October 24, 2008

Perebutan kerusi YDP boleh jejas perpaduan MPP

Senario perebutan kerusi Yang DiPertua (YDP) MPP yang berlaku sejak keputusan PRK diumumkan boleh menjejaskan perpaduan semua ahli MPP untuk menerajui kepimpinan mahasiswa dalam masa setahun dari sekarang. Ini berikutan suasana menjadi agak kelam kabut apabila dikhabarkan kerusi panas itu menjadi pergelutan 2 kumpulan yang menang dalam PRK kali ini. Meskipun sudah diperjelaskan oleh Sakretariat PRK dan Dato’ Naib Canselor bahawa tidak ada sebarang kumpulan dalam PRK kali ini, namun penafian terhadap keputusan pengundi secara majoriti yang diberikan kepada Akmal Madzir menunjukkan wujud kumpulan di kalangan mereka yang menang. Seorang mahasiswa semester 7, Khairi dipetik sebagai berkata suasana yang berlaku kini boleh menjejaskan perpaduan di kalangan ahli MPP itu sendiri dan kemungkinan kemelut ini akan berlarutan sepanjang setahun mereka berada di dalam organisasi MPP tetapi perkara ini dapat dielakkan sekiranya mereka benar-benar professional setelah YDP dilantik nanti.
Tambahnya lagi, perpaduan ini agak sukar untuk dibina apabila wujud campur tangan pihak-pihak tertentu dalam pentadbiran MPP dan seterusnya kerenggangan hubungan di kalangan mereka akan mempengaruhi prestasi perkhidmatan mereka sebagai badan yang menjaga kebajikan mahasiswa. Sementara itu, berkemungkinan juga, isu ini akan mempengaruhi mereka sehingga menyebabkan mereka bersifat kepuakan dan tidak lagi bekerja dalam satu pasukan.
MPP yang dipilih melalui proses demokrasi seharusnya bersifat neutral dalam hal ini dan mahasiswa sudah semestinya mengharapkan sesuatu daripada mereka. Perpaduan di kalangan ahli dalam menerajui organisasi yang mewakili suara mahasiswa seharusnya utuh dan professional meskipun wujud sedikit pergolakan dalaman. Apa yang pasti, mahasiswa akan menilai mereka setelah mandat diberikan kepada mereka.
Kerusi YDP dikatakan akan ditentukan malam ini setelah 3 kali bersidang bagi tujuan tersebut.

No comments: