November 4, 2008

HEP mahu isu kabinet diselesai secara berhemah

Tanjong Malim, 4 Nov. – Pertemuan beberapa wakil Pro Kebajikan dengan pihak HEP semalam menunjukkan sikap keterbukaan kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan masalah kabinet MPP secara diplomasi. HEP sebelum ini menyarankan agar rundingan dibuat bagi membentuk kabinet mengikut sistem yang adil dan saksama. Menurut sumber, HEP tidak berniat untuk campurtangan dalam hal berkaitan pembentukan kabinet ini kerana mahasiswa yang diangkat menjadi pemimpin seharusnya bersikap matang dan profesional tetapi sekiranya masalah ini berlarutan, penyelesaian segera harus dibuat.
Dalam satu laporan lain, seorang pegawai HEP dikatakan telah bertindak menyusun kabinet yang membariskan calon Pro Kualiti dalam Majlis Tertinggi bagi melenyapkan suara Pro Kebajikan dalam MPP sebelum ini. Sumber turut menegaskan bahawa perkara ini begitu jelas apabila tiada seorang pun calon Pro Kebajikan yang diletakkan dalam MT meskipun 3 daripada 5 kerusi Umum dikuasai Pro Kebajikan. Pegawai HEP terbabit disyaki terlibat secara langsung dalam isu kabinet ini apabila beliau dikaitkan dengan kes penyelewengan wang sejumlah RM 36 000 dalam satu laporan baru-baru ini.
Tempoh pembentukan kabinet berakhir esok selepas 14 hari diberikan bermula 22 Oktober lalu.

No comments: