May 31, 2009

MSK : MPP Terpaksa Ambil Alih?

Tanjong Malim - YDP Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sdr Hairie akhirnya mengakui bahawa MPP terpaksa mengambilalih sekretariat Minggu Suai Kenal (MSK) untuk membersihkan sekretariat itu daripada dikuasai oleh satu persatuan pelajar sahaja. Umum mengetahui persatuan yang beliau maksudkan adalah Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU).

Pelbagai perubahan yang terpaksa dilakukan supaya mahasiswa khususnya persatuan pelajar lain kembali menghormati MPP sebagai badan induk persatuan pelajar. Antaranya pengisian MSK yang lebih santai (mengurangkan taklimat-taklimat), membekalkan air minerel 2 botol sehari, mewujudkan slot solat berjamaah dan sebagainya.

Mencurigakan

Mahasiswa memuji tindakan Hairie, namun beberapa tindakan sekretariat yang diketuai oleh Hairie adalah sangat mencurigakan dan menampakkan "kekuasaan" pihak lain keatas dirinya. "Najis gajah tidak mungkin ditutup oleh sehelai daun". Bermula dengan temuduga pemilihan jawatankuasa yang diketuai oleh wakil SMU, Hairie secara terang-terangan menafikan ahli MPP yang lain. SMU dilihat memkambing hitamkan YDP sendiri untuk mengkaderkan ahli-ahli mereka. Lebih dahsyat dari itu hairie menjemput mantan MPP lepas (puppet HEP) untuk merangka modul LDK untuk pelajar baru. Tema MSK turut sensitif dan mencurigakan. Perkataan "KUALITI" dilihat sebagai doktrin awal kepada pelajar baru. Kenapa ini berlaku?

Muzammil

Perlantikan En Muzammil mengetuai MSK di peringkat pentadbiran HEP dilihat sebagai punca utama berlakunya situasi ini. Beliau telah menguruskan MSK sebanyak 12 kali dijemput kembali oleh En Faizi. Kedua-dua pegawai yang telah di'backlist' oleh pelajar kerana campur tangan terang-terangan dalam gerakan pelajar sehingga hari ini. En Muzammil yang pernah mencerobohi Mesyuarat Bulanan MPP kali ke-5, secara dilihat terang-terangan menguasai pencaturan sekretariat MSK kali ini. Pengalamannya dijadikan alasan utama untuk mengelirukan pelajar.

"Ahli MPP terkejut dengan tindakan En Muzammil itu. Masuk mesyuarat rasmi MPP dan mencelah percakapan YDP tanpa segan silu. Siapa dia nak masuk miting kami?" kata salah seorang ahli MPP.

"Dia cuba memperbodohkan kami. Ada ke patut ditimbulkan persoalan sekretariat MSK nak pakai tag nama leminate atau sarung? Design baju, nak makan apa dan entah apa-apa lagi! Kami ada sekretariat yang akan uruskan semua tu la!"

"En Muzammil tidak sepatutnya masuk mesyuarat kami. walaupun telah dilantik mengetuai pegawai yang lain, beliau tetap perlu menghormati mesyuarat kami. Akhirnya mesyuarat terpaksa dilewatkan sehingga hampir masuk waktu maghrib..."

"Dia nampak gelojoh sangat. NC pun tak pernah masuk mesyuarat rasmi MPP"

Apapun komen ahli MPP, kehadiran En Muzammil sudah pasti menyukarkan Hairie untuk melakukan tranformasi dalam MSK mahupun MPP itu sendiri. Sesetengah ahli MPP dan pimpinan pelajar percaya En. Muzammil adalah "tukang karut" dan Hairie hanyalah puppet yang digerakkan olehnya.

Sejarah

Sebagai catatan, SMU adalah persatuan pelajar yang merupakan proksi utama juak-juak aspirasi di UPSI. Persatuan ini diasaskan oleh TNCHEP lalu, Prof. Datuk Dr. Abdullah Al-Hadi, yang mengamalkan kepimpinan diktaktor selama berkuasa di HEP. 2 tahun tanpa pilihanraya. Dekan-dekan fakulti ditekan habis-habisan agar menyekat pelajar non-aspirasi dari menyertai pilihanraya dan sebagainya. SMU yang terang-terangan memakai label "ASPIRASI" dalam pilihanraya kampus sejak tiga tahun. Malah sanggup mengabadikan tag nama ASPIRASI yang disulam pada vest sekretariat MSK.

Namun SMU telah hilang taringnya apabila Al-Hadi ditamatkan kontrak sebagai TNCHEP. Yang menggerakkan SMU pada hari ini hanyalah En. Muzamil, pegawai kebajikan di HEP merangkap felo di KUO. Beliau digelar "sesumpah" oleh sesetengah pelajar kerana kebijaksanaannya menyesuaikan 'dirinya' dengan suasana sekeliling. Namun, beliau tetap kekal sebagai "sesumpah" walaupun kadang-kadang terlepas pandang dek kerana warnanya seakan-akan ranting pokok atau daun hijau. Cukup licik dan berbahaya.

Sejarah hitam yang berlaku di UPSI tidak pernah padam angkara kerakusan TNCHEP ketika itu dan juga disebabkan kesanggupan segelintir mahasiswa/i SMU ketika itu diperkudakan (baca diperbodohkan) demi menjayakan agenda jahat pihak tertentu. Tahun lalu, dengan campur tangan Naib Canselor, Prof. Dato' Aminah Ayob, demokrasi UPSI dikembalikan kepada pelajar. Tranformasi sedang berlaku, politik baru telah muncul. Mahasiswa UPSI berharap calon yang tulen dari mahasiswa akan merampas sepenuhnya pentadbiran MPP pada PRK akan datang. Bukannya dari anak didik En. Muzammil yang kerap bertukar warna itu.

April 25, 2009

Penempatan Siswi di Blok Siswa KUO Perlu Dikaji Semula

Tanjung Malim, 28 April 2009 - Pihak upsikini menerima email dari salah seorang bekas JMK Kolej Ungku Omar berkenaan isu penempatan siswi diaras 1 blok A semester hadapan. Pentadbiran kolej mendakwa ia adalah berikutan sistem merit yang diamalkan dimana lebih banyak siswi yang aktif di kolej berbanding siswa.

Menurut maklumat yang diterima, semua JMK sesi lalu (tak termasuk Izi) tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. JMK lepas telah berdepan dengan pengetua menyatakan pendirian mereka tetapi tidak diendahkan, "ibarat anjing menyalak bukit" itulah keadaanya.

Selain itu, rata-rata mahasiswa yang ditemubual tidak bersetuju dengan tindakan ini. "Kita sangat bimbang perkara tidak elok berlaku di kolej ini, terutamanya diwaktu cuti midsem dan hari raya, felo semua balik kampung". Pihak upsikini turut memaklumkan bahawa hampir semua felo tidak bersetuju dengan cadangan itu, namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Salah seorang exco MPP , ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyiasat perkara ini sebelum sebarang bantahan dibuat. Ditanya adakah benar bahawa siswa tidak aktif di kuo menyebabkan ramai yg dibuang dan dilebihkan siswi, beliau menjawab

"Ini bukan soal aktif atau tidak. Kami akan membantah sekiranya mendapati penempatan ini boleh mengundang risiko yang lebih besar. Jika pihak kolej tetap ingin meneruskan, kita menganggap bahawa pihak kolej telah mengkaji semasak-masaknya, dan jika berlaku apa-apa, kita menuntut agar pentadbiran KUO bertanggungjawab sepenuhnya."

April 11, 2009

Minggu Suai Kenal Julai 2009/10


Minggu Suai Kenal (MSK) merupakan program yang sangat penting bagi mahasiswa dan universiti. Sesetengah universiti lain, MSK diuruskan sepenuhnya oleh pihak pentadbiran dengan kerjasama jawatankuasa pelajar. Ini berbeza dengan pengurusan di UPSI yang memberi peluang kepada pemimpin mahasiswa untuk menjalankan pengurusan MSK sepenuhnya secara organisasi yang profesional. Malah Majlis Perwakilan Pelajar diberi kepercayaan tinggi untuk mengetuai jawatankuasa MSK yang dibentuk untuk kemasukan pelajar ambilan Julai sesi 2009/10. Mahasiswa menyambut baik kepercayaan yang diberikan pentadbiran dalam menonjolkan kepimpinan pelajar dengan kaedah ini.

Wartawan Upsikini cuba mendapatkan maklum balas mahasiswa/i UPSI yang pernah mengikuti MSK berkenaan beberapa perkara yang perlu ditambahbaik bagi memantapkan lagi MSK UPSI.

Salah seorang siswi yang hanya mahu dikenali sebagai Shida berkata "Saya melalui MSK pada julai tahun lepas. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan ok, layanan fesi sangat baik. Cuma saya harap fesi dapat memperuntukkan waktu solat dalam jadual. Saya dan beberapa rakan agak terkejar-kejar keluar dan masuk dewan untuk solat. Tak tahula rakan-rakan yang lain macam mana?"

"Lagi satu, saya kira Malam Bintang adalah program yang agak mengecewakan. Apakah nilai yang hendak diterapkan dalam Malam Bintang? Saya kira Malam Bintang ini akan membentuk minda hedonisme di kalangan pelajar baru. Hiburan yang melalaikan dan melemah jiwa."

Exco Akademik & Kerjaya, Arif Mohammad menjelaskan "MSK adalah program yang memberi impak yang besar khususnya mahasiswa yang baru pertama kali menjejak kaki ke universiti. Memandangkan UPSI adalah satu-satunya universiti yang berorientasikan pendidikan, maka saya melihat disana ada satu keperluan untuk kita terapkan nilai keperibadian seorang guru yang berkualiti. Guru bukan sekadar pada tali leher atau baju batiknya, tetapi guru yang berjiwa besar dan berkualiti".

Sdr Akmal, selaku Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah yang memberikan pandangan mengenai Malam Bintang pula menjelaskan, "Hiburan adalah sesuatu yang diperlukan dalam jiwa seseorang. Hiburan itu tidak salah, tapi jika kita tersalah memilih hiburan, itulah yang akan menyebabkan kita bersalah dan melalaikan".

Beliau juga menyarankan agar pendekatan MSK kali ini lebih menekankan aspek intelek dan elemen yang seangkatan dengannya supaya jati diri mahasiswa dan mahasiswi UPSI akan lebih teguh.

Sebelum pada itu, MSK 09/10 dijangka akan menerima mahasiswa baru seramai 5000 hingga 7000 orang yang menempatkan tempat bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda dan juga Diploma Pendidikan.

April 10, 2009

Harapan Tinggi Buat Kabinet Baru:Mahasiswa UPSI

Tanjong Malim, 10 April – Perlantikan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 serta pembentukan kabinet ‘pasukan baru’ petang semalam mendapat respon yang amat positif di kalangan mahasiswa UPSI.

“ Saya mewakili seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat kepada barisan kabinet baru yang dibentuk semalam. Kami amat mengharapkan kepimpinan baru yang diterajui oleh Datuk Seri Najib, dapat membawa Malaysia ke arah yang lebih baik berbanding dengan kepimpinan lepas”, demikian ujar salah seorang MPP Pro Kebajikan, Akmal Bin Madzir.

Beliau turut optimis bahawa kepimpinan baru ini dapat menunaikan janji dan memperjuangkan nasib rakyat khususnya rakyat-rakyat marhain tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik sempit.

Mohd Nawwar Abu Mukhtar, Presiden Persatuan Pendidikan Islam (PPI) pula menekankan agar kepimpinan yang baru dapat memfokuskan kepada sistem pendidikan yang lebih menyeluruh dan seimbang daripada semua aspek.

“Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, Kementerian Pelajaran ada menetapkan 6 teras utama dan salah satunya adalah pembangunan modal insan. Kami di peringkat mahasiswa bidang pendidikan amat mengharapkan agar kepimpinan baru dapat meneruskan cita-cita murni ini terutama dalam melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya, ” komen beliau.

Selain itu, pembentukan kabinet semalam turut mendapat respon yang positif daripada kepimpinan mahasiswi UPSI yang mengharapkan supaya hak dan kebajikan wanita mendapat perhatian yang serius.

“Saya selaku wakil mahasiswi UPSI terlebih dahulu ingin mengucapkan tahniah, namun demikian kami selaku mahasiswi ingin menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baru, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar dapat menjaga kebajikan wanita dan mahasiswi dengan lebih serius kerana wanita juga memainkan peranan yang penting dalam aspek pembangunan negara apatah lagiuntuk masa hadapan yang lebih menuntut kepimpinan yang berkaliber di kalangan wanita itu sendiri.” Ujar Norhafizawati Mohammad Razali, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI.

Sebelum itu, pada jam 3 petang semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kabinet baru yang digelar ‘pasukan baru’ dan pada pagi tadi, kesemua menteri dan timbalan menteri kabinet telah mengangkat sumpah di hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong di Istana Negara.

April 7, 2009

Bukit Gantang & Bukit Selambau

Ipoh, 7 April – Mahasiswa UPSI yang tidak mengundi tidak digalakkan ke Bukit Gantang untuk melihat proses pengundian pilihanraya kecik Parlimen Bukit Gantang.

Orang yang tidak berkenaan jangan hadir di pusat mengundi Bukit Gantang. Adalah lebih baik mereka berehat dirumah dan menyaksikan proses pengundian melalui kaca telivisyen” – Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah

Selain itu, Upsikini turut dimaklumkan bahawa hampir semua pegawai HEP bertugas di luar kawasan sejak minggu lalu bersama beberapa orang pegawai keselamatan UPSI. Mereka dikatakan ditugaskan untuk memantau penglibatan pelajar di kedua-dua pilihanraya kecil termasuk di Bulit Selambau. Hal ini telah menyulitkan urusan pelajar yang terpaksa ditangguhkan hingga pegawai berkenaan pulang.

Tiga pilihanraya kecil berlangsung serentak pada hari ini, dijangkakan keputusannya akan diumumkan pada jam 9.00 malam. Upsikini berharap ketiga-tiga pilihanraya ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

April 5, 2009

MPP MENANGGUNG BIAWAK HIDUP

Tanjong Malim, 5 April- Majlis Perwakilan Pelajar sesi 08/09 bakal menanggung risiko besar apabila melantik Izi Nasiruddin, mantan Yang Dipertua Kolej Ungku Omar sebagai salah seorang panel yang akan menemuduga pelajar yang memohon untuk menjadi sekretariat Minggu Suai Kenal ambilan Julai sesi 2009/10.

Tindakan ini ibarat menanggung biawak hidup apabila Izi masih belum memberi penjelasan secara telus berkenaan isu perbelanjaan program Hari Terbuka Kolej Ungku Omar (KUO) dilaporkan mengalami defisit sehingga menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung pihak pentadbiran kolej. Selain itu, umum mengetahui kejelekan yang terang-terang dilakukan beliau apabila membelakangi JMK KUO yang lain dengan melantik SMU sebagai majlis tertinggi dalam jawatankuasa Program Hari Terbuka lalu.

Rata-rata JMK yang pernah berkerja bersama Izi berasa pelik mengapa MPP memberi ruang kuasa yang sangat besar kepada Izi dalam Pesta Konvokesyen sidang pertama Mac lalu dan kemudian melantik beliau sebagai orang besar dalam sekretariat minggu suai kenal akan datang.

"cukuplah apa yang telah berlaku di KUO. MPP perlu berhati-hati, Izi terlalu licik orangnya. Dia mempunyai kabel besar dengan pihak atasan..." kata seorang JMK KUO.

Menurut jurucakap MPP prokebajikan, beliau telah membawa isu ini kepada pihak atasan MPP. "Saya cuba membawa keresahan yang berlaku diperingkat akar umbi kepada pihak MT MPP terutama Hairie selaku YDP pada mesyuarat yang lalu. Namun beliau tidak menjawab persoalan saya dan menangguhkan mesyuarat dengan alasan hari dah larut malam..."

Salah seorang Exco MPP yang hanya mahu dikenali sebagai Yana pula menyatakan "Pada peringkat awal, saya begitu mengkagumi Hairie . Saya percaya rakan-rakan MPP yang lain juga demikian, amat mengharapkan Hairie akan mendapat kuasa penuh dan menjadi pemimpin tertinggi dalam MPP. Sebenarnya saya tidak ada pilihan lain untuk diangkat menjadi pemimpin, kecuali Hairie kerana Akmal tidak mempunyai pasukan yang kuat dalam MPP walaupun lebih 4,000 mahasiswa memilih beliau. Visi, semangat dan sifat kepimpinan yang ditunjukkan Hairie, amat sesuai dan serasi dengan saya dan juga rakan-rakan yang lain termasuk lawannya. Keadaan ini menyebabkan saya rasa harapan dan masa depan mahasiswa, tergenggam ditangannya".

"Namun harapan dan mimpi saya itu semakin hari semakin hancur dan lebur. Ianya dikoyak oleh evolusi yang berlaku ke atas diri Hairi, rakan-rakannya juga mengakui hal ini. Perubahan sikap, pandangan dan visi politiknya, menyebabkan kita seperti dikejutkan oleh sesuatu yang mengerikan jika beliau dilepaskan berkuasa dalam keadaan dirinya kini seperti dikuasai oleh orang lain. Ini perlu disemak dan diperbetulkan oleh exco yang lain".

March 9, 2009

Kebimbangan PM terhadap PPSMI berasas – Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 9 Mac – Kebimbangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berkenaan isu PPSMI yang dilihat semakin memuncak mempunyai asas dan wajar menurut Pro Kebajikan yang mengulas tentang perkara tersebut.

Perdana Menteri yang mahu isu itu diputuskan segera dilihat sebagai respon positif kepada banyak pihak yang mahu PPSMI dimansuhkan.

Pro Kebajikan, dalam satu kenyataan mengulangi pendirian mereka bahawa PPSMI wajar dimansuhkan dan dasar yang mengikut perlembagaan harus dibuat di samping mengambil kira pandangan serta saranan ahli akademik.

Pro Kebajikan juga berpendapat pertimbangan tidak harus tertumpu kepada keputusan peperiksaan semata-mata kerana hakikat sebenar yang perlu diberi perhatian adalah proses pengajaran dan pembelajaran itu. Ini adalah kerana graf atau standard lulus dalam satu-satu peperiksaan boleh berubah.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan menyarankan agar pihak yang benar-benar ingin mencari kepastian turun sendiri ke sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar dan melihat proses P&P menggunakan PPSMI secara lebih dekat.

Mengulas tentang himpunan tempoh hari yang menunjukkan penyertaan di luar jangkaan oleh mahasiswa dan dikatakan didalangi ahli politik tertentu, Pro Kebajikan mengatakan pendapat itu kurang tepat kerana himpunan tersebut dianjurkan oleh NGO dan ada sebahagiannya merupakan NGO yang selama ini menyokong kuat kepimpinan kerajaan sekarang seperti GAPENA.

Media hari ini melaporkan PPSMI bakal dibincang dalam Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat sebelum keputusan mengenainya diumumkan.

March 8, 2009

Himpunan 100 000 mansuh PPSMI : Warga UPSI turut kelihatan

Tanjong Malim, 8 Mac – Himpunan 100 000 rakyat membantah dasar PPSMI yang dianjurkan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) semalam turut disertai oleh warga UPSI termasuk pensyarah dan mahasiswa.

Dalam perhimpunan semalam, antara yang paling jelas kelihatan adalah Prof. Dr. Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM) bersama isteri dan barisan penggerak GMP yang lain.

Beliau ketika ditemubual media melahirkan rasa bangga dengan kehadiran dan sokongan rakyat tetapi sedih dengan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan keadaan aman menjadi huru hara.

Abdullah juga dikatakan mengalami kesesakan nafas apabila gas pemedih mata dilepaskan FRU semasa dalam perarakan bergerak ke Istana Negara bagi meyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pro Kebajikan yang menyokong penuh tindakan Abdullah mengesahkan bahawa mereka turut menghantar sekumpulan mahasiswa menyertai himpunan tersebut sebagai tanda sokongan kepada GMP dan NGO lain yang bertungkus lumus mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.

Media hari ini melaporkan himpunan tersebut berjaya dan memberi mesej yang jelas kepada pihak kerajaan bahawa dasar tersebut tidak diterima ramai pihak.

March 7, 2009

Defisit perkara biasa

Isu kerugian yang dialami akibat defisit program Hari Terbuka KUO masih lagi menjadi buah mulut ramai pihak. Izi Nasiruddin yang juga merupakan Pengarah Program tersebut dilaporkan melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) KUO berikutan kes tersebut. Upsikini sempat mewawancara seorang mahasiswa UPSI, Ihsan, yang sebelum ini menyampaikan banyak pandangan beliau terhadap suasana kepimpinan di UPSI untuk mengulas isu tersebut.
Upsikini : Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam.
Upsikini : Agak lama juga ya kita tak bertemu.
Ihsan : Lebih kurang begitulah. Mungkin sibuk dengan hal masing-masing.
Upsikini : Baik saudara. Sebagai permulaan perbincangan. Apa agaknya pandangan saudara tentang kepimpinan mahasiswa UPSI yang ada sekarang.
Ihsan : Terima kasih. Saya lihat dalam keadaan sekarang ini, kepimpinan UPSI khususnya MPP meskipun disertai dengan 2 kumpulan utama dalam barisannya, perubahan yang diharapkan masih belum banyak berlaku. Cumanya, kita boleh katakan mereka ada usaha, mungkin hasilnya belum cukup untuk membuatkan pengundi-pengundi mereka berkata”Ya, inlah yang kita mahu”.Masih belum.
Upsikini : Saya nak alih kepada isu sebenar yang ingin kita bincangkan. Baru-baru ini timbul kenyataan bahawa perbelanjaan wang program hari terbuka KUO defisit dan mencatatkan kerugian sehinggakan YDPnya letak jawatan. Apa pandangan saudara?
Ihsan : Kalau orang tanya saya tentang deficit dalam perbelanjaan, saya katakan itu perkara biasa. Kerajaan negara kita yang ada penasihat ekonomi, pakar-pakar juga pernah defisit dalam perbelanjaan negara. Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang dibarisi dengan pakar ekonomi dan sebagainya turut pernah mengalami defisit. Ini biasa dan dalam konteks penganjuran program yang lebih kecil skopnya, ini adalah risiko yang perlu diambil. Cuma yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana boleh berlakunya defisit. Adakah kerana tidak berhemah dalam perbelanjaan, perancangan yang kurang kemas atau tidak mengikut apa yang dirancang atau mungkin terpaksa berbelanja lebih disebabkan perkara-perkara yang tak dapat dielak.
Upsikini : Saudara mengatakan ini perkara biasa. Apa yang dimaksudkan dengan biasa kerana kita tahu jarang sekali sesuatu program yang dijalankan mengalami defisit.
Ihsan : Saya katakan ia biasa atas beberapa pertimbangan. Pertama skala program yang dianjurkan agak besar. Kedua, setiap perancangan perbelanjaan di atas kertas akan mengalami perubahan semasa perlaksanaan. Pasti berlaku. Ketiga adalah atas konsep belajar. Sebagai mahasiswa yang baru berjinak-jinak dalam menganjurkan program besar, semestinya berdepan dengan risiko ini dan sekiranya risiko ini benar-benar berlaku, inilah proses belajar. Kita jangan mengharapkan hasil yang sentiasa positif, kerana dalam proses belajar sudah semestinya kita perlu mengalami pelbagai masalah. Saudara perlu faham, pentadbir universiti juga perlu faham, dalam menganjurkan program, mahasiswa tidak ada kursus khas untuknya, hanya melalui kerjasama dan bantuan dari penasihat dan rakan-rakan.
Itu yang saya katakan ini perkara biasa.
Upsikini : Adakah saudara maksudkan bahawa mahasiswa jangan takut untuk berdepan dengan risiko jika mahu belajar?
Ihsan : Ya. Ini sepatutnya menjadi pegangan mahasiswa.
Upsikini : Bagaimana pula sekiranya defisit itu berlaku disebabkan salah guna wang yang diperuntukkan?
Ihsan : Baik, itu yang saya katakan tadi punca defisit itu juga perlu diambil kira. Kalau melibatkan kes salah guna, apa yang menyebabkan salah guna itu berlaku. Adakah menyalahguna atau tersalah guna?Kalau memang salah guna untuk kepentingan peribadi atau pengurusan perbelanjaan yang tidak cekap, ini sememangnya salah dan tidak termasuk dalam ruang lingkup perkara biasa yang saya katakan. Mungkin salah guna itu berlaku kerana perbelanjaan dibuat di luar daripada apa yang dirancang. Contohnya katakan dalam perancangan kita buat perlu beli 5 biji buah tembikai, tapi bila tiba harinya dirasakan tidak cukup, perlu tambah lagi 3 biji sedangkan ia tidak tercatat dalam perancangan, ini juga salah guna sebab perbelanjaan di luar bajet asal, tapi atas pertimbangan yang dibolehkan pada saya. Jadi penjelasan tentang salah guna itu juga perlu spesifik.
Upsikini : Bagaimana saudara melihat perletakan jawatan sebagai tindakan bertanggungjawab terhadap masalah yang berlaku.
Ihsan : Ada situasi yang kita boleh terima tindakan ini dan ada juga tidak. Dalam isu ini, saya rasakan mana-mana pemimpin yang meletak jawatan dalam keadaan masalah itu tidak ada penyelesainya, saya kira pemimpin itu pemimpin yang lemah. Ini berbeza dengan keadaan sebenar dalam politik praktis, kerana sekiranya seseorang pemimpin yang berhadapan dengan masalah dan tidak mampu menyelesaikannya, pasti ada pengganti yang sedia menggantikannya. Tapi dalam konteks kita, siapa pengganti untuk menyelesaikan masalah tersebut melainkan dipulangkan kepada pihak pengurusan. Ini pada saya langkah kurang bijak dan tidak menepati ciri-ciri kepimpinan yang sepatutnya.
Upsikini : Untuk soalan terakhir, apakah nasihat saudara kepada kepimpinan mahasiswa khususnya di UPSI dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin dan penganjur program?
Ihsan : Saya ingin ingatkan kepada mereka, dalam penganjuran program perancangan teliti perlu dibuat. Saya pernah melihat rakan saya buat kertas kerja, dalam bahagian bajet itu, di hanya “copy paste dan buat penambahan mengikut cita rasanya dan tidak dibentang dalam mesyuarat jawatan kuasa. Ini saya kira sikap tidak professional dalam melaksanakan tugas. Sebaiknya setiap perancangan yang berisiko mesti dibincang dan keputusan dibuat secara kolektif supaya apabila berhadapan dengan masalah, semua pihak akan bertanggungjawab.
Upsikini : Satu lagi, dari mana saudara dapat pengalaman dalam hal-hal ini kerana saudara seperti orang yang dah pernah mengalami semua ini.
Ihsan : Tempat saya belajar sebelum ini.
Upsikini :
Begitu. Baiklah saudara Ihsan,terima kasih atas perkongsian bersama UPSIkini. Mungkin kita boleh bincang banyak lagi perkara. Mungkin isu Perak…
Ihsan : (Ketawa).Tiada masalah. Saya sedia berrkongsi.
Upsikini : Terima kasih, Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam.

March 4, 2009

Mahasiswa gesa MPP UPSI nyatakan pendirian tentang isu PPSMI

Tanjong Malim, 4 Mac – Isu pengajaran & pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang sedang hangat diperkatakan kini mula menular di kalangan bakal pendidik di UPSI.

Sehubungan dengan itu, Upsikini diajukan beberapa persoalan daripada mahasiswa di sini yang meminta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyatakan pendirian mereka tentang isu ini.

Meskipun isu ini dilihat begitu relatif dengan penuntut di UPSI namun kenyataan rasmi daripada MPP sebagai badan penting kepimpinan mahasiswa masih belum didengari.

Seorang mahasiswa yang ditemui, Azam, menyampaikan rasa ingin tahu beliau apakah pendirian MPP tentang isu ini memandangkan masyarakat sudah mula merasai kesan dasar ini kepada sistem pendidikan negara.

“Sebagai penuntut yang bakal menerajui profesion perguruan ini, MPP sebagai badan kepimpinan mahasiswa seharusnya menyatakan pandangan tentang isu ini,”katanya.

“Masyarakat sudah mula merasai kesan dasar ini kepada sistem pendidikan negara dan sebagai mahasiswa yang berada dalam bidang ini, kita juga mempunyai peranan dalam menyatakan pandangan dan saranan,”tambahnya lagi.

Seorang lagi mahasiswa yang ditemui, Norshuhada turut menggesa MPP segera menyatakan pendirian tentang isu PPSMI ini.

“Sebagai wakil mahasiswa, mereka (MPP) seharusnya peka dengan isu ini dan menyatakan pandangan berkenaan isu ini kerana saya yakin ramai di luar sana ingin tahu pendirian kita,”ujarnya.

Tambahnya lagi,“kita juga tahu, UPSI adalah satu-satunya IPTA yang menawarkan kursus pendidikan sepenuhnya dan sudah semestinya pandangan kita menjadi dinanti-nantikan ramai pihak”.

Isu PPSMI mula menjadi perhatian setelah beberapa tokoh bahasa menyatakan bantahan mereka secara terbuka terhadap isu ini dan bakal mengadakan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini.

Izi tak perlu bimbang jika dakwaan palsu – Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 3 Mac – Dakwaan salah guna wang program Hari Terbuka Kolej Ungku Omar (KUO) yang disabitkan ke atas Izi Nasiruddin, mantan Yang Dipertua Kolej Ungku Omar merangkap Pengarah program Hari Terbuka tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada mahasiswa di sini.

Meskipun perletakan jawatannya dikatakan sah dan sudah berkuatkuasa namun punca perletakan jawatan beliau masih menjadi tanda tanya.

Upsikini sebelum ini melaporkan bahawa perletakan jawatannya berkait rapat dengan kerugian yang dialami akibat defisit dalam perbelanjaan program tersebut.

Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya ketika diminta mengulas tentang perkara tersebut menasihatkan Izi supaya tidak menghiraukan dakwaan yang dibuat sekiranya ia palsu.

“Izi tak perlu bimbang sekiranya dakwaan yang dibuat ke atasnya palsu”,ulas beliau.

“Beliau juga mempunyai hak untuk membela dirinya dan bagi menyangkal dakwaan tersebut beliau harus ke depan membuat penjelasan”,tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut menolak ura-ura yang mengatakan semua dakwaan yang dibuat ke atas Izi dikeluarkan daripada pihak Pro Kebajikan.

“Kita mempunyai banyak agenda dan tanggungjawab lain yang perlu diselesaikan dan tiada masa untuk terlibat dalam menjatuhkan mana-mana individu namun sekiranya saranan dan pandangan kita diperlukan, kita akan beri respon sebagai satu tanggungjawab kita sebagai pemimpin mahasiswa,”katanya.


Pro Kebajikan sebelum ini dikatakan antara pihak yang terlibat dalam mendedahkan dakwaan salah guna wang oleh Izi Nasiruddin.

March 1, 2009

Izi sah letak jawatan

Tanjong Malim, 1 Mac – Ura-ura perletakan jawatan Izi Nasiruddin sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Ungku Omar dilaporkan sudah berkuatkuasa.

Perletakan jawatan beliau dikatakan berkait rapat dengan kes salah guna wang program Hari Terbuka KUO sehingga menyebabkan defisit.

Upsikini yang dimaklumkan tentang perkara ini oleh sumber dalaman dipetik sebagai berkata bahawa perletakan jawatan beliau dirahsiakan atas sebab tertentu.

Salah seorang penghuni KUO yang ditemui, Amir, menggesa agar kes salah guna ini tidak dilenyapkan begitu sahaja walaupun beliau sudah meletakkan jawatan.

“Jangan kerana beliau sudah letak jawatan, kes salah guna ini dilenyapkan. Ini melibatkan wang mahasiswa dan universiti, siasatan mesti dibuat,”katanya.

“Kami juga tidak mahu kes ini berlalu begitu sahaja seperti penyelewengan RM 36 000 wang MPP sebelum ini dan tindakan tegas harus diambil,”tambahnya lagi.

Perbelanjaan Hari Terbuka KUO defisit

Tanjong Malim, 1 Mac – Perbelanjaan program Hari Terbuka Kolej Ungku Omar (KUO) dilaporkan mengalami defisit sehingga menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung pihak pentadbiran kolej.

Pengarah program, Izi Nasiruddin sehingga kini dikatakan masih belum menyelesaikan masalah yang berlaku dan menawar diri untuk meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) KUO.

Menurut sumber dalaman, Izi begitu lemah dalam mengurus kewangan program dan pelarasan kewangan tidak dibuat dengan baik sepanjang tempoh perancangan dan pelaksanaan program.

Tambahan pula, Izi mengamalkan sikap double standard terhadap barisan JMK yang diketuainya sendiri apabila melantik Majlis Tertinggi dalam Jawatankuasa Program di kalangan rakannya dalam Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) dan hanya 2 orang di kalangan JMK.

Meskipun beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai YDP JMK KUO yang dipegangnya sejak Mei 2008 , namun Pengetua KUO Encik Mohd Muzafar Shah dikatakan enggan menerima perletakan jawatan tersebut selagi masalah kewangan program ini tidak selesai.

Konvokesyen pada Ogos, tunggu perkenan Tuanku Bainun

Tanjong Malim, 1 Mac – Perkembangan mengenai tarikh Istiadat Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 semakin menjadi perhatian mahasiswa di sini terutamanya di kalangan semester akhir.

Terkini Upsikini dilaporkan bahawa tarikh Istiadat Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 kekal pada Ogos tetapi masih menungu perkenan daripada Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Bainun.

Pengesahan mengenai maklumat ini dibuat oleh saudari Nur Aqilah Hanis, Exco Akademik dan Kerjaya MPP.

Menurut beliau, bahagian pengijazahan memaklumkan bahawa tarikh istiadat konvokesyen yang dipohan perkenan dan dihantar ke pihak Canselor adalah pada Ogos. Sehingga kini, bahagian pengijazahan masih menunggu perkenan dari Tuanku sebelum diumumkan secara rasmi.

Beliau yang menjelaskan perkara ini turut meminta agar mahasiswa tidak lagi membuat sebarang andaian dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa demi kepentingan semua.

Isu tarikh Konvokesyen mula menjadi perhatian apabila dikatakan bakal dijalankan pada Disember lewat 3 bulan daripada tarikh asal iaitu pada Ogos.

Isu tarikh Konvokesyen tiada kaitan dengan kemelut Kerajaan Negeri Perak

Tanjong Malim, 1 Mac – Spekulasi tarikh Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 yang mungkin diadakan pada Disember semakin menjadi perhatian di sini.

Antara yang hangat diperkatakan adalah isu pergolakan dalam Kerajaan Negeri Perak menjadi punca tarikh tersebut terpaksa dianjak dari Ogos kepada Disember.

Dakwaan ini dibuat beberapa mahasiswa yang ditemui dan menganggap perkembangan terkini isu Kerajaaan Negeri Perak berkemungkinan menjadi faktor kepada perubahan tarikh Istiadat Konvokesyen.

Menurut mahasiswa terbabit yang tidak mahu identitinya didedahkan, pergolakan dalam Kerajaan Negeri Perak menjadi sebab tarikh Konvokesyen dianjak kerana dalam Istiadat Konvokesyen, Menteri Besar adalah antara orang kenamaan yang akan dijemput dalam majlis tersebut dan sehingga kini masih belum diketahui siapa sebenarnya Menteri Besar yang sah.

“Kebiasaannya Menteri Besar adalah VIP yang akan dijemput dalam Majlis Istiadat Konvokesyen tapi sekarang kita tak tahu siapa Menteri Besar yang sah dan mungkin keputusan mahkamah juga berlanjutan sehingga Ogos dan memaksa tarikh Konvo dianjak pada Disember”,katanya.

Pendapat ini disanggah Ketua Penerangan Pro Kebajikan yang mengatakan pendapat tersebut tidak benar sama sekali kerana tarikh Konvokesyen ke-11 sidang pertama tetap dijalankan pada 16 hingga 18 Mac ini meskipun isu Kerajaan Negeri Perak masih belum selesai di mahkamah.

“Pendapat ini tidak tepat pada saya kerana tarikh Konvo ke-11 sidang pertama tetap dijalankan pada 16 hingga 18 Mac ini walaupun kemelut Kerajaan Negeri Perak masih belum selesai di mahkamah dan isu siapa Menteri Besar untuk dijemput dalam majlis istiadat bukanlah begitu besar sehingga memaksa majlis istiadat dianjak ke tarikh lain.”jelasnya.

Tambahnya lagi,"sekiranya diimbau pada majlis-majlis sebelum ini, jarang sekali Menteri Besar turun ke UPSI walaupun jemputan dibuat".

Pro Kebajikan dalam ulasannya turut menyokong agar tarikh konvokesyen ke-11 sidang ke-2 diadakan pada Ogos.

February 28, 2009

Pandangan mahasiswa semester akhir sudah dipanjangkan – Exco Akademik dan Kerjaya

Tanjong Malim, 28 Feb. – Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis hari ini membuat kenyataan bahawa pandangan mahasiswa semester akhir berkenaan isu tarikh konvokesyen telah disampaikan ke pihak atasan.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut meminta agar semua mahasiswa semester akhir agar bertenang dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas mereka yang sedang berpraktikal dan memberi kepercayaan kepada pihak MPP untuk menyelesaikan isu ini.

Menurut Aqilah, MPP memahami situasi mereka dan akan berusaha sedaya upaya supaya tarikh Istiadat Konvokesyen mereka ini dikekalkan pada Ogos.

“Kita memahami apa yang sedang mereka fikirkan dan setiap pandangan mereka akan dipanjangkan dalam usaha merealisasikan impian mereka menjadi guru”,ulasnya.

“Perkembangan ini memperlihatkan satu keadaan yang positif di mana mahasiswa semakin ke hadapan dalam menyampaikan hasrat mereka dan kami dalam kepimpinan MPP menghargai setiap pandangan mereka,”tambahnya lagi.

Sebelum ini, sebilangan besar mahasiswa semester akhir menyampaikan bantahan mereka dalam ruangan forum Upsi portal yang mahukan istiadat konvokesyen dibuat pada Ogos.

Mahasiswa semester akhir bantah Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 pada Disember

Tanjong Malim, 28 Feb. – Isu tarikh Istiadat Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 yang berkemungkinan diadakan pada Disember mendapat bantahan dari sebahagian besar mahasiswa semester 8 yang sedang berpraktikal pada semester ini.

Bantahan disuarakan sebilangan mahasiswa semester akhir melalui ruangan forum Upsi Portal yang melihat tarikh tersebut terlalu lewat berbanding kebiasaannya yang diadakan pada bulan Ogos.

Mereka juga mempersoalkan rasional tarikh istiadat konvokesyen itu dilewatkan daripada Ogos ke Disember.

Tambah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan mahasiswa semester 8 kini adalah desas-desus yang mengatakan majlis graduasi tersebut turut melibatkan pelajar semester 7 pada semester ini yang bakal menamatkan pengajian pada September dan keadaan ini dikhuatiri akan menyebabkan lambakan graduan untuk mengisi kekosongan jawatan guru kelak.

Turut diutarakan adalah kebimbangan mereka tentang kelewatan mereka ditampatkan di sekolah-sekolah apabila tarikh Konvokesyen ini dilanjutkan pada Disember.

Rata-rata komen yang disampaikan mendesak agar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) membawa isu ke pihak atasan untuk mengekalkan tarikh Istiadat Konvokesyen ke-11 sidang ke-2 ini pada Ogos.

Upsikini terima e-mel, komen mahu blog diteruskan

Tanjong Malim, 28 Feb. – Blog informasi Upsikini hari ini mendedahkan bahawa pihak editor menerima emel dan komen dari pelbagai pihak yang mendesak blog Upsikini diteruskan dalam menyampaikan maklumat kepada pembaca. Upsikini yang tidak mengeluarkan sebarang berita sejak 3 minggu lalu dikatakan sudah tidak akan meneruskan operasinya sebagai media alternatif pembaca mendapatkan berita terkini dari UPSI.

Ketua Editornya, Mr. Teller apabila ditanya tentang perkara ini mengatakan, pemberhentian sementara dalam melaporkan sebarang perkembangan terkini UPSI adalah atas beberapa faktor dan antaranya adalah bagi melihat reaksi pembaca.

“Ternyata pembaca dahagakan berita-berita terkini dari UPSI dan emel yang kami terima menunjukkan upsikini mempunyai pembacanya dan diterima ramai terutamanya warga UPSI,”jelasnya.

Tambahnya lagi, “berdasarkan perkembangan ini, Upsikini akan terus menyampaikan berita-berita segar dan penambahbaikan akan diteruskan dari semasa ke semasa”.

Untuk rekod, Upsikini ditubuhkan pada Oktober 2008 dan masih beroperasi sehingga kini.

February 1, 2009

Pro Kebajikan seru warga UPSI bersama Dr. Abdullah Hassan


Tanjong Malim, 1 Feb. – Keberanian Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang menjadi penggerak dalam usaha memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) harus dicontohi seluruh warga UPSI.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI merupakan satu-satunya warga UPSI yang ke hadapan dalam memperjuangkan isu ini.

Sehubungan dengan itu, Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya mengeluarkan kenyataan menyeru warga UPSI untuk bersama beliau dalam menyatakan pendirian tentang dasar PPSMI ini.

Sebelum ini Abdullah pernah bercadang menganjurkan satu rombongan ke Kementerian Pelajaran untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelajaran Malaysia bagi menyatakan pendirian para akademik di UPSI tentang PPSMI, dan mengembalikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik dalam sistem pelajaran Malaysia.

Semalam, beliau dilaporkan bersama beberapa tokoh bahasa dan sastera melancarkan kempen Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pusat membeli-belah SOGO dalam rangka menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 7 Mac ini untuk menyerahkan memorandum bantahan dasar PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan dalam kenyataannya berharap agar Abdullah dapat menjalankan siri penerangan kepada warga UPSI tentang isu ini.

Untuk rekod, dasar PPSMI telah dilaksanakan selama 7 tahun dan sejak kebelakangan mendapat bantahan daripada ramai tokoh bahasa dan sastera tanah air.

Spekulasi siapa calon TNC HEP UPSI bertiup kencang

Tanjong Malim, 1 Feb. – Hebahan kekosongan jawatan Timbalan Naib Canselor & Alumni (HEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disiarkan dalam laman web rasmi UPSI mula menjadi perhatian mahasiswa di sini.

Tarikh permohonan yang ditutup pada 23 Januari lalu mengundang pelbagai khabar angin yang menjangkakan TNC baru bakal diketengahkan untuk mengetuai Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI.

Kerusi panas yang sering dikaitkan dengan kepentingan politik ini dijangka penuh dengan pelbagai spekulasi berdasarkan perkembangan semasa mahasiswa seluruh negara.

Lantaran itu, timbul cakap-cakap yang mendakwa antara calon yang dijangka mengisi jawatan tersebut adalah Prof. Omar bin Abdull Kareem yang kini merupakan Dekan Institut Pengajian Siswazah.

Desas-desus yang mengaitkan nama Prof. Omar dengan jawatan TNC HEP ini timbul apabila beliau dilihat sebagai ahli akademik yang terbuka dalam mengendalikan beberapa isu.

Di samping itu beliau juga dikatakan antara ahli akademik yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa kegiatan mahasiswa di UPSI.

Namun tiada sebarang bukti kukuh yang diterima Upsikini bagi mengesahkan kenyataan ini.

Upsikini turut dilaporkan berkemungkinan juga jawatan ini dikekalkan kepada penyandangnya kini, Prof. Shaharudin Abd Aziz yang dikatakan berjaya membawa beberapa perubahan dalam pentadbiran JHEPA.

Antara yang jelas adalah keterbukaan HEP dalam mengendalikan Pilihanraya kampus yang lalu meskipun terdapat beberapa kelemahan yang berlaku terutamanya dalam penegasan peraturan PRK.

Beliau juga dikatakan bakal berdepan dengan tugas sukar sekiranya kantrak jawatan TNC HEP ini terus diberikan kepadanya akibat gelombang perubahan dalam PRK yang lalu apabila 8 kerusi MPP berjaya dirampas Pro Kebajikan yang tidak sehaluan dengan Pro Kualiti (dahulunya dikenali sebagai Pro Aspirasi).

Untuk rekod, kontrak jawatan TNC HEP hanya berkuatkuasa selama 2 tahun dan dijangka bakal diperbaharui pada Jun ini.