January 31, 2011

JHEPA terus khianati kepercayaan mahasiswa

Tanjong Malim, 31 Jan - Kem Kepimpinan Mahasiswa siri 2 terus dikotori dengan perlakuan khianat oleh JHEPA. Mereka masih lagi meneruskan strategi masuk pintu belakang apabila menghantar calon MPP yang tidak pernah muncul dalam kem siri 1 baru-baru ini.

Perbuatan terdesak tersebut dilakukan ekoran daripada kepupusan calon yang dialami Pimpinan Bitara.

Walaupun telah diberi peringatan oleh sekumpulan mahasiswa yang jijik dengan pengkhianatan tersebut, pihak JHEPA masih melakukannya tanpa rasa bersalah.

Menerusi email yang dihantar kepada Upsikini, peserta kem tersebut rasa terkilan dan kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan JHEPA. “Mengapa masih lagi lakukan perkara yang jelas bertentangan dengan prinsip keadilan, amanah, bertanggungjawab dan telus yang sentiasa dilaung dalam setiap siri kem kepimpinan anjuran JHEPA sendiri, soalnya.”

Pegawai JHEPA juga telah membuat pengumuman dalam kem siri 1 sebelum ini bahawa hanya peserta yang mengikuti siri 1 ini layak untuk menyertai siri 2 nanti. Namun sebaliknya berlaku apabila terdapat lebih daripada 10 muka baru yang menyertai kem kepimpinan siri 2 yang berakhir petang semalam.

Dalam pada itu, Sekretariat Pencegahan Rasuah UPSI digesa supaya merancang satu program membina integriti dan memupuk kesedaran sifat amanah dan disasarkan khas kepada 'geng tangan ajaib' yang berada dalam JHEPA bagi memberi kesedaran kepada mereka.

January 28, 2011

Kursus Kepimpinan Mahasiswa ke-2, peserta di 'BTN' kan di Ulu Kenas

Tanjong Malim, 29 Januari -Kursus Kepimpinan Mahasiswa kali ke-2 yang menjadi pra syarat kelayakan bagi mereka yang ingin bertanding dalam PRK (Pilihan Raya Kampus) akan datang diadakan di BTN Ulu Kenas Kuala Kangsar Perak bermula petang semalam.

Kursus tersebut dikatakan disertai lebih 100 mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan layak untuk bertanding dalam PRK akan datang. Mereka rata-rata terdiri daripada mahasiswa yang telah melepasi pra syarat pertama iaitu menyertai kursus siri 1 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Upsikini masih belum menerima sebarang laporan berhubungan isu ketelusan penyertaan pada kursus kali ini sebagaimana yang berlaku pada tahun yang lepas dimana wujud mahasiswa yang tidak melepasi kursus siri 1 ikut serta dalam kursus siri ke -2.

Walau bagaimanapun, beberapa kumpulan mahasiswa disini dikatakan telah memberi amaran kepada pihak pentadbiran JHEPA, sekiranya wujud lagi kes lompat kursus (mereka yang tidak ke kursus 1 layak ke kursus 2) seperti tahun lalu, mereka tidak teragak-agak untuk menyatakan bantahan.

Dalam hal berkaitan, beberapa peserta semalam telah menghantar mesej di Facebook Upsikini menyatakan agar kursus BTN itu tidak digunakan sebagai medan untuk mendoktrin mahasiswa dengan unsur-unsur berat sebelah seperti perkauman, berunsur politik kepartian luar dan seumpamanya.

PTPTN telah dikreditkan, mahasiswa di minta semak penyata

Tanjong Malim, 28 Januari - Pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tertangguh tempoh hari telah pun dikreditkan ke akaun pelajar pada hari ini.

Bagi memastikan amaun yang dikreditkan menepati jumlah yang sepatutnya, pelajar dinasihatkan untuk menyemak penyata kewangan menerusi My Upsi Portal di bahagian 'Fincancial' masing-masing.

Sekiranya berlaku ketidaksuaian pada penyata kewangan yang dikemukakan, atau berlaku kekeliruan sila semak dan rujuk ke bahagian Bendahari Universiti Pendidikan Sultan Idris bertempat di Bangunan Canselori bagi mendapatkan penjelasan. Sekian


Kolumnis: Positif sebuah demokrasi kampus

Ahmad Wafiuddin
28 Januari

Profesor Datuk Paduka Dr.Mohamad Abu Bakar, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM dalam satu tulisannya menggariskan perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang terdedah kepada pergolakan semasa.

Demokrasi kampus boleh disifatkan sebagai sebuah medan persaingan positif dalam penonjolan kepimpinan. Persaingan dua pihak yang pada asasnya bersatu dalam perbezaan dan pertikaian ideologi bawaan masing-masing akhirnya membawa hasil positif.

Positif sebuah demokrasi kampus menatijahkan manfaat buat semua mahasiswa. Proses demokrasi kampus wajar mendapat partisipasi daripada seluruh mahasiswa bagi menentukan setiap inci perkara yang berkaitan kebajikan ,akademik dan kempimpinan mereka.

Aku melihat kesan positif persaingan demokrasi kampus yang adil bukan sahaja melahirkan pemimpin pelajar yang berani bahkan berjaya menyelesaikan sesuatu masalah dengan segera dan cepat sebagaimana yang telah berlaku kepada PTPTN tempoh hari.

Blok-blok kepimpinan sama ada daripada Mahasiswa Pendidik , LMP mahu pun Pimpinan Bitara adalah contoh kelompok mahasiswa yang saling bersaing untuk mengasah kepimpinan dan mendidik kesedaran dan idealisme massa. Persaingan mereka seperti yang kita semua mahu ialah persaingan yang boleh memberi manfaat kepada semua.

Oleh itu, sebarang usaha untuk mematikan persaingan sedia ada adalah tindakan yang tidak bijak kerana sudah terbukti persaingan akhirnya membawa natijah positif. Positif sekiranya diurus dengan baik. Positif sekiranya bebas daripada campur tangan 'tangan-tangan ghaib' pihak pentadbiran dalam penentuan kepimpinan mahasiswa.

Mahasiswa pula mesti memainkan peranan masing-masing dalam menilai dan menentukan pilihan kepimpinan mereka. Bukan hanya menjadi pendegar dan penonton setia, tetapi turut terjun ke medan pergolakan demokrasi kampus bagi menentukan masa depan dan setiap inci permasalahan kehidupan mereka di kampus mahu pun negara.

January 27, 2011

82% setuju, bukti Mahasiswa Pendidik diterima mahasiswa

Tanjong Malim, 27 Januari – Keputusan undian sama ada Mahasiswa Pendidik perlu bertanding dalam Pilihan Raya Kampus akan datang atau pun tidak yang menunjukkan 82 % pengundi bersetuju disifatkan Ketua Penerangannya sebagai bukti bahawa MP (Mahasiswa Pendidik) diterima di kalangan mahasiswa UPSI.


Beliau yang mengulas berkenaan keputusan tersebut mendakwa tahap sokongan kepada Mahasiswa Pendidik adalah konsisten dan mempunyai penyokong setia dalam agenda perubahan yang dibawa.

Dalam hal berkaitan, Ketua Penerangan PRK Mahasiswa Pendidik masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penyertaan mereka dalam Pilihan Raya Kampus akan datang.

January 26, 2011

Zahar : Isu praktikum dan PTPTN telah dibawa ke atas

Mahasiswa UPSI mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan Mahasiswa Pendidik kerana telah berjaya membawa isu PTPTN sehingga selesai. Reaksi tersebut dapat dilihat apabila ramai yang memberi komen tanhian dan terima kasih kepada Mahasiswa Pendidik melalui facebook.

Isu sebegini diharap tidak berlaku lagi pada masa akan datang kerana ia memberikan kesan yang amat besar kepada lebih 80% mahasiswa UPSI yang terlibat dengan pinjaman tersebut.

Selepas isu ini semakin selesai, ramai mahasiswa yang bimbang akan kedudukan mereka pada semester akan datang iaitu melibatkan pelajar semester 6 da 7 ( sekarang ).

Koordinator Mahasiswa Pendidik (MP), Mohd Zahar Mohamed Nor ketika merespon masalah tersebut memberitahu bahawa isu ini telahpun dikenalpasti dan diteliti sebelum ini. “kami telah lihat masalah ini dan telah dibawa dalam perbincangan bersama Dato’ dalam pertemuan petang semalam. Pihak Dato’ amat berterima kasih diatas peringatan tersebut dan berjanji akan melihat situasi ini dengan serius, ujarnya lagi.”

Pelajar yang akan keluar berpraktikum pada semester hadapan dijangka akan menghadapi masalah PTPTN kerana kemasukan semester baru yang berubah kepada bulan September. Sebaliknya mereka akan masuk ke sekolah pada bulan Julai, dua bulan lebih awal daripada pelajar lain.

Masalah sama ( PTPTN )mungkin akan berulang apabila tarikh kemasukan pelajar melibatkan perbezaan yang agak jauh.

Ketika ditanya tentang isu penyelewengan surat KPT oleh saudara Razik, beliau memberitahu bahawa tidak tahu pun pasal isu tersebut. “saya tak tahu pun pasal isu ini, saya hanya dapat maklumat berkenaan surat KPT apabila Dato’ NC menghubungi saya lewat petang semalam bagi memaklumkan PTPTN akan dikreditkan pada 28 Jan ini, katanya ringkas.”

“saya tak berminat pun untuk ikuti perkembangan mereka ( Pimpinan Bitara )kerana apa yang lebih penting adalah khidmat kita untuk mahasiswa, itu saja, tambahnya lagi.”

Kumpulan Pimpinan Bitara pada pagi tadi telah mengambil tindakan mengedarkan beribu-ribu salinan surat KPT kepada para pelajar di sekitar kolej kediaman. Kaedah tersebut telah diambil bagi menghebahkan kepada para mahasiswa bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan masalah PTPTN.

Tindakan tersebut dilihat sebagai cara mereka untuk mendapatkan publisiti murahan daripada para pelajar. Mohd Zahar ketika menjawab perbuatan tersebut, berkata “saya pun tak tahu nak kata la, terpulanglah kepada pelajar yang bijak untuk menilai semuanya, kami dah lakukan yang termampu. Mereka sebelum ini menuduh saya untuk dapatkan publisiti, tapi nampaknya sekarang dah terbalik, katanya berseloroh.”

Sem. 6 dan 7 ucap terima kasih, ULM maklum awal penempatan

Tanjong Malim, 26 Januari -Mahasiswa dari Semester 6 dan 7 Universiti Pendidikan Sultan Idris menyatakan ucapan terima kasih kepada pihak Unit Latihan Mengajar & Jalinan Industri Upsi atas hebahan awal zon penempatan praktikum yang akan bermula pada 25 Julai ini.

Hebahan awal tersebut dikemukakan kepada Penyelaras Latihan Mengajar ISMP dan DPLI daripada Fakulti masing-masing untuk menentukan penempatan pelajar disemua negeri yang disenaraikan atau pun memilih mana-mana negeri mengikut kesesuaian jumlah pelajar.

Penempatan praktikum bagi mahasiswa tersebut akan bermula pada 25 Julai - 4 November 2011 manakala ROS pula akan bermula pada 11 Julai 2011-22 Julai. Negeri yang dibuka terdiri daripada Selangor, Putrajaya, Perak,Kelantan,Pahang, Terengganu,Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.

Dalam hal berkaitan, rata-rata mahasiswa daripada Semester 6 dan 7 mengharapkan urusan praktikum kali ini berjalan dengan lancar.

Kurang bas : 5 buah bas masuk 'workshop'

Tanjong Malim, 26 Januari - Upsikini telah menerima email daripada beberapa mahasiswa yang mengadu tentang kekurangan bas sejak beberapa hari lalu , terutamanya pada waktu puncak.

Menurut email yang diterima Upsikini daripada Herwana Herman, kekurangan bas tersebut dikatakan berpunca daripada 5 buah bas Upsi yang masuk 'workshop'.

Beliau berkata bahawa En Fuad dari Bahagian Pengangkutan UPSI menyatakan bahawa minggu ini ada masalah bas sebab 5 buah bas UPSI masuk "workshop' untuk servis pembaikan.

Dalam hal berkaitan, wujud saranan daripada beberapa mahasiswa disini agar mahasiswa perlu turun lebih awal untuk mendapatkan bas terutamanya pada waktu pagi, mengelakkan berlaku kesesakan.



January 25, 2011

Tak jujur: Pimpinan Bitara manipulasi surat KPT kepada NC

Tanjong Malim, 25 Januari - Pimpinan Bitara hari ini telah menunjukkan 'kepimpinan tak jujur' mereka apabila dikatakan telah mengambil kesempatan atas usaha mahasiswa menerusi 'referendum' PTPTN. Mereka dikatakan telah mengubah suai surat yang dihantar oleh KPT kepada Dato' Naib Canselor.


Surat yang dihantar kepada Dato' NC tersebut telah diubah kepada nama Mohd Razik b. Khalid (YDP MPP Pimpinan Bitara), tarikh serta ditukar beberapa ayat yang kelihatan jelas di'edit' menggunakan 'paint' atau 'photoshop' dengan tulisan berubah kepada kuning.

Dalam pada itu, mahasiswa disini menyatakan bahawa Pimpinan Bitara telah melakukan 'pengkhianatan' terhadap kepimpinan Dato' NC dan Upsi dimana surat tersebut sebenarnya dihantar setelah Dato' NC memaklumkan (selepas 'referendum' dihantar jam 12.oo tengahari) masalah PTPTN kepada KPT dan bukan Razik.

Selain itu, beberapa mahasiswa memberi komen di Facebook menyatakan bahawa Pimpinan Bitara perlu memohon maaf kepada Dato' NC ,Upsi dan seluruh mahasiswa Upsi diatas penipuan dan tindakan mengambil kesempatan diatas usaha mahasiswa (tandatangan referendum) tersebut.

Dalam hal berkaitan, surat tersebut sepatutnya hanya sampai kepada pegawai yang berkaitan dan tidak sepatutnya sampai kepada mahasiswa. Wujud dakwaan bahawa ada pihak tertentu dalam pentadbiran yang turut terlibat dalam penipuan tersebut.

Bekas Tim. Ketua Menteri dituduh rasuah, beri ceramah di Upsi

Tanjong Malim, 25 Disember- Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang YB Mohammad Fairus Khairuddin dikatakan pada malam ini akan menyampaikan satu ceramah bertajuk "Agenda Memperkasakan Negara Bangsa" bertempat di Kolej Za'ba.

Beliau yang merupakan ADUN Penanti yang memenangi kerusi atas tiket PKR dikatakan telah 'lompat' dari parti tersebut dan menurut sumber pernah dituduh dan disiasat oleh SPRM dalam kes rasuah (telah dibebaskan dari tuduhan).

Dalam pada itu, rata-rata mahasiswa disini menyatakan kekecewaan berhubung bagaimana seorang ahli politik seperti beliau boleh lepas untuk memberi ceramah dikampus.

Dalam hal berkaitan, minggu lepas ADUN 'lompat' Jamaluddin Razi (ADUN Behrang) dan ADUN Slim River turut hadir ke Upsi dalam satu majlis yang dianjurkan.



'Referendum' berjaya: PTPTN akan dikreditkan 28 Januari

Tanjong Malim, 25 Januari - 'Referendum' yang mengandungi 4000 tandatangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berjaya dihantar oleh wakil mahasiswa dan menerima respon yang baik dari Dato' NC.

Hasil daripada 'referendum' tersebut, Mohd Zahar Mohamed Nor merangkap jurucakap Jawatankuasa Memohon percepat PTPTN yang juga Koodinator MP (Mahasiswa Pendidik) telah memaklumkan kepada Upsikini bahawa Dato' NC telah menghubunginya petang tadi menyatakan KPT telah menghantar surat balas berhubung isu berkenaan.

" Beliau (Dato' NC) memaklumkan bahawa, pihak KPT telah menghantar surat faks kepada universiti bahawa pinjaman PTPTN akan dikreditkan ke akaun pada 28 Januari ini."

Dalam hal berkaitan, rata-rata mahasiswa menyatakan ucapan terima kasih diatas usaha tersebut.


4000 referendum berjaya diserah: NC janji selesaikan isu PTPTN

Tanjong Malim, 25 Januari - Selepas gagal untuk berjumpa Dato’ NC semalam, petang tadi Jawatankuasa Mohon Percepat PTPTN yang diketuai Mohd Zahar sekali lagi kelihatan masuk ke dalam pejabat Dato’ Naib Canselor bagi mengadakan pertemuan.

Mereka membawa ‘suara mahasiswa’ yang telah diperolehi melalu pungutan 4000 tandatangan yang dibuat sebelum ini. 'Referendum' tersebut diserahkan kepada Dato’ NC sebagai tanda mahasiswa mahukan isu ini mendapat perhatian daripada Dato’ sendiri.

Setelah hampir satu jam, mereka kelihatan keluar daripada pejabat Dato’ dan menuju ke bahagian legar bangunan canselori untuk menjelaskan hasil perbincangan kepada kumpulan mahasiswa yang sedang menunggu di bahagian tersebut.

Menurut jurucakap jawatankuasa 'ad-hoc' tersebut “kami telah hantar pungutan suara tersebut dan pihak Dato’ menerima dengan baik, ujar Mohd Zahar.

"Dato’ berjanji bahawa isu ini akan cuba diselesaikan secepat mungkin. Dia memahami keadaan kita semua dan mengakui pemberian wang pendahuluan RM250 tidak mencukupi untuk menampung sara hidup masa kini, tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak universiti juga akan menyediakan 'backup plan' sekiranya duit masih lagi tidak masuk pada minggu ini.

Perkara ini akan diteliti bagi memastikan kebajikan mahasiswa terbela. Kandungan 'referendum ' yang dihantar tadi juga mengandungi cadangan untuk memberi wang pinjaman tambahan sebanyak RM250 jika kelewatan ini berlarutan.

January 24, 2011

Diskusi buku Interlok

Tanjong Malim, 24 Januari- Petang tadi telah berlangsung satu diskusi buku Interlok yang bertempat di perpustakaan Tuanku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Diskusi tersebut dibarisi tiga ahli panel pengulas iaitu Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohd Yusof Hasan (UPSI), Mana Sikana (UPSI) dan A. Halim Ali (BUDIMAN).


Menurut laporan diterima Upsikini , terdapat dua pandangan yang telah dikemukakan oleh ahli panel iaitu dari perspektif sosiologi dan sastera. Dari sudut sosiologi, ahli panel menyatakan bahawa novel ini boleh diteruskan tetapi perlu kepada pemurnian.

Manakala dari perspektif sastera, novel ini boleh diteruskan sebagai bahan sastera di sekolah tanpa perlu diubah perkataan sensitif tersebut tetapi sebaliknya masyarakat (terutamanya masyarakat India) perlu menerima hakikat sejarah kasta tersebut dan berfikiran positif.

NC hadiri lawatan, pertemuan ditangguh esok

Tanjong Malim, 24 Jan – Pertemuan khas Mahasiswa Pendidik bersama Dato’ Naib Canselor bagi membincangkan isu kelewatan PTPTN terpaksa ditangguhkan pada petang tadi. Pertemuan tersebut sepatutnya berlangsung pada pukul 2.00 petang tadi, namun terpaksa ditunda disebabkan Dato’ NC terpaksa menghadiri lawatan mengejut.

Beberapa mahasiswa kelihatan turut berkumpul di sekitar Bangunan Canselori bagi memberi sokongan moral kepada gerakan menuntut percepat PTPTN. Mohd Amin Mat Sidek ( Exco akademik & kerjaya ) dan Atiqah Mohamad Hasbi ( Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah ) juga turut kelihatan bersama. Keadaan kelihatan terkawal tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sehinggalah ahli jawatankuasa Mahasiswa Menuntut Percepat PTPN turun sekitar jam 2.30 petang.

Mohd Zahar Mohamed Nor, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar merangkap pengerusi jawatankuasa bertindak tersebut menyatakan komitmen mereka untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak Dato’ NC. “kita akan teruskan hasrat ini sehinggalah kata putus bagi isu ini dapat dicapai. Kami akan sampaikan suara mahasiswa seramai 3820 yang ada pada saya ini kepada Dato’ VC, tambahnya lagi.”

Beliau menyatakan bahawa pejabat Dato’ Naib Canselor menerima baik kunjungan tersebut dan pertemuan kedua telah disusun. Mengikut sumber yang diperolehi, pertemuan itu akan dibuat pada petang esok selepas Dato’ menghadiri Mesyuarat Senat pada sebelah pagi.

3820 tandatangan akan diserah petang ini

Tanjong Malim, 24 Jan – Setelah empat hari team Mahasiswa Pendidik (MP) berkampung di seluruh kawasan kampus, mereka telah berjaya mengumpulkan sebanyak 3820 tandatangan daripada seluruh mahasiswa yang terlibat dengan masalah PTPTN.

Pengerusinya, saudara Mohd Zahar mengucapkan terima kasih kepada mahasiswa yang sensitif dan optumis menyokong tindakan yang telah dibuat. “Alhamdulillah kita telah Berjaya mencapai target untuk memungut sebanyak 3000 tandatangan, tetapi sokongan daripada mahasiswa yang menggalakkan menyebabkan jumlah tersebut meningkat hampir kepada 4000 tandatangan. Tahniah saya ucapkan, ujarnya.”

Pihak Upsikini dimaklumkan bahawa mereka akan pergi bertemu Dato’ Naib Canselor pada pukul 2.00 petang nanti. Perkembangan setakat ini, hanya ahli jawatankuasa khas tersebut iaitu seramai 5 orang yang akan dibawa bersama dalam pertemuan tersebut.

Harapan mahasiswa adalah supaya pertemuan tersebut akan membuahkan hasil yang positif ekoran keadaan yang terdesak akibat daripada kelewatan pihak PTPTN mengkreditkan wang pinjaman kepada para pelajar.

January 22, 2011

Kolumnis: ‘Referendum’ perlu difahami sebagai cara demokratik

Ahmad Wafiuddin
22 Januari

Sebagai golongan cendekiawan, mahasiswa yang boleh disifatkan sebagai ‘civil society’ bagi negara maju tidak sepatutnya keliru dengan maksud ‘referendum’ dengan ‘memorandum’ atau demonstrasi. Referendum atau pungutan suara bukan memorandum atau demonstrasi. Jauh sekali membawa konotasi 'radikal'.Tidak.

Referendum dalam bahasa Melayu ialah pungutan suara dimana ianya merupakan satu cara demokratik yang digunakan dalam sesebuah masyarakat maju, dimana mahasiswa berhak menyatakan sokongan secara langsung tentang sesuatu isu tertentu secara bebas yang melibatkan kepentingan semua.

Pungutan suara juga disfatkan sebagai salah satu cara untuk menyatakan pendapat orang ramai secara aman mengenai persetujuan (tandatangan) sesuatu isu yang tidak jelas sokongannya. Dengan pungutan suara, maka sesuatu isu dapat dijelaskan sokongannya daripada pihak yang ramai.

Mengulas tindakan wakil JHEPA yang cuba menggagalkan usaha mengutip tandatangan atau ‘referendum’ semalam, saya berpandangan ianya adalah satu cubaan anti-intelektual untuk menyekat suara majoriti mahasiswa berhubung hak mereka terhadap kualiti sesuatu perkhidmatan (pinjaman PTPTN) mahu pun perkara lain.

Mahasiswa harus sedar mengenai hak mereka dengan lebih jelas walau pun kita tahu bahawa kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan. Tetapi, kita perlu tahu bahawa itulah tugas ‘wajib’ bagi kerajaan untuk menjadi ‘khadam’ kepada rakyat. Bukan menyusahkan kita.

January 21, 2011

Lepas 'referendum': PTPTN mesej nyatakan maklumat pinjaman dikreditkan

Tanjong Malim, 22 Januari – Selepas mahasiswa mengumpul pungutan suara (referendum) bermula Rabu lalu, PTPTN hari ini telah mengeluarkan makluman berhubung pinjaman akan dikreditkan menerusi mesej kepada mahasiswa Upsi.

Sebilangan mahasiswa disini petang tadi telah menerima mesej dari PTPTN yang menyatakan tempoh wang akan dikreditkan. Namun, mesej tersebut dikatakan tidak dinyatakan dengan tepat bila wang akan dikreditkan sebaliknya menggunakan perkataan ‘dijangka’ dan ‘mulai’.

Mesej yang diterima daripada PTPTN.INFO tersebut berbunyi “Pengeluaran pembiayaan PTPTN untuk semester II sesi 2010/2011 dijangka akan dikreditkan ke akaun tuan/puan mulai 31hb Januari 2011.Sekian terima kasih.”

Dalam pada itu, rata-rata mahasiswa menyatakan bahawa maklumat tersebut tidak ada apa-apa perubahan daripada apa yang telah dimaklumkan sebelum ini, dimana PTPTN paling awal 31 Januari.

Makluman tersebut masih tidak dinyatakan dengan jelas berkenaan tarikh sebenar akan dikreditkan namun ianya hanya dijangka dan mulai 31 Januari.

Namun begitu, beberapa mahasiswa disini mengucapkan terima kasih kepada PTPTN atas makluman tersebut dan mereka berharap ianya dapat dipercepatkan.

January 20, 2011

LMP betulkan dakwaan: 'Kita mesra semua, kita cool'

Tanjong Malim, 20 Januari - Legasi Mahasiswa Progresif atau LMP mengeluarkan kenyataan untuk memperbetulkan dakwaan bahawa meraka merupakan kelompok yang 'keterlaluan'. Mereka menyifatkan bahawa mereka adalah 'front' untuk semua dan kita mesra semua pihak, kita 'cool' tiada istilah 'keterlaluan'.

Menurut LMP, pandangan yang salah diberikan terhadap mereka menerusi lama Facebook yang dikatakan berpunca daripada seorang mahasiswa yang menggunakan 'nick name' sebagai 'Cinta Palsu' yang juga merupakan mahasiswa daripada KAB. Katanya'be careful with radical fan page in Facebook' yang dikatakan dituju kepada LMP.

Mereka turut menyifatkan bahawa mereka merupakan 'front' yang mesra anak muda mahasiswa dan menyatakan bahawa mereka 'tunjukkan apa anak muda (mahasiswa) suka'. Tafsiran 'keterlaluan' tidak wujud sama sekali dalam kalangan mahasiswa kerana mereka adalah golongan cerdik pandai yang berfikir untuk kesejahteraan semua.

Dalam hal berkaitan, baru-baru ini LMP dikatakan telah menyatakan bahawa mereka bersifat 'inklusif' untuk semua. Semalam, mereka dikatakan turut menyokong isu PTPTN dan pungutan suara percepat PTPTN untuk mahasiswa, bersama mahasiswa.


Amin: Hentikan politik Interlok, peranan pendidik sampaikan dengan baik

Tanjong Malim, 20 Januari - Mohd Amin Mat Sidik, Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI yang juga merupakan mahasiswa Pendidikan Bahasa Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris hari ini menyatakan pandangan agar isu Interlok tidak dijadikan mainan politik yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Beliau merujuk kepada isu Interlok yang masih belum reda dan saranan oleh beberapa pemimpin masyarakat India agar kerajaan menarik balik novel Interlok daripada menjadi teks sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).

Katanya, "saya memandang Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tidak sepatutnya dilihat dengan prejudis berdasarkan kepada perasangka perkauman sempit. Kita sebagai golongan yang berilmu, wajar menjadikan ianya sebagai bahan perbincangan atau dialog ilmiah yang berlandaskan nilai kecintaan kepada ilmu.

Karya sastera sepatutnya dinilai dengan adil mengikut kaca mata ahlinya yang boleh memahami bentuk komponen sastera dengan baik, isunya hanya beberapa ayat yang tidak tepat sahaja dan karya tersebut adalah penjelasan kepada keadaan Tanah Melayu sebelum Merdeka dan diakhir karya ini saya kira ianya menekankan persoalan perpaduan kaum.

Golongan pendidik (guru) perlu berperanan secara adil, bebas dan menjelaskan sebaik mungkin kepada pelajar agar wujud suasana sejahtera dalam perpaduan kaum. Mereka (guru) golongan yang berkhidmat untuk negara dan bebas dari pengaruh kepentingan tertentu. Sewajarnya mereka diberikan kepercayaan.

Oleh itu , karya sastera ini mesti dihentikan daripada digunakan untuk mainan politik dan para guru perlu berperanan untuk menghuraikan sebaik mungkin kepada pelajar tentang perpaduan, perbezaan kaum dan persamaan yang wujud dalam novel Interlok.

January 19, 2011

KZ anjur hari terbuka

Untuk makluman semua, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Zaba, Universiti Pendidikan Sultan Idris akan mengadakan hari terbuka esok 20-23 Januari 2010. Hari terbuka tersebut mengangkat tema " Memperkasa Ilmu Merekayasa Kepimpinan". Sebarang maklumat aktiviti boleh melayari Facebook Hari Terbuka Kolej Zaba.



MP ketuai pungutan suara, tuntut percepat PTPTN

Tanjong Malim, 19 Januari – MP (Mahasiswa Pendidik) hari ini telah menyatakan kesediaan mengetuai pungutan suara menutut percepat kemasukan PTPTN untuk mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pungutan suara tersebut dilakukan sekitar Kampus Azlan Shah, kolej-kolej kediaman dan ruang legar utama bilik kuliah Proton City. Pungutan suara ini akan dibawa kepada Dato’ Naib Censelor pada 24 Januari ini.

Menurut Mohd Zahar, Koordinator MP merangkap Pengurusi Mahasiswa Menuntut Percepat PTPTN berkata “kita akan membawa isu ini untuk perhatian pihak Dato’ Naib Canselor. Merujuk kepada autoriti yang ada pada Dato’ saya yakin isu ini dapat ditangani dengan baik”.

Dalam pada itu, seluruh mahasiswa UPSI diharap memberikan sokongan dan kerjasama dengan menurunkan tandatangan di ‘referendum’ yang diedarkan supaya pungutan suara ini dapat dibawa kepada pihak Dato’ dan menyatakan bahawa majoriti mahasiswa menuntut agar ianya dipercepatkan , ujarnya lagi.

Jawatankuasa tersebut mensasarkan 50 peratus kutipan tandatangan daripada 8698 pemegang pinjaman PTPTN. Melihat kepada majoriti pelajar UPSI yang terlibat dengan pinjaman PTPTN usaha ini dijangka akan mendapat sokongan padu daripada mahasiswa.