October 19, 2008

Laungan ‘Revolusi’ dan ‘Perubahan’ bergema

Rapat umum yang diadakan semalam sekali lagi menyaksikan keberanian beberapa calon ke depan membentangkan manifesto. Rapat umum yang bermula agak lewat malam tadi sekitar kira-kira jam 11.00 malam bergema dengan laungan 'revolusi' dan 'perubahan' di kalangan mahasiswa yang hadir. Suasana menjadi agak riuh apabila seorang mahasiswa yang memakai topi hitam secara tiba-tiba melaungkan kata-kata tersebut dan diikuti oleh mahasiswa yang lain. Sakretariat PRK yang berada di tempat kejadian hanya membiarkan dan kata-kata itu terus menerus dilaungkan apabila calon selesai berucap. Pada malam ini dijangka suasana kempen melalui rapat umum di Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Harun Aminurrashid akan menjadi lebih gamat apabila penganjurannya diatur oleh pihak sakretariat dan pemberitahuan mengenainya telah diedarkan kepada mahasiswa minggu lepas.

October 18, 2008

Hanya Naib Canselor dan Pengarah Pusat ICT tahu “kata laluan”

Tempoh berkempen yang tinggal 3 hari lagi menyaksikan perang poster dan pengedaran flyers semakin rancak. Menjelang 21 Oktober ini, semua pihak terutamanya mahasiswa sedang mengenalpasti siapa calon pilihan mereka. Pada 21 Oktober ini, pihak sakretariat PRK yang diketuai Timbalan Naib Canselor HEP & A, Prof. Dr. Sahahrudin Abd Aziz sekali lagi membuat pembaharuan berkaitan sistem e-voting. Pada hari pengundian nanti, semua 7 pusat pengundian dikatakan hanya akan dibuka selepas Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob, memasukkan kata laluan bagi membolehkan sistem beroperasi. Upsikini dilaporkan, “kata laluan” tersebut hanya akan dipegang oleh Naib Canselor dan Pengarah Pusat ICT. Langkah ini adalah merupakan satu lagi inisiatif yang dibuat bagi menunjukkan kesungguhan sakretariat membersihkan tanggapan negative pengundi. Bagi melihat keputusan PRK, Naib Canselor juga yang akan menutup sistem itu apabila “kata laluan” tersebut dimasukkan. Menurut sumber, proses pengundian itu akan dibuka pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6.00 petang. Keputusan pengundian dijangka diumum pada hari tersebut jam 6.45 petang di Dewan SITC. Keputusan rasmi pula akan diumum pada keesokan hari selepas tamat sesi rayuan dan bantahan keputusan kira-kira pada jam 12.00 tengah hari.

Calon kurang menyerlah : UPSI ketandusan pemimpin berkaliber

Sesi kempen yang masuk hari kedua semalam sekali lagi memperlihatkan suasana yang belum mencapai tahap yang sepatutnya. Meskipun perang poster semakin rancak namun kempen secara langsung melalui rapat umum malam tadi tidak begitu menyerlah. Calon dilihat hanya bercakap untuk ‘melepaskan batok di tangga’ dan tidak benar-benar menunjukkan bakat kepimpinan yang boleh dibanggakan. Kebanyakan calon bercakap seolah-olah seperti menghafal dan kurang meyakinkan. Beberapa mahasiswa yang turut mengikuti rapat umum semalam mengatakan, calon-calon yang bercakap seperti dipaksa dan belum bersedia untuk bertanding. Seorang bekas mahasiswa UTM yang kini melanjutkan pengajiannya di sini pula mengatakan, mahasiswa UPSI terlalu nipis kesedaran berpolitik mereka kerana terlalu mengikat diri dengan kerjaya masa depan.
“Saya lihat begitu banyak perbezaan di sini dengan tempat saya belajar sebelum ini. Di sini mahasiswanya seperti tidak ada kesedaran politik dan mungkin sebab itu calon yang ke depan juga tidak begitu berkaliber”, katanya. Tambahnya lagi,”mahasiswa di sini perlu lihat universiti-universiti lain untuk membuka minda dan melihat kepentingan kepimpinan mahasiswa ini”.
Seorang pegawai UPSI yang dijumpai juga turut bersetuju dengan perkara ini. Beliau yang sudah lama melihat senario politik mahasiswa di UPSI ini mengatakan UPSI adalah antara IPTA yang begitu bosan PRKnya.
“Saya melihat mahasiswa UPSI belum mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan dalam kepimpinan. Saya kurang pasti apakah puncanya tetapi besar kemungkinan kerana mereka merasakan kerjaya mereka sebagai guru dan hanya menumpukan perhatian untuk menghabiskan pengajian dengan gred yang baik untuk ‘posting’”, ujarnya.
Sesi kempen semalam tertumpu di 2 kolej kediaman iaitu di Kolej Harun Aminurashid dan Kolej Aminuddin Baki.

October 17, 2008

Bekas Ketua Jentera Pro Aspirasi jadi Sakretariat PRK UPSI

Bekas Ketua Jentera Pro Aspirasi, Che Mohd Bashron bin Che Mohd Idris dikatakan menjadi salah seorang yang bertugas sebagai sakretariat PRK. Beliau yang sudah tamat pengajian (menunggu untuk bergraduat), kini bekerja sambilan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni sebagai Skim Pelajar Bekerja di Unit Pembangunan Pelajar. Pada PRK yang lalu beliau merupakan Ketua Jentera bagi kumpulan Pro Aspirasi. Seorang sumber yang berhubung dengan wartawan upsikini memberitahu beliau pernah mengeluarkan kenyataan di dalam akhbar KOSMO! pada PRK lepas dan menamakan dirinya sebagai Ketua Jentera Pro Aspirasi. Menurut sumber, beliau berasa hairan bagaimana seorang yang bergelar pelajar boleh menjadi Sakretariat PRK. Sebelum ini pihak Sakretariat memberi jaminan bahawa mereka akan bebas dan telus. Katanya lagi, sekiranya Sakretaria PRK ingin dilihat bebas, jangan libatkan pihak atau individu yang terang-terangan mempunyai kaitan dengan kumpulan tertentu supaya Sakretariat PRK benar-benar bebas dan boleh diyakini. Seorang calon yang ditemui juga menyedari perkara itu dan memberikan reaksi yang serupa. Namun beliau mengambil langkah untuk tidak membuat bantahan kerana tidak mahu dilabel dan disalah anggap. Bashiron merupakan pelajar Program Pendidikan Khas Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia.

Kami tak terlibat kerana tiada habuan - bekas penyokong pro Aspirasi

Kempen PRK kali ini semakin dirasai apabila sudah kelihatan poster-poster dinaikkan di kawasan sekitar kampus dan kolej kediaman. Ketika rapat umum yang diadakan di Kolej Harun Aminurrashid malam tadi, upsikini sempat menemui beberapa bekas penyokong pro aspirasi yang giat membantu PRK yang lalu namun tidak pada kali ini. Beliau yang tidak mahu namanya disiarkan mengatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam kempen kali ini kerana sudah tiada habuan yang disediakan. “saya dah tak ambil ‘port’ dalam PRK kali ni sebab dah tak ada habuan”,katanya. Tambahnya lagi,”pada PRK yang lalu, saya memang giat pasang poster dan terlibat semua bentuk kempen sebab habuannya boleh tahan juga.” Ketika ditanya berapa habuan yang diperolehnya, beliau sebagai berkata beliau tidak berapa mengingatinya tetapi cukup lumayan kalau terlibat dengan aktif. Pro Aspirasi pada PRK kali ini dilihat cuba menyembunyikan identiti mereka namun mahasiswa di sini rata-rata mengatakan tindak-tanduk mereka dapat dikenalpasti melalui cara berkempen.
Hari ini merupakan hari kedua berkempen dan dijangka lebih menghangatkan dengan perang poster dan pengucapan awam yang biasanya diadakan di sebelah malam.

"Saya cabar mereke nafi"

Pengirim e-mel yang mendedahkan 2 identiti calon yang terlibat dengan kesalahan mengedar flyers berbentuk kempen selepas tamat waktu kempen pada PRK yang lalu, mnegirimkan e-mel kepada upsikini mencabar calon tersebut menafikannya ketika berkempen. Berita yang dilaporkan upsikini 15 Oktober lalu mendapat perhatian mahasiswa di sini. Dalam e-mel tersebut beliau menyatakan bahawa beliau bersedia mendedahkan bukti tersebut kepada umum dan menunggu masa yang sesuai. Beliau menegaskan bahawa beliau mempunyai bukti dan saksi yang cukup atas dakwaan ini. Sehubungan dengan itu, beliau mencabar kedua-dua calon ini menafikannya dalam siri kempen mereka dan saya akan tampil mendedahkan bukti yang saya simpan hampir setahun. Sementara itu beliau mengingatkan agar mahasiswa di sini agar sentiasa berhati-hati dengan taktik kotor pihak-pihak tertentu dalam PRK kali ini dan segera melaporkannya sekiranya ada tindakan yang melanggar peraturan PRK. Dalam perenggan terakhir e-mel tersebut, beliau dipetik sebagai berkata, kita tidak mahu pemimpin mahasiswa yang menipu mahasiswa dan kita mahukan perubahan dalam PRK kali ini.
PRK kali ini menampilkan 11 calon yang akan bertanding dalam kerusi Umum dan 27 calon yang akan merebut 16 kerusi fakulti. Kelmarin, 3 fakulti sudah diisytihar menang tanpa bertanding.

Kempen tertumpu di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR)

Pengucapan awam yang disampaikan oleh beberapa calon pada malam tadi tidak seperti yang dijangkakan. Hujan yang turun sejak jam 8.00 malam memaksa acara kempen bermula agak lewat di sini. Kempen malam tadi dilihat tertumpu di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) apabila inisiatif untuk membuka gelanggang pengucapan awam dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Mahasiwa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid. Kempen yang bermula pada jam 10.00 malam itu menampilkan beberapa calon dan wakil calon yang membentangkan manifesto masing-masing. Rata-rata mahasiswa yang hadir menyertai rapat umum tersebut berpendapat kebanyakan calon masih belum dapat menyampaikan manifesto mereka dengan begitu jelas. Sekumpulan pelajar yang ditemui mengatakan bahawa mereka masih belum dapat menangkap apa sebenarnya yang ingin diperjuangkan beberapa calon yang berpidato.
”Kami tak dapat lagi menangkap perkara pokok yang ingin diperjuangkan oleh calon-calon ini”kata mereka.
Seorang lagi mahasiswa yang memperkenalkan dirinya sebagai Jefri berkata, semua calon yang bertanding adalah muka-muka baru dan kemungkinan mereka masih dalam proses belajar untuk berhujah. Secara keseluruhannya, kempen malam ini belum mencapai apa yang diharapkan oleh pengundi-pengundi disini dan dijangka akan lebih panas apabila semua calon mengambil bahagian esok.
Kempen ini yang berakhir pada jam 11.50 malam turut dipantau oleh beberapa Sakretariat PRK.

October 16, 2008

Sistem e-voting : Mahasiswa UPSI mohon Sakretariat PRK kendalikannya dengan telus.

Dalam kehangatan perjalanan PRK UPSI yang bermula kempen hari ini, mahasiswa UPSI berharap pihak sakretariat dapat mengendalikannya dengan penuh integrity dan telus. Upsikini menerima beberapa e-mel daripada beberapa mahasiswa UPSI termasuk pemimpin beberapa persatuan UPSI, memberi pandangan dan harapan dengan sistem yang digunapakai pada PRK kali ini. Rata-rata mahasiswa UPSI merasakan sistem ini pasti mengundang keraguan walaupun pihak Sakretariat berulangkali mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada sebarang manipulasi yang dilakukan ke atas sistem ini. Salah seorang pengirim e-mel tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Omar mengatakan, sistem e-voting memang baik dari segi masa dan tenaga yang diperlukan untuk mengendalikannya berbanding secara manual, tetapi bagaimana kita hendak percaya 100% sedangkan sistem itu dicipta oleh manusia yang sudah pasti tahu selok-belok untuk memanipulasinya. Beliau juga turut menytakan bahawa sekiranya sistem itu paling demokratik dan telus, mengapa Pilihan Raya Umum di negara kita sendiri tidak menggunakannya.
PRK UPSI sudah 4 kali menggunakan sistem ini sejak 2004.

Sakretariat diminta tegas dalam perbelanjaan kempen calon.

Hari ini merupakan hari pertama kempen bagi PRK UPSI. Selepas taklimat dan percubaan sistem e-voting yang dibuat di Bilik Seminar Bangunan Bitarasiswa pada jam 10.30 minit pagi tadi, calon diminta mengambil poster dan bahan kempen lain yang disediakan oleh pihak sakretariat pada jam 2.00 petang. Dalam tempoh berkempen selama 5 hari itu, pelbagai pihak termasuk beberapa calon mula merasa ragu bagaimana peraturan perbelanjaan calon akan dilaksanakan. Beberapa calon yang ditemui petang tadi berpendapat, dalam tempoh berkempen selama 5 hari ini, pihak sakretariat perlu telus dalam memantau setiap perbelanjaan calon.”saya lihat sudah ada calon yang menggantung banner yang ditempah dan sebagainya. Pihak sakretariat perlu betul-betul membuat penetapan apakah jenis perbelanjaan yang dikira sebgai perbelanjaan berkempen”,kata seorang calon yang ditemui.
Pada 5 jam pertama tempoh kempen dibuka, sudah kelihatan beberapa banner dan poster yang digantung sekitar kampus dan kolej-kolej kediaman. Perang poster dijangka lebih hangat pada esok hari.
Hari pembuangan undi PRK UPSI dijadualkan pada, Selasa, 21 Oktober 2008.

Tiada Aspirasi mahupun Pro Mahasiswa – HEP

Desas desus mengatakan PRK UPSI kali ini menampilkan pertembungan 2 penjuru antara Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa dinafikan pihak HEP hari ini. Seorang pegawai HEP menjelaskan bahawa kita tidak mahu lagi ada sebarang unsur berkumpulan dan berpuak dengan nama-nama tertentu dalam PRK kali ini. “Kali ini kita bebas dari sebarang bentuk berkumpulan sama ada Aspirasi mahupun Pro Mahasiswa. Sebab itu kita adakan kursus awal bagi setiap calon yang mahu bertanding agar mereka menyedari tanggungjawab mereka sekiranya ditakdirkan memegang amanah memimpin rakan mahasiswa nanti”,katanya. Tambahnya lagi “kita juga menolak sebarang bentuk pertandingan berkumpulan yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan kita tegaskan perkara ini dengan menggariskan beberapa peraturan berkaitannya”.
PRK kali ini merupakan PRK yang paling dinantikan mahasiswa setelah beberapa IPTA lain selesai PRK mereka minggu ini.

Calon-calon PRK membuat persiapan berkempen

Esok 16 Oktober 2008 tepat jam 2.00 petang merupakan waktu mula berkempen bagi semua calon yang bertanding pada PRK kali ini. Petang tadi upsikini dilaporkan beberapa calon sudah mula membuat banner masing-masing. Pihak sakretariat juga dikatakan dihujani dengan pelbagai pertanyaan berkaitan kerja-kerja kempen untuk memastikan semua bahan kempen menepati syarat yang ditetapkan. Menurut seorang calon yang ditemui, beliau berkata, sakretariat PRK kali ini dilihat begitu menekankan aspek pematuhan kepada peraturan PRK dan beliau sememangnya perlu memastikan semua bahan kempen yang digunakan tidak melanggar peraturan. Beliau juga mendapat makluman bahawa setiap bahan kempen yang digunakan seperti kad nama dan banner perlu diisytihar anggaran perbelanjaannya kepada pihak sakretariat. Perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang positif dalam PRK kali ini.
Sebelum ini, sakretariat PRK menetapkan semua calon hanya dibenarkan membelanjakan sekitar RM50 dalam perbelanjaan berkempen.

Lebih 1000 hadir Program Bersama Kementerian Pelajaran Malaysia

Program bersama Kementerian Pelajaran Malaysia yang berlangsung petang tadi menyaksikan kehadiran mahasiswa UPSI seramai lebih 1000 orang memenuhi ruang Auditorium Utama. Program ini yang dijalankan bermula pada jam 3.00 petang menampilkan Timbalan Pengarah (Pengurusan Sekolah) Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, En Abdullah bin Mad Yunus sebagai penceramah.
Dalam majlis tersebut, beliau banyak memberikan input-input berkaitan penempatan dan prosesnya serta beberapa prosedur yang perlu dilalui oleh bakal guru. Beliau dalam ceramahnya menjelaskan bahawa pihak Kementerian akan sentiasa membuat tawaran penempatan kepada semua graduan yang mengambil jurusan pendidikan sekiranya terdapat kekosongan.
“Kami di pihak Kementerian akan memberi tawaran jawatan guru kepada semua graduan sekiranya kekosongan itu ada,”katanya.
Beliau juga mengingatkan kepada semua bakal guru UPSI agar “tidak memilih” sekiranya mendapat tawaran penempatan terutamanya kepada mereka yang ditawarkan ke Sabah dan Sarawak.
Ceramah yang berlangsung selama hampir 2 jam itu juga banyak menjelaskan tentang prosedur tawaran penempatan dan perkembangan semasa kekosongan jawatan guru mengikut negeri seluruh Malaysia.
Majlis ini turut dihadiri Pegawai Khas TNC HEP&A, Encik Ahmad Amri Zainal Adnan.

Calon menamakan wakil calon masing-masing

Pada hari ini semua calon dikehendaki menamakan semua wakil calon masing-masing bagi membolehkan wakil-wakil calon tersebut terlibat dalam aktiviti kempen. Setiap calon hanya dibenarkan menamakan wakil calon masing-masing sebanyak 5 orang selain pencadang dan penyokong. Kesemua wakil calon yang didaftarkan kepada pihak Sakretariat akan diberikan tag sebagai tanda bahawa mereka adalah wakil calon. Proses menamakan calon dibuka pada jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang tadi. Upsikini dilaporkan tiada sebarang masalah berlaku sepanjang proses ini.
Percubaan sistem e-voting akan dibuat esok pada jam 10.00 pagi di Bilik Seminar Bangunan Bitarasiswa yang akan dihadiri semua calon dan wakil calon.

October 15, 2008

Identiti 2 calon langgar peraturan PRK lepas didedah




Upsikini menerima e-mel daripada seorang mahasiswa UPSI yang mahu mendedahkan identiti 2 calon yang melanggar peraturan PRK lepas dengan menyebarkan flyers yang tercatat nama-nama calon Aspirasi pada hari pengundian. Dalam e-mel tersebut beliau mengatakan 2 orang calon tersebut sebagai bernama Abdul Rashid bin Husain (gambar atas) dan Syaiffuldin bin Mohamad. Beliau mendakwa bahawa Abdul Rasyid bin Husain akan bertanding untuk kerusi Umum dan Syaiffuldin bin Mohamad pula akan merebut kerusi Fakulti Perniagaan & Ekonomi. Kedua-kedua calon tersebut dikatakan pengikut paling setia MPP lepas dan kedua-duanya merupakan anak buah kesayangan YDP MPP lepas. Pendedahan ini dibuat setelah beliau mendapati kedua-dua calon tersebut benar-benar menawarkan diri bertanding pada PRK kali ini pada hari penamaan calon semalam. Abdul Rashid dan Syaiffuldin sememangnya terkenal dengan sikapnya yang akan sentiasa membela kepimpinan MPP lepas dalam apa juga isu dibangkitkan mahasiswa menurut kenyataan tersebut. Beliau juga menasihatkan kepada semua mahasiswa UPSI yang akan mengundi 21 Oktober ini agar menilai kedua-dua calon ini sebaik-baiknya sebelum memberikan undi kepada mereka.
Berkempen selepas tamat waktu kempen merupakan kesalahan yang jelas digariskan dalam peraturan am berkempen.

October 14, 2008

Beberapa pendekatan baru diambil oleh Sakretariat PRK UPSI

Hasrat HEP yang dipertanggungjawabkan menjadi sakretariat PRK untuk memulihkan sistem demokrasi PRK kali ini memperlihatkan beberapa pendekatan baru diambil. Antaranya adalah menghadkan perbelanjaan berkempen setiap calon yang bertanding. Perbelanjaan yang dibenarkan untuk setiap calon hanyalah sekitar RM50 dan pemantauan secara berterusan akan dibuat. Sekiranya didapati mana-mana calon yang disyaki menggunakan perbelanjaan berkempen melebihi had itu, siasatan akan dijalankan dan sekiranya dakwaan itu benar tindakan tegas akan diambil dengan membatalkan kelayakan calon tersebut bertanding. Menurut pegawai yang memberi taklimat peraturan PRK petang tadi, pendekatan itu dibuat bertujuan mengelakkan mana-mana pihak menerima sebarang bantuan pihak luar sepanjang perjalanan PRK. “Kita tidak mahu ada mana-mana calon yang mendapat bantuan dalam apa jua bentuk daripada pihak luar sepanjang proses PRK ini dijalankan”katanya. Tambahnya lagi,”jumlah yang ditetapkan adalah bersesuaian dengan kemampuan anda sebagai mahasiswa”. Pendekatan lain yang diambil adalah dengan menyediakan laman blog bagi setiap calon yang bertanding. Laman blog ini dibina oleh Pusat ICT UPSI bagi membolehkan setiap calon melontarkan idea dalam bentuk e-kempen. Pegawai tersebut semasa sidang taklimat petang tadi sebagai berkata e-kempen diwujudkan bagi mengikuti perkembangan semasa yang melihat mahasiswa cenderung untuk mendapatkan maklumat melalui jaringan internet. “Kita sering melihat mahasiswa lebih suka membaca bahan daripada internet dan ini merupakan langkah yang diambil untuk memenuhi cita rasa mereka. Justeru, calon-calon bolehlah mengambil peluang menulis apa yang ingin saudara perjuangkan di dalam laman blog ini nanti sebagai salah satu kaedah berkempen”katanya.
Sebelum ini PRK UPSI dilihat berhadapan dengan pelbagai tuduhan negatif akibat kepincangan dalam menguruskan PRK secara adil dan saksama.(Rujuk di sini)

Tarikh kempen PRK UPSI hanya akan bermula pada 16 Oktober 2008 jam 2.00 petang

Terbaru upsikini dilaporkan, tarikh kempen untuk PRK akan bermula pada 16 Oktober 2008. Sehubungan dengan itu, semua calon tidak dibenarkan untuk memulakan kempen pada jam 6.00 petang ini. Sebelum ini tarikh berkempen dinyatakan pada hari ini jam 6.00 petang. Namun setelah tarikh pembuangan undi dianjak, jadual baru perjalanan PRK dikeluarkan dan dinyatakan bahawa aktiviti berkempen hanya dibenarkan pada 16 Oktober jam 2.00 petang. Semasa sesi taklimat, semua hadirin mempersoalkan sesama sendiri tentang tarikh mula kempen ini namun pihak sakretariat PRK menjelaskan ini adalah bagi memberi ruang masa kepada semua calon untuk bersiap sedia sebelum memulakan kempen seperti poster dan sebagainya. Jelasnya lagi, pihak sakretariat juga memerlukan sedikit masa bagi membolehkan mereka mempersiapkan segala peralatan yang diperlukan calon seperti alat pembesar suara dan sebagainya.
Beberapa pendekatan baru dalam PRK UPSI. Namun terdapat desas desus mengatakan esok 15 Oktober, UPSI akan mengadakan satu majlis yang dihadiri oleh seorang menteri dan atas sebab itu tarikh berkempen dilewatkan.
Tarikh berkempen yang akan dimulakan pada 16 Oktober ini bakal menyaksikan kehebatan calon berhujah di hadapan kira-kira 14 000 pelajar UPSI yang layak mengundi.

Aspirasi UPSI hilang taring

Proses penamaan hari ini berjalan dengan lancar dan terkawal. Semua calon yang berjaya bertanding dilihat membawa penyokong masing-masing. Sesuatu yang luar biasa berlaku pada PRK kali ini apabila penyokong Aspirasi UPSI tidak begitu kelihatan seperti PRK sebelum ini. Rata-rata mahasiswa yang menyedari suasana ini mengatakan mereka sudah hilang taring. Penyokong Aspirasi UPSI sebelum ini menggunakan ahli Kelab Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) sebagai jentera mereka tetapi tidak lagi pada PRK kali ini. Namun kehadiran beberapa orang kuat Aspirasi terutamanya ahli MPP lepas menunjukkan kumpulan ini masih lagi wujud dan mempunyai proksi masing-masing.
Walau bagaimanapun pihak HEP yang menjadi Sakretariat PRK menafikan wujudnya kumpulan tertentu dalm PRK kali ini.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hantar pegawai tinjau Penamaan Calon PRK UPSI

Penamaan calon PRK UPSI hari ini dihadiri oleh beberapa pegawai daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia bagi meninjau perjalanan proses penamaan dijalankan. Pegawai-pegawai ini hadir bagi melhat secara lebih dekat bagaimana sakretariat PRK UPSI menguruskan proses ini. Mereka hadir seawal jam 9.30 pagi sehingga tamat proses penamaan. UPNM dijangka mengadakan PRK minggu depan

3 Fakulti diisytihar menang tanpa bertanding

Pengumuman calon yang layak bertanding petang tadi menyaksikan 3 fakulti diisytihar menang tanpa bertanding apabila calon yang bertanding hanya 2 orang untuk setiap fakulti. Fakulti yang diisytihar menang adalah Fakulti Seni & Muzik, Fakulti Bahasa dan Fakulti Sains Sukan. Pihak sakretariat mengumunkan kemenangan itu setelah mendapati tiada pertandingan yang boleh dibuat memandangkan kerusi untuk di setiap fakulti cukup untuk kedua-dua calon tersebut menyandanginya. Berdasarkan kemenangan tanpa bertanding itu, 15 kerusi lagi akan menjadi perebutan semua calon yang layak bertanding.

(dikemaskini 7.00 p.m)Sekitar Penamaan Calon PRK UPSI

Proses penamaan calon hari ini berlangsung dalam keadaan yang terkawal tanpa ada gangguan dari mana-mana pihak. Langkah berjaga-jaga turut diberi perhatian oleh pihak skretariat yang meletakkan beberapa pegawai keselamatan di sekitar kawasan penamaan calon.
8.30 pagi – Kelihatan beberapa bakal calon diiringi penyokong mereka bergerak masuk ke Bangunan Bitarasiswa. Beberapa Dekan Fakulti masuk ke bilik pengesahan borang pencalonan. Bilik Seminar yang menjadi pusat penamaan calon dibuka.
8.45 pagi - Beberapa calon masuk untuk proses penamaan.
9.30 pagi – Sekumpulan lagi mahasiswa sampai untuk melihat proses pencalonan. Mereka terdiri daripada para penyokong beberpa calon yang akan bertanding. Semua sakretariat PRK dilihat bertugas di kawasan masing-masing. Beberapa calon yang selesai proses penamaan masuk ke bilik pengambaran untuk poster kempen.
10.00 pagi – masih terdapat beberapa dekan yang belum sampai di tempat penamaan calon. Sakretariat PRK memberi jaminan semua calon akan diberi peluang dalam proses penamaan ini.
10.30 pagi – Naib Canselor UPSI Y. Bhg. Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob tiba di pusat penamaan calon tanpa diiringi mana-mana pegawai untuk melihat proses penamaan calon. Beliau dilihat dating secara mengejut tanpa pengetahuan mana-mana pegawai. Beberapa mahasiswa dan calon sempat beramah mesra sebelum beliau masuk ke bilik di mana penamaan dijalankan.
11.00 pagi – Proses penamaan dilanjutkan. Semua calon yang berada di dalam bilik penamaan bagi membolahkan proses berjalan lancar.
12.00 tengah hari – proses penamaan calon tamat dan beberapa calon menunggu giliran untuk proses pengambaran.

Pengumuman calon yang layak bertanding akan dibuat pada jam 2.30 petang sebelum sesi bantahan dibuka pada jam 3.30 petang.

2.45 petang – Borang pencalonan ditampal untuk sesi bantahan.
3.30 petang – sesi bantahan tamat. Terdapat satu bantahan dibuat terhadap calon Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia.
3.45 petang – pihak sakretariat PRK memanggil calon tersebut untuk penjelasan berkaitan bantahan yang dibuat.
4.30 petang – Pengumuman keputusan bantahan dan calon layak bertanding dibuat. Bantahan terhadap calon Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia tersebut ditolak.
4.45 petang – taklimat berkaitan peraturan pilihan raya diadakan. Para hadirin yang hadir menimbulkan persoalan dan keraguan terhadap sistem e-voting. Pihak skretariat dengan keputusan yang muktamad mengatakan sistem e-vioting akan diteruskan
6.00 petang – Taklimat berakhir.