August 28, 2010

Zahar: Hati-hati balik kampung, kirim salam pada keluarga

Tanjong Malim , 28 Ogos – Exco Latihan dan Pembagunan Sahsiah MPPUPSI Mohd Zahar Mohd Nor yang juga merupakan Koordinator Mahasiswa Pendidik mengingatkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris agar berhati-hati apabila pulang ke kampung.

Katanya "saya memohon kepada rakan-rakan agar berhati-hati ketika memandu kereta, motorsikal serta menjaga keselamatan barang-barang dan diri semasa perjalanan pulang menaiki bas atau penangkutan awam lain,moga-moga kita selamat pulang dan kembali "

Dalam pada itu, beliau juga turut mengirimkan salam kepada seluruh keluarga rakan-rakan mahasasiswa, semoga berada dalam sejahtera adanya sempena menyambut kedatangan hari kemenangan (hari raya) bagi seluruh umat Islam.

Tambahnya,"saya mendoakan agar rakan-rakan mahasiswa selamat pulang berhari -raya dan dijauhkan dari segala musibah moga-moga dipermudahkan-Nya dalam segala urusan"

August 26, 2010

MPP Mahasiswa Pendidik: Edar bubur lambuk, buka puasa bersama

Tanjong Malim, 26 Ogos - Sempena menyambut bulan Ramadan , MPP Mahasiswa Pendidik dikatakan telah mengambil inisiatif untuk mengedarkan bubur lambuk kepada seluruh warga Upsi sekitar kampus disamping menguruskan majlis berbuka puasa bersama pelajar dari setiap hari Isnin hingga Jumaat di Surau An-Nur.


Tindakan tersebut diambil bagi meraikan bulan yang mulia dengan pelbagai aktiviti kebajikan disamping mengeratkan perhubungan sesama warga kampus. Koordinator MPP Mahasiswa Pendidik Mohd Zahar Mohamed Nor yang juga merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPPUPSI menyifatkan pemberian bubur lambuk dan majlis berbuka puasa yang diadakan merupakan salah satu aktiviti tahunan yang Insha-Allah akan diteruskan pada masa akan datang.

Katanya,"walau pun pemberian bubur lambuk hanya dilakukan sekali sekala, moga-moga ianya menjadi salah satu amal kebajikan kecil bagi kami buat seluruh mahasiswa dan saya menjemput kepada mahasiswa untuk sama-sama kita berbuka puasa di Surau an-Nur pada setiap hari Isnin - Jumaat."

Majlis berbuka puasa harian tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mahasiswa menjimatkan duit selain dapat mengeratkan persaudaraan dengan aktiviti berbuka puasa bersama dan beliau menyifatkan bahawa usaha terbabit tidak akan berjaya jika tidak mendapat kerjasama dari semua pihak.
Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam menjayakan aktiviti kebajikan terbabit moga segala amal yang dilakukan dihitung oleh-Nya kelak.

August 25, 2010

PC Fair : Lebih 5 pelajar dakwa dipukau, lesap RM 2000

Tanjong Malim, 25 Ogos- Lebih dari lima pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris didakwa telah ditipu semasa membeli sejenis alat Linguaphone di PC Fair dan Karnival Ramadan bertempat di SITC yang bermula beberapa hari lepas.

Dalam pada itu,pelajar yang menjadi mangsa tersebut mendakwa mereka seolah-olah dipukau semasa di promote oleh seorang promoter barangan tersebut dan terus tandatangan borang pembelian berharga RM1988 bagi tiga jenis barang berupa CD, buku dan earphone selain menyifatkan promoter tersebut mempunyai kata-kata yang manis.

Katanya, semasa lalu ditempat barang tersebut dijual , saya memang tak berniat nak beli, tapi tiba-tiba saya di promote dan seolah-olah terpukau lalu terus tandatangan borang pembelian dan bayar barang yang berharga RM1988."

Selain itu, beberapa mangsa lain pula mendakwa telah membayar deposit sebanyak RM 250 dan terpaksa membayar ansuran bulanan bagi melunaskan pembelian. Pelajar yang menjadi mangsa dikatakan telah membuat aduan kepada pihak penganjur iaitu MPP dibawah kepimpinan Razik dan kepada pihak JHEPA, namun mereka dikstakan tidak dapat berbuat apa-apa.

Petang tadi, mereka dikatakan telah membuat satu lapoan Polis berhubung penipuan tersebut dan menggesa supaya pihak penganjur MPP dan universiti lebih teliti dalam memilih peniaga yang menjual barangan dalam sebarang program.

Dalam hal berkaitan, PC Fair tersebut menjual berbagai jenis barangan komputer, kamera , buku-buku dan pakaian.

August 24, 2010

Forum 'Malaysia Dalam Dunia Globalisasi'

Makluman, Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Perdana akan mengadakan forum "Malaysia Dalam Dunia Globalisasi" sempena Pertandingan Menulis Essei "Nurturing the Minds of Future Leaders" seperti berikut :

Tarikh:25 Ogos 2010 (Rabu)
Masa:9.00 pagi - 12.00 tengahari
Tempat::Auditorium Utama, UPSI

Ahli Panel:

[1] Y. Bhg. Prof Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Khoo Kay Kim (UM)
[2] Y. Bhg. Prof. Dr. Rajendran Nagappan (UPSI)
[3] Y. Bhg. Prof. Dr. Abdul Jumaat Mahajar (UPSI)

Semua warga UPSI adalah dijemput hadir

Forum portal: 'Polis trafik' UPSI suka saman parking

Tanjong Malim, 24 Ogos - Forum di UPSI Portal sejak beberapa hari ini telah dihangatkan dengan rungutan mahasiswa berhubung saman parking yang dikatakan semakin banyak dikenakan kepada mahasiswa. Forum yang bertajuk 'polis trafik suka saman'tersebut dikomen lebih dari 30 mahasiswa yang mengadu kekecewaan berkenaan perkhidmatan parking motor pelajar Upsi yang diakatakan terhad untuk staff berbanding pelajar.

Dalam pada itu, menurut Shahril Izam yang mengadu disaman bekali-kali, katanya " saya pun sama, kena 2 saman parking dalam masa 2 hari, huhu...saya tak diberitahu pun tentang hal ini ketika memohon sticker dulu. Mungkin juga pegawai yang bertugas masa tu lupa nak bagi tau."

Tambahnya " Saya tak kisah juga dengan hal ini sebab dah memang salah saya, cuma apa yang saya kesalkan ialah apabila saya cuba mendapatkan penjelasan daripada pegawai yang bertugas masa tu dia cuma cakap "pegi bayar saman". Masa pegi bayar pula, kena lagi dengan pegawai kat sana,huhu..dia cakap "dah sem 7 tak kan tak tau lagi kut peraturan parking". Maca mana nak tau kalau tak pernah mendapat penjelasan. Mungkin juga salah saya sebab tak mengambil tahu hal ini."


Selain itu , Mohammad Farhan Abu Talib menyifatkan bahawa parking yang terdapat dikampus banyak untuk staff berbanding kepada mahasiswa , katanya " apa la..staff pun mcm budak-budak..banyakkan tempat parking pelajar bukan staff..UPSI tempat untuk mahasiswa bukan untuk staff..kena faham-faham..salam ramadhan."


Bagi Khairul Anuar pula, pihak Upsi perlu mengambil berat hal ini, ujarnya, "kepada pihak Upsi sila ambil berat hal ini, perbanyakkan lah tempat parking motosikal untuk student...kami ni bukannya pakai kereta...tak kaya pun...motor pun biasa-biasa ja...kami di sini bukan untuk menentang tapi memberi idea untuk kebaikan masa depan...kepada trafic Upsi dan pengawal-pengawal semua..gunakan helmet ketika membawa motosikal dlm kawasan upsi...itu displin yang anda kena juga sebelum menjaga disiplin student"

Dalam hal berkaitan, sebelum ini isu berhubung parking di Upsi dikatakan belum pernah selesai dan pernah dihangatkan sehingga mendapat respon dalam surat aduan Berita Harian.

August 23, 2010

Pelajar sifatkan 'couple KHAR' tak hormat Ramadan

Tanjong Malim, 23 Ogos - Upsikini hari ini telah menerima e-mail dari beberapa orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menyatakan kekecewaan berhubung budaya 'couple' yang menyaksikan 'pasangan-pasangan bahagia' Upsi berdua-duan di satu tempat berhampiran KHAR dan Taman Bahtera . Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai biadab kerana tidak menghormati Ramadan.

Dalam pada itu, menurut pelajar terbabit mereka tidak segan silu berdua-duaan malahan berpegangan tangan ditepi jalan berhampiran sungai KHAR dan Taman Bahtera selain menyifatkan terdapat lebih 5 pasangan bahagia setiap malam.

Selain itu, wujud dakwaan lain bahawa sebenarnya mereka bukan berdua-duan sebaliknya sedang membuat 'assignment' bersama memandangkan sekarang adalah minggu yang memerlukan tugasan disiapkan.

Mahasiswa anggap JHEPA tak serius, baru anjur Speaker's Corner

Tanjong Malim, 23 Ogos - Berhubung penganjuran Speaker's Corner yang telah bermula pada semester lepas di Universiti Pendidikan Sultan Idris, wujud dakwaan dari mahasiswa yang mengatakan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) tidak serius dalam menganjurkan aktiviti tersebut.

Dakwaan tersebut dikatakan mula meniti dibibir mahasiswa apabila sepanjang tempoh pengajian berlangsung pada awal Julai lalu, belum pernah satu pun Speaker's Corner dianjurkan, selain tiada langsung 'banner' atau poster yang mewar-warkan aktiviti tersebut kepada mahasiswa. Terbaru, Speaker's Corner pertama akan diadakan pada hari Rabu ini setelah 2 bulan ditangguh :

Tarikh : 25 Ogos 2010
Tempat: Bitarasiswa , UPSI.

Dalam pada itu, hasil tinjaun Upsikini mendapati , rata-rata mahasiswa tidak mengetahui kewujudan Speraker's Corner di unversiti malahan tidak tahu apa itu Speaker's Corner.

Selain itu, Speakers Corner yang dikatakan sebagai wadah bagi mahasiswa melatih kemahiran berpidato dan mencorak bakat dan keyakinan seolah-olah hanya satu 'kosmetik' pihak yang menganjurkan aktiviti tersebut kerana tiada kesungguhan dalam perlaksanaan.

August 11, 2010

TNCA adakan dialog bincang isu dan cabaran mahasiswa Upsi

Makluman kepada seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, satu dialog khas bersama Timbalan Naib Canselor Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris , Profesor Dr. Zakaria Kasa akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 12 Ogos
Masa: 9.00 pagi
Tempat : Auditorium
Tajuk: Mahasiswa UPSI -Isu dan Cabaran


Menurut Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI , Mohd Amin Mat Sidik, pertemuan khas tersebut diadakan bagi membuka ruang kepada semua mahasiswa untuk mendengar penjelasan dan melontarkan persoalan berhubung hal ehwal akademik semasa dan prospek masa depan mahasiswa UPSI langsung kepada Prof Dr. Zakaria Kasa.

Katanya, 'kami sebagai penghubung suara mahasiswa mengajak rakan-rakan untuk sama-sama turun mendengar pelbagai isu akademik dan pendidikan yang akan dikupas oleh Prof Dr Zakaria Kasa,bagi rakan-rakan yang berkelapangan bolehlah ambil peluang untuk mengajukan pelbagai persoalan yang berkaitan."

Kecewa ruang kafe Bitara ditutup

Tanjong Malim, 11 Ogos - Sejak beberapa hari lepas, Upsikni telah menerima aduan dari mahasiswa yang menyatakan kekecewaan berhubung penutupan ruang kafe di bangunan Bitarasiswa. Ruang kafe tersebut dikatakan belum pernah dibuka sejak dari awal Julai lalu.

Mereka menyatakan kekecewaan berhubung hal tersebut kerana ruang kafe terbabit selalu digunakan untuk membuat 'discussion assigment' disebabkan terdapat kemudahan kerusi , meja dan wireless.

Dalam pada itu, ahli persatuan yang ada di Upsi turut menyatakan kekecewaan mereka berhubung perkara tersebut kerana dikatakan sejak penutupan kafe bermula awal semester , tumpuan mahasiswa semakin berkurangan di Bitara dan ini menyebab mereka sukar untuk membuat hebahan dan membuka kaunter persatuan di sana.

Katanya 'semenjak kafe Bitara tutup, saya lihat mahasiswa semakin kurang datang ke sana, ini menyebabkan bangunan Bitara sepi dan payah untuk kami menghebahkan maklumat persatuan . Kalau buka kaunter persatuan pun hanya seorang dua yang datang berbanding sebelum ini".

Dalam hal berkaitan, penutupan ruang kafe tersebut dikatakan ada kaitan dengan tender,kontrak pengusaha kafe yang telah tamat tempoh dan masih belum disambung oleh pihak pengurusan.

Upsikini ucap Selamat Berpuasa

Warga kerja UPSIkini mengucapkan Selamat Menempuh Ramadhan dan Selamat Berpuasa kepada seluruh mahasiswa UPSI yang beragama Islam. Untuk itu pihak UPSIkini juga mengucapkan selamat menjalani ibadah puasaa , semoga segala amalan baik yang dilakukan akan dihitung disisinya.

Dalam hal berkaitan, pihak UPSIkini juga memohon maaf diatas kelewatan berita dan kami sentiasa menyusun kembali tugas untuk semua editor bagi membolehkan laporan terkini dapat disiarkan seperti biasa terutamanya sepanjang bulan Ramadhan

.
Teruskan Bersama Upsikini

August 5, 2010

Konvensyen MPPK : MPP Mahasiswa Pendidik bawa usul biasiswa KPM

Tanjong Malim, 5 Ogos – Berhubung Konvensyen MPP IPTA yang akan diadakan pada hujung minggu ini, MPP Mahasiswa Pendidik ketika dihubungi Upsikini telah menyatakan pendirian untuk membawa beberapa usul penting termasuk usul supaya biasiswa KPM dikembalikan.

Biasiswa KPM , khususnya bagi mahasiswa yang mengambil bidang pendidikan di IPTA telah dibekukan bermula pada tahun 2009 dan status permohonan biasiswa tersebut masih belum diketahui hingga kini.

Menurut Koordinator MPP Mahasiswa Pendidik , Mohd Zahar Mohamed Nor, berhubung pembekuan biasiswa KPM tersebut , kita tidak mendapat sebarang hitam putih dari pihak kerajaan dan ianya dilihat suatu tindakan yang perlu dijelaskan kepada kita mahasiswa berhubung kenapa ianya dibekukan.

Katanya “ kami berpendirian bahawa biasiswa KPM kepada pelajar pendidikan sepatutnya diteruskan seperti sebelum ini. Biasiswa bukan sahaja bertujuan untuk membantu pelajar membiayai kos sara hidup , kos pelajaran bahkan erti pemberian baisiswa adalah lebih luas , ianya suatu bentuk latihan tenaga mansuia bagi membentuk kemahiran dan kreativiti bakal guru."

Beliau turut menyifatkan bahawa, biasiswa amat penting dalam memotivasi mahasiswa untuk meningkatkan prestasi, persaingan sihat dan menolong yang kurang berkemampuan agar berusaha. Tujuan pendidikan amat bermakna kepada pembangunan Negara, sepatutnya sebahagian besar dari pendapatan Negara wajar disalurkan dalam bentuk biasiswa. Ianya penting untuk melahirkan modal insan yang baik pada masa depan.

Dalam hal berkaitan, menurut Mohd Zahar beliau telah mengusulkan perkara ini kepada Razik (YDPMPP) agar dipanjangkan kepada pihak kerajaan. Namun, beliau juga dikatakan akan turut menyuarakan hal tersebut semasa konvensyen nanti.

August 4, 2010

Konvensyen MPPK: Razik tak bincang usul dibawa

Tanjong Malim, 4 Ogos – Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA yang akan diadakan pada 6-8 Ogos di Institut Latihan KWSP (ESSET) Kajang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan MPP berhubung usul yang ingin dibawa oleh wakil pelajar tersebut untuk disuarakan kepada pihak KPT.

Dalam pada itu, mediawan Upsikini telah menghubungi beberapa orang MPP yang terlibat menerusi laman Facebook dan wujud dakwaan bahawa Razik tidak pernah mengadakan perbincangan berhubung usul yang ingin dibawa.

Katanya, "kami tak tahu apa-apa pun mengenai usul yang ingin dibawa oleh MPPUPSI semasa konvensyen nanti, adakah isu kebajikan pelajar, 'posting', biasiswa atau hanya perkara kecil-kecil saja? Tindakan Razik sebenarnya tidak profesional , sepatutnya dia bincang dengan kami selaku MPP yang turut membawa suara pelajar, mana boleh dia buat keputusan sendiri".

Selain itu, konvensyen MPP IPTA merupakan satu medium bagi semua wakil pelajar bagi seluruh IPTA di Malaysia untuk menyatakan pendirian mahasiswa berhubung isu-isu penting mahasiswa termasuk kebajikan, sosial, politik dan lain-lain.

Dalam hal berkaitan, wujud dakwaan yang mengatakan bahawa Razik akan membawa usul mansuh DPLI, namun status tersebut tidak dapat disahkan kerana beliau dikatakan merahsiakan usul tersebut dari pengetahuan MPP lain.

Samuel jemput ke Pesta Gawai Kaamatan

Exco Perpaduan dan Integrasi MPPUSI , Samuel Sila Mathew Unjah (gambar) menjemput seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris ke program sambutan Gawai Kaamatan Nasional 2010 yang akan diadakan pada 6 hingga 8 Ogos 2010. Dalam pada itu program tersebut melibatkan beberapa aktiviti antaranya:

6 - 8 Ogos - Futsal Piala Gawai Kaamatan

7 Ogos - Sukaneka Perpaduan 1 Malaysia dan Citrawarna Rainforest Festival

8 Ogos - Pelancaran Bahasa Iban & Gawai Kaamatan 2010 oleh YB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Ak Numpang. Dihadiri YB Datuk Seri Douglas Uggah Ak Embas dan YB Datuk Seri Dr. Maximus Johnithy Ongkilili.

Selain itu pada 7 Ogos masuk adalah percuma untuk Rainforest Festival yang berkonsepkan muzik tradisional dan persembahan yang dibawa khas dari Sarawak dan Sabah ke UPSI. Akhir sekali pada 08/08/2010 makanan disediakan percuma dan konsepnya rumah terbuka. Semoga anda semua dapat memberi kerjasama demi kelancaran program Gawai Kaamatan 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Perlaksana
Gawai Kaamatan UPSI-Nasional 2010

Semua Pelajar UPSI dijemput hadir

August 2, 2010

Setuju Dato’ Saifuddin benarkan pensyarah, mahasiswa berpolitik

Oleh: Mohd Zahar Mohamed Nor

Bagi kita mahasiswa Malaysia , politik sering kali menjadi sinonim dengan dogma kotor, jijik dan sebagainya. Tetapi sebenarnya yang menjijikkan politik adalah manusia yang berpolitik itu.

Korupsi, kroni-kapitalis, racial, poitik ampu , politik undi dan sebagainya adalah manifestasi yang lahir akibat daripada orang berilmu (termasuk mahasiswa dan pensyarah) tidak endah politik maka politik diisi oleh mereka yang tidak berilmu.

Kerana manusia yang berpolitik itu tidak mendasarkan politiknya kepada ilmu, hikmah dan amalan demokrasi yang tulus maka pelbagai masalah termasuk sosial masyrakat tidak dapat ditangani dengan serius.

Mahasiswa dan AUKU adalah sinonim dengan paradigma ‘jangan terlibat politik nanti kena AUKU’. Doktrin ini cukup mencengkam pemikiran mahasiswa kini dari berasa bahawa politik itu sebahgain dari fitrah kehidupan manusia yang tidak dapat ditolak.

Kalau dulu menurut Junaidi Abu Bakar (1993) dalam bukunya Mahasiswa Politik dan Undang-undang menyatakan bahawa setelah AUKU dikuatkuasakan ,penglibatan mahasiswa dalam politik mulai dikongkong, para pelajar hanya dibenarkan menyertai aktiviti diluar kampus dengan syarat mendapat kelulusan bertulis dari naib canselor dahulu. Tidak dibenar terlibat demonstrasi dan sebagainya.

Kini, adakah kita melihat bahawa AUKU berubah, mampu mengubah dan menyedarkan mahasiswa tentang politik walau pun telah dipinda ‘sedikit’ pada tahun 2008 ? Atau masih sama seperi yang disebut oleh Junaidi Abu Bakar 17 tahun dulu? Saya melihat ianya masih sama.

Oleh itu, saya bersetuju dengan pandangan Dato’ Saifuddin Abdullah (gambar), Tim. Menteri Pengajian Tinggi berhubung cadangan benarkan mahasiswa dalam politik. Bersetuju juga dengan cadangan Pemuda UMNO supaya pensyarah dan mahasiswa di benarkan berpolitik.

Sebab apa? Sebab mereka akan memainkan peranan bagi menjernihkan suasana dengan politik ilmu dan hikmah dari sebarang keburukan, kerosakan yang tidak diingini termasuk menjadi ‘pressure group dan agen ‘check and balance’ kepada kerajaan (baik UMNO mahupun Pakatan Rakyat) dalam menetapkan sesuatu dasar penting Negara. Mereka adalah ‘civil society’ yang tiada kepentingan peribadi dalam menyatakan pandangan.

Mahasiwa golongan yang perlu dididik dalam lapangan dan kancah politik supaya mereka lebih matang dalam masa sama tidak melupakan ‘core business’ mereka iaitu bergelumang dengan duina keilmuan akademik. Pensyarah pula golongan yang terdidik, professional , akademician , pengkaji dan boleh memahami suasana sebenar politik, maka wajar mereka dibenarkan terlibat seperti juga para guru DG 41 dan DG 48 yang dibenar berpolitik baru-baru ini.

*Penulis merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPPUPSI. Tulisan beliau dilayari menerusi http://mohdzahar.blogspot.com/

Bakal graduan mula ‘interview’ , Amin ucap selamat berjaya

Tanjong Malim, 2 Ogos - Bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang akan berkonvokesyen pada Oktober ini mula menjalani ‘interview’ Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2 hingga 6 Ogos ini bertempat di Putrajaya. Mereka dikatakan menjalani ujian temuduga tersebut bagi melayakkan mereka ditempatkan ke sekolah setelah bergraduasi nanti.

Dalam pada itu, Exco Akdemik MPPUPSI Mohd Amin Mat Sidik menyifatkan bahawa, bakal graduan pada kali ini cukup ramai melebihi 2000 orang dan beliau mengucapkan selamat menghadapi temuduga, dan menasihatkan abang-abang dan kakak-kakak agar yakin dalam menjawab soalan, semoga berjaya”..ujarnya ketika dihubungi Upsikini.


August 1, 2010

Konvo berubah tarikh, Amin harap berjalan lancar

Tanjong Malim, 1 Ogos - Konvokeysen ke-12 bagi bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang akan diadakan pada Oktober ini diubah kepada tarikh baru, iaitu dilanjutkan dari 12 hingga 17 Oktober ini.

Menurut Exco Akdemik MPPUPSI, Mohd Amin Mat Sidik , sedikit perubahan tarikh tersebut diharap tidak menyusahkan bakal graduan yang akan berkonvokesyen pada Oktober ini Katanya, "saya amat berharap agar konvokesyen pada kali ini akan berjalan dengan lancar dan memberi kenangan terindah buat semua abang-abang dan kakak-kakak yang bakal bergraduasi nanti, Perubahan tarikh tersebut diharapkan tidak memberi sebarang kesusahan kepada semua yang bakal bergraduasi kelak. "

Beliau juga turut menyatakan agar bakal graduan Upsi dapat mengemukakan cadangan kepada beliau berhubung Sekretariat konvokesyen pada kali ini . Cadangan boleh dikemukan kepada beliau untuk dibawa kepada pihak berkenaan agar penambahbaikan dapat dilakukan semasa konvo berlangsung" ujarnya.

Untuk makluman, konvokesyen pada Oktober ini bakal melibatkan lebih 2000 graduan pendidikan Upsi.