July 14, 2009

Ramai persoal isu gambar Audi

Tanjong Malim, 14 Julai – Isu berkenaan gambar Auditorium Utama di UPSI yang menjadi tempat berlangsungnya Bengkel Gerak Kerja Jentera Barisan Nasional mendapat reaksi banyak pihak apabila persoalan demi persoalan ditimbulkan sebaik sahaja gambar tersebut didedahkan UPSIkini.

Antara yang dipersoalkan oleh beberapa pengirim e-mel kepada UPSIkini, siapa yang menjadi koordinator antara pihak BN dan UPSI sehingga dengan mudah program kepartian sedemikian boleh diadakan di dalam UPSI.

Salah seorang pengirim emel tersebut mendakwa program sedemikian pernah beberapa kali diadakan namun tidak ada yang tahu bagaimana kelulusan diperolehi dan berkemungkinan besar mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian atau Naib Canselor.

Berdasarkan gambar yang disiarkan, ramai berpendapat program tersebut mungkin diadakan semasa pelajar bercuti sama ada cuti semester atau pertengahan semester dan berkemungkinan juga semasa hujung minggu.

Namun tarikh sebenar program tersebut dijalankan masih lagi menjadi tanda tanya.

Pro Kebajikan sebelum ini mengeluarkan kenyataan mencabar Sakretariat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SSPR) UPSI membuat laporan ke pihak atasan bagi menyiasat isu tersebut.

Sehingga kini, belum ada apa-apa reaksi balas daripada SSPR berhubung dengan gesaan tersebut.

Selain itu, pihak Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) yang dikatakan antara pihak yang bertanggungjawab dalam memberi kebenaran menggunakan premis-premis dalam UPSI juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu ini.


No comments: