Mengikuti perkembangan politik mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) agak unik berbanding IPTA lain. Tanpa ada persamaan dengan gerakan pelajar di serata IPTA, mahasiswa UPSI menghidangkan jenama yang berbeza dengan jenama sedia ada di kampus lain meskipun wujud beberapa persamaan di kalangan mereka.
Bermula dengan siri kempen yang agak meriah dengan kreativiti berpolitik ala ‘cikgu’ (takut tapi mahu), beberapa nama, slogan, cogan kata dipersembahkan di kalangan pengundi. Penulis yang hanya mengikuti perkembangan tersebut dari jauh dikhabarkan gelombang kuning nampaknya sedikit memeriahkan suasana kempen. Memang kreatif ! Dengan membekalkan belon kuning kepada penyokong, PRK kali ini nampaknya menelan belanja agak besar di kalangan mereka yang bertanding.
Pada awalnya, penulis merasakan mungkin wujud kumpulan yang mahu mengembalikan kuasa UPSI di persada institusi pendidikan di Malaysia bagi mendaulatkan kembali satu-satunya universiti yang menggunakan nama Sultan (Sultan Idris) dan warna kuning itu dipilih, namun tidak ada pula dalam ucapan calon-calon yang bertanding menyentuh soal itu. Yang ada isu mahasiswa yang mahu kemudahan itu dan ini, dan isu-isu domestik.
Keputusan pada Isnin lalu juga agak mengelirukan dan sedikit kabur. Selepas mengikuti laman sosial facebook dan berita yang dikatakan terkini dari upsikini.blogspot.com penulis cuba memahami jalur setiap calon yang bertanding.
Daripada apa yang penulis baca dan amati, seolah-olah tiada satu pun kumpulan berhak mengatakan mereka paling layak menerajui kepimpinan MPP kali ini. Mahasiswa Pendidik bersama LMP katanya menang paling banyak namun tidak cukup majoriti. Mereka hanya berjaya menafikan majoriti 2/3 pihak lawan seperti episod dua sesi yang lalu, hanya menang 8 kerusi.
Walau bagaimanapun, kebolehan individu mula menjadi pengukur dalam meletakkan calon terbaik dalam barisan hadapan MPP. Hal Ehwal Pelajar (HEP) katanya tak mahu masuk campur. Tapi biasalah, HEP memang begitu, katanya lain, buatnya lain. Nak bertanding perlu hadir kem katanya, sudahnya, tak hadir kem pun boleh bertanding. Itu biasa.
Apapun, harapan mahasiswa memang menggunung untuk melihat perubahan sebenar. Pembaharuan dalam kepimpipinan MPP kali ini ditagih pengundi. Mahasiswa juga punyai waktu untuk tentukan siapa yang mereka mahu meneraju MPP kali ini. Bisa saja mereka bertemu semua calon yang menang dan nyatakan sokongan mereka secara terang. Tapi beranikah mahasiswa di UPSI ni?
*Penulis dikenali dengan nama pena Zulhelmi Abid, merupakan antara penganalisis politik kampus Upsi pada kali ini yang menyatakan pandangan menerusi e-mail kepada Upsikini.
No comments:
Post a Comment