December 24, 2008

Ahmad Zaidi sifatkan tuduhan berniat jahat, tidak berasas

Menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepada beliau dalam ruangan forum portal UPSI, Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi Johari, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) menyifatkannya sebagai berniat jahat dan bermotif untuk memburuk-burukkan beliau.

Kesemua tuduhan yang dilemparkan juga tidak berasas sama sekali dan boleh didakwa sekiranya tindakan undang-undang diambil. Beliau mengulas perkara tersebut dalam satu perjumpaan tertutup dengan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej KHAR semalam.

Beliau turut dilaporkan akan mengambil tindakan lanjut memandangkan tuduhan yang dilemparkan menjurus secara langsung kepadanya dan boleh menjejaskan nama baik beliau. Walaubagaimanapun beliau masih belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil bagi mengambil kira integriti beliau sebagai pensyarah dan pendidik.

Dalam pada itu, salah seorang ahli JMK yang diminta mengulas tentang tuduhan tersebut dipetik sebagai berkata tuduhan yang dilemparkan sememangnya berniat jahat dan kami yang bekerja bersama beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat terutamanya dasar penghapusan kaum yang kononnya diamalkan di KHAR.

“Saya secara peribadi sangat terkejut dengan tuduhan berat tersebut kerana tuduhan yang dibuat tidak benar sama sekali”,ulas beliau. Tambahnya lagi,”individu yang terlibat dalam membuat tuduhan tersebut seharusnya tampil dengan bukti yang sahih sekiranya mereka di pihak yang benar”.

Pengirim diragui

Seorang mahasiswa yang menganalisa setiap kiriman yang dihantar oleh pengirim di dalam ruangan forum itu berpendapat individu yang membuat tuduhan dalam forum tersebut berkemungkinan hanyalah beberapa orang pelajar sahaja tetapi menggunakan 'id' rakan-rakan mereka untuk memperlihatkan seolah-olah tuduhan tersebut mendapat sokongan beberapa pelajar lain.

Pandangan ini dikemukakan oleh mahasiswa terbabit apabila mendapati masa bagi setiap kiriman yang dikirimkan begitu singkat antara satu kiriman dengan kiriman yang lain dan ini menimbulkan tanda tanya.

Mahasiswa terbabit turut mengeluarkan fakta dengan mengatakan, ada beberapa kiriman yang mempunyai bentuk ayat yang seakan-akan sama dengan maksud mahu Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi melepaskan jawatan sebagai Pengetua KHAR.

Fakta lain yang dikemukakan adalah melihat latar belakang pelajar yang menghantar kiriman dalam forum tersebut rata-ratanya berada di semester 2, fakulti yang sama, dan ini menguatkan lagi pendapat yang dikemukakan beliau.

Minta pelajar menghubungi pihak universiti

Dalam satu kenyataan lain, pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengulas tentang perkara ini meminta pelajar yang membuat tuduhan atau identitinya digunakan dalam membuat tuduhan tersebut segera menghubungi pihak unversiti bagi membantu siasatan. MPP melalui Exco Akademik dan Kerjaya, saudari Nur Aqilah Hanis turut memandang serius tuduhan ini dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Beliau juga berharap agar pihak yang membuat tuduhan bertanggungjawab atas tindakan mereka.

1 comment:

Anonymous said...

jalankan tanggungjawab seikhlasnya..
TANGGUNG di dunia..JAWAB di akhirat..sayangi UPSI