December 26, 2008

MPP, JMK KHAR adakan dialog, bincang masalah

Tanjong Malim, 26 Dis.- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) bertemu dalam satu majlis dialog di KHAR semalam. Majlis yang berlangsung di Bilik VIP KHAR itu dihadiri lebih 40 ahli MPP dan JMK KHAR.

Majlis dialog yang bertujuan membincangkan beberapa masalah pelajar dan mengeratkan hubungan dua hala antara MPP dan JMK mencapai matlamatnya apabila kedua-dua belah pihak tanpa berselindung melontarkan pandangan dan persepsi mereka.

Antara isu yang dibangkitkan semasa sesi dialog tersebut adalah mengenai sikap JMK KHAR yang dikatakan bersifat kekolejan terutamanya dalam penganjuran program yang dilihat tidak melibatkan MPP.

Rungutan ini disuarakan oleh YDP MPP, saudara Hairie yang merujuk kepada tindakan JMK KHAR semasa sesi yang lalu. Beliau juga menyampaikan hasrat untuk meneruskan agenda MPP sesi sebelumnya dalam pelaksanaan ‘Rakan Pakatan Strategik’ yang memfokuskan kerjasama antara JMK kolej-kolej kediaman dan MPP.

Menjawab kepada rungutan yang disuarakan Hairie, JMK KHAR bingkas membetulkan persepsi tersebut dan meminta agar MPP sesi ini tidak dibayangi MPP lepas.

Mereka juga meminta agar MPP menghormati organisasi mahasiswa lain dan berhemah dalam mengambil tindakan sepertimana yang berlaku pada MPP sesi yang lepas apabila Exco-Exco JMK KHAR diambil sebagai Rakan Exco MPP tanpa dibincang terlebih dahulu.

Sesi Dialog juga banyak menyentuh soal akademik, kebajikan, kewangan dan sahsiah mahasiswa UPSI.

Pro Kebajikan tidak diberi peluang
Dalam sesi dialog itu juga, MPP Pro Kebajikan dikatakan tidak diberi ruang untuk berhujah dalam beberapa perkara sehinggalah pihak yang bertanya menyebut nama ahli MPP Pro Kebajikan untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan. Dialog itu juga dikatakan tidak seimbang apabila Hairie dilihat menguasai ruang dialog.

Akmal selamatkan keadaan
Saudari Masatirah Romalan, Bendahari JMK KHAR yang bangkit bertanya tentang AUKU tidak mendapat perhatian Hairie untuk menjawab soalan tersebut dan seringkali dilihat cuba mengelak apabila persoalan tentang isu semasa dibangkitkan. Keadaan ini diselamatkan oleh saudara Akmal yang sedia menjawab segala persoalan tentang AUKU dan beberapa isu semasa yang dilontarkan.

Majlis dialog tersebut berlangsung hampir 2 jam bermula pada 9.45 malam sehingga 11.45 malam.

December 24, 2008

Ahmad Zaidi sifatkan tuduhan berniat jahat, tidak berasas

Menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepada beliau dalam ruangan forum portal UPSI, Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi Johari, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) menyifatkannya sebagai berniat jahat dan bermotif untuk memburuk-burukkan beliau.

Kesemua tuduhan yang dilemparkan juga tidak berasas sama sekali dan boleh didakwa sekiranya tindakan undang-undang diambil. Beliau mengulas perkara tersebut dalam satu perjumpaan tertutup dengan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej KHAR semalam.

Beliau turut dilaporkan akan mengambil tindakan lanjut memandangkan tuduhan yang dilemparkan menjurus secara langsung kepadanya dan boleh menjejaskan nama baik beliau. Walaubagaimanapun beliau masih belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil bagi mengambil kira integriti beliau sebagai pensyarah dan pendidik.

Dalam pada itu, salah seorang ahli JMK yang diminta mengulas tentang tuduhan tersebut dipetik sebagai berkata tuduhan yang dilemparkan sememangnya berniat jahat dan kami yang bekerja bersama beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat terutamanya dasar penghapusan kaum yang kononnya diamalkan di KHAR.

“Saya secara peribadi sangat terkejut dengan tuduhan berat tersebut kerana tuduhan yang dibuat tidak benar sama sekali”,ulas beliau. Tambahnya lagi,”individu yang terlibat dalam membuat tuduhan tersebut seharusnya tampil dengan bukti yang sahih sekiranya mereka di pihak yang benar”.

Pengirim diragui

Seorang mahasiswa yang menganalisa setiap kiriman yang dihantar oleh pengirim di dalam ruangan forum itu berpendapat individu yang membuat tuduhan dalam forum tersebut berkemungkinan hanyalah beberapa orang pelajar sahaja tetapi menggunakan 'id' rakan-rakan mereka untuk memperlihatkan seolah-olah tuduhan tersebut mendapat sokongan beberapa pelajar lain.

Pandangan ini dikemukakan oleh mahasiswa terbabit apabila mendapati masa bagi setiap kiriman yang dikirimkan begitu singkat antara satu kiriman dengan kiriman yang lain dan ini menimbulkan tanda tanya.

Mahasiswa terbabit turut mengeluarkan fakta dengan mengatakan, ada beberapa kiriman yang mempunyai bentuk ayat yang seakan-akan sama dengan maksud mahu Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi melepaskan jawatan sebagai Pengetua KHAR.

Fakta lain yang dikemukakan adalah melihat latar belakang pelajar yang menghantar kiriman dalam forum tersebut rata-ratanya berada di semester 2, fakulti yang sama, dan ini menguatkan lagi pendapat yang dikemukakan beliau.

Minta pelajar menghubungi pihak universiti

Dalam satu kenyataan lain, pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengulas tentang perkara ini meminta pelajar yang membuat tuduhan atau identitinya digunakan dalam membuat tuduhan tersebut segera menghubungi pihak unversiti bagi membantu siasatan. MPP melalui Exco Akademik dan Kerjaya, saudari Nur Aqilah Hanis turut memandang serius tuduhan ini dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Beliau juga berharap agar pihak yang membuat tuduhan bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Ralat

Merujuk kepada berita bertajuk MPP 07/08 berlepas ke Beijing yang disiarkan pada 19 Dis. 2008, pihak UPSIkini memohon maaf atas kesilapan fakta yang tidak disengajakan. Pegawai pengiring yang mengikuti lawatan tersebut adalah Puan Nor Hayati Aziz, Pengurus Asrama dan Puan Jasniazura Monir, Setiausaha Timbalan Pendaftar Kanan JHEPA dan bukan seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut. UPSIkini sekali lagi memohon maaf atas kesilapan tersebut. Terima kasih.

Pengetua KHAR dituduh amal dasar penghapusan kaum, kurang cekap mentadbir

Tanjong Malim, 24 Dis. – Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi dituduh mengamalkan dasar penghapusan kaum di KHAR dan kurang cekap dalam mentadbir kolej.

Tuduhan yang dibuat oleh beberapa pelajar melalui ruangan forum Portal UPSI itu mendakwa terdapat beberapa tindakan beliau yang dilihat mengamalkan dasar penghapusan kaum di kolej yang ditadbir beliau.

Tuduhan lain yang dihantar dalam ruangan forum tersebut menyifatkan Ahmad Zaidi sebagai seorang yang kurang cekap dalam pentadbiran kolej dan terdapat juga beberapa tuduhan liar lain yang merujuk kepada peribadi beliau.

Tuduhan-tuduhan ini bagaimanapun diragui kesahihannya oleh bebebrapa pihak apabila tidak ada bukti sahih yang dikemukakan sehingga kini.

UPSIkini walau bagaimanapun masih berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak yang berkenaan terhadap tuduhan berat ini.

[Berita lanjut menyusul]

December 23, 2008

Keputusan peperiksaan akhir semester boleh disemak bermula hari ini

Tanjong Malim, 23 Dis.- Keputusan peperiksaan akhir semester 1 sesi 2008/2009 bagi semua mahasiswa UPSI boleh disemak bermula hari ini. Keputusan boleh disemak dalam portal IMS di alamat http://mysis.upsi.edu.my.

December 19, 2008

“Kami mampu laksanakannya” - JMK

Tanjong Malim, 19 Dis.- Dakwaan mengatakan terdapat kekalutan dalam kerjasama Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) kolej-kolej kediaman UPSI untuk gerak kerja Minggu Suai Kenal ambilan Disember kali ini disangkal oleh beberapa JMK yang ditemui hari ini. Menurut salah seorang ahli JMK yang dihubungi, dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan sengaja dibuat bagi memperkecilkan keupayaan kami untuk melaksanakan MSK.

“Ini dakwaan mereka yang tidak bertanggungjawab dan bongkak. Jangan terlalu sombong untuk mengeluarkan kenyataan seolah-olah kami tidak mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan,”katanya. Tambahnya lagi,”Kami akan sedaya upaya menjalankan tugas yang diberi dan akan menangkis segala anggapan negatif sebelum ini.”

Seorang lagi ahli JMK yang membuat ulasan mengatakan, kerjasama setakat ini sangat positif dan segala gerak kerja berjalan dengan baik.

“Kerjasama antara JMK dalam MSK menujukkan petanda yang positif dan segala keputusan gerak kerja dibuat secara kolektif antara kami”,katanya.

“Saya dan rakan-rakan yang lain akan berusaha menjalankan tanggungjawab ini dengan baik”,ulasnya lagi.

JMK menangkis dakwaan ini apabila ada cakap-cakap mengatakan mereka tidak setuju apabila diberi tanggungjawab mengurus MSK kali ini. Menurut sumber rungutan ini hanya disuarakan oleh YDP Kolej Ungku Omar, Izi Nasiruddin yang terkenal sebagai orang kuat SMU. Beliau dikatakan turut memboikot MSK kali ini dan tidak terlibat dalam gerak kerja yang disertai semua JMK kolej sejak seminggu yang lalu.

Hari pendaftaran dan Minggu Suai Kenal pelajar baru dijadual bermula 2 Januari ini.

MPP 07/08 berlepas ke Beijing

Tanjong Malim, 19 Dis.- Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2007/08 dilaporkan telah berlepas ke Beijing, China pada jam 9 malam semalam dalam satu lawatan yang dianjurkan mereka. Lawatan yang disertai kesemua ahli MPP ini diketuai oleh 2 pegawai pengiring iaitu Timbalan Naib Canselor HEP, Prof Dr. Shaharudin Abd Aziz dan Timbalan Pendaftar JHEPA, Encik Faiezi Othman.

Turut terpilih untuk mengikuti lawatan ini adalah Abdul Rashid Husain, Nabila Soraya Hani, Nor’Ain A. Razak dan Syaiffuldin bin Mohamad. Mereka dikatakan antara ahli SMU paling aktif dan memegang jawatan penting dalam organisasi tersebut selain mewakili Pro Kualiti sebagai Calon Umum dalam PRK lepas.

Program yang sepatutnya pada tarikh 29 Disember hingga 3 Januari ini terpaksa diawalkan berikutan tarikh pendaftaran pelajar baru pada 2 Januari ini.

Program lawatan ke luar negara merupakan program yang lazim dijalankan selepas tamat satu sidang MPP berkhidmat.

Semua peserta lawatan dijadual pulang pada 24 Disember ini.

December 12, 2008

MSK : SMU tak terlibat

Tanjong Malim, 12 Dis. – Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) yang sebelum ini sering terlibat dalam Minggu Suai Kenal pelajar-pelajar baru dilaporkan tidak terlibat pada ambilan Disember ini.

Minggu Suai Kenal pada ambilan Disember ini dikatakan hanya melibatkan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) setiap kolej-kolej kediaman dan Majlis Perwakilan Pelajar. Menurut sumber, pengecualian SMU untuk terlibat pada MSK kali ini adalah sebagai langkah berjimat-cermat dalam perbelanjaan urusetia selain jumlah pelajar yang tidak begitu ramai pada sesi kemasukan kali ini. Sumber turut melaporkan sebagai berkata, langkah mengambil JMK dan MPP untuk bekerja dalam MSK kali ini merupakan percubaan untuk melihat keberkesanan kedua-dua organisasi ini bekerjasama untuk MSK kali ini dan berkemungkinan pada masa akan datang tanpa SMU.

Sehubungan dengan itu, ada cakap-cakap mengatakan SMU berkemungkinan akan dibubarkan bagi menangkis tuduhan yang mengaitkan SMU dan Kumpulan Pro Aspirasi. Isu mengaitkan SMU sebagai tapak gerakan Pro Aspirasi telah lama diperkatakan di kalangan mahasiswa terutamanya mereka yang pernah terlibat dengan beberapa siri kursus yang dianjurkan.
SMU sebelum ini turut dikaitkan sebagai jentera Pro Aspirasi dalam beberapa PRK yang lalu.

Pendaftaran pelajar baru dijadual pada 2 Januari 2009.

December 9, 2008

UPSI hantar 50 penyokong sempena SUA edisi ke-14

Tanjong Malim, 9 Dis. –Sebanyak 10 buah negara Asean termasuk Malaysia, Laos, Vietnam, Timur Leste, Kemboja, Thailand, Singapura, Myanmar, Indonesia dan Filipina disahkan mengambil bahagian dalam temasya Sukan Universiti Asean (SUA) pada kali ini. Tuan rumah Malaysia, dilaporkan bakal menampilkan 400 atlet yang bakal beraksi dalam semua acara yang dipertandingkan dan 98 pegawai.

Sehubungan dengan itu, seramai 50 mahasiswa UPSI telah dipilih menggalas tugas sebagai penyokong dalam Sukan Universiti Asean (SUA) yang bakal berlangsung di 22 venue sekitar Lembah Klang bermula Khamis ini. Kesemua 50 penyokong tersebut dilaporkan telah berangkat ke venue temasya pada hari ini dan dijadual berkampung selama 10 hari sepanjang temasya.

Antara nama yang tersenarai dalam 50 orang wakil UPSI ini adalah Abdul Rashid bin Husain dan Azmi bin Mohammad Sofian, calon Umum pro-Kualiti yang tewas dalam PRK bulan lalu.

Kesemua wakil UPSI yang bertugas sebagai penyokong dilaporkan bakal menerima imbuhan berupa saguhati sebanyak RM300, kemeja-T, tanggungan makan dan minum serta sijil.



December 7, 2008

Ucapan takziah kepada keluarga tragedi tanah runtuh

Tanjong Malim, 7 Dis. – Tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Hulu Kelang yang meranapkan 14 buah banglo mengundang rasa simpati pelbagai pihak termasuk mahasiswa UPSI di sini. Setakat ini 4 mangsa yang terkorban telah ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan. Kejadian yang berlaku dikatakan berhampiran dengan tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 11 Disember 1993.

Akmal Madzir, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI, ketika mengulas tentang tragedi ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya mewakili seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dan tabah menghadapi dugaan daripada Allah ini,”ulasnya.

Beliau turut menyarankan agar tragedi ini diberi perhatian serius oleh semua pihak dan berwaspada dengan setiap tindakan menebang pokok di lereng-lereng bukit dan aktiviti yang boleh mengundang kejadian seperti ini.

“Saya berpandangan agar semua aktiviti atau bentuk pembangunan yang dibuat perlu diselidiki dengan teliti sebelum diluluskan misalnya penebangan pokok,tarahan bukit dan yang sepertinya kerana ini boleh mengundang kejadian seperti ini berlaku dan tidak mustahil lebih buruk daripada ini.”katanya.

Presiden Kelab Rakan Surau Ar-Rasyidin (KERAS), saudara Zulkifli Yusof yang mengulas tentang tragedi ini turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan mengucapkan takziah kepada mereka. Beliau turut mengingatkan kepada semua agar melihat perkara ini sebagai satu ujian daripada Allah dan redha dengan ujian tersebut.

“Ini adalah satu bentuk ujian dari Allah dan sebagai hambaNya yang lemah kita perlu menginsafi diri dan menjadikannya sebagai satu peringatan dan pengajaran dari Allah”,ualsnya. Tambahnya lagi,”Sebagai seorang muslim, sudah semestinya kita perlu memperbaiki diri dan tragedi ini juga adalah tarbiah dari Allah kepada kita”.

Operasi mencari dan menyelamat di kawasan kejadian dilaporkan masih lagi diteruskan.

December 6, 2008

Ikatan Siswa Siswi UPSI (ISSU) bakal ditubuh

Sebuah pertubuhan baru mahasiswa UPSI, Ikatan Siswa Siswi UPSI (ISSU) bakal ditubuh bagi menjadi wadah mahasiswa UPSI melontarkan idea dan pendapat.

Ikatan Siswa Siswi UPSI atau nama singkatannya ISSU kini mempunyai keahlian yang mencukupi bagi membentuk sebuah pertubuhan yang bertindak sebagai badan mahasiswa berkecuali dalam menyampaikan pandangan serta kritikan terhadap beberapa isu yang berlaku di UPSI termasuk isu negara khususnya isu pendidikan.

Dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Upsikini, Ahli Jawatankuasa penaja ISSU menjelaskan bahawa mereka sedang merangka dan menyusun beberapa hal berkaitan perlembagaan dan bentuk gerakan yang akan dilaksanakan. [Berita Lanjut Menyusul]

Puteri Naib Canselor UPSI akhiri zaman bujang

Puteri Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob, Elisa Farazana Idris mengakhiri zaman bujangnya hari ini apabila bertemu jodoh dengan Philip Safwan Von Huben.

Wakil MPP yang ditemui mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada keluarga Dato’ Naib Canselor khususnya kepada anakandanya yang melangsungkan majlis perkahwinan hari ini.

Majlis perkahwinan mereka berlangsung hari ini, 6 Disember 2008 di kediaman rasmi Naib Canselor di UPSI.

Skirt labuh dan kemeja syarat bagi ahli MPP wanita untuk ke KPT - MT

Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI meletakkan syarat supaya semua ahli MPP wanita memakai skirt labuh dan kemeja untuk satu lawatan ke Kementerian Pengajian Tinggi. Syarat ini dibuat bagi menyelaras semua pakaian ahli sebagai langkah mengikut protokol dalam lawatan tersebut. Syarat yang diletakkan ini mengundang reaksi kurang senang daripada beberapa ahli MPP ‘muslimat’.

Berikutan itu, syarat tersebut ditentang keras oleh beberapa ahli MPP ‘muslimat’ yang mendakwa syarat tersebut tidak relevan sama sekali kerana berbaju kurung tidak langsung melanggar etika pemakaian dalam lawatan tersebut dan kenapa syarat skirt labuh dan kemeja itu perlu dibuat?.

“Saya tidak faham apakah berpakaian seperti kami sekarang ini melanggar mana-mana etika pemakaian?”soalnya.

Mereka yang bertegas dengan prinsip mereka turut menyatakan mereka tidak akan sekali-kali tunduk dengan tuntutan yang melanggar prinsip dan imej mereka.

“Kami akan tetap dengan prinsip kami, berpakaian sebagai seorang muslimat dan syarat pemakaian skirt labuh dan kemeja ini bukan perkara utama bagi kami. Perkara yang lebih penting adalah isu yang ingin dibangkitkan dalam pertemuan dengan KPT nanti,”jelas mereka.

Lawatan tersebut dijangka akan dibuat pada 22 Disember ini.

November 26, 2008

Mahasiswa tetap mahu isu RM36 000 diperjelas

Tanjong Malim, 26 Nov. – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meminta agar isu penyelewengan RM 36 000 diberi penjelasan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Permintaan ini disuarakan oleh beberapa mahasiswa yang ditemui minggu lalu. Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh seorang mahasiswa UPSI tahun 3, Hasmah, mengatakan bahawa MPP baru sesi ini perlu membuat penjelasan yang sebenarnya tentang isu ini.

“Kami sebagai mahasiswa mempunyai hak untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku tentang isu tersebut kerana kes tersebut tidak sepatutnya ditutup tanpa ada penyiasatan yang telus”, katanya.

Tambahnya lagi,”Kami berharap agar MPP yang baru ini dapat memberi penjelasan sewajarnya kepada mahasiswa kerana penyelewengan tersebut melibatkan wang pelajar”.

Sementara itu, seorang lagi mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Zek, menuntut agar MPP memandang serius isu ini meskipun kes tersebut berlaku semasa sesi MPP yang lepas.

“Harapan mahasiswa untuk diberi penjelasan tentang kes ini begitu tinggi kerana mereka wakil kami yang telah diberi mandat”,ujarnya. “Ketika negara sedang dilanda dengan pelbagai masalah korupsi, kita tidak mahu perkara ini turut berlaku dalam universiti ini apatah lagi dalam organisasi mahasiswa dan didiamkan tanpa sebarang penjelasan”,tambahnya lagi.

Isu penyelewengan ini dikatakan dilindungi oleh beberapa pegawai tertentu bagi menghindar kes tersebut dibawa ke atas.

Upsikini sebelum ini mendedahkan penyata akaun MPP yang mencatatkan pengeluaran wang tanpa diaudit dan didakwa diseleweng oleh pihak tertentu. [Klik]

November 24, 2008

Konvensyen Mahasiswa Pendidikan ditangguh

Tanjong Malim, 24 Nov – Konvensyen Mahasiswa Pendidikan yang dijadual berlangsung pada 30 November hingga 3 Disember terpaksa ditangguh pada satu tarikh lain atas masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan. Program anjuran Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Ungku Omar UPSI itu bakal menghimpunkan mahasiswa fakulti pendidikan dari semua IPTA dan Institut Perguruan (IPG) seluruh negara bagi membincangkan beberapa isu berkaitan pendidikan.

Tarikh baru program tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

November 19, 2008

Isu ‘lelaki lembut’ kecoh dalam forum Upsi Portal

Isu lelaki lembut sememangnya menjadi bualan panas di kalangan mahasiswa di sini meskipun kerap dibangkitkan. Terbaru isu ini sekali lagi kecoh diperkatakan apabila menjadi tajuk perdebatan hangat di kalangan mahasiswa di dalam forum Upsi Portal. Dalam perbincangan melalui ruang forum tersebut, pelbagai pendapat dan kritikan diutarakan. Antara pandangan yang menarik perhatian adalah bagaimana “lelaki lembut” yang semakin menjadi-jadi di kalangan mahasiswa di sini boleh terlepas daripada ujian Medsi yang dilalui oleh mereka sebelum diterima masuk ke UPSI. Pandangan lain yang diutarakan adalah berkenaan kesesuaian mereka untuk memegang tanggungjawab sebagai guru apabila ditempatkan di sekolah pada masa akan datang. Isu yang mula dibincang melalui forum tersebut sejak 3 November lalu kini mencatat lebih 300 respon daripada mahasiswa yang member pandangan masing-masing.

November 15, 2008

Pengirim ruangan bicara ringkas adalah individu yang sama











Beberapa pengirim yang sama dalam ruangan bicara ringkas dikenalpasti oleh Upsikini. Ini berdasarkan alamat IP atau ‘IP address’ yang diperolehi menunjukkan kebanyakan pengirim yang menghantar mesej dalam ruangan tersebut datang daripada ‘IP address’ yang sama. Tindakan mengenal pasti IP address semua pengirim dibuat setelah Upsikini menerima banyak rungutan daripada pembaca melalui emel yang dikirimkan kepada Upsikini meminta agar kotak ruangan mesej ringkas itu ditutup. Antara ‘IP address (IP) yang menggunakan lebih daripada satu nickname dalam mesej yang dikirimnya adalah 61.6.56.2 dan 61.6.56.23.
Ketua Editor Upsikini, Mr Teller yang mengulas tentang perkara ini mengatakan bahawa Upsikini akan sentiasa memantau masalah ini dan ruangan itu tetap dibuka buat masa ini bagi membolehkan pembaca memberi idea dan pandangan. Beliau turut mengingatkan agar pengirim mesej menjaga adab berbahasa dan mengkritik kerana Upsikini tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pengirim yang terlibat untuk didedahkan. Ketika ditanya tentang berita yang dilaporkan Upsikini dikatakan berunsur fitnah, beliau berkata, sekiranya ada berita yang berunsur fitnah sila tampil dan beri maklumat yang menafikan berita yang disiarkan kerana segala berita yang disiarkan Upsikini mempunyai bukti dan kita bersedia mengubah atau membetulkan mana-mana maklumat yang salah sekiranya ada yang memberi bukti bagi menyangkal berita asal yang dilaporkan Upsikini. Dakwaan yang mengatakan berita-berita yang disiarkan berat sebelah, beliau berkata setakat ini Upsikini hanya menerima maklumat melalui kiriman e-mel daripada pihak yang kebetulan daripada Pro Kebajikan sahaja dan Upsikini sedia untuk melaporkan perkembangan dari mana-mana pihak sekiranya maklumat itu disampaikan kepada Upsikini.
Upsikini menjadi sebuah blog informasi sejak 10 Oktober lalu dan menjadi rujukan beberapa akhbar dalam mendapatkan maklumat tentang PRK UPSI.

MPP perlu ada Perlembagaan

Malis Perwakilan Pelajar seharusnya mempunyai satu Perlembagaan khusus untuk organisasi tersebut dalam meletakkan dasar yang bersesuaian dengannya. Saranan ini dibuat selepas kekusutan meletakkan calon sesuai dalam beberapa kerusi penting MPP. Mengulas berkenaan saranan ini, Omar, seorang mahasiswa UPSI mengatakan Perlembagaan adalah perkara yang paling mustahak dalam meletakkan beberapa dasar dalam sesebuah organisasi.
“Perlembagaan sangat penting bagi satu-satu persatuan atau organisasi begi menjelaskan beberapa perkara yang berkaitan dengan organisasi tersebut dan saya berasa begitu pelik bagaimana satu-satu badan penting seperti MPP tidak mempunyai perlembagaan”,kata beliau. Tambahnya lagi,”saya berharap MPP memikirkan tentang perkara ini agar kekeliruan yang berlaku sebelum ini tidak lagi berulang”.
Saranan tersebut turut mendapat perhatian mahasiswa dari IPTA lain. Seorang mahasiswa daripada Universiti Malaya, Shah, mengatakan, perlembagaan sesebuah persatuan itu adalah perkara utama dan MPP sepatutnya mempunyai Perlembagaannya sendiri.
“MPP merupakan organisasi penting mahasiswa dan sewajarnya mempunyai Perlembagaan sendiri dan tidak hanya bergantung 100% kepada AUKU kerana AUKU hanya menyentuh beberapa perkara sahaja berkenaan MPP dan perlembagaan inilah yang berfungsi dalam menjelaskan beberapa perkara lain berkaitan MPP”,ulas beliau.
MPP UPSI dilaporkan tidak mempunyai Perlembagaan Khas sebelum ini dan hanya merujuk kepada AUKU dalam menyelesaikan beberapa masalah berbangkit.

November 10, 2008

“Kita bukan sekadar mahu menang”- Pro Kebajikan

Pertemuan Pro Kebajikan bersama penyokong mereka petang semalam meleraikan segala rasa tidak puas hati yang terbuku di kalangan penyokong. Pertemuan yang diadakan membuka ruang dialog antara penyokong dan pemimpin Pro Kebajikan. Dalam pertemuan tersebut, Pro Kebajikan mencapai satu kata sepakat untuk mengajak semua penyokong mereka bersama-sama membantu dalam mengisi kemenangan yang telah dicapai.
“Perjuangan Pro Kebajikan bukan hanya mahu menang malah kita akan berusaha mengisi kemenangan ini agar matlamat kita tercapai. Perjuangan kita bukan sekadar mahu menang,”jelas salah seorang wakil yang berucap.
Salah seorang penyokong yang ditemui, Abdullah, mengatakan bahawa mereka sebagai penyokong akan tetap bersama pemimpin Pro Kebajikan dan bersedia membantu untuk mengisi kemenangan yang dicapai.
“Kami sebagai penyokong memang tetap bersama mereka dan akan membantu dalam mengisi kemenangan ini,”jelas beliau.
Menurutnya lagi,”Kekecewaan itu tetap dirasai namun kami yakin kekecewaan itu pasti akan terubat sekiranya matlamat untuk mengisi kemenangan ini tercapai”.
Pro Kebajikan turut memberi jaminan untuk mempertimbang dan menganalisa beberapa cadangan yang dikemukakan oleh penyokong mereka bagi memastikan manifesto mereka terlaksana.

November 9, 2008

Pro Kebajikan tekad teruskan misi

Kekecewaan Pro Kebajikan menempatkan calon mereka dalam kerusi MT telah menimbulkan semangat baru bagi memberi fokus terhadap kebajikan mahasiswa. Meskipun wujud sokongan luar biasa dalam PRK baru-baru ini, Pro Kebajikan melihat bahawa sokongan mahasiswa itu kadang kala kurang diberi perhatian pihak atasan yang lebih gemar mendengar saranan pegawai tertentu berbanding suara mahasiswa.
Ketika mengulas tentang kegagalan menempatkan calon dalam kerusi MT meskipun pelbagai usaha dibuat, jurucakap Pro Kebajikan memberi respon bahawa mereka menerima keputusan itu sebagai ketentuan Allah kerana usaha telah pun dibuat.
“Kita menerima keputusan ini sebagai ketentuan Allah dan sudah pasti ada hikmah disebaliknya. Usaha telah dibuat dan perancangan selepas ini akan tertumpu kepada kebajikan pelajar,”ulas beliau. Tambahnya lagi.”kegagalan untuk pusingan pertama ini bukan bermakna kita akan abaikan harapan mahasiswa malah akan memberi lebih semangat kepada kami untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.”
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang telah memberi sokongan padu selama ini dan berharap agar sokongan itu terus diberikan sebagai pembakar semangat melaksanakan harapan mahasiswa.

Pro Kebajikan minta penyokong bertenang

Tanjong Malim, 9 Nov. – Keputusan mengekalkan kabinet yang menafikan kesemua calon umum Pro Kebajikan untuk memegang jawatan dalam Majlis Tertinggi MPP semalam mengecewakan penyokong Pro Kebajikan. Mereka yang dimaklumkan tentang perkara ini sebaik sahaja majlis penyerahan watikah tamat semalam, menyifatkan keputusan yang dibuat tidak langsung mempertimbangkan kehendak mahasiswa melalui undi yang diberikan oleh mahasiswa kepada calon pilihan mereka. Rentetan daripada itu timbul desas desus bahawa mereka akan membuat bantahan secara besar-besaran.
Pro Kebajikan yang dikhabarkan tentang perkara ini meminta para penyokong mereka bertenang dan pertemuan bersama mereka akan dibuat dalam masa terdekat. Pro Kebajikan turut menjelaskan agar semua penyokongnya kembali kepada pendirian Pro Kebajikan yang meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai matlamat utama.
“Fasa untuk menuntut kerusi MT saya kira kita sudah buat yang terbaik, dan kita mohon maaf kepada semua penyokong kerana gagal”,jelas jurucakap Pro Kebajikan.
“Kita kembali kepada matlamat kita yang lebih besar dan semua ini sudah pasti memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua penyokong. Kita akan buat pertemuan dengan mereka dalam masa terdekat”,ujarnya lagi.
Kabinet yang disahkan semalam menyaksikan semua ahli MPP Pro Kebajikan diletakkan sebagai exco.

Kabinet disahkan

Tanjong Malim, 8 Nov. – Majlis penyerahan watikah yang berakhir semalam mengesahkan senarai kabinet yang dibentuk sebelum ini meskipun mahasiswa mengharapkan berlaku rombakan untuk kerusi Majlis Tertinggi. Majlis yang berlangsung di Bilik Pameran Bitarasiswa itu dihadiri Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Dekan-Dekan Fakulti, pegawai-pegawai HEP dan semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Majlis bermula pada jam 8.45 malam dengan penyampaian watikah, bacaan ikrar,diikuti dengan ucapan dasar Yang Dipertua MPP dan Naib Canselor.
Dalam ucapan dasar Naib Canselor, beliau menyentuh beberapa perkara berbangkit dalam pembentukan kabinet baru-baru ini termasuk tuntutan beberapa calon kerusi umum yang menang untuk mendapatkan kerusi MT.
Dengan membawa dokumen Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), beliau mengatakan bahawa tidak ada perbezaan bagi kerusi umum dan fakulti apabila telah berada dalam kabinet dan beliau turut membidas pihak yang menyamakan politik kampus dan politik luar yang melihat kepada kerusi fakulti sebagai kerusi DUN dan Umum sebagai Parlimen.
Dalam ucapannya juga, beliau menjelaskan bahagian yang berkaitan dengan peruntukan 2/3 majoriti undian bagi memilih pemegang jawatan dalam MPP dan mengatakan bahawa semua ahli mempunyai hak untuk jawatan-jawatan dalam MPP. Sepanjang ucapannya, beliau banyak merujuk kepada Timbalan Pendaftar Kanan HEP, Encik Faiezi Othman untuk mengesahkan beberapa fakta yang diucapkan.
Majlis tamat kira-kira jam 11.00 malam.

November 8, 2008

Watikah Perlantikan diserah malam ini

Tanjong Malim, 8 Nov. – Majlis penyerahan watikah perlantikan bagi semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Univesiti Pendidikan Sultan Idris akan berlangsung malam ini di Bilik Pameran Bitarasiswa.
Kesemua ahli MPP dijangka hadir bagi menerima watikah tersebut meskipun wujud desas desus mengatakan Pro Kebajikan akan memboikot majlis tersebut. Namun semasa raptai dibuat malam semalam, semua ahli MPP dilaporkan hadir. Penyerahan watikah dikatakan mengikut senarai kabinet sebelum ini meskipun wujud pelbagai kontroversi berkaitannya. Majlis akan disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob.

November 6, 2008

Pro Kebajikan akan pertahan mandat mahasiswa

Tanjong Malim, 5 Nov. – Keputusan TNC untuk membawa senarai kabinet yang menafikan 3 calon Umum Pro Kebajikan dalam barisan MT telah mengundang kesangsian di pihak Pro Kebajikan. Dalam satu kenyataannya yang dihantar kepada Upsikini, Pro Kebajikan bertegas untuk memepertahankan mandat yang diberi mahasiswa kepada mereka untuk membawa perubahan dalam MPP. Sementara itu, Pro Kebajikan turut akan membentangkan hujah mereka kepada Naib Canselor sebagai langkah mengembalikan demokrasi dalam membentuk kabinet MPP. Pro Kebajikan turut mempersoalkan untuk apa diwujudkan kerusi umum dan ‘mengapa mereka begitu takut untuk meletakkan wakil kita dalam MT?’.
Proses menuntut kabinet dirombak oleh Pro Kebajikan agak terganggu berikutan musim peperiksaan yang bermula minggu ini.

TNC : Kabinet ikut seperti yang dicadangkan

Tanjong Malim, 5 Nov. – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Prof. Dr. Shaharuddin Abd Aziz hari ini memutuskan untuk membawa senarai kabinet seperti yang dicadangkan oleh Pro Kualiti untuk dibentang kepada Naib Canselor. Ini berikutan kabinet yang dicadang dikatakan mengikut peruntukan yang terdapat di dalam Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU).
Keputusan ini dikatakan telah dijangka berikutan tindak tanduk Timbalan Pendaftar HEP, Encik Faiezi Othman yang dilihat sering bertemu dengan Pro Kualiti sejak akhir-akhir ini. Sumber turut percaya, keputusan TNC ini dipengaruhi oleh Faiezi sebagai orang kanannya.
Tempoh pembentukan kabinet berakhir hari ini dan akan dibawa kepada Naib Canselor untuk disahkan.

November 4, 2008

Kekosongan 26,000 guru diisi tahun depan - Bernama

Putrajaya, 4 Nov - Bernama hari ini melaporkan Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mengatakan sebanyak 26 000 kekosongan jawatan perguruan tetap akan diisi tahun depan meskipun ekonomi dunia tidak menentu mutakhir ini.
Beliau turut dilaporkan sebagai berkata semua 14 sekolah yang sedang dibina akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun depan.
“Apa jua usaha dan program untuk mempertingkatkan pendidikan kepada anak bangsa pasti terus dipertahankan dalam apa jua keadaan kerana pendidikan amat penting,” katanya.
Beliau membuat kenyataan tersebut dalam majlis sambutan Hari Kualiti Kementerian Pelajaran di sini hari ini.- Bernama [Berita Penuh]

HEP mahu isu kabinet diselesai secara berhemah

Tanjong Malim, 4 Nov. – Pertemuan beberapa wakil Pro Kebajikan dengan pihak HEP semalam menunjukkan sikap keterbukaan kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan masalah kabinet MPP secara diplomasi. HEP sebelum ini menyarankan agar rundingan dibuat bagi membentuk kabinet mengikut sistem yang adil dan saksama. Menurut sumber, HEP tidak berniat untuk campurtangan dalam hal berkaitan pembentukan kabinet ini kerana mahasiswa yang diangkat menjadi pemimpin seharusnya bersikap matang dan profesional tetapi sekiranya masalah ini berlarutan, penyelesaian segera harus dibuat.
Dalam satu laporan lain, seorang pegawai HEP dikatakan telah bertindak menyusun kabinet yang membariskan calon Pro Kualiti dalam Majlis Tertinggi bagi melenyapkan suara Pro Kebajikan dalam MPP sebelum ini. Sumber turut menegaskan bahawa perkara ini begitu jelas apabila tiada seorang pun calon Pro Kebajikan yang diletakkan dalam MT meskipun 3 daripada 5 kerusi Umum dikuasai Pro Kebajikan. Pegawai HEP terbabit disyaki terlibat secara langsung dalam isu kabinet ini apabila beliau dikaitkan dengan kes penyelewengan wang sejumlah RM 36 000 dalam satu laporan baru-baru ini.
Tempoh pembentukan kabinet berakhir esok selepas 14 hari diberikan bermula 22 Oktober lalu.

Presiden KERAS masuk wad

Tanjong Malim, 4 Nov. – Presiden Kelab Rakan Surau Ar-Rasyidin (KERAS), saudara Zulkifli Yusof hari ini dimasukkan ke wad hospital Slim River kerana sesak nafas. Beliau yang mengadu tidak sihat kepada teman sebiliknya beberapa hari sebelum ini, dihantar ke hospital Slim River oleh saudara Arif Mohamad. Menurut Arif, beliau menerima panggilan telefon meminta Zulkifli dihantar ke hospital segera apabila keadaan kesihatannya tidak begitu baik dan mengalami sesak nafas. Beliau dimasukkan ke wad pemerhatian kira-kira pada jam 9.00 pagi tadi. Beliau yang mengambil Jurusan Pendidikan Moral dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan bantuan alat pernafasan dan sedang menunggu rawatan susulan daripada doktor pakar.
Beliau dijangka keluar wad dalam waktu terdekat sekiranya perkembangan kesihatannya positif.

November 2, 2008

Pro Kebajikan jumpa NC sebelum kabinet disahkan

Tanjong Malim, 2 Nov. - Pro Kebajikan dijangka akan menemui Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob sebelum watikah perlantikan MPP dikeluarkan sekiranya ahli Majlis Tertinggi (MT) MPP tidak dirombak seperti yang disusun Pro Kualiti sebelum ini. Barisan MT yang menafikan semua calon Umum Pro Kebajikan yang menang dalam PRK baru-baru mengundang 1001 persoalan mengapa kerusi MT tidak langsung diberikan kepada mereka meskipun memperoleh jumlah undi tertinggi. Pertemuan tersebut dijangka akan diadakan secara tertutup di Pejabat Naib Canselor. Jurucakap Pro Kebajikan yang ditemui walau bagaimanapun enggan mengesahkan kenyataan ini kerana segala perancangan tidak akan dihebahkan dengan tergesa-gesa sebagai langkah bagi mengelakkan segala perancangan terjejas.
Untuk rekod, Pro Kebajikan menang 3 kerusi Umum pada PRK lalu dan salah seorang daripadanya mendapat jumlah undian tertinggi.

Penyelewengan : Dato' M didakwa terlibat

Tanjong Malim, 2 Nov. - Isu penyelewengan RM 36 000 yang menjadi perhatian mahasiswa di sini semakin hangat diperbincangkan. Meskipun ada dakwaan yang mengatakan kes ini sudah selesai namun dokumen yang membuktikan kes ini selesai masih belum ditemui. Terbaru, Upsikini dilaporkan bahawa kes penyelewengan tersebut turut melibatkan pegawai HEP yang digelar oleh sumber sebagai Dato’ M. Menurut sumber, pegawai tersebut merupakan dalang di sebalik penyelewengan yang berlaku dan siasatan terhadap kes ini masih belum selesai sehingga hari ini. Dato’ M dikatakan terlibat secara langsung dalam kes ini bersama beberapa lagi mantan ahli MPP sesi lepas. Sumber turut mendedahkan bahawa Dato’ M juga merupakan antara pegawai HEP yang menjadi mentor bagi calon Pro Aspirasi beberapa PRK sebelum ini. Dalam PRK kali ini beliau dikatakan terlibat dalam mencaturkan pembentukan kabinet yang dikuasai Pro Kualiti untuk semua kerusi Majlis Tertinggi (MT) apabila beberapa orang saksi mendakwa melihat beliau berada di kawasan sekitar bilik mesyuarat tempat ahli MPP bermesyuarat.
Pro Kebajikan baru-baru ini bersedia membuka kes berkenaan untuk disiasat bagi membersihkan kredabiliti MPP sebagai organisasi penting mahasiswa.

Aqilah rai Majlis Bersama Kelab Rakan Surau Ar-Rasyidin

Kolej Harun Aminurrashid, 2 Nov. – Majlis Ikatan Ukhwah yang dianjurkan Kelab Rakan Surau Ar-Rasyidin (KERAS) semalam meriah dengan kehadiran kira-kira 100 ahli kelab dan penghuni KHAR. Majlis yang diadakan di Foyer Blok 3 itu turut dihadiri Pengetua KHAR, felo-felo dan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) KHAR. Turut hadir memeriahkan majlis adalah bekas AJK Tertinggi KERAS, Nur Aqilah Hanis, calon Umum yang menang dalam PRK tempoh hari. Aqilah yang hadir dalam majlis tersebut disambut dengan ucapan tahniah daripada rakan-rakannya dalam KERAS selepas menang dalam PRK baru-baru ini. Beliau yang sempat beramah mesra dengan ahli KERAS turut diaju dengan persoalan sama ada berpeluang menempatkan diri dalam Majlis Tertinggi MPP yang diwar-warkan penuh dengan pelbagai konspirasi. Beliau bagaimanapun enggan menjawab persoalan tersebut dan hanya akan mengeluarkan kenyataan Isnin ini.
Majlis yang bermula pada jam 9.00 malam itu berakhir pada jam 10.30 malam dengan persembahan nasyid yang disampaikan oleh semua ahli KERAS yang berada di semester 7.

November 1, 2008

Program Bersama Aqil Hayy dapat sambutan warga UPSI

Program bersama ustaz terkenal tanah air, Ustaz Aqil Hayy yang merupakan personaliti dakwah, mendapat sambutan warga UPSI di sini malam tadi. Program yang dianjurkan PAS Kawasan Tanjong Malim menampilkan Aqil Hayy sebagai penceramah semalam mendapat kunjungan lebih 1000 pengunjung. Kelihatan juga warga UPSI yang terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan staf yang turut hadir bagi mengikuti ceramah beliau. Program yang dijalankan di Dewan Tun Razak, Tg. Malim itu merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan dan mendapat keizinan pihak Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM). Aqil Hayy dalam ceramahnya banyak mengupas soal gejala sosial dan masalah masyarakat hari ini turut menyelitkan dendangan lagu-lagu ketuhanan serta kontemporari dalam sesi ceramah beliau. Cara penyampaiannya yang bersahaja membuat pendengar tidak kering gusi mendengar ceramah beliau yang berlangsung hampir 2 jam bermula jam 10.00 malam. Dalam pada itu beliau turut memuji kehadiran mahasiswa UPSI yang mahu mengikuti majlis ilmu dan disambut dengan tepukan gemuruh penonton.
Majlis berakhir pada jam 11.50 malam.

Akmal hadir beri tazkirah sempena Solat Hajat Perdana PMS

Program Solat Hajat Perdana yang dianjurkan Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) semalam menampilkan Akmal Madzir sebagai pentazkirah dalam majlis tersebut. Akmal yang tampil buat kali pertama di khalayak mahasiswa selepas PRK tempoh hari memberi tazkirah yang bertajuk ‘cita-cita ibu bapa’ kepada lebih 100 mahasiswa yang hadir malam tadi. Program yang dijalankan di Dewan Kolej Ungku Omar memberi ruang kepada Akmal bagi menyampaikan tazkirah sebagai salah satu pengisian dalam majlis tersebut. Dalam tazkirahnya, beliau menegaskan bahawa mahasiswa bukan sahaja perlu untuk menguasai ilmu akademik malah beberapa softskill yang tidak dititikberatkan ketika ini iaitu, kemahiran menguruskan jenazah yang menjadi cita-cita ibu bapa meskipun tidak disampaikan secara zahir kepada anak-anaknya. Beliau turut mengupas bagaimana harapan seorang ibu bapa itu untuk melihat anak-anaknya sendiri yang akan menguruskan jenazah mereka apabila meninggal dunia kelak dan persoalan adakah kita bersedia untuk memenuhi harapan tersebut dilontarkan kepada jemaah yang hadir.Dalam pada itu beliau turut mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan kepada semua jemaah yang hadir.
Majlis tamat pada jam 9.15 malam selepas 20 minti beliau member tazkirah.

Warta Kampus mula diedar

Akhbar rasmi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Warta Kampus, mula diedar untuk bilangan pertamanya bagi edisi 1-15 Oktober 2008. Akhbar yang mengandungi lapan muka ini merupakan akhbar rasmi bersiri UPSI yang memuatkan pelbagai berita dan perkembangan UPSI dari semasa ke semasa. Akhbar ini merupakan cetusan idea Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob selaku penasihat Sidang Editorial dan direalisasikan oleh Encik Ghazali Din, Pegawai Perhubungan Awam UPSI yang menjadi Editor akhbar ini serta dibantu beberapa siding editor yang lain. Akhbar ini boleh didapati di kaunter-kaunter pertanyaan, kolej-kolej kediaman dan fakulti secara percuma.

Kabinet masih belum sah

Kabinet MPP yang dibentuk baru-baru ini masih belum sah menurut seorang sumber yang melaporkan kepada Upsikini pagi tadi. Kabinet MPP yang diwar-warkan merupakan cadangan dan belum mendapat sebarang pengesahan daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA). Ini berikutan senarai kabinet yang menyenaraikan Hairie sebagai Yang Dipertua belum dimaklumkan kepada Timbalan Naib Canselor HEP & A untuk dipanjangkan kepada Naib Canselor sebelum watikah perlantikan dikeluarkan. Sumber turut melaporkan pihak HEP akan meneliti kabinet tersebut sebelum disahkan dan dalam tempoh 14 hari ini, sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Upsikini yang mengajukan berita ini kepada pihak Pro Kebajikan menyatakan bahawa mereka bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan tersebut dan akan terus menuntut beberapa kerusi MT bagi pihak mereka.
Tempoh pembentukan kabinet akan berakhir pada 5 November ini selepas 14 hari selepas keputusan PRK diumumkan secara rasmi pada 22 Oktober yang lalu.

October 30, 2008

Penyelewengan wang mahasiswa RM 36 000 tetap akan dibuka semula

Pro Kebajikan dalam satu sidang bersama semua penyokong mereka kelmarin turut mnyentuh isu RM 36 000 yang menjadi isu besar sebelum ini. Dalam kenyataan tersebut, Pro Kebajikan akan berusaha membawa kes tersebut untuk pengetahuan umum terutamanya seluruh mahasiswa UPSI yang mahukan penjelasan terperinci berkenaan kes tersebut [klik]. Apabila ditanya adakah kes tersebut menjadi salah satu agenda dalam perubahan yang ingin dibawa, beliau dipetik sebagai berkata telus dan adil adalah prinsip yang akan dibawa dalam Pro Kebajikan dan seluruh mahasiswa ingin tahu ke mana perginya RM 36 000 duit mahasiswa yang dilesapkan , kami akan mencari jawapannya. Jelasnya lagi, Pro Kebajikan menolak segala bentuk penipuan yang boleh merosakkan kredabiliti MPP sebagai organisasi penting mahasiswa.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Pro Kebajikan tidak akan bertolak ansur dalam hal yang berkaitan dengan penyelewengan apatah lagi dengan menggunakan wang mahasiswa.
"Kita tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan penyelewengan dan penipuan yang melibatkan wang mahasiswa", kata beliau.Tambahnya lagi,"kita akan menjunjung amanah mahasiswa yang diberikan kepada kita sebaik mungkin".
Beliau turut mengingatkan kepada semua mahasiswa bahawa Pro Kebajikan sedia dikritik dan ditegur kerana mahasiswa berhak melakukan sedemikian dalam usaha menambahbaik perkhidmatan dan tugas yang dipikul.

October 29, 2008

UPSI Portal jadi ’pasar malam maya’

Laman portal rasmi UPSI yang menjadi sumber penyebaran maklumat kepada semua warga UPSI semakin kurang digunakan sebagai wadah penyebaran informasi berguna melainkan dilambakkan dengan iklan-iklan yang berunsur perniagaan semata-mata. Kenyataan ini dibuat oleh seorang wakil Pro Kebajikan petang tadi yang melihat UPSI Portal tidak lagi digunakan untuk menyebarkan maklumat yang bermanfaat tetapi sebagai medium pengiklanan produk seperti ’pasar malam maya’.
”Saya melihat sejak akhir-akhir ini kegunaan UPSI Portal semakin menyimpang jauh daripada medium yang disediakan untuk percambahan idea dan pembinaan intelektual mahasiswa dalam menyampaikan pandangan”,ulasnya. ”Keadaan ini sebenarnya menggambarkan satu suasana yang menyedihkan di kalangan mahasiswa yang sepatutnya menggunakan kemudahan itu untuk menyampaikan pandangan dan idea, bukan sebagai medium pengiklanan produk semata-mata”, tambahnya lagi.
Sementara itu, seorang mahasiswa ketika ditanyakan berkenaan UPSI portal, beliau berkata, ”Saya tidak nampak apa-apa yang boleh dikongsi di UPSI portal melainkan mengiklankan produk dan kadang-kadang terdapat juga iklan skim cepat kaya”. Katanya lagi,”Saya juga jarang melawati portal tersebut kecuali kalau ada perkara mustahak seperti mengisi borang penginapan kolej, barulah saya melayari portal tersebut”.
Upsikini turut meninjau Portal tersebut dan dakwaan wakil Pro Kebajikan yang mengatakan UPSI Portal seperti ’pasar malam maya’ ternyata benar apabila deretan iklan terdapat di ruangan tersebut.
UPSI portal dibangunkan oleh Pusat ICT UPSI sebagai laman interaktif yang membolehkan semua warga UPSI berkongsi dan menyampaikan maklumat di dalam ruangan yang disediakan.

Rundingan jalan terbaik setakat ini

Kemelut pembentukan kabinet masih lagi menjadi tanda tanya mahasiswa di sini hari ini. Sehubungan dengan itu, Jurucakap Pro Kebajikan menyampaikan hasrat mereka untuk membuat rundingan dengan semua ahli MPP bagi merombak semula kebinet dan membentuk kabinet yang benar-benar adil. Kenyataan ini dibuat selepas majlis pertemuan dengan penyokong Pro Kebajikan semalam.
“Kita akan cuba buat rundingan dalam satu dua hari ini tetapi kalau tidak ada respon yang positif kita akan ambil tindakan selanjutnya dengan menyatakan bantahan kepada pihak yang berkenaan,”ulas beliau. Beliau turut menegaskan bahawa Pro Kebajikan akan sentiasa menyusun strategi bagi memastikan suara mahasiswa dalam PRK baru-baru ini dihormati dan diberi perhatian.
Upsikini dilaporkan satu persidangan tergempar melibatkan semua ahli MPP akan diadakan malam ini.

Upsikini disaran tubuh kelab

Dalam kehangatan isu kabinet MPP yang menerima pelbagai respon daripada pembaca, Upsikini disaran oleh beberapa pihak untuk menubuhkan kelab Upsikini sebagai kelab yang berdaftar di bawah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan berperanan menjadi medan kewartawanan mahasiswa. Saranan tersebut dibuat melalui beberapa e-mel yang dikirimkan kepada Upsikini sebelum ini. Ketika diajukan perkara ini kepada Ketua Editor Upsikini yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Teller, beliau menjelaskan perkara ini mungkin boleh direalisasikan tetapi kebebasan dalam menyampaikan maklumat harus diberikan kepada Upsikini kerana itu adalah prinsip asas kita semasa Upsikini diwujudkan. Beliau turut menyatakan hasrat untuk melihat Upsikini menjadi sumber maklumat utama bagi menyampaikan sebarang perkembangan terkini kampus kepada pembaca khususnya warga UPSI. Upsikini juga menerima beberapa saranan untuk membangunkan sebuah portal interaktif yang mengandungi ruang forum dan maklumat lain selain berita terkini yang disampaikan.
Sejak diwujudkan pada 10 Oktober 2008, Upsikini sudah mencecah lebih 9000 hit.

Pro Kebajikan : Kepimpinan ke arah memahasiswakan mahasiswa

Pertemuan beberapa penyokong Pro Kebajikan bersama wakil mereka yang menang dalam PRK tempoh hari mencapai satu kata putus yang jelas. Komitmen untuk memenuhi kebajikan mahasiswa akan menjadi fokus utama dan perubahan tetap akan dibuat. Dalam pertemuan tersebut Upsikini dilaporkan semua persoalan dapat dijelaskan dengan baik dan diterima penyokong mereka. Wakil Pro Kebajikan yang memberi penerangan menegaskan bahawa persoalan merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi bukan atas dasar jawatan tetapi mahu melihat sistem dipatuhi dan mengambil kira pilihan mahasiswa.
“Kita bukan pilih jawatan, tapi mengapa sistem yang dikatakan demokrasi, adil dan telus sewenang-wenangnya dilanggar tanpa memikirkan apa yang telah disuarakan mahasiswa. Di mana sistem yang dikatakan berintegriti itu?”,katanya. Tambahnya lagi,”jawatan itu hanya alat untuk kami bergerak, dan kami tidak akan lari dari landasan menjaga kebajikan semua tidak kira penyokong kami atau tidak dan kepimpinan yang ingin kami bawa adalah ke arah ‘memahasiswakan mahasiswa’.”
Dalam pada itu, wakil tersebut turut menjelaskan bahawa tidak timbul soal gila jawatan kerana mahasiswa sudah matang untuk fikirkan siapa yang gila jawatan sebenarnya kalau semua nak disapu.
Apabila ditanyakan apakah tindakan susulan mereka menuntut untuk mendapatkan beberapa kerusi MT, beliau mengatakan perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Sementara itu, beberapa penyokong yang hadir mendesak agar mereka menuntut beberapa kerusi MT secepat mungkin. Selain itu, pertemuan ini turut membahaskan tentang sistem pemilihan yang dibuat bagi pembentukan kabinet MPP yang menggunakan AUKU. Wakil tersebut menjelaskan AUKU adalah satu-satunya sumber rujukan yang boleh dibuat kerana MPP tidak ada perlembagaannya sendiri.
“Inilah yang menjadi salah satu masalahnya. Badan mahasiswa yang penting begini tidak ada perlembagaan. Saya sendiri mencari Perlembagaan MPP tapi sampai sekarang tidak ditemui. Mungkin saya belum jumpa atau sememangnya tidak ada”, ulas beliau.
Pertemuan yang berlangsung selama 1 jam 30 minit ini turut membuka ruang kepada penyokong yang hadir untuk menyampaikan masalah mereka.

October 28, 2008

Penyokong Pro Kebajikan jumpa wakil mereka malam ini

Beberapa penyokong Pro Kebajikan akan membuat pertemuan dengan wakil mereka yang menang dalam PRK malam ini. Mereka dikatakan akan membuat pertemuan itu bagi membincangkan apakah kedudukan sebenar kabinet yang dibentuk baru-baru ini dan tindakan terbaik yang perlu diambil. Penyokong Pro Kebajikan yang mahu wakil mereka duduk di kerusi Majlis Tertinggi menjelaskan bahawa mereka bekerja dalam kempen sebelum ini bermatlamat untuk ada wakil mereka memegang jawatan MT dan membuat perubahan. Dalam pada itu, wakil Pro Kebajikan yang akan memberi penerangan tentang keadaan semasa ini mengingatkan kepada penyokong mereka agar tidak mengambil tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan dan oleh sebab itu pertemuan ini diadakan. Walau bagaimanapun Upsikini tidak dimaklumkan di mana pertemuan itu akan diadakan.
Isu pembentukan kabinet yang menimbulkan keraguan banyak pihak semakin menjadi perhatian di kalangan mahasiswa sejak senarai kabinet itu dilaporkan Upsikini baru-baru ini.

October 27, 2008

Mahasiswa minta penjelasan

Beberapa mahasiswa di sini hari ini meminta pihak yang berkaitan memberi penjelasan berkenaan pembentukan kabinet yang dilihat bertentangan dengan proses demokrasi. Seorang mahasiswa tahun 2, Siti, dilaporkan sebagai berkata, penafian beberapa calon umum yang menang PRK untuk menyandang kerusi Majlis Tertinggi seolah-olah sudah dirancang dan bertentangan dengan apa yang sudah disuarakan mahasiswa.
“Kami telah memberi undi tertinggi kepada Akmal. Ini isyarat jelas bahawa mahasiswa mahu beliau menjadi pemimpin nombor satu,”katanya. Tambahnya lagi,”Majlis Perwakilan Pelajar adalah badan yang mewakili mahasiswa dan sepatutnya wakil yang berada di situ adalah mereka yang dipilih oleh keseluruhan mahasiswa dan Akmal adalah orangnya.” Beliau juga meminta agar pihak yang berkaitan memberi penjelasan apakah status kabinet yang dilaporkan sekarang ini, sama ada sah atau tidak dari sudut perlembagaan.
Seorang lagi mahasiswa, Sofian, yang memberi respon kepada isu ini menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah siapa yang duduk di kerusi YDP tetapi biarlah adil kepada mahasiswa.
”Soal siapa yang duduk di kerusi YDP tidak ada masalah bagi saya tetapi janganlah sampai suara mahasiswa yang memilih 3 calon umum yang menang tempoh hari diketepikan. Mereka seharusnya berada dalam Majlis Tertinggi sebagai peneraju utama MPP”,ulasnya.
Upsikini dilaporkan penyokong-penyokong Pro Kebajikan kurang berpuas hati dengan struktur kabinet yang dibentuk baru-baru ini dan akan membuat pertemuan dengan ahli MPP Pro Kebajikan bagi mendapatkan penjelasan.

Hazwan : Saya pernah jadi Ketua Asrama sekolah

Isu pembentukan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masih lagi hangat diperkatakan di kalangan mahasiswa. Terbaru, Upsikini dilaporkan, Nazarul Hazwan, yang dikatakan akan memegang jawatan Penolong Bendahari dalam Majlis Tertinggi MPP mendakwa bahawa beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Asrama semasa di sekolah. Kenyataan itu timbul apabila kelayakan calon untuk memegang satu-satu jawatan itu ditimbulkan di kalangan ahli MPP yang hadir. Beliau yang kini berada di semester 3, menang kerusi Umum dalam PRK tempoh hari. Hazwan walau bagaimanapun disenaraikan sebagai Penolong Bendahari selepas mesyuarat kali ketiga bagi pembentukan kabinet MPP dibuat kelmarin.
Pembentukan kabinet yang dilihat didominasi Pro Kulaiti menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan mahasiswa sehingga ada yang mendakwa senarai kabinet tersebut tidak sah dan perlu dibentuk semula.

October 26, 2008

Dominasi Pro Kualiti kerusi MT MPP timbul tanda tanya

Struktur kabinet MPP yang dilaporkan Upsikini semalam membawa kepada satu lagi polemik politik kampus UPSI. Berdasarkan kepada kabinet tersebut, keseluruhan kerusi MT MPP didominasi Pro Kualiti yang hanya memenangi 2 kerusi umum dan tidak memperoleh majoriti 2/3 dalam penguasaan jumlah kerusi yang dipertandingkan apabila Pro Kebajikan berjaya memperoleh 8 kerusi, 3 Umum dan 5 fakulti. Kerusi nombor satu MPP dilaporkan bakal disandang Hairie, ahli MPP daripada Fakulti Bahasa yang menang tanpa bertanding. Rata-rata mahasiswa masih tertanya-tanya apakah 3 calon Pro Kebajikan yang menang kerusi umum tidak layak untuk seorang pun duduk di kerusi MT. Persoalan ini diajukan kepada Ihsan, mahasiswa yang sering memberi pandangan bernas dalam memperkatakan tentang politik kampus UPSI.

Upsikini : Assalamualaikum, Ihsan. Bersua sekali lagi.
Ihsan : Waalaikumsalam..

Upsikini : Makin panas rasanya kampus kita ni.
Ihsan : Begitulah nampaknya. (ketawa)

Upsikini : Baik, kita terus kepada perbincangan kita. Pada pandangan Ihsan, apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam pembentukan kabinet MPP?
Ihsan : Sebelum itu, saya ingatkan, MPP berada dalam satu perebutan kerusi yang mana tidak ada kelebihan dari sudut nombor bagi mana-mana kumpulan. Pro Kualiti 13 kerusi, tiada 2/3, manakala Pro Kebajikan, 8 kerusi. Mengikut apa yang sepatutnya berlaku, Pro Kebajikan memperoleh kelebihan dari segi kerusi umum yang dimenanginya. Tetapi sebaliknya berlaku kerana kedua-dua pihak tak faham apa sebenarnya yang perlu dilakukan dalam menentukan kerusi MT. Saya kira itu sudah dijelaskan Upsikini dalam beberapa post yang saya baca. Apapun kita nak lihat, sekarang ini siapa yang layak dari sudut apa?undian atau pengalaman kepimpinan. Sebab itu saya katakan, kalau semua ahli MPP itu jujur dan telus, kepentingan peribadi harus diketepikan, lihat kepada matlamat yang ingin dibawa bersama.

Upsikini : Saudara mengatakan tentang kepentingan peribadi, adakah saudara rasa perkara itu wujud dalam hal menentukan kerusi ini?
Ihsan : Kepentingan peribadi harus dilihat dalam skop yang lebih luas. Kadang-kadang bukan kepentingan peribadi orang yang duduk di kerusi itu, tetapi kepentingan pihak tertentu. Itu juga dikatakan kepentingan peribadi. Baik, baru-baru ini saya lihat tentang pendedahan penyelewengan wang MPP RM36 000. Saya rasakan kemahuan untuk dominasi MT ada kaitan dengan kes ini. Berkemungkinan kes ini akan digali oleh mereka yang nak dapatkan jawapan. Siapa yang boleh berbuat demikian? Kedudukan yang paling berhak dan berkuasa untuk buka semula kes ini mungkin datangnya dari MT yang boleh dikatakan jawatan yang membuat dasar. Jadi ini mungkin faktornya apabila Pro Kebajikan tidak diberikan ruang langsung untuk pegang mana-mana jawatan MT apatah lagi YDP.

Upsikini : Apakah saudara rasakan ini faktor utama?
Ihsan : mungkin ya mungkin tidak. Tapi ia tetap menjadi faktor.
Upsikini : Pada pandangan saudara, adakah dengan cara menguasai kerusi MT, Pro Kebajikan akan hilang taringnya?
Ihsan : Itu bergantung kepada bagaimana mereka ingin melaksanakan tugas yang diamanahkan. Saya kira mereka lebih tahu soal kepimpinan dan amanah ini. Cuma, sekiranya mereka hanya di bawah, mereka akan hanya melaksana bukan merancang.

Upsikini : Apa yang boleh saudara katakan tentang kabinet yang dibentuk semalam?
Ihsan : Ini semua adalah perkara yang sudah dirancang. Saya pasti kedua-dua pihak sudah membuat rancangan masing-masing. Cuma kadangkala pihak yang tiada suara pendesak akan tewas. Secara peribadi saya dapat rasakan ada campurtangan luar yang mahu kabinet ini dibentuk begini. Latar belakang semua calon adalah daripada mereka yang tiada pengalaman berada dalam MPP. Jadi saya pasti, ada campurtangan.

Upsikini : Siapa agaknya?
Ihsan : (ketawa). Upsikini cari sendiri. Saya tiada wartawan.(ketawa)

Upsikini : Baiklah. Terima kasih atas pandangan saudara. Mungkin kita boleh bincang lagi selepas ini.
Ihsan : Boleh. Tak ada masalah. Saya sedia berkongsi.

Upsikini : Terima Kasih. Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam

Hairie akui wujud 2 kumpulan dalam MPP

Mesyurat kali ketiga yang disertai semua ahli MPP semalam bagi membentuk kabinet MPP membawa kepada satu lagi fasa dalam politik kampus UPSI. Kabinet yang di luar jangkaan itu, menampilkan semua calon Pro Kualiti dalam kerusi Majlis Tertinggi (MT). Ketika bersidang semalam, Upsikini dilaporkan bahawa Hairie mengakui wujud dua kelompok dalam barisan MPP kali ini. Pengakuan ini dibuat setelah mendapati penentuan kepada kerusi nombor satu MPP itu sering dibahaskan oleh 2 pihak secara berkumpulan. Walau bagaimanapun, kerusi itu ditentukan melalui undian yang dibuat oleh semua yang hadir dalam mesyuarat tersebut termasuk wakil etnik. Perkara ini juga telah menimbukan pelbagai tanggapan dan sehingga kini, masih wujud spekulasi mengatakan bahawa kabinet yang dibentuk semalam tidak sah.
Kewujudan 2 kumpulan yang bertanding dalam PRK kali ini mula disedari apabila 2 kata kunci iaitu ‘kualiti’ dan ‘kebajikan’ sering digunakan di kalangan mereka yang bertanding.

October 25, 2008

Pro Kebajikan nafi letak jawatan

Semua calon Pro Kebajikan yang menang dalam PRK beberapa hari yang lalu menghantar kenyataan rasminya ke Upsikini menafikan perletakan jawatan mereka di dalam MPP petang tadi. Kenyataan tersebut dihantar setelah timbul khabar angin mengatakan mereka akan meletakkan jawatan berikutan pembentukan kabinet yang didominasi Pro Kualiti untuk kerusi Majlis Tertinggi. Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Pro Kebajikan tidak akan mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan pengundi kepada mereka dan akan berusaha memastikan pembentukan kabinet mengikut kaedah yang betul dan diyakini seluruh masyarakat kampus seterusnya bersedia menabur bakti kepada mahasiswa seluruhnya. Dalam kenyataan itu juga, Pro Kebajikan merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sokongan dan kepercayaan daripada pengundi yang diberikan kepada mereka.
Ahli MPP Pro Kebajikan tidak mendapat sebarang kerusi MT MPP dalam pembentukan kabinet semalam meskipun mempunyai 3 calon yang menang kerusi umum dalam PRK tempoh hari.

Undian terus meningkat walaupun Akmal dinafikan sandang kerusi YDP

Undian yang diwujudkan Upsikini bagi melihat calon mana yang paling layak untuk menyandang kerusi YDP MPP mendapati undian terhadap Akmal Madzir, calon umum yang menang dengan undian terbanyak dalam PRK yang lalu terus mendominasi undian dengan 74%. Meskipun telah dilaporkan bahawa kabinet telah dibentuk awal pagi tadi, undian terhadap Akmal terus meningkat. Daripada 199 pengundi yang mengundi setakat ini (sehinga jam 6.45 p.m., 25 Oktober), Akmal menerima 149 undi. Hairie yang dilaporkan bakal menyandang kerusi YDP memperoleh 26 undi diikuti Hazawan dan Aqilah, masing-masing 9 undi. Enam lagi pengundi memilih tiada dalam senarai.
Akmal dilaporkan hanya memegang Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah selepas kabinet dibentuk awal pagi tadi.

Sistem undi : wakil etnik tidak termasuk

Kaedah undian yang duguna pakai dalam menentukan ahli MPP yang berhak duduk di kerusi-kerusi tertentu dalam kabinet menimbulkan persoalan siapa yang dibenarkan untuk mengundi. Seorang pegawai UPSI yang berpengalaman dalam proses PRK mengatakan wakil etnik tidak termasuk dalam mereka yang dibolehkan untuk mengundi bagi pemilihan calon jawatan-jawatan dalam kebinet terutamanya kerusi Majlis Tertinggi. Ini berikutan pengumuman rasmi PRK yang berakhir tempoh hari oleh Sakretariat PRK tidak menyatakan nama-nama wakil etnik tersebut. Wakil-wakil etnik yang mendapat kerusi dalam MPP sebenarnya adalah atas lantikan Naib Canselor dan sehingga saat ini mereka belum lagi dilantik oleh Naib Canselor tetapi mereka yang bertanding dalam PRK tempoh hari sudah layak digelar ahli MPP atas pengumuman rasmi oleh Sakretariat PRK. Apabila ditanya bila wakil etnik ini layak digelar ahli MPP, pegawai tersebut dipetik sebagai berkata mereka hanya sah sebagai ahli MPP setelah Naib Canselor melantik mereka iaitu ketika Watikah Perlantikan diberikan. Ketika mengulas mengenai AUKU Perkara (5) yang menyebut “Keputusan-keputusan MPP hendaklah dibuat mengikut undi majoriti yang tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi”, beliau mengatakan perkara itu memang benar dan termaktub di dalam AUKU tetapi hanya mereka yang menang bertanding dan diisytiharkan oleh Sakretariat MPP sahaja yang layak untuk memilih. Oleh yang demikian, sesuatu keputusan itu perlu mendapat 2/3 undian atau 14 undi sekiranya semua 21 ahli MPP hadir. Sekiranya bilangan undi kurang daripada itu, keputusan tersebut dikira tidak sah. Pegawai tersebut turut mengingatkan agar ahli MPP benar-benar memahami kandungan AUKU sebelum menggunakannya kerana sekiranya berlaku pelanggaran dalam AUKU dan tidak mengikut seperti apa yang dimaksudkan, pihak yang membantah atas kesilapan itu dibolehkan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah kerana AUKU merupakan akta yang diterima dalam perbicaraan di mahkamah.
Isu undi dalam memilih Majlis Tertinggi MPP terutamanya kerusi YDP timbul setelah dikatakan wakil etnik mengambil bahagian dalam proses undi dalam pembentukan kabinet semalam.

AUKU : Pemegang jawatan MPP dan ahli MPP punya perbedaan

Upsikini menerima respon yang pelbagai berikutan kabinet MPP yang dilaporkan awal pagi tadi. Seorang pengirim e-mel yang member respon kepada isu ini menjelaskan bahawa, ramai di kalangan mahasiswa tidak faham kandungan AUKU itu sendiri. Beliau menjelaskan bahawa Perkara 52 (3) mengatakan ‘MPP hendaklah memilih dari kalangan ahli-ahlinya seorang “Yang DiPertua, seorang Naib Yang DiPertua, seorang Setiausaha dan seorang Bendahari dan hanya mereka sahaja yang menjadi pemegang-pemegang jawatan dalam MPP, melainkan jika dibenarkan selainnya secara bertulis oleh Naib Canselor, pemegang-pemegang jawatan yang dibenarkan sedemikian oleh Naib Canselor hendaklah dipilih oleh MPP dari kalangan ahli-ahli MPP”. Berdasarkan kepada perkara ini, didapati bahawa pemegang jawatan MPP itu hanya terdiri daripada YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari dan selain dari itu hanyalah ahli MPP. Jika deselidik pula pada perkara 52 (2) (b) yang menjelaskan tentang bagaimana MPP dipilih, perkara ini menjelaskan

52 (2) Persatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar (“MPP”) mengikut cara yang berikut:

(a) pelajar berdaftar setiap Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh Dekan Fakulti dan Sekolah atau Ketua Pusat, Akademi, atau Institut, mengikut mana-mana yang berkenaan, beberapa pelajar berdaftar yang sama bilangannya sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, masing-masing daripada Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi, dan Institut itu untuk menjadi wakil dalam MPP, dan

(b) keseluruhan pelajar-pelajar berdaftar hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil-wakil dalam MPP dan bilangan pelajar-pelajar itu hendaklah dalam apa jua keadaan, tidak melebihi setengah daripada bilangan wakil-wakil yang dipilih di bawah perenggan (a)

Berdasarkan kepada perkara tersebut, pemegang-pemegang jawatan MPP (YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari) sebenarnya adalah wakil yang dipilih oleh keseluruhan pelajar-pelajar berdaftar melalui undi rahsia dan ini merujuk kepada kerusi Umum. Oleh yang demikian, mereka yang layak untuk duduk di kerusi Majlis Tertinggi atau pemegang jawatan MPP seperti yang dinyatakan AUKU adalah mereka yang bertanding atas kerusi yang diundi atau dipilih oleh keseluruhan pelajar dan bukan kerusi fakulti yang hanya dipilih atau diundi oleh sebahagian daripada keseluruhan pelajar. Maka selain daripada itu, wakil tersebut hanya boleh diklasifikasikan sebagai ahli MPP dan sekiranya ada jawatan tertentu seperti Exco dan sebagainya, maka kebenaran bertulis daripada Naib Canselor diperlukan.
Maka dengan itu, pemegang jawatan MPP (YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari) seharusnya mereka daripada kerusi umum dan bukan daripada kalangan mereka yang bertanding di kerusi Fakulti. Dalam perenggan terakhir e-mel tersebut, beliau menyatakan bahawa beliau adalah salah seorang yang terkejut dengan keputusan itu dan memang di luar jangkaannya.
Kabinet yang dibentuk semalam mengenepikan 3 calon umum daripada Pro Kebajikan untuk menyandang mana-mana kerusi Majlis Tertinggi menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan mahasiswa.

[Eksklusif] Akmal diketepikan, hanya pegang Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah

Mesyuarat ahli MPP malam yang bersidang bagi menentukan kabinet MPP telah berakhir sebentar tadi dengan beberapa keputusan yang mengejutkan. Meskipun menang dengan undi terbesar dalam kerusi Umum, Akmal yang dijangka menyandang kerusi nombor satu MPP dilaporkan hanya memegang jawatan sebagai Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah. Berikut merupakan struktur organisasi kabinet yang diputuskan malam ini.

Yang DiPertua : Mohamad Hairie bin Abdullah (FB-menang tanpa bertanding)

Timbalan Yang DiPertua : Nor ‘Ain Bt. A. Razak (umum-4011 undi)

Naib Yang Dipertua : Syaiffuldin bin Mohamad (FPE-315 undi)

Setiausaha Agung : Mohd Razik bin Khalid (FTMK-164 undi)

Pen. Setiausaha Agung : Muzaitul Akmar bin Mohammad (FTMK-159 undi)

Bendahari : Muhammad Asree bin Abd Aziz (FSSK-1276 undi)

Pen. Bendahari : Muhamad Nazarul Hazwan Bin Abd Razak (umum-3729 undi)

Exco Ekonomi & Keusahawanan : Mohd Fitri bin Amil(FSKPM-544 undi), Nurul Illyana bt Mohamad((FPE-244 undi)

Exco Perhubungan Awam & Antarabangsa : Lee Sun ju(etnik cina-menang tanpa bertanding), Punethan(etnik india-menang tanpa bertanding)

Exco Sukan & Rekreasi : Mohd Nor Faiz bin Mat Ali(FSS-menang tanpa bertanding), Siti Nor Hazliza binti Rosli(FSS-menang tanpa bertanding)

Exco Penerbitan & Informasi : Mohd Firdaus bin Mohd Fauzi(FSM-menang tanpa bertanding), Siti Khairiah binti Jajuli (FB-menang tanpa bertanding)

Exco Perpaduan & Integrasi : Armadi bin Derus(etnik Sabah-103 undi), Bornifes(etnik Sarawak-49 undi)

Exco Kesenian & Kebudayaan : Norhisham bin Che Hamid (FSM-menang tanpa bertanding), Mohd Hanif Azwan Bin Ab Rahman(FST-1389 undi)

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan : Mohd Zulhilmi Bin Mohd Noor(FSKPM-483 undi), Adriyani binti Yamin(FSSK- 906 undi)

Exco Akademik & Kerjaya : Arif bin Mohamad(umum-3757 undi), Nur Aqilah Hanis binti Mohd Yusof(umum-3532 undi)

Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah : Akmal bin Madzir(umum-4124 undi), Norhafizawati binti Mahmad Rozali(FST-1055 undi)

Upsikini dilaporkan keputusan untuk melengkapkan kabinet dihujani pelbagai hujah bagi mencari formula terbaik meletakkan calon dalam beberapa kerusi penting. Kaedah secara undian digunakan untuk beberapa kerusi Majlis Tertinggi iaitu Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua apabila terdapat pertandingan antara Pro Kualiti dan Pro Kebajikan. Akmal dikatakan menawarkan diri merebut ketiga-tiga jawatan tersebut namun tidak ada satu pun yang dimenanginya. Kaedah undian ini dibuat berdasarkan Perkara 52 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menyatakan ‘keputusan-keputusan MPP hendaklah dibuat mengikut undi majoriti yang tidak kurang daripada dua per tiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi'. Bagi jawatan-jawatan lain, penetapan dibuat secara persetujuan sebulat suara. Kabinet yang dibentuk ini dijangka bakal menjadi perdebatan hangat seluruh masyarakat kampus. Walau bagaimanapun. kabinet yang dibentuk ini belum mendapat pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak.
Mesyuarat kali ketiga yang bermula pada jam 10.00 malam tadi berakhir pada jam 1.47 pagi.

*( )-kerusi yang dimenangi dan jumlah undi yang diraih.

October 24, 2008

Perebutan kerusi YDP boleh jejas perpaduan MPP

Senario perebutan kerusi Yang DiPertua (YDP) MPP yang berlaku sejak keputusan PRK diumumkan boleh menjejaskan perpaduan semua ahli MPP untuk menerajui kepimpinan mahasiswa dalam masa setahun dari sekarang. Ini berikutan suasana menjadi agak kelam kabut apabila dikhabarkan kerusi panas itu menjadi pergelutan 2 kumpulan yang menang dalam PRK kali ini. Meskipun sudah diperjelaskan oleh Sakretariat PRK dan Dato’ Naib Canselor bahawa tidak ada sebarang kumpulan dalam PRK kali ini, namun penafian terhadap keputusan pengundi secara majoriti yang diberikan kepada Akmal Madzir menunjukkan wujud kumpulan di kalangan mereka yang menang. Seorang mahasiswa semester 7, Khairi dipetik sebagai berkata suasana yang berlaku kini boleh menjejaskan perpaduan di kalangan ahli MPP itu sendiri dan kemungkinan kemelut ini akan berlarutan sepanjang setahun mereka berada di dalam organisasi MPP tetapi perkara ini dapat dielakkan sekiranya mereka benar-benar professional setelah YDP dilantik nanti.
Tambahnya lagi, perpaduan ini agak sukar untuk dibina apabila wujud campur tangan pihak-pihak tertentu dalam pentadbiran MPP dan seterusnya kerenggangan hubungan di kalangan mereka akan mempengaruhi prestasi perkhidmatan mereka sebagai badan yang menjaga kebajikan mahasiswa. Sementara itu, berkemungkinan juga, isu ini akan mempengaruhi mereka sehingga menyebabkan mereka bersifat kepuakan dan tidak lagi bekerja dalam satu pasukan.
MPP yang dipilih melalui proses demokrasi seharusnya bersifat neutral dalam hal ini dan mahasiswa sudah semestinya mengharapkan sesuatu daripada mereka. Perpaduan di kalangan ahli dalam menerajui organisasi yang mewakili suara mahasiswa seharusnya utuh dan professional meskipun wujud sedikit pergolakan dalaman. Apa yang pasti, mahasiswa akan menilai mereka setelah mandat diberikan kepada mereka.
Kerusi YDP dikatakan akan ditentukan malam ini setelah 3 kali bersidang bagi tujuan tersebut.

Lebih 5000 hadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Majlis Sambutan Hari Raya Aidlifitri merupakan program tahunan UPSI yang diadakan bagi meraikan mahasiswa sempena Hari Raya Aidilfitri. Jamuan yang bermula pada jam 11.30 pagi semalam dikunjungi lebih 5000 mahasiswa dari pelbagai kaum.
Jamuan yang dikelolakan oleh HEP dan dibantu beberapa persatuan mahasiswa menyediakan pelbagai juadah makanan mengikut gerai-gerai yang disediakan . Rata-rata mahasiswa yang hadir berpuas hati dengan kepelbagaian jenis hidangan yang disajikan. Majlis yang diadakan di ruang parkir tempat kereta Auditorium turut dihadiri beberapa pegawai universiti bagi memeriahkan majlis.
Akibat sambutan yang luar biasa pada tahun, makanan yang disediakan dikatakan habis lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini. Majlis berakhir pada jam 3.00 petang.
Majlis Sambutan Aidilfitri tahun ini diadakan agak lewat berbanding tahun-tahun sebelum ini bagi memberi laluan kepada perjalanan PRK yang berakhir 22 Oktober yang lalu.

Ramai mahu Akmal teraju kepimpinan MPP

Dalam beberapa jam lagi, persidangan semua ahli MPP untuk kali ketiga akan diadakan bagi membincangkan siapa berhak menerajui kepimpinan MPP kali ini selepas menemui jalan buntu semalam. Perebutan kerusi nombor satu itu dikatakan antara yang paling dramatik apabila calon yang ingin diketengahkan mempunyai kelebihan masing-masing. Upsikini yang sempat bertanyakan kepada beberapa mahasiswa mendapati ramai yang mahu Akmal Madzir menerajui tampok kepimpinan MPP kali ini. Seorang mahasiswa yang ditemui mengatakan bahawa Akmal berhak untuk kerusi tersebut berdasarkan jumlah undi yang diterimanya dan beliau menang dalam kerusi umum.
“Saya lihat Akmal layak untuk kerusi itu dan seluruh mahasiswa memilihnya berdasarkan jumlah undi tertinggi yang diraihnya tempoh hari. Jadi mengapa perlu dipertikaikan lagi?”,katanya.
Dalam tinjauan yang dibuat selepas pengumuman rasmi calon yang menang bertanding, rata-rata mahasiswa memilih Akmal berdasarkan kemenangannya di kerusi Umum dan pengalaman yang beliau ada. Seorang ahli Persatuan Mahasiswa Sains disebut sebagai berkata, Akmal memang mempunyai bakat kepimpinan yang mampu membawa sesuatu kepada UPSI.
“Saya telah bersama beliau dalam PMS. Beliau memang mempunyai bakat kepimpinan yang tersendiri dan saya kira beliau bukan sahaja layak malah memang sepatutnya jawatan itu diberikan kepadanya”,katanya. Tambahnya lagi “kalau Akmal diletakkan pada jawatan yang lain pun saya percaya beliau tetap menjalankan tugasnya dengan baik”.
Beberapa hari sebelum ini, isu memilih siapa yang bakal menyandang kerusi YDP menjadi perbualan hangat di kalangan mahasiswa dan seluruh mahasiswa ternanti-nanti siapakah yang akan menjadi pemimpin nombor satu mereka.
MPP dikehendaki melengkapkan kabinet selepas 14 hari keputusan rasmi calon yang menang diumumkan.

Kerusi YDP MPP masih belum dapat ditentukan

Upsikini dilaporkan mesyuarat ahli MPP bagi menentukan YDP MPP telah tamat kira-kira pada jam 2.00 pagi. Mesyuarat ditangguhkan selepas tidak ada kata putus untuk menentukan siapa yang berhak menyandang kerusi tersebut. Setelah lebih 4 jam bermesyuarat mereka dikatakan telah mengeluarkan hujah masing-masing bagi memenangkan calon mereka bagi mengisi kerusi panas itu.
Mesyuarat malam tadi ditangguhkan dan dijangka perebutan kerusi nombor satu itu akan menjadi lebih panas setelah melihat perkembangan terkini yang melalui jalan buntu.
Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada malam ini.

Ahli MPP masih bermesyuarat tentukan YDP

Sehingga saat ini, Upsikini dilaporkan ahli MPP 2008/09 masih lagi bermesyuarat untuk menentukan siapa yang wajar diletakkan sebagai orang nombor satu MPP. Pergelutan untuk merebut kerusi tersebut adalah seperti yang dijangkakan iaitu antara Hairie dan Akmal. Kumpulan Pro Kualiti yang mahu menggunakan kaedah undian dibantah Pro Kebajikan yang mahu sistem demokrasi dipatuhi. Akmal dikatakan telah mendapat mandat terbesar daripada pengundi dan selayaknya diberikan penghormatan menyandang kerusi tersebut. Perbincangan dikatakan masih diteruskan untuk mencari formula terbaik menentukan siapa berhak duduk di kerusi tersebut. Upsikini masih lagi menunggu laporan terkini daripada wartawan yang bertugas.

October 23, 2008

Yang Dipertua MPP mungkin ditentukan malam ini

Perjumpaan kali kedua semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi ini pada malam ini berkemungkinan membincangkan struktur kabinet yang akan dibentuk. Sumber melaporkan kepada Upsikini, pertemuan semua ahli MPP yang menang tempoh hari akan membincangkan siapa yang akan diberi mandat menyandang kerusi nombor satu MPP. Pertemuan malam ini juga dikatakan akan hangat dengan perebutan dua calon yang diwar-warkan berpotensi untuk duduk di kerusi tersebut iaitu Akmal dan Hairie. Perbincangan malam ini dikatakan akan tertumpu kepada siapa yang paling berhak menyandang kerusi tersebut.
PRK UPSI kali ini menyaksikan perkembangan politik mahasiswa yang semakin diberi perhatian.

Hairie atau Akmal

Dalam kemeriahan suasana PRK tempoh hari yang telah berakhir semalam dengan pengumuman keputusan rasmi daripada Sakretariat PRK, UPSI hari ini masih lagi menunggu-nunggu siapa calon yang akan diangkat untuk menyandang kerusi nombor satu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Tinjauan Upsikini mendapati kedua-dua calon, Hairie dan Akmal bakal berentap bagi mengisi kerusi YDP MPP sebelum jawatan-jawatan lain diisi. Berdasarkan kepada undian secara online yang diwujudkan Upsikini, sehingga jam 2.30 petang, 23 Oktober, Akmal mendahului Hairie dengan peratus pengundian sebanyak 73% berbanding Hairie, 9%. Desas-desus mengatakan pemilihan bagi jawatan YDP akan dibuat secara undian semua ahli MPP yang menang tempoh hari. Beberapa sumber mengatakan pertandingan merebut jawatan YDP kali ini bukan hanya antara Hairie dan Akmal tetapi melibatkan 2 kumpulan yang diwar-warkan sebelum ini iaitu Pro Kualiti dan Pro Kebajikan. Pro Kualiti menguasai 13 kerusi iaitu 2 kerusi Umum dan 11 kerusi Fakulti manakala Pro Kebajikan menguasai 3 kerusi Umum dan 5 kerusi Fakulti. Hairie (Pro Kualiti) yang merupakan ahli MPP daripada kerusi Fakulti Bahasa perlu melalui jalan sukar untuk menyandang kerusi YDP kerana beliau memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding dan beliau hanya bertanding untuk kerusi fakulti. Ura-ura mengatakan bahawa beliau berbuat demikian bagi memastikan beliau menang dalam PRK kali ini dan mengaharapkan kerusi Umum akan dikuasai oleh Pro Kualiti. Keadaan sebaliknya memperlihatkan rancangan tersebut digagalkan dengan kemaraan Akmal (Pro Kebajikan) yang meraih undi tertinggi dan diiringi dengan kemenangan 2 lagi calon Pro Kebajikan, Arif dan Nur Aqilah Hanis .
Menurut sumber yang mengirimkan e-mel kepada Upsikini malam tadi, kemungkinan besar undian untuk merebut kerusi tersebut akan melibatkan ahli MPP daripada kerusi etnik yang merupakan ahli yang dilantik oleh Naib Canselor. Sumber tersebut menegaskan wakil kerusi etnik sepatutnya tidak boleh terlibat dalam pengundian calon yang merebut kerusi YDP kerana wakil tersebut adalah lantikan Naib Canselor dan bukan mereka yang bertanding seperti calon-calon yang telah diumumkan menang semalam. Bagi pihak Pro Kualiti, mereka mengharapkan undian daripada wakil etnik begi mendapat undi majoriti untuk calon mereka. Namun, sekiranya wakil etnik tidak terlibat, calon mereka tidak akan mendapat undi majoriti kerana Pro Kebajikan telah menafikan penguasaan 2/3 Pro Kualiti apabila 8 calon mereka menang dalam PRK kali ini. Semua kerusi yang dipertandingkan adalah sebanyak 21 kerusi. Pro Kualiti dikatakan hanya memerlukan satu kerusi lagi untuk mendapat penguasaan 2/3.
Ihsan, mahasiswa yang mencetuskan pendapat mengatakan wujudnya Pro Kualiti dan Pro Kebajikan sebelum ini mengatakan, sekiranya semua ahli MPP yang dipilih telus dan jujur, mereka sepatutnya tidak ada masalah untuk mengangkat Akmal sebagai YDP. Ini berikutan mereka sudah menghadiri beberapa kursus sebelum ini dan telah bersama mengakui semuanya adalah sealiran. Jadi tidak timbul keraguan untuk memberi laluan kepada Akmal memegang jawatan YDP. Tidak perlu ada undian kerana rekod menunjukkan Akmal telah mendapat undian terbanyak iaitu 4124 undi dan ini bererti beliau telah diuji dan diterima majoriti mahasiswa berbanding Hairie yang menang tanpa bertanding malah hanya bertanding untuk kerusi fakulti. Dari segi pengalaman pula katanya, kelebihan berpihak kepada Akmal yang sudah lama bergelumang dengan dunia kepimpinan dan pernah menjawat jawatan tertinggi di kolej dan persatuan. Ini menunjukkan beliau sudah ada pengaruh yang cukup besar untuk menyandang kerusi tersebut.
Pembentukan kabinet MPP dikatakan akan bermula malam ini yang akan bersidang untuk kali kedua. Mereka diberi tempoh 14 hari untuk membentuk kabinet MPP sebelum diberi watikah perlantikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob.

Rashid masih berpeluang?

Keputusan PRK yang diumumkan secara rasmi semalam selepas tamat waktu bantahan memperlihatkan tidak ada perubahan senarai calon yang menang dalam pengumuman selepas waktu undian Selasa lalu. Namun, ura-ura mengatakan Rashid, calon umum yang tewas dalam pertandingan PRK kali ini masih mempunyai peluang untuk merebut kerusi umum sebelum kabinet dibentuk. Menurut seorang sumber yang menemui Upsikini pagi tadi, Rashid mungkin boleh menganggotai MPP sekiranya salah seorang calon kerusi umum yang menang tempoh hari menarik diri daripada menganggotai MPP. Berdasarkan keputusan PRK yang diumumkan, Rashid menduduki tangga ke 6 selepas Nur Aqilah Hanis dengan perbezaan undi sebanyak 107 undi. Sekiranya salah seorang daripada calon umum yang menang menarik diri berkemungkinan Rashid akan menggantikan kerusi tersebut. Ada cakap-cakap mengatakan calon yang mungkin akan berbuat demikian adalah Mohamad Nazarul Hazwan. Ini berikutan beliau masih berada di semester 3 dan masih berpeluang untuk bertanding pada PRK akan datang. Rashid sebelum ini disebut-sebut sebagai calon yang akan merebut kerusi nombor satu MPP.
Sekiranya diselidik kembali, Rashid berkemungkinan juga tidak akan berjaya menggantikan kerusi tersebut kerana beliau tidak melalui proses bantahan sebelum keputusan rasmi dikeluarkan. Rashid mungkin berjaya menggantikan tempat tersebut sekiranya beliau membuat bantahan ke atas mana-mana calon yang menang dan sekiranya bantahan itu diterima dan diakui oleh calon tersebut, Rashid akan diangkat menggantikan satu kerusi yang kosong. Walau bagaimanapun, tempoh bantahan telah tamat dan tidak ada sebarang bantahan yang dibuat dalam tempoh itu. Ada juga pendapat mengatakan Rashid tidak mungkin dapat menggantikan kerusi yang dikosongkan selepas waktu bantahan kerana sekiranya calon yang menang menarik diri, kerusi itu akan dibiarkan kosong dan tidak akan ada pengganti.
Hazwan juga dkatakan tidak akan semudah itu melepaskan kerusi yang telah dimenanginya kerana sekiranya beliau menganggotai MPP kali ini dan tidak dicalonkan sebagai YDP, beliau akan berpotensi besar mendapatkan jawatan nombor satu tersebut pada PRK akan datang. Hazwan dan Rashid juga dilaporkan antara calon yang berada dalam pool ‘Pro Kualiti’.
Malam ini, semua calon yang menang akan bersidang untuk kali kedua dan berkemungkinan besar kabinet MPP akan dibentuk.

Mahasiswa mahu MPP turun padang

Keputusan rasmi PRK yang diumumkan petang tadi selepas tamat waktu bantahan mengesahkan calon-calon yang menang semalam dinobatkan sebagai barisan kepimpinan MPP yang baru. Rata-rata mahasiswa yang ditemui berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan dan ini menunjukkan proses demokrasi masih wujud di UPSI. Dalam satu tinjauan yang dibuat bersama mahasiswa, mereka dikatakan menginginkan kepimpinan yang komited dan mahu turun padang bersama mahasiswa di bawah. Seorang pelajar semester 5, yang mahu dikenali sebagai Amir, dipetik sebagai berkata, mahasiswa tidak terlalu memandang apa bentuk program yang mereka buat dan ke mana mereka telah pergi sepanjang memegang jawatan MPP tapi kami mahu MPP sedia turun padang dan tinjau masalah yang kami hadapi secara terus. Seorang lagi mahasiswa memberi pendapat bahawa MPP harus ke depan dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan maklumkan kepada kami segala perkembangan yang berlaku dalam sesuatu masalah dan ini akan mendekatkan lagi mahasiswa di bawah dengan MPP.
Beberapa pengirim e-mel kepada Upsikini juga meminta agar kepimpinan baru MPP membuang rasa bangga dengan jawatan dan sentiasa mendengar dan bertindak dengan aduan daripada mahasiswa. Sementara itu, ada pendapat mengatakan MPP yang baru ini harus terus berjumpa mahasiswa dengan mengadakan satu program interaksi bersama mahasiswa di kolej-kolej kediaman dan di situ mahasiswa boleh mendengar harapan barisan MPP baru dan harapan mahasiswa kepada mereka. Pengirim itu juga dipetik sebagai berkata, kami mahu melihat mereka berucap selepas mendapat kemenangan kerana ucapan mereka semasa berkempen pasti berbeza dengan ucapan selepas mencapai kemenangan dan dari situ kita akan mula mengenali mereka secara lebih dekat. Upsikini juga menerima banyak pendapat yang mahu satu program bersama MPP baru ini diadakan bagi mendengar pidato mereka mengenai hala tuju yang ingin dibawa selain mendengar keluhan mahasiswa yang ingin disampaikan kepada barisan MPP baru.

Keputusan bagi kerusi etnik

Calon bagi kerusi etnik India, S. Punethan, semester 5, menang tanpa bertanding petang tadi. Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding bagi kerusi tersebut, menang tanpa bertanding selepas tiada pencabar lain yang ingin merebut kerusi tersebut. Kerusi etnik Cina pula disandang oleh Leow Su Ju yang turut menang tanpa bertanding. Bagi kerusi etnik Sabah, Armadi menang dengan jumlah undian sebanyak 103 undi berbanding Freddy Au yang hanya berjaya meraih undi sebanyak 81 undi. Bagi kerusi etnik Sarawak pula, Bonifest dilaporkan menang dengan jumlah undi sebanyak 49 undi menewaskan Stanley, 26 undi dan Janet, 24 undi.
Kemenangan ini melengkapkan 4 kerusi etnik untuk PRK kali ini.
Malam ini semua calon yang menang bermesyuarat untuk kali pertama selepas keputusan rasmi PRK dikeluarkan tengah hari tadi selepas tamat waktu bantahan.

October 22, 2008

Daripada seorang penjual nasi lemak kepada ahli Majlis Perwakilan Pelajar

Kebanyakan daripada kita pasti terkejut dengan kemenangan yang diraih calon umum Arif bin Mohamad dengan jumlah undian sebanyak 3757 undi. Beliau yang turut tidak menyangka dengan keputusan itu merasakan kemenangan ini adalah ujian Allah kepadanya. Jika ditanya kepada penghuni Kolej Harun Aminurrashid, pasti mereka mengenali beliau. Beliau bukan dikenali kerana memegang jawatan di kolej tetapi dikenali sebagai penjual nasi lemak dan beberapa makanan lain. Beliau yang menjalankan perniagaan bergerak dari rumah ke rumah seringkali muncul di hadapan pintu rumah penghuni KHAR pada waktu malam. Perniagaan yang dibuat secara bergerak itu membuatkan seluruh warga KHAR di blok lelaki akan mengingati beliau sehinggakan semasa hari pembuangan undi semalam rata-rata para pengundi KHAR mengenalinya sebagai ’arif nasi lemak’.
Arif pernah bertanding pada PRK sesi lepas namun tewas dan pada PRK kali ini beliau berada di tangga ke-3 dalam kerusi umum.
Arif dikatakan antara calon ’Pro Kebajikan’ yang memperjuangkan supaya subjek Pendidikan Islam menjadi subjek teras dalam pengajian di UPSI.
Arif dijangka akan menyandang kerusi Majlis Tertinggi dalam organisasi MPP kali ini.

Siapa layak untuk duduk di kerusi nombor satu MPP

Seluruh mahasiswa yang mengikuti perkembangan PRK pada kali ini pasti tertanya-tanya siapakah calon yang layak untuk duduk di kerusi Yang Dipertua yang merupakan kerusi penting dalam organisasi kepimpinan mahasiswa.
Berdasarkan keputusan PRK yang diumumkan semalam, Akmal Madzir disebut-sebut sebagai antara calon yang layak memegang jawatan itu berikutan jumlah undi yang diraih beliau. Akmal memperoleh jumlah undi tertinggi dalam kerusi umum iaitu sebanyak 4124 undi. Untuk rekod, Akmal sebelum ini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Sains selain pernah menjadi Exco Perpaduan dan Kerohanian dalam Jawatankuasa Mahasiswa Kolej, Kolej Ungku Omar. Berdasarkan 2 jawatan tertinggi yang pernah dipegang beliau selain penglibatan dalam beberapa program lain sebelum ini, beliau mempunyai potensi besar untuk menyandang kerusi YDP MPP sesi ini.
Calon kerusi umum lain yang berkemungkinan merebut kerusi ini adalah Muhamad Nazarul Hazwan Bin Abd Razak yang juga memenangi satu kerusi umum dengan jumlah undi sebanyak 3729 undi. Beliau juga dikatakan antara calon pilihan yang berpotensi merebut kerusi tersebut berdasarkan pengalaman beliau menyertai pelbagai program.
Seorang lagi calon yang dikatakan berpotensi untuk kerusi tersebut adalah Mohd Hairie bin Abdullah yang menang tanpa bertanding untuk kerusi Fakulti Bahasa. Beliau juga dikatakan mempunyai pengalaman dalam banyak program di peringkat universiti seperti Pertandingan Tilawah Al-Quran IPTA dan sebagainya. Beliau yang sudah lama bergiat aktif dalam Kelab Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) mempunyai banayk pengalaman dalam program universiti.
Upsikini juga dilaporkan ada ura-ura mengatakan kepimpinan MPP kali ini akan mengubah landskap organisasi yang akan dibentuk. Berkemungkinan juga Nur Aqilah Hanis akan dicadangkan memegang jawatan nombor satu itu setelah berjaya menang kerusi umum. Ini berikutan sokongan dan pengalaman beliau yang mampu menjadi kredit untuk beliau memegang jawatan itu. Beliau yang mempunyai pengalaman dalam Jawatankuasa Mahasiswa Kolej, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) turut berpotensi untuk merebut jawatan tersebut. Selain itu beliau turut memegang beberapa jawatan tertinggi di dalam beberpa persatuan di peringkat universiti. Beliau juga pernah memenangi Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat UPSI bagi kategori pelajar wanita selain menjadi pendebat UPSI dalam beberapa pertandingan debat. Ada cakap-cakap mengatakan orang nombor satu mahasiswa berkemungkinan diberi kepada golongan wanita setelah melihat kepimpinan universiti yang dipimpin oleh Naib Canselor wanita iaitu Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob.
Berdasarkan kepimpinan yang lalu, kabinet MPP akan dibentuk melalui 2 kaedah iaitu sama ada lantikan terus Naib Canselor atau mandat daripada ahli MPP Yng diberikan kepada calon tersebut.
Perkembangan yang pelbagai ini memberikan satu suasana yang cukup menarik dalam PRK kali ini.
Kabinet MPP dijangka dibentuk dalam beberapa hari lagi selepas tempoh selama seminggu diberikan kepada mereka berbuat demikian.

Tiada Bantahan

Upsikini dilaporkan sehingga jam 12.00 tengah hari tadi, tiada sebarang bantahan yang dibuat ke atas keputusan PRK semalam. Kesemua calon yang menang diumumkan semalam selepas peti undi e-vote ditutup tepat jam 7.00 petang semalam oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr Aminah Ayob. Beliau yang berpuasa semalam tetap mahu mengumumkan terus keputusan PRK bagi mengelakkan tanggapan buruk sesetengah pihak terhadap sistem yang digunapakai pada PRK kali ini.
Setelah tiada bantahan yang dibuat sepanjang tempoh bantahan bermula jam 8.30 pgi sehingga 12.00 tengah hari tadi, maka keputusan semalam dikatakan sah dan satu surat pengesahan kemenangan akan dikeluarkan oleh Sakretariat PRK.
Sementara itu, petang ini merupakan pemilihan bagi wakil etnik yang memeperuntukkan 4 kerusi iaitu kerusi etnik Sabah, Sarawak, Cina dan India. Mahasiswa etnik yang disebutkan akan turun mengundi bagi merebut 4 kerusi tersebut yang dijadualkan pada jam 4.00 petang ini.

Kekalahan Rashid mengejutkan mahasiswa

Keputusan PRK UPSI semalam sememangnya menepati beberapa ramalan yang dibuat sebelum tibanya hari mengundi. Namun terdapat beberapa keputusan yang di luar jangkaan terutamanya kekalahan calon umum Abdul Rashid Husain. Beliau yang mendapat sokongan padu daripada segenap lapisan mahasiswa di sini mengejutkan seluruh kampus apabila beliau hanya mampu meraih 3425 undi yang meletakkan beliau berada di tempat keenam selepas Nur Aqilah Hanis. Beliau yang membawa manifesto yang cukup meyakinkan dengan cadangan kad diskaun pelajar dan tambang murah tiket penerbangan pelajar Sabah dan Sarawak walau bagaimanapun dikatakan paling menyerlah dalam setiap rapat umum dengan trademark ‘alright!’. Upsikini yang cuba mencari maklumat faktor kekalahan Rashid mendapati beliau berkemungkinan tewas akibat sabotaj beberapa pihak melalui blog-blog yang mengecam beliau dengan pelbagai tohmahan. Selain itu, Upsikini sempat menemui seorang mahasiswa semester 1 yang begitu kecewa dengan kekalahan Rashid dipetik sebagai berkata bahawa Rashid adalah calon pilihan kami kerana beliau begitu dikenali di kalangan kami.
“Saya cukup kecewa dengan keputusan ini kerana pada kami semester 1 kami begitu mengenali beliau. Beliau begitu menonjol semasa Minggu Suai Kenal dulu dan dia memang layak menang”,katanya.
Seorang lagi mahasiswa yang ditemui berkata, Rashid sememangnya calon yang berpotensi menang kerana manifesto penggunaan kad diskaun sangat menarik dan bertepatan dengan keadaan semasa kini.
“Manifesto beliau adalah yang terbaik yang saya lihat berbanding calon-calon lain. Saya memang tak dapat terima keputusan ini. Saya harap dia dapat buat bantahan terhadap keputusan ini kerana saya yakin pasti ada calon yang menang ada melakukan kesalahan semasa proses PRK.”ujarnya.
Seorang mahasiswa Sabah pula berkata, Rashid merupakan satu-satunya calon yang meletakkan manifesto berkaitan mahasiswa Sabah dan Sarawak.
“Saya memang mengharapkan dia menang. Dialah satu-satunya calon yang memahami kesusahan kami dengan harga tiket yang mahal untuk pulang ke Sabah atau Sarawak.”katanya. Tambahnya lagi,”saya akan tetap terus menyokong dia walaupun dia kalah kerana mungkin dia akan menjadi suara yang boleh mendesak MPP yang dilantik melaksanakan manifesto mengurangkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak”.
Kekalahan Rashid bakal mewujudkan satu lagi polemik politik mahasiswa UPSI.
Sebelum ini Rashid pernah didedahkan oleh Upsikini berkenaan kesalahan melanggar peraturan PRK yang lalu dengan mengedarkan flyers semasa hari pengundian.