September 8, 2009

Adham Baba lawat UPSI, Pro Kebajikan dakwa petanda Pilihan Raya Kampus sudah hampir

Tanjong Malim, 6 September – Kehadiran Datuk Dr. Adham Baba dalam satu majlis berbuka puasa di sini didakwa Pro Kebajikan sebagai petanda Pilihan Raya Kampus sudah semakin hampir.

Menurut Ketua Penerangan Pro Kebajikan, bekas Setiausaha Parlimen KPT itu mempunyai rekod yang jelas dalam penglibatan beliau sebagai penggerak mahasiswa yang membawa ideologi parti politik tertentu ke dalam kampus dan kedatangannya sudah pasti membawa isyarat jelas PRK UPSI sudah hampir.

“Saya kira rata-rata mahasiswa di seluruh IPTA mengetahui bahawa beliau adalah penggerak sekumpulan mahasiswa untuk membawa ideologi parti politik tertentu di dalam kampus dan kita maklum kehadirannya ke UPSI pasti membawa petanda bahawa PRK sudah hampir”,katanya.

Adham yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Pasir Raja dikatakan antara pencatur utama kumpulan mahasiswa pro BN di dalam kampus. Namun, beliau dilihat tidak begitu ke depan selepas Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjadi orang nombor satu kementerian tersebut selepas Dato’ Mustapha Mohamed yang kini berada di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Turut bersama dalam majlis berbuka puasa tersebut Timbalan Naib Canselor HEP&A, Prof. Dr. Shaharudin Abd Aziz, Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Encik Faiezi Othman, dan beberapa ahli MPP.

Beliau yang hadir atas jemputan berbuka puasa Persatuan Mahasiswa Johor UPSI turut bersama menunaikan solat terawih di Surau Al-Falah.


September 5, 2009

“Kehilangannya amat dirasai kami” – keluarga Norazlina

Jelawat, 5 September – “Kami sangat sedih dengan kehilangannya namun kami redha”. Begitulah ungkapan yang diluahkan keluarga Allahyarhamah Norazlina yang maut dalam satu kemalangan jalan raya 28 Ogos lalu.

Rombongan wakil UPSI yang menziarahi keluarga Allahyarhamah di Kampung Tualang Salak, Jelawat Kelantan selamat sampai kira-kira jam 10.00 pagi tadi dan disambut dengan linangan air mata nenek Allahyarhamah yang begitu terasa kehilangannya.

Allahyarhamah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Long oleh keluarganya dikatakan begitu rapat dengan neneknya sejak dari kecil dan Allahyarhamah pernah dijaga beliau semasa kecil.

Menurut Mohd Noor, bapa Allahyarhamah, tiada tanda-tanda beliau ingin pergi sebelum kejadian malang itu menimpanya.

“Tak ada apa-apa tanda yang menunjukkan dia nak pergi Cuma lebih kurang jam 12.00 malam tu, arwah ada menelefon untuk ucap selamat hari lahir kepada saya dan kemudian dalam jam 3 pagi, adiknya pula telefon kata terlibat dengan kemalangan.

“Kemudaian saya terus ke tempat kejadian tapi saya dapat panggilan lepas tu untuk ke hospital pada jam 6.00 pagi”, katanya ketika ditanya Zulhilmi, salah seorang wakil rombongan ziarah tersebut.

Dalam pada itu, ibunya berkata Allahyarhamah mempunyai impian terakhir sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Arwah Kak Long ada pesan kepada saya minta saya tempah kek sebab Kak Long nak sambut ulangtahun hari lahirnya bersama abahnya dan ulangtahun perkahwinan kami, tapi tak sempat dia nak sambut bila saya dapat tahu dia dah tak ada”, katanya sebak mengingatkan arwah yang merupakan anak sulong dalam keluarga.

Sementara itu, pihak rombongan yang terdiri daripada Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP, Mohd Zulhilmi Mohd Noor, Adriyani Yamin dan Exco Akademik & Kerjaya MPP, Nur Aqilah Hanis serta pegawai Jabatan hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) turut menyerahkan kutipan sumbangan daripada warga UPSI sebanyak RM 1538.10 dan barang-barang Allahyarhamah.

Mahasiswi dominasi kuota kursus kahwin anjuran Pusat Islam

Program kursus kahwin anjuran Pusat Islam UPSI yang merupakan program berkala Pusat Islam tidak pernah kekurangan peserta. Namun seringkali program ini didominasi kaum hawa atau mahasiswi.

Pada hari ini, Pusat Islam sekali lagi menjalankan program kursus kahwin ini dan seperti biasa bilangan mahasiswi berbanding mahasiswa begitu jauh nisbahnya.

Dilaporkan kira-kira 300 peserta yang menyertai kursus kahwin hari ini didominasi mahasiswi dengan purata nisbah 6 : 1.

Kursus yang dijalankan di tiga Dewan Kuliah iaitu DK M, DK J dan DK K itu diadakan dua hari, hari ini dan esok.

Turut serta menguruskan kursus tersebut, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP, saudara Akmal Madzir.

Arif : Hairie masih belum beri jawapan

Tanjong Malim, 5 September – Gesaan Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Arif Mohamad kepada Yang DiPertua MPP supaya diadakan Mesyuarat Agung yang melibatkan seluruh mahasiswa untuk membentangkan laporan kewangan tahunan secara terbuka masih belum mendapat sebarang respon daripada ketuanya itu.

Perkara tersebut disampaikan beliau kepada UPSIkini malam tadi.

Beliau yang juga merupakan wakil MPP Pro Kebajikan membuat cadangan tersebut beberapa hari lalu komited untuk mengadakan Mesyuarat Agung itu sebagai salah satu pendekatan membuktikan ketelusan badan tertinggi mahasiswa itu dalam mengurus tadbir kewangan dan amanah mahasiswa.

“Setakat ini belum ada apa-apa respon daripada YDP mahupun MT MPP berkenaan perkara tersebut dan kita akan tunggu jawapan rasmi daripada mereka”,katanya.

“Agenda ini penting dalam kita menunjukkan ketelusan kita mengurus wang dan program yang dilaksanakan dan perlu kita ingat semua wang yang digunakan adalah wang mahasiswa semua, jadi mereka berhak tahu”, tambahnya lagi.

Sementara itu, undian UPSIkini yang meminta pandangan mahasiswa berkenaan cadangan tersebut setakat ini mencatatkan 93% pengundi bersetuju untuk cadangan itu dilaksanakan.

Pengajian Pondok Universiti

Bagi mengadaptasi suasana pengajian pondok di sebuah Institusi Pengajian Tinggi, Persatuan Pelajar Islam (PPI) UPSI dengan kerjasama Pusat Islam UPSI akan menganjurkan program pengajian pondok universiti yang masuk siri kedua pada Ahad, 16 Ramadhan 1430H bersamaan 6 September 2009 ini.

Program akan berlangsung di Dewan Sri Tanjung pada jam 9.00 hingga 11.00 pagi menampilkan Ustaz Anhar bin Opir, pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Tajuk yang akan dibincangkan adalah berkenaan Fiqh Muamalah dan Fiqh Siyam (puasa).
Semua dijemput hadir.

September 4, 2009

Kes Audi : Pro Kebajikan tunda tarikh dedah bukti baru

Tanjong Malim, 4 September – Pro Kebajikan petang tadi memaklumkan pendedahan bukti baru kes audi yang dilaporkan akan dibuat hari ini terpaksa ditunda kepada satu tarikh lain.

Exco Kebajikan, Aqilah ziarah keluarga Allahyarhamah Norazlina

Tanjong Malim, 4 September – Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Mohd Zulhilmi Mohd Noor dan Adriyani Yamin dilaporkan akan menziarahi keluarga mangsa kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UPSI, AllahyarhamahNorazlina Mohd Noor petang ini.

Ceramah Giat Amal Ramadhan

Sempena Ramadhan ini, Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) menganjurkan program Ceramah Giat Amal Ramadhan bertajuk ‘Istiqamah Menuntut Mujahadah’.

Ceramah akan berlangsung malam ini, 4 September 2009 jam 9.30 malam di gelanggang KHAR yang akan disampaikan oleh seorang penceramah bebas, Ustaz Azlan Zainal.

Semua dijemput hadir.


September 3, 2009

Ceramah sempena Sambutan Nuzul Al-Quran

Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Ungku Omar (KUO) akan mengadakan satu ceramah sempena sambutan Nuzul Al-Quran di dewan KUO, 6 September ini jam 9.00 malam.

Ceramah akan disampaikan penceramah jemputan dari MRSM Pasir Salak, Ustaz Hj Mohd Zaini Bin Shafiai.

Pihak penganjur menjemput semua warga UPSI untuk hadir dalam majlis tersebut.


Denda lewat daftar : Aqilah hantar surat mohon kurang denda

Tanjong Malim, 3 September – Masalah pelajar semester 7 yang didenda akibat lewat daftar praktikal mendapat perhatian serius Biro Akademik dan Kerjaya MPP, saudari Nur Aqilah Hanis.

Elaun pelajar DPLI dijangka masuk selepas raya

Tanjong Malim, 3 September – Masalah kewangan yang dihadapi pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Lepasa Ijazah (DPLI) dikatakan bakal berakhir apabila elaun mereka dijangka masuk selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Pelajar semester 7 merungut kena denda lambat daftar praktikal

Tanjong Malim, 3 September – Kegagalan mendapatkan maklumat berkenaan tarikh akhir daftar praktikal mengundang kekesalan ramai pelajar semester 7 di sini apabila didenda kerana lewat mendaftar.

Bicara Wanita minggu ini

Program Bicara Wanita anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah MPP pada minggu ini akan menyentuh berkenaan ‘isu-isu berbangkit dalam perkahwinan : penyelesaian menurut undang-undang keluarga Islam’ yang akan disampaikan oleh Dr. Zanariah.

Program dijadual berlangsung pada 4 September ini jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang bertempat di Auditorium Utama UPSI.

Semua kakitangan wanita dan mahasiswi UPSI dijemput hadir.

September 2, 2009

Kes Audi : Pro Kebajikan tetapkan 4 September dedah bukti baru

Tanjong Malim, 2 September – Pro Kebajikan hari ini menetapkan 4 September untuk mendedahkan bukti terbaru kes audi yang diterima mereka baru-baru ini.

Arif cadang bentang kewangan MPP secara terbuka

Tanjong Malim, 2 September – Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, saudara Arif Mohamad hari ini mencadangakan kepada Majlis Tertinggi MPP untuk membentangkan semua perbelanjaan MPP kepada seluruh warga UPSI dalam satu majlis khas.

September 1, 2009

Qiyamullail Mingguan di Surau Al-Falah

Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Zaaba (KZ) dan Kolej Aminudin Baki (KAB) di bawah Unit Qiyamullail Ihya’ Ramadhan memaklumkan bahawa satu program Qiyamullail Mingguan akan diadakan pada 4, 11 dan 18 September ini di Surau Al-Falah.

Program akan bermula pada jam 4.00 pagi sehingga 6.30 pagi.

Pihak penganjur turut menyediakan hidangan untuk bersahur bagi semua peserta.

Semua dijemput hadir.

Pusat Islam, Biro LPS MPP sedia juadah berbuka percuma

Bulan Ramadhan begitu sinonim dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai atau lebih dikenali dengan nama ‘moreh’ yang seringkali diadakan bagi mengeratkan silaturahim dalam satu komuniti selain bersedekah memberi makan kepada tetamu yang hadir meraikannya.

Di Universiti Pendidikan Sultan Idris , Pusat Islam UPSI dengan kerjasama Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut menjalankan majlis berbuka puasa beramai-ramai ini.

Aktiviti yang diletakkan di bawah Program Penghayatan Ramadhan 1430 H ini diadakan pada hari Isnin hingga Jumaat di Bangunan Bitarasiswa dan kolej-kolej kediaman.

Apa yang menarik perhatian ramai mahasiswa untuk bersama-sama dalam majlis berbuka puasa ini adalah kemeriahan berbuka puasa bersama selain dihidangkan secara percuma kepada tetamu yang hadir.

Sehingga Ramadhan ke-11 hari ini, majlis ini dikatakan mendapat sambutan menggalakkan dan bagi mengekalkan kemeriahan ini, pihak penganjur mengajak semua mahasiswa untuk hadir bersama-sama berbuka di sini.

Kes Audi : Pro Kebajikan dakwa terima bukti baru, setuju serah kes kepada AMI

Tanjong Malim, 1 September – Majlis Tertinggi Pro Kebajikan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah hari tadi mendakwa Pro Kebajikan menerima satu lagi bukti berkenaan kes Audi.

Ketua Penerangan Pro Kebajikan dalam ulasan berkenaan kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bukti yang diterima merupakan beberapa keping gambar beserta tarikh dan waktu program Bengkel Gerak Kerja Jentera Barisan Nasional itu diadakan.

“Bukti yang kita terima kali ini juga merupakan gambar dalam Auditorium Utama UPSI semasa program itu dijalankan dan kali ini sumber turut sertakan tarikh dan masa gambar itu diambil”, katanya.

Ketika ditanya adakah Pro Kebajikan bersedia untuk menyerahkan kes itu kepada Alumni Mahasiswa Islam (AMI) UPSI, beliau berkata Pro Kebajikan dalam mesyuarat yang lalu bersetuju untuk menyerahkan kes tersebut kepada AMI dengan beberapa syarat.

“Masyuarat yang lalu kita ada putuskan untuk bersetuju dengan saranan itu tetapi kami di pihak Pro Kebajikan ada meletakkan beberapa syarat sebelum persetujuan dibuat”, jelasnya.

Beliau walau bagimanapun enggan menjelaskan apakah syarat yang diletakkan kepada AMI untuk menyerahkan kes itu kepada mereka.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan dilaporkan bercadang untuk membuat satu sidang khas bagi mendedahkan bukti baru tersebut dalam masa terdekat.

“Kita akan buat satu sidang khas untuk dedahkan bukti baru ini bersama dengan penyokong-penyokong kita dalam minggu ini dan mungkin dalam satu majlis berbuka puasa dan solat berjemaah sempena Ramadhan ini”, jelasnya.

“Pernah buka UPSIkini?” antara soalan dalam temuduga SMU, Mr. Teller ucap terima kasih

Tanjong Malim, 1 September – Temuduga bagi menjadi ahli Kelab Sahabat Mahasiswa Universiti yang dikatakan semakin hilang hala tuju pada masa ini membingungkan bakal ahli-ahli baru kelab tersebut apabila soalan yang ditanya penemuduga tidak menjurus kepada kelab SMU.

Seorang mahasiswa semester satu yang terlibat dalam proses tersebut mendakwa antara soalan yang ditanya dalam sesi temuduga tersebut adalah berkenaan UPSIkini.

Menurut sumber, soalan yang kerap ditanya adalah ‘pernah buka UPSIkini?’ dan pandangan mereka berkenaan laporan yang disiarkan UPSIkini termasuk isu konsert.

Tambah sumber itu lagi, kebanyakan mereka yang hadir dalam sesi temuduga tersebut adalah pelajar semester satu.

Ketua Editor UPSIkini apabila dimaklumkan tentang perkara ini mengucapkan terima kasih kepada pihak SMU atas publisiti yang diberikan kepada UPSIkini.

“Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada pihak SMU kerana membuat publisiti kepada UPSIkini dan ini adalah satu perkara yang harus dicontohi semua persatuan atau kelab di UPSI kerana mahasiswa seluruhnya terutamanya yang masih di tahun satu harus tahu perkembangan semasa UPSI – salah satunya kewujudan UPSIkini sebagai medium mendapatkan maklumat”,jelasnya.

Dalam pada itu, sesi temuduga yang diadakan dilaporkan berjalan lancar.

Kelab SMU sebelum ini dikatakan bakal dibubar berikutan kegagalan diberi mandat dalam penganjuran Minggu Suai Kenal yang diambil alih MPP.

Beberapa minggu lalu, SMU sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila beberapa ahlinya didakwa mengeluarkan kata-kata yang menghina pelajar DPLI serta dakwaan sebagai kelab paling banyak ‘baju korporat’.

Banjir kilat : MPP Pro Kebajikan turun padang

kemaskini 4.05 p.m Tanjong Malim, 1 September – Hujan lebat bermula jam kira-kira 5.30 pagi tadi menyebabkan beberapa rumah yang disewa pelajar UPSI di Kampung Ketoyong dan Taman Bernam ditenggelami air.

UPSIkini dilaporkan rumah yang terlibat dalam banjir kilat pagi tadi ditenggelami air sehingga paras betis dan paras lutut.

Pelajar yang terbabit turut memaklumkan semua barang-barang yang berada di dalam rumah tidak sempat diselamatkan.

Wakil MPP Pro Kebajikan, saudara Akmal Madzir yang berada di tempat kejadian berkata pihak MPP akan berusaha memberi bantuan dan setakat ini usaha untuk membuat derma kilat sedang dibuat.

Beliau dalam kenyataannya juga meminta semua yang terlibat agar bersabar dan bersedia memberi bantuan yang diperlukan.

Dalam pada itu, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saudari Adriyani yang mengulas tentang kejadian tersebut menyatakan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) tidak dapat memberi wang kecemasan kepada semua mangsa banjir yang terlibat tetapi boleh memohon bantuan melalui portal pelajar bagi kes bencana alam.

Beliau mengumumkan perkara tersebut sejurus selepas menemui pegawai berkaitan bagi membantu mereka yang terlibat dalam banjir kilat pagi tadi.

Sementara itu, 2 pelajar yang dikenalpasti terlibat dalam kejadian banjir tersebut adalah Nasarudin Nasir, pelajar semester 4 program Pendidikan Kemahiran Hidup dan Harun, semester 7 program Pendidikan Moral.