April 10, 2009

Harapan Tinggi Buat Kabinet Baru:Mahasiswa UPSI

Tanjong Malim, 10 April – Perlantikan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 serta pembentukan kabinet ‘pasukan baru’ petang semalam mendapat respon yang amat positif di kalangan mahasiswa UPSI.

“ Saya mewakili seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat kepada barisan kabinet baru yang dibentuk semalam. Kami amat mengharapkan kepimpinan baru yang diterajui oleh Datuk Seri Najib, dapat membawa Malaysia ke arah yang lebih baik berbanding dengan kepimpinan lepas”, demikian ujar salah seorang MPP Pro Kebajikan, Akmal Bin Madzir.

Beliau turut optimis bahawa kepimpinan baru ini dapat menunaikan janji dan memperjuangkan nasib rakyat khususnya rakyat-rakyat marhain tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik sempit.

Mohd Nawwar Abu Mukhtar, Presiden Persatuan Pendidikan Islam (PPI) pula menekankan agar kepimpinan yang baru dapat memfokuskan kepada sistem pendidikan yang lebih menyeluruh dan seimbang daripada semua aspek.

“Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, Kementerian Pelajaran ada menetapkan 6 teras utama dan salah satunya adalah pembangunan modal insan. Kami di peringkat mahasiswa bidang pendidikan amat mengharapkan agar kepimpinan baru dapat meneruskan cita-cita murni ini terutama dalam melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya, ” komen beliau.

Selain itu, pembentukan kabinet semalam turut mendapat respon yang positif daripada kepimpinan mahasiswi UPSI yang mengharapkan supaya hak dan kebajikan wanita mendapat perhatian yang serius.

“Saya selaku wakil mahasiswi UPSI terlebih dahulu ingin mengucapkan tahniah, namun demikian kami selaku mahasiswi ingin menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baru, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar dapat menjaga kebajikan wanita dan mahasiswi dengan lebih serius kerana wanita juga memainkan peranan yang penting dalam aspek pembangunan negara apatah lagiuntuk masa hadapan yang lebih menuntut kepimpinan yang berkaliber di kalangan wanita itu sendiri.” Ujar Norhafizawati Mohammad Razali, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI.

Sebelum itu, pada jam 3 petang semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kabinet baru yang digelar ‘pasukan baru’ dan pada pagi tadi, kesemua menteri dan timbalan menteri kabinet telah mengangkat sumpah di hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong di Istana Negara.

No comments: