November 17, 2011

Pembekuan 'posting' ISMP dibahas di parlimen

Tanjong Malim, 17 Nov. - Isu pembekuan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih 'tergantung' telah dibahas di Dewan Rakyat (Parlimen) dalam satu sesi perbahasan Menteri Pelajaran kira-kira jam 5 hingga 7 petang semalam.

Menurut sumber, perbahasan tentang status seluruh graduan ISMP Malaysia telah dibawa oleh YB Salahuddin Ayub (gambar), Ahli Parlimen Kubang Kerian dengan mengajukan soalan lisan kepada Tim. Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Salahuddin Ayub telah mengajukan soalan lisan kepada Tim. Menteri Pelajaran dengan bertanya 'bilakah graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) akan ditempatkan ?'

Namun, Dr. Wee Ka Siong dilaporkan mengelak dari memberi jawapan yang jelas dan menyatakan bahawa kerajaan melalui surat JPA 12 Oktober 2011 membekukan pengambilan sehingga 31 Disember 2011 disebabkan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bermula tahun depan.

Dalam pada itu, ekoran tiada jawapan yang jelas, Ahli Parlimen Padang Terap (PAS), Nasir Zakaria turut membahaskan isu tersebut dan mendesak agar penempatan graduan ISMP ini dilakukan dengan kadar segera.

Katanya "Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar mereka mencari kerja lain. Ini jelas merupakan penghinaan terhadap graduan-graduan UPSI,"

Namun dalam masa yang sama, menurut beliau, guru-guru tanpa ijazah pula diberikan keistimewaan oleh pihak kerajaan dengan diberikan peluang penempatan mengajar dengan sewajarnya.

"Jadi saya minta Kementerian Pelajaran lihatlah isu ini dan selesaikan dengan baik dengan segera " katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, 16 November semalam.



1 comment:

Anonymous said...

ini pon salah satu masalah rakyatkan....