24 Februari
Terlebih dahulu, tahniah diucapkan buat Pro-Mahasiswa UPSI kerana telah mencipta satu gelombang baru dalam PRK UPSI yang sebelum ini kurang warna-warni dan agak lesu. Majoriti kemenangan dari segi calon yang bertanding jelas menunjukkan mahasiswa memilih calon yang membawa slogan mahasiswa.
Sejak hari penamaan calon, Pro-M telah diasak dengan pelbagai cara untuk memastikan Pro-A terus menguasai MPP UPSI. Kecekalan dan kekentalan calon Pro-M yang jelas bertanding bukan atas desakan pihak ketiga tetapi atas niat memperjuangkan hak mahasiswa membuka mata semua pihak bahawa calon yang ikhlas berjuang akan secara mudah mendapat sokongan mahasiswa.
Rapat umum yang dijalankan jelas menunjukkan aura mahasiswa sudah melanda UPSI yang selama ini rata-rata rakyatnya tidak ambil kisah atau mengundi sekadar cukup syarat untuk tunaikan tanggungjawab. Kebanyakan mahasiswa sudah pandai menilai politik kampus cara matang dan bukannya politik mengikut tanpa arah tujuan.
Ugutan dan fitnah turut mewarnai PRK UPSI kali ini. SMS menakut-nakutkan mahasiswa bahawa andai menyokong Pro-M tidak akan posting nyata taktik lama yang sudah basi. Menakut-nakutkan mahasiswa bukanlah satu perkara yang bijak kerana jelas, mahasiswa sudah matang berfikir.
Hari pengundian juga tidak kurang hebatnya. KZ dan KAB yang dikatakan kubu kuat mahasiswa menyaksikan satu tragedi di mana berlakunya konspirasi untuk menghalang mahasiswa mengundi akibat terputusnya sambungan kabel talian telefon. Jelas di sini pihak Suruhanjaya Pilihanraya sendiri tidak cukup kemas sehinggakan perkara ini boleh berlaku. Kita sedar, ada agenda di sebaliknya. Cuma diharapkan mahasiswa bijak menilai apa yang telah berlaku.
Pengumuman keputusan PRK UPSI di SITC oleh YBHG. Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob menyaksikan laungan Mahasiswa bergema di dewan bersejarah bumi kelahiran pejuang kemerdekaan ini. Ada yang terus meninggalkan dewan. Ada yang menangis gembira. Menangis kecewa. Pelbagai bentuk emosi memenuhi dewan SITC pada waktu itu.
Tidak perlulah diulas siapa yang menang paling banyak baik calon umum mahupun fakulti, namun apa yang perlu difikirkan di sini ialah betapa gentarnya pihak di atas melihat perkembangan pilihan raya kampus kali ini sehinggakan berusaha sehabis mungkin untuk mengelakkan calon-calon Pro-M menguasai Majlis Tertinggi MPP UPSI. Cubaan mewujudkan pakatan dan usaha melobi sokongan dalam proses membina kabinet terus berlaku sebaik keputusan penuh diterima. Yang jelas kelihatan ialah dari kumpulan Senyum.
Calon LMP sendiri dilobi secara hebat oleh kumpulan Senyum. Pertama sekali, percaturan kumpulan senyum memang hebat. Taktik Shaiha yang memimpin kumpulan ini sungguh licik dan berjaya mendapat sokongan seluruh calon Pro-A. Tahniah atas kejayaan ini. Impian untuk melihat bukan golongan Pro-M yang menerajui MPP UPSI berjaya. Tahniah!
No comments:
Post a Comment