July 28, 2010

Perjumpaan MB Perak: Kutuk Pakatan pancing undi

Tanjong Malim, 28 Julai - Mahasiswa 'anak Melayu' Perak di Universiti Pendidikan Sultan Idris menyifatkan pertemuan bersama wakil MB Perak pagi tadi sebagai wadah mengutuk pembangkang Pakatan Rakyat di Perak dan memancing undi mahasiswa menjelang PRU akan datang.

Dalam pertemuan di SITC pada pagi tadi, Dato' Dr. Zamry yang juga Menteri Besar Perak tidak dapat hadir kerana dikatakan ada hal tertentu dan diwakilkan kepada exco beliau YB Hamidah Osman (gambar) ADUN Sungai Rapat (UMNO) . Dalam pertemuan tersebut juga beliau dikatakan menyampaikan beberapa amanat kepada 'anak Melayu' Perak termasuk menggesa supaya mereka segera mendaftar sebagai pengundi.

Dalam pada itu, mahasiswa anak Perak yang meghubungi Upsikini petang tadi mengatakan bahawa pada pertemuan terbabit YB Hamidah dikatakan turut menyebut bahawa mahasiswa sepatutnya menyokong kerajaan 'baru' Perak kerana ianya disahkan oleh 'mahkamah'.

Tambahnya, pada pertemuan itu juga tampil seorang mahasiswa yang menimbulkan persoalan kenapa baru sekarang pimpinan kerajaan Perak turun ke Upsi sedangkan sebelum ini langsung tidak nampak dan turut membandingkan kerajaan dulu sebelum berubah.

Dalam hal berkaitan, wujud cakap-cakap mahasiswa yang hairan bagaimana universiti boleh membenarkan ahli politik kepartian yang tidak berbincang tentang akademik tetapi berbincang tentang politik parti boleh dilepaskan untuk bercakap di kampus.

Prof. Emeritus Isahak Haron : UPSR, PMR perlu dikekalkan

Tanjong Malim, 28 Julai - Prof. Emeritus Dato' Dr. Isahak b. Haron , pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu (MPM), ahli Senat dan juga merupakan Professor di Faculty of Cognitive Science and Human Development Universiti Pendidikan Sultan Idris menyatakan pandangan beliau bahawa peperiksaan UPSR dan PMR perlu dikekalkan.

Beliau berkata bahawa, dua peperiksaan terbabit perlu dikekalkan namun pendekatan, fungsi serta tujuannya perlu dilakukan sedikit penambahbaikan. Pandangan itu dinyatakan beliau dalam pertemuan meja bulat yang diadakan bagi membincangkan keputusan UPSR dan PMR yang hangat diperkatakan.

Katanya "dua peperiksaan ini sekarang berorientasikan peperiksaan rujukan norma untuk pemilihan dan perlu diubah kepada peperiksaan untuk menaksir prestasi pelajar berasaskan kriteria dan standard iaitu menaksir sejauh mana pelajar menguasai pelajarannya dan capai tahap yang ditentukan".

Tambah beliau lagi, "jika UPSR dan PMR dimansuh, ia akan terlalu lewat untuk membuat penaksiran dan pemantauan taraf kualiti pendidikan di negara ini serta terlalu lewat untuk memberi peluang kepada pelajar membaiki pembelajarannya, " ujarnya.

Dalam pada itu, Prof Emeritus Isahak Haron merupakan antara mereka yang banyak melontarkan pandangan berhubung isu pendidikan termasuk hasil kajian dan fakta beliau mengenai keperluan memansuhkan PPSMI sebelum ini.

July 27, 2010

Pendidikan: Guru dibenarkan berpolitik

Tanjong Malim, 27 Julai - Guru atau pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 bakal dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Demikian dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pagi tadi.

Menurut Mohd Sidek , bermula 1 Ogos ini guru dibenarkan berpolitik dan langkah itu diambil berlandaskan kesedaran bahawa guru pada suatu masa dahulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dan merangka politik negara yang hikmah.

Dalam pada itu, pindaan undang-undang berkaitan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah pun diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk diwartakan.

Namun , dibawah peraturan baru ini, mereka yang memegang 'title' pegawai pendidikan yang ingin melibatkan diri dalam politik perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

Dalam hal berkaitan, Mohd Amin Mat Sidik yang juga merupakan Exco Akademik MPPUPSI melihat tindakan kerajaan tersebut merupkan langkah positif bagi membuka ruang kepada guru untuk berkhidmat kepda negara dalam kerangka poliltik.

Katanya " kita juga melihat bahawa dalam sejarah Melayu , ramai tokoh-tokoh politik disegani bermula dengan seorang guru. Dalam sejarah Melayu, kita ada Ibrahim Yaacob, Tun Ghafar Baba, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan ramai lagi."

"Mereka memulakan khidmat kepada masyarakat sebagai seorang guru kemudian berubah ke jalur politik. Oleh itu , kita melihat tindakan ini sesuatu yang baik dan alangkah baiknya jika ianya dilakukan dengan adil kepada semua pihak tanpa ada diskriminasi", ulasnya yang juga pelajar bahasa.

MB Perak jumpa mahasiswa 'anak Melayu' Upsi

Tanjong Malim, 27 Julai - Menteri Besar Perak yang kedua, Dato' Dr.Zamry Abdul Kadir dijadualkan akan mengadakan satu pertemuan khas bersama mahasiswa anak Melayu Perak. Pertemuan terbabit dikatakan hanya melibatkan anak Melayu.

Beliau dikatakan akan menyampaikan beberapa amanat penting khususnya kepada mahasiswa anak Melayu Perak Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam satu perjumpaan khas pada jam 8-1.00 tengahari esok.

July 26, 2010

Dialog MPP: Mahasiswa mahu bas selesai minggu ini

Tanjung Malim, 26 Julai – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikatakan berang dengan masalah bas baru-baru ini memberi tempoh minggu ini kepada MPPUPSI bagi melihat masalah bas selesai seperti yang dijanjikan oleh mereka (MPPUPSI) semasa dialog MPP dan JMK bersama pelajar KAB minggu lepas.

Menurut beberapa komen diterima Upsikini, mahasiswa tersebut mengatakan bahawa mereka mahu apa yang disebut oleh Razik baru-baru ini tidak kosong. Katanya " kita berterima kasih kepada Razik kerana dia berjaya bawa NC turun tengok pelajar naik bas, tapi bukan itu kita mahu, kita mahu masalah bas selesai sebab kami bayar yuran bas", ulasnya.

Mereka juga turut menegur kata-kata Exco Kebajikan MPPUPSI Fatimah Kilat yang menyalahkan mahasiswa. Fatimah dikatakan telah menyatakan bahawa "kita telah mengedarkan banyak borang soal selidik kepada pelajar bagi memberi komen dan respon, tetapi malangnya hanya beberapa orang sahaja yang menghantar balik borang tersebut. Jadi salah siapa, kamu tak bagi kerjasama, kita mengharapkan bantuan kamu semua bagi kami (MPP) untuk membantu kamu semua”

Dalam pada itu, mahasiswa yang memberi komen terbabit mengatakan bahawa " bukan borang soal selidik yang kita mahukan. Isi borang sahaja lepas tu tak ada apa-apa tindakan buat apa. Kita mahu dia desak pihak pengurusan yang tak ada duit tu supaya guna betul-betul duit untuk kebajikan pelajar" ulas mahasiswa terbabit yang menggunakan 'nick name' "Mahasiswa Sosialis".

Dalam hal berkaitan, minggu lepas satu dialog MPP dan JMK bersama pelajar KAB dikatakan hangat dengan pelbagai aduan dan komen pelajar termasuk isu bas, AGM MPP, surau , kampus baru, yuran dan lain-lain. MPP dikatakan berjanji isu bas akan selesai minggu ini.

July 24, 2010

Seminar Perbandingan Agama

Makluman kepada seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), satu seminar perbandingan agama akan diadakan pada 28 Julai , Rabu bertempat di Auditorium Utama.

Pembentang jemputan ialah Prof Madya Dr Khadijah bt Mohd Khambali@Hambali dan Brother Shah Kirit b. Kakulal Govindji .

July 23, 2010

Bas kitaran : NC putus tambah bas mula hari Selasa ini

Tanjong Malim, 23 Julai - Hasil perjumpaan khas MPP Mahasiswa Pendidik bersama Tim. Pendaftar Dato’ Rosli Taib, Naib Canselor, kontraktor bas kitaran dan pengurus bas Upsi pada petang tadi telah mendapat penyelesaian untuk menambah jumlah bas bagi mengelakkan kesesakan.

Keputusan penambahan bas terbabit telah diputuskan oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob semasa pertemuan pada petang tadi. Ianya akan dimulakan pada hari Selesa ini.

Koordinator Mahasiswa Pendidik Mohd Zahar Mohamed Nor yang menghubungi Upsikini menerusi e-mail petang tadi mengatakan bahawa kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ibunda NC kerana prihatin terhadap masalah ini.

Katanya, “diperingkat Mahasiswa Pendidik kita telah berusaha untuk membawa masalah ini ke pihak atasan agar diselesaikan segera dan kami mencadangkan supaya bas kitaran dari pintu timur ke PC dipindahkan ke KAB dan 2 ke KUO, manakala dari Pintu Timur ke Proton City kami cadangkan agar diambil alih oleh bas Upsi bagi mengelakkan kesesakan.”

Beliau turut mengulas bahawa, “bas kitaran dari KUO ke Proton City sepatutnya tidak akan ke kampus tetapi kami mencadangkan supaya bas tersebut masuk ke kampus mengambil pelajar di Pintu Timur ke Proton City pada jam 10 pagi dan keatas.”

Dalam pada itu, berikut adalah penambahan bas mengikut destinasi yang melibatkan perjalanan bas Upsi dan bas kitaran :

BAS KITARAN

KUO – Pintu Timur : Dari 4 buah ditamabh kepada 6 buah

KAB - Pintu Timur : Dari 6 buah kepada 7

KUO – Proton City : Masih 5 buah tetapi selepas jam 10 pagi bas akan ke kampus dan terus ke Proton City dan begitulah sebaliknya dari Proton City –Kampus-KUO

Taman Damiana(Malim Prima) - PC : 1 buah bas

BAS UPSI

KAB-Proton City: Masih 3 bauh
Pintu Timur-Proton City: 4 buah
KUO-Taman Bernam : 2 buah

KTM (Ketoyong)-Pintu Timur : 1 buah Coaster


Dalam hal berkaitan, baru-baru ini TNCHEPA telah mengemukakan cadangan penambahan bas kepada pihak atasan dan dikatakan tiada sebarang tindakan sehinggalah berlangsung pertemuan bersama NC pada petang tadi.

Bas kitaran : MPP Mahasiswa Pendidik jumpa NC lihat penyelesaian

Tanjong Malim, 23 Julai- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Mahasiswa Pendidik Universiti Pendidikan Sultan Idris hari ini bertemu Naib Canselor UPSI Prof. Dato' Dr Aminah Bt. Ayob bagi membincangkan penyelesaian dan membawa hasrat mahasiswa berhubung bas kitaran dan beberapa hal kebajikan lain.

Menurut Koordinator Mahasiswa Pendidik (MP) Mohd Zahar Mohamaed Nor yang juga merupakan Exco Latihan & Pembangunan MPP, pertemuan tersebut diadakan bertujuan membincangkan beberapa masalah pelajar terutamanya bas kitaran dan beberapa hal lain yang dibangkitkan disamping mengeratkan hubungan dengan ibunda NC.

Dalam hal berkaitan , sesi pertemuan yang diadakan pada jam 4.30 petang ini dikatakan bakal membincangkan beberapa penyelesaian dan meneliti bagaimana tindakan universiti dan NC berhubung hal tersebut.

July 20, 2010

SPP dedah punca pelajar UPSI gagal temuduga

Tanjong Malim , 20 Julai - Surunhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (SPP) mendedahkan punca-punca kegagalan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam temuduga 'posting' pada sesi yang lepas.

Menurut maklumat dari e-mail yang diterima Upsikini, punca tersebut diedarkan SPP kepada para Dekan Fakulti dalam Majlis Ramah Mesra SPP dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris baru-baru ini.

Pendedahan terbabit diedarkan kepada UPSI bagi meneliti kelemahan-kelemahan yang dinyatakan dan mengambil tindakan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran dalam program masing-masing.

Dalam hal berkaitan, baru-baru ini, lebih 600 dari pelajar UPSI gagal dalam temuduga disebabkan oleh faktor-faktor seperti yang dilampirkan di bawah.

(Sila klik pada gambar supaya lebih jelas)

July 19, 2010

Mahasiswa dedah video beratur panjang tunggu bas

Tanjong Malim, 20 Julai - Seorang mahasiswa Upsi telah mendedahkan satu video realiti menunggu giliran menaiki bas di kolej Proton City. Ianya disifatkan sebagi 'beratur terpanjang' dalam sejarah menunggu bas di Upsi. Video terbabit juga turut menyatakan agar isu terbabit di beri perhatian serius dan diselesaikan segera.

Katanya "Masalah pengangkutan yang cuba diselesaikan oleh pihak pengurusan Kolej, JMK Kolej, MPP dan HEP, dan mohon kepada pihak pegurusan bantulah kami...tidak perlu mewah cukuplah sekadar keselesaan untuk kami...".

Dalam hal berkaitan, baru-baru ini MPP, TNCHEPA dan pegawai BP (Bahagian Pengangkutan) telah mengadakan satu 'meeting ad-hoc' dan bersetuju membawa usul untuk menambah bas kepada pihak pengurusan atasan.


video

Harga barang naik, bajet tak bertambah

Oleh : Mohd Zahar Mohamed Nor

Sejak sehari dua ini, kita telah mendengar kenaikan harga barang yang melibatkan beberapa material penting bagi kehidupan terutamanya minyak dan gula. Mengikut kebiasaan, apabila dua material penting ini berlaku kenaikan harga, maka bahan-bahan lain juga bakal mengalami kenaikan yang sama. Adakah mereka (mahasiswa) tidak terkesan dari kenaikan ini ? Adakah harga barang lain tidak naik bila dua material penting ini naik harganya?

Persoalan disini ialah bagaimana situasi mahasiswa dalam hal ini ? Mereka antara golongan 'Civil Society' atau Masyarakat Sivil yang tiada sebarang kepentingan, bakal menjadi mangsa kepada kenaikan harga barang ini.

Kenaikan harga barang juga tidak diikuti dengan kenaikan jumlah bajet mahasiswa sama ada pinjaman PTPTN, biasiswa dan lain-lain. Ini bakal menyebabkan kewangan mahasiswa menjadi defisit dari sebelumnya. Bajet untuk membeli buku akademik, bayaran bagi urusan akademik dan ko-kurikulum, makan, pakaian dan keperluan harian lain bakal menyusut.

Keputusan kerajaan dalam perkara penting terbabit tidak sepatutnya memejamkan mata terhadap golongan miskin dan golongan mahasiswa yang tiada sebarang kepentingan. Pengaruh persekitaran politik menentukan hala tuju negara amat merugikan mahasiswa.

Pertimbangan berasaskan kepentingan politik menjadikan dasar kerajaan tidak begitu seimbang. Satu sudut berlaku kenaikan harga barang dan dibebankan kepada rakyat dan dari sudut lain pula berlaku pembaziran berjuta malah berbilion ringgit.

Oleh itu, kita inginkan agar diwujudkan satu mekanisme selamat kepada mahasiswa . Harga barang di kampus baik di kafe dan lain-lain perlu dikekalkan. Tidak semua mahasiswa adalah dari golongan berada dan mampu. Ramai juga yang kurang berada. Teroponglah bebannya kepada mahasiswa yang juga sebahagian dari Civil Society yang menyumbang kepada pembangunan negara.


*Penulis merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPPUPSI.

Dialog 'live' bersama aktivis Mavi Marmara Gazza

Makluman kepada seluruh warga Upsi, Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPPUPSI akan menganjurkan satu dialog secara langsung bersama aktivis Malaysia ke misi Life Line For Gaza pada Jumaat , 23 Julai ini . Dialog tersebut bakal disampaikan oleh aktivis Malaysia ke Gazza Palestin yang juga mangsa kepada penahanan Zionis dalam tragedi penahanan kapal Mavi Marmara baru-baru ini.

Tetamu jemputan yang bakal berkongsi kisah realiti penahanan dan kekejaman Zionis dalam tragedi Mavi Marmara tersebut ialah Tn. Hj Jamuliddin Elias yang juga merupakan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia dalam misi Life Line For Gaza (LL4G).

Dalam pada itu, Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPP, Mohd Zahar Mohamamed Nor yang menghubungi Upsikini malam tadi , menjemput seluruh warga Upsi untuk sama- mendengar kisah realiti seorang aktivis keamanan yang ditahan dipenjara Zionis , Israel.

Katanya "Palestin sudah beberapa dekad dikejami Zionis. Isu Palestin merupakan isu sejagat yang melibatkan pencabulan hak asasi manusia, keamanan dan penafian hak bernegara rakyat Palestin. Oleh itu sewajarnya kita mahasiswa golongan cerdik pandai perlu cakna terhadap Palestin. Saya menjemput rakan-rakan untuk sama-sama mendengar perkongsian secara langsung aktivis tersebut tentang tragedi Mavi Marmara nanti".


SEMUA DIJEMPUT HADIR

July 16, 2010

Sekretariat Konvo, MPP dakwa ada ‘tangan belakang’ buat keputusan

Tanjong Malim, 16 Julai – Konvokesyen ke-12 yang bakal berlangsung pada Oktober ini menimbulkan rasa tak puas hati berhubung Sekretariat yang bakal dibentuk. Menurut e-mail yang diterima Upsikini dari seorang MPP yang tidak mendedahkan identitinya mengatakan keputusan dalam bentuk secretariat tak dibuat dalam ‘meeting’ MPP sebaliknya diputuskan oleh ‘tangan belakang’.

Katanya , “perlantikan pengarah dan beberapa portfolio atas sekretariat konvo pada kali ini tidak mengikut prosedur yang sepatutnya iaitu menerusi ‘meeting MPP’. Sepatutnya perkara ini perlu dibincangkan dari semua peringkat MPP. Kalau tidak apa guna kami ada disana.”

Dalam pada itu, wujud dakwaan yang mengatakan ada pihak belakang yang ingin megambil kesempatan dari konvokeyen pada kali ini. Konvokesyen dikatakan banyak memberi keuntungan kewangan seperti ‘tender’, komisyen gerai dan sebagainya.

July 15, 2010

Seminar Intelektual Pemikiran Islam dan Barat

Makluman kepada seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), suatu seminar intelektual bertajuk "Pemikiran Islam dan Pemikiran Barat (Islamisasi) : Satu Persoalan" akan diadakan pada :

Tarikh : 17 Julai 2010 (Sabtu)

Tempat : Dewan Sri Tanjung (DST)

Masa : 10 pagi - 12 tengahari

Ahli panel jemputan ialah Prof Zakaria Stapa (UKM) dan Saudara Wan Ahmad Fayhsal (Rausyanfikir.com) dari Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM). Maklumat lanjut rujuk MyUpsi.

July 14, 2010

Zahar: Prof Shah usul tambah bas

Tanjong Malim, 14 Julai -Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPPUPSI, Mohd Zahar Mohamed Nor yang juga merupakan Koordinator MPP Mahasiswa Pendidik pagi tadi menghadari 'meeting ad-hoc' isu bas kitaran bersama TNCHEPA dan pegawai-pegawai Bahagian Pengangkutan.

Beliau yang menghubungi Upsikini menerusi e-mail petang tadi mengatakan bahawa satu pertemuan khas MPP bersama Prof Shah dan wakil pegawai bahagian pengangkutan telah diadakan bagi mendengar masalah sebenar berhubung hal terbabit.

Katanya , "saya mewakili MPP Mahasiswa Pendidik telah menjelaskan tentang masalah bas ini kepada pihak atasan dalam pertemuan pada jam 10.30 pagi tadi. Kita telah menyatakan hasrat mahasiswa agar bas ditambah bagi menyelesaikan masalah terbabit dan kita juga menerima respon yang baik dari semua pihak", ulasnya.

Dalam pada itu, pertemuan ad-hoc pada pagi tadi telah meluluskan satu resolusi sementara yang akan dibawa oleh Prof. Shah kepada pihak atasan. Usul terbabit melibatkan penambahan 11 buah bas kitaran pada waktu-waktu genting iaitu sekitar jam 7-10 pagi.

Tambah beliau lagi, "hasil dari pertemuan pagi tadi , semua bersetuju untuk membawa usul agar 11 buah bas ditambah dilaluan kritikal iaitu KAB-Pintu Timur, KHAR-Proton City, Pintu Timur-Proton City. Namun penambahan terbabit hanya melibatkan waktu-waktu genting sahaja."



MPP Mahasiswa Pendidik gesa isu bas diselesaikan

Tanjong Malim, 13 Julai – MPP Mahasiswa Pendidik hari ini telah menyatakan komitmen untuk membawa isu pengangkutan bas kitaran ke pihak berkenaan khususnya Bahagian Pengangkutan (BP) UPSI agar diselesaikan segera.

Menurut Koordinator Mahasiswa Pendidik, Mohd Zahar (gambar kanan) yang juga merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPPUPSI, "Setelah 3 hari kuliah bermula, pergerakan bas ke tempat-tempat kuliah menjadi isu panas bagi para pelajar.

Pelbagai masalah dan respon yang diterima daripada pelajar yang menggunakan khidmat bas kitaran tersebut" ujar beliau yang turut memantau perjalanan bas sejak hari pertama kuliah.

Tambahnya "Setakat hari ini saya telah menerima begitu banyak aduan tentang masalah kekurangan bas bagi destinasi tertentu. Kita akan cuba membawa perkara ini kepada pihak yang sepatutnya supaya masalah ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin.

Kami dalam barisan Mahasiswa Pendidik juga telah melakukan mensyuarat tergempar pada petang tadi untuk mengambil maklumat dan mencari inisiatif terbaik bagi menyelesaikan masalah bas ini, tambah beliau lagi.

Masalah ini harus dipandang serius kerana ia boleh menjejaskan suasana pembelajaran para pelajar. Hal ini menjadi lebih rumit apabila melibatkan pelajar yang berkuliah di kampus di awal pagi, kemudian terpaksa bergegas untuk kuliah di Proton City", ujarnya.

Dalam hal berkaitan, perjalanan bas kitaran pada kali ini dikatakan sedikit sesak dari kebiasaan dan menimbulkan banyak kesukaran kepada pelajar.

July 12, 2010

Semester 8 : Transkrip akademik boleh ambil mulai hari ini

Tanjong Malim, 12 Julai - Menurut Mohd Amin Mat Sidik yang juga merupakan Exco Akademik & Kerjaya MPPUPSI, pelajar Semester 8 yang telah tamat pengajian pada sesi lepas boleh mengambil transkrip akademik bermula hari ini. Beliau yang memaklumkan perkara tersebut kepada Upsikini awal pagi tadi turut mengatakan ucapan penghargaan kepada pelajar Sem 8 yang berjaya.

Katanya, "terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar 'senior ' yang telah berjaya menamatkan praktikum masing-masing. Untuk pengetahuan semua, mulai hari ini bersamaan 12 hb Julai 2010 pelajar yang telah habis praktikum pada bulan Mei lepas boleh mendapatkan Transkrip Akademik masing-masing di Pejabat Hal Ehwal Akademik (Unit Pengijazahan).

Proses pengambil transkrip akademik ini boleh dilakukan bermula dari tarikh 12 Julai 2010 dan tiada tempoh tarikh tutup untuk pengambilan transkrip akademik anda.Menurut maklumat yang diperolehi melalui bahagian akademik, transkrip akademik ini boleh diambil sendiri oleh pelajar atau boleh juga mewakilkan kepada orang lain.

Jika tidak dapat dapat berbuat demikian, anda boleh mengambil transkrip tersebut semasa majlis istiadat konvokesyen pada bulan Oktober nanti." ulasnya di blog peribadi.

Lebih 2900 warga baru mula kuliah

Tanjong Malim, 12 Julai - Mahasiswa ambilan baru Julai 2010/2011 Universiti Pendidikan Sultan Idris yang telah berjaya mendaftar pada 4 Julai lepas akan memulakan kuliah menjelang pagi esok. Mereka dikatakan akan menyelami realiti sebenar pendidikan disini bermula esok.

Menurut sumber yang diterima Upsikini , seramai 2992 mahasiswa baru ambilan Julai telah mendaftar pada 4 Julai lepas. Mereka terdiri daripada 2393 mahasiswa ISMP, 270 Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) ,291 DPLI dan 38 mahasiswa antarabangsa.

Dalam hal berkaitan, antara ambilan ISMP teramai pada kali ini adalah melibatkan Fakulti Sains Kemanusiaan (nama baru bagi FSSK) iaitu 650 masing-masing dari kursus Pendidikan Sejarah 170, Geografi 50, Moral 230 dan Pengajian Malaysia 200 orang.

Manakala bagi ambilan baru DPLI, masing-masing melibatkan kursus Pendidikan Jasmani & Kesihatan (PJK) seramai 39, Perdagangan/Perniagaan 48, Perdagangan dan Usahawan 68, Sejarah 45, Moral 57 dan Ekonomi Rumah Tangga 34.

Dalam pada itu, ambilan pelajar antarabangsa pada kali ini melibatkan 2 pelajar dari Brunei, 1 Indonesia dan 35 dari China.


July 11, 2010

MPP Mahasiswa Pendidik 'jenguk' perjalanan bas esok

Tanjong Malim, 12 Julai – Menjelang permulaan kuliah pada pagi esok, perkhidmatan bas untuk pergi dan pulang dari kuliah menjadi salah satu pengangkutan terpenting pelajar di sini. Berikutan itu, ramai di kalangan pelajar akan berpusu-pusu, menggunakan perkhidmatan bas tersebut mengikut kolej masing-masing menjelang pagi esok.

Mengulas berkenaan perkara tersebut, Koordinator Mahasiswa Pendidik Mohamed Zahar Mohd Nor yang juga merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPP mengatakan bahawa MPP Mahasiswa Pendidik telah sepakat untuk turun bersama-sama mahasiswa bagi memantau perjalanan bas pagi esok.

Beliau yang memaklumkan perkara tersebut kepada Upsikini lewat petang tadi mengatakan bahawa, “kami barisan MPP yang membawa nama Mahasiswa Pendidik telah mengadakan mesyuarat dan sepakat mencadangkan supaya pemantauan perjalanan bas perlu dibuat dan ianya merupakan satu langkah yang perlu dilakukan sejajar dengan kehendak mahasiswa yang sudah memberi kepercayaan kepada kita”, ulasnya.

Sementara itu, Exco Kebajikan & Kemasyarakatan , Nik Azrul dalam kenyataannya turut memberi respon yang mengatakan “meskipun jadual perjalanan bas sudah dikeluarkan, pihaknya tetap perlu melihat sendiri perjalanan bas pada pagi esok bagi melihat realiti yang sebenar memandangkan terdapat ramai mahasiswa baru akan memulakan kuliah pagi esok disamping terdapat kuliah baru di Proton City”.

Dalam pada itu, beliau mengakui perkhidmatan bas memang sedikit sesak terutamanya pada waktu genting iaitu sebelah pagi dan petang. Namun, beliau turut menyarankan mahasiswa agar melihat jadula perjalanan bas yang ditampal agar mudah untuk mereka menyusun waktu masing-masing.

July 8, 2010

'Datuk Pa' rasmi MSK

Tanjong Malim , 8 Julai - Minggu Suai Kenal (MSK) UPSI pada kali ini membawa Datuk Mustapa Mohamed, Ketua Perhubungan UMNO Kelantan bagi merasmikan majlis penutup MSK ambilan baru Julai 2010. Beliau dijangka memberi ucapan dalam majlis bersama pemimpin terbabit malam ini.

Dalam pada itu, 'Datuk Pa' dikatakan antara pemimpin UMNO yang kuat 'menjaga' mahasiswa khsususnya anak Kelantan. Selain itu, wujud cakap-cakap yang mengatakan kehadiran beliau ada kaitan dengan cubaan untuk memancing mahasiswa agar memihak kepada pihak pemerintah sekarang dalam PRU akan datang.

Dalam hal berkaitan, baru-baru ini wujud cakap-cakap yang mengatakan beliau telah disisih oleh mahasiswa anak muda Kelantan dalam Fiesta Kelantan yang berlangsung di stadium Kota Bharu.

'Mahasiswa Pendidik' Ucap Selamat Datang Kepada Mahasiswa Baru

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Atas nama persahabatan yang abadi. Kami mengucapkan selamat datang buat seluruh mahasiswa pendidik baru angkatan 2010 di kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kami juga mengucapkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk bertemu dengan sahabat-sahabat warga baru sekalian.

Segala penat lelah dan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dilakukan akhirnya terbayar dengan kejayaan sahabat-sahabat sekalian melangkahkan kaki di Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk meneruskan pelajaran dalam bidang pilihan masing-masing. Sekalung tahniah diucapkan kepada semua.

Suasana dan keadaan sebelum berada di alam kampus amat berbeza berbanding di alam kampus dari segi cara hidup, budaya, bahasa, tanggungjawab dan pelbagai lagi. Saya yakin saudara dan saudari akan menempuh pelbagai cabaran dan pengalaman baru apabila meneruskan pengajian nanti. Lihatlah perkara tersebut sebagai peluang yang perlu direbut untuk menjadikan diri kita lebih baik daripada yang sebelumnya.

Keharmonian hubugan antara kaum India, Cina, Etnik Sabah , Sarawak dan lain-lain sentiasa kita perkukuhkan demi kesehteraan bersama. Semangat persaudaraan antara kita sewajarnya diperteguhkan. Semoga kita dapat meneruskan perjuangan dengan penuh toleransi dan tanggungjawab bersama demi kedamaian sejagat.

Bagi muslim, kita meyakini segalanya terjadi atas kehendak-Nya. Maka, hargai dan syukurilah segala kurniaan-Nya dengan sebaik mungkin. Misi kehidupan kita sebagai Hamba-Nya adalah merupakan hakikat kejadian kita diciptakan. Jadikanlah cara hidup Islam sebagai cara hidup kita dan serlahkanlah kemuliaan Islam di atas segala cara hidup yang lain.

Kami barisan kepimpinan Mahasiswa Pendidik mengalu-alukan kedatangan saudara dan saudari ke Univesiti Pendidikan Sultan Idris dan menjemput anda semua untuk menyertai program-program dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat buat kita semua sepanjang berada di bumi pendidikan ini. Moga-moga kita dipermudahkan dalam segala urusan.

Sekalung Tahniah dan Selamat Memulakan Pengajian.


”MAHASISWA PENDIDIK PENCETUS TRANSFORMASI”

Dipetik dari http://mohdzahar.blogspot.com/


PTPTN dijangka masuk 10 Julai

Tanjong Malim , 8 Julai - Wang PTPTN untuk mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dijangka dikreditkan ke akaun pelajar pada 10 Julai ini. Tarikh tersebut dikatakan awal lantaran keputusan peperiksaan Sem 1 10/11 dikeluarkan lebih awal berbanding sesi lepas.

Menurut Nik Azrul, Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI yang telah menghubungi pihak berkenaan mengatakan “pada sem ini mahasiswa boleh menarik nafas lega kerana PTPTN dijangka akan masuk awal iaitu 10 Julai ini”.

Beliau turut mengatakan ucapan terima kasih atas usaha pihak yang berkenaan dalam menguruskan kewangan pelajar pada kali ini . Sebelum ini, wang PTPTN dimasukkan lewat ke akaun pelajar dan menimbulkan kesukaran kepada mahasiswa.

UPSIkini Ucap Selamat Menempuh Semester 1 Sesi 10/11

Warga kerja UPSIkini mengucapkan Selamat Menempuh Semester 1 Sesi 10/11 kepada seluruh mahasiswa UPSI yang akan bermula Isnin ini. Untuk itu pihak UPSIkini juga memohon maaf atas kelewatan dalam memberikan informasi yang berterusan kepada semua.
Dalam pada itu, Upsikini mengucapkan tahniah bagi yang cemerlang dalam peperiksaan lepas dan teruskan usaha. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada seluruh warga baru Upsi ambilan Julai 2010. Moga dimudahkan segala urusan.

Dalam hal berkaitan, pihak UPSIkini sedang berusaha untuk menstruktur tugas secara berterusan untuk semua editor bagi membolehkan laporan terkini dapat disiarkan seperti biasa terutamanya dalam awal semester.