July 31, 2009

Lari dari kuarantin tindakan tidak bertanggungjawab

Tanjong Malim, 31 Julai – Tindakan beberapa pelajar yang pulang ke kampung meskipun dikuarantinkan disifatkan saudara Mohd Zulhilmi Mohd Noor sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga merupakan Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI mengatakan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana arahan kuarantin bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Saya cukup kesal dengan tindakan tak bertanggungjawab seperti itu kerana mereka harus sedar tindakan itu boleh menyebabkan lebih ramai berisiko terkena jangkitan tersebut.

“Kita faham perasaan dan keadaan mereka tetapi janganlah bertindak mengikut perasaan kerana arahan yang dibuat juga untuk kebaikan mereka”,jelasnya selepas dimaklumkan perkara ini pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar semua pelajar yang tidak pulang ke kampung agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom-simptom jangkitan H1N1.

Kelmarin, UPSI mengumumkan cuti serta-merta sehingga 9 Ogos ini selepas arahan penutupan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

pentingkan diri!!