November 11, 2009

71% setuju bukti Pro Kebajikan diterima mahasiswa

Tanjong Malim, 11 Nov. – Keputusan undian sama ada Pro Kebajikan perlu bertanding dalam Pilihan Raya Kampus akan datang atau pun tidak yang menunjukkan 71% pengundi bersetuju disifatkan Ketua Penerangannya sebagai bukti bahawa Pro Kebajikan diterima di kalangan mahasiswa UPSI.



Beliau yang mengulas berkenaan keputusan tersebut mendakwa tahap sokongan kepada Pro Kebajikan adalah konsisten dan mempunyai penyokong setia dalam agenda perubahan yang dibawa.

Katanya lagi, dalam tinjauan rambang yang dibuat menunjukkan rata-rata mahasiswa mempunyai persepsi yang positif terhadap Pro Kebajikan namun perkara tersebut tidak akan dapat dibuktikan sekiranya tidak ada ‘pengukur’ iaitu pilihan raya.

Dalam pada itu katanya, Majlis Tertinggi Pro Kebajikan harus membuat keputusan yang tepat dalam memutuskan sama ada Pro Kebajikan perlu bertanding atau tidak dalam PRK akan datang dan tidak hanya bergantung kepada saranan Biro Politik dan Risikan (BPR) Pro Kebajikan semata-mata.

Beliau turut memaklumkan Pro Kebajikan sehingga hari ini masih belum memutuskan sama ada akan menghantar calon atau tidak dalam PRK.

Ditanya bila keputusan tersebut akan diumumkan, beliau berkata kemungkinan dalam minggu ini – bergantung kepada mesyuarat khas yang akan diadakan esok.

Aqilah mohon semak penulisan pengumuman sebelum disiar

Tanjong Malim, 11 Nov. – Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis hari ini mengeluarkan kenyataan memohon agar pihak Unit ICT UPSI atau mana-mana pihak yang berkaitan dalam menyiarkan pengumuman di ruangan ‘Headlines’ dalam MyUPSI Portal agar menyemak penggunaan tanda baca dan tatabahasa yang digunakan dalam pengumuman tersebut sebelum disiar.

Ini berikutan kesilapan yang sering kali berlaku dalam penggunaan tanda baca dalam beberapa tulisan pengumuman yang dibuat.


Beliau ketika mengeluarkan kenyataan tersebut merujuk kepada pengumuman yang disiar berkenaan Program Baktisiswa Cakna Ilmu 2009.

Menurutnya ada beberapa penggunaan tanda baca yang salah dalam tulisan pengumuman tersebut dan ia telah beberapa kali berlaku.

“Saya rasa kesilapan tersebut sudah beberapa kali berlaku dengan penggunaan tanda baca yang salah dalam beberapa pengumuman sebelum-sebelum ini dan ini berkemungkinan berpunca daripada kesilapan teknikal namun apa yang saya mohon adalah perbetulkannya pada masa akan datang sama ada kesilapan berpunca daripada sistem komputer atau kesilapan lain”,katanya.

Tambahnya,”meskipun perkara tersebut dilihat remeh bagi sesetengah pihak, namun sebagai sebuah institusi pendidikan yang terulung, perkara remeh tersebut tidak sepatutnya berlaku apatah lagi melibatkan soal bahasa”.

November 9, 2009

Tuntutan peralatan suaikenal pelajar ambilan Julai 2009/10

Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI memaklumkan semua pelajar ambilan Julai 2009/10 (ISMP & DPLI) yang belum menerima peralatan suaikenal boleh mengambil peralatan tersebut di stor peralatan suaikenal JHEPA pada 10 November 2009 bermula jam 10.00 pagi.

“Kediaman kami tak selamat” - pelajar DPLI

Tanjong Malim, 9 Nov. – Kejadian pecah masuk yang berlaku di kediaman pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) minggu lalu menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka dan mendakwa kediaman mereka tidak lagi selamat untuk didiami.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di Kota Malim Prima pada malam Sabtu yang lalu membuatkan mereka semakin bimbang untuk terus menginap di kawasan terbabit.

Menurut sumber, kejadian pecah rumah yang melibatkan kediaman pelajar DPLI kebanyakannya berlaku di tingkat 4 dan ke atas.

Mereka walau bagaimanapun dilaporkan telah mengambil tindakan dengan membuat laporan polis sebaik sahaja mendapati rumah mereka diceroboh masuk.

Berikutan kejadian tersebut, pelajar DPLI sekali lagi mendakwa pihak UPSI tidak mempedulikan hal keselamatan dan kebajikan mereka meskipun kejadian yang sama pernah berlaku sebelum ini.