July 31, 2009

H1N1 : Mangsa kelima meninggal dunia

Selepas beberapa kes kematian yang disebabkan oleh wabak H1N1 di negara ini, seorang lagi mangsa dilaporkan telah meninggal dunia akibat jangkitan H1N1.

Mangsa yang berumur 10 tahun meninggal dunia di Klinik Kesihatan, Bagan Serai, Perak.

Kematian ini meletakkan jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat virus H1N1 setakat ini seramai 5 orang.

Berita kematian ini sekali lagi memberi kesan kepada seluruh warga UPSI yang kini ditutup selepas beberapa pelajar dilaporkan positif terkena jangkitan H1N1.

Semua kolej jalani penyahbersihan kuman esok

Tanjong Malim, 31 Julai – Semua kolej kediaman UPSI akan menjalani proses penyahbersihan kuman secara menyeluruh bermula esok. Proses tersebut dilaporkan sebagai langkah membersihkan setiap ruang di dalam rumah daripada virus H1N1.

Bagi memastikan kebersihan rumah itu berada di tahap yang baik, seluruh ruang dan perabot akan dibersihkan dengan menggunakan cecair klorin.

Antara yang akan dicuci adalah pintu utama, pintu bilik, pintu bilik air, sliding door, tingkap, semua meja dan kerusi, katil, lantai seluruh rumah, balkoni, sinki, kepala paip, tandas dan almari di dalam setiap rumah.

Selain itu, pembersihan ini juga meliputi semua bilik dan pejabat yang berada di kolej kediaman masing-masing.

Kerja-kerja ini akan dilaksanakan secara berperingkat yang melibatkan kerjasama semua kakitangan pentadbiran kolej, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) dan pekerja pembersihan kawasan yang bekerja di kolej-kolej di sini.

Bagi rumah-rumah yang menempatkan pelajar-pelajar kuarantin pula, proses penyahbersihan kuman tersebut dujalankan setiap hari sebagai langkah mengurangkan penyebaran virus tersebut ke tempat-tempat lain.

PTPTN Semester 3 masuk hari ini

Tanjong Malim, 31 Julai – Wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi semua pelajar semester tiga dilaporkan telah masuk ke akaun masing-masing hari ini.

Semua pelajar semester tiga sebelum ini terpaksa menunggu hampir sebulan selepas sesi pengajian bermula awal Julai lalu.

Kemasukan wang PTPTN ini juga dikatakan tepat pada masanya apabila mereka semua sedang bercuti selepas UPSI diarahkan tutup akibat penularan jangkitan H1N1 di sini.

Lari dari kuarantin tindakan tidak bertanggungjawab

Tanjong Malim, 31 Julai – Tindakan beberapa pelajar yang pulang ke kampung meskipun dikuarantinkan disifatkan saudara Mohd Zulhilmi Mohd Noor sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga merupakan Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI mengatakan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana arahan kuarantin bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Saya cukup kesal dengan tindakan tak bertanggungjawab seperti itu kerana mereka harus sedar tindakan itu boleh menyebabkan lebih ramai berisiko terkena jangkitan tersebut.

“Kita faham perasaan dan keadaan mereka tetapi janganlah bertindak mengikut perasaan kerana arahan yang dibuat juga untuk kebaikan mereka”,jelasnya selepas dimaklumkan perkara ini pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar semua pelajar yang tidak pulang ke kampung agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom-simptom jangkitan H1N1.

Kelmarin, UPSI mengumumkan cuti serta-merta sehingga 9 Ogos ini selepas arahan penutupan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dr Safina berang doktor luar lawat pelajar kuarantin tanpa kebenaran

Tanjong Malim, 31 Julai – Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Safina Ahmad Noor semalam berang apabila terdapat doktor daripada luar yang datang membuat lawatan ke atas pelajar yang dikuarantin tanpa pengetahuan Pusat Kesihatan UPSI yang diberi tanggungjawab memantau perkembangan pelajar tersebut.

Beliau yang dimaklumkan tentang perkara tersebut mengatakan pihak luar yang ingin membat lawatan atau sebarang urusan berkenaan H1N1 di UPSI harus mendapat kebenaran daripada Pusat Kesihatan atau pihak pentadbiran UPSI.

“Sebarang urusan berkenaan perkara ini harus mendapat kebenaran di pihak kita terlebih dahulu walaupun mereka itu seorang doktor yang nak buat lawatan biasa”,jelasnya selepas membuat lawatan di sebuah kolej di sini.

Beberapa doktor yang dilaporkan datang membuat lawatan ke atas pelajar kuarantin di sebuah kolej di sini dipercayai doktor dari luar dan identiti mereka juga tidak dapat dikenalpasti.

Berikutan itu, pihak kolej diminta untuk memperketatkan kawalan keluar masuk terutamanya yang ingin membuat lawatan ke atas pelajar-pelajar kuarantin.

Pelajar kuarantin dakwa diberi makanan basi

Tanjong Malim, 31 Julai – Enam pelajar yang dikuarantin di sebuah kolej kediaman di sini mendakwa diberi makanan yang telah basi semasa makan malam semalam. Mereka yang mendakwa perkara tersebut dikatakan antara pelajar yang dikuarantin kerana disyakai terkena jangkitan H1N1 meskipun tidak positif.

Dalam pada itu, pihak kolej yang diadu tentang perkara tersebut menjelaskan perkara itu bukan disengajakan memandangkan 2 orang pelajar yang dikuarantin di sebuah rumah lagi tidak pula mengadu sedemikian sedangkan mereka semua diberi makanan yang sama.

Berikutan itu, pihak kolej tersebut mengambil langkah menyelaraskan masa pemberian makanan bagi semua pelajar yang dikuarantin di sini bagi mengatasi masalah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak kolej juga mendakwa terdapat beberapa pelajar yang diarahkan mengkuarantinkan diri melanggar arahan tersebut dengan mengambil keputusan pulang ke kampung halaman tanpa pengetahuan mereka.

Sehingga kini, seramai 8 orang pelajar dikuarantin di kolej tersebut yang mana 2 daripadanya disahkan positif manakala 6 lagi mengalami simptom-simptom jangkitan H1N1.

Kenyataan Media MPP Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 30 Julai - Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan hari ini mengeluarkan satu kenyataan media berikutan penularan jangkitan H1N1 di UPSI. Berikut merupakan teks lengkap kenyataan yang dikirimkan kepada UPSIkini.

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR PRO KEBAJIKAN
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

30 JULAI 2009


Penularan Jangkitan H1N1 di UPSI

Penularan jangkitan H1N1 yang telah berlaku di UPSI sememangnya memberi kesan kepada kita semua. Diselubungi dengan rasa bimbang dan khuatir, kita diminta untuk sama-sama mengambil langkah perlu bagi mencegah daripada lebih ramai terkena jangkitan ini.

Oleh yang demikian, Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan hari ini ingin melahirkan rasa simpati kepada semua warga UPSI di atas penularan wabak H1N1 yang memaksa pihak universiti menutup kampus utama dan kolej-kolej kediaman.

Di samping itu, kami turut ingin melahirkan rasa simpati kepada beberapa pelajar yang disahkan positif terkena jangkitan H1N1 dan terpaksa dikuarantinkan. Namun demikian, marilah sama-sama kita mendoakan agar kita semua dikembalikan dengan nikmat kesejahteraan dan dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

Sehingga ke hari ini, kesemua pelajar sudah mula meninggalkan kediaman masing-masing sama ada yang tinggal di dalam kolej mahupun di luar kolej. Diharapkan semoga perjalanan rakan-rakan mahasiswa selamat sampai ke destinasi.

Bagi mereka yang tidak pulang ke kampung masing-masing terutamanya pelajar-pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak, kami berharap agar anda dapat mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh kuarantin yang diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan ke atas UPSI sehingga 7 Ogos ini.

Kepada semua kakitangan universiti yang terpaksa bertugas dalam tempoh arahan kuarantin berkuatkuasa, kami mengucapkan selamat bertugas dan semoga pengorbanan anda diberkati Allah s.w.t.

Akhir kata, kami menyeru kepada seluruh warga UPSI untuk sama-sama kita berdoa agar kita semua kembali berada dalam keadaan seperti sediakala dan dikembalikan dengan nikmat kesejahteraan yang telah kita kecapi selama ini.

Mohd Zulhilmi bin Mohd Noor
Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Adriyani binti Yamin
Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Nor Aqilah hanis Bt Mohd Yusof
Exco Akademik & Kerjaya

Arif bin Mohamad
Exco Akademik & Kerjaya

Akmal bin Madzir
Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Norhafizawati bt Mahmad Razali
Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Mohd Hanif Azwan bin Abd Rahman
Exco kesenian & Kebudayaan

Norhisham bin Che Hamid
Exco Kesenian & Kebudayaan

July 30, 2009

Hari kedua H1N1 di UPSI

Tanjong Malim, 30 Julai
8.15 p.m.
Bas percuma hanya hari ini

Pihak kolej yang menguruskan perkhidmatan bas percuma untuk perjalanan balik ke kampung halaman mengikut negeri masing-masing memaklumkan perkhidmatan tersebut hanya untuk hari ini sahaja. Tiada lagi perkhidmatan sedemikian untuk esok.

7.15 p.m.
Seru pelajar solat jemaah, solat hajat

Akmal Madzir, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP sekali lagi menyeru semua pelajar yang masih belum pulang ke kampung untuk solat berjemaah di surau atau masjid dan mengadakan solat hajat, mendoakan agar UPSI kembali sejahtera. Katanya, selain mengambil langkah-langkah pencegahan, doa juga adalah ubat bagi segala penyakit.

6.45 p.m.
Pelajar Sabah dan Sarawak tidak puas hati bas percuma

Ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak tidak berpuas hati dengan tindakan UPSI memberi perkhidmatan bas percuma kepada pelajar yang ingin balik ke kampung di negeri masing-masing di Semenanjung. Mereka mendakwa sepatutnya pelajar tersebut dikenakan bayaran dan wang tersebut digunakan untuk bekalan makanan bagi pelajar-pelajar yang tidak dapat balik ke kampung yang kebanyakannya menanggung kerugian menempah tiket lebih awal untuk cuti pertengahan semester. Cuti pertengahan semester dijadual bermula 15 Ogos tetapi terpaksa diawalkan ekoran wabak H1N1 di sini.

6.20 p.m.
Dr Safinah lawat pelajar kuarantin

Dr. Safinah dari Pusat Kesihatan UPSI melawat semua pelajar yang dikuarantin di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) ketika ini. Dilaporkan 2 pelajar yang disahkan positif dijangkiti H1N1 juga berada di sini.

6.15 p.m.
Usaha untuk pulang segera

Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPP, saudara Zulhilmi mengingatkan pelajar agar berusaha untuk segera pulang ke kampung masing-masing. Beliau berkata sedemikian selepas mendapati ada pelajar yang mengambil langkah untuk lewat pulang ke kampung atas alasan tugasan dan sebagainya. Jelasnya, keputusan memberi cuti adalah bertujuan agar pelajar segera pulang ke kampung untuk mengelak terkena jangkitan H1N1.

6.00 p.m.
Suasana semakin lengang

Keadaan di Taman Bahtera juga dikatakan lengang. Kebanyakan pelajar sudah berangkat pulang ke kampung masing-masing. Kedai makan dan restoran juga dilaporkan kebanyakannya tutup. Kelihatan beberapa pemilik 'kereta sapu' menunggu di tempat perhentian bas menunggu pelajar yang mahu menggunakan perkhidmatannya.

5.00 p.m
UPSI sunyi

Berikutan penutupan serta-merta kampus utama UPSI semalam, suasana di sini dikatakan agak sunyi. Semua pintu masuk dikawal selepas UPSI menjadi kawasan larangan untuk dimasuki.

4.40 p.m
Tabligh keluar tiga hari

Dalam kesibukan pelajar mencari tiket untuk pulang ke kampung halaman, lain pula bagi jemaah tabligh di kalangan pelajar UPSI yang berkumpul di Surau KHAR. Mereka dikatakan akan keluar tiga hari pada petang ini sebelum pulang ke kampung masing-masing.

4.20 p.m.
Pergerakan bas lancar

Semua bas dilaporkan sudah bergerak ke destinasi masing-masing. Pelajar memuji perkhidmatan yang disediakan dan berterima kasih dengan keprihatinan pihak UPSI terhadap kebajikan pelajar.

4.00 p.m
70% pelajar sudah meninggalkan kolej

Dianggarkan kira-kira 70% pelajar yang menginap di kolej-kolej kediaman sudah meninggalkan kolej untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Selebihnya dijangka akan pulang malam ini dan esok. Peratusan pelajar tinggal di luar kolej yang sudah pulang ke kampung juga dilaporkan meningkat terutamanya pelajar perempuan.

3.45 p.m.
Pelajar terkejut

Beberapa pelajar terkejut apabila dimaklumkan tentang perkhidmatan bas percuma pulang ke kampung masing-masing selepas melihat beberapa buah bas masuk ke kawasan kolej. Mereka mendakwa terpaksa menunggu esok kerana kehabisan tiket dan tidak tahu perkhidmatan bas percuma yang disediakan UPSI.

3.33 p.m
Bas sudah mula bergerak

Di Kolej Ungku Omar (KUO) beberapa buah bas sudah mula bergerak menuju ke destinasi masing-masing. Di Kolej Zaaba (KZ) beberapa bas sudah bergerak lebih awal.

3.30 p.m
10 buah bas di KUO

UPSIkini dilaporkan sebanyak 10 buah bas disediakan di Kolej Ungku Omar (KUO). Kesemua bas dijangka akan memulakan perjalanan dalam beberapa minit lagi. Semua bas dikatakan penuh terutamnya bas ke Kelantan.

3.25 p.m.
Pembahagian pelajar mengikut destinasi

Urusan pembahagian pelajar menaiki bas mengikut destinasi sedang dilakukan. Beberapa buah bas sudah bersedia memulakan perjalanan.

3.10 p.m.
Pelajar mula menaiki bas

Pelajar mula menaiki bas yang ditetapkan mengikut destinasi. Akmal Madzir, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP turut kelihatan bagi mengucapkan Selamat Bercuti kepada pelajar di Kolej Ungku Omar.

3.00 p.m.
Bas mula masuk ke kawasan kolej

Beberapa buah bas sudah mula masuk ke perkarangan kolej-kolej kediaman. Perkhidmatan bas berada di tempat menunggu bas di kolej-kolej. Perjalanan dijangka sedikit lewat daripada masa yang ditetapkan. UPSIkini dilaporkan sehingga kini lebih 10 buah bas sudah menunggu di luar Kolej Ungku Omar (KUO) dan Kolej Zaaba (KZ).

2.45 p.m.
Tak sampai 100 tinggal di KHAR

Di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) bilangan pelajar yang mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung setakat ini hanya 33 orang. Kebanyakannya pelajar Sabah dan Sarawak. Terdapat juga sebahagian pelajar yang akan pulang kempung hujung minggu ini untuk menyelesaikan tugasan dan sebagainya.

2.30 p.m.
Perkhidmatan balik kampung percuma

Semua pelajar yang pulang ke kampung menggunakan perkhidmatan bas UPSI sedang berurusan di Kolej Ungku Omar (KUO). Semua destinasi dijangka akan memulakan perjalanan pada jam 3.00 petang ini.

1.45 p.m.
Pelajar UKLK terkilan

UPSIkini menerima e-mel daripada seorang pelajar UKLK yang terkilan dengan pengurusan dan sistem penyampaian maklumat yang lemah kepada pelajar-pelajar UKLK. Pengirim tersebut juga mendakwa tidak ada pihak UKLK yang turun padang memaklumkan tentang perkara ini kepada mereka. Segala kemudahan yang diberikan kepada pelajar di kolej juga tidak diberikan kepada pelajar UKLK seperti bekalan makanan, kaunter pemeriksaan H1N1 dan perkhidmatan bas percuma.

1.10 p.m.
3 tiket ke Sabah & Sarawak bersamaan kos perkhidmatan 1 bas

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP, saudari Adriyani menjelaskan pihak UPSI tidak mampu untuk membuat bayaran ganti rugi kepada semua pelajar Sabah & Sarawak yang telah membeli tiket. Katanya, kos untuk membayar ganti rugi 3 tiket ke Sabah & Sarawak bersamaan kos sebuah bas menghantar pelajar-pelajar ke satu-satu destinasi di Semenanjung.

1.00 p.m.
Makanan untuk makan tengah hari disediakan

Makanan untuk makan tengah hari ini di kolej-kolej kediaman disediakan terutamanya kolej di Proton City (KZ & KAB). UPSIkini dimaklumkan bagi pelajar yang tinggal di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dan Kolej Ungku Omar (KUO), mereka dibenarkan untuk keluar untuk makan tengah hari.

12.40 p.m.
Bas ke LCCT dan KLIA turut disediakan

Perkhidmatan pengangkutan ke LCCT dan KLIA turut disediakan bagi pelajar-pelajar Sabah dan Sarawak yang ingin pulang ke kampung. Namun permintaan ganti rugi tiket yang telah dibeli tidak dapat dipenuhi atas sebab kos yang terlalu tinggi.

12.15 p.m.
Tiada peruntukan untuk pelajar Sabah dan Sarawak

Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPP UPSI, saudara Zulhilmi menjelaskan pihak HEP tidak ada menyediakan peruntukan untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak dan UPSI tidak mampu untuk menanggung kos tiket yang telah dibeli. Namun bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan boleh meminjam daripada Tabung Kebajikan Pelajar HEP atau memohon wang zakat daripada universiti.

11.30 a.m.
Pelajar di Proton City minta buka kaunter pemeriksaan

Pelajar-pelajar yang tinggal di Proton City meminta agar kaunter pemeriksaan H1N1 dibuka di sana bagi memudahkan pemeriksaan dibuat. Mereke didakwa bimbang untuk ke Klinik Kesihatan kerana khuatir terkena jangkitan memandangkan kebanyakan yang dikuarantin tinggal di kolej-kolej kediaman dan ada di antaranya yang membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Tanjong Malim.

11.20 a.m
Suasana di kolej-kolej kediaman semakin lengang

Pergerakan pelajar pulang dilaporkan lancar. Suasana di kolej-kolej kediaman dilaporkan semakin lengang.

11.00 a.m
2 pelajar positif H1N1 tak percaya mereka positif

Dua pelajar yang disahkan positif selepas ujian H1N1 dibuat tidak percaya dengan laporan mengatakan mereka positif. Berikutan itu, mereka dilaporkan telah lari daripada Bilik Sakit di KHAR sehingga memaksa kakitangan yang bertugas mencari mereka berdua. Kehilangan mereka disedari apabila Pegawai kesihatan yang ingin membuat pemeriksaan lanjutan semalam mendapati mereka tiada di Bilik Sakit tersebut.

10.45 a.m.
Pelajar antarabangsa China juga keluar

Pelajar antarabangsa dari negara China juga dilihat keluar dari kawasan kolej membawa beg pakaian masing-masing. Mereka dipercayai akan ke Kedutaan China di Kuala Lumpur.

10.25 a.m.
UKM juga dijangka cuti

Universiti Kebangsaan Malaysia juga bakal berdepan situasi sama di UPSI. UPSIkini menerima maklumat, UKM juga dijangka cuti semester lebih awal ekoran penularan jangkitan H1N1 di beberapa buah kampus. UKM dijangka mengmbil langkah berjaga-jaga untuk memulakan cuti semester lebih awal selepas UPM dan UPSI. Namun pengumuman rasmi belum dibuat.

10.20 a.m
Hentian Putra sesak

Di hentian Putra, Kuala Lumpur, ramai pelajar UPSI menunggu bas untuk pulang ke kampung masing-masing terutamanya ke Kelantan. Dilaporkan sudah ada pelajar yang menunggu sejak dari semalam di sini dan menaiki bas hari ini.

10.15 a.m
Bas ke Kelantan jam 3.00 petang

Perkhidmatan bas yang disediakan UPSI untuk pelajar-pelajar ke Kelantan dimaklumkan akan bergerak pada jam 3.00 petang ini. Semua pelajar yang telah mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan ini diminta bersedia lebih awal.

10.00 a.m
Pejabat kolej beroperasi seperti biasa
Pihak pentadbiran kolej membuka pejabat seperti biasa. Kakitangan kolej diminta untuk memantau keadaan semasa pelajar yang dikuarantin dan pelajar yang tidak pulang ke kampung. Ramai pelajar Sabah dan Sarawak memilih untuk tidak pulang ke kampung kerana harga tiket yang agak mahal, mencecah RM 700.

9.30 a.m.
50% pelajar sudah kosongkan kolej
Sehingga kini dianggarkan hampir 50% pelajar sudah mengosongkan kolej kediaman masing-masing. Pelajar mula keluar menuju ke stesen bas untuk ke destinasi masing-masing seawal jam 8.00 pagi tadi. Pengumuman di kolej-kolej berkenaan perkhidmatan bas percuma yang disediakan UPSI dibuat dari semasa ke semasa.

July 29, 2009

Pemecah berita : H1N1 di UPSI

dikemaskini 11.00 p.m. -Pengangkutan percuma untuk pulang ke kampung
Pihak pentadbiran UPSI mengumumkan perkhidmatan pengangkutan percuma untuk pelajar UPSI balik ke kampung esok. UPSI menyediakan bas ke tiga destinasi utama iaitu ke negeri-negeri pantai timur, utara dan selatan tanah air. Perkhidmatan akan bermula esok jam 2.30 petang di Kolej Harun Aminurrashid dan Kolej Zaaba. Pendaftaran boleh dibuat di pejabat KHAR dan KZ awal pagi esok.

Ramai kakitangan UPSI dijangka MC esok
Beberapa pihak mendakwa kemungkinan besar ramai kakitangan UPSI akan mengambil cuti sakit esok berikutan arahan kuarantin yang diarahkan Kementerian Kesihatan ke atas UPSI bermula hari ini. Meskipun sebahagian kakitangan dikehendaki hadir bertugas seperti biasa namun kebimbangan dijangkiti jangkitan H1N1 ini pasti mendorong mereka mengambil cuti sakit.

Kereta api penuh malam ini
Tempat duduk kereta api ke utara tanah air malam ini dilaporkan penuh setelah tiket-tiket habis dijual petang tadi. Dianggarkan semua tempat duduk akan dipenuhi pelajar-pelajar UPSI dari negeri-negeri utara seperti Kedah, Pelau Pinang dan Perlis. Di kolej-kolej kelihatan pelajar menunggu perkhidmatan ‘kereta sapu’ untuk ke stesen kereta api dan ada juga yang meminta bantuan rakan.

Saran buat solat hajat
Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI, saudara Akmal Madzir sekali lagi memberi saranan kepada jemaah surau di semua kolej-kolej kediaman membuat solat hajat khusus untuk mendoakan UPSI segera pulih dari wabak H1N1 dan mendoakan agar mereka yang dikuarantin segera sembuh serta dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku. Beliau dijangka akan berada di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) untuk solat Isyak di sana sekiranya dibenarkan masuk.

Pelajar sudah mula bergerak pulang
Sehingga jam 8 malam tadi kelihatan pelajar-pelajar sudah mula meninggalkan kolej menaiki bas untuk pulang ke kampung masing-masing. Terdapat juga di kalangan mereka yang pulang menggunakan kereta api malam ini. Tidak kurang juga ibu bapa yang datang sendiri untuk mengambil anak mereka pulang.

Makan malam juga disedia
Makan malam untuk penghuni di kolej-kolej kediaman turut disediakan. Pihak kolej meminta semua yang berada di kolej untuk turun mengambil makanan.

Tarikh peminjaman pakaian akademik ditunda
Bahagian Akademik UPSI memaklumkan tarikh untuk urusan peminjaman jubah yang dijadual bermula 3 Ogos bagi pelajar-pelajar yang akan bergraduat Ogos ini ditunda ke 7 Ogos 2009. Urusan peminjaman juga boleh dibuat pada hari Sabtu dan Ahad (8 dan 9 Ogos) bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Penundaan ini dibuat selepas UPSI diarah dikosongkan berikutan penularan jangkitan H1N1.

Pelajar dilarang keluar kolej tanpa surat pengakuan
Semua pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman perlu menjalani rawatan saringan sebelum diberi surat pengakuan bebas jangkitan H1N1. Sekiranya mereka tidak menjalani rawatan tersebut, mereka dilarang untuk keluar dar kawasan kolej kerana gagal menunjukkan surat tersebut. Pendekatan ini dibuat selepas mendapati pelajar tidak mengendahkan arahan kuarantin meskipun UPSI mengumumkan wabak itu sudah menular di sini.

'Kereta sapu' dapat permintaan luar biasa
Perkhidmatan 'kereta sapu' di kolej-kolej kediaman mendapat permintaan luar biasa sejak pengumuman cuti dibuat beberapa jam yang lalu. Kebanyakan pelajar yang menggunakan perkhidmatan ini meminta mereka dihantar ke stesen bas dan kereta api untuk membeli tiket.

Stesen bas, kereta api sesak
Pengumuman cuti yang dibuat UPSI menyebabkan stesen bas dan kereta api di sini sesak dipenuhi pelajar-pelajar UPSI yang mahu membeli tiket untuk belik ke kampung masing-masing. UPSIkini dilaporkan hampir semua tiket bas dan kereta api habis dijual untuk perjalanan hari ini dan esok. Kelihatan juga kenderaan ibu bapa yang datang ke kolej-kolej untuk mengambil anak mereka pulang.

Pemeriksaan kesihatan masih dijalankan di kolej-kolej
Sehingga kini, pihak Jabatan Kesihatan Daerah Batang Padang masih membuat pemeriksaan kesihatan ke atas mereka yang mengalami simptom-simptom dijangkiti H1N1. Beberapa bilik rawatan dibuka di kolej-kolej kediaman dan pihak kolej meminta mana-mana pelajar yang mengalami simptom-simptom seperti demam, selsema,sakit tekak dan sebagainya segera membuat rawatan di bilik rawatan yang dibuka.

Keputusan cuti awal untuk kebaikan semua pihak
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPP UPSI, saudara Zulhilmi menjelaskan keputusan memulakan cuti semester lebih awal adalah langkah terbaik untuk menjaga kebaikan semua pihak. Oleh yang demikian, sebarang kesulitan yang dialami berikutan keputusan itu harap difahami kerana langkah pencegahan perlu dibuat bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku.

Pelajar yang tidak balik diminta buat pemeriksaan
Pelajar yang mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung pada tempoh 29 Julai hingga 9 Ogos ini diminta untuk membuat pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga. Arahan itu dibuat bagi memastikan semua pelajar yang tinggal di kolej kediaman atau di rumah sewa semasa tempoh tersebut bebas daripada jangkitan H1N1.

Arahan kuarantin masih berkuat kuasa
Arahan kuarantin di kolej-kolej kediaman dan setiap pelajar UPSI masih berkuat kuasa meskipun pengumuman cuti dibuat. Justeru, pihak pentadbiran mengingatkan kepada semua pelajar yang menginap di kolej agar tidak terlalu banyak bergerak keluar dan mengelakkan diri daripda berkumpul sebagai langkah pencegahan dan pematuhan kepada arahan kuarantin. Selain itu, pelajar turut disaran untuk memakai ‘mask’.

Kematian ke empat mangsa H1N1 membimbangkan pelajar di sini
Laporan media berkenaan kematian ke empat mangsa virus H1N1 di Hospital Melaka membimbangkan pelajar di sini. Berikutan itu arahan segera pulang ke kampung bagi pelajar yang sihat dan dikuarantin untuk mereka yang disyaki terkena jangkitan harus dipatuhi. Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPP UPSI, saudara Zulhelmi menasihatkan agar pelajar patuh kepada arahan tersebut dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan.

Pelajar DPLI turut cuti
Pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) turut dibenarkan pulang ke kampung masing-masing bermula hari ini. Mereka yang kebanyakannya tinggal di Proton City dan Kota Malim Prima dibenar pulang selepas UPSI mengumumkan cuti sehingga 9 Ogos ini.

Pelajar Sabah & Sarawak mengeluh
Walaupun ramai di kalangan mahasiswa UPSI gembira dengan pengumuman cuti pertengahan semester yang diawalkan berikutan kes H1N1 di sini, tetapi lain pula bagi pelajar Sabah dan Sarawak. Mereka yang telah menempah tiket mengikut jadual asal cuti pertengahan semester yang bermula pada 15 Ogos ini, dikatakan agak kecewa dengan keputusan tersebut.

Masih ramai menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tg Malim
Meskipun pengumuman cuti telah dibuat, namun masih ramai pelajar UPSI yang sedang membuat rawatan saringan jangkitan H1N1 di sini. Kesemua mereka merupakan pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman. Terdapat juga beberapa pelajar yang tinggal di luar kolej membuat menjalani rawatan di sini. Akmal Madzir yang berada di sana menyarankan agar semua mahasiswa sentiasa berwaspada terhadap jangkitan ini meskipun cuti diberikan sebagai langkah pencegahan.

Pengumuman cuti dibuat
Pengumuman berkenaan cuti yang bermula hari ini diumumkan di kolej-kolej. Pelajar berpusu-pusu keluar dari kawasan kolej untuk mendapatkan tiket balik kampung. Teriakan gembira juga kedengaran selepas pengumuman dibuat.

Arahan kuarantin masih diteruskan sehingga arahan baru dikeluarkan
Pihak pentadbiran kolej masih meneruskan arahan kuarantin meskipun dikhabarkan cuti bermula hari ini. Pihak kolej dikatakan belum menerima arahan rasmi berkenaan kebenaran untuk pelajar pulang ke kampung daripada pihak universiti.

Pelajar sihat dibenar balik kampung
Desas-desus cuti pertengahan diawalkan semakin mencapai kepastian. Terbaru UPSIkini dilaporkan semua pelajar yang sihat dan tidak disyaki terkena jangkitan H1N1 dibenar pulang ke kampung masing-masing. Cuti akan bermula pada hari ini 29 Julai sehingga 9 Ogos. Walau bagaimanapun cuti awal semester hanya akan dikira bermula 1 Ogos ini. Kuliah 29 hingga 31 Julai perlu diganti selepas kuliah bermula.

Beberapa program universiti ditangguh
Ekoran kes H1N1 yang semakin mendapat perhatian ramai pihak hari ini, beberapa program universiti terpaksa ditangguhkan. Antaranya adalah Pameran Keusahawanan FPE dan program Anjuran Pusat Islam. Penangguhan program-program ini juga dikatakan berkait rapat dengan cuti pertengahan semester yang dilaporkan akan bermula lebih awal.

Maklumat awal : Cuti pertengahan semester diawalkan
Cuti pertengahan semester akan diawalkan seperti yang dilaporkan UPSIkini sebelum ini. Keputusan mesyuarat bersepakat mengawalkan cuti pertengahan semester berikutan kes H1N1 yang dilaporkan positif terhadap beberapa suspek. Namun, surat rasmi berkenaan perkara tersebut masih belum dikeluarkan.

Mesyuarat selesai, Pengetua kolej akan umum keputusan di kolej masing-masing
Mesyuarat yang melibatkan pentadbiran kolej dan universiti berkaitan terdapat kes H1N1 yang dilaporkan positif di UPSI selesai pada jam 2.30 petang tadi. Pengetua kolej-kolej kediaman bakal membuat pengumuman dan penjelasan berkenaan keputusan mesyuarat di kolej masing-masing.

Pelajar UKLK dakwa dianak tirikan
Beberapa pelajar yang menginap di luar kolej mendakwa mereka dianak tirikan dan tidak dimaklumkan tentang H1N1. Mereka mengadu perkara tersebut di dalam ruangan forum MyPortal UPSI. UPSI sebelum ini mengeluarkan arahan semua mahasiswa mengkuarantinkan diri di kediaman masing-masing.

Jualan ‘mask’ laris
Seorang peniaga di hadapan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) mengambil kesempatan menjual ‘mask’ di hadapan pintu masuk ke KHAR selepas mendapati ramai pelajar dihalang keluar oleh Pengawal Keselamatan untuk mendapatkan ‘mask’ di kedainya. Beliau mendakwa jualan ‘mask’ begitu laris hari ini berikutan berita jangkitan H1N1 mula dijangkiti di sini.

Pengawal keselamatan berang pelajar ingkar arahan
Keadaan di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) sedikit kecoh di depan pendok Pengawal Keselamatan kerana sebilangan pelajar mengingkari arahan kuarantin. Mereka dilaporkan ingin keluar untuk mendapatkan ‘mask’ di kedai berhampiran namun tetap dihalang pengewal keselamtan yang bertugas.

Solat Zohor berjemaah di surau tetap dilaksanakan
Meskipun arahan kuarantin dikuatkuasa hari ini ke atas semua kolej kediaman dan semua penghuni diminta tidak keluar daripada rumah masing-masing, azan Zohor di surau kolej-kolej kediaman masih berkumandang dan solat berjemaah masih dilaksanakan.

Pelanggan Abuya kurang, tidak seperti biasa
Bilangan pelanggan di kedai makan Abuya dilaporkan kurang berbanding sebelum-sebelum ini yang menjadi warung pilihan ramai warga UPSI untuk makan tengah hari. Keadaan ini dikatakan kesan arahan kuarantin yang dikeluarkan oleh pihak UPSI ke atas semua kolej dan penutupan kampus UPSI daripada sebarang aktiviti hari ini.

Masih ramai ambil mudah saranan pemakaian ‘mask’
Pelajar-pelajar yang turun mengambil makanan di kolej-kolej kediaman kebanyakannya tidak mengenakan ‘mask’ meskipun disaran berbuat demikian melalui iklan yang disiarkan media apabila jangkitan ini mula menular di kawasan masing-masing. Rata-rata mendakwa tidak mempunyai 'mask' dan mencari-cari di mana boleh mendapatkan ‘mask’ tersebut.

Prosedur ketat di pintu masuk kolej
Prosedur keluar masuk kolej diperketat dan menyaksikan pelajar tidak dibenarkan untuk keluar sekiranya tiada urusan yang mendesak. Keadaan ini memaksa pihak pentadbiran kolej turun padang dan berada di pintu masuk kolej bagi memastikan arahan kuarantin benar-benar dilaksanakan.

Pelajar kolej ambil makanan guna kupon
Pelajar-pelajar yang menginap di kolej kediaman dilaporkan sedang mengambil makanan menggunakan kupon yang diberikan oleh pihak kolej selepas kaunter mengambil makanan dibuka beberapa minit yang lalu.

Beberapa pelajar ambil tindakan balik kampung
UPSIkini dilaporkan sebilangan pelajar mengambil tindakan nekad untuk balik ke kampung kerana beranggapan tindakan tersebut lebih selamat dan sudah menjangka cuti seminggu pasti diumum berdasarkan beberapa kes serupa di Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej-Kolej lain sebelum ini. Mereka juga dikatakan bimbang kehabisan tiket apabila pengumuman cuti seminggu dibuat dalam masa terdekat.

Taman Bahtera turut dikuarantin
Semua penghuni di Taman Bahtera termasuk Bahtera Arked dan Bahtera Teres turut diarah kuarantin kerana berhampiran dengan kedudukan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dan Kolej Ungku Omar (KUO). Kedai-kedai di Taman Bahtera juga dilaporkan lengang.

2 identiti pelajar positif H1N1 dikenalpasti
Dua identiti pelajar yang dilaporkan antara suspek positif H1N1 dikenalpasti. Mereka adalah Siti Zuraihan dan Mariam, masing-masing pelajar program Pendidikan Perakaunan. Pihak yang memaklumkan perkara ini meminta agar semua pihak mendoakan kesejahteraan mereka.

4 pelajar di KZ pula dilaporkan positif
Maklumat terkini yang diterima UPSIkini mengatakan 4 orang pelajar yang menginap di Kolej Zaaba dilaporkan antara suspek yang positif ujian H1N1.

Kawasan sekitar kolej lengang
Suasana sekitar kolej di sini dilaporkan lengang dan hampir semua pelajar mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan. Semua pengawal keselamatan dikerah untuk meningkatkan pengawasan keluar masuk kenderaan dan orang awam ke kawasan kolej.

Bas UPSI angkut pelajar di kolej buat pemeriksaan segera
Beberapa buah bas dilihat berulang-alik ke kolej-kolej kediaman untuk membawa pelajar-pelajar untuk membuat pemeriksaan di hospital berdekatan. Kebanyakan yang diminta membuat pemeriksaan tersebut adalah mereka yang mengalami demam dan ILI (influenza-like illness)

Orang ramai turut bertopeng
Orang ramai sekitar Tanjong Malim turut kelihatan memakai topeng (mask) setelah berita mengenai penularan wabak H1N1 tersebar di kalangan orang awam.

Seorang penghuni KHAR antara yang positif
Seorang pelajar perempuan yang menginap di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) antara yang dilaporkan positif ujian H1N1. Pelajar tersebut juga merupakan peserta yang mengikuti satu program di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pentadbiran kolej diminta urus makanan penghuni kolej
Semua pentadbiran kolej kediaman diarahkan untuk menguruskan bekalan makanan kepada semua penghuni kolej masing-masing berikutan arahan kuarantin yang masih berkuatkuasa.

Cuti seminggu berkemungkinan dikira sebagai cuti pertengahan semester
Susulan makluman yang dibuat Bahagian Perhubungan Awam berkenaan pengumuman status cuti seminggu yang dijangka dibuat esok, maklumat terkini mengatakan cuti seminggu berkemungkinan dibuat tetapi dikira sebagai cuti semester sepertimana Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengmbil langkah pencegahan dengan memulakan cuti pertengahan semester lebih awal.

Cuti seminggu : UPSI jangka umum esok
Bahagian Perhubungan Awam (PRO) memaklumkan UPSI dijangka akan mngeluarkan pengumuman sama ada diberi cuti seminggu atau tidak esok. Sehingga kini, pihak UPSI dan Bahagian Kesihatan Batang Padang masih menjalankan kerja-kerja mengenal pasti tahap keseriusan jangkitan ini di UPSI.

Ambil kesempatan solat hajat dan berdoa
Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP, saudara Akmal Madzir menyarankan agar semua mahasiswa UPSI mengambil kesempatan penangguhan kuliah hari ini untuk melakukan solat hajat dan berdoa agar semua warga UPSI berada dalam keadaan sejahtera.

Waktu kuarantin dijangka dilanjutkan
Berikutan maklumat yang dikeluarkan Bahagian Korporat dan Antarabangsa UPSI supaya semua pelajar mengkuarantinkan diri di kediaman masing-masing hari ini sehingga satu tarikh yang diumumkan kemudian, ramai pihak menjangka waktu kuarantin akan dilanjutkan sepertimana lain-lain IPT dan Kolej yang dilaporkan media sebelum ini.

6 pelajar dilaporkan positif
UPSIkini dilaporkan seramai 6 orang pelajar UPSI positif ujian H1N1. Namun pihak UPSI masih belum mengumumkan angka sebenar kes.

H1N1 : UPSI ditutup, tangguh kuliah

dikemaskini 10.35 a.m.Tanjong Malim, 29 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengumumkan penangguhan kuliah serta-merta setelah mendapati beberapa suspek yang disyaki dijangkiti H1N1 positif.

Berikutan itu, semua kolej kediaman turut dikuarantin selepas menerima arahan daripada pihak atasan sebagai langkah berjaga-jaga. Dilaporkan lebih seratus pelajar mengalami simptom-simptom wabak tersebut dan kesemua mereka masih dalam pemeriksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, UPSI menutup kampus utama daripada sebarang aktiviti.

Sehingga kini, belum ada pengumuman dibuat daripada pihak Kementerian Kesihatan berkaitan kes terbaru ini.

Karim corner turut tutup kedai
Berikutan penutupan UPSI hari ini akibat kes H1N1 yang dilaporkan positif hasil pemeriksaan yang dibuat terhadap beberap suspek, sebuah warung berhampiran UPSI, Karim Corner turut mengmbil langkah sama untuk menutup kedai buat sementara waktu.

Tindakan ini diambil bagi mengelak orang ramai yang berkunjung ke sana daripada berkumpul untuk mengurangkan risiko penyakit ini tersebar.

Pemeriksaan masih diteruskan
Pihak UPSI dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Batang Padang dilaporkan masih meneruskan kerja-kerja pemeriksaan bagi mendapatkan maklumat lengkap berkenaan perkembangan kes ini.

Kakitangan UPSI bertugas seperti biasa
Semua kakitangan UPSI bertugas seperti biasa meskipun UPSI ditutup hari ini. Pihak Pusat Kesihatan menasihatkan semua kakitangan mengmbil langkah berjaga-jaga sebagai langkah pencegahan awal.

KAB gotong-royong sedia makanan
Berikutan arahan kuarantin yang dikeluarkan kepada semua kolej kediaman, Kolej Aminudin Baki (KAB) mengambil langkah menyediakan makanan secara gotong-royong untuk smeua penghuni kolej tersebut.

Pelajar tak dibenar pulang ke kampung
Bahagian Akademik menasihatkan semua pelajar agar tidak pulang ke rumah atau balik kampung meskipun tidak ada kuliah dijalankan hari ini dan meminta semua pelajar menunggu arahan seterusnya daripada pihak UPSI yang akan diumumkan melalui UPSI MyPortal.

July 28, 2009

Isu Audi : Mahfuz Omar antara ahli parlimen yang dicadangkan

Tanjong Malim, 28 Julai – Berikutan pengumuman Pro Kebajikan menamakan 3 orang ahli Parlimen yang bakal diadu tentang isu Audi, beberapa pihak membuat spekulasi bahawa salah seorang daripada 3 ahli parlimen tersebut adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Dato’ Hj Mahfuz Omar.

Maklumat tersebut yang disampaikan oleh seorang sumber mendakwa ada terdengar perbualan tentang perkara tersebut semasa beberapa ahli MPP Pro Kebajikan sedang berbual di sebuah kedai makan di sini beberapa hari lalu.



Sumber turut mengatakan beliau mendengar nama Mahfuz Omar disebut beberapa kali dan tidak menolak kemungkinan besar perkara yang dibincangkan adalah berkaitan dengan isu tersebut.

Dalam pada itu katanya, ahli MPP Pro Kebajikan tersebut turut menyebut beberapa nama lain tetapi tidak mengingatinya.

Sumber tersebut walau bagaimanapun enggan mendedahkan siapa ahli MPP Pro Kebajkan yang dimaksudkan meskipun mendakwa mengenali mereka.

Pengumuman Pro Kebajikan yang mahu mengadukan kes tersebut kepada parlimen mendapat reaksi pelbagai pihak setelah berita mengenainya disiarkan beberapa hari lalu.

Pro Kebajikan sebelum ini pernah mencabar Sakretariat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SSPR) UPSI untuk melaporkannkes tersebut ke pihak atasan namun masih belum ada apa-apa tindakan dibuat.

Pelajar antarabangsa China menyesal datang UPSI

Tanjong Malim, 28 Julai – Pelajar antarabangsa dari negara China yang datang melanjutkan pengajian mereka ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melahirkan rasa menyesal mereka setelah hampir sebulan berada di sini.

Mereka yang mengambil kursus Pendidikan Muzik di sini mengadu perkara tersebut kepada beberapa peniaga kedai berbangsa cina di sekitar kolej kediaman mereka mengatakan belum bersedia untuk datang melanjutkan pelajaran mereka di UPSI.

Mereka juga dikatakan tidak mendapat maklumat yang lengkap tentang keadaan di sini tetapi terpaksa datang ke UPSI atas tawaran universiti yang diterima mereka.

“Mereka mengadu kepada saya mengatakan mereka belum bersedia untuk datang ke sini (UPSI) dan sebenarnya tidak mendapat maklumat yang lengkap tentang keadaan di sini”,kata seorang peniaga berbangsa cina yang ditemui semalam.

Tambahnya lagi ”setiap hari pasti mereka datang mengadu kepada saya dan sebahagian besar di kalangan mereka ada melahirkan rasa kesal datang ke sini”.

Beliau turut menjelaskan kebanyakan mereka yang datang melanjutkan pelajaran mereka ke sini berasal dari keluarga berada dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana di sini.

Kesemua pelajar tersebut juga dikatakan mengalami masalah komunikasi apabila kurang fasih untuk berbahasa Inggeris dan hanya menguasai Bahasa Mandarin.

Untuk rekod, UPSI menerima seramai 30 pelajar antarabangsa dari negara China awal bulan lalu dalam satu program pertukaran pelajar antarabangsa.

July 27, 2009

H1N1 : Dua pelajar perakaunan UPSI dikuarantin

Tanjong Malim, 27 Julai - Dua pelajar perempuan program Pendidikan Perakaunan hari ini dikuarantin di Kolej Harun Aminurrashid UPSI kerana disyaki dijangkiti H1N1.

Kedua-dua pelajar terbabit disyaki dijangkiti H1N1 selepas membuat pemeriksaan kesihatan apabila dikatakan mengalami demam dan selsema selepas menghadiri satu program di Universiti Utara Malaysia (UUM), 25 Julai lalu.

Sebaik sahaja disahkan kedua-duanya dikuaratin, kesemua peserta yang mengikuti program tersebut telah diminta membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan UPSI dan hasil daripada pemeriksaan tersebut menunjukkan tidak ada yang dikuarantin selain daripada dua pelajar terbabit.

Kedua-dua pelajar terbabit dilaporkan akan membuat pemeriksaan susulan esok.

Media sebelum ini melaporkan penutupan beberapa Institusi Pengajian Tinggi, Kolej dan sekolah apabila beberapa pelajar didapati positif jangkitan H1N1 termasuk UUM yang membatalkan semua kuliah dan hanya akan dibuka semula pada 1 Ogos ini berikutan beberapa pelajarnya terkena jangkitan penyakit seperti influenza (ILI).

“Hanif tak mungkin belot” – Akmal

Tanjong Malim, 27 Julai – Dakwaan Ketua Penerangan ynag mengatakan terdapat usaha menarik Exco Kesenian & Kebudayaan MPP, Mohd Hanif Abd Rahman menyertai Pro Kualiti menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan pimpinan Pro Kebajikan.

Terbaru, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP, Akmal Madzir membidas pihak yang melakukan usaha tersebut dan yakin rakannya itu tidak akan mengkhianati Pro Kebajikan.

Beliau ketika ditemui petang tadi mengatakan Hanif bukan seorang yang mudah dipengaruhi dan beliau tidak mungkin berbuat demikian.

“Saya kenal dia, dan saya tahu apa yang berlaku. Beliau tidak mungkin belot dalam keadaan yang beliau sendiri sedar bahawa pihak di sana semakin hilang pengaruh”,jelasnya.

Beliau walau bagaimanapun mengakui terdapat usaha tersebut sejak kebelakangan ini namun Hanif dikatakan tidak pernah terpengaruh dengan usaha tersebut apatah lagi menyatakan hasrat untuk menyertai Pro Kualiti.

“Perkara itu memang berlaku tetapi beliau sehingga kini masih merujuk kepada kita dalam setiap tindakan yang ingin dibuat”,katanya.

Tambahnya lagi, “Kita di pihak Pro Kebajikan tidak pernah merasakan ini sesuatu yang menggugat kedudukan Pro Kebajikan dan saya sendiri secara peribadi yakin, Hanif tidak mungkin belot”.

Isu Hanif : Pro Kebajikan nafi, anggap hanya pandangan peribadi Ketua Penerangan

Tanjong Malim, 27 Julai – Susulan kenyataan Ketua Penerangan Pro Kebajikan yang mendakwa wujud usaha menarik wakil MPP Pro Kebajikan, Mohd Hanif Abd Rahman, Exco Kesenian & Kebudayaan MPP UPSI menyertai Pro Kualiti, Majlis Tertinggi Pro Kebajikan hari ini menafikan perkara tersebut dan menganggap kenyataan tersebut sebagai dakwaan peribadi Ketua Penerangan.

Setiausaha Agung Pro Kebajikan yang menjelaskan tentang perkara tersebut mengatakan Majlis Tertinggi Pro Kebajikan tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan menganggap apa yang didakwa Ketua Penerangan itu sebagai dakwaan peribadi beliau.

“Pro Kebajikan tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan kita anggap dakwaan itu hanya dakwaan peribadi beliau berdasarkan maklumat yang beliau terima”, jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan Pro Kebajikan akan mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan perkembangan tesebut.

“Buat apa kita nak buat mesyuarat, itu hanya ura-ura dan Hanif sehingga sekarang masih merujuk kepada kita dalam setiap keputusan yang beliau nak buat”,katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pro Kebajikan mendakwa wujud usaha menarik Hanif menyertai Pro Kualiti melalui maklumat risikan yang diterimanya.

UPSIkini cuba mendapatkan kenyataan rasmi Hanif berhubung perkara tersebut namun masih gagal sehingga hari ini.

July 25, 2009

Pro Kebajikan dakwa ada usaha tarik Hanif sertai Pro Kualiti

Tanjong Malim, 25 Julai – Pro Kebajikan hari ini mengeluarkan kenyataan melalui Ketua Penerangannya mendakwa Pro Kualiti berusaha untuk menarik Exco Kesenian & Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Hanif Abd Rahman untuk menyertai mereka.

Beliau yang menjelaskan perkara itu berkata, Pro Kebajikan menyedari usaha Pro Kualiti melalui beberapa maklumat risikan yang diterima.

“Pro Kebajikan menyedari akan usaha mereka ini namun kita yakin kedudukan kita tidak akan tergugat”,jelasnya ketika ditemui selepas menghadiri satu program di sini semalam.

Hanif dikatakan sering dijemput menghadiri beberapa pertemuan MPP Pro Kualiti bagi membincangkan beberapa program MPP tetapi tidak bagi ahli MPP Pro Kebajikan yang lain.

Keadaan ini menimbulkan spekulasi mengatakan Hanif sudah beralih angin atas sebab tekanan beberapa pihak terhadapnya.

Rakan beliau yang juga merupakan ahli MPP Pro Kebajikan, Norhisham Che Hamid ketika ditanya enggan memberi sebarang komen berhubung perkara tersebut.

Untuk rekod, Hanif yang merupakan calon Pro Kebajikan menang dalam PRK lalu di kerusi Fakulti Sains & Teknologi dengan jumlah undian sebanyak 1389 undi.

July 23, 2009

3 nama ahli parlimen dipilih untuk adu kes Audi

Tanjong Malim, 23 Julai – Pro Kebajikan yang bercadang untuk membawa kes Audi ke parlimen tempoh hari mengumumkan 3 ahli parlimen sudah dipilih untuk membangkitkan isu itu di parlimen.

Setiausaha Agung Pro Kebajikan dalam kenyataannya hari ini mengumumkan 3 nama ahli parlimen telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria dan akan membuat pertemuan dengan mereka dalam masa terdekat.

Meskipun begitu katanya, Pro Kebajikan masih menunggu sekiranya ada tindakan yang diambil oleh pihak UPSI untuk membuat penjelasan berkenaan isu tersebut.

“Kita telah menyenaraikan 3 nama ahli parlimen dan pertemuan akan dibuat dengan mereka selepas ini untuk bincang isu ini terlebih dahulu” katanya.

“Tapi kita juga menunggu kalau ada penjelasan yang dibuat oleh pihak UPSI berkenaan isu tersebut”, tambahnya lagi.

Beliau walau bagaimanapun enggan menamakan ahli-ahli parlimen yang dipilih.

“Siapa yang dipilih itu tidak boleh diumumkan kerana ada sebab-sebab yang perlu kita jaga”, jelasnya.

Tindakan untuk membawa kes tersebut ke parlimen diambil selepas Pro Kebajikan mencabar beberapa pihak melaporkan kes tersebut ke pihak atasan namun sehingga kini belum ada apa-apa tindakan dibuat.

Pro M beri isyarat positif hasrat Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 23 Julai – Wakil Pro Kebajikan UPSI yang dihantar mengadakan rundingan bersama Pro Mahasiswa Nasional membawa khabar positif berkenaan hasrat Pro Kebajikan yang ingin menyertai Pro M.

Dalam maklum balas yang diberikan, Pro M dikatakan menyambut baik hasrat Pro Kebajikan tersebut.

Ketua Penerangan Pro Kebajikan UPSI dalam satu kenyataan yang dibuat petang semalam mengatakan proses rundingan ini akan diteruskan secara berperingkat kerana keputusan yang bakal diumumkan memerlukan perancangan dan kajian yang teliti.

“Proses rundingan bersama Pro M perlu diadakan berperingkat-peringkat supaya keputusan yang bakal dibuat memerlukan perancangan dan kajian yang teliti”, katanya.

“Berdasarkan itu, langkah awal telah pun diambil dan Pro M memberi isyarat positif tentang hasrat kita ini, maka di pihak Pro Kebajikan kita akan mangambil tindakan untuk langkah yang seterusnya”, tambahnya lagi.

Terdahulu Pro Kebajikan manyatakan hasrat mereka untuk menyertai Pro M selepas diusulkan Biro Politik Pro Kebajikan yang melihat beberapa persamaan antara Pro M dan Pro Kebajikan UPSI.

July 22, 2009

56% sokong Jawatan TNC HEP&A diberi kepada Prof Shah

Tanjong Malim, 22 Julai – Undian yang dijalankan UPSIkini untuk melihat peratus sokongan Jawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) diberikan kepada penyandangnya Prof. Dr Shaharudin Abd Aziz untuk tempoh 2 tahun lagi mencatatkan peratus setuju sebanyak 56% berbanding tidak setuju sebanyak 43%.

Undian yang dijalankan sejak ura-ura jawatan tersebut bakal disambung beliau mendapat perhatian sebanyak 66 pengundi yang melayari UPSIkini sejak pengundian tersebut dibuka 2 Julai lalu.

Selepas undian tersebut ditutup 20 Julai lalu, peratusan setuju diwakili oleh 37 pengundi manakala tidak setuju, 29 pengundi. Perbezaan 8 pengundi memperlihatkan peratusan sokongan kepada beliau untuk terus memegang jawatan tersebut belum benar-benar kukuh.

Beberapa faktor yang dilihat mendorong pengundi setuju untuk beliau menyambung jawatan tersebut adalah kerana penampilan beliau yang dilihat tidak begitu keras berbanding penyandangnya sebelum ini.

Faktor lain adalah berdasarkan rekod kerja beliau yang sering kali hadir dalam program-program mahasiswa dan memperlihatkan kesungguhannya mendampingi mahasiswa.

Namun begitu, peratusan 43% juga dilihat agak besar dan tidak mempunyai perbezaan yang ketara dengan peratus undi setuju. Antara faktornya adalah kerana keterbukaan beliau dalam memberi peluang kepada mahasiswa bersuara di samping menenggelamkan populariti pihak tertentu dalam politik mahasiswa UPSI.

Selain itu, kecenderungan beliau untuk menyekat beberapa program anjuran mahasiswa yang tidak selari dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga menyumbang kepada peratusan tidak setuju seperti penarikan semula kebenaran menyertai Ko-SPIN 09baru-baru ini.

Walau bagaimanapun harapan ramai pihak untuk melihat kepimpinan beliau yang lebih adil dan terbuka dalam menerajui JHEPA dalam tempoh 2 tahun akan datang amatlah tinggi selepas beliau disahkan menyambung jawatan tersebut beberapa minggu lalu.

Kurang membaca antara punca Ain gagal kupas isu dengan baik

Tanjong Malim, 22 Julai – “Mungkin beliau kurang membaca dan tidak memahami isu yang dibincangkan”. Begitulah komen sebahagaian besar pendengar yang mengikuti slot rakaman Suara Siswa di Dewan SITC semalam.

Komen tersebut menjurus kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Nor ‘Ain A. Razak yang tampil sebagai ahli panel dalam segmen Suara Siswa (rakaman) malam semalam.

Beliau yang menggantikan Hairie dikatakan kurang berpengetahuan dan gagal membawa tajuk yang dibincangkan dengan baik.

Rata-rata yang menonton segmen tersebut mengeluarkan komen yang negatif apabila beliau dikatakan ketandusan idea dan hujah dalam mengupas isu yang dibincangkan.

Salah seorang mahasiswa yang mengikuti segmen tersebut, Amirul, pelajar semester akhir UPSI berkata ‘Ain kurang bersedia dan tidak benar-benar memahami tajuk yang dibincang antara faktor yang menyebabkan beliau tidak begitu baik dalam mengeluarkan hujah.

“Saya kira sepanjang beliau bercakap, beliau kelihatan agak kalut dan tidak benar-benar memahami isu dan persoalan yang dilontarkan yang menyebabkan beliau gagal mengeluarkan hujah dengan baik”, ulasnya.

“Saya juga ingin menasihatkan beliau agar membuat ‘homework’ terlebih dahulu, lebih kerap membaca, sebelum beraksi di pentas kerana beliau bukan sahaja membawa imej beliau semasa berucap memberi pendangan tetapi mewakili UPSI secara keseluruhannya dan orang akan menilai tahap kita”,katanya lagi.

Segmen Suara Siswa yang diadakan secara rakaman itu membincangkan tajuk ‘Pendidikan di Malaysia : Ke hadapan atau ke belakang” turut disertai ahli panel dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa.

MPP Pro Kebajikan turun padang, sedia dengar masalah mahasiswa

Tanjong Malim, 22 Julai – Wakil ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan bersedia untuk turun padang bagi mendengar masalah mahasiswa secara lebih dekat dengan menganjurkan program berkala “Hari Bersama Mahasiswa” yang bermula hari ini.

Program anjuran Biro Kebajikan dan Kemsyarakatan itu mengambil langkah ke depan untuk cuba menyelesaikan masalah mahasiswa dengan kerjasama beberapa biro lain seiring dengan objektif program untuk menjaga kebajikan mahasiswa.

Antara biro yang turut serta dalam program ini adalah Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah, Biro Akademik & Kerjaya, Biro Kesenian & Kebudayaan, dan Biro Perpaduan & Integrasi.

Program tersebut yang dijadual dibuat pada setiap hari Rabu bertempat di Kaunter Bitara Siswa, Bangunan Bitarasiswa, akan memberi ruang kepada mahasiswa untuk membuat sebarang aduan dan cadangan yang menjurus kepada kebajikan mahasiswa.

Dengan tema “Mahasiswa Kebajikan, Bersuaralah Bersama Kami” program tersebut akan mula diadakan secara rasmi pada hari ini jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang di Kaunter Bitara Siswa.

Suara Siswa : Hairie sah diketepi sebagai ahli panel

Tanjong Malim, 22 Julai – Program suara siswa yang bersiaran langsung dari Dewan SITC UPSI semalam mengesahkan Mohamad Hairie Abdullah, YDP Majlis Perwakilan Pelajar UPSI diketepikan daripada menjadi ahli panel meskipun isu yang dibincangkan berkait rapat dengan bidang pendidikan.

Seperti yang dilaporkan UPSIkini sebelum ini, pihak penganjur memilih untuk membawa dua pemimpin mahasiswa dari luar iaitu YDP MPM Universiti Malaya dan YDP MPP Universiti Islam Antarabangsa sebagai ahli panel yang mewakili mahasiswa dan Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob mewakili ahli akademik.

Kegagalan Hairie mendapat tempat dalam segmen tersebut sekali lagi mengesahkan kenyataan beberapa pihak yang mendakwa beliau semakin hilang pengaruh.

Terdahulu beliau dijadual menjadi ahli panel dalam slot rakaman Suara Siswa pada sebelah petang namun rakaman tersebut terpaksa dibatalkan kerana ketiadaan pendengar di kalangan mahasiswa meskipun pihak penganjur menunggu sehingga jam 5 petang.

Berikutan itu, pihak penganjur terpaksa menunda slot tersebut pada sebelah malam selepas segmen Suara Siswa yang dibuat secara langsung sebelum meneruskan slot rakaman tersebut.

Suara Siswa yang berlintas langsung dari Dewan SITC yang membincangkan isu mansuh PPSMI semalam, dilaporkan berjaya mencapai sasaran dan dikupas dengan baik oleh ahli panel jemputan.

July 20, 2009

Suara Siswa bincang isu PPSMI, Hairie berkemungkinan diketepikan sebagai ahli panel

Tanjong Malim, 20 Julai – Segmen bual bicara ‘Suara Siswa’ yang bakal diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan membawa isu Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumum dimansuhkan baru-baru ini berkemungkinan tidak mengundang Mohd Hairie Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sebagai ahli panel meskipun UPSI menjadi tuan rumah.

Sebaliknya, pihak penganjur dikatakan akan membawa 2 orang ahli panel luar iaitu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Universiti Malaya, saudara Ridzuan dan Yang Dipertua MPP Universiti Islam Antarabangsa sebagai wakil siswa. Manakala Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob pula dijemput sebagai wakil ahli akademik.

Meskipun isu PPSMI berkait rapat dengan bidang pendidikan yang sepatutnya dibincangkan oleh mereka yang berlatarkan kursus pendidikan namun perkara itu tidak menjadi kayu ukur pihak penganjur.

Menurut sumber, pihak penganjur lebih gemar mengundang mereka yang lebih kritikal dan bijak dalam mengulas isu yang dibincang supaya sepanjang perbincangan, pendengar akan lebih memahami tajuk yang diutarakan dan atas sebab itu pemilihan ahli panel tidak berdasarkan latar belakang.

Perkembangan ini menjadi satu lagi tamparan kepada Hairie sekiranya beliau benar-benar diketepikan sebagai ahli panel yang sebelum ini dikritik ramai pihak apabila kredabiliti dan ketokohannya sebagai wakil pelajar tidak begitu menyerlah sejak memegang jawatan itu sembilan bulan lalu.

Sebelum ini beliau pernah diundang dalam satu program bual bicara namun dikatakan gagal membawa tajuk yang dibincang dengan baik dan hal ini berkemungkinan menjadi punca mengapa beliau tidak diundang sebagai ahli panel pada kali ini.

Program bual bicara ‘Suara Siswa’ dijadual akan berlangsung di Dewan SITC UPSI pada esok, 21 Julai jam 8.00 malam.

“Saman Harakah kalau tak buat”- Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 20 Julai – Berikutan laporan polis yang dibuat Mohd Raimi Rahim, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2007/08 menafikan bahawa beliau adalah pengirim surat ke Harakah, Pro Kebajikan hari ini mencadangkan kepada beliau untuk menyaman Harakah sekiranya apa yang dipaparkan akhbar terbabit tidak benar dan bukan dari beliau.

Mengulas tentang cadangan itu, Ketua Penerangan Pro Kebajikan menjelaskan, Raimi seharusnya menyaman akhbar terbabit sekiranya kandungan laporan yang dibuat dengan memetik nama beliau sebagai pemberi maklumat tidak benar.

Tindakan menyaman akhbar terbabit akan membolehkan siasatan dibuat dan dibawa ke mahkamah untuk menentukan sama ada apa yang dilaporkan akhbar terbabit benar atau pun tidak.

“Kami di pihak Pro Kebajikan mencadangkan agar beliau ke depan membersihkan nama beliau dan UPSI dengan membuat saman ke atas Harakah dan biar siasatan menyeluruh dibuat sama ada kandungan yang dikeluarkan dalam laporan tersebut benar atau pun tidak”,ulasnya.

“Dengan hanya membuat laporan polis menafikan beliau terlibat dalam menulis surat kepada Harakah mendedahkan perkara terbabit hanya sekadar laporan dan sehingga sekarang kita tak tahu sama ada siasatan telah dibuat atau pun tidak”,tambahnya lagi.

Beliau yang ditemui dalam satu majlis makan malam bersama penyokong Pro Kebajikan turut mempersoalkan apa tindakan yang dibuat selepas Raimi membuat laporan polis berkenaan artikel tersebut.

“Kita sampai sekarang pun tak tahu apa tindakan yang diambil selepas laporan tersebut dibuat, siasatan pun tiada, apa pun tiada, hanya sekadar membuat laporan menafikan dan kita pun tak tahu betul atau tidak kandungan artikel itu”,katanya lagi.

Artikel bertajuk “Presiden MPP UPSI dedah taktik kotor pilihan raya kampus” yang disiarkan akhbar Harakah mendedahkan bagaimana taktik kotor yang dirancang pihak tertentu untuk memastikan calon tajaan mereka menang dalam PRK melalui kiriman sepucuk surat yang dikatakan dihantar oleh Raimi.

July 18, 2009

Isu Audi bakal dibawa ke parlimen

Tanjong Malim, 18 Julai – Isu Auditorium Utama yang digunakan parti Barisan Nasional (BN) untuk program parti tersebut semakin menjadi tumpuan ramai pihak setelah sekeping gambar yang memaparkan bendera BN dan parti-parti komponennya didedahkan beberapa hari lalu.

Berikutan itu, Pro Kebajikan yang mahu isu tersebut dijelaskan kepada seluruh warga UPSI bakal membuat satu tindakan drastik dengan mengheret isu tersebut ke parlimen.



Dalam kenyataan yang dibuat Ketua Penerangannya selepas satu mesyuarat petang semalam, Pro Kebajikan akan membawa isu ini ke parlimen sekiranya pihak UPSI tidak membuat sebarang penjelasan berkenaan isu tersebut.

Menurut beliau, tindakan untuk membawa isu itu ke parlimen dicadangkan ahli Majlis Tertinggi Pro Kebajikan bagi mendesak pihak Kementerian Pengajian Tinggi memberi penjelasan di dalam dewan.

“Kita akan bawa isu ini ke parlimen sekiranya tidak ada sebarang tindakan yang dibuat sama ada di peringkat SSPR atau pun pentadbiran bagi menjelaskan isu ini.

“Tindakan ini diputuskan setelah melihat kes-kes terdahulu yang hanya disenyapkan tanpa ada sebarang siasatan dibuat seperti kes penyelewengan wang MPP sebanyak RM 36 ribu, kes pendedahan yang dibuat mantan YDP MPP dalam Harakah dan beberapa kes lain yang hilang begitu sahaja”,jelasnya.

Ketika ditanya siapa ahli parlimen yang dipilih untuk isu tersebut diadukan, beliau berkata hal itu hanya akan diketahui apabila ahli parlimen terbabit membangkitkannya dalam parlimen nanti.

“Kepada siapa akan kita adukan, akan diketahui apabila ahli parlimen tersebut membangkitkannya dalam dewan nanti”,katanya.

Pro Kebajikan sebelum ini mendesak SSPR UPSI agar kes tersebut segera dibawa ke pihak atasan namun sehingga kini belum ada apa-apa tindakan dibuat SSPR.



July 16, 2009

Mahasiswa : Hairie YDP paling lemah dalam sejarah UPSI

Selepas hampir sembilan bulan menerajui kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI, Mohamad Hairie bin Abdullah didakwa sebagai Yang Dipertua MPP paling lemah dalam sejarah UPSI.

Dalam beberapa tinjauan yang dibuat rata-rata mahasiswa di sini tidak mengenali siapa Hairie meskipun memegang jawatan nombor satu MPP.

Perlantikan Hairie yang dilihat paling tidak demokratik di UPSI antara sebab mengapa beliau tidak begitu dikenali di kalangan mahasiswa. Dengan kemenangan tanpa bertanding di kerusi Fakulti Bahasa, beliau menawarkan diri untuk memegang jawatan YDP setelah disokong beberapa pegawai HEP yang bertindak menjadi perancang utama dalam penyusunan kabinet MPP.

Perlantikan beliau juga dikatakan pertama kali dalam sejarah UPSI apabila kesemua calon Umum yang menang dalam pilihan raya kampus (PRK) lalu diketepikan dalam perebutan jawatan YDP dan diberikan kepada beliau yang hanya menang tanpa bertanding di kerusi fakulti.

Sepanjang tempoh sembilan bulan ini sejak Oktober 2008 tiada apa-apa pembaharuan yang dilakukan beliau melainkan hanya mengulangi corak kepimpinan terdahulu yang suram. Beliau yang turut dilabel sebagai YDP “copy and paste” dikatakan tidak begitu menyerlah berbanding beberapa ahli MPP lain sejak dari awal memegang jawatan tersebut.

Dalam perbandingan yang dibuat beberapa pihak antara Hairie dan YDP sesi lalu, Mohd Raimi Rahim, Hairie dikatakan tidak mempunyai keberanian seperti mana yang ditunjukkan Raimi melalui sepucuk surat yang dikirimkan kepada Harakah.

Nama Raimi mula melonjak setelah pendedahan tersebut dibuat dengan menceritakan bagaimana permainan kotor pihak tertentu terutamanya HEP dalam mengatur perjalanan PRK yang dikatakan menyebelahi pihak Pro Aspirasi dan mengaku mencuri borang pencalonan beberapa calon semasa PRK 2007/08.

Pendedahan tersebut sekali gus membuka mata ramai pihak terutamanya di kalangan mahasiswa dan sehingga kini belum ada sebarang penafian dibuat oleh pihak yang dikaitkan dengan isu tersebut.

Hairie pada ketika ini dikatakan semakin hilang pengaruh dan sering kali dilihat tidak mampu meneruskan tugas-tugas seorang YDP. Timbul juga cakap-cakap yang mengatakan kredabilitinya sebagai YDP turut dipertikai pihak pentadbir dan rakannya dalam MPP.

Rekod satu semester sebelum ini bakal membawa kesan kepada kepimpinan beliau dan rakan-rakan dalam Pro Kualiti dan memberikan kelebihan kepada Pro Kebajikan yang dilihat mempunyai kekuatan dalam kepimpinan mereka.


July 15, 2009

Staf UPSI antara yang terlibat dalam isu Audi

Tanjong Malim, 15 Julai – Spekulasi siapa yang terlibat dan bagaimana program parti Barisan Nasional boleh dijalankan di Auditorium Utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) masih menjadi perbualan warga UPSI hari ini.

Terbaru, UPSIkini dilaporkan oleh seorang sumber, staf UPSI adalah antara individu yang terlibat dalam program tersbut di samping menjadi wakil UPSI bagi menyelaras dan menyediakan peralatan sepanjang program tersebut berlangsung.

Menurut sumber tersebut, program ini dijalankan dengan bantuan beberapa staf yang berada di lokasi bagi memastikan perjalanan program lancar.



Sumber turut mendakwa salah seorang daripada mereka yang terbabit begitu aktif dalam menggerakkan mahasiswa UPSI yang cenderung kepada parti Barisan Nasional melalui pilihan raya kampus dan menjadi agen kepada pihak tertentu dalam melaporkan perkembangan UPSI terutamanya dari segi politik kampus yang melibatkan mahasiswa di sini.

Staf terbabit juga dikatakan mengenali ramai tokoh politik Barisan Nasional dan pegawai pegawai kerajaan di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sejak Dato’ Mustapha Mohamad menjadi menteri di kemenerian tersebut.

Katanya lagi, gambar yang didedahkan hanya satu daripada beberapa gambar yang diambil daripada program tersebut dan mendakwa lebih banyak gambar yang disimpan termasuk gambar yang menunjukkan individu-individu yang terlibat.

Sumber walau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu yang terlibat kerana beranggapan belum tiba masanya untuk mendedahkan semua maklumat buat masa ini. Namun, beliau bersedia untuk memberi lebih banyak maklumat berkenaan program “belakang tabir” yang dijalankan di UPSI dan yang mempunyai kaitan dengan UPSI.


Biasiswa KPM masuk Khamis ini

Tanjong Malim, 15 Julai – Selepas usaha terus menerus Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) memastikan masalah kewangan pelajar dapat dikurangkan di UPSI, berita baik buat pemegang biasiswa KPM diperolehi pada sesi ini apabila wang biasiswa mereka akan masuk pada Khamis ini.

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP UPSI, saudari Adriyani dalam kenyataannya mengatakan, maklumat yang diperolehi daripada pihak berkaitan memaklumkan, wang bagi pemegang biasiswa KPM bakal dikreditkan ke akaun mereka Khamis ini selepas beberapa usaha mempercepatkan proses tersebut dibuat.

Biasiswa KPM yang sebelum ini sering dimasukkan lewat ke akaun pelajar menimbulkan banyak rungutan di kalangan mereka apabila mereka terpaksa membuat pinjaman beberapa kali daripada HEP dan rakan-rakan.


PTPTN sebahagian pelajar semester 2 dan 3 masuk lewat, dijangka Ogos

Tanjong Malim, 15 Julai – Wang pinjaman PTPTN bagi sebahagian pelajar semester 2 dan 3 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih belum dikreditkan ke akaun mereka akibat masalah teknikal dijangka akan dimasukkan pada Ogos.

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan, saudara Zulhilmi yang menjelaskan perkara terbabit mengatakan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni berjaya mengesan masalah yang berlaku. Katanya, pelajar yang mengalami masalah ini belum menghantar lampiran A -perakuan penerimaan perjanjian PTPTN dan menyebabkan pihak PTPTN terpaksa menangguhkan pemberian wang tersebut atas sebab dokumen yang diperlukan tidak lengkap.

Namun, masalah tersebut akan segera diatasi dan pelajar terbabit akan menerima wang mereka awal Ogos ini.

Dalam penjelasan ringkas tersebut, beliau turut meminta agar mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan segera membuat permohonan pinjaman sementara di Unit Kebajikan Pelajar di Bangunan JHEPA.


July 14, 2009

Ramai persoal isu gambar Audi

Tanjong Malim, 14 Julai – Isu berkenaan gambar Auditorium Utama di UPSI yang menjadi tempat berlangsungnya Bengkel Gerak Kerja Jentera Barisan Nasional mendapat reaksi banyak pihak apabila persoalan demi persoalan ditimbulkan sebaik sahaja gambar tersebut didedahkan UPSIkini.

Antara yang dipersoalkan oleh beberapa pengirim e-mel kepada UPSIkini, siapa yang menjadi koordinator antara pihak BN dan UPSI sehingga dengan mudah program kepartian sedemikian boleh diadakan di dalam UPSI.

Salah seorang pengirim emel tersebut mendakwa program sedemikian pernah beberapa kali diadakan namun tidak ada yang tahu bagaimana kelulusan diperolehi dan berkemungkinan besar mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian atau Naib Canselor.

Berdasarkan gambar yang disiarkan, ramai berpendapat program tersebut mungkin diadakan semasa pelajar bercuti sama ada cuti semester atau pertengahan semester dan berkemungkinan juga semasa hujung minggu.

Namun tarikh sebenar program tersebut dijalankan masih lagi menjadi tanda tanya.

Pro Kebajikan sebelum ini mengeluarkan kenyataan mencabar Sakretariat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SSPR) UPSI membuat laporan ke pihak atasan bagi menyiasat isu tersebut.

Sehingga kini, belum ada apa-apa reaksi balas daripada SSPR berhubung dengan gesaan tersebut.

Selain itu, pihak Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) yang dikatakan antara pihak yang bertanggungjawab dalam memberi kebenaran menggunakan premis-premis dalam UPSI juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu ini.


Pro Kebajikan cabar SSPR UPSI lapor isu AUDI jadi tempat bengkel BN ke pihak atasan

Tanjong Malim, 14 Julai – Beberapa jam selepas maklumat tentang gambar yang menunjukkan Auditorium Utama digunakan sebagai tempat Bengkel Gerak Kerja Jentera Barisan Nasional, Pro Kebajikan melalui Setiausaha Agungnya mencabar Sakretariat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah UPSI membuat laporan ke pihak atasan.

Menurut beliau, gambar yang didedahkan jelas menunjukkan UPSI pernah memberi ruang kepada parti politik tertentu menggunakan dewan dan peralatan yang ada di UPSI untuk aktiviti politik.

“Gambar itu jelas menunjukkan UPSI pernah memberi ruang aktiviti politik parti-parti tertentu dibuat di kawasan UPSI dan bagaimana ini boleh berlaku?”,soalnya.

“Kami di pihak Pro Kebajikan mahu isu ini dijelaskan dan kami cabar SSPR UPSI segera melaporkan kes ini kepada pihak atasan”,katanya lagi.

Dalam pada itu, beberapa mahasiswa yang diminta mengulas berkenaan gambar tersebut turut memberi reaksi yang sama.

Amin, pelajar tahun dua UPSI yang diminta mengulas perkara tersebut berkata, UPSI tidak sepatutnya memberi ruang dengan sewenang-wenangnya kepada parti politik untuk menganjurkan program mereka di sini meskipun mereka itu parti yang memerintah.

“UPSI tidak sepatutnya memberi ruang kepada mereka (BN) untuk buat program mereka di sini meskipun mereke itu parti yang memerintah negara ini”katanya.

Tambahnya lagi”kita juga nak tahu bagaimana Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) boleh beri kebenaran menggunakan AUDI untuk program tersebut dan perkara ini harus disiasat”.

JPPHB yang berkuasa dalam memberi kebenaran menggunakan dewan-dewan dan premis-premis di dalam UPSI dikatakan antara pihak yang bertanggungjawab dalam isu tersebut.


July 13, 2009

Eksklusif : Audi Utama pernah jadi tempat bengkel BN

Tanjong Malim, 13 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menjadi institusi pengajian tinggi terulung negara hari ini digemparakan dengan sekeping gambar yang menunjukkan Auditorium Utama pernah menjadi tempat bagi bengkel jentera Barisan Nasional.

Gambar tersebut yang dikirim kepada UPSIkini turut memaparkan bendera BN dan tulisan “BENGKEL GE BARISAN NASIONAL” di sebuah papan kenyataan yang terlindung oleh bendera-bendera parti komponen BN.



Pengirim yang menjelaskan tulisan tersebut mengatakan ayat penuh tulisan yang terpapar di papan kenyataan tersebut adalah “BENGKEL GERAK KERJA JENTERA BARISAN NASIONAL”.

Pendedahan gambar tersebut dijangka bakal menjadi satu lagi isu hangat di kalangan warga UPSI yang menunjukkan UPSI pernah menjadi tempat yang digunakan oleh parti-parti tertentu dalam aktiviti politik mereka.

Semua IPTA juga sebelum ini dilarang sama sekali untuk dijadikan tempat aktiviti-aktiviti berkaitan politik dan secara jelas bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

UPSIkini sehingga kini sedang berusaha mendapatkan komen dari beberapa pihak berkaitan gambar tersebut.


Pro Kebajikan berminat sertai Pro Mahasiswa Nasional

Tanjong Malim, 12 Julai – Majlis Tertinggi Pro Kebajikan UPSI yang bermesyuarat malam tadi bagi membincangkan hala tuju Pro Kebajikan selepas penyambungan kontrak Prof Dr Shaharudin Abd Aziz sebagai Timbalan Naib Canselor HEP&A menyatakan hasrat mereka menyertai Pro Mahasiswa Nasional.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Setiusaha Agung Pro Kebajikan sejurus selepas mesyuarat tersebut berakhir di sebuah kediaman di sini.

Mengulas tentang kenyataan tersebut, Setiausaha Agungnya dipetik sebagai berkata hasrat tersebut dipersetujui oleh sebahagian besar ahli mesyuarat yang hadir selepas diusulkan oleh Biro Politik Pro Kebajikan.

“Kita baru menyampaikan hasrat untuk sertai Pro Mahasiswa selepas Biro Politik mengusulkan perkara ini dalam mesyuarat yang lalu dan kajian terperinci akan dibuat sebelum keputusan muktamad dikeluarkan secara rasmi”,katanya.

Ketika ditanya adakah Pro Kebajikan telah membuat pertemuan dengan pimpinan Pro Mahasiswa, beliau menjawab “belum ada pertemuan rasmi untuk membincangkan secara khusus berkenaan perkara ini dan mungkin selepas ini”.

Ketua Biro Politik Pro Kebajikan dalam penjelasannya mengatakan usul tersebut dibuat selepas mangambil kira pandangan beberapa rakan mahasiswa di kampus lain dan matlamat perjuangan yang tidak banyak beza antara Pro Kebajikan dan Pro Mahasiswa di kampus-kampus lain.

“Usul ini dikemukakan selepas mendapat pandangan daripada rakan-rakan di kampus lain dan melihat kepada matlamat perjuangan yang hampir sama antara kami”,katanya.

Tambahnya lagi,”keputusan mungkin positif dan mungkin negatif, bergantung kepada kajian dan pertemuan dengan pihak Pro Mahasiswa Nasional selepas ini, kita tunggu dan tengoklah macam mana perkembangannya nanti”.

Desas-desus Pro Kebajikan menyertai Pro Mahasiswa mula diperkatakan sejak Pilihanraya Kampus (PRK) yang lalu apabila sekumpulan pimpinan Pro Mahasiswa menemui calon-calon Pro Kebajikan yang menang dalam PRK tersebut.

Namun Pro Kebajikan menolak spekulasi mengatakan mereka sebahagian daripada Pro Mahasiswa dan menjelaskan pertemuan tersebut hanya pertemuan biasa untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan.

July 12, 2009

Ko-SPIN ’09 berjaya, wakil Pro Kebajikan hadir tanda sokongan

Tanjong Malim, 12 Julai – Meskipun tidak dibenar hadir sebagai wakil UPSI, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari Pro Kebajikan tetap hadir tanda menyokong program berbentuk ilmiah di samping mengambil peluang mendapatkan maklumat secara lebih jelas perkara yang dibincang dalam kongres tersebut semalam.

Program yang berlangsung seperti yang dirancang turut dihadiri pemimpin mahasiswa dari seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga beberapa Institut Perguruan (IPG). Turut kelihatan kenderaan rasmi beberapa IPG digunakan menghantar wakil IPG masing-masing ke kongres yang dijalankan di Auditorium Muzium, Shah Alam.

Wakil Pro Kebajikan yang hadir ke kongres tersebut menyifatkan program tersebut sebagai pencetus kepada kewibawaan mahasiswa dalam membincangkan isu penting dalam negara dan harus diteruskan di peringkat IPT.

“Pada saya, program ini mempunyai kelas yang sejajar dengan kedudukan mahasiswa apabila isu masa depan dalam hal berkaitan pendidikan dibincangkan secara ilmiah.

“Ini membuktikan bahawa mahasiswa juga mempunyai peranan dan sama-sama memikul tanggungjawab kepada proses pembikinan dasar di samping membawa semua hadirin yang hadir memahami peri pentingnya pendidikan terutamanya Pendidikan Islam kepada anak bangsa”,ulasnya.

Ketika ditanya tentang isu penarikan semula kebenaran mewakili UPSI ke kongres tersebut, beliau berkata “Majlis Tertinggi Pro Kebajikan memutuskan untuk beberapa wakil menemui pegawai HEP yang berkaitan dan kita akan menjadikan isu ini sebagai salah satu bukti mengapa kadang-kala kita bercanggah pendapat dengan HEP dan KPT”,jalasnya.

Program yang berakhir petang semalam dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato Khalid Ibrahim.

July 10, 2009

Pelajar perempuan DPLI bimbang tinggal di Studio Prima, PCDC

Tanjong Malim, 10 Julai – Beberapa pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang kini menghuni di Studio Prima (Kota Malim Prima) dan Proton City Development Corporation (PCDC) melahirkan rasa bimbang apabila mendakwa kedudukan rumah yang dihuni mereka kurang selamat.

Sekumpulan pelajar perempuan di Studio Prima yang ditemui mengadu kedudukan rumah mereka yang dikatakan tidak begitu selamat apabila jalan masuk ke rumah mereka di kelilingi bangunan kosong dan tidak digunakan.

“Kami berasa takut untuk keluar terutamanya pada waktu malam untuk mencari makanan dan barang-barang keperluan kerana keadaan dan suasana sekeliling yanag agak membimbangkan dengan dikelilingi bangunan-bangunan kosong dan kelihatan juga apekerja-pekerja asing yang tinggal di sekitar kawasan ini”,kata salah seorang daripada mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan pelajar perempuan yang tinggal di PCDC mengadu tentang perkara yang sama apabila kedudukan rumah yang didiaminya berhadapan dengan sebuah rumah yang dihuni oleh sekumpulan pekerja Bangladash. Mereka yang tinggal di aras tiga flat terbabit bertambah bimbang apabila mendapati di kedua-dua aras di bawah rumahnya turut terdapat rumah-rumah yang didiami oleh pekerja Bangladash.

“Kami memang sangat risau dengan kedudukan rumah kami yang dikelilingi pekerja Bangladash sehinggakan setiap kali kami turun tangga, macam-macam perasaan negatif timbul dalam hati kami, bimbang akan keselamatan diri”, jelas salah seoarang daripada mereka.

Katanya lagi"terdetik juga untuk mencari rumah lain tapi kami tak tahu nak cari di mana".

Keadaan sebaliknya pula bagi pelajar lelaki. Mereka yang ditemui berasa selesa dengan kedudukan rumah di Studio Prima dan PCDC yang berhampiran dengan dewan kuliah yang terletak di Proton City.

“Kami rasa inilah kediaman paling strategik (Studio Prima) dengan tempat kuliah kami kerana jaraknya yang dekat dan suasana yang lebih nyaman berbanding di luar”,kata salah seorang daripada mereka.

“Cuma kadang-kadang rasa susah sikit bila air sering terputus dan kami terpaksa angkut air dari bawah tapi kami faham sebab kami dimaklumkan rumah di sini dulu kurang penghuni dan mungkin sebab itu kerja-kerja penyelenggaraannya juga kurang,”tambahnya lagi.

Ahad lalu, proses pendaftaran penginapan pelajar-pelajar DPLI di Studio Prima dan PCDC juga dikatakan kecoh apabila ada pelajar tidak mempunyai rumah untuk menginap dan terpaksa berpindah-randah akibat kekurangan rumah dan kesilapan teknikal dalam menentukan rumah-rumah mereka.

Berikutan itu beberapa kumpulan pelajar mengambil keputusan menyewa di luar.

Pengambilan pelajar DPLI pada sesi kali ini merupakan yang terbanyak berbanding sebelum-sebelum ini apabila seramai hampir 2500 orang pelajar mendaftar 2 Julai lalu.

Razik nafi jadi dalang

Tanjong Malim, 10 Julai – Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Razik Khalid menafikan tohmahan yang mengatakan beliau menjadi dalang dalam pembatalan kebenaran menghantar wakil ke Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN ’09).

Dalam penjelasan beliau kepada wakil Pro Kebajikan, beliau berkata tidak ada langsung usaha yang dibuat beliau dalam mempengaruhi pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menghalang UPSI menghantar wakil ke program tersebut.

“Saya hanya memaklumkan kepada beberapa rakan MPP bahawa pihak KPT tidak membenarkan UPSI menghantar wakil atas nama UPSI ke kongres tersebut, itu saja”,jelasnya.

Tambahnya lagi,”saya tak tahu macam mana boleh timbul khabar mengatakan saya pula menjadi punca kepada arahan tersebut”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya ketika memberi respon terhadap penafian Razik mengatakan isu siapa jadi dalang bukan masalah tetapi yang ingin diketahui kenapa tak benarkan untuk hantar wakil.

“Kita tak pernah fikir dan bincang siapa dalang kepada isu ini tetapi yang kita nak tahu apa sebab tak beri kebenaran untuk hantar wakil ke program tersebut”,katanya,

Terdahulu, HEP UPSI pada awalnya memberi kebenaran menghantar wakil ke kongres tersebut bagi memenuhi jemputan pihak penganjur tetapi ditarik semula kelmarin atas arahan KPT.

Prof Dr. Shaharudin sambung jadi TNC HEP

Tanjong Malim, 10 Julai – Spekulasi siapa yang akan menyambung tugas sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni terjawab apabila Prof. Dr. Shaharudin Abd Aziz disambung kontrak untuk tempoh 2 tahun lagi bagi menyandang jawatan tersebut.

Keputusan tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) beberapa hari lalu.

Menurut sumber, beliau setakat ini dikatakan bersetuju untuk memegang jawatan tersebut. Namun sehingga kini, belum ada apa-apa kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh beliau berhubung perkara tersebut.

Pro Kebajikan yang dihubungi bagi memberi pandangan tentang perkembangan ini megatakan keputusan ini sudah dijangka Pro Kebajikan dan Pro Kebajikan mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan beliau dalam perkara yang boleh memberi kebaikan kepada mahasiswa dan universiti.

Wakilnya, Akmal Madzir, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, turut merakamkan ucapan tahniah kepada beliau atas perlantikan tersebut.

“Saya mewakili seluruh kepimpinan Pro Kebajikan mengucapkan tahniah kepada beliau atas perlantikan tersebut dan berharap dalam tempoh 2 tahun akan datang kita dapat bekerjasama untuk memartabatkan UPSI”,ucapnya.

Ketika mengulas tentang hubungan wakil Pro Kebajikan dalam MPP dengan Shaharudin, beliau menjawab,”secara dasarnya kita tidak ada masalah dengan beliau dan beliau sendiri mengiktiraf kita sebagai wakil pelajar, cuma dalam beberapa perkara kita bercanggah pendapat namun kita tetap membuka ruang perbincangan dan mungkin selepas ini kita akan gunakan ruang tersebut lebih kerap dalam menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul”,jelasnya.

Tambahnya lagi,”kami di pihak Pro Kebajikan juga mengiktiraf beliau sebagai TNC HEP dan kita juga menyanjung usahanya menaikkan nama UPSI serta perubahan yang ingin dilaksanakan dan kita sedia membantu dalam perkara-perakara yang tidak bertentangan dengan prinsip yang kita pegang”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan dilaporkan bakal mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkembangan tersebut dalam masa terdekat.

Shaharudin sebelum ini telah memegang jawatan TNC HEP selama 2 tahun bermula Jun 2007 dan akan meneruskan tugas tersebut untuk tempoh 2 tahun lagi setelah disambung kontrak oleh KPT.

July 9, 2009

“Jumpa KPT tanya sebab halang hantar wakil”- Akmal

Tanjong Malim, 9 Julai – Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Akmal Madzir, berhasrat untuk berjumpa dengan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendapatkan penjelasan mengapa UPSI dihalang untuk menghantar wakil ke Ko-SPIN.

Beliau yang mengeluarkan kenyataan tersebut berkata “kita nak tahu apa yang sebenarnya menjadi sebab kepada halangan tersebut dan kita juga nak tahu apakah program tersebut dilihat sebagai program yang negatif dari pandangan KPT atau ada motif politik”.

Akmal turut menambah “pertemuan itu mungkin akan dibuat selepas Ko-SPIN berlangsung kerana kita telah nyatakan komitmen untuk menghadiri program tersebut atas nama UPSI meskipun KPT menghalang UPSI menghanar wakil”

Akmal adalah antara ahli MPP yang tidak bersetuju dengan tindakan HEP membatalkan persetujuan untuk menghantar wakil ke kongres tersebut.

Mengulas tentang hasrat tersebut, Pro Kebajikan mencadangkan agar pihak penganjur, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) untuk turut membuat perkara yang sama bagi mendapatkan penjelasan mengapa wakil mahasiswa UPSI dihalang untuk menjadi wakil UPSI ke kongres tersebut.

Terdahulu, UPSIkini melaporkan pihak HEP UPSI menarik semula kebenaran menghantar wakil UPSI ke kongres tersebut atas arahan KPT.

Razik punca KPT halang UPSI hantar wakil ke Ko-SPIN

Tanjong Malim, 9 Julai – Arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI supaya tidak menghantar wakil daripada UPSI ke Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN ’09) didalangi Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Mohd Razik Khalid

UPSIkini yang dimaklumkan oleh sumber mengatakan Razik telah menghubungi pihak KPT dan meminta agar KPT membuat arahan kepada HEP supaya tidak menghantar wakil daripada UPSI ke kongres tersebut.

Razik juga dikatakan antara wakil MPP yang menjadi sumber pihak KPT dalam menyampaikan maklumat berkenaan perkembangan di UPSI.

Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya ketika dimaklumkan tentang perkara ini mengecam tindakan Razik yang bersikap prejudis dan menghalang usaha ke arah memupuk budaya intelektual di UPSI.

“Kita sendiri tak faham apakah kesalahan menyertai program tersebut dan kenapa dia (Razik) bersikap sedemikian sedangkan penganjur program tersebut merupakan sebuah NGO yang sah dan AUKU yang dipinda baru-baru ini pun membenarkan mahasiswa melibatkan diri di dalam mana-mana NGO.

“UPSI seperti yang semua maklum perlu ke depan apabila isu-isu melibatkan pendidikan dibincangkan dan tindakan tidak menghantar wakil ke sana merupakan tindakan yang tidak profesional”, ulasnya.

Tambahnya lagi,”kalau beginilah sikap KPT dan HEP, kita sebenarnya berhadapan dengan masalah yang besar dalam mewujudkan budaya ilmu di kalangan mahasiswa”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan dilaporkan tetap akan menghantar wakil menggunakan nama UPSI meskipun tidak mendapat apa-apa peruntukan ke program tersebut.

“Kita akan tetap menyertai kongres tersebut dengan nama UPSI kerana kita mahu menunjukkan komitmen kita dalam hal-hal berkaitan sistem pendidikan negara dan HEP tak perlu beri apa-apa bantuan kerana kami ada wang rakyat yang dipinjamkan kepada kami”jelasnya.

Kongres yang bakal berlangsung 11 Julai ini bakal menyentuh hal-hal berkaitan sistem Pendidikan Islam yang dilihat kini tidak memberi kesan yang besar kepada pembangunan insan di negara ini.

HEP batal hantar wakil UPSI ke Ko-SPIN '09

Tanjong Malim, 9 Julai – Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membatalkan kebenaran menghantar wakil ke Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN ’09) anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.

Pembatalan ini dilaporkan dibuat selepas mendapat arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke atas UPSI supaya tidak menghantar wakil atas nama UPSI. Namun demikian, sebab-sebab arahan itu dibuat tidak dijelaskan meskipun beberapa wakil Pro Kebajikan menemui pegawai yang berkaitan.

Berikutan itu, ketiga-tiga wakil yang dijadualkan menyertai program tersebut ditarik semula semua peruntukan kewangan dan pengangkutan ke program tersebut. Wakil-wakil tersebut adalah Nur Aqilah Hanis Mohd Yusof , Arif Mohamad dan Adriyani.

Pro Kebajikan yang dimaklumkan tentang perkara ini mempersoalkan rasional tindakan KPT menghalang UPSI daripada menghantar wakil ke program tersebut.

Akmal Madzir yang diminta mengulas tentang perkara tersebut berkata KPT tidak sepatutnya menghalang universiti menyertai program yang berbentuk ilmiah seperti ini tanpa ada alasan yang munasabah apatah lagi terhadap UPSI yang sememamngnya diketahui umum sebagai sebuah institusi pengajian yang melahirkan pendidik.

“Saya secara peribadi terkejut dengan tindakan HEP atas arahan KPT yang menarik semula kebenaran menghantar wakil atas nama UPSI tanpa ada sebab yang munasabah.

“Ini merupakan satu pengkhianatan kepada usaha menggalakkan mahasiswa menyertai program ilmiah dan intelektual”,katanya

“Saya sangat sedih apabila KPT tidak pula menghalang penyertaan dalam program yang melalaikan seperti GEGAR U beberapa tahun lalu tetapi memandang negative pula dengan program ilmiah seperti Kongres ini dengan menghalang UPSI menghantar wakil”, tambahnya lagi.

Beliau yang kelihatan begitu kecewa dengan pembatalan tersebut bertekad akan mendesak HEP menghantar wakil ke program tersebut atas nama UPSI.

“Saya dan rakan-rakan akan mendesak HEP dan KPT memberi semula kebenaran menghantar wakil atas nama UPSI dengan apa cara sekalipun.

“Kami juga akan menghubungi pihak penganjur untuk memaklumkan tentang perkara ini.”ulasnya.

Kongres anjuran GAMIS yang bakal berlangsung pada 11 Julai ini akan diadakan di Auditorium D8 Putrajaya dan dijangka akan dihadiri daripada kalangan tokoh akademik, ahli politik, mahasiswa dan beberapa wakil NGO.

July 8, 2009

Wakil MPP beri ulasan keputusan mansuhkan PPSMI

Berikut merupakan ulasan yang disampaikan oleh beberapa wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI kepada UPSIkini sejurus selepas keputusan memansuhkan PPSMI diumumkan.

“Pemansuhan ini membuktikan pihak kerajaan telah membuat kesilapan besar dalam menentukan dasar Negara untuk tempoh 6 tahun lamanya tanpa ada kajian. Pindaan AUKU juga begitu, sudah 24 tahun dilaksana baru sedar dan pinda. Kita tetap mahu AUKU dimansuh sepertimana PPSMI.”- Arif bin Mohamad (Exco Akademik & Kerjaya).

“Pemansuhan PPSMI merupakan langkah yang paling tepat, ‘unduran’ yang baik untuk menyelamatkan lebih ramai anak bangsa dari tercicir” – Nur Aqilah Hanis Mohd Yusof (Exco Akademik & Kerjaya)

“Alhamdulillah..Akhirnya kerajaan akur dengan permintaan rakyat untuk mansuhkan PPSMI. Semoga langkah yang diambil ini menjadi satu pengajaran kepada kerajaan dalam membuat sesuatu dasar – mesti mengambil kira pandangan rakyat. Jangan pula keputusan ini untuk tujuan politik semata-mata.”- Akmal Madzir (Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah)

“Wajar dimansuhkan kerana rata-rata guru menyatakan bahawa sukar menyampaikan pelajaran dalam BI terutamanya di kawasan pedalaman dan mereka juga penat menjalani kursus-kursus meskipun diberi elaun. Keduanya majority pelajar di sekolah masih menggunakan buku BM sebagai rujukan utama malah masih menjawab soalan menggunakan BM dan mereka juga menghafaz tanpa memahami. Ketiganya, pemantapan infrastruktur dan BI perlu dibuat sekiranya mahu laksanakan PPSMI. – Norhafizawati Mahmad Rozali (Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah)

“Beberapa lagi generasi anak bangsa akan dipertaruhkan masa depannya. Ini kerana sewaktu dasar ini mahu dilaksanakan tidak dibuat secara berperingkat, tetapi bila nak mansuh, berperingkat pula.” – Mohd Zulhilmi bin Mohd Noor (Exco Kebajikan & Kemasyarakatan)

"Keputusan yang menepati kehendak banyak pihak. Kita mahu kerajaan juga merancang masa depan yang lebih baik setelah dasar ini dimansuhkan." - Adriyani Yamin (Exco Kebajikan & Kemasyarakatan)

“Pemansuhan PPSMI adalah langkah terbaik dan diharapkan pemansuhan ini adalah berdasarkan pandangan dari tokoh-tokoh politik, ahli akademik, guru-guru, ibu bapa dan mahasiswa. Kita yakin dalam tempoh 3 tahun akan datang, istilah-istilah yang digunakan sebelum ini dapat ditukar dalam BM dan buku teks akan menggunakan sepenuhnya BM.”- Mohd Hanif Azwan Ab Rahman (Exco Kesenian & Kebudayaan)

"Ini adalah keputusan yang sepatutnya sudah lama dibuat. Kita sudah lama menyedarinya dan baru sekarang hasrat kita itu dilihat kerajaan. Tahniah saya capkan kepada semua yang memperjuangkan isu ini" - Norhisham Che Hamid (Exco Kesenian & Kebudayaan)

Pro Kebajikan:Keputusan mansuhkan PPSMI tepat

Tanjong Malim, 7 Julai – Keputusan memansuhkan PPSMI sepenuhnya menjelang 2012 yang diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi disifatkan kepimpinan Pro Kebajikan sebagai keputusan yang tepat.

Pro Kebajikan melalui Setiausaha Agungnya yang mengulas tentang keputusan itu menyatakan tidak ada jalan lain yang lebih baik melainkan memansuhkannya kerana segala bukti tentang kepincangan dasar ini sudah jelas dan ramai menyedarinya .

“Tidak ada jalan lain selain mansuh dan kembali kepada BM bagi menyelamatkan anak bangsa kita kerana segal-galanya telah terbukti dan ramai mahu dasar ini dimansuh”ulasnya.

Tambahnya lagi”kita bersyukur atas keputusan ini dan semua pihak harus bekerjasama untuk memastikan pemansuhan PPSMI ini membawa kebaikan kepada semua pihak”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut mengucapkan tahniah kepada GMP atas usaha keras mereka memperjuangkan isu ini sehingga dasar ini dimansuhkan.

“Kita juga ingin mengucapkan tahniah kepada GMP, Prof Emeritus Abdullah Hassan dan rakan-rakan yang berusaha gigih dalam memperjuangkan isu ini sehingga PPSMI berjaya dimansuhkan dan kami percaya usaha ini sudah pastinya dicatat dalam lipatan sejarah”,katanya.

PPSMI yang hangat diperkatakan sejak keputusan Pilihan Raya Umum Mac 2008, mula mendapat perhatian pihak kerajaan setelah beberapa siri bantahan melalui dialog, memorandum dan himpunan jalanan yang digerakkan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan akhirnya keputusan memansuhkannya dicapai hari ini.