October 25, 2008

AUKU : Pemegang jawatan MPP dan ahli MPP punya perbedaan

Upsikini menerima respon yang pelbagai berikutan kabinet MPP yang dilaporkan awal pagi tadi. Seorang pengirim e-mel yang member respon kepada isu ini menjelaskan bahawa, ramai di kalangan mahasiswa tidak faham kandungan AUKU itu sendiri. Beliau menjelaskan bahawa Perkara 52 (3) mengatakan ‘MPP hendaklah memilih dari kalangan ahli-ahlinya seorang “Yang DiPertua, seorang Naib Yang DiPertua, seorang Setiausaha dan seorang Bendahari dan hanya mereka sahaja yang menjadi pemegang-pemegang jawatan dalam MPP, melainkan jika dibenarkan selainnya secara bertulis oleh Naib Canselor, pemegang-pemegang jawatan yang dibenarkan sedemikian oleh Naib Canselor hendaklah dipilih oleh MPP dari kalangan ahli-ahli MPP”. Berdasarkan kepada perkara ini, didapati bahawa pemegang jawatan MPP itu hanya terdiri daripada YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari dan selain dari itu hanyalah ahli MPP. Jika deselidik pula pada perkara 52 (2) (b) yang menjelaskan tentang bagaimana MPP dipilih, perkara ini menjelaskan

52 (2) Persatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar (“MPP”) mengikut cara yang berikut:

(a) pelajar berdaftar setiap Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh Dekan Fakulti dan Sekolah atau Ketua Pusat, Akademi, atau Institut, mengikut mana-mana yang berkenaan, beberapa pelajar berdaftar yang sama bilangannya sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, masing-masing daripada Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi, dan Institut itu untuk menjadi wakil dalam MPP, dan

(b) keseluruhan pelajar-pelajar berdaftar hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil-wakil dalam MPP dan bilangan pelajar-pelajar itu hendaklah dalam apa jua keadaan, tidak melebihi setengah daripada bilangan wakil-wakil yang dipilih di bawah perenggan (a)

Berdasarkan kepada perkara tersebut, pemegang-pemegang jawatan MPP (YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari) sebenarnya adalah wakil yang dipilih oleh keseluruhan pelajar-pelajar berdaftar melalui undi rahsia dan ini merujuk kepada kerusi Umum. Oleh yang demikian, mereka yang layak untuk duduk di kerusi Majlis Tertinggi atau pemegang jawatan MPP seperti yang dinyatakan AUKU adalah mereka yang bertanding atas kerusi yang diundi atau dipilih oleh keseluruhan pelajar dan bukan kerusi fakulti yang hanya dipilih atau diundi oleh sebahagian daripada keseluruhan pelajar. Maka selain daripada itu, wakil tersebut hanya boleh diklasifikasikan sebagai ahli MPP dan sekiranya ada jawatan tertentu seperti Exco dan sebagainya, maka kebenaran bertulis daripada Naib Canselor diperlukan.
Maka dengan itu, pemegang jawatan MPP (YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari) seharusnya mereka daripada kerusi umum dan bukan daripada kalangan mereka yang bertanding di kerusi Fakulti. Dalam perenggan terakhir e-mel tersebut, beliau menyatakan bahawa beliau adalah salah seorang yang terkejut dengan keputusan itu dan memang di luar jangkaannya.
Kabinet yang dibentuk semalam mengenepikan 3 calon umum daripada Pro Kebajikan untuk menyandang mana-mana kerusi Majlis Tertinggi menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan mahasiswa.

No comments: