March 7, 2009

Defisit perkara biasa

Isu kerugian yang dialami akibat defisit program Hari Terbuka KUO masih lagi menjadi buah mulut ramai pihak. Izi Nasiruddin yang juga merupakan Pengarah Program tersebut dilaporkan melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) KUO berikutan kes tersebut. Upsikini sempat mewawancara seorang mahasiswa UPSI, Ihsan, yang sebelum ini menyampaikan banyak pandangan beliau terhadap suasana kepimpinan di UPSI untuk mengulas isu tersebut.
Upsikini : Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam.
Upsikini : Agak lama juga ya kita tak bertemu.
Ihsan : Lebih kurang begitulah. Mungkin sibuk dengan hal masing-masing.
Upsikini : Baik saudara. Sebagai permulaan perbincangan. Apa agaknya pandangan saudara tentang kepimpinan mahasiswa UPSI yang ada sekarang.
Ihsan : Terima kasih. Saya lihat dalam keadaan sekarang ini, kepimpinan UPSI khususnya MPP meskipun disertai dengan 2 kumpulan utama dalam barisannya, perubahan yang diharapkan masih belum banyak berlaku. Cumanya, kita boleh katakan mereka ada usaha, mungkin hasilnya belum cukup untuk membuatkan pengundi-pengundi mereka berkata”Ya, inlah yang kita mahu”.Masih belum.
Upsikini : Saya nak alih kepada isu sebenar yang ingin kita bincangkan. Baru-baru ini timbul kenyataan bahawa perbelanjaan wang program hari terbuka KUO defisit dan mencatatkan kerugian sehinggakan YDPnya letak jawatan. Apa pandangan saudara?
Ihsan : Kalau orang tanya saya tentang deficit dalam perbelanjaan, saya katakan itu perkara biasa. Kerajaan negara kita yang ada penasihat ekonomi, pakar-pakar juga pernah defisit dalam perbelanjaan negara. Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang dibarisi dengan pakar ekonomi dan sebagainya turut pernah mengalami defisit. Ini biasa dan dalam konteks penganjuran program yang lebih kecil skopnya, ini adalah risiko yang perlu diambil. Cuma yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana boleh berlakunya defisit. Adakah kerana tidak berhemah dalam perbelanjaan, perancangan yang kurang kemas atau tidak mengikut apa yang dirancang atau mungkin terpaksa berbelanja lebih disebabkan perkara-perkara yang tak dapat dielak.
Upsikini : Saudara mengatakan ini perkara biasa. Apa yang dimaksudkan dengan biasa kerana kita tahu jarang sekali sesuatu program yang dijalankan mengalami defisit.
Ihsan : Saya katakan ia biasa atas beberapa pertimbangan. Pertama skala program yang dianjurkan agak besar. Kedua, setiap perancangan perbelanjaan di atas kertas akan mengalami perubahan semasa perlaksanaan. Pasti berlaku. Ketiga adalah atas konsep belajar. Sebagai mahasiswa yang baru berjinak-jinak dalam menganjurkan program besar, semestinya berdepan dengan risiko ini dan sekiranya risiko ini benar-benar berlaku, inilah proses belajar. Kita jangan mengharapkan hasil yang sentiasa positif, kerana dalam proses belajar sudah semestinya kita perlu mengalami pelbagai masalah. Saudara perlu faham, pentadbir universiti juga perlu faham, dalam menganjurkan program, mahasiswa tidak ada kursus khas untuknya, hanya melalui kerjasama dan bantuan dari penasihat dan rakan-rakan.
Itu yang saya katakan ini perkara biasa.
Upsikini : Adakah saudara maksudkan bahawa mahasiswa jangan takut untuk berdepan dengan risiko jika mahu belajar?
Ihsan : Ya. Ini sepatutnya menjadi pegangan mahasiswa.
Upsikini : Bagaimana pula sekiranya defisit itu berlaku disebabkan salah guna wang yang diperuntukkan?
Ihsan : Baik, itu yang saya katakan tadi punca defisit itu juga perlu diambil kira. Kalau melibatkan kes salah guna, apa yang menyebabkan salah guna itu berlaku. Adakah menyalahguna atau tersalah guna?Kalau memang salah guna untuk kepentingan peribadi atau pengurusan perbelanjaan yang tidak cekap, ini sememangnya salah dan tidak termasuk dalam ruang lingkup perkara biasa yang saya katakan. Mungkin salah guna itu berlaku kerana perbelanjaan dibuat di luar daripada apa yang dirancang. Contohnya katakan dalam perancangan kita buat perlu beli 5 biji buah tembikai, tapi bila tiba harinya dirasakan tidak cukup, perlu tambah lagi 3 biji sedangkan ia tidak tercatat dalam perancangan, ini juga salah guna sebab perbelanjaan di luar bajet asal, tapi atas pertimbangan yang dibolehkan pada saya. Jadi penjelasan tentang salah guna itu juga perlu spesifik.
Upsikini : Bagaimana saudara melihat perletakan jawatan sebagai tindakan bertanggungjawab terhadap masalah yang berlaku.
Ihsan : Ada situasi yang kita boleh terima tindakan ini dan ada juga tidak. Dalam isu ini, saya rasakan mana-mana pemimpin yang meletak jawatan dalam keadaan masalah itu tidak ada penyelesainya, saya kira pemimpin itu pemimpin yang lemah. Ini berbeza dengan keadaan sebenar dalam politik praktis, kerana sekiranya seseorang pemimpin yang berhadapan dengan masalah dan tidak mampu menyelesaikannya, pasti ada pengganti yang sedia menggantikannya. Tapi dalam konteks kita, siapa pengganti untuk menyelesaikan masalah tersebut melainkan dipulangkan kepada pihak pengurusan. Ini pada saya langkah kurang bijak dan tidak menepati ciri-ciri kepimpinan yang sepatutnya.
Upsikini : Untuk soalan terakhir, apakah nasihat saudara kepada kepimpinan mahasiswa khususnya di UPSI dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin dan penganjur program?
Ihsan : Saya ingin ingatkan kepada mereka, dalam penganjuran program perancangan teliti perlu dibuat. Saya pernah melihat rakan saya buat kertas kerja, dalam bahagian bajet itu, di hanya “copy paste dan buat penambahan mengikut cita rasanya dan tidak dibentang dalam mesyuarat jawatan kuasa. Ini saya kira sikap tidak professional dalam melaksanakan tugas. Sebaiknya setiap perancangan yang berisiko mesti dibincang dan keputusan dibuat secara kolektif supaya apabila berhadapan dengan masalah, semua pihak akan bertanggungjawab.
Upsikini : Satu lagi, dari mana saudara dapat pengalaman dalam hal-hal ini kerana saudara seperti orang yang dah pernah mengalami semua ini.
Ihsan : Tempat saya belajar sebelum ini.
Upsikini :
Begitu. Baiklah saudara Ihsan,terima kasih atas perkongsian bersama UPSIkini. Mungkin kita boleh bincang banyak lagi perkara. Mungkin isu Perak…
Ihsan : (Ketawa).Tiada masalah. Saya sedia berrkongsi.
Upsikini : Terima kasih, Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam.

No comments: