2009

E-voting dan demokrasi kampus


Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) akan menganjurkan satu forum khas bersempena kempen untuk mansuhkan E-Voting di peringkat semua IPT. Forum ini akan memberikan kesedaran mahasiswa/i kampus tentang tuntutan demokrasi sekiranya pengundian secara elektronik (E-Voting) dilaksanakan semasa Pilihan Raya Kampus pada masa akan datang.

Berikut adalah maklumat program:

Tajuk: 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus'
Tarikh: 1 Januari 2010
Masa : 8.00 mlm
Tempat:Dewan Utama Akademi Pengajian Islam UM.

Ahli panel:

1. Prof Abdul Aziz Bari, Pensyarah Undang-Undang UIA
2. Dr. Chiew Thiam Kian, Pensyaraah Jabatan Kejuruteraan
Perisian Fakulti Sains Komputer dan Teknologi maklumat UM
3. Chang Lih Kang (Bekas aktivis mahasiswa )

BANTAH yang disertai oleh lebih 18 organisasi Mahasiswa seluruh negara memperjuangkan demokrasi kampus dan menuntut Pilihan Raya Kampus pada Januari akan datang tanpa penggunaan E-VOTING dan TELUS

December 15, 2009

Perhatian kepada Mahasiswa UPSI

Pendaftaran secara online untuk semester baru. Maklumat lanjut:

http://myupsi.upsi.edu.my/publicNews.jsp?newsID=842