September 20, 2011

RPA : Akmal mohon tarik balik penangguhan

Tanjong Malim, 20 Sept. – Meskipun sudah bergelar guru dan bertugas di Kuching Sarawak, mantan Pengerusi Rakan Penggerak Ad-Din (RPA), saudara Akmal Madzir memohon kepada pihak Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) supaya program tersebut ditarik balik penangguhannya dan diteruskan dalam usaha memupuk budaya ilmu di kalangan mahasiswa.

Melalui surat terbukanya kepada Timbalan Naib Canselor (HEP&A), beliau menegaskan program tersebut adalah menepati kehendak Falsafah Pendidikan Negara dan berupaya melahirkan graduan yang mantap dari aspek kerohanian.

Berikut merupakan teks penuh surat terbuka beliau yang dikirimkan kepada UPSIkini.

Surat Terbuka kepada TNC HEP UPSI:

Mohon program Rakan Penggerak Ad-Din diteruskan

Berhubung dengan perkara di atas, saya sebagai mantan Pengerusi Rakan Penggerak Ad-Din (RPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merasa terpanggil untuk memberikan sokongan dari pihak saya dan rakan-rakan seangkatan terhadap program RPA supaya ianya diteruskan bagi semester ini dan semester-semester akan datang tanpa penangguhan dari pihak universiti. Saya merasa cukup terkilan dan kecewa apabila mendengar berita bahawa program yang bermanfaat bagi mahasiswa seperti ini ditangguhkan.

Saya berpendapat bahawa progam ini wajar diteruskan dan sepatutnya disokong oleh pihak universiti kerana ianya memberikan manfaat yang besar kepada mahasiswa mahasiswi khususnya kepada bakal-bakal guru. Dengan cabaran dunia masa kini, program seperti ini dapat mengisi aspek rohani yang disebut di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Secara jujurnya, program ini memberikan begitu banyak kebaikan dan tidak sedikit pun memberikan keburukan kepada mahasiswa. Saya juga merasakan bahawa pihak universiti khususnya di bawah kepimpinan tuan sememangnya menginginkan generasi pendidik yang bitara dan lengkap dari seluruh aspek kehidupan.

Di sini, saya ingin menyangkal bahawa program ini ditangguhkan kerana adanya perancangan dari pihak tuan untuk mengadakan program kerohanian yang lebih besar. Bagi pendapat saya, apalah salahnya jika program ini masih diteruskan dan pihak tuan melakukan penambahbaikkan dengan memperbanyakkan lagi program-program berbentuk kerohanian. Saya sememangnya menyokong usaha pihak tuan untuk mengadakan program kerohanian yang lebih besar seperti dirancangkan, namun tidak seharusnya pihak tuan menangguhkan program RPA ini.

Akhir kata, saya sekali lagi memohon pihak tuan untuk mengeluarkan arahan untuk meneruskan program yang sangat bermanfaat ini dan menarik balik surat arahan penangguhan program RPA ini dari pihak tuan. Jasa baik pihak tuan amat saya hargai dan saya doakan pihak tuan diberikan taufiq dan hidayah dari Allah untuk memimpin universiti ke arah yang lebih baik.

Terima kasih.

Akmal Madzir,

Mantan Pengerusi Rakan Penggerak Ad-Din.

akmalmadzir@gmail.com

17 September 2011

Kuching, Sarawak.

No comments: