December 1, 2013

PBS: Guru hantar surat pada menteri

Tanjong Malim, 1 Disember -  Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM)dilaporkan menghantar surat rasmi kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut selesaikan masalah PBS segera.

Menurut Sinar Harian, SGMM memohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan mesyuarat khas mencari jalan penyelesaian bagi masalah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Ketua Jawatankuasa Bertindak gerakan tersebut, Mohd Nor Izzat Mohd Johari yang juga graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan menyuarakan perkara itu melalui surat rasmi yang dihantar kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Katanya yang dipetik dari Sinar Harian“Saya mohon Tan Sri Muhyiddin bersama Menteri II, Timbalan Menteri I dan II, Ketua Pengarah KPM dan Bahagian Kurikulum KPM untuk menjemput SGMM mengadakan mesyuarat khas mencari jalan penyelesaian bagi masalah PBS dan SPPBS.

“Semua sedia maklum bahawa masalah PBS dan SPPBS semakin meruncing dan mendatangkan masalah kepada semua guru, murid-murid dan ibu bapa dalam meneruskan sistem yang dianggap menjadikan murid sebagai tikus makmal,” katanya yang dipetik dari surat berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap Muhyiddin memberi peluang kepada para guru untuk memberi cadangan secara terbuka.

Mohd Nor Izzat juga merupakan ‘admin’ bagi sebuah page laman sosial Facebook ‘Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan’.

Sebelum ini, isu PBS dan SPPBS menarik perhatian apabila ramai guru yang mengadu terbeban dengan sistem tersebut ekoran pelbagai masalah termasuk sistem server yang terlalu lembap.

Terbaru, dalam rangka menambah baik sistem tersebut, capaian SPPBS akan ditangguhkan mulai hari ini sehingga 31 Disember dan akan dibuka semula mulai 1 Januari hingga 31 Januari depan." ujar Sinar Harian.

No comments: