January 28, 2011

Kolumnis: Positif sebuah demokrasi kampus

Ahmad Wafiuddin
28 Januari

Profesor Datuk Paduka Dr.Mohamad Abu Bakar, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM dalam satu tulisannya menggariskan perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang terdedah kepada pergolakan semasa.

Demokrasi kampus boleh disifatkan sebagai sebuah medan persaingan positif dalam penonjolan kepimpinan. Persaingan dua pihak yang pada asasnya bersatu dalam perbezaan dan pertikaian ideologi bawaan masing-masing akhirnya membawa hasil positif.

Positif sebuah demokrasi kampus menatijahkan manfaat buat semua mahasiswa. Proses demokrasi kampus wajar mendapat partisipasi daripada seluruh mahasiswa bagi menentukan setiap inci perkara yang berkaitan kebajikan ,akademik dan kempimpinan mereka.

Aku melihat kesan positif persaingan demokrasi kampus yang adil bukan sahaja melahirkan pemimpin pelajar yang berani bahkan berjaya menyelesaikan sesuatu masalah dengan segera dan cepat sebagaimana yang telah berlaku kepada PTPTN tempoh hari.

Blok-blok kepimpinan sama ada daripada Mahasiswa Pendidik , LMP mahu pun Pimpinan Bitara adalah contoh kelompok mahasiswa yang saling bersaing untuk mengasah kepimpinan dan mendidik kesedaran dan idealisme massa. Persaingan mereka seperti yang kita semua mahu ialah persaingan yang boleh memberi manfaat kepada semua.

Oleh itu, sebarang usaha untuk mematikan persaingan sedia ada adalah tindakan yang tidak bijak kerana sudah terbukti persaingan akhirnya membawa natijah positif. Positif sekiranya diurus dengan baik. Positif sekiranya bebas daripada campur tangan 'tangan-tangan ghaib' pihak pentadbiran dalam penentuan kepimpinan mahasiswa.

Mahasiswa pula mesti memainkan peranan masing-masing dalam menilai dan menentukan pilihan kepimpinan mereka. Bukan hanya menjadi pendegar dan penonton setia, tetapi turut terjun ke medan pergolakan demokrasi kampus bagi menentukan masa depan dan setiap inci permasalahan kehidupan mereka di kampus mahu pun negara.

No comments: