July 10, 2009

Prof Dr. Shaharudin sambung jadi TNC HEP

Tanjong Malim, 10 Julai – Spekulasi siapa yang akan menyambung tugas sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni terjawab apabila Prof. Dr. Shaharudin Abd Aziz disambung kontrak untuk tempoh 2 tahun lagi bagi menyandang jawatan tersebut.

Keputusan tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) beberapa hari lalu.

Menurut sumber, beliau setakat ini dikatakan bersetuju untuk memegang jawatan tersebut. Namun sehingga kini, belum ada apa-apa kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh beliau berhubung perkara tersebut.

Pro Kebajikan yang dihubungi bagi memberi pandangan tentang perkembangan ini megatakan keputusan ini sudah dijangka Pro Kebajikan dan Pro Kebajikan mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan beliau dalam perkara yang boleh memberi kebaikan kepada mahasiswa dan universiti.

Wakilnya, Akmal Madzir, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, turut merakamkan ucapan tahniah kepada beliau atas perlantikan tersebut.

“Saya mewakili seluruh kepimpinan Pro Kebajikan mengucapkan tahniah kepada beliau atas perlantikan tersebut dan berharap dalam tempoh 2 tahun akan datang kita dapat bekerjasama untuk memartabatkan UPSI”,ucapnya.

Ketika mengulas tentang hubungan wakil Pro Kebajikan dalam MPP dengan Shaharudin, beliau menjawab,”secara dasarnya kita tidak ada masalah dengan beliau dan beliau sendiri mengiktiraf kita sebagai wakil pelajar, cuma dalam beberapa perkara kita bercanggah pendapat namun kita tetap membuka ruang perbincangan dan mungkin selepas ini kita akan gunakan ruang tersebut lebih kerap dalam menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul”,jelasnya.

Tambahnya lagi,”kami di pihak Pro Kebajikan juga mengiktiraf beliau sebagai TNC HEP dan kita juga menyanjung usahanya menaikkan nama UPSI serta perubahan yang ingin dilaksanakan dan kita sedia membantu dalam perkara-perakara yang tidak bertentangan dengan prinsip yang kita pegang”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan dilaporkan bakal mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkembangan tersebut dalam masa terdekat.

Shaharudin sebelum ini telah memegang jawatan TNC HEP selama 2 tahun bermula Jun 2007 dan akan meneruskan tugas tersebut untuk tempoh 2 tahun lagi setelah disambung kontrak oleh KPT.

July 9, 2009

“Jumpa KPT tanya sebab halang hantar wakil”- Akmal

Tanjong Malim, 9 Julai – Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Akmal Madzir, berhasrat untuk berjumpa dengan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendapatkan penjelasan mengapa UPSI dihalang untuk menghantar wakil ke Ko-SPIN.

Beliau yang mengeluarkan kenyataan tersebut berkata “kita nak tahu apa yang sebenarnya menjadi sebab kepada halangan tersebut dan kita juga nak tahu apakah program tersebut dilihat sebagai program yang negatif dari pandangan KPT atau ada motif politik”.

Akmal turut menambah “pertemuan itu mungkin akan dibuat selepas Ko-SPIN berlangsung kerana kita telah nyatakan komitmen untuk menghadiri program tersebut atas nama UPSI meskipun KPT menghalang UPSI menghanar wakil”

Akmal adalah antara ahli MPP yang tidak bersetuju dengan tindakan HEP membatalkan persetujuan untuk menghantar wakil ke kongres tersebut.

Mengulas tentang hasrat tersebut, Pro Kebajikan mencadangkan agar pihak penganjur, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) untuk turut membuat perkara yang sama bagi mendapatkan penjelasan mengapa wakil mahasiswa UPSI dihalang untuk menjadi wakil UPSI ke kongres tersebut.

Terdahulu, UPSIkini melaporkan pihak HEP UPSI menarik semula kebenaran menghantar wakil UPSI ke kongres tersebut atas arahan KPT.

Razik punca KPT halang UPSI hantar wakil ke Ko-SPIN

Tanjong Malim, 9 Julai – Arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI supaya tidak menghantar wakil daripada UPSI ke Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN ’09) didalangi Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Mohd Razik Khalid

UPSIkini yang dimaklumkan oleh sumber mengatakan Razik telah menghubungi pihak KPT dan meminta agar KPT membuat arahan kepada HEP supaya tidak menghantar wakil daripada UPSI ke kongres tersebut.

Razik juga dikatakan antara wakil MPP yang menjadi sumber pihak KPT dalam menyampaikan maklumat berkenaan perkembangan di UPSI.

Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya ketika dimaklumkan tentang perkara ini mengecam tindakan Razik yang bersikap prejudis dan menghalang usaha ke arah memupuk budaya intelektual di UPSI.

“Kita sendiri tak faham apakah kesalahan menyertai program tersebut dan kenapa dia (Razik) bersikap sedemikian sedangkan penganjur program tersebut merupakan sebuah NGO yang sah dan AUKU yang dipinda baru-baru ini pun membenarkan mahasiswa melibatkan diri di dalam mana-mana NGO.

“UPSI seperti yang semua maklum perlu ke depan apabila isu-isu melibatkan pendidikan dibincangkan dan tindakan tidak menghantar wakil ke sana merupakan tindakan yang tidak profesional”, ulasnya.

Tambahnya lagi,”kalau beginilah sikap KPT dan HEP, kita sebenarnya berhadapan dengan masalah yang besar dalam mewujudkan budaya ilmu di kalangan mahasiswa”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan dilaporkan tetap akan menghantar wakil menggunakan nama UPSI meskipun tidak mendapat apa-apa peruntukan ke program tersebut.

“Kita akan tetap menyertai kongres tersebut dengan nama UPSI kerana kita mahu menunjukkan komitmen kita dalam hal-hal berkaitan sistem pendidikan negara dan HEP tak perlu beri apa-apa bantuan kerana kami ada wang rakyat yang dipinjamkan kepada kami”jelasnya.

Kongres yang bakal berlangsung 11 Julai ini bakal menyentuh hal-hal berkaitan sistem Pendidikan Islam yang dilihat kini tidak memberi kesan yang besar kepada pembangunan insan di negara ini.

HEP batal hantar wakil UPSI ke Ko-SPIN '09

Tanjong Malim, 9 Julai – Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membatalkan kebenaran menghantar wakil ke Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN ’09) anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.

Pembatalan ini dilaporkan dibuat selepas mendapat arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke atas UPSI supaya tidak menghantar wakil atas nama UPSI. Namun demikian, sebab-sebab arahan itu dibuat tidak dijelaskan meskipun beberapa wakil Pro Kebajikan menemui pegawai yang berkaitan.

Berikutan itu, ketiga-tiga wakil yang dijadualkan menyertai program tersebut ditarik semula semua peruntukan kewangan dan pengangkutan ke program tersebut. Wakil-wakil tersebut adalah Nur Aqilah Hanis Mohd Yusof , Arif Mohamad dan Adriyani.

Pro Kebajikan yang dimaklumkan tentang perkara ini mempersoalkan rasional tindakan KPT menghalang UPSI daripada menghantar wakil ke program tersebut.

Akmal Madzir yang diminta mengulas tentang perkara tersebut berkata KPT tidak sepatutnya menghalang universiti menyertai program yang berbentuk ilmiah seperti ini tanpa ada alasan yang munasabah apatah lagi terhadap UPSI yang sememamngnya diketahui umum sebagai sebuah institusi pengajian yang melahirkan pendidik.

“Saya secara peribadi terkejut dengan tindakan HEP atas arahan KPT yang menarik semula kebenaran menghantar wakil atas nama UPSI tanpa ada sebab yang munasabah.

“Ini merupakan satu pengkhianatan kepada usaha menggalakkan mahasiswa menyertai program ilmiah dan intelektual”,katanya

“Saya sangat sedih apabila KPT tidak pula menghalang penyertaan dalam program yang melalaikan seperti GEGAR U beberapa tahun lalu tetapi memandang negative pula dengan program ilmiah seperti Kongres ini dengan menghalang UPSI menghantar wakil”, tambahnya lagi.

Beliau yang kelihatan begitu kecewa dengan pembatalan tersebut bertekad akan mendesak HEP menghantar wakil ke program tersebut atas nama UPSI.

“Saya dan rakan-rakan akan mendesak HEP dan KPT memberi semula kebenaran menghantar wakil atas nama UPSI dengan apa cara sekalipun.

“Kami juga akan menghubungi pihak penganjur untuk memaklumkan tentang perkara ini.”ulasnya.

Kongres anjuran GAMIS yang bakal berlangsung pada 11 Julai ini akan diadakan di Auditorium D8 Putrajaya dan dijangka akan dihadiri daripada kalangan tokoh akademik, ahli politik, mahasiswa dan beberapa wakil NGO.

July 8, 2009

Wakil MPP beri ulasan keputusan mansuhkan PPSMI

Berikut merupakan ulasan yang disampaikan oleh beberapa wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI kepada UPSIkini sejurus selepas keputusan memansuhkan PPSMI diumumkan.

“Pemansuhan ini membuktikan pihak kerajaan telah membuat kesilapan besar dalam menentukan dasar Negara untuk tempoh 6 tahun lamanya tanpa ada kajian. Pindaan AUKU juga begitu, sudah 24 tahun dilaksana baru sedar dan pinda. Kita tetap mahu AUKU dimansuh sepertimana PPSMI.”- Arif bin Mohamad (Exco Akademik & Kerjaya).

“Pemansuhan PPSMI merupakan langkah yang paling tepat, ‘unduran’ yang baik untuk menyelamatkan lebih ramai anak bangsa dari tercicir” – Nur Aqilah Hanis Mohd Yusof (Exco Akademik & Kerjaya)

“Alhamdulillah..Akhirnya kerajaan akur dengan permintaan rakyat untuk mansuhkan PPSMI. Semoga langkah yang diambil ini menjadi satu pengajaran kepada kerajaan dalam membuat sesuatu dasar – mesti mengambil kira pandangan rakyat. Jangan pula keputusan ini untuk tujuan politik semata-mata.”- Akmal Madzir (Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah)

“Wajar dimansuhkan kerana rata-rata guru menyatakan bahawa sukar menyampaikan pelajaran dalam BI terutamanya di kawasan pedalaman dan mereka juga penat menjalani kursus-kursus meskipun diberi elaun. Keduanya majority pelajar di sekolah masih menggunakan buku BM sebagai rujukan utama malah masih menjawab soalan menggunakan BM dan mereka juga menghafaz tanpa memahami. Ketiganya, pemantapan infrastruktur dan BI perlu dibuat sekiranya mahu laksanakan PPSMI. – Norhafizawati Mahmad Rozali (Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah)

“Beberapa lagi generasi anak bangsa akan dipertaruhkan masa depannya. Ini kerana sewaktu dasar ini mahu dilaksanakan tidak dibuat secara berperingkat, tetapi bila nak mansuh, berperingkat pula.” – Mohd Zulhilmi bin Mohd Noor (Exco Kebajikan & Kemasyarakatan)

"Keputusan yang menepati kehendak banyak pihak. Kita mahu kerajaan juga merancang masa depan yang lebih baik setelah dasar ini dimansuhkan." - Adriyani Yamin (Exco Kebajikan & Kemasyarakatan)

“Pemansuhan PPSMI adalah langkah terbaik dan diharapkan pemansuhan ini adalah berdasarkan pandangan dari tokoh-tokoh politik, ahli akademik, guru-guru, ibu bapa dan mahasiswa. Kita yakin dalam tempoh 3 tahun akan datang, istilah-istilah yang digunakan sebelum ini dapat ditukar dalam BM dan buku teks akan menggunakan sepenuhnya BM.”- Mohd Hanif Azwan Ab Rahman (Exco Kesenian & Kebudayaan)

"Ini adalah keputusan yang sepatutnya sudah lama dibuat. Kita sudah lama menyedarinya dan baru sekarang hasrat kita itu dilihat kerajaan. Tahniah saya capkan kepada semua yang memperjuangkan isu ini" - Norhisham Che Hamid (Exco Kesenian & Kebudayaan)

Pro Kebajikan:Keputusan mansuhkan PPSMI tepat

Tanjong Malim, 7 Julai – Keputusan memansuhkan PPSMI sepenuhnya menjelang 2012 yang diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi disifatkan kepimpinan Pro Kebajikan sebagai keputusan yang tepat.

Pro Kebajikan melalui Setiausaha Agungnya yang mengulas tentang keputusan itu menyatakan tidak ada jalan lain yang lebih baik melainkan memansuhkannya kerana segala bukti tentang kepincangan dasar ini sudah jelas dan ramai menyedarinya .

“Tidak ada jalan lain selain mansuh dan kembali kepada BM bagi menyelamatkan anak bangsa kita kerana segal-galanya telah terbukti dan ramai mahu dasar ini dimansuh”ulasnya.

Tambahnya lagi”kita bersyukur atas keputusan ini dan semua pihak harus bekerjasama untuk memastikan pemansuhan PPSMI ini membawa kebaikan kepada semua pihak”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut mengucapkan tahniah kepada GMP atas usaha keras mereka memperjuangkan isu ini sehingga dasar ini dimansuhkan.

“Kita juga ingin mengucapkan tahniah kepada GMP, Prof Emeritus Abdullah Hassan dan rakan-rakan yang berusaha gigih dalam memperjuangkan isu ini sehingga PPSMI berjaya dimansuhkan dan kami percaya usaha ini sudah pastinya dicatat dalam lipatan sejarah”,katanya.

PPSMI yang hangat diperkatakan sejak keputusan Pilihan Raya Umum Mac 2008, mula mendapat perhatian pihak kerajaan setelah beberapa siri bantahan melalui dialog, memorandum dan himpunan jalanan yang digerakkan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan akhirnya keputusan memansuhkannya dicapai hari ini.

July 7, 2009

UPSIkini lancar ‘Kelab Penyokong’ melalui friendster



Tanjong Malim, 7 Julai – Blog UPSIkini hari ini melancarkan “Kelab Penyokong” malalui laman web komuniti friendster. Pelancaran yang di buat di sebuah kediaman di sini malam tadi, dihadiri semua pengarang dan editor UPSIkini serta beberapa wakil dari kalangan mahasiswa dan pemimpin mahasiswa.

Perancangan melancarkan kelab tersebut dikatakan telah dibuat dua bulan lalu dan kini direalisasikan setelah mewujudkan satu kumpulan baru mengendalikan kelab tersebut.

Menurut Ketua Pengarang UPSIkini, Mr Teller, pelancaran kelab tersebut bertujuan bagi meluaskan lagi rangkaian UPSIkini dan merupakan langkah awal bagi tujuan publisiti serta membuka satu lagi saluran menyampaikan maklumat.

“Kita dalam rangka meluaskan publisiti UPSIkini dan langkah ini juga bertujuan menyampaikan maklumat melalui saluran lain serta membuka ruang di kalangan pembaca untuk memberi pandangan”ulasnya.

Ketika ditanya adakah UPSIkini mempunyai tenaga yang mencukupi bagi menggerakkan kerja-kerja tersebut, beliau berkata “setakat ini kita stabil dan dalam proses membentuk pengarang-pengarang baru melalui akademi yang kita tubuhkan dan “Kelab Penyokong” ini juga akan menjadi medium latihan bagi penulis-penulis baru sebelum diserap menjadi pengarang UPSIkini.

Kelab Penyokong UPSIkini boleh disertai melalui laman web komuniti friendster di http://profiles.friendster.com/upsikini.

Untuk rekod, UPSIkini mula ditubuh pada Oktober 2008 dan mempunyai 26 pengikut (follower) setakat ini.

Mahasiswa merungut PTPTN belum masuk

Tanjong Malim, 7 Julai – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idis (UPSI) hari ini merungut berikutan wang Pinjaman Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) masih belum dikredit ke akaun mereka meskipun menerima maklumat mengatakan wang akan masuk antara 6 hingga 7 Julai.

UPSIkini sebelum ini melaporkan, wang PTPTN dijangka masuk ke akaun mereka pada tarikh tersebut.

Saudara Zulhilmi, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika diajukan tentang perkara ini mengatakan rungutan tersebut telah disampaikan kepada pihak yang berkenaan dan mereka mengatakan terdapat kesilapan teknikal berhubung perkara tersebut.

“Kami sudah maklumkan perkara ini kepada pihak yang berkenaan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan mereka mengatakan terdapat masalah teknikal yang menyebabkan wang itu tidak dapat dikreditkan ke akaun mereka pada tarikh tersebut”,katanya.

Jelasnya lagi,”Namun pihak PTPTN memberi jaminan wang tersebut akan dimasukkan ke akaun pelajar selewat-lewatnya hujung minggu ini sekiranya tidak ada masalah yang berlaku dalam tempoh itu.”

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar mereka yang mempunyai masalah kewangan untuk berjumpa pegawai HEP di Unit Kewangan dan Kebajikan Pelajar, Encik Fauzi Khalid.

Mahasiswa merungut PTPTN belum masuk

Tanjong Malim, 7 Julai – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idis (UPSI) hari ini merungut berikutan wang Pinjaman Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) masih belum dikredit ke akaun mereka meskipun menerima maklumat mengatakan wang akan masuk antara 6 hingga 7 Julai.

UPSIkini sebelum ini melaporkan, wang PTPTN dijangka masuk ke akaun mereka pada tarikh tersebut.

Saudara Zulhilmi, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika diajukan tentang perkara ini mengatakan rungutan tersebut telah disampaikan kepada pihak yang berkenaan dan mereka mengatakan terdapat kesilapan teknikal berhubung perkara tersebut.

“Kami sudah maklumkan perkara ini kepada pihak yang berkenaan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan mereka mengatakan terdapat masalah teknikal yang menyebabkan wang itu tidak dapat dikreditkan ke akaun mereka pada tarikh tersebut”,katanya.

Jelasnya lagi,”Namun pihak PTPTN memberi jaminan wang tersebut akan dimasukkan ke akaun pelajar selewat-lewatnya hujung minggu ini sekiranya tidak ada masalah yang berlaku dalam tempoh itu.”

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar mereka yang mempunyai masalah kewangan untuk berjumpa pegawai HEP di Unit Kewangan dan Kebajikan Pelajar, Encik Fauzi Khalid.

July 6, 2009

Lagi cadangan mansuh SMU

Tanjong Malim, 6 Julai – Isu memansuhkan Sahabat mahasiswa Universiti (SMU) semakin menjadi perhatian ramai akhir-akhir ini sejak Minggu Suai Kenal (MSK) sesi ini dikendalikan oleh Sakretariat Minggu Suai Kenal (SMS).

Terbaru cadangan tersebut sekali lagi disuarakan oleh mantan presiden sebuah persatuan di sini.

Beliau yang menyatakan pandangan itu menyifatkan kewujudan SMU hanya ingin mengasingkan mahasiswa dengan ideologi mereka yang kononnya bersama universiti.

Di samping itu, katanya lagi, SMU juga akan menjadi kelab paling diutamakan dalam segala hal dan sering diberi keistimewaan atas alasan kelab ini bersama universiti.

“SMU sepanjang pengalaman saya tidak lebih sebagai proksi bagi pihak yang mahu meneruskan survival politik mereka dan atas sebab itu mereka diberi layanan istimewa berbanding kelab-kelab lain.

“Ramai menyedari akan hal ini tetapi tak ramai yang berani bersuara dan kali ini saya rasa sudah tiba masanya untuk SMU ini dimansuhkan”,ulasnya.

Dalam pada itu, kewujudan SMU juga dikatakan tidak diketahui oleh Naib Canselor UPSI meskipun SMU mendakwa mereka adalah satu-satunya kelab yang bersama universiti.

“Dalam satu pertemuan dengan Naib Canselor, saya dan rakan-rakan agak terkejut apabila Naib Canselor sendiri tidak tahu apa itu SMU dan apakah tujuan kewujudannya”, katanya lagi.

Tambahnya lagi, “kami bersama rakan-rakan pula terpaksa menerangkan kepada beliau apa itu SMU dan dalam perbualan tersebut kami dapati beliau sebenarnya sama sekali tidak pernah tahu akan kewujudan SMU”.

SMU kini di bawah penasihatnya Muzammil Mahil dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan kepercayaan semula mengendalikan MSK.

July 5, 2009

PTPTN dijangka masuk 6 atau 7 Julai

Wang PTPTN untuk mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dijangka dikreditkan ke akaun pelajar dalam tempoh 6 hingga 7 Julai.

Tarikh tersebut diberikan oleh pihak PTPTN dengan harapan mahasiswa dapat merancang perbelanjaan dan tidak timbul masalah kewangan pada semester ini.

Sebelum ini, wang PTPTN dimasukkan ke akaun pelajar lebih awal - sebelum sesi pengajian bermula.

Pada semester ini, wang PTPTN dikatakan agak lewat dikreditkan berbanding semester-semester lepas. Namun rata-rata mahasiswa yang ditemui mengatakan tarikh 6 atau 7 Julai itu masih lagi boleh diterima kerana mahasiswa baru sahaja memulakan pengajian untuk semester ini.

Bermula Isnin ini, seluruh mahasiswa UPSI dijadual akan memulakan sesi pengajian mereka.

July 4, 2009

Muzammil dakwa hanya SMU sayang universiti

Tanjong Malim, 4 Julai – Kenyataan “hanya SMU sayang universiti” yang dikeluarkan Penyelaras MSK, Muzammil Mahil, mengundang rasa kurang senang di kalangan mahasiswa di sini semalam.

Beliau yang juga merupakan Pegawai HEP dikatakan membuat kenyataan tersebut di hadapan ahli-ahli SMS dalam sesi “post-mortem”.

Berikutan itu, beberapa ahli Sakretariat Minggu Suai Kenal (SMS) yang meluahkan rasa kurang senang dengan kenyataan tersebut mendakwa Muzammil seorang yang tidak professional dalam menjalankan tugas.

Salah seorang daripada mereka berkata sikap “double standard” beliau sepanjang MSK memang telah disedari tetapi tidak mahu memanjangkan perkara tersebut atas dasar hormat.

“Kami sememangnya sudah menyedari sikap “double standard” dia dan hari ini dia benar-benar mencabar kewibawaan kami apabila membuat kenyataan hanya SMU sayang universiti”,ulasnya

Tambahnya lagi,”kami masih baru dan kami sedar kami bukan SMU dan kami pun tak mahu digelar SMU tetapi jangan sampai membuat kenyataan yang memperkecilkan orang lain.”

Ketua Penerangan Pro Kebajikan yang mengulas tentang perkara tersebut menasihatkan Muzammil agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak membawa diri sebagai Penasihat SMU apabila bercakap di hadapan mahasiswa lain.

“Saya selaku mewakili mahasiswa lain ingin menasihatkan beliau agar berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana beliau itu seorang pegawai HEP dan tolong jaga maruah HEP daripada dipandang negatif oleh mahasiswa”,katanya.

“Biarkan mahasiswa menguruskan hal mahasiswa dan bertindaklah sebagai seorang pegawai HEP bukan orang yang berkepentingan”,tambahnya lagi.

Untuk rekod, Muzammil pernah dikaitkan dengan penyelewengan wang MPP sebanyak RM 36 000.

SMU anggap anggota lain tak ada pengalaman, tak tahu buat kerja

Tanjong Malim, 2 Julai – Masuk hari kedua Minggu Suai Kenal (MSK) bagi pelajar-pelajar baru DPLI, Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) yang sebahagian besarnya menganggotai Sakretariat Minggu Suai Kenal (SMS) sekali lagi mengambil peluang mempromosi diri dengan mengenakan pakaian rasmi mereka malam ini.

SMU yang sebelum ini didakwa semakin kabur hala tuju mereka selepas mandat mengendalikan MSK diberi kepada SMS dikatakan sentiasa mencari ruang untuk menonjolkan nama SMU sepanjang MSK.

Dalam pada itu, timbul cakap-cakap budaya SMU masih berada dalam MSK kali ini meskipun mereka bukan lagi satu-satunya jawatankuasa yang mengndalikan MSK.

Menurut seorang anggota SMS yang tidak mahu namanya didedahkan, SMU masih tidak sedar mereka bukan satu-satunya badan yang bertindak dalam mengendalikan MSK dan anggota SMS yang bukan SMU sering dianggap tidak tahu buat kerja atas alasan kurang berpengalaman.

“Saya merasakan SMU masih mahu mendakwa mereka adalah pengelola program ini walaupun ada anggota bukan SMU dalam SMS”,ulasnya.

“Meskipun kami cuba melaksanakan kerja yang diberi sebaik mungkin, kami tetap dianggap tidak tahu buat kerja semata-mata kerana kami baru dalam program ini”,tambahnya lagi.

Tindakan SMU juga dikatakan kurang disenangi Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) dan pihak pentadbiran kolej. Sehari selepas hari pendaftaran, dilaporkan banyak pihak memberi reaksi negatif dengan tindak-tanduk beberapa ahli SMU.

Seorang ahli JMK yang ditemui meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila beberapa ahli SMU seringkali menimbulkan suasana kurang senang dengan JMK.

“Ada beberapa ahli SMU, bukan semua, sering menimbulkan suasana kurang senang dengan JMK dan perkara ini dikatakan berlaku setiap kali tiba hari pendaftaran, MSK, sehinggakan kami sendiri bingung apa masalah mereka ini”,katanya.

Terdahulu, UPSIkini melaporkan pandangan beberapa pihak yang mahu SMU dimansuh kerana sudah hilang peranan dan skop berpersatuan.

July 3, 2009

TNC HEP&A tamat kontrak, UPSI tunggu KPT

Tanjong Malim, 2 Julai – Kontrak Prof Dr. Shaharudin Abd Aziz yang dilantik memegang jawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) Universiti Pendidikan Sultan Idris selama 2 tahun bermula 2007 dilaporkan telah tamat penghujung bulan lalu.

Berikutan itu, UPSI kini sedang menunggu keputusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sama ada jawatan tersebut akan terus disambung oleh beliau atau diberikan kepada calon lain.

Perkembangan tersebut membawa kepada satu lagi teka teki di kalangan warga UPSI - siapa yang bakal memegang jawatan tersebut untuk tempoh 2 tahun akan datang. Daripada perbualan bersama beberapa sumber, jawatan tersebut dikatakan mungkin diberikan kepada calon lain berdasarkan suasana sekarang di UPSI.

Dalam pada itu, timbul cakap-cakap yang mengatakan Shaharudin tidak lagi berminat untuk jawatan tersebut meskipun ditawar untuk disambung.

Namun, kenyataan tersebut disangkal beberapa pihak yang mengatakan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus memegang jawatan tersebut kerana sepanjang perkhidmatan beliau sebagai TNC HEP&A, banyak perubahan yang dilakukannya.

Beliau yang dilantik untuk jawatan tersebut selepas Prof. Dr Abdullah Al-Hadi bersara pada tahun 2007, walau bagaimanapun masih lagi menjalankan kerja-kerja TNC HEP&A sehingga perlantikan baru diumum oleh pihak KPT.

July 2, 2009

PTPTN: Wang pendahuluan RM 1500 boleh dibayar secara ansuran

Tanjong Malim, 2 Julai – Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) pagi tadi dalam sesi taklimat bersama pelajar baru Ijazah Sarjana Muda pendidikan (ISMP) mengumumkan bayaran semula wang pendahuluan sebanyak RM 1500 boleh dilunaskan secara ansuran.

Sebelum ini, wang pendahuluan yang diberi kepada pelajar baru institusi pengajian tinggi sebanyak RM 1500 perlu dibayar sekali gus pada semester kedua pengajian dan dasar ini dikatakan memberi tekanan kepada peminjam apabila baki wang di dalam akaun tidak mencukupi bagi menampung kos sara diri selama satu semester.

Berikutan itu, beberapa pihak terutamanya di kalangan pemimpin mahasiswa membuat cadangan agar bayaran tersebut dibuat secara ansuran.

Antara yang tegas membawa cadangan ini, saudara Akmal Madzir yang kini memegang jawatan sebagai Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Beliau sebelum ini meletakkan cadangan tersebut sebagai manifestonya semasa Pilihan Raya Kampus (PRK).

Beliau yang mengulas berkenaan pengumuman tersebut mengatakan keputusan PTPTN membenarkan bayaran wang pendahuluan RM1500 secara ansuran adalah hasil daripada gesaan mahasiswa di kampus-kampus yang sudah melalui tekanan tersebut dan tidak mahu pelajar-pelajar seterusnya melalui kesusahan yang sama.

“Ini adalah usaha mahasiswa di kampus-kampus dan keputusan ini memang tepat bagi membela warga kampus yang tertekan dengan pelaksanaan dasar tersebut”ulasnya.

Tambahnya lagi ”meskipun keputusan PTPTN adalah antara manifesto yang saya perjuangkan namun kejayaannya bukan kejayaan saya seorang tetapi adalah kejayaan seluruh warga kampus yang bertungkus lumus memastikan mahasiswa tidak dihimpit dengan masalah kewangan”.

Sekitar perjalanan pendaftaran pelajar baru DPLI

Tanjong Malim, 2 Julai – Perjalanan pendaftaran pelajar baru bagi program Diploma Pendidikan Lepasa Ijazah (DPLI) yang bermula jam 8.30 pagi tadi dilaporkan berjalan lancar.

Keadaan persekitaran tempat mendaftar juga dilaporkan semakin sesak di beberapa kaunter.

Laluan trafik semakin sesak dengan jumlah kenderaan yang menuju ke tempat pendaftaran semakin bertambah.

11.00 a.m. - Pergerakan trafik menuju ke Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Taman Bahtera dilaporkan terkawal. Hujan renyai-renyai mulai turun di Tanjong Malim.

11.30 a.m. - Perjalanan proses pendaftaran masih berjalan dan dilaporkan lancar. Tinjauan yang dibuat mendapati proses pendaftaran DPLI hari ini lebih tersusun berbanding ISMP. Bilangan ibu bapa dan ahli keluarga pelajar yang datang juga dilaporkan kurang berbanding pendaftaran ISMP tempoh hari.

12.00 p.m. - Hujan mulai berhenti. Kelihatan pelajar yang datang mendaftar bertambah. Dianggarkan 50% pelajar baru DPLI sudah selesai mendaftar.

12.30 p.m. - Di Kolej Zaaba juga dilaporkan peratusan pelajar datang mendaftar bertambah. Pergerakan kenderaan juga terkawal pada ketika ini. Di kalangan pelajar baru, mereka mula membincangkan tentang penginapan mereka sepanjang pengajian.

12.45 p.m. - Pengumuman demi pengumuman disampaikan oleh DJ yang berugas memberi info kepada pelajar baru DPLI. Sebilangan pelajar yang hadir mendaftar jugaa dilihat membawa bersama suami dan isteri masing-masing di samping ditemani anak-anak.

1.00 p.m. - Suasana pendaftaran dilihat tenang dan berjalan dengan baik dan 30 minit yang lalu pendaftaran bagi sesi ketiga sudah dibuka. Ibu bapa juga dilaporkan berpuas hati dengan perjalanan pendaftaran.

1.30 p.m. - Ibu bapa mengambil kesempatan menunaikan solat zohor. Bilangan SMS yang bertugas juga dilaporkan kurang berbanding pendaftaran ISMP kerana MSK bagi pelajar ISMP masih berjalan dan sebahagiannya bertugas di kampus.

2.00 p.m.- Dianggarkan 70% sudah mendaftar di dua tempat pendaftaran – KHAR dan KZ. Keadaan persekitaran terkawal dan pelajar mula naik ke rumah sementara di kolej kediaman untuk tempoh orientasi. Kaunter Pendaftaran Unit Kediaman Luar Kampus dilaporkan kaunter yang paling sibuk.

2.15 p.m.- Bilangan pelajar perempuan yang lebih ramai berbanding lelaki jelas kelihatan apabila sekitar kawasan pendaftaran dan di kaunter-kaunter dipenuhi pelajar-pelajar perempuan.

2.30 p.m.- Cuaca mendung. Beberapa pelajar dilihat mencari tempat menukar pakaian selepas diminta SMS agar memakai pakaian yang ditetapkan sebelum mendaftar.

3.00 p.m.- Hujan mulai turun. Semua pelajar meneruskan sesi pendaftaraan walaupun sedikit terganggu di bahagian khemah (H1N1).

3.20 p.m.- Hujan lebat di Tanjong Malim. Proses pendaftaran diteruskan. Beberapa kaunter dilaporkan lancar tetapi sesak di beberapa kaunter yang lain. Beberapa SMS juga dilihat memayung ibu bapa yang ingin bergerak ke kawasan pendaftaran.

4.00 p.m. - Terdapat beberapa lagi pelajar yang baru samapai ke kawasan pendaftaran. Dilaporkan sehingga kini hampir 85% jumlah pelajar yang ditawarkan datang mendaftar.

5.00 p.m.- Suhu dingin di sekitar kawasan pendaftaran selepas hujan berhenti. Ibu bapa sudah mula bergerak pulang. Bilangan pelajar di sekitar kawasan pendaftaran semakin surut. Bilangan pelajar di beberapa kaunter pendaftaran sudah mula surut.

5.30 p.m.- Beberapa kaunter sudah ditutp. Antara yang awal, khemah Pusat Kesihatan yang membuat saringan pemeriksaan H1N1.

6.00 p.m.- Beberapa kaunter lain juga sudah ditutup. Hampair semua pelajar sudah mendaftar. Beberapa pelajar mengambil kesempatan bergaul dengan rakan-rakan baru yang lain.

6.30 p.m.- Gerai-gerai jualan sudah mula mengemas. Kenderaan sudah mula keluar dari kawasan pendaftaran. Bagi pelajar berkeluarga kebanyakannya mengambil kesempatan makan bersama sebelum pulang.

6.45 p.m.- Semua kaunter sudah ditutup. Kaunter kolej dilaporkan masih menjalankan kerja-kerja pentadbiran memastikan tiada masalah penginapan pelajar sepanjang MSK.

7.00 p.m.- Proses pendaftaran tamat. Tiada lagi kaunter dibuka kecuali kaunter kolej bagi kes-kes luar biasa. Pendaftaran kali ini dilaporkan berjalan lancar dan mengikut seperti apa yang dirancang.

July 1, 2009

2504 pelajar DPLI dijangka mendaftar esok, 88% perempuan

Tanjong Malim, 1 Julai – Seramai 2504 ditawar untuk mengambil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mendaftar esok. Pendaftaran akan dijalankan di dua tempat pendaftaran iaitu di Kolej Harun Aminurrshid (KHAR) dan Kolej Zaaba.

Pengambilan pelajar DPLI kali ini sekali lagi mencatat peratusan tinggi bagi pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki iaitu sebanyak 88% atau 2197 pelajar. Bagi pelajar lelaki pula, tawaran yang dikeluarkan berjumlah 307 iaitu sekitar 12 %.

Perbezaan ketara bilangan pelajar lelaki dan perempuan untuk pengambilan kali ini sekali lagi mengesahkan kenyataan Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob sebelum ini yang mengatakan semakin kurang kaum lelaki dalam bidang perguruan.

Pada Ahad lalu, pengambilan pelajar bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) turut mencatatkan peratusan yang tinggi bagi pelajar perempuan iaitu sekitar 75%.

Zambry tak dapat datang, slot bersama pemimpin batal

Tanjong Malim, 1 Julai – Selepas 2 slot dibatalkan dalam MSK kali ini, satu lagi slot utama menerima nasib yang sama. Kali ini slot bersama pemimpin terpaksa dibatalkan apabila tetamu jemputan untuk slot tersebut, YB Zambry Abd Kadir tidak dapat hadir.

Pembatalan slot ini sekali lagi menimbulkan tanda tanya di kalangan warga UPSI terutamanya di kalangan pemimpin mahasiswa.

Meskipun begitu, tinjauan UPSIkini mendapati tiada sesiapa di kalangan pelajar baru dan sebahagian besar Sakretariat Minggu Suai Kenal yang tahu bahawa Zambry adalah tetamu yang dijemput untuk slot tersebut.

Dalam pada itu, timbul ura-ura mengatakan ADUN Pangkor tersebut tidak dapat memenuhi jemputan tersebut kerana bimbang ditanya dengan soalan-soalan pedas di kalangan mahasiswa dan pemimpin mahasiswa.

Khabar tersebut turut disokong oleh beberapa sumber yang ditemui apabila beliau juga dilaporkan tidak menghantar mana-mana wakil bagi memenuhi jemputan tersebut.

Beberapa sumber turut memberi maklumat terdapat sekumpulan mahasiswa sudah menyiapkan kain rentang yang tertulis “Selamat Datang MB Haram” dan “Bila Mahu Bubar DUN??”Namun kesahihan maklumat tersebut tidak dapat dipastikan.

Berikutan pembatalan slot tersebut, Sakretariat Minggu Suai Kenal (SMS) menyusun aktiviti lain bagi memenuhi tentatif program malam ini.

Nama Zambry mula menonjol selepas kemelut kerajaan negeri Perak dan sering dilabel sebagai MB Haram selepas dikatakan merampas kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat.

Tiada slot bersama BTN, batal malam bintang

Tanjong Malim, 1 Julai – Minggu Suai Kenal (MSK) kali ini sekali lagi membuat perubahan apabila tidak diselitkan slot bersama Biro Tata Negara (BTN) dan membatalkan program Malam Bintang.

Kedua–dua keputusan tersebut mengundang pelbagai reaksi di kalangan warga UPSI dan menjadikan MSK kali ini berlainan daripada sesi-sesi sebelum ini.

Ketiadaan slot bersama BTN antara yang mengejutkan ramai pemimpin mahasiswa di sini kerana slot tersebut adalah antara slot yang diberi keutamaan dalam mana-mana program MSK di universiti-universiti tempatan.

Menurut sumber, keputusan memansuhkan slot bersama BTN pada MSK kali ini disebabkan kesedaran ramai pihak akan keberkesanan dan pengisian slot tersebut yang berbaur politik.

Tambahnya lagi, MSK kali ini juga lebih pendek daripada sebelum-sebelum ini dan akibat ketiadaan ruang masa yang boleh diselitkan dalam tentatif program, slot ini dibatalkan.

Dalam pada itu, program malam bintang dilaporkan batal secara tiba-tiba.Mengulas tentang perkara tersebut, Exco Kesenian dan Kebudayaan MPP, saudara Hanif dipetik sebagai berkata, pembatalan saat akhir program tersebut mempunyai sebab-sebab yang tertentu dan salah satu daripadanya adalah masalah teknikal.

Beliau walau bagaimanapun menolak untuk mengulas lebih panjang kerana tidak mahu kenyataannya disalah tafsir.

UPSIkini juga dilaporkan, slot tersebut dibatalkan atas arahan TNC HEP&A, Prof Dr. Saharudin Abd Aziz, yang mahu program malam bintang dibatalkan bagi menghormati Bulan Rejab dan masyarakat setempat dan kebetulan dijadual pada hari khamis malam jumaat.

Program tersebut yang dijadual berlangsung malam esok turut dikaitkan teguran Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob berkenaan Malam Bintang sebelum ini yang dikatakan melampau dan tidak membina pemikiran mahasiswa.

Pro Kebajikan yang dihubungi bagi mendapatkan pandangan tentang perkembangan enggan mengulas dan akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

MSK sesi ini yang bermula pada Ahad lalu dijangka melabuhkan tirainya esok.

MSK : Kontrak bekal makanan di KUO diberhenti serta-merta

Tanjong Malim, 30 Jun – Kontrak membekalkan makanan kepada pelajar-pelajar baru yang menginap di Kolej Umgku Omar (KUO) sepanjang program Minggu Suai Kenal (MSK) diberhentikan serta-merta dengan notis 24 jam.

Pemberhentian serta-merta tersebut dilaporkan kerana mutu perkhidmatan dan kebersihan yang tidak memuaskan.

Maklumat yang diperolehi juga tidak menamakan kafe yang diberi tanggungjawab tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Menurut sumber dalaman, pemberhentian kontrak tersebut disokong TNC Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan dan tindakan ini diambil sebagai langkah mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Berikutan daripada pemberhentian tersebut, semua pelajar baru di KUO akan disediakan makanan oleh kafe di Kolej Harun Aimnurrashid (KHAR) bermula esok.