September 14, 2009

Mahasiswa diingat berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung

Tanjong Malim, 14 September – Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Mohd Zulhilmi Mohd Noor mengingatkan kepada semua pelajar yang akan pulang ke kampung dengan kenderaan sendiri supaya berhati-hati dalam perjalanan mereka.

Beliau yang memberi peringatan tersebut berkata, kes kemalangan jalan raya banyak juga yang melibatkan pelajar IPT kerana sebahagian daripada mereka memilih untuk memandu kereta dan menunggang motorsikal masing-masing untuk pulang ke kampung.

“Dalam banyak kes kemalangan jalan raya menjelang musim cuti perayaan, pelajar IPT tidak terlepas daripada berdepan dengan risiko tersebut kerana sudah ramai di kalangan pelajar yang mempunyai kenderaan dan memilih untuk pulang dengan kenderaan yang dimiliki.

“Tapi malangnya tak ramai yang mengambil berat berkenaan pemeriksaan (servis) kenderaan mereka sebelum pulang ke kampung dan sikap cuai semasa memandu yang boleh membawa mereka kepada kecelakaan jalan raya”,katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pelajar berkenaan kes kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UPSI baru-baru ini supaya mengelakkan diri daripada memandu ketika mengantuk.

“Saya juga nak ambil kesempatan untuk berpesan kepada rakan-rakan semua agar elakkan daripada memandu apabila berasa mengantuk kerana kes baru-baru ini yang melibatkan pelajar UPSI dilaporkan kemalangan kerana memandu dalam keadaan mengantuk”,ujarnya.

Mahasiswa UPSI akan mula bercuti pada 19 September sehingga 27 September ini. Namun, rata-rata pelajar dilaporkan akan pulang ke kampung halaman masing-masing lebih awal daripada tarikh tersebut berikutan tarikh Hari Raya Aidilfitri dijangka jatuh pada 20 September ini sehari selepas cuti bermula.

No comments: