March 4, 2009

Izi tak perlu bimbang jika dakwaan palsu – Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 3 Mac – Dakwaan salah guna wang program Hari Terbuka Kolej Ungku Omar (KUO) yang disabitkan ke atas Izi Nasiruddin, mantan Yang Dipertua Kolej Ungku Omar merangkap Pengarah program Hari Terbuka tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada mahasiswa di sini.

Meskipun perletakan jawatannya dikatakan sah dan sudah berkuatkuasa namun punca perletakan jawatan beliau masih menjadi tanda tanya.

Upsikini sebelum ini melaporkan bahawa perletakan jawatannya berkait rapat dengan kerugian yang dialami akibat defisit dalam perbelanjaan program tersebut.

Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya ketika diminta mengulas tentang perkara tersebut menasihatkan Izi supaya tidak menghiraukan dakwaan yang dibuat sekiranya ia palsu.

“Izi tak perlu bimbang sekiranya dakwaan yang dibuat ke atasnya palsu”,ulas beliau.

“Beliau juga mempunyai hak untuk membela dirinya dan bagi menyangkal dakwaan tersebut beliau harus ke depan membuat penjelasan”,tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut menolak ura-ura yang mengatakan semua dakwaan yang dibuat ke atas Izi dikeluarkan daripada pihak Pro Kebajikan.

“Kita mempunyai banyak agenda dan tanggungjawab lain yang perlu diselesaikan dan tiada masa untuk terlibat dalam menjatuhkan mana-mana individu namun sekiranya saranan dan pandangan kita diperlukan, kita akan beri respon sebagai satu tanggungjawab kita sebagai pemimpin mahasiswa,”katanya.


Pro Kebajikan sebelum ini dikatakan antara pihak yang terlibat dalam mendedahkan dakwaan salah guna wang oleh Izi Nasiruddin.

No comments: