July 7, 2009

Mahasiswa merungut PTPTN belum masuk

Tanjong Malim, 7 Julai – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idis (UPSI) hari ini merungut berikutan wang Pinjaman Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) masih belum dikredit ke akaun mereka meskipun menerima maklumat mengatakan wang akan masuk antara 6 hingga 7 Julai.

UPSIkini sebelum ini melaporkan, wang PTPTN dijangka masuk ke akaun mereka pada tarikh tersebut.

Saudara Zulhilmi, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika diajukan tentang perkara ini mengatakan rungutan tersebut telah disampaikan kepada pihak yang berkenaan dan mereka mengatakan terdapat kesilapan teknikal berhubung perkara tersebut.

“Kami sudah maklumkan perkara ini kepada pihak yang berkenaan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan mereka mengatakan terdapat masalah teknikal yang menyebabkan wang itu tidak dapat dikreditkan ke akaun mereka pada tarikh tersebut”,katanya.

Jelasnya lagi,”Namun pihak PTPTN memberi jaminan wang tersebut akan dimasukkan ke akaun pelajar selewat-lewatnya hujung minggu ini sekiranya tidak ada masalah yang berlaku dalam tempoh itu.”

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar mereka yang mempunyai masalah kewangan untuk berjumpa pegawai HEP di Unit Kewangan dan Kebajikan Pelajar, Encik Fauzi Khalid.

No comments: