June 30, 2009

Pengambilan baru : 75% perempuan, 91% melayu

Tanjong Malim, 30 Jun – Pengambilan pelajar baru pada tahun ini mencatatkan peratusan yang tidak seimbang antara kaum lelaki dan perempuan apabila 75% atau 1825 daripada 2414 pelajar yang terpilih masuk ke UPSI adalah terdiri daripada kaum hawa berbanding 589 lelaki dan sebanyak 91% pengambilan kali ini terdiri daripada pelajar melayu.

Bagi komposisi mengikut kaum pula seramai 2192 pelajar adalah terdiri daripada kaum Melayu, 147 Cina dan 75 India dan lain-lain.

Program yang paling banyak menerima pelajar baru pada sesi ini adalah program Pengajian Malaysia dengan Pendidikan iaitu seramai 311 pelajar manakala yang paling sedikit adalah program Pendidikan Muzik, 16 pelajar dan Bahasa Arab dengan Pendidikan seramai 17 pelajar.

Bagi program Kesusasteraan Melayu dan Sains Sukan, tidak ada pelajar daripada kaum Cina dan hanya seorang pelajar India bagi program –program tersebut manakala bagi program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni tidak ada pelajar daripada kaum India yang dicatatkan.

Program Bimbingan dan kaunseling mencatatkan seorang sahaja pelajar daripada kaum Cina dan India daripada keseluruhan 44 orang pelajar dantidak ada pelajar Melayu yang mengambil program Bahasa Cina dengan Pendidikan. Walau bagaimanapun, terdapat seorang pelajar India/lain-lain yang mengambil program tersebut.

Terdapat beberapa program yang hanya terdiri daripada pelajar Melayu sahaja iaitu program Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam, Sains (Matematik) dengan Pendidikan dan Bahasa Arab dengan Pendidikan.

Terdahulu, bilangan pelajar perempuan yang melebihi pelajar lelaki dengan peratusan yang begitu ketara perbezaannya di samping kekurangan kaum bukan bumiputera di bidang ini disuarakan Naib Canselor UPSI Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob dalam satu kenyataan yang mendapat perhatian kementerian berkaitan.

No comments: