October 12, 2008

Mahasiswa persoal pendedahan mantan YDP MPP di dalam Harakah


Pendedahan penyelewengan PRK yang dibuat oleh mantan YDP MPP, saudara Mohd Raimi Rahim di dalam Harakah menjadi satu lagi isu penting menjelang PRK kali ini. Pendedahan yang disiarkan oleh akhbar Harakah keluaran 5-7 September 2008 itu menyatakan bahawa PRK yang lalu dipenuhi dengan penyelewengan dan campur tangan pihak-pihak tertentu bagi memastikan kemenangan kumpulan Aspirasi. Beliau yang turut bertanding pada PRK yang lalu mendakwa bahawa semua percaturan di dalam PRK lepas telah disusun dengan begitu rapi dan berat sebelah kepada kumpulan Aspirasi.

Menurut Hafiz (bukan nama sebenar), 22, pendedahan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan kami sebagai mahasiswa terhadap sistem dan proses PRK yang lalu.”Saya begitu terkejut dengan pendedahan itu dan merasakan kami sebagai pengundi tertipu dengan sistem yang ada”katanya. Tambah beliau “pihak MPP lepas seharusnya berani tampil dan menjelaskan perkara sebenar kepada warga UPSI secara terus dan professional berkaitan dengan perkara ini kerana kami punyai hak untuk itu sebagai mahasiswa UPSI”. Beliau yang merupakan mahasiswa tahun 3 sempat mengingatkan kepada bakal calon yang bertanding agar lebih bertanggungjawab dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa sekiranya menang nanti.

Seorang lagi mahasiswa yang ditemui, Rasyidah (bukan nama sebenar), 23, mengatakan bahawa kemungkinan ini adalah propaganda yang dicipta oleh pihak tertentu bagi membuat tuduhan kepada kepimpinan MPP lepas. “Saya sememangnya merasakan ini adalah satu taktik kotor pihak yang mahu mencari isu dalam PRK akan datang”ujar beliau.

Wakil Pro Mahasiswa yang membuat ulasan kepada upsikini.blogspot.com turut mengulas perkara yang terkandung di dalam surat pendedahan tersebut. ”Kami beranggapan bahawa pendedahan itu dibuat oleh pihak mereka sendiri dan berkemungkinan besar daripada serpihan Aspirasi yang turut menjadi seteru kepada MPP lepas. Buktinya adalah fakta yang didedahkan dilihat menjurus kepada HEP dan Datuk M”kata wakil Pro Mahasiswa yang ditemui semalam. “Kami akan sentiasa berwaspada dengan tohmahan mereka kepada kami dan tidak akan terikut-ikut dengan rentak permainan politik sempit mereka. Perancangan yang kami buat akan diteruskan sehingga matlamat kami tercapai” ulas beliau lagi.

Surat pendedahan itu mendapat perhatian seluruh warga kampus sebelum ini dan isu penting masyarakat kampus dalam PRK kali ini.

No comments: