September 18, 2009

200 pelajar terkandas ditipu agen bas catar

Tanjong Malim, 28 Sept. – Kira-kira 200 mahasiswa di Kolej Aminuddin Baki (KAB) dan Kolej Za’ba (KZ) terkandas apabila bas yang dijanjikan untuk membawa mereka ke Kota Bharu tidak muncul. Mereka yang dijadual bertolak pada jam 8.30 malam ini dikatakan telah tertipu dengan membeli tiket bas catar yang diuruskan oleh seorang pelajar di sini.

Dilaporkan hampir RM 20,000 lesap hasil dari kutipan tiket sebanyak RM 94 daripada 200 pelajar untuk perjalanan dua hala.

Melihat reaksi daripada kejadian tersebut, rata-rata pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajar semester satu. Tinjauan UPSIkini ke tempat kejadian mendapati mereka yang terlibat berasa terkilan dan marah dengan apa yang berlaku.

Kelihatan juga beberapa pelajar menangis sebaik sahaja mengetahui mereka ditipu apabila bas yang sepatutnya mereka naiki malam ini tidak muncul-muncul.

Seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad yang berang dengan apa yang berlaku berkata beliau dan rakan-rakannya begitu kecewa dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka perkara sebegini berlaku kepadanya meskipun sering mendengar perkara sedemikian berlaku dalam berita-berita di televisyen dan akhbar apabila menjelang hari raya.

”Nak kata marah tu memang marah la...Selalu dengar dalam tv orang yang kena, kali ini tak sangka kami pula yang kena”, katanya.

Seorang pelajar perempuan yang ditemui pula menangis memikirkan bagaimana untuk pulang berhari raya yang dijangka disambut Ahad ini.

”Wang dah lesap, tak tahu macam mana nak balik, duit dalam bank pun tak cukup nak beli tiket lain, jadi terpaksa juga pinjam ngan kawan tapi itu kalau ada lagi bas, kalau dah tak ada bas macam mana”,katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan KAB turut turun ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku di samping menenangkan pelajar dan cuba mencari jalan bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Dalam pada itu, mereka dikatakan telah dijanjikan bas pulang pada esok sekitar jam 2.30 petang. Namun, sumber mengatakan mereka tetap perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan tiket bas tersebut

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan, saudara Mohd Zulhilmi Mohd Noor yang turut hadir ke tempat kejadian dilaporkan akan mengambil tindakan segera memaklumkan perkara tersebut ke bahagian pengangkutan UPSI bagi mendapatkan bas untuk membantu pelajar yang terbabit pulang.

”Kita memandang serius masalah ini dan akan menghubungi pihak pengangkutan UPSI untuk membantu mereka pulang ke kampung masing-masing dan dalam keadaan begini saya harap pihak universiti dapat memberi bantuan sewajarnya”,jelasnya.

Berikutan itu , satu laporan polis telah dibuat dan dilaporkan pihak polis telah hadir ke tempat kejadian sekitar jam 12.30 malam tadi untuk mengambil keterangan.

1 comment:

Anonymous said...

emmm x nampak pun en zulhilmi mlm tu hahahahahahahaha...auta ek kehkehkeh