December 31, 2011

Wakil UMNO: Tak sama tokoh SITC dengan p'juangan mahasiswa biadab

Tanjong Malim,31 Dis - Ketua Bahagian UMNO Tanjong Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib semalam menyatakan bahawa perjuangan tokoh nasionalisme Melayu di SITC tak sama dengan perjuangan biadab seorang mahasiswa UPSI.

Memberi respon terhadap satu artikel kolumnis UPSIkini bertajuk 'Bebaskan Malim Sarjana, SITC saksi gerakan mahasiswa bermula', beliau mengatakan artikel tersebut mengelirukan pemikiran mahasiswa.

Katanya "InsyaAllah, saya akan memantau artikel-artikel yang cuba mengelirukan pemikiran mahasiswa seumpama ini."

" Mana mungkin nak dibandingkan pengorbanan tokoh nasionalisme Melayu di SITC yang berjuang membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris, dengan perjuangan biadab seorang pelajar UPSI terhadap pemimpin negara.."

"Merelakan dirinya dijadikan alat untuk membela nasib seorang ahli politik yang semakin lemas dengan masalah peribadinya?, ujarnya ketika memberi komen kepada artikel tersebut.

Untuk rekod, Datuk Mohd Khusairi merupakan tokoh UMNO Tanjong Malim yang menggerakkan 'demo' serta menghantar memorandum kepada Naib Canselor UPSI tempoh hari. Beliau menuntut agar Adam Adli dikenakan tindakan.

December 30, 2011

Bebaskan Malim Sarjana, SITC saksi gerakan mahasiswa bermula

Hassan Karim melakarkan dalam makalahnya 'The Student Movement In Malaysia 1967-1974', gerakan mahasiswa Malaysia bermula pada tahun 1930-an. Sekumpulan mahasiswa sedar dari Sultan Idris Training College (SITC) pimpinan Ibrahim Yaacob (gambar) menubuhkan Belia Malaya (Malayan Youth) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai reaksi penentangan terhadap penjajah British seterusnya menuntut kemerdekaan.

Selain itu, kehadiran guru-guru sedar seperti Zainal Abidin Ahmad (Za'ba) dan Harun Aminurrashid di SITC terus menyumbang kepada pemerkasaan Bahasa Melayu dan gerakan mahasiswa.Tema besar perjuangan dizaman itu adalah PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN. Pembebasan dan kemerdekaan dari belenggu penjajahan fizikal dan aqal dari penjajah British seterusnya mewujudkan sebuah gagasan Melayu Raya merdeka.

Ironinya, gerakan mahasiswa era 30-an itu telah meletakkan garis besar perjuangan (pembebasan dan kemerdekaan) yang lantas mencabar kuasa penjajah-pemerintah British. Natijahnya pahit, mereka dilabel sebagai golongan kiri dan pendokong idea komunis, gerakan mereka diharamkan, dikecam dan diancam dengan pelabagai cubaan.

Setidaknya, ledakan isu seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli pada 17 Disember 2012 lalu mengingatkan kita sejarah SITC. SITC pernah menjadi tumpuan negara bahkan mungkin dunia. Nama Sultan Idris Training College (SITC), Tanjong Malim dan 'kumpulan SITC' (baca: Ibrahim Yaakob dan rakan mahasiswanya) dilakar dalam sejarah.

Semua itu terjadi kerana garis besar perjuangan menuntut PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN. Bukan kerana Ibrahim Yaacob semata. Ia lahir dari kecerdasan mahasiswa institusi pendidikan guru tertua itu mensintesiskan pemikiran pendidikan yang akhirnya menyedarkan mereka untuk berjuang.

Tema garis besar perjuangan (pembebasan dan kemerdekaan) itu kalau pun kisahnya tak sama, tetapi setidaknya telah hidup kembali. Hidup dalam versi yang berbeza. Hidup kerana isu turunnya bendera. Tetapi garis perjuangannya sama. Malaysia tidak lagi terjajah fizikal. Tetapi simptom-simptom penjajahan itu tetap ada.

Dunia akademia-universiti kini dicengkam, dijajah pemerintah untuk mengekalkan kuasa politik. Malim sarjana (ahli akademik) dan mahasiswa tak lagi bebas bersuara walau dalam lingkungan dibenarkan agama, undang-undang dan perlembagaan negara. Nah! disitu letakknya punca keluarnya suara. Suara PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN dunia akademia, malim sarjana dan mahasiswa dari pengaruh politik pemerintah yang mempergunakan akademia untuk kekal berkuasa

Disebalik tempat yang dinamakan universiti kini, tak semua tahu kisah duka. Duka, kecewa dan hampa kerana matinya kebebasan ilmuan dan mahasiswa melestarikan pandangan. Disebalik dewan kuliah, pustaka dan buku-buku itu, mahasiswa tidak lagi bebas berekspresi melainkan disuap untuk peperiksaan semata.

Disebalik segelintir sosok pentadbir universiti yang merancang mengejar ‘ranking’ dan komersialisasi institusi, malim sarjana dan mahasiswa berterusan dicengkam oleh segolongan ‘musktakbirin’ (pemegang kuasa angkuh) berijazah tinggi berjela, dihantar ke universiti oleh pemerintah politik untuk mengukuhkan kuasa. Kita berada dizaman gelap dunia akademia ?

Apa yang dinamakan universiti tak lebih dari hanya sekadar tempat mendapat segulung ijazah yang mungkin tak mempunyai apa-apa makna. Tiada makna untuk pembaikan diri, masyarakat dan Negara. Kata seorang tokoh agamawan, Abul ‘Ala al-Maududi universiti tak ubah seperti tempat pembodohan.

“Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.”-Abul Ala al-Maududi

Bebas. Bebaskan malim sarjana. Bebas bukan kerana Ibrahim Yaakob dan Adam Adli semata. Mereka hanya manusia biasa. Tak layak didewa-dewa. Bebaskan mereka, merdekakan academia, sejahterakan Negara.

"Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka."
-Dr Burhanuddin al-Helmy-


*Penulis, Ahmad Wafiuddin merupakan graduan Fakulti Sains Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) a.k.a SITC yang giat menganalisis isu politik kampus semasa. Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian UPSIkini.

December 22, 2011

Tolak politik luar, biar mahasiswa selesaikan sendiri

Tanjong Malim, 22 Dis - Mahasiswa Pendidik (MP) dan beberapa wakil Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) menegaskan bahawa mereka menolak sebarang campur tangan politik luar sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) atau UMNO dalam menentukan urusan mahasiswa.

Menurut Mahasiswa Pendidik (MP) menerusi lama rasmi Facebook, "diperingkat kami, kampus adalah untuk mahasiswa, biarlah mahasiswa yang membina jalur pemikiran politik kampus mereka tersendiri.. Matlamat perjuangan mahasiswa adalah untuk mahasiswa.

"Pokoknya, bangkitnya isu ini adalah kebebasan akademik yang memperjuangkan 6 tuntutan yang telah dicapai bersama.. Namun apa yang mengecewakan, ramai yang mahu mengambil kesempatan diatas isu ini demi menunjukkan mereka prihatin kepada isu mahasiswa
" ujar mereka.

Manakala, wakil Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Yuyu Luna turut menyatakan "menolak penglibatan politik luar ,biarlah mahasiswa menyelesaikannya dengan cara mahasiswa." katanya menerusi laman Facebook.

Dalam pada itu, kumpulan Mahasiswa Pendidik dan LMP dilihat tidak mahu isu Adam Adli diburukkan dengan campur tangan politik luar dan mereka memberi penegesan bahawa isu utama yang lebih besar ialah KEBEBASAN AKADEMIK.

UPSI keluar perintah ‘kurung’ pelajar

Tanjong Malim, 22 Dis – Pihak pentadbiran tertinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikatakan akan membuat keputusan 'mengurung' semua pelajarnya agar tidak keluar daripada kawasan kolej hari ini.

Pintu pagar kampus juga dikatakan akan ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 12.45 tengahari hingga 1.30 tengahari.

Lewat petang semalam, pihak UPSIkini mendapat maklumat bahawa semua pintu pagar kolej kediaman akan ditutup mulai jam 10 pagi bagi mengelak daripada pelajarnya menyertai himpunan PKR dan PAS di hadapan pintu utama UPSI tengahari ini.

Sementara itu, para pensyarah juga telah mendapat notis peringatan daripada pihak universiti agar tidak terlibat dalam sebarang anasir politik luar.

Kumpulan PKR dan PAS akan tiba di UPSI sekitar jam 1.00 tengahari bagi menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor UPSI menuntut keadilan dalam pengendalian kes Adam Adli.

December 21, 2011

PAS juga turut serta esok

Tanjong Malim, 21 Dis - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengesahkan akan turut serta dalam rombongan menyerahkan memorandum bantahan terhadap campurtangan politik luar kepada pihak UPSI dalam menangani kes Adam Adli tengahari esok.

Menurut sumber yang diterima UPSIkini, PAS dijangka akan mengerahkan lebih 500 ahlinya supaya turut serta sebagai tanda kebersamaan dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam memastikan Adam Adli diadili secara telus oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

PAS juga berpendirian bahawa insiden menurunkan bendera tempoh hari bukanlah isu besar seperti yang di 'panas'kan oleh kumpulan UMNO sebaliknya isu sebenar yang lebih utama adalah mahasiswa menuntut kebebasan akademik.

Dalam perkembangan lain, himpunan mahasiswa 'Aspirasi' di Putrajaya petang tadi menuntut agar Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan kerana sikapnya yang lebih terbuka dan 'close' dengan kumpulan 'Pro-Mahasiswa'.

PKR pula hantar memorandum esok

Tanjong Malim, 21 Dis – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menghantar memorandum kepada pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) esok. Tindakan tersebut dilihat sebagai respon balas terhadap himpunan yang dibuat pihak UMNO Isnin lepas.

Menurut maklumat yang dihantar pihak UPSIkini, PKR akan menghantar memorandum bantahan terhadap campurtangan politik luar kepada pihak UPSI dalam menangani kes Adam Adli. Mereka juga menuntut agar mahasiswa diberi kebebasan untuk bersuara sebagai menghormati semangat perlembagaan negara.

Kumpulan tersebut dijangka akan tiba pada pukul 1 tengahari di hadapan pintu utama UPSI bagi menyerahkan memorandom kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Zakaria Kasa. Suasana di UPSI sekali lagi dijangka tegang dengan himpunan daripada kumpulan PKR esok.

Dalam pada itu, pihak UPSIkini belum mendapat respon daripada pihak universiti tentang perkara tersebut.

Menurut perkembangan lain, pihak UPSI telah memaksa mahasiswa supaya turun ke Putrajaya hari ini sebagai tanda sokongan mahasiswa terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak.

Jangan alih isu

Tanjong Malim, 21 Dis – Mahasiswa Pendidik (MP) hari ini mengeluarkan kenyataan mengingatkan kepada mahasiswa supaya jangan terpedaya dengan agenda mereka yang cuba mengalih pandangan mahasiswa terhadap isu sebenar yang diperjuangkan.

Koordinator MP, Mohd Zahar Mohamed Nor menegaskan perkara tersebut lewat petang semalam. “Mahasiswa jangan tertipu dengan isu pokok yang dibawa oleh gerakan mahasiswa dalam himpunan sebelum ini, kita jangan terikut dengan melodi yang dialunkan pihak yang cuba mengambil kesempatan, kebebasan akademik adalah asas perjuangan kita, ujar beliau melalui Facebook.”

Mahasiswa seharusnya tidak hilang fokus dalam perjuangan membawa negara Malaysia menjadi sebuah negara yang segar dengan percambahan idea, pandangan, dan kritikan daripada para cendekiawan. Namun, Universiti Pendidikan Sultan Idris juga dilihat terjerat dengan mainan politik luar apabila terpaksa menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti insiden yang melibatkan Adam Adli.

Tinjauan Upsikini mendapati ramai mahasiswa yang sedia mempertahankan Adam Adli jika sesuatu tindakan melampau akan dikenakan terhadap pelajar UPSI tersebut. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menerusi pengerusinya Shukri Abd Razak memberi amaran kepada pihak universiti supaya bertindak adil dalam melakukan penyiasatan dan mungkin mini revolusi akan berlaku jika tindakan melampaui batas diambil terhadap Adam Adli.

December 20, 2011

Isu bendera: Aziz Bari tak lihat apa-apa kesalahan

Tanjong Malim, 20 Dis- Pakar perlembagaan negara yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari hari ini menyatakan bahawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan BEBAS tidak boleh dan tak perlu dikenakan tindakan berhubung isu penurunan bendera Najib Razak Sabtu lepas.

Menurut Aziz, beliau tidak melihat apa-apa kesalahan dilakukan oleh mahasiswa berkenaan. "Saya tidak nampak mereka melakukan apa-apa kesalahan, mereka tidak merosakkan harta benda..tidak, mereka menurunkan dan kemudian menaikkan semula bendera"

“Mereka hendak siasat di bawah undang-undang apa? Nak ambil tindakan di bawah peruntukan apa?” ujar beliau kepada laman berita online, the Malaysian Insider.

Sebaliknya kata pakar perlembagaan ini, Najib selaku perdana menteri perlu menerima mesej yang disampaikan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan, yang mengadakan demonstrasi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Dalam hal berkaitan, Jawatankuasa Tatatertib UPSI keatas Adam Adli dilaporkan sudah memulakan perbincangan untuk mengenakan tindakan.

Namun, Jawatankuasa tersebut dilihat perlu berhati-hati dan adil dalam membuat keputusan tanpa dipengaruhi campur tangan politik kepartian dalam hukuman yang bakal dikenakan terhadap Adam Adli.

December 19, 2011

'We Are All Adam Adli' cecah lebih 4500 pengikut

Tanjong Malim, 19 Dis- Page di laman sosial Facebook bertajuk 'We Are All Adam Adli" mencecah 4500 lebih pengikut dalam masa kurang 48 jam.

Page yang bertujuan untuk menyokong tindakan Adam Adli yang menuntut kebebasan akademik dan menjamin agar keselamatan Adam Adli terpelihara dikatakan mendapat sokongan mahasiswa dari seluruh negara.

Dalam pada itu, tinjauan UPSIkini dilaman sosial Facebook mendapati rata-rata mahasiswa UPSI menyatakan sokongan terhadap tindakan Adam Adli disamping wujud sekumpulan mahasiswa yang tidak bersetuju.

Menurut Noor Yusmita, Nadhir Hasan, Hazli, Nazirul dan lebih dari 50 respon menyatakan 'support him', we are all Adam Adli, "aku sokong, ni merupakan satu cabaran,mahasiswa bukan budak hingusan lagi boleh di tampar atau di rotan." ujar mereka.

"Help him, bukan sebab politik,tapi sebab Adam Adli seorang mahasiswa dan dia berjuang dan tolonglah dia.. support him"kata Nazirul.

Dalam hal berkaitan, pagi tadi 5 mahasiswa UPSI telah menyatakan bantahan terhadap tindakan Adam dan turut membuat laporan polis. Selain itu Adam juga dikatakan akan dipanggil oleh pihak universiti dalam masa terdekat.



NC terima memorandum UMNO: Adam Adli mungkin dipanggil

Tanjong Malim, 19 Dis-Belum pun reda isu pembekuan 'posting' graduan pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menjadi tumpuan negara apabila Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli dikecam hebat oleh ahli UMNO dan beberapa NGO 'pro-Melayu' ekoran tindakan menurunkan bendera Najib Razak di PWTC pada satu siri demonstrasi mahasiswa menuntut kebebasan akademik 17 Disember lalu.

Tindakan menurunkan bendera Perdana Menteri dan ditukar dengan bendera 'Academic Freedom' selama beberapa minit sebelum diganti kembali mendapat kecaman dan ugutan hebat dari ahli UMNO.

Dalam pada itu, pagi tadi sekumpulan ahli UMNO, MIC, PERKASA mengadakan satu demontrasi dihadapan pintu utama UPSI dan menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr. Zakaria Kasa.

Serahan memorandum yang mendesak agar Adam Adli dikenakan tindakan tatatertib dalam masa 2 minggu diserahkan oleh Ketua Bahagian UMNO Tanjong Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib serta beberapa anggota MIC dan PERKASA.


(Prof Dr Zakaria menerima memorandum dari Datuk Khusairi)

Naib Canselor bersama beberapa pegawai pentadbir universiti termasuk TNCHEPA, Datuk Paduka Dr Junaidi (DDJ) telah menerima memorandum tersebut dihadapan pintu utama kampus dan dikatakan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam hal berkaitan, beberapa pihak disini tidak menolak kemungkinan Adam Adli akan dipanggil oleh pihak universiti dalam masa yang terdekat bagi mendapatkan penjelasan dan mungkin akan dikenakan tindakan tatatertib.

Untuk rekod, Adam Adli pernah dipanggil oleh pihak universiti ekoran isu 'demo air' tempoh hari.

December 11, 2011

Ahli parlimen terus bangkitkan kemelut 'posting'

Tanjong Malim, 12 Disember - Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria baru-baru ini sekali lagi menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyelesaikan segera isu graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan ke sekolah sehingga kini.

Beliau yang memberi kenyataan dalam akhbar Harakahdaily menyebut pelbagai masalah dan karenah melanda Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menular menjangkiti sektor pendidikan negara kita menuntut kerajaan menyelesaikan dengan segera beberapa kemelut yang berlaku.

Pertama. Isu penghinaan kepada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan dan di fakulti-fakulti pendidikan.

Menteri Pelajaran dilaporkan telah membuat kenyataan yang menghiris hati mahasiswa dengan mengatakan mahasiswa perlu mencari kerja lain berikutan tiada kekosongan jawatan. Ia telah membawa kepada perhimpunan aman yang telah dianjurkan di Universiti Perguruan Sultan Idris yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa.

Kedua. Kementerian perlu menyatakan kesahihan dakwaan yang mengatakan berlaku kelewatan penempatan sehingga 7 bulan. Graduan ISMP seolah-olah dipermainkan dan diperbodohkan oleh KPM.

Persoalan yang timbul ialah apakah ia berpunca daripada tiada perjawatan ataupun kerajaan tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pegawai pendidikan.

Apa tidaknya, dari bulan ke bulan menanti hingga sekarang borang online masih belum ada bayangnya. KPM hanya menjawab sila semak laman web KPM dari semasa ke semasa.

Ketiga. Menteri Kewangan membuat pengumuman umur persaraan dinaikkan daripada 58 ke 60 tahun lewat bajet 2012. Apakah kesan pertama dirasai oleh sektor pendidikan? Berlakunya pembekuan kenaikan pangkat dan pengambilan kakitangan baru seperti yang dibahaskan oleh saya yang dinafikan oleh menteri rupanya terjawab. Ia tetap melibatkan guru.

Keempat. Pengumuman dan kenyataan bersimpang siur KPM juga mengecewakan graduan. Termasuklah maklumat yang mengatakan graduan tidak perlu lagi mengisi borang. Tunggu sahaja dan mereka akan terus dipanggil temuduga. Termasuk juga persoalan pihak manakah yang sebenarnya menguruskan penempatan guru. KPM atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang menguruskan penempatan guru.

Kelima. Polisi KPM membingungkan. Bagi pengambilan 2007, berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia pengambilan dua kali mahasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Tanpa perlu mengikut proses biasa; tidak perlu mengisi borang UPU, tanpa ujian kelayakan guru dan ujian sakhsiah. Hanya dengan borang yang disediakan KPM mereka terus bergelar mahasiswa dengan alasan unjuran KPM kekurangan guru untuk 2011. 80 000 dilaporkan memohon, 5000 dipilih. Akhirnya mereka diminta mencari kerja lain!

Keenam. Kenyataan terbaru berkenaan 5000 graduan sudah ditemuduga juga dilihat amat mengelirukan. Bangunnya ramai graduan ISMP yang mempertikaikan kenyataan beliau. Apa sudah jadi wahai KPM dan Timbalan Menteri. Janganlah buat kenyataan yang bertentangan dengan realiti.

Ketujuh. Kenyataan kerajaan yang ingin membawa 13 000 guru asing juga menambah serabutkan lagi polisi KPM. Kera di hutan disusukan, anak bini di rumah kelaparan dan dihina.

Kelapan, KPM wajar menstrukturkan semula kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan atau tutup sahaja fakulti dan Universiti Pendidikan sekirannya ia tidak perlu. Janganlah struktur itu akan menambahkan lagi kadar pengangguran warga Malaysia yang sudah dianggarkan 400 000.

Pemegang ISMP adalah amat sukar diterima oleh mana-mana majikan apabila tertera pendidikan. Majikan menolak kerana biasanya pemegang ijazah ini biasanya akan berhenti apabila dipanggil untuk bertugas di sekolah.

Kementerian wajib menyelesaikan segera isu ini. Kepada warga bakal guru yang menghabiskan empat tahun di universiti mempelajari ilmu pedagogi, falsafah, sosiologi, psikologi pendidikan. Seterusnya dua minggu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah dan 14 minggu menjalani praktikum di sekolah. Fikir-fikirkan dan buat pilihan tepat dalam PRU 13.

Dalam hal berkaitan, Nasir Zakaria dilaporkan telah membahaskan isu penempatan ISMP diparlimen 16 November lepas, namun tiada sebarang respon positif diterima.

Siri Keempat: Operasi pembersihan Islam di UPSI bermula untuk pusingan kedua


Siri ketiga yang lepas, penulis mengutarakan keraguan masyarakat Tanjong Malim dan Ketua Adat Melayu tentang kelayakan DD.., untuk menerajui HEPA. Keraguan ini mula muncul apabila DD… begitu asyik berhibur tanpa mempedulikan baik buruknya kepada UPSI.

Dalam siri keempat ini penulis akan mengulas isu “pembersihan” di UPSI. Kerana DD…dengan bangganya menyebut bahawa dia dihantar ke UPSI adalah untuk membersihkan UPSI. Cuma persoalannya ialah layakkah “Dato’ Dandut” membersihkan UPSI. Persolan yang kedua ialah apa yang sebenarnya hendak dibersihkan oleh DD..?

Sebagaimana misi lantikan TNC HEPA yang kedua pada era 2005 - 2007, misi lantikan DD… juga adalah untuk membersihkan UPSI. Apakah sebenarnya yang ingin dibersihkan oleh DD…? Menjawab persoalan tersebut, penulis mempunyai ulasan di bawah. Walau bagaimanapun, yakinlah wahai warga UPSI yang dikasihi, apa yang ingin dibersihkan oleh DD… adalah ISLAM. Beliau hanya menggunakan isu politik untuk membersihkan ISLAM. Penulis mempunyai beberapa hujah berikut:

1. DD… telah mengarahkan Kuliah Insaniah yang diadakan sekian lama dalam kalangan kakitangan HEPA dihentikan serta-merta. Soalan penulis kepada pembaca. Pernahkah pembaca mendengar bahawa penceramah kuliah tersebut berpolitik dalam kuliahnya? Saya yakin jawapannya TIDAK. Penceramah hanyalah menyampaikan ilmu Islam untuk membina watak baik dalam kalangan kakitangan HEPA. Jadi apabila DD… mengarahkan kuliah ini dihentikan, bermakna DD… mahu penyebaran Islam dihentikan. Sekali lagi ditegaskan bahawa apa yang ingin dibersihkan oleh DD… adalah ISLAM.

2. DD… dengan bongkaknya telah mengarahkan Program Penggerak Ad-Din ditangguhkan. Walau pun akhirnya terpaksa membatalkan arahan tersebut kerana kebangkitan pelajar. Layakkah program yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Pengurusan Eksekutif dan dilaksanakan melalui amanat yang diberikan oleh Naib Canselor melalui Mesyuarat Penyuburan Islam ditangguhkan oleh seorang individu bernama DD…?

Saya yakin tanpa sokongan daripada mahasiswa dan kakitangan UPSI, program ini akhirnya akan dimatikan oleh DD… dan juak-juaknya. Kerana itulah antara resolusi bengkel pengetua dan felo baru-baru ini antaranya ialah untuk mematikan Program Penggerak Ad-Din secara terancang. Iaitu dengan cara melambat-lambatkan pelaksanaan program ini, menyusahkan pelajar untuk melaksanakannya dan menyalahkan pelajar andainya program ini gagal. Kalau pembaca tidak yakin dengan apa yang diutarakan oleh penulis. Penulis mohon agar bertanyakan kepada mana-mana felo jujur yang menghadiri bengkel tersebut. Takut-takut penulis tersilap mendengarnya.

Persolan kedua, penulis ingin utarakan pernahkah pembaca terdengar bahawa penceramah daripada program itu adalah datangnya daripada mana-mana parti politik? Saya yakin jawapannya adalah TIDAK. Yang ingin dibersihkan oleh DD… adalah ISLAM bukannya politik. Isu-isu politik hanya dijadikan alasan untuk membersihkan ISLAM

3. Sebagaimana langkah yang diambil oleh TNC HEPA yang kedua di era 2005- 2007, DD… mengambil langkah pertama yang sama iaitu mengarahkan felo dan pengetua memantau aktiviti surau-surau universiti. Soalan penulis kepada pembaca semua, pernahkan pembaca terdengar nama-nama tokoh politik yang pernah dibawa berceramah di surau UPSI sebelum ini? Penulis yakin bahawa jawapannya juga TIDAK.

Jadi apabila DD… mengarahkan pemantauan dilakukan oleh pengetua dan felo, apa yang ingin dipantau adalah penyebaran ISLAM. Untuk memastikan penyebaran Islam tidak berlaku, maka program surau dikurangkan seboleh mungkin. Lihatlah apa yang berlaku di Surau KUO dan KHAR. Aktivitinya jauh berkurang daripada biasa. Kecuali surau Al-Falah di Proton City, itu pun kerana pengetua tiada kuasa untuk menamatkan program yang ada.

4. Apa yang lebih memedihkan hati sebahagian daripada felo-felo yang menghadiri bengkel di Kota Bharu baru-baru ini ialah kebiadapan DD… yang secara jelas menyebut bahawa beliau dengan sengaja menangguhkan pelaksanaan program Islam di UPSI bagi memastikan pelajar baru tidak menerima Islam. Katanya “freshie” mempunyai sifat mudah terima. Oleh itu program Islam akan ditangguhkan pelaksanaannya termasuk tidak akan ada apa-apa program Islam dalam program minggu suaikenal untuk pelajar baru.

Wahai saudaraku warga UPSI, sedarlah apa yang sedang dilakukan oleh DD… dan juak-juaknya untuk membersihkan ISLAM di UPSI. Andainya anda masih lena, jawaplah di hadapan ALLAH nanti. Untuk memastikan maklumat ini sampai kepada semua warga UPSI, penulis dengan ini MENGIZINKAN semua pembaca yang prihatin untuk meyebarkan kepada semua warga UPSI dengan menggunakan apa-apa saluran maklumat yang ada. jangan jadi orang yang tidak berbuat apa-apa untuk menghalang operasi PEMBERSIHAN ISLAM tajaan DD… dan juak-juaknya terus dilaksanakan di UPSI. Jangan lupa untuk sampaikan penulisan ini kepada pengundi-pengundi di Kuala Krai agar DD… lebih mudah dikorbankan di sana nanti.

Andainya penulisan ini sampai kepada Y. B. Menteri Pengajian Tinggi. Penulis secara jujurnya menghormati Y. B. Dato’ Seri sebagai peneraju utama institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana penulis yakin Y. B. Menteri mempunyai misi dan matlamat yang jelas dalam aspek pembangunan pelajar di universiti bagi mendepani era globalisasi. Cuma Y. B. Dato Seri mungkin tersalah pilih orang yang sesuai bagi meneruskan misi dan visi Y.B. Menteri. Mungkin juga Y. B. sendiri tidak pernah merestui lantikan DD… sebagai TNC HEPA di UPSI.

Andainya artikel ini sampai kepada pengetahuan Y. A. B. Menteri Pelajaran Merangkap Timbalan Perdana Menteri (TPM). Bukanlah niat penulis untuk melawan kepimpinan Y.A.B Tan Sri. Cuma kami sebagai pelajar dan kakitangan UPSI menuntut hak kami untuk diberikan seorang pemimpin yang layak memimpin dalam hal pembanguan sahsiah pelajar. Andainya Islam yang sedikit ini, yang masih kekal dalam jiwa anak muda sebagai warga pendidik ingin dikikis oleh DD… Apa lagi yang ada untuk menjadi benteng terakhir kepada keruntuhan nilai dalam kalangan remaja hari ini?

Nantikan siri kelima yang akan mengulas isu pembersihan kakitangan di HEPA….