July 13, 2009

Pro Kebajikan berminat sertai Pro Mahasiswa Nasional

Tanjong Malim, 12 Julai – Majlis Tertinggi Pro Kebajikan UPSI yang bermesyuarat malam tadi bagi membincangkan hala tuju Pro Kebajikan selepas penyambungan kontrak Prof Dr Shaharudin Abd Aziz sebagai Timbalan Naib Canselor HEP&A menyatakan hasrat mereka menyertai Pro Mahasiswa Nasional.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Setiusaha Agung Pro Kebajikan sejurus selepas mesyuarat tersebut berakhir di sebuah kediaman di sini.

Mengulas tentang kenyataan tersebut, Setiausaha Agungnya dipetik sebagai berkata hasrat tersebut dipersetujui oleh sebahagian besar ahli mesyuarat yang hadir selepas diusulkan oleh Biro Politik Pro Kebajikan.

“Kita baru menyampaikan hasrat untuk sertai Pro Mahasiswa selepas Biro Politik mengusulkan perkara ini dalam mesyuarat yang lalu dan kajian terperinci akan dibuat sebelum keputusan muktamad dikeluarkan secara rasmi”,katanya.

Ketika ditanya adakah Pro Kebajikan telah membuat pertemuan dengan pimpinan Pro Mahasiswa, beliau menjawab “belum ada pertemuan rasmi untuk membincangkan secara khusus berkenaan perkara ini dan mungkin selepas ini”.

Ketua Biro Politik Pro Kebajikan dalam penjelasannya mengatakan usul tersebut dibuat selepas mangambil kira pandangan beberapa rakan mahasiswa di kampus lain dan matlamat perjuangan yang tidak banyak beza antara Pro Kebajikan dan Pro Mahasiswa di kampus-kampus lain.

“Usul ini dikemukakan selepas mendapat pandangan daripada rakan-rakan di kampus lain dan melihat kepada matlamat perjuangan yang hampir sama antara kami”,katanya.

Tambahnya lagi,”keputusan mungkin positif dan mungkin negatif, bergantung kepada kajian dan pertemuan dengan pihak Pro Mahasiswa Nasional selepas ini, kita tunggu dan tengoklah macam mana perkembangannya nanti”.

Desas-desus Pro Kebajikan menyertai Pro Mahasiswa mula diperkatakan sejak Pilihanraya Kampus (PRK) yang lalu apabila sekumpulan pimpinan Pro Mahasiswa menemui calon-calon Pro Kebajikan yang menang dalam PRK tersebut.

Namun Pro Kebajikan menolak spekulasi mengatakan mereka sebahagian daripada Pro Mahasiswa dan menjelaskan pertemuan tersebut hanya pertemuan biasa untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan.

1 comment:

student political awareness said...

show ur original face must be based on research first