February 28, 2009

Pandangan mahasiswa semester akhir sudah dipanjangkan – Exco Akademik dan Kerjaya

Tanjong Malim, 28 Feb. – Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis hari ini membuat kenyataan bahawa pandangan mahasiswa semester akhir berkenaan isu tarikh konvokesyen telah disampaikan ke pihak atasan.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut meminta agar semua mahasiswa semester akhir agar bertenang dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas mereka yang sedang berpraktikal dan memberi kepercayaan kepada pihak MPP untuk menyelesaikan isu ini.

Menurut Aqilah, MPP memahami situasi mereka dan akan berusaha sedaya upaya supaya tarikh Istiadat Konvokesyen mereka ini dikekalkan pada Ogos.

“Kita memahami apa yang sedang mereka fikirkan dan setiap pandangan mereka akan dipanjangkan dalam usaha merealisasikan impian mereka menjadi guru”,ulasnya.

“Perkembangan ini memperlihatkan satu keadaan yang positif di mana mahasiswa semakin ke hadapan dalam menyampaikan hasrat mereka dan kami dalam kepimpinan MPP menghargai setiap pandangan mereka,”tambahnya lagi.

Sebelum ini, sebilangan besar mahasiswa semester akhir menyampaikan bantahan mereka dalam ruangan forum Upsi portal yang mahukan istiadat konvokesyen dibuat pada Ogos.

Mahasiswa semester akhir bantah Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 pada Disember

Tanjong Malim, 28 Feb. – Isu tarikh Istiadat Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 yang berkemungkinan diadakan pada Disember mendapat bantahan dari sebahagian besar mahasiswa semester 8 yang sedang berpraktikal pada semester ini.

Bantahan disuarakan sebilangan mahasiswa semester akhir melalui ruangan forum Upsi Portal yang melihat tarikh tersebut terlalu lewat berbanding kebiasaannya yang diadakan pada bulan Ogos.

Mereka juga mempersoalkan rasional tarikh istiadat konvokesyen itu dilewatkan daripada Ogos ke Disember.

Tambah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan mahasiswa semester 8 kini adalah desas-desus yang mengatakan majlis graduasi tersebut turut melibatkan pelajar semester 7 pada semester ini yang bakal menamatkan pengajian pada September dan keadaan ini dikhuatiri akan menyebabkan lambakan graduan untuk mengisi kekosongan jawatan guru kelak.

Turut diutarakan adalah kebimbangan mereka tentang kelewatan mereka ditampatkan di sekolah-sekolah apabila tarikh Konvokesyen ini dilanjutkan pada Disember.

Rata-rata komen yang disampaikan mendesak agar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) membawa isu ke pihak atasan untuk mengekalkan tarikh Istiadat Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 ini pada Ogos.

Upsikini terima e-mel, komen mahu blog diteruskan

Tanjong Malim, 28 Feb. – Blog informasi Upsikini hari ini mendedahkan bahawa pihak editor menerima emel dan komen dari pelbagai pihak yang mendesak blog Upsikini diteruskan dalam menyampaikan maklumat kepada pembaca. Upsikini yang tidak mengeluarkan sebarang berita sejak 3 minggu lalu dikatakan sudah tidak akan meneruskan operasinya sebagai media alternatif pembaca mendapatkan berita terkini dari UPSI.

Ketua Editornya, Mr. Teller apabila ditanya tentang perkara ini mengatakan, pemberhentian sementara dalam melaporkan sebarang perkembangan terkini UPSI adalah atas beberapa faktor dan antaranya adalah bagi melihat reaksi pembaca.

“Ternyata pembaca dahagakan berita-berita terkini dari UPSI dan emel yang kami terima menunjukkan upsikini mempunyai pembacanya dan diterima ramai terutamanya warga UPSI,”jelasnya.

Tambahnya lagi, “berdasarkan perkembangan ini, Upsikini akan terus menyampaikan berita-berita segar dan penambahbaikan akan diteruskan dari semasa ke semasa”.

Untuk rekod, Upsikini ditubuhkan pada Oktober 2008 dan masih beroperasi sehingga kini.

February 1, 2009

Pro Kebajikan seru warga UPSI bersama Dr. Abdullah Hassan


Tanjong Malim, 1 Feb. – Keberanian Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang menjadi penggerak dalam usaha memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) harus dicontohi seluruh warga UPSI.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI merupakan satu-satunya warga UPSI yang ke hadapan dalam memperjuangkan isu ini.

Sehubungan dengan itu, Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya mengeluarkan kenyataan menyeru warga UPSI untuk bersama beliau dalam menyatakan pendirian tentang dasar PPSMI ini.

Sebelum ini Abdullah pernah bercadang menganjurkan satu rombongan ke Kementerian Pelajaran untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelajaran Malaysia bagi menyatakan pendirian para akademik di UPSI tentang PPSMI, dan mengembalikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik dalam sistem pelajaran Malaysia.

Semalam, beliau dilaporkan bersama beberapa tokoh bahasa dan sastera melancarkan kempen Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pusat membeli-belah SOGO dalam rangka menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 7 Mac ini untuk menyerahkan memorandum bantahan dasar PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan dalam kenyataannya berharap agar Abdullah dapat menjalankan siri penerangan kepada warga UPSI tentang isu ini.

Untuk rekod, dasar PPSMI telah dilaksanakan selama 7 tahun dan sejak kebelakangan mendapat bantahan daripada ramai tokoh bahasa dan sastera tanah air.

Spekulasi siapa calon TNC HEP UPSI bertiup kencang

Tanjong Malim, 1 Feb. – Hebahan kekosongan jawatan Timbalan Naib Canselor & Alumni (HEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disiarkan dalam laman web rasmi UPSI mula menjadi perhatian mahasiswa di sini.

Tarikh permohonan yang ditutup pada 23 Januari lalu mengundang pelbagai khabar angin yang menjangkakan TNC baru bakal diketengahkan untuk mengetuai Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI.

Kerusi panas yang sering dikaitkan dengan kepentingan politik ini dijangka penuh dengan pelbagai spekulasi berdasarkan perkembangan semasa mahasiswa seluruh negara.

Lantaran itu, timbul cakap-cakap yang mendakwa antara calon yang dijangka mengisi jawatan tersebut adalah Prof. Omar bin Abdull Kareem yang kini merupakan Dekan Institut Pengajian Siswazah.

Desas-desus yang mengaitkan nama Prof. Omar dengan jawatan TNC HEP ini timbul apabila beliau dilihat sebagai ahli akademik yang terbuka dalam mengendalikan beberapa isu.

Di samping itu beliau juga dikatakan antara ahli akademik yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa kegiatan mahasiswa di UPSI.

Namun tiada sebarang bukti kukuh yang diterima Upsikini bagi mengesahkan kenyataan ini.

Upsikini turut dilaporkan berkemungkinan juga jawatan ini dikekalkan kepada penyandangnya kini, Prof. Shaharudin Abd Aziz yang dikatakan berjaya membawa beberapa perubahan dalam pentadbiran JHEPA.

Antara yang jelas adalah keterbukaan HEP dalam mengendalikan Pilihanraya kampus yang lalu meskipun terdapat beberapa kelemahan yang berlaku terutamanya dalam penegasan peraturan PRK.

Beliau juga dikatakan bakal berdepan dengan tugas sukar sekiranya kantrak jawatan TNC HEP ini terus diberikan kepadanya akibat gelombang perubahan dalam PRK yang lalu apabila 8 kerusi MPP berjaya dirampas Pro Kebajikan yang tidak sehaluan dengan Pro Kualiti (dahulunya dikenali sebagai Pro Aspirasi).

Untuk rekod, kontrak jawatan TNC HEP hanya berkuatkuasa selama 2 tahun dan dijangka bakal diperbaharui pada Jun ini.