March 1, 2009

Isu tarikh Konvokesyen tiada kaitan dengan kemelut Kerajaan Negeri Perak

Tanjong Malim, 1 Mac – Spekulasi tarikh Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 yang mungkin diadakan pada Disember semakin menjadi perhatian di sini.

Antara yang hangat diperkatakan adalah isu pergolakan dalam Kerajaan Negeri Perak menjadi punca tarikh tersebut terpaksa dianjak dari Ogos kepada Disember.

Dakwaan ini dibuat beberapa mahasiswa yang ditemui dan menganggap perkembangan terkini isu Kerajaaan Negeri Perak berkemungkinan menjadi faktor kepada perubahan tarikh Istiadat Konvokesyen.

Menurut mahasiswa terbabit yang tidak mahu identitinya didedahkan, pergolakan dalam Kerajaan Negeri Perak menjadi sebab tarikh Konvokesyen dianjak kerana dalam Istiadat Konvokesyen, Menteri Besar adalah antara orang kenamaan yang akan dijemput dalam majlis tersebut dan sehingga kini masih belum diketahui siapa sebenarnya Menteri Besar yang sah.

“Kebiasaannya Menteri Besar adalah VIP yang akan dijemput dalam Majlis Istiadat Konvokesyen tapi sekarang kita tak tahu siapa Menteri Besar yang sah dan mungkin keputusan mahkamah juga berlanjutan sehingga Ogos dan memaksa tarikh Konvo dianjak pada Disember”,katanya.

Pendapat ini disanggah Ketua Penerangan Pro Kebajikan yang mengatakan pendapat tersebut tidak benar sama sekali kerana tarikh Konvokesyen ke-11 sidang pertama tetap dijalankan pada 16 hingga 18 Mac ini meskipun isu Kerajaan Negeri Perak masih belum selesai di mahkamah.

“Pendapat ini tidak tepat pada saya kerana tarikh Konvo ke-11 sidang pertama tetap dijalankan pada 16 hingga 18 Mac ini walaupun kemelut Kerajaan Negeri Perak masih belum selesai di mahkamah dan isu siapa Menteri Besar untuk dijemput dalam majlis istiadat bukanlah begitu besar sehingga memaksa majlis istiadat dianjak ke tarikh lain.”jelasnya.

Tambahnya lagi,"sekiranya diimbau pada majlis-majlis sebelum ini, jarang sekali Menteri Besar turun ke UPSI walaupun jemputan dibuat".

Pro Kebajikan dalam ulasannya turut menyokong agar tarikh konvokesyen ke-11 sidang ke-2 diadakan pada Ogos.

No comments: