December 26, 2008

MPP, JMK KHAR adakan dialog, bincang masalah

Tanjong Malim, 26 Dis.- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) bertemu dalam satu majlis dialog di KHAR semalam. Majlis yang berlangsung di Bilik VIP KHAR itu dihadiri lebih 40 ahli MPP dan JMK KHAR.

Majlis dialog yang bertujuan membincangkan beberapa masalah pelajar dan mengeratkan hubungan dua hala antara MPP dan JMK mencapai matlamatnya apabila kedua-dua belah pihak tanpa berselindung melontarkan pandangan dan persepsi mereka.

Antara isu yang dibangkitkan semasa sesi dialog tersebut adalah mengenai sikap JMK KHAR yang dikatakan bersifat kekolejan terutamanya dalam penganjuran program yang dilihat tidak melibatkan MPP.

Rungutan ini disuarakan oleh YDP MPP, saudara Hairie yang merujuk kepada tindakan JMK KHAR semasa sesi yang lalu. Beliau juga menyampaikan hasrat untuk meneruskan agenda MPP sesi sebelumnya dalam pelaksanaan ‘Rakan Pakatan Strategik’ yang memfokuskan kerjasama antara JMK kolej-kolej kediaman dan MPP.

Menjawab kepada rungutan yang disuarakan Hairie, JMK KHAR bingkas membetulkan persepsi tersebut dan meminta agar MPP sesi ini tidak dibayangi MPP lepas.

Mereka juga meminta agar MPP menghormati organisasi mahasiswa lain dan berhemah dalam mengambil tindakan sepertimana yang berlaku pada MPP sesi yang lepas apabila Exco-Exco JMK KHAR diambil sebagai Rakan Exco MPP tanpa dibincang terlebih dahulu.

Sesi Dialog juga banyak menyentuh soal akademik, kebajikan, kewangan dan sahsiah mahasiswa UPSI.

Pro Kebajikan tidak diberi peluang
Dalam sesi dialog itu juga, MPP Pro Kebajikan dikatakan tidak diberi ruang untuk berhujah dalam beberapa perkara sehinggalah pihak yang bertanya menyebut nama ahli MPP Pro Kebajikan untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan. Dialog itu juga dikatakan tidak seimbang apabila Hairie dilihat menguasai ruang dialog.

Akmal selamatkan keadaan
Saudari Masatirah Romalan, Bendahari JMK KHAR yang bangkit bertanya tentang AUKU tidak mendapat perhatian Hairie untuk menjawab soalan tersebut dan seringkali dilihat cuba mengelak apabila persoalan tentang isu semasa dibangkitkan. Keadaan ini diselamatkan oleh saudara Akmal yang sedia menjawab segala persoalan tentang AUKU dan beberapa isu semasa yang dilontarkan.

Majlis dialog tersebut berlangsung hampir 2 jam bermula pada 9.45 malam sehingga 11.45 malam.

December 24, 2008

Ahmad Zaidi sifatkan tuduhan berniat jahat, tidak berasas

Menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepada beliau dalam ruangan forum portal UPSI, Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi Johari, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) menyifatkannya sebagai berniat jahat dan bermotif untuk memburuk-burukkan beliau.

Kesemua tuduhan yang dilemparkan juga tidak berasas sama sekali dan boleh didakwa sekiranya tindakan undang-undang diambil. Beliau mengulas perkara tersebut dalam satu perjumpaan tertutup dengan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej KHAR semalam.

Beliau turut dilaporkan akan mengambil tindakan lanjut memandangkan tuduhan yang dilemparkan menjurus secara langsung kepadanya dan boleh menjejaskan nama baik beliau. Walaubagaimanapun beliau masih belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil bagi mengambil kira integriti beliau sebagai pensyarah dan pendidik.

Dalam pada itu, salah seorang ahli JMK yang diminta mengulas tentang tuduhan tersebut dipetik sebagai berkata tuduhan yang dilemparkan sememangnya berniat jahat dan kami yang bekerja bersama beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat terutamanya dasar penghapusan kaum yang kononnya diamalkan di KHAR.

“Saya secara peribadi sangat terkejut dengan tuduhan berat tersebut kerana tuduhan yang dibuat tidak benar sama sekali”,ulas beliau. Tambahnya lagi,”individu yang terlibat dalam membuat tuduhan tersebut seharusnya tampil dengan bukti yang sahih sekiranya mereka di pihak yang benar”.

Pengirim diragui

Seorang mahasiswa yang menganalisa setiap kiriman yang dihantar oleh pengirim di dalam ruangan forum itu berpendapat individu yang membuat tuduhan dalam forum tersebut berkemungkinan hanyalah beberapa orang pelajar sahaja tetapi menggunakan 'id' rakan-rakan mereka untuk memperlihatkan seolah-olah tuduhan tersebut mendapat sokongan beberapa pelajar lain.

Pandangan ini dikemukakan oleh mahasiswa terbabit apabila mendapati masa bagi setiap kiriman yang dikirimkan begitu singkat antara satu kiriman dengan kiriman yang lain dan ini menimbulkan tanda tanya.

Mahasiswa terbabit turut mengeluarkan fakta dengan mengatakan, ada beberapa kiriman yang mempunyai bentuk ayat yang seakan-akan sama dengan maksud mahu Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi melepaskan jawatan sebagai Pengetua KHAR.

Fakta lain yang dikemukakan adalah melihat latar belakang pelajar yang menghantar kiriman dalam forum tersebut rata-ratanya berada di semester 2, fakulti yang sama, dan ini menguatkan lagi pendapat yang dikemukakan beliau.

Minta pelajar menghubungi pihak universiti

Dalam satu kenyataan lain, pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengulas tentang perkara ini meminta pelajar yang membuat tuduhan atau identitinya digunakan dalam membuat tuduhan tersebut segera menghubungi pihak unversiti bagi membantu siasatan. MPP melalui Exco Akademik dan Kerjaya, saudari Nur Aqilah Hanis turut memandang serius tuduhan ini dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Beliau juga berharap agar pihak yang membuat tuduhan bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Ralat

Merujuk kepada berita bertajuk MPP 07/08 berlepas ke Beijing yang disiarkan pada 19 Dis. 2008, pihak UPSIkini memohon maaf atas kesilapan fakta yang tidak disengajakan. Pegawai pengiring yang mengikuti lawatan tersebut adalah Puan Nor Hayati Aziz, Pengurus Asrama dan Puan Jasniazura Monir, Setiausaha Timbalan Pendaftar Kanan JHEPA dan bukan seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut. UPSIkini sekali lagi memohon maaf atas kesilapan tersebut. Terima kasih.

Pengetua KHAR dituduh amal dasar penghapusan kaum, kurang cekap mentadbir

Tanjong Malim, 24 Dis. – Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi dituduh mengamalkan dasar penghapusan kaum di KHAR dan kurang cekap dalam mentadbir kolej.

Tuduhan yang dibuat oleh beberapa pelajar melalui ruangan forum Portal UPSI itu mendakwa terdapat beberapa tindakan beliau yang dilihat mengamalkan dasar penghapusan kaum di kolej yang ditadbir beliau.

Tuduhan lain yang dihantar dalam ruangan forum tersebut menyifatkan Ahmad Zaidi sebagai seorang yang kurang cekap dalam pentadbiran kolej dan terdapat juga beberapa tuduhan liar lain yang merujuk kepada peribadi beliau.

Tuduhan-tuduhan ini bagaimanapun diragui kesahihannya oleh bebebrapa pihak apabila tidak ada bukti sahih yang dikemukakan sehingga kini.

UPSIkini walau bagaimanapun masih berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak yang berkenaan terhadap tuduhan berat ini.

[Berita lanjut menyusul]

December 23, 2008

Keputusan peperiksaan akhir semester boleh disemak bermula hari ini

Tanjong Malim, 23 Dis.- Keputusan peperiksaan akhir semester 1 sesi 2008/2009 bagi semua mahasiswa UPSI boleh disemak bermula hari ini. Keputusan boleh disemak dalam portal IMS di alamat http://mysis.upsi.edu.my.

December 19, 2008

“Kami mampu laksanakannya” - JMK

Tanjong Malim, 19 Dis.- Dakwaan mengatakan terdapat kekalutan dalam kerjasama Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) kolej-kolej kediaman UPSI untuk gerak kerja Minggu Suai Kenal ambilan Disember kali ini disangkal oleh beberapa JMK yang ditemui hari ini. Menurut salah seorang ahli JMK yang dihubungi, dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan sengaja dibuat bagi memperkecilkan keupayaan kami untuk melaksanakan MSK.

“Ini dakwaan mereka yang tidak bertanggungjawab dan bongkak. Jangan terlalu sombong untuk mengeluarkan kenyataan seolah-olah kami tidak mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan,”katanya. Tambahnya lagi,”Kami akan sedaya upaya menjalankan tugas yang diberi dan akan menangkis segala anggapan negatif sebelum ini.”

Seorang lagi ahli JMK yang membuat ulasan mengatakan, kerjasama setakat ini sangat positif dan segala gerak kerja berjalan dengan baik.

“Kerjasama antara JMK dalam MSK menujukkan petanda yang positif dan segala keputusan gerak kerja dibuat secara kolektif antara kami”,katanya.

“Saya dan rakan-rakan yang lain akan berusaha menjalankan tanggungjawab ini dengan baik”,ulasnya lagi.

JMK menangkis dakwaan ini apabila ada cakap-cakap mengatakan mereka tidak setuju apabila diberi tanggungjawab mengurus MSK kali ini. Menurut sumber rungutan ini hanya disuarakan oleh YDP Kolej Ungku Omar, Izi Nasiruddin yang terkenal sebagai orang kuat SMU. Beliau dikatakan turut memboikot MSK kali ini dan tidak terlibat dalam gerak kerja yang disertai semua JMK kolej sejak seminggu yang lalu.

Hari pendaftaran dan Minggu Suai Kenal pelajar baru dijadual bermula 2 Januari ini.

MPP 07/08 berlepas ke Beijing

Tanjong Malim, 19 Dis.- Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2007/08 dilaporkan telah berlepas ke Beijing, China pada jam 9 malam semalam dalam satu lawatan yang dianjurkan mereka. Lawatan yang disertai kesemua ahli MPP ini diketuai oleh 2 pegawai pengiring iaitu Timbalan Naib Canselor HEP, Prof Dr. Shaharudin Abd Aziz dan Timbalan Pendaftar JHEPA, Encik Faiezi Othman.

Turut terpilih untuk mengikuti lawatan ini adalah Abdul Rashid Husain, Nabila Soraya Hani, Nor’Ain A. Razak dan Syaiffuldin bin Mohamad. Mereka dikatakan antara ahli SMU paling aktif dan memegang jawatan penting dalam organisasi tersebut selain mewakili Pro Kualiti sebagai Calon Umum dalam PRK lepas.

Program yang sepatutnya pada tarikh 29 Disember hingga 3 Januari ini terpaksa diawalkan berikutan tarikh pendaftaran pelajar baru pada 2 Januari ini.

Program lawatan ke luar negara merupakan program yang lazim dijalankan selepas tamat satu sidang MPP berkhidmat.

Semua peserta lawatan dijadual pulang pada 24 Disember ini.

December 12, 2008

MSK : SMU tak terlibat

Tanjong Malim, 12 Dis. – Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) yang sebelum ini sering terlibat dalam Minggu Suai Kenal pelajar-pelajar baru dilaporkan tidak terlibat pada ambilan Disember ini.

Minggu Suai Kenal pada ambilan Disember ini dikatakan hanya melibatkan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) setiap kolej-kolej kediaman dan Majlis Perwakilan Pelajar. Menurut sumber, pengecualian SMU untuk terlibat pada MSK kali ini adalah sebagai langkah berjimat-cermat dalam perbelanjaan urusetia selain jumlah pelajar yang tidak begitu ramai pada sesi kemasukan kali ini. Sumber turut melaporkan sebagai berkata, langkah mengambil JMK dan MPP untuk bekerja dalam MSK kali ini merupakan percubaan untuk melihat keberkesanan kedua-dua organisasi ini bekerjasama untuk MSK kali ini dan berkemungkinan pada masa akan datang tanpa SMU.

Sehubungan dengan itu, ada cakap-cakap mengatakan SMU berkemungkinan akan dibubarkan bagi menangkis tuduhan yang mengaitkan SMU dan Kumpulan Pro Aspirasi. Isu mengaitkan SMU sebagai tapak gerakan Pro Aspirasi telah lama diperkatakan di kalangan mahasiswa terutamanya mereka yang pernah terlibat dengan beberapa siri kursus yang dianjurkan.
SMU sebelum ini turut dikaitkan sebagai jentera Pro Aspirasi dalam beberapa PRK yang lalu.

Pendaftaran pelajar baru dijadual pada 2 Januari 2009.

December 9, 2008

UPSI hantar 50 penyokong sempena SUA edisi ke-14

Tanjong Malim, 9 Dis. –Sebanyak 10 buah negara Asean termasuk Malaysia, Laos, Vietnam, Timur Leste, Kemboja, Thailand, Singapura, Myanmar, Indonesia dan Filipina disahkan mengambil bahagian dalam temasya Sukan Universiti Asean (SUA) pada kali ini. Tuan rumah Malaysia, dilaporkan bakal menampilkan 400 atlet yang bakal beraksi dalam semua acara yang dipertandingkan dan 98 pegawai.

Sehubungan dengan itu, seramai 50 mahasiswa UPSI telah dipilih menggalas tugas sebagai penyokong dalam Sukan Universiti Asean (SUA) yang bakal berlangsung di 22 venue sekitar Lembah Klang bermula Khamis ini. Kesemua 50 penyokong tersebut dilaporkan telah berangkat ke venue temasya pada hari ini dan dijadual berkampung selama 10 hari sepanjang temasya.

Antara nama yang tersenarai dalam 50 orang wakil UPSI ini adalah Abdul Rashid bin Husain dan Azmi bin Mohammad Sofian, calon Umum pro-Kualiti yang tewas dalam PRK bulan lalu.

Kesemua wakil UPSI yang bertugas sebagai penyokong dilaporkan bakal menerima imbuhan berupa saguhati sebanyak RM300, kemeja-T, tanggungan makan dan minum serta sijil.



December 7, 2008

Ucapan takziah kepada keluarga tragedi tanah runtuh

Tanjong Malim, 7 Dis. – Tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Hulu Kelang yang meranapkan 14 buah banglo mengundang rasa simpati pelbagai pihak termasuk mahasiswa UPSI di sini. Setakat ini 4 mangsa yang terkorban telah ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan. Kejadian yang berlaku dikatakan berhampiran dengan tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 11 Disember 1993.

Akmal Madzir, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI, ketika mengulas tentang tragedi ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya mewakili seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dan tabah menghadapi dugaan daripada Allah ini,”ulasnya.

Beliau turut menyarankan agar tragedi ini diberi perhatian serius oleh semua pihak dan berwaspada dengan setiap tindakan menebang pokok di lereng-lereng bukit dan aktiviti yang boleh mengundang kejadian seperti ini.

“Saya berpandangan agar semua aktiviti atau bentuk pembangunan yang dibuat perlu diselidiki dengan teliti sebelum diluluskan misalnya penebangan pokok,tarahan bukit dan yang sepertinya kerana ini boleh mengundang kejadian seperti ini berlaku dan tidak mustahil lebih buruk daripada ini.”katanya.

Presiden Kelab Rakan Surau Ar-Rasyidin (KERAS), saudara Zulkifli Yusof yang mengulas tentang tragedi ini turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan mengucapkan takziah kepada mereka. Beliau turut mengingatkan kepada semua agar melihat perkara ini sebagai satu ujian daripada Allah dan redha dengan ujian tersebut.

“Ini adalah satu bentuk ujian dari Allah dan sebagai hambaNya yang lemah kita perlu menginsafi diri dan menjadikannya sebagai satu peringatan dan pengajaran dari Allah”,ualsnya. Tambahnya lagi,”Sebagai seorang muslim, sudah semestinya kita perlu memperbaiki diri dan tragedi ini juga adalah tarbiah dari Allah kepada kita”.

Operasi mencari dan menyelamat di kawasan kejadian dilaporkan masih lagi diteruskan.

December 6, 2008

Ikatan Siswa Siswi UPSI (ISSU) bakal ditubuh

Sebuah pertubuhan baru mahasiswa UPSI, Ikatan Siswa Siswi UPSI (ISSU) bakal ditubuh bagi menjadi wadah mahasiswa UPSI melontarkan idea dan pendapat.

Ikatan Siswa Siswi UPSI atau nama singkatannya ISSU kini mempunyai keahlian yang mencukupi bagi membentuk sebuah pertubuhan yang bertindak sebagai badan mahasiswa berkecuali dalam menyampaikan pandangan serta kritikan terhadap beberapa isu yang berlaku di UPSI termasuk isu negara khususnya isu pendidikan.

Dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Upsikini, Ahli Jawatankuasa penaja ISSU menjelaskan bahawa mereka sedang merangka dan menyusun beberapa hal berkaitan perlembagaan dan bentuk gerakan yang akan dilaksanakan. [Berita Lanjut Menyusul]

Puteri Naib Canselor UPSI akhiri zaman bujang

Puteri Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob, Elisa Farazana Idris mengakhiri zaman bujangnya hari ini apabila bertemu jodoh dengan Philip Safwan Von Huben.

Wakil MPP yang ditemui mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada keluarga Dato’ Naib Canselor khususnya kepada anakandanya yang melangsungkan majlis perkahwinan hari ini.

Majlis perkahwinan mereka berlangsung hari ini, 6 Disember 2008 di kediaman rasmi Naib Canselor di UPSI.

Skirt labuh dan kemeja syarat bagi ahli MPP wanita untuk ke KPT - MT

Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI meletakkan syarat supaya semua ahli MPP wanita memakai skirt labuh dan kemeja untuk satu lawatan ke Kementerian Pengajian Tinggi. Syarat ini dibuat bagi menyelaras semua pakaian ahli sebagai langkah mengikut protokol dalam lawatan tersebut. Syarat yang diletakkan ini mengundang reaksi kurang senang daripada beberapa ahli MPP ‘muslimat’.

Berikutan itu, syarat tersebut ditentang keras oleh beberapa ahli MPP ‘muslimat’ yang mendakwa syarat tersebut tidak relevan sama sekali kerana berbaju kurung tidak langsung melanggar etika pemakaian dalam lawatan tersebut dan kenapa syarat skirt labuh dan kemeja itu perlu dibuat?.

“Saya tidak faham apakah berpakaian seperti kami sekarang ini melanggar mana-mana etika pemakaian?”soalnya.

Mereka yang bertegas dengan prinsip mereka turut menyatakan mereka tidak akan sekali-kali tunduk dengan tuntutan yang melanggar prinsip dan imej mereka.

“Kami akan tetap dengan prinsip kami, berpakaian sebagai seorang muslimat dan syarat pemakaian skirt labuh dan kemeja ini bukan perkara utama bagi kami. Perkara yang lebih penting adalah isu yang ingin dibangkitkan dalam pertemuan dengan KPT nanti,”jelas mereka.

Lawatan tersebut dijangka akan dibuat pada 22 Disember ini.