January 13, 2012

Siri Khas 1: Pentadbir baru, layan mahasiswa macam musuh

Dalam siri yang lepas, penulis mengulas isu “pembersihan” yang dilakukan DD…dan juak-juaknya untuk memastikan agenda politik dan kepentingan peribadi individu tertentu tercapai di HEPA. Ironinya, apa yang berlaku di UPSI dalam seminggu dua ini benar-benar menepati tajuk penulisan siri ini 'UPSI Kembali ke Era 2005-2007'.

Kerana pada era tersebut juga UPSI dikenali di mana-mana. Cuma dalam era itu (2005-2007) UPSI digegarkan dengan isu video. "BETULKAH RAKAMAN VIDEO TU?". Berbeza pada era ini, soalan yang ditanya SIAPAKAH ADAM ADLI TU?

Memang benar janji Rasul ketika baginda bersabda “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada mereka yang tidak layak, maka tunggulah kehancurannya”. Di saat ini, sekali lagi nama UPSI berada di ambang kehancuran. Akibat daripada perbuatan tangan-tangan individu yang tidak layak tetapi diserahkan amanah menerajui kepimpinan pembangunan kerohanian dan sahsiah pelajar.

Di hadapan mata kita hari ini Allah paparkan sebahagian daripada “kehancuran itu” dan kekalutan akibat dari pendekatan yang salah dalam mendidik mahasiswa. Itulah kegagalan yang paling besar pernah penulis saksikan di UPSI.

Hari ini kita boleh timbulkan persoalan layakkah kita dinamakan universiti pendidikan dikala kita gagal menunjukkan contoh pendidikan yang baik kepada mahasiswa yang akan menjadi pendidik? Amat menyedihkan apabila melihat kebencian dan permusuhan yang kian parah di tunjukkan oleh DD… dan juak-juaknya di kolej kediaman terhadap mahasiswa mereka sendiri.

Kalau warga UPSI ada kesempatan, carilah satu rakaman yang dibuat oleh JMK KZ hasil daripada mesyuarat mereka dengan pengetua. Amat memalukan apabila kata-kata yang keluar daripada mulut Bapa Pengetua yang ditujukan kepada beberapa orang mahasiswa menunjukkan begitu besar permusuhan dan kebenciannya kepada pelajar.

Wahai saudaraku warga UPSI, ingatlah kuasa sebagai pengetua bukan untuk digunakan sebagai mengugut dan mencabar pelajar. Ingat! Apa yang kita lakukan hari ini menjadi cerminan kepada mahasiswa. Kalau itulah yang kita tunjukkan, maka itulah contoh yang mereka akan dapat dan ikuti.

Kalau pengetua hari ini mengambil jalan mudah dalam menanggani masalah mahasiswa, kenakan tindakan buang kolej kepada mereka yang tidak menyokong dan mengkritik pengetua , maka itulah sikap yang akan diwariskan kepada mahasiswa apabila berdepan dengan masalah di sekolah nanti.

Ingatlah saudaraku! Apa yang kita beri, maka itulah yang kaita dapat. Jika permusuhan dan kebencian yang diberikan oleh pengetua kepada pelajarnya maka itulah yang pengetua akan dapat dari mereka.

Jika saudara pembaca berkesempatan berkunjunglah ke surau KAB atau KUO, dan dengarlah perbualan “ahli rumah Allah” itu, penulis yakin saudara akan mendegar “gelaran-gelaran” yang mengambarkan kemarahan dan kebencian mereka kepada pengetua kolej. Jangan salahkan mereka kerana kebencian dan kemarahan pengetua kepada “ahli rumah Allah” ini begitu menebal, dan kebencian dan kemarahan itulah yang pengetua akan dapat daripada mahasiswanya.
Sikap yang sebeginilah yang akhirnya melahirkan individu seperti Sdr. Adam Adli. Sedar tak wahai saudaraku warga UPSI. Sdr. Adam Adli sudah tiga tahun berada di UPSI dan tidak dinafikan kecenderongannya kepada kesedaran politik dan perkembangan semasa begitu kuat. Bagi penulis, insan seperti Sdr.

Adam Adli jauh lebih baik daripada “kaki karaoke” dan “kutu dangdut” yang begitu disayangi oleh DD… Oleh itu, tidak hairanlah apabila beliau dilihat kerap kali terlibat dalam isu-isu perjuangan masyarakat. Cuma pendekatan yang diambil oleh “Alumni HEPA” sebelum ini banyak meredakan keadaan.

Menurut khabar, Adam Adli pernah mengalirkan air mata dalam satu perjumpaan dengan beberapa “Alumni HEPA” pada suatu ketika dahulu. Kerana pendekatan yang digunakan pada ketika itu adalah “nasihat dan didikan”. Kerana yakinlah orang seperti Sdr. Adam Adli ini, jika dididik dengan cara yang baik, dia akan menjadi sebuah mutiara yang amat berharga kepada masyarakat.

Tapi ingat! Jika pendekatan kebencian, dendam dan ugutan yang diberikan kepadanya, natijahnya, lihat apa yang berlaku dihadapan mata kita hari ini. Wahai saudara warga UPSI, apa yang dipaparkan di hadapan kita hari ini adalah sebahagian daripada “kehancuran” bawaan DD… dan juak-juaknya.


Bersambung...

No comments: