January 31, 2009

Masih ramai belum tahu kewujudan UPSI

Tanjong Malim, 31 Jan. – Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dinaiktaraf daripada Institut Perguruan Sultan Idris merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan pengajian dalam bidang pendidikan sepenuhnya.

Namun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari kewujudan institusi pengajian tinggi ini walaupun sudah wujud hampir 12 tahun pada tahun ini.

Buktinya, ramai yang lebih mengenali MPSI berbanding UPSI walaupun taraf universiti sudah lama diberi untuk institusi ini.

Selain itu, ramai juga yang terkeliru dengan nama UPSI apabila disebut sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris sedangkan nama sebenarnya adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Kenyataan ini dikeluarkan Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya yang melihat UPSI masih belum menonjol di kalangan rakan-rakan IPTA lain walupun pernah gah pada suatu masa dahulu.

Mengulas tentang isu ini Pro Kebajikan mendapati UPSI perlu diberi nafas baru dalam struktur kepimpinan mahasiswanya sebagai salah satu langkah membawa UPSI ke satu tahap yang setanding dengan IPTA lain.

“Saya melihat UPSI masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan dalam menjual jenama UPSI di peringkat nasional walaupun UPSI mempunyai keistimewaannya tersendiri terutamanya dalam bidang pendidikan,”ulasnya.

“Untuk itu, kepimpinan mahasiswa UPSI harus lebih ke hadapan dalam melontarkan pandangan dan idea berhubung beberapa perkara terutamanya yang melibatkan isu pendidikan dan kini seluruh negara sedang memperkatakan tentang PPSMI namun kita lihat mahasiswa UPSI masih diam membisu seperti tidak peka dengan keadaan sekeliling,”tambahnya lagi.

Ketika ditanya tentang apakah usaha yang boleh diambil untuk memasarkan UPSI di peringkat nasional beliau mengatakan UPSI perlu lebih serius dalam merencana agenda yang dibawa dan mahasiswanya sudah pasti menjadi pemain utama dalam melaksanakan usaha ini.

“Saya berpendapat UPSI perlu serius dalam hal ini dan mahasiswa UPSI harus memberi perhatian dalam mengangkat nama UPSI setaraf dengan IPTA lain,”ujarnya.

“Bagi kami di pihak Pro Kebajikan, kami akan membawa satu corak kepimpinan yang lebih agresif sebagai langkah awal dalam membawa UPSI setaraf dengan IPTA lain,”jelasnya lagi.

UPSI ditubuhkan pada 1997 selepas 3 era iaitu Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Sultan Idris Training College (SITC).

No comments: