Oleh : Mohd Zahar Mohamed Nor
Apabila kerajaan memberi isyarat awal mengenai pemotongan subsidi, ramai pihak telah memberi pelbagai reaksi terhadap baik buruk tindakan terbabit. Tindakan kerajaan yang mahu menilai dan mengkaji pemberian subsidi diharapkan tidak akan melibatkan penarikan subisidi pendidikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Pendidikan merupakan nadi utama sesebuah negara yang menjadi 'catalyst' kepada kemajuan dan peradaban tinggi bagi sesebuah tamadun. Bebanan dan kos sara hidup yang semakin tinggi dari semasa ke semasa tidak sewajarnya dibebankan lagi dengan penarikan subsidi pendidikan. Oleh itu, kita melihat bahawa subsidi pendidikan merupakan perkara yang amat penting dalam menjana pendidikan berkualiti serta meningkatkan mutu kecermerlangan pendidikan negara seterusnya menjadi penggerak kepada kemajuan negara pada masa depan.
Sebagai seorang mahasiswa, saya percaya kerajaan akan memberikan perhatian serius terhadap mutu pendidikan negara khususnya melibatkan golongan yang berpendapatan rendah. Jika melihat kembali peruntukan subsidi pendidikan terdahulu, ianya melibatkan jumlah yang cukup besar merangkumi sistem persekolahan dan universiti.
Sebagaimana yang diperuntukkan kepada KPM dan KPT pada tahun 2008, bagi sistem persekolahan, subsidi yang diberikan antaranya termasuk pinjaman buku teks percuma bagi 5.7 juta pelajar, pemansuhan yuran dan diganti dengan yuran khas sebanyak RM 4.50 bagi sekolah rendah dan RM 9.00 bagi sekolah menengah, pakaian seragam ko-kurikulum percuma bagi pelajar miskin sebanyak RM 188.8 juta (pendapatan bawah RM1000), program susu sekolah RM 26.7 juta (melibatkan 621773 pelajar), bantuan makanan asrama RM 1.08 billion, program rancangan makanan tambahan RM 276 juta dan beberapa peruntukan lain yang memakan bajet yang cukup besar.
Bagi peruntukan pengajian tinggi pada tahun 2008, sebanyak RM 268.5 juta diberikan masing-masing melibatkan Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan, Universiti dan Skim Biasiswa Sukan, tajaan ijazah pertama JPA di universiti tempatan melibatkan 10,000 orang setahun dan Elaun Sara Hidup pelajar peringkat pengajian tinggi dinaikkan antara 23% hingga 84% (bagi di semua peringkat pengajian lebih 90,000 pelajar).
Jika diperhatikan, subsidi pendidikan terbabit memberi kesan besar terhadap rakyat yang berpendapatan rendah. Hal ini belum lagi termasuk pembiayaan pendidikan yang melibatkan guru dan kakitangan kerajaan. Bayangkan sekiranya jumlah tersebut dikurangkan atau dihapuskan kerajaan, saya kira tindakan terbabit akan memberi impak yang besar kepada kemandirian sistem pendidikan negara kearah mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.
Berhubung hal ini, saya menyokong pandangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang berkata pada masa ini, lebih 90 peratus pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Rakyat berpendapatan rendah masih memerlukan subsidi pendidikan untuk memastikan anak mereka dapat meneruskan pengajian.
Sekiranya subsidi pendidikan dimansuhkan , saya melihat negara kita bakal menjerumuskan pendidikan ke arah sebuah perniagaan. Pendidikan tidak sewajarnya dikomersialisasikan. Institusi pendidikan ditubuhkan persis seperti syarikat perniagaan yang bertujuan mencari keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kebajikan rakyat , pembangunan peradaban, agama dan bangsa. Apabila pendidikan dijadikan bahan komersial yang mendokong idea kapitalis, maka kita akan melihat ramai golongan yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke peringkat pengajian tinggi kesan dari kos yang tinggi.
Bantuan dalam bentuk subsidi sewajarnya diteruskan malah lebih baik sekiranya ditambah oleh kerajaan pada masa akan datang. saya mencadangkan agar kerajaan mengkaji mekanisme pemberian subsidi dengan teliti. Garis panduan yang jelas terhadap golongan dan rakyat yang layak menikmati subsidi pendidikan perlu diwujudkan.
Saya berharap agar tindakan kerajaan menilai kembali subsidi yang bakal dilakukan kelak tidak akan membebankan dan merugikan mana-mana pihak khususnya kepada golongan pelajar dan mahasiswa. Pendidikan sewajarnya menjadi keutamaan yang paling utama bagi sesebuah negara.
*Penulis merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris.
2 comments:
oh..negara dah nak bankrup(idris jala) masih mau subsidi
takkan bankrup jika tak salur duit ke jalan yg tak sepatutnya.
Post a Comment